Category Archives: BUKU

FAKULTI PENGAJIAN ISLAM UMS DITUBUHKAN

(Photo: Kredit kepada Jabatan Pendaftar UMS)

KOTA KINABALU – Penubuhan Fakulti Pengajian Islam (FIS) di Universiti Malaysia Sabah (UMS) merupakan satu lagi mercu perkembangan Islam di Negeri Sabah. Berita tentang kelulusan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengenai penubuhan entiti akademik FIS ini dapat dilihat melalui hantaran dari laman rasmi facebook Jabatan Pendaftar UMS bertarikh 27 Mei 2021. Penubuhan FIS ini berkuat kuasa pada 10 Mei 2021.

Kampus UMS sememangnya cantik dan indah. Kedudukannya menghadap Laut China Selatan yang terbentang luas dan membiru. Terdapat beberapa pulau yang berhampiran. Lokasinya cukup strategik kerana terletak di pinggir Bandaraya Kota Kinabalu. Bandaraya ini pula memiliki Lapangan Terbang Antarabangsa kedua terbesar dan tersibuk di Malaysia selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Kondisi ini sesungguhnya membuka ruang dan peluang kepada warga nusantara khususnya dari Sabah, Sarawak, Semenanjung dan negara jiran seperti Brunei, Philipina, Indonesia dan Singapura untuk melanjutkan Pengajian Islam di sini.

SELAMAT DATANG KE UMS.

TAHNIAH UMS

BUKU RUJUKAN POLIGAMI

dav

 

BUKU RUJUKAN POLIGAMI

Amalan berpoligami merupakan satu daripada syariat yang dinyatakan oleh Allah s.w.t kepada orang Islam dalam al Quran. Pensyariatannya disebutkan secara khusus dalam surah al Nisaa : 3 yang berbunyi:

“Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenaan dari perempuan-perempuan (lain); dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka berkahwinlah dengan seorang sahaja atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman”.

Berdasarkan kepada ayat di atas, keharusan kepada amalan berpoligami atau berkahwin melebihi dari seorang isteri memerlukan kita untuk melihat dan mengambil kira satu perkara penting iaitu keadilan. Ternyata bahawa keadilan seorang suami amat ditekankan oleh Allah dalam institusi poligami.

Apabila Allah meletakkan keadilan sebagai satu keutamaan dalam berpoligami, sudah tentulah ini merupakan satu perkara yang sangat perlu untuk diberi perhatian oleh seorang suami sebelum berpoligami. Allah menyebutkan bahawa sekiranya seorang suami itu takut atau bimbang tidak dapat berlaku adil kepada isteri-isterinya jika berpoligami, maka suami berkenaan hendaklah berkahwin satu sahaja. Tanpa keadilan seorang suami, pastilah akan berlaku perkara yang mudarat dan merugikan pihak-pihak dalam rumahtangga berkenaan.

Melihat kepada perkara ini, tidak syak lagi betapa perlunya umat Islam ini menambah dan mendalami ilmu pengetahuan mengenai perkahwinan dalam pelbagai aspek termasuklah perihal amalan berpoligami. Seni berpoligami dan bagaimana keadilan itu dapat dicapai dalam institusi poligami hanya dapat ketahui dengan mengikuti pengajian, kursus, berkongsi pengalaman dari para suami yang mengamalkan poligami serta menambahkan bahan bacaan berkaitan poligami.

Kes-kes di Mahkamah Syariah yang telahpun diputuskan berhubung poligami dan dilaporkan dalam Jurnal Hukum yang diterbitkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) merupakan rujukan yang penting kepada masyarakat umum. Laporan berkenaan juga tentunya amat bermanfaat kepada orang-orang yang terlibat secara langsung dalam dunia perundangan Islam seperti para hakim syarie, pegawai-pegawai syariah dan para peguam syarie.

Para pengkaji khususnya dari kalangan sarjana dari institusi pengajian tinggi seperti pensyarah dan juga para pelajar merupakan antara kumpulan dalam masyarakat yang memerlukan bahan literasi bagi menyempurna dan melengkapkan kajian akademik mereka.

Melihat kepada peri pentingnya ilmu pengetahuan mengenai institusi poligami, erakita merasakan bahawa bahan rujukan seperti buku-buku berkaitan poligami perlulah dikongsikan kepada masyarakat umum. Berdasarkan pemerhatian umum, buku berkaitan poligami agak sukar untuk ditemui dalam mana-mana perpustakaan di Malaysia dalam bilangan yang mencukupi dalam satu-satu masa. Pengaji terpaksa mendapatkan bahan literatur mengenainya dalam pelbagai tempat. Menyedari hakikat ini, erakita memulakan usaha sejak awal tahun 2000 untuk mengumpul sebanyak mungkin bahan literatur mengenai poligami yang ditulis dan diterbitkan samada di Malaysia, Indonesia dan Selatan Thailand.

Setakat tulisan ini dikemaskini pada 28 Ogos 2021, terdapat 28 buah buku berkaitan poligami yang telah ditemui dan dikumpulkan oleh erakita dari pelbagai kedai menjual buku di merata tempat di Malaysia. Beberapa buah buku khususnya yang ditulis dan diterbitkan di Indonesia diperolehi melalui pembelian melalui Shoppe dalam talian (online).

Berikut adalah senarai buku berkenaan:

  1. Abdul Wahid Baharon (1992), Poligami Menurut Pandangan Islam“, Kuala Lumpur: SABHA-DTP SERVICES SDN BHD (91 halaman).
  2. Abdurrahman Al-Mukaffi (2016), “55 Alasan Isteri Menolak Poligami”, Jakarta: PT Darul Falah (Penerbit Buku Islam Kaffah) (258 halaman).
  3. Abu Fadhil Zakaria (2014), “Poligami Cara Rasulullah”, Selangor: Pustaka Ilmuan (112 halaman).
  4. Abuya Adil Akhyar (2010), “Poligami Tidak Sunnah”  Jakarta: Studia Press (184 halaman).
  5. Adil Akhyar (2014), “Sunnah Poligami: Generasi Awal Islam”, Johor bahru, Johor: Pustaka Azhar (231 halaman).
  6. Ahmad Zawawi Abdullah (2016), “Barakah Kahwin dengan 4 Isteri”, Selangor: Pustaka Ilmuan (162 halaman).
  7. Amran Kasimin (1989), “Salah Guna Poligami: Wanita Menjadi mangsa”, Selangor: Pustaka Al-Mizan (104 halaman).
  8. Anis Rejab (2020), “Aku, Dia & Suami: Mencipta Mawaddah Warahmah Dalam Keluarga Poligami“, Negeri Sembilan: Ultimate Wealthiness (151 halaman).
  9. Fatimah Syarha dan Farhan Hadi (2015), “Kau Terbela Menjadi Muslimah: Cik Abang Sudi Nikah Satu?”, Selangor: Sebarkan Bahagian Resources (199 halaman).
  10. Fauzan Al-Ansari (2007), “Poligami Yes! Selingkuh No!“, Jakarta Timur: Hanif Press (102 halaman).
  11. Hafiz Firdaus bin Abdullah (2014), Cetakan Kedua, “202 Pelajaran Berkenaan Poligami”, Johor Bahru, Johor: Perniagaan Jahabersa (275 halaman).
  12. Hafiz Firdaus bin Abdullah (2014), “Sebarkan Kebenaran-Mu: Catatan-catatan ke atas Novel Sebarkan Cinta-Mu”, Johor Bahru, Johor: Perniagaan Jahabersa (560 halaman).
  13. Hisham Namat (2019), “Isteri-Isteri ku Bercinta“, Selangor: Pertubuhan Poligami Harmoni Malaysia – Harmoni (229 halaman).
  14. Ibrahim Sya’wat dan Abdullah Nasih Ulwan (terjemahan Basri bin Ibrahim) (2004), “Tuduhan Tidak Berasas Terhadap Perkahwinan dan Poligami Rasulullah SAW dan jawapan Terhadapannya”, Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publisher (143 halaman).
  15. Iffah Qanita Nailiya (2016), “Poligami, Berkah Ataukah Musibah?“, Yogyakarya: DIVA Press (148 halaman) .
  16. Imran Yusuf (2007), “Di Bawah Payung Aishah: Tip-Tip Poligami”, Selangor: PTS Islamika dan PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd (150 halaman).
  17. Isham Muhammad al-Sharif dan Muhammad Musfir al-Thawil (tanpa tahun), “Poligami Kebenaran Bersyarat”, Kuala Lumpur: S.A.Majeed & Co Sdn. Bhd (196 halaman).
  18. Jamaah Pengarang Maahad al Idrisi (Tanpa Penulis – versi jawi), (1424H), “Manisnya Madu Poligami“, Pattani: Saudara Press Pattani (72 halaman).
  19. Jenna Hashim (tanpa tahun), “Aku yang Bermadu: Sebuah Kisah Benar Tentang Pahit Manisnya Berpoligami”, Kuala Lumpur: A To Z Publisher (169 halaman).
  20. Khozin Abu Faqih (2007), Cetakan Kedua, “Poligami: Solusi atau Masalah”, Jakarta Timur: Al-I’tishom Cahaya Umat (162 halaman).
  21. Karim Hilmi Farhat Ahmad (terjamahan Juhan Che Yaman) (2008), ”Poligami: Kesenangan atau Kesengsaraan”, Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publication (153 halaman).
  22. Mustaffa Suhaimi (2011), “Poligami Seorang Lelaki Untuk Ramai Perempuan: Monogami Seorang Lelaki Untuk Seorang Perempuan”, Kuala Lumpur: ProgressivePublishing House Sdn. Bhd (170 halaman).
  23. Nor Atiqah Ghazali (1996), “Poligami yang Disalahertikan”, Johor Bahru, Johor: Perniagaan Jahabersa (154 halaman).
  24. Rosnaaini Hamid & Suhanim Abdullah (2019), “Merisik Fakta Poligami“, Sintok Kedah: UUM Press (209 halaman).
  25. (Tanpa Penulis) (2002), “Rahsia Poligami Bahagia”, Selangor: Dowan Creative (M) Sdn. Bhd (80 halaman).
  26. Umi Ahamad (2019), “Panduan Praktikal Piligami Dalam Islam”, Selangor: Risalah Harmono Sdn. Bhd (133 halaman).
  27. Zaini Nasohah (2006), Ulang Cetak, “Poligami”, Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd (86 halaman).
  28. Zaleha Muhamat (2002), “Analisis Poligami Menurut Perspektif Islam”, Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd (132 halaman).

Tidak dinafikan bahawa masih terdapat lagi bahan-bahan rujukan mengenai poligami yang tidak tersenarai sebagaimana di atas. Usaha pengumpulan buku-buku tersebut masih dilakukan secara berterusan mengikut kelapangan dan kesempatan.

Tentunya, buku-buku yang ditulis di negara jiran kita, Indonesia mengenai poligami tidak kurang banyaknya. Demikian juga buku-buku yang ditulis dalam bahasa arab yang diterbitkan di negara-negara Timur Tengah tentunya lebih banyak dari tulisan yang dibuat di negara ini. Terdapat juga kes-kes duluan yang telah dibicara dan diputuskan oleh Mahkamah Syariah di Malaysia yang dilaporkan dalam jurnal perundangan seperti Jurnal Hukum terbitan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).

Semoga Allah memberi kekuatan dan kesempatan kepada erakita untuk mengumpulkan bahan-bahan ini untuk dikongsikan bersama kepada masyarakat umum. Buku-buku ini bermanfaat sebagai bahan rujukan untuk apa-apa kajian yang dilakukan berhubung poligami oleh pelbagai lapisan masyarakat dan khususnya di pusat-pusat pengajian tinggi. 

btr

btr

btr

rbt

btr

btr

btr

btr

IMG_20190208_215552.jpg

wp-1594720342899.jpg

wp-1595586112294.jpg

JANGAN MEROKOK DALAM HOTEL

dav

 

JANGAN MEROKOK DALAM BILIK HOTEL

 

Pendahuluan

Perbuatan merokok adalah amalan manusia yang telah berlangsung sekian lama. Ia telah sebati dalam kehidupan sebahagian besar manusia. Amalan merokok telah disahkan sebagai amalan yang boleh memudaratkan kesihatan tubuh manusia. Dalam konteks Islam, ada pendapat ulama yang mengatakan bahawa merokok adalah hukumnya haram. Ada pula ulama yang berpendapat bahawa perbuatan merokok adalah makruh dan sebaiknya ditinggalkan kerana ia perbuatan yang jelas memudaratkan kesihatan bukan saja kepada perokok itu tetapi juga kepada orang yang terkena asap rokok. Tulisan ini monfokuskan kepada perbuatan merokok dalam hotel, kesan buruk kepada orang lain dan peraturan-peraturan berkaitan larangan merokok di tempat awam. Beberapa cadangan bagi penambah baikan peraturan atau undang-undang yang sedia ada bagi mengekang perbuatan merokok dalam premis hotel turut dibincangkan dalam tulisan ini. Tulisan ini diharap dapat memberi manfaat kepada masyarakat khususnya dalam memahami kesan buruk kepada perbuatan merokok dalam bilik hotel dan anjuran supaya perbuatan ini dapatlah dihindari melalui penguatkuasaan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan.

 

Bau Rokok menyeksakan

Kelihatannya ia hanya perkara kecil tetapi bagi orang lain, ia adalah perkara besar. Seorang perokok barangkali tidak menyedari bahawa apabila ia merokok dalam bilik hotel, orang lain yang akan menggantikannya untuk menyewa bilik berkenaan selepas itu akan menghadapi masalah besar. Masalah akan timbul apabila penyewa sebelumnya mengosongkan bilik itu kerana tempoh penyewaan telah berakhir. Pekerja pembersih atau room service seperti biasa akan mengemaskan bilik tersebut dengan menggantikan keperluan seperti tuala, lapik tilam dan comforter kepada yang baru. Bilik tersebut akan dikemaskan semula bagi membolehkan penyewa baru dapat pula menggunakannya selepas itu.

Setelah bilik tersebut tersedia, penyewa barupun masuk. Sebaik masuk bilik hotel tersebut, masalah mula timbul. Bau rokok yang ditinggalkan oleh penyewa sebelumnya cukup memeritkan dan menjengkelkan. Dalam beberapa minit berada dalam bilik, perasaan menjadi tidak enak. Kepala jadi pusing dan pening akibat terhidu bau rokok yang kuat. Asap rokok telah memenuhi seluruh ruang bilik dan bau rokok telah melekat pada segenap ruang bilik berkenaan. Perasaan gembira sebelumnya bertukar menjadi duka. Bilik yang cantik, luas dan mahal tidak menjamin penghuninya tenang dan bahagia. Mood kegembiraan dan keseronokan yang tinggi boleh bertukar ke tahap paling rendah secara tiba-tiba. Ini angkara bau rokok yang kuat melekat pada segala bahan dalam bilik tersebut seperti tilam, dinding, penghawa dingin dan langsir.

Bau rokok yang sudah memenuhi bilik itu bukannya boleh dihilangkan dalam sejam atau dua jam. Ia memerlukan masa yang panjang untuk hilang. Semuanya bergantung kepada kuantiti asap rokok yang telah melekat pada dinding, langsir dan lain-lain bahan dalam bilik berkenaan. Bagi sesetengah orang, ada yang akan meminta pihak hotel untuk menukarkan bilik yang lain yang tidak ada gangguan bau rokok. Mereka terpaksa berpindah pula ke bilik lain. Jika tidak ada bilik, pilihan yang ada hanyalah samada nak kekal tinggal dalam bilik tersebut atau pindah hotel. Tidaklah mustahil ada yang terpaksa pula pindah ke hotel lain. Barang-barang peribadi seperti bag diangkut sama. Lumayanlah jika wang yang telah dibayar di kaunter hotel tadi dikembalikan semula. Andai tidak dikembalikan, penyewa tersebut terpaksa bertegang mulut pula dengan petugas kaunter atau pihak pengurusan hotel bagi menuntut semula wang sewaan tersebut.

Ketegangan boleh berlaku akibat perasaan yang tidak terkawal. Kesusahan berganda sudah tentu dialami oleh penyewa tersebut kerana bukan saja rugi dari segi masa, ia telah mendapat sakit atau pening kepala akibat bau rokok dalam bilik hotel, wang sewaan yang telah dibayar tunai di kaunter hotel tidak dapat diambil semula, terpaksa pula mencari hotel yang lain. Boleh jadi setelah beberapa jam mencari, baharu mendapat bilik baru di hotel lain. Boleh jadi harga sewaannya lebih tinggi dari yang asal. Bagi penyewa yang membawa bersama ahli keluarga, tidak mustahil keadaan ini boleh menimbulkan selisih faham antara suami dan isteri, ibu bapa dan anak-anak akibat keadaan yang tidak menyenangkan.

Kejadian yang menimpa penyewa tersebut sesungguhnya amat menyedihkan. Kesan dari asap rokok itu telah memudaratkan penyewa hotel tersebut. Kemudaratan ini adalah berpunca dari perbuatan yang dianggap kecil atau tidak langsung ada dalam fikiran penyewa sebelumnya. Penyewa sebelumnya adalah seorang perokok. Ia merokok dalam bilik menurut kemahuannya tanpa memikirkan kesan perbuatannya itu kepada orang selepasnya. Inilah dia perbuatan kecil tapi besar akibat buruknya ke atas orang lain. Perbuatan seperti ini adalah terlarang dalan Islam.

 

Islam Menolak Perbuatan Memudaratkan

Menurut kaedah fekah, perkara yang memudaratkan hendaklah disingkirkan. Rasulullah s.a.w juga ada menegaskan bahawa perbuatan yang kita lakukan itu janganlah memudaratkan diri sendiri dan orang lain. Anjuran untuk menjauhkan dari melakukan kemudaratan dan kerosakan ini telah ditegaskan melalui firman Allah dalam Surah : 195 yang bermaksud:

“Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah dan janganlah kamu menjatuhkan diri kamu sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah, kerana sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik”.

Telah jelas bahawa perbuatan merokok bukan saja memudaratkan si perokok malah ia turut memudaratkan kesihatan orang yang terkena asap rokok. Bila telah jelas kemudaratan dan kerugian ke atas manusia akibat perbuatan merokok, maka dapatlah difahami bahawa tidak ada pilihan lain kecuali meninggalkan amalan merokok.

Dalam konteks hukum merokok, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi hal ehwal agama Islam Malaysia kali ke- 37 yang bersidang pada 23 Mac 1995 telah memutuskan bahawa merokok adalah haram kerana padanya terdapat kemudaratan. Bagi orang yang tidak merokok tetapi terkena asap rokok, mereka menerima kesan buruknya secara langsung. Selain berhadapan dengan risiko terjejas kesihatan, bau rokok tersebut juga tidak bagus dan memeningkan kepala. Tidak hairan mengapa penyewa bilik hotel seringkali menjadi mangsa apabila menyewa bilik hotel yang masih kuat bau rokok dalam bilik berkenaan. Perbuatan si perokok itu telah menyekat kebebasan orang lain untuk menikmati udara yang segar dan bersih.

 

Jadikan Hotel Tempat Larangan Merokok

Justeru, bagi menjamin sebuah hotel itu benar-benar selesa dan terjamin kebersihannya, amat wajarlah kerajaan mewartakan hotel sebagai tempat larangan merokok sesuai dengan kuasa yang diberi dalam Peraturan 22 Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

Adalah dicadangkan agar alat pengesan asap rokok diletakkan pada setiap bangunan termasuklah dalam bilik hotel. Pemasangan alat pengesan asap rokok dalam tandas pesawat kapal terbang boleh dijadikan sebagai contoh terbaik. Melalui alat pengesan asap rokok di bilik, perbuatan merokok penghuni bilik hotel berkenaan akan serta merta dapat dikesan. Pihak keselamatan atau penguatkuasa kesihatan boleh segera dihubungi untuk menahan perokok berkenaan atau mengenakan kompaun ke atas perokok tersebut pada kadar yang telah ditetapkan oleh undang-undang. Ketika ini, larangan merokok di tempat-tempat atau kawasan yang telah diwartakan sebagai kawasan larangan merokok diperuntukkan dalam Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (Pindaan Peraturan 2017). Mengikut peraturan ini, seseorang yang disabitkan bersalah atas kesalahan merokok di kawasan larangan merokok yang telah diwartakan boleh dikenakan kompaun sehingga RM5,000 dan boleh dihukum dengan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

 

Tempat Larangan Merokok

Menurut Peraturan 11 Peraturan-Peraturan kawalan Hasil Tembakau 2004, tempat-tempat yang dilarang merekok adalah seperti berikut:

  • Di dalam mana-mana pusat hiburan atau teater; kecuali mana-mana pub, disko, kelab malam atau kasino, pada bila-bila masa apabila tempat itu dibuka kepada orang awam;
  • Di dalam mana-mana hospital atau klinik;
  • Di dalam mana-mana lif atau tandas awam;
  • Di dalam mana-mana tempat makan atau kedai berhawa dingin;
  • Di dalam mana-mana kenderaan awam atau hentian pengangkutan awam;
  • Di dalam mana-mana bangunan yang dinyatakan oleh Menteri melalui pemberitahuan dalam warta di bawah Peraturan 22;
  • Di dalam mana-mana lapangan terbang;
  • Di dalam mana-mana premis kerajaan;
  • Di mana-mana kawasan yang digunakan bagi apa-apa aktiviti perhimpunan di dalam sesuatu bangunan selain bangunan kediaman atau persendirian;
  • Di mana-mana kawasan di dalam suatu institusi pendidikan atau institusi pendidikan tinggi;
  • Di mana-mana kawasan di dalam suatu taman asuhan kanak-kanak;
  • Di dalam mana-mana bas sekolah;
  • Di mana-mana tingkat yang mempunyai kaunter perkhdimatan di dalam bangunan yang dinyatakan dalam Jadual Kedua. Menurut Jadual Kedua, bangunan yang dimaksudkan adalah meliputi mana-mana bank atau institusi kewangan, Telekom Malaysia Berhad, Tenaga Nasional Berhad dan Pos Malaysia Berhad;
  • Di dalam mana-mana kompleks membeli-belah;
  • Di mana-mana kawasan di dalam suatu stesyen minyak;
  • Di mana-mana kawasan di dalam suatu stadium, kompleks sukan, pusat kecergasan atau gymnasium;
  • Di dalam mana-mana bangunan atau tempat awam yang digunakan untuk tujuan keagamaan;
  • Di mana-mana kawasan di dalam suatu perpustakaan;
  • Di mana-mana kawasan di dalam suatu kafe internate.

 

Larangan Merokok dalam Kapal Udara

Dalam konteks penerbangan udara, larangan merokok dalam pesawat kapal terbang pula diperuntukkan dalam Seksyen 100 Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 (Civil Aviation Regulation 2016). Menurut Seksyen 206 (2) Bahagian B Jadual Ketiga di bawah peraturan tersebut, seseorang yang disabitkan salah kerana merokok dalam kapal udara boleh dihukuman dengan denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya. Menurut laporan dalam Utusan Online pada 28 Mei 2016, seorang peniaga kebab di Perth Australia berumur 46 tahun yang dikatakan seorang perokok tegar telah dihukum penjara 14 hari oleh Mahkamah Majistret Sepang setelah disabitkan atas kesalahan menghisap rokok dalam tandas pesawat Malindo Air dalam penerbangan dari Perth Australia ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

 

Penguatkuasaan Undang-Undang Larang Merokok di Hotel di Indonesia

Berbalik kepada perbuatan merokok dalam hotel, kerajaan bolehlah mengambil langkah serupa yang dilaksanakan di Indonesia dalam menguatkuasakan larangan merokok dalam bangunan dan tempat awam. Berdasarkan laporan akhbar KOMPAS.com, larangan merokok di tempat umum melalui Peraturan Gubenur Nomor 8 Tahun 2010 di Indonesia adalah meliputi bilik hotel. Akhbar itu melaporkan bahawa bilik hotel adalah termasuk tempat umum kerana selain tamu hotel, petugas hotel atau room service juga masuk ke dalam bilik berkenaan.

 

Penutup

Anjuran untuk memasukkan hotel yang meliputi bilik hotel sebagai tempat larangan merokok amat wajar dan sesuai sekali dengan keberadaannya sebagai tempat yang tenang, bersih dan merehatkan badan. Ia tempat penginapan bagi orang yang datang dari jauh atas urusan rasmi mahupun persendirian. Malah sesetengah hotel juga diwujudkan dalam sebuah kawasan pelancongan atau resort. Tentunya tempat-tempat seperti ini akan dikunjungi oleh pelancung yang datang bersama ahli keluarga atau rakan-rakan. Suasana hotel tanpa bau-bauan yang kuat seperti bau rokok atau durian sudah tentu membangkitkan keseronokan dan keselesaan penghuninya sepanjang menginap di hotel tersebut.

dav

IMG_20180723_010106

IMG_20190505_142044.jpg

hdrpl

dav

IMG_20180723_011652_1

IMG_20180723_012845_1

HAK, MANFAAT DAN CABARAN WANITA DALAM POLIGAMI

cof

 

HAK WANITA DALAM POLIGAMI MENURUT SYARIAH, MANFAAT DAN CABARANNYA

 

 Ahadin bin Arinen[1]

 

PENGENALAN

Amalan berpoligami bukan suatu yang baru. Ia telah diamalkan oleh manusia sejak ribuan tahun yang lampau tanpa peraturan, had dan kawalan sebelum datangnya Islam yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Sejarah merekodkan bahawa poligami telah diamalkan secara meluas pada zaman Arab jahiliah sejak 7 Masihi lagi di mana seorang lelaki dikatakan mempunyai isteri yang ramai sehingga 200 orang.[2] Islam tidak membatalkan atau memansuhkan amalan ini. Islam datang untuk membataskan dan meluruskan amalan ini dengan mengenakan peraturan dan syarat-syarat khusus kepada umat Islam. Islam telah membataskan bilangan maksima isteri yang dibolehkan untuk dinikahi kepada 4 orang sahaja. Demikianlah batasan yang Allah syariatkan kepada umat Islam melalui firman Allah dalam surah al-Nisa’ : 3 yang bermaksud:

Dan jika kamu takut tidak akan berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan lain; dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu), maka berkahwinlah dengan seorang sahaja atau kahwinilah hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman (aniaya).

Tulisan ini menfokuskan kepada perbincangan mengenai tiga perkara utama iaitu hak-hak yang disediakan kepada wanita yang terlibat dalam berpoligami, hikmah di sebalik pensyariatan berpoligami dan seterusnya cabaran-cabaran yang dihadapi dalam urusan poligami. Perbincangan mengenai cabaran berpoligami melibatkan tiga pihak yang terlibat secara langsung dengan poligami dalam konteks undang-undang keluarga Islam iaitu Mahkamah Syariah, isteri dan seterusnya pihak suami. Perbincangan terhadap tiga perkara ini dilihat dapat memberikan sumbangan terhadap pertambahan khazanah ilmu berkaitan poligami kepada masyarakat Islam dan bukan Islam. Perbincangan mengenai amalan ini juga dilihat dapat memberi gambaran yang positif terhadap amalan berpoligami dalam Islam dengan mengambil kira aspek undang-undang yang telah dikanunkan dan juga hukum syarak itu sendiri.

 

HAK WANITA DALAM PERKAHWINAN POLIGAMI

Perbincangan terhadap hak wanita dalam perkahwinan berpoligami dibahagikan kepada tiga fasa. Fasa pertama membincangkan mengenai hak wanita khususnya di pihak isteri sebelum berlakunya poligami. Fasa kedua perbincangan tertumpu kepada hak wanita semasa dalam tempoh perkahwinan berpoligami. Seterusnya perbincangan pada fasa ketiga tertumpu kepada hak wanita selepas berlakunya perceraian dalam sebuah perkahwinan berpoligami.

 

Fasa Pertama

Hak sebelum perkahwinan berpoligami.

Salah satu hak seorang isteri apabila suaminya hendak berpoligami adalah isteri mesti panggil ke Mahkamah untuk memberi keterangan mengenai perkahwinan yang bakal dibuat oleh suaminya. Menurut Seksyen 23 (5) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004, salah satu pihak yang mesti dipanggil oleh Mahkamah semasa pendengaran permohonan kebenaran poligami oleh suami adalah isteri. Satu Notis Permohonan yang mencatatkan tarikh pendengaran kes mesti diserahkan kepada isteri tidak kurang dari 2 hari sebelum tarikh pendengaran kes berkenaan. Dalam permohonan berkenaan, isteri dijadikan sebagai pihak Responden.[3] Penyerahan notis hadir ke mahkamah secara ke diri isteri mesti dilaksanakan terlebih dahulu sebelum penyampaian secara gantian samada melalui tampalan notis di rumah atau premis kediaman isteri atau mana-mana premis yang diarahkan oleh mahkamah atau melalui iklan di surat khabar tempatan.

Ini bermakna, sesuatu pendengaran kes bagi mendapatkan kebenaran berpoligami itu tidak boleh diteruskan oleh Mahkamah selagi penyampaian notis berkenaan belum dapat disempurnakan kepada isteri. Semasa pendegaran kes di mahkamah, isteri berhak untuk menyatakan pendiriannya samada bersetuju atau tidak dengan permohonan berpoligami oleh suaminya. Jika isteri menentang, isteri berhak untuk mengemukakan bantahannya dengan menfailkan affidavit bantahan. Beliau berhak untuk mendapatkan khidmat peguam syarie bagi mewakilinya dalam kes berkenaan. Kehadiran isteri semasa pendengaran kes poligami di Mahkamah amat penting bagi membantu Mahkamah meneliti dan menimbang tahap kemampuan dan kelayakan suami untuk berpoligami.

Di Mahkamah, isteri berhak untuk meminta Mahkamah menetapkan pembahagian harta sepencarian ke atas harta-harta yang diperolehi bersama antara suami isteri sepanjang tempoh pernikahan. Lazimnya, harta-harta yang terlibat adalah wang dalam akaun, saham, rumah dan kenderaan. Di samping itu, isteri berhak untuk meminta agar ditetapkan suatu kadar nafkah semasa isteri dan juga anak-anak yang wajib ditunaikan oleh suami apabila berpoligami.

Malangnya, tidak kurang kes di mana isteri enggan hadir di Mahkamah walaupun telah menerima notis panggilan kehadiran. Tindakan isteri ini jelas merugikan isteri kerana ia telah melepaskan peluang dan haknya untuk bersuara samada bersetuju atau tidak dengan perkahwinan tersebut. Isteri juga terlepas peluang untuk meminta Mahkamah mengeluarkan perintah mengenai pembahagian harta sepencarian dan juga penetapan nafkah semasa isteri dan anak-anak.

Perlu ditekankan bahawa tanggapan bahawa jika tidak ada persetujuan isteri, maka permohonan berpoligami suami tidak akan diluluskan merupakan satu kesilapan. Sekiranya isteri tidak hadir sedangkan notis panggilan hadir ke Mahkamah telah berjaya diserahkan kepada isteri, Mahkamah boleh meneruskan pendengaran kes berkenaan. Keterangan suami, bakal isteri dan wali kepada bakal isteri akan diambil sebelum mahkamah membuat keputusan. Jika isteri tidak hadir, suami akan diminta untuk melafazkan sumpah yang dinamakan yamin al istizhar yang terpakai bagi kes-kes yang mana pihak responden atau defendan tidak hadir di Mahkamah. Keputusan akan dikeluarkan selepas semua proses mahkamah selesai disempurnakan.[4] Justeru, adalah satu kesilapan bagi seorang isteri untuk tidak menghadirkan diri ke Mahkamah apabila dipanggil memberi keterangan mengenai permohonan mendapatkan kebenaran berpoligami oleh suaminya.

Jika sekiranya permohonan berpoligami diluluskan dan isteri tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut, isteri masih berhak untuk menfailkan Notis Rayuan di mahkamah yang sama dalam tempoh 14 hari dari tarikh keputusan itu diumumkan.[5] Dalam kes poligami, amat dianjurkan agar isteri menfailkan Notis Rayuan tersebut pada kadar segera. Jika perlu, ia difailkan pada hari yang sama di mana keputusan itu dibuat. Isteri seterusnya perlu menfailkan permohonan bagi menggantungkan perlaksanaan keputusan tersebut bagi mengelak pernikahan itu dijalankan.[6] Tidak ada maknanya notis rayuan difailkan apabila suami telahpun melaksanakan pernikahan dengan bakal isteri berkenaan. Ia hanyalah bersifat akademik semata-mata.

 

Fasa Kedua

Hak setelah suami berpoligami

Wanita yang dikahwini oleh suami dalam suatu perkahwinan yang dilaksanakan tanpa kebenaran berpoligami dari Mahkamah masih mempunyai hak di sisi undang-undang dalam perkahwinan tersebut. Wanita berkenaan berhak mendaftarkan pernikahan tersebut kepada Pendaftar Perkahwinan di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam di negeri di mana pasangan itu tinggal atau bermastautin. Bagaimanapun, proses undang-undang mesti dilalui. Untuk tujuan pendaftaran, perkahwinan tersebut perlulah ditentukan samada sah atau tidak oleh Mahkamah Syariah. Pasangan berkenaan khususnya suami perlu membuat permohonan untuk pengesahan pernikahan tersebut dan jika sah, perintah mendaftarkan perkahwinan tersebut dikeluarkan oleh Mahkamah.

Proses undang-undang tidak terhenti setakat itu. Suami akan didakwa atas kesalahan berpoligami tanpa kebenaran mahkamah[7] manakala isteri baru tersebut pula akan didakwa atas kesalahan bersubahat dengan suami untuk melakukan perkahwinan poligami tanpa kebenaran[8] dan juga kesalahan bernikah tanpa kebenaran pendaftar perkahwinan[9]. Selepas semua proses perundangan ini dilalui, baharulah pernikahan itu didaftar dan sijil pernikahan dikeluarkan oleh Pendaftar Perkahwinan di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam. Jika suami enggan menfailkan permohonan atau menghilangkan diri, wanita berkenaan tidak terhalang untuk menfailkan permohonan untuk mendapatkan pengesahan pernikahan dan seterusnya mendapatkan perintah pendaftaran pernikahan tersebut sekiranya sah oleh Mahkamah. Hanya dengan terdaftarnya pernikahan tersebut, baharulah isteri tersebut bebas untuk menuntut hak-hak sebagai isteri dalam suatu perkahwinan menurut undang-undang dan hukum syarak.

Dalam konteks berpoligami, seorang isteri berhak di sisi undang-undang untuk mendapatkan perintah Mahkamah agar suaminya kembali hidup bersama isteri yang ditinggalkan suami.[10] Justeru, sekiranya suami mengabaikan isteri dengan meninggalkan langsung isteri berkenaan kerana tinggal bersama dengan isteri yang lain, isteri berkenaan mempunyai hak untuk mengambil tindakan undang-undang dengan mendapatkan perintah dari mahkamah bagi memaksa suami kembali hidup dengan isteri berkenaan sesuai dengan syariat agama. Sekiranya suami berkenaan cuai atau masih engkar mematuhi perintah berkenaan, isteri boleh membuat aduan kepada Penguatkuasa Agama di Jabatan hal Ehwal Agama Islam untuk tujuan pendakwaan. Jika disabitkan salah, suami boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya.[11]

Dalam hidup berpoligami, isteri-isteri berhak untuk mendapat layanan yang adil dari suami. Ini sememangnya kewajipan seorang suami dalam sebuah rumahtangga memandangkan salah satu daripada syarat kepada perkahwinan berpoligami sebagaimana yang dinyatakan dalam Seksyen 23 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004 adalah suami mampu berlaku adil kepada isteri-isterinya menurut hukum syarak[12]. Sekiranya isteri tidak diperlakukan secara adil, isteri tersebut berhak di sisi undang-undang untuk melaporkan kepada Penguatkuasa Agama di Jabatan hal Ehwal Agama Islam Negeri untuk tujuan pendakwaan ke atas suami atas kesalahan tidak berlaku adil kepada isteri. Di bawah Seksyen 127 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004, seorang suami yang disabitkan bersalah kerana tidak berlaku adil kepada isteri boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya sekali.[13]

Dalam tempoh perkahwinan secara berpoligami, isteri-isteri berhak untuk menuntut nafkah ke atas suami.[14] Hak tersebut tidak hanya terbatas kepada makan, pakaian dan tempat tinggal sahaja, malah ia turut meliputi aspek-aspek lain seperti perubatan, pelajaran, perkhidmatan dan seumpamanya.[15] Seksyen 60 (1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004 secara jelas memberi kuasa kepada Mahkamah untuk memerintahkan suami untuk memberikan nafkah kepada isteri yang tidak disabitkan nusyuz terhadap suami.

Selain daripada itu, isteri juga berhak untuk mendapat perlindungan daripada suami sebagaimana diperintahkan oleh Allah kepada para suami dalam Surah al Nisa’: 19 yang bermaksud: Allah memerintahkan suami bergaul dengan isteri dengan cara yang baik (ma’ruf). Sesuai dengan firman Allah tersebut, undang-undang secara jelas memberi hak perlindungan kepada wanita semasa suami membuat permohonan untuk mendapatkan kebenaran berpoligami di mahkamah. Seksyen 23 (5) (d) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004 umpamanya menyebutkan bahawa salah satu aspek yang perlu dipertimbangkan oleh Mahkamah ketika meluluskan permohonan berpoligami suami adalah perkahwinan yang dicadangkan itu tidak akan menyebabkan darar syar’ie kepada isteri atau isteri-isteri yang sedia ada. Darar syar’ie menurut tafsiran Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004 adalah merujuk kepada bahaya yang menyentuh isteri mengenai agama, nyawa, tubuh badan, akal fikiran, maruah atau harta benda mengikut kebiasaan yang diakui oleh Hukum Syarak.[16]

Sesuai dengan hak mendapat perlindungan ini,  undang-undang telah memberikan pula hak kepada isteri untuk menuntut pembubaran perkahwinan secara fasakh atas alasan bahawa suami menganiya isteri dengan lazim menyakiti yang menyebabkan hidup isteri menderita akibat tindakan suami itu.[17] Seorang isteri juga berhak untuk melaporkan perbuatan aniaya suaminya termasuk perbuatan menipu isterinya dalam perkara harta si isteri kepada Penguatkuasa Agama di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri untuk tindakan perundangan. Seksyen 128 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004 jelas memperuntukkan bahawa seorang yang disabitkan bersalah kerana menganiaya isteri atau dengan menipu harta isteri boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebih 6 bulan atau kedua-dua sekali. Mahkamah juga boleh memerintahkan pesalah tersebut untuk membayar apa-apa pampasan atas kerugian di pihak isteri atas penipuan harta yang dilakukan oleh suaminya.[18]

Selain hak-hak di atas, isteri yang terlibat dalam perkahwinan poligami juga berhak untuk membubarkan perkahwinannya dengan suaminya di Mahkamah Syariah. Beberapa bentuk pembubaran perkahwinan yang tersedia untuk dipilih oleh isteri sesuai dengan keadaan dan alasan perceraian. Isteri boleh memilih untuk memohon kebenaran bercerai di bawah Seskyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004. Lazimnya, permohonan untuk bercerai di bawah ini dibuat apabila pasangan suami isteri itu sudah tidak ada persefahaman dalam rumahtangga. Suami akan diberi kebenaran oleh Mahkamah untuk menceraikan isteri dengan talaq 1. Proses perceraian akan lebih cepat penyelesaiannya apabila kedua-dua suami dan isteri bersetuju untuk bercerai secara baik.

Ada juga keadaan di mana suami enggan menceraikan isteri sedangkan isteri mempunyai alasan yang kuat untuk mendapatkan perceraian. Dalam situasi ini, isteri boleh menuntut pembubaran perceraian secara fasakh jika terdapat salah satu atau lebih alasan yang dinyatakan dalam Seksyen 53 (1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004. Antara alasan yang sering kali digunakan oleh isteri untuk menuntut fasakh adalah apabila suami cuai atau gagal memberikan nafkah kepada isteri selama tempoh 3 bulan. Selain itu, perbuatan aniaya suami yang sering menyakiti hidup isteri sehingga menyebabkan hidup isteri menderita juga selalu dijadikan alasan utama isteri untuk menuntut fasakh nikah.[19]

Isteri juga boleh menuntut perceraian secara tebus talaq atau khulu’ di bawah Seksyen 49 (1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam. Perceraian secara tebus talaq berlaku apabila telah timbul perasaan benci isteri kepada suami atas sebab kekurangan suami sedangkan suami masih ingin mempertahankan rumahtangga tersebut. Dalam situasi ini, isteri akan membayar sejumlah bayaran yang dipersetujui kedua pihak sebagai tebuskan kepada suami yang melafazkan cerai atas permintaan isteri. Selain pembubaran perkahwinan dengan jalan tebus talaq, seorang isteri yang mendapati dirinya telah dianiaya oleh suami dalam perkahwinan poligami boleh memilih untuk menuntut perceraian secara ta’liq di bawah Seksyen 50 (1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004. Lafaz ta’liq yang dibacakan oleh suami selepas akad nikah dapat dilihat pada catatan di belakang atau di bahagian bawah pada muka hadapan sijil nikah. Jika berlaku perlanggaran terhadap apa yang diucapkan oleh suami itu seperti suami gagal menunaikan nafkah kepada isteri 4 bulan berturut-turut atau suami melakukan aniaya terhadap tubuh badan isteri, maka isteri boleh menuntut perceraian secara ta’liq di Mahkamah.

Selain hak untuk menuntut perceraian sebagaimana diterangkan di atas, seorang isteri dalam perkahwinan berpoligami juga boleh menuntut nafkah diri isteri yang telah tertunggak.[20] Jika telah ada perintah pembayaran nafkah dikeluarkan oleh Mahkamah sebelumnya, isteri boleh menuntut tunggakan nafkah yang tidak dibayar oleh suami termasuk penguatkuasa dan perlaksanaan perintah tersebut. Seorang suami boleh disaman hadir di Mahkamah untuk menjelaskan bayaran tertunggak isteri melalui tindakan saman penghutang penghakiman oleh isteri di Mahkamah.[21] Kegagalan suami melaksanakan perintah tersebut boleh menyebabkan suami dikomitkan ke penjara selama tempoh tidak melebihi 30 hari.[22]

Selain perkara nafkah, isteri juga boleh memohon untuk penguatkuasan dan perlaksanaan perintah ke atas perintah pembahagian harta sepencarian yang telah diputuskan oleh Mahkamah semasa prosiding pendengaran permohonan kebenaran berpoligami oleh suami suatu ketika dulu. Penguatkuasaan perintah ini boleh dibuat apabila suami enggan melaksanakan keputusan mengenai pembahagian harta tersebut seperti enggan menyerahkan harta tersebut kepada isteri dalam tempoh yang ditetapkan oleh Mahkamah.[23] Perlu difahami bahawa apa-apa tunggakan nafkah atau kegagalan penyerahan harta oleh suami kepada isteri sebagaimana diperintahkan Mahkamah boleh dituntut sebagai hutang suami semasa pembahagian harta pusaka suami apabila suami meninggal dunia nanti.[24] Selain daripada itu, isteri yang kematian suami juga berhak di sisi hukum syarak dan undang-undang untuk menuntut bahagian faraid ke atas harta pusaka yang ditinggalkan oleh suaminya apabila suaminya meninggal dunia.[25]

 

Fasa Ketiga

Hak selepas perceraian dalam perkahwinan berpoligami

Kesemua hak yang diberikan oleh hukum syarak dan undang-undang kepada seorang isteri dalam perkahwinan biasa selepas berlakunya perceraian juga dimiliki oleh seorang isteri yang terlibat dalam perkahwinan berpoligami. Tidak ada bezanya. Hak-hak tersebut meliputi  tuntutan nafkah diri tertunggak bagi isteri yang telah diceraikan,[26]nafkah eddah bagi isteri yang diceraikan dengan talaq 1 atau talaq 2,[27] mut’ah atau pemberian sagu hati,[28] harta sepencarian terhadap harta-harta yang diperolehi secara langsung atau tidak langsung dalam tempoh perkahwinan antara bekas suami dan bekas isteri,[29] hak penjagaan anak atau hadanah,[30] hak tempat tinggal isteri di rumah yang isteri biasa tinggal semasa dalam tempoh perkahwinan sementara menanti tamatnya tempoh eddah isteri atau selagi tempoh penjagaan atau hadanah ke atas anak hasil perkahwinan mereka masih belum tamat,[31] nafkah semasa anak[32] dan juga mas kahwin yang belum dijelaskan oleh suami selama tempoh perkahwinan mereka.[33]

 

MANFAAT POLIGAMI

Perbincangan mengenai manfaat perkahwinan secara berpoligami cukup banyak dan panjang. Pelbagai pandangan dan tulisan telah dibuat mengenainya. Bagaimanapun secara ringkasnya, dapatlah dinyatakan beberapa manfaat atau kelebihan ataupun hikmah di sebalik pensyariatan poligami seperti berikut:

 

Untuk mendapatkan zuriat

Ketiadaan zuriat dalam suatu perkahwinan merupakan satu ujian yang besar dalam sebuah rumahtangga. Setelah melalui pelbagai usaha untuk mendapatkan zuriat dan disahkan bahawa pihak isteri tidak mampu melahirkan anak disebabkan mandul atau akibat penyakit tertentu yang menghalang isteri untuk mengandung, maka adalah wajar suami untuk bernikah lagi dengan wanita lain tanpa menceraikan isteri yang sedia ada. Dengan pernikahan secara berpoligami itu, maka dapatlah suami itu merasai nikmat Allah dengan memperolehi zuriat yang boleh menyambung keturunannya sehingga hari kiamat.[34] Seksyen 23 (5) (a) Enakmen Undang-Undang keluarga Islam 2004 memperuntukkan bahawa salah satu pertimbangan yang perlu diberikan oleh Mahkamah dalam memberikan kelulusan berpoligami kepada suami ialah apabila isterinya mandul atau tidak dapat melahirkan zuriat. Mengikut amalan di Mahkamah Syariah, lazimnya isteri tidak membantah permohonan suami untuk berpoligami dengan menggunakan alasan ini.

 

Isteri berpenyakit yang menghalang hubungan kelamin

Terdapat juga keadaan di mana isteri diuji dengan penyakit yang kronik dan sukar disembuhkan sehingga hubungan kelamin antara suami dan isteri tidak dapat dilakukan. Dalam hal ini, hukum syarak dan undang-undang menyediakan ruang kepada suami untuk menyalurkan naluri syhawatnya dengan memberi ruang kepadanya berkahwin lagi dengan wanita yang sihat. Pernikahan baru tanpa menceraikan isteri yang sedia ada dapat mengekalkan keharmonian rumah tangga dan dapat pula menyelamatkan suami daripada menyalurkan hawa nafsunya kepada wanita lain tanpa ikatan pernikahan yang sah. Dengan perkahwinan berpoligami itu, maka terpeliharalah rumahtangga tersebut daripada bencana huru hara dan masyarakat juga akan turut mendapat keamanan kesan dari wujudnya rumahtangga yang tenang dan bahagia. Sebagaimana dalam keadaan isteri mandul, keuzuran jasmani isteri yang tidak memungkinkan persetubuhan suami isteri dapat dilaksanakan merupakan satu alasan yang diterima oleh undang-undang untuk seorang suami berpoligami sebagaimana disebutkan dalam Seksyen 53 (5) (a) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004.

 

Bilangan wanita yang semakin meningkat

Kehilangan nyawa di pihak lelaki akibat peperangan, sengketa, kemalangan di tempat kerja dan pelbagai lagi akibat menyebabkan bilangan wanita akan semakin bertambah berbanding lelaki. Keadaan ini menyebabkan tidak kurang ramainya wanita menjadi janda dan memerlukan perlindungan dan sara hidup. Pernikahan dengan jalan poligami oleh suami dilihat merupakan salah satu cara untuk mengatasi keadaan sukar yang dihadapi oleh balu atau janda tersebut. Pernikahan yang sah seperti ini lebih mulai dan menjadikan kedudukan janda atau balu tersebut dipandang mulia di sisi agama dan manusia sekeliling berbanding terbiar tanpa perlindungan, ke sana sini meminta simpati. Wanita tersebut juga terhindar dari perbuatan terlarang seperti menjual tubuh untuk meneruskan penghidupan bersama anak-anak yang ditinggalkan suami terdahulu.[35]

 

Menghindari Zina

Ada suami yang dikurniakan oleh Allah naluri seksual yang kuat. Melakukan hubungan kelamin dengan seorang isteri tidaklah memadai untuk memenuhi naluri syhwatnya. Dalam keadaan di mana isteri telah mencapai tempoh monopause atau telah berhenti kedatangan haid, naluri seksnya tidaklah lagi seperti zaman sebelumnya. Sering keletihan dan tidak mempunyai keinginan untuk melakukan hubungan kelamin dengan suami tentunya memberikan tekanan tersendiri kepada suami. Keadaan akan menjadi lebih sukar bagi suami yang masih kuat naluri seksualnya apabila isteri semakin lanjut usia dan tidak lagi mampu melakukan hubungan kelamin. Suami yang mempunyai kesihatan yang baik di samping mempunyai kelayakan mencukupi untuk berpoligami mempunyai alasan yang menasabah untuk berpoligami dalam situasi ini. Amalan poligami yang disyariatkan oleh Allah kepada umat Islam dapatlah memberi penyelesaian kepada cabaran dan tekanan seksual suami tersebut lebih-lebih lagi bagi suami yang sering melakukan perjalanan yang jauh untuk urusan kerja dan menetap agak lama di tempat berkenaan.[36] Dengan jalan yang halal dan dilindungi undang-undang, gejala zina dapat dihindarkan. Penyaluran naluri seksual suami pada jalan yang halal melalui poligami dapat mewujudkan ketenangan pada diri suami dan akhirnya melahirkan semangat untuk terus mencari rezeki halal dan melaksanakan ibadah-ibadah yang telah ditetapkan oleh Allah.

Tentunya banyak lagi manfaat atau hikmah di sebalik amalan poligami yang disyariatkan dalam Islam. Bagaimanapun, adalah memadai untuk menyenaraikan beberapa hikmah di atas untuk memberi gambaran kepada umum bahawa ajaran Islam adalah ajaran yang komprehensif dan mengambil kira keperluan zahir dan batin pada manusia. Amalan berpoligami yang telah ribuan tahun telah diamalkan oleh manusia di muka bumi tidak pernah dimansuh atau dibatalkan oleh Islam.

Apa yang dilakukan oleh Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w adalah membataskan amalan ini dengan menggariskan aturan dan syarat-syarat yang tertentu dalam berpoligami agar amalan berpoligami ini benar-benar menepati kehendak dan naluri manusiawi. Dengan pembatasan yang diberikan dengan hanya membenarkan pernikahan kepada bilangan maksima iaitu 4 isteri dalam satu-satu masa, ianya jelas menunjukkan betapa Islam ini mengambil kira segala aspek dalam kehidupan manusia dan menjamin kelangsungan amalan yang yang telah ribuan tahun menjadi amalan manusia dengan cara yang tersusun dan teratur sebegitu rupa bagi mengelak segala bentuk kezaliman atau penindasan khususnya kepada kaum wanita.

 

CABARAN BERPOLIGAMI

Para suami mahupun isteri yang terlibat secara langsung dengan perkahwinan secara berpoligami tentunya mempunyai cabaran tersendiri dalam rumahtangganya. Cabaran bukan saja dihadapi oleh pasangan suami isteri berkenaan, tetapi juga ia turut dihadapi oleh Mahkamah Syariah yang mengendalikan permohonan si suami untuk mendapatkan kebenaran berpoligami. Bagi memudahkan perbincangan, perbahasan mengenai cabaran berpoligami dibahagikan kepada 3 kelompok iaitu di pihak Mahkamah sendiri, isteri dan seterusnya pihak suami.

 

Kelompok Pertama

Mahkamah

Ada kalanya isteri datang secara tiba-tiba ke Mahkamah dan marah-marah kerana tidak berpuas hati dengan perjalanan kes poligami suami di Mahkamah. Isteri mendakwa bahawa beliau tidak dipanggil atau dimaklumkan mengenai permohonan mendapatkan kebenaran berpoligami oleh suaminya. Isteri yang yang mendakwa bahawa Mahkamah bersekongkol dengan pihak suami untuk memberi kebenaran kepada suaminya berpoligami tanpa pengetahuannya. Hal ini ada kalanya menimbulkan suasana tegang. Dalam hal ini, pegawai Mahkamah akan menerangkan kepada si isteri bahawa segala prosedur telah diikuti. Terdapat pengakuan daripada suami melalui Affidavit Penyampaian Saman bahawa suami telah menyerahkan sendiri ke diri isteri Notis panggilan ke Mahkamah. Bagi Mahkamah, apabila telah ada pengakuan melalui Affidavit yang diikrarkan di hadapan Pegawai Mahkamah dan suami pula melaksanakan sumpah istizhar bagi menyatakan kebenaran keterangannya di hadapan Hakim, mahkamah akan meneruskan kes berkenaan dan membuat keputusan atau penghakiman walaupun tanpa kehadiran isteri.

Dalam keadaan suami telah diberi kebenaran berpoligami dan suami telahpun bernikah, isteri yang terkilan tadi masih boleh mengambil tindakan undang-undang kepada suami. Isteri berhak melaporkan kepada Penguatkuasa Agama di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JHEAINS) bahawa suaminya telah membuat keterangan atau penyataan palsu di Mahkamah di bawah Seksyen 101 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1995. Di bawah undang-undang ini, seseorang yang disabitkan bersalah memberi keterangan atau penyataan palsu di mahkamah boleh dihukum dengan denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih dari 6 bulan atau kedua-duanya sekali.[37] Selain daripada itu, suami berkenaan juga boleh didakwa atas kesalahan jenayah kerana membuat perakuan atau penyataan palsu bagi mendapatkan kebenaran berkahwin di bawah Seksyen 38 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004.[38]

Bagi si isteri pula, jika beliau terus mengeluarkan kata-kata cemuhan, tuduhan dan pelbagai kata-kata berupa penghinaan kepada Mahkamah atas dakwaan bahawa Mahkamah bersekongkol dengan suaminya untuk memberi kebenaran berpoligami, maka tindakan undang-undang boleh dikenakan kepada si isteri itu. Satu Notis tunjuk sebab boleh dikeluarkan oleh Mahkamah kepada si isteri tersebut untuk hadir di M dan memberi alasan mengapa beliau tidak dikomitkan ke penjara kerana menghina Mahkamah. Perkara ini dinyatakan dalam Seksyen 229 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2004. Orang yang disabitkan melakukan penghinaan Mahkamah di bawah undang-undang ini boleh dihukum penjara tidak lebih 6 bulan atau denda tidak melebihi RM2,000.

 

Kelompok Kedua

Isteri

Poligami merupakan satu cabaran tersendiri di pihak isteri khususnya isteri yang sedia ada. Keadaan rumahtangga yang tenang boleh bertukar menjadi kecoh apabila suami mula menyatakan hasratnya untuk berpoligami. Adalah suatu yang lumrah bahawa isteri akan menyatakan bantahan terhadap hasrat si suami tersebut. Ada kejadian di mana sebaik isteri menunjukkan bantahannya atau protesnya, suami mula menjauhkan isteri. Suami mula jarang balik ke rumah apatah lagi makan bersama dengan isteri dan anak-anak. Ada situasi di mana suami lebih rela untuk tidur di sofa dalam ruang tamu berbanding tidur dalam bilik kelamin. Hal ini tentunya menimbulkan keadaan yang tidak kondusif dalam rumahtangga dan memberi tekanan yang hebat terhadap perasaan si isteri.

Keadaan keterampilan bakal isteri yang hadir di Mahkamah untuk pendengaran kes poligami juga memberi cabaran dan tekanan tersendiri kepada isteri. Sering kali berlaku kejadian di mana bakal isteri memakai pakaian yang cantik dengan penampilan yang seakan telah bersiap untuk melangsungkan pernikahan. Bakal isteri tampil dengan wang-wangian dengan make up di wajah yang cukup rapi. Si isteri pula hadir dengan penampilan biasa dengan pakaian yang cukup sederhana. Penampilan bakal isteri yang tentunya “jauh lebih menarik” daripada isteri tidaklah baik untuk ditunjukkan di hadapan isteri. Keadaan ini hanya akan menimbulkan perasaan tidak selesa, geram dan sakit hati di pihak isteri terhadap bakal isteri. Sukarlah dibayangkan bagaimana suasana tidak selesa ini terpaksa dihadapi oleh isteri semasa duduk bersama-sama dengan suami, bakal isteri dan wali kepada bakal isteri di ruang menunggu yang terletak di luar kamar hakim sebelum dipanggil memberi keterangan di Mahkamah. Sepatutnya, bakal isteri perlu mengelakkan diri dari membuat penampilan yang berlebihan. Memadailah hadir di Mahkamah dengan pakaian yang sederhana dan sopan bagi mengelak timbulnya perasaan tidak selesa di pihak isteri. Inilah masanya bakal isteri menunjukkan sikap sederhananya dan menzahirkan sikap baiknya kepada isteri. Boleh jadi, suasana ini mampu mengurangkan ketegangan antara isteri dengan suami dan bakal isteri.[39]

Sering juga terjadi kes di mana suami bernikah  tanpa pengetahuan isteri. Lazimnya, suami membawa bakal isteri itu ke Selatan Thailand dan bernikah di pejabat Majlis Agama Islam di negara berkenaan. Pernikahan tersebut hanya diketahui si isteri apabila suami menunjukkan keterangan pernikahannya yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Thailand dan juga perakuan pernikahan oleh Pejabat Konsulat Malaysia di Selatan Thailand. Ada juga kejadian di mana isteri hanya mengetahui pernikahan suami dengan isteri kedua apabila suami menfailkan permohonan pengesahan pernikahan dan perintah pendaftaran pernikahan tersebut di Mahkamah Syariah.

Tindakan suami ini tidak dinafikan boleh menimbulkan tekanan tersendiri di pihak isteri. Ini satu kejutan dan cabaran berat yang terpaksa dihadapi isteri. Sekiranya suami membuat permohonan mendapatkan kebenaran di Mahkamah, dapatlah isteri menyatakan responnya sama ada bersetuju atau tidak. Isteri juga dapat pula menuntut hak-haknya di hadapan Mahkamah semasa pendengaran kes poligami berkenaan seperti pembahagian harta sepencarian, nafkah isteri dan anak-anak serta tempat tinggal isteri dan anak-anak setelah suami bernikah dengan isteri kedua. Dengan tindakan suami menyembunyikan pernikahannya, ia merupakan satu tamparan tersendiri terhadap isteri yang tidak dijangkakan.

Cabaran lain yang terpaksa ditempuh oleh seorang isteri apabila suaminya berpoligami ialah apabila suami sanggup mengugut untuk menceraikan isteri jika isteri tidak bersetuju dengan pernikahan tersebut. Ada kes di mana si suami sanggup menceraikan isterinya di luar mahkamah walaupun kes poligami di Mahkamah sedang berjalan. Suami mengambil jalan mudah untuk melafazkan cerai kepada isterinya untuk mengelak daripada menghadapi tentangan hebat dari isteri terhadap permohonan poligaminya. Setelah tamat tempoh eddah isteri, kes poligami tidak perlu lagi diteruskan kerana keperluan untuk mendapatkan respon atau persetujuan daripada isteri pertama sudah tidak relevan lagi. Suami akhirnya bernikah dengan isteri baru manakala isteri terdahulu sudah diceraikan. Ini antara tindakan suami yang boleh dipersoalkan kerana ia mengambil jalan mudah dengan menceraikan isterinya bagi membolehkan suami berkenaan dapat bernikah dengan bakal isterinya.

Kegagalan suami berlaku adil dalam berpoligami sering kali terjadi. Ada kes di mana isteri menfailkan permohonan perceraian di Mahkamah kerana suami gagal menunaikan kewajipannya memberikan nafkah belanja kepada isteri. Ada juga suami yang terpaksa ke sana sini berhutang dengan orang kerana tidak mempunyai kewangan yang mencukupi untuk menampung perbelanjaan keluarga. Isteri tidak lagi menikmati nafkah sebagaimana yang dinikmatinya sebelum suami berpoligami. Ada juga suami yang memberi keutamaan kepada isteri yang pertama semata-mata untuk menunjukkan bukti kasih sayangnya kepada si isteri dengan menggunakan masa yang lebih banyak untuk tinggal bermalam.

Dalam hal ini, isteri kedua terpaksa menghadapi layanan yang tidak seimbang dari suami berbanding isteri pertama. Tidak hairanlah mengapa ada isteri yang menfailkan tuntutan perceraian secara fasakh di Mahkamah atas kegagalan suami memberikan nafkah melebihi 3 bulan. Menurut Seksyen 53 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004, seorang isteri boleh menuntut fasakh sekiranya suami cuai atau gagal menunaikan kewajiban nafkah kepada isteri selama tempoh 3 bulan. Selain itu, kegagalan suami berlaku adil terhadap isteri dalam berpoligami boleh dijadikan alasan si isteri untuk menuntut fasakh nikah. Bagi isteri yang masih sayangkan rumahtangganya, ia sanggup menempuh hidup derita dengan keadaan yang menimpa daripada mengambil jalan untuk menuntut perceraian di Mahkamah. Ini adalah antara cabaran seorang isteri apabila suaminya berpoligami.

 

Kelompok Ketiga

Suami

Salah satu cabaran besar bagi seorang suami ketika hendak berpoligami ialah ketika menyatakan hasratnya untuk berkahwin lagi. Bukan mudah bagi seorang suami untuk berterus terang dengan isteri dalam hal ini. Ada suami yang takut untuk berterus terang kerana tidak sanggup dimarahi isteri. Justeru, sering terjadi kes di mana suami sanggup berkahwin secara senyap-senyap tanpa pengetahuan isteri. Isteri hanya mengetahui pernikahan itu apabila orang sekeliling mula memperkatakan mengenai perkahwinan suaminya dengan wanita lain. Ada juga isteri yang mengetahui perkahwinan tersebut apabila suami didakwa di Mahkamah Syariah atas kesalahan berpoligami tanpa kebenaran Mahkamah. Dalam situasi seumpaman itu, suami terpaksa berhadapan dengan kemarahan isteri dan keluarga bukan sahaja dari pihak isteri, malah kemarahan juga datang dari keluarga suami sendiri.

Cabaran mula terasa apabila suami menfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran berpoligami di Mahkamah. Ada kes di mana si isteri meninggalkan rumah dengan membawa anak-anak pula ke rumah ibubapa isteri sebaik mendapat Notis Panggilan hadir untuk memberi keterangan mengenai permohonan poligami suaminya di Mahkamah. Walaupun telah menerima Notis Panggilan hadir ke Mahkamah, isteri enggan hadir untuk memberikan keterangan di Mahkamah mengenai kemampuan suami termasuk menyatakan maklum balas samada isteri bersetuju atau tidak dengan permohonan suami untuk berpoligami. Keadaan ini mendatangkan tekanan dan cabaran tersendiri kepada suami berkenaan. Suami berada dalam persimpangan. Samada hendak meneruskan hasrat untuk berpoligami atau kekal dengan isteri yang sedia ada.

Isteri nekad meminta diceraikan sebagai syarat untuk suami bernikah dengan bakal isteri merupakan cabaran yang hebat bagi seorang suami. Hal ini sering kali terjadi apabila isteri hadir di Mahkamah semasa kes poligami didengar di hadapan Hakim. Dalam situasi sedemikian, suami berada dalam kondisi yang begitu sukar. Ada isteri yang menfailkan tuntutan perceraian di Mahkamah sebaik sahaja suami menfailkan permohonan kebenaran berpoligami di Mahkamah. Dalam keadaan seperti ini, ada ketikanya kedua pihak mencapai persetujuan bersama untuk bercerai secara baik dengan talaq 1 di hadapan Mahkamah. Ada juga kes di mana, suami terpaksa menunggu masa yang begitu lama untuk penyelesaian kes poligami di Mahkamah. Tempoh penyelesaian kes yang panjang boleh berlaku apabila permohonan berkenaan dibantah oleh isteri. Isteri sanggup mengambil khidmat peguam syarie bagi mewakilinya. Suami juga sanggup mengambil khidmat peguam bagi mewakilinya. Apabila perbicaraan dijalankan, prosedur perbicaraan di Mahkamah perlu dipatuhi. Kesemua pihak akan diambil keterangan termasuk saksi-saksi jika ada. Ada kes yang mengambil masa untuk penyelesaian sehingga 3 tahun. Jika suami berjaya mendapat kebenaran berpoligami, keadaan rumahtangga yang sedia ada tidak lagi seperti dahulu. Keadaan sudah semakin sukar apabila hubungan antara suami dan isteri semakin longgar jika tidak diperbaiki. Akhirnya, kita menyaksikan rumahtangga berkenaan berakhir dengan perceraian.

Perkahwinan berpoligami tanpa kebenaran Mahkamah merupakan satu lagi cabaran yang berat bukan saja bagi seorang suami tetapi juga kepada isteri baru si suami. Pernikahan tersebut belum dapat dipastikan samada sah atau tidak. Pernikahan itu juga tidak boleh didaftarkan di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam selagi ianya tidak disahkan dan diperintahkan untuk pendaftaran oleh Mahkamah Syariah. Dalam situasi ini, suami perlu melalui proses perundangan dengan membuat permohonan di Mahkamah bagi mengesahkan pernikahan tersebut dan seterusnya mendapatkan perintah mendaftarkan pernikahan itu di Jabatan Agama Islam jika sah menurut hukum syarak.

Sekiranya sah, pendaftaran nikah berkenaan hanya akan dilaksanakan oleh Pendaftar Perkahwinan setelah suami tersebut didakwa dan disabitkan atas kesalahan berpoligami tanpa kebenaran Mahkamah. Menurut Seksyen 23 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004, seorang suami yang berpoligami tanpa kebenaran Mahkamah apabila disabitkan boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebih 6 bulan atau kedua-duanya sekali. Ini bermakna, suami telah mendapat status sebagai pesalah jenayah syariah apabila disabitkan bersalah dengan kesalahan berpoligami tanpa kebenaran Mahkamah.

Tekanan akan lebih terasa apabila pernikahan tersebut diputuskan sebagai tidak sah. Pernikahan tersebut akan difaraq atau dibubarkan. Suami dan pasangan barunya terpaksa berpisah dan tidak dibenarkan oleh hukum syarak dan undang-undang untuk tinggal bersama sebagaimana sebelumnya. Mereka perlu mengikuti proses undang-undang jika ingin hidup sebagai suami isteri. Apa yang perlu dilakukan ialah suami dikehendaki untuk membuat permohonan bagi mendapatkan kebenaran berpoligami daripada Mahkamah Syariah. Bagaimanapun, tidak ada jaminan bahawa permohonan tersebut akan diluluskan oleh Mahkamah. Semuanya bergantung sejauh mana suami layak atau tidak berpoligami.

Selain itu, anak-anak yang lahir dari pernikahan berpoligami tanpa kebenaran Mahkamah akan berhadapan dengan kesukaran apabila anak-anak tersebut tidak dapat dinasab dibin kepada bapa mereka. Lazimnya, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan meletakkan perkataan Abdullah pada bin atau binti si anak tersebut dan mencatatkan perkataan “Seksyen 10” pada bahagian bawah sijil lahir anak berkenaan. JPN akan meminta ibubapa anak tersebut untuk mendapat terlebih dahulu pengesahan nasab anak tersebut di Mahkamah Syariah. Jika anak tersebut diputuskan sebagai anak sah taraf, maka JPN akan membuat perubahan pada sijil lahir anak berkenaan dengan meletakkan bin atau binti anak tersebut kepada bapanya. Sekiranya status anak tersebut diputuskan sebagai anak tak sah taraf, JPN lazimnya akan mengekalkan anak tersebut berbin atau berbintikan kepada Abdullah. Inilah antara cabaran yang terpaksa dihadapi oleh suami dalam berpoligami tanpa kebenaran Mahkamah.

Bukan mudah bagi suami untuk melaksanakan keadilan kepada isteri-isterinya dalam perkahwinan berpoligami. Berlaku adil kepada isteri-isteri dalam rumahtangga bukanlah sesuatu yang mudah. Ia memerlukan ilmu dan pengetahuan yang mendalam terhadap selok belok poligami dalam Islam. Pengetahuan dan pengamalan ajaran agama Islam yang baik amat perlu dimiliki oleh suami selain dari memiliki kesabaran yang tinggi untuk berhadapan dengan sikap isteri-isteri dan juga ujian-ujian lain dalam rumahtangga. Perasaan cemburu yang wujud dalam diri isteri-isteri perlu dihadapi dengan tabah oleh suami. Seni menghadapi dan menangani kecemburuan isteri dengan isteri yang lain perlu dipelajari dan dimiliki oleh suami dalam sebuah rumahtangga agar perkahwinan itu tetap kukuh sehingga ke akhir hayat.

 

PENUTUP

Melihat kepada perbincangan yang dibuat di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ilmu pengetahuan terhadap amalan berpoligami adalah penting untuk dipelajari dan difahami oleh semua orang. Kefahaman yang jelas mengenai poligami dapat menyingkirkan segala salah faham terhadap poligami baik dari kalangan orang Islam sendiri atau dari kalangan bukan Islam. Hak-hak yang disediakan pada seorang isteri yang terlibat dalam perkahwinan berpoligami akan menyedarkan kepada suami untuk lebih bertanggungjawap dan menunaikan sedapat mungkin segala kewajipan yang ditetapkan oleh undang-undang dan hukum syarak. Manfaat amalan poligami yang dijelaskan di atas amat perlu diketahui dan difahami oleh masyarakat agar amalan ini dilihat sebagai suatu amalan yang murni dan benar-benar selari dengan keperluan manusia sepanjang masa.

Tentunya cabaran besar dalam berpoligami tidak dapat dihindarkan. Pengetahuan mengenai cabaran-cabaran yang terpaksa ditempuhi oleh pihak-pihak yang teribat dalam urusan poligami seperti mahkamah dan juga pihak suami dan isteri yang secara langsung beramal dengan perkahwinan berpoligami dapat memberi manfaat yang banyak dan bernilai kepada sesiapa sahaja yang ingin beramal atau hendak mengetahui hal ehwal perkahwinan poligami. Pengetahuan awal dan mendalam mengenai pelbagai aspek dalam amalan berpoligami tentunya akan mewujudkan satu masyarakat yang lebih tersusun, sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan dan terjamin pula hal ehwal kehidupan rumahtangganya dari sebarang bentuk gejala atau perkara yang memudaratkan.

[1] Penulis merupakan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sabah sejak 6 Jun 2013. Pernah memegang jawatan Ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah dari 16 Januari 2012 hingga 6 Jun 2013. Mula bertugas sebagai Hakim Mahkamah Rendah Syariah semenjak 1 Oktober 1996 di Pantai Barat Kota Kinabalu. Sebelum bertugas di Mahkamah Syariah, Penulis pernah beramal sebagai Peguambela dan Peguamcara Mahkamah Tinggi (Sabah & Sarawak) pada tahun 1996. Tulisan ini dibentangkan Persidangan Hak-hak Wanita Dalam Perundangan anjuran Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) yang diadakan di Wisma Wanita, Kota Kinabalu pada 17 April 2018.

[2] Dr. Adil Akhyar LL.M, Sunnah Poligami Generasi Awal Islam, Pustaka Azhar, Johor Bahru, 2014, hal. 193; Lihat juga khozin Abu Faqih, Poligami: Solusi atau Masalah, Al-I’Tishom Cahaya Umat, Cetakan Kedua 2007, 10 Rawamangun, Jakarta Timur, hal. 99.

[3] Lihat misalnya Seksyen 45 Enakmen Tatacara Mal Syariah 2004 yang menyatakan bahawa suatu Notis Permohonan hendaklah disampaikan kepada pihak yang satu lagi tidak kurang dari 2 hari sebelum tarikh pendengaran kes berkenaan melainkan Mahkamah memerintahkan sebaliknya.

[4] Seksyen 121 (2) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah 2004 memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk membuat penghakiman tanpa kehadiran pihak yang dituntut setelah penyampaian saman atau notis permohonan telah berjaya disampaikan kepada pihak tersebut.

[5] Seksyen 139 (4) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah 2004.

[6] Seksyen 144 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah 2004 menyatakan bahawa penfailan Notis Rayuan tidaklah secara otomatik menggantung perlaksanaan suatu keputusan Mahkamah. Ini bermakna, dalam kes di mana notis rayuan telah difailkan, pihak perayu mesti menfailkan Notis Permohonan untuk mendapatkan perintah penggantungan perlaksanaan perintah Mahkamah itu.

[7] Seksyen 124 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004. Hukuman bagi kesalahan berpoligami tanpa kebenaran adalah denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya sekali.

[8] Lihat Seksyen 44 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1995.

[9] Lihat Seksyen 40 Enakmen Undang-Udang Keluarga Islam 2004. Seorang yang disabitkan bersalah di bawah seksyen ini boleh dihukum dengan penjara tidak melebihi 6 bulan atau denda tidak melebihi RM1,000 atau kedua-duanya.

[10] Lihat Seksyen 121 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004.

[11] Lihat Seksyen 127 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004.

[12] Lihat Seksyen 23 (5) (C) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004.

[13] Lihat Seksyen 127 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004.

[14] Lihat firman Allah dalam Sura al Talaq 65:7 “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya”.

[15] Lihat Nor Azizah Hj. Baharom, Wanita dan Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Melaka: Antara Peruntukan dan Tuntutan dalam Wanita dan Undang-Undang Siri 2: Wanita dan Isu-Isu Kekeluargaan, (Penyunting: Che Zuina Ismail & Liziana Kamarul Zaman), Penerbit Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, Selangor, 2013, hal. 30.

[16] Lihat Seksyen 2 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004.

[17] Lihat Seksyen 53 (1) (h) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004.

[18] Lihat Seksyen 128 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004.

[19] Lihat Seksyen 53 (1) (h) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004.

[20] Lihat Seksyen 60 (1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004.

[21] Lihat Seksyen 176 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah 2004.

[22] Lihat Seksyen 181 (1) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah 2004.

[23] Lihat Seksyen 148 hingga 151 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah 2004.

[24] Lihat Seksyen 70 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004.

[25] Lihat Seksyen 11 (3) (b) (viii) & (ix) Enakmen Mahkamah Syariah 2004.

[26] Lihat Seksyen 60 (1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004.

[27] Lihat Seksyen 66 (1) enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004.

[28] Lihat Seksyen 58 (1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004.

[29] Lihat Seksyen 122 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004.

[30] Lihat Seksyen 82 hingga 88, Bahagian VII (Penjagaan) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004.

[31] Lihat Seksyen 72 (1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004.

[32] Lihat Seksyen 73 (1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004.

[33] Lihat Seksyen 59 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004.

[34] Isham Muhammad al-Syarif, Poligami Kebenaran Bersyarat, S.A.Majeed & Co. Sdn Bhd, Kuala lumpur, (tanpa tahun), hal. 176.

[35] Ahmad Zawazi Abdullah, Barakah Kahwin Dengan 4 Isteri, Pustaka Ilmuwan, Rawang Selangor, 2016, hal. 124.

[36] Ahmad Zawazi Abdullah, Barakah Kahwin Dengan 4 Isteri, Pustaka Ilmuwan, Rawang Selangor, 2016, hal. 178.

[37] Lihat Seksyen 101 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1995.

[38] Lihat Seksyen 38 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004. Di bawah Seksyen ini, mana-mana orang yang disabitkan salah memberi akuan atau penyataan palsu bagi mendapatkan kebenaran berkahwinan boleh dihukum dengan hukuman denda sebanyak tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali.

[39] Lihat tulisan Penulis dalam BLOG ERAKITA di bawah tajuk “Bakal Isteri Elak Pakai Lawa di Mahkamahhttps://erakita.wordpress.com/2015/09/02/bakal-isteri-kedua-elak-pakai-lawa-di-mahkama/. Dilihat pada 15 April 2018.

PEMANTAPAN MAHKAMAH ANAK NEGERI: SATU PENGALAMAN MAHKAMAH SYARIAH NEGERI SABAH

PEMANTAPAN MAHKAMAH ANAK NEGERI: SATU PENGALAMAN MAHKAMAH SYARIAH NEGERI SABAH

 

Oleh: Ahadin bin Arinen[1]

7 Mac 2015

PENDAHULUAN

Kewujudan Mahkamah Anak Negeri (MAN) di negara ini merupakan suatu perkara yang boleh dianggap luar biasa. Ini kerana, sukar sekali ditemui di mana-mana negara di dunia ini yang mempunyai sebuah mahkamah adat atau pribumi pada zaman moden yang serba canggih ini. Lebih unik lagi apabila hanya Sabah[2] dan Sarawak[3], kedua-duanya terletak dalam wilayah Malaysia Timur, merupakan dua negeri di Malaysia yang mempunyai mahkamah adatnya sendiri. Dalam konteks Negeri Sabah, kewujudan sebuah mahkamah adat atau pribumi dilihat sebagai sebahagian dari usaha kerajaan meraikan kepelbagaian adat dan budaya lebih dari 30 suku kaum di negeri ini yang telah wujud sekian lama sebelum kemerdekaannya pada tahun 1963. Kini, setelah lebih dari 100 tahun MAN ini, pelbagai usaha telah dan sedang dijalankan untuk memantap dan memperkukuhkan institusi kehakiman adat negeri ini seiring dengan perkembangan zaman. Pengalaman yang dilalui oleh mahkamah-mahkamah kehakiman yang lain seperti mahkamah sivil dan mahkamah syariah turut diambil kira dalam rangka merealisasikan pemantapan mahkamah adat ini.

Tulisan ini membincangkan pengalaman Mahkamah Syariah Negeri Sabah dalam rangka melaksanakan fungsinya sebagai sebuah badan kehakiman bagi melaksanakan keadilan kepada umat Islam di Negeri Sabah. Bagi memantapkan gambaran sebenar mengenai pengalaman yang dilalui oleh Mahkamah Syariah, Penulis memuatkan perbincangan mengenai sejarah kewujudan Mahkamah Syariah Negeri Sabah dan pengkanunan undang-undang bertulis yang terpakai bagi Mahkamah ini. Turut dibincangkan adalah penubuhan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah dan perjawatan. Perbincangan mengenai prasarana dan perkhidmatan yang disediakan di Mahkamah Syariah bagi memantapkan sistem penyampaian perkhidmatannya turut dilakukan. Penulis juga turut memuatkan perbincangan mengenai cabaran-cabaran dan perkembangan mutakhir Mahkamah Syariah Negeri Sabah bagi memperkukuhkan gambaran mengenai pengalaman sebenar Mahkamah ini dalam melaksanakan tugas kehakimannya. Adalah diharapkan bahawa perkongsian pengalaman Mahkamah Syariah tersebut boleh dijadikan sebagai salah satu bahan penting untuk MAN memperkasa dan memantapkan institusi adat negeri ini ke tahap yang lebih baik pada masa hadapan.

PERKEMBANGAN DAN PENGALAMAN MAHKAMAH SYARIAH NEGERI SABAH

Perkembangan undang-undang Islam dan Mahkamah Syariah sebelum merdeka 1963

Perkembangan undang-undang Islam dan penubuhan Mahkamah Syariah di Sabah berkait rapat dengan kewujudan MAN di negeri ini. Penubuhan MAN secara tidak rasmi dikatakan telahpun berlaku sejak tahun 1881 oleh pihak Syarikat Berpiagam Borneo Utara British (SBBUB). Bagaimanapun, penubuhan mahkamah berkenaan berlaku secara rasminya pada penghujung 1800-an apabila SBBUB mula memperkenalkan undang-undang bertulis bagi melicinkan pentadbiran keadilan ketika itu. Undang-undang yang dilaksanakan ketika itu adalah menurut undang-undang diri pribumi. Jika kes berkenaan melibatkan orang Islam, pengadil atau perunding yang dilantik adalah dari kalangan orang Islam yang mahir dalam undang-undang adat dan undang-undang Islam.[4] Mereka dikenali sebagai Ketua Anak Negeri (KAN).

Pengiktirafan terhadap institusi ini semakin terserlah apabila SBBUB memperkenalkan The Village Administration Proclamation 1891. Melalui undang-undang ini, KAN diserapkan dalam pentadbiran kerajaan bagi membantu Majistret mengendalikan pentadbiran undang-undang dan kehakiman.[5] Menariknya, majoriti KAN yang dilantik oleh pihak SBBUB sepanjang tempoh pentadbirannya dari 1881 sehingga 1941 adalah dari kalangan orang-orang Islam. Pada tahun 1915 sebagai contohnya, 8 dari 9 orang ahli Majlis Penasihat Ketua Anak Negeri adalah beragama Islam.[6] Semenjak tahun 1881 sehingga Sabah merdeka pada tahun 1963, undang-undang Islam terus berjalan dan berkembang selari dengan perkembangan undang-undang adat. Antara undang-undang bertulis yang diperkenalkan oleh SBBUB dan kerajaan selepasnya yang ada kaitan dengan undang-undang Islam sepanjang tempoh berkenaan selain The Village Administration Proclamation 1891 adalah Muhammadan Custom Proclamation of 1902, Mohammadan Ordinance 1914, The Native Administration Ordinance 1937, Muslims Ordinance 1953 dan Native Courts Ordinance 1953.[7]

Semasa pendudukan Jepun di Sabah antara tahun 1941 hingga 1945, pentadbiran hal ehwal Islam tetap berjalan. Menariknya, dalam keadaan genting dan tidak menentu, KAN yang majoritinya terdiri dari kalangan orang-orang Islam telah diambil dan dilantik oleh pentadbiran tentera Jepun untuk menjadi Majistret di bawah pengawasan tentera Jepun. Pengalaman berkhidmat dalam kerajaan walaupun singkat di bawah pentadbiran tentera Jepun sedikit sebanyak memberi pengalaman dan pengetahuan tambahan dalam pengurusan pentadbiran keadilan di kalangan mereka yang dilantik.[8]

 

Perkembangan undang-undang Islam dan Mahkamah Syariah selepas merdeka 1963

Sehingga Sabah mencapai kemerdekaan melalui pembentukan Malaysia pada tahun 1963, undang-undang utama bertulis yang terpakai bagi orang Islam di Sabah adalah Muslim Ordinance 1953.[9] Tidak timbul langsung penubuhan Mahkamah Syariah bagi membicarakan kes di kalangan orang-orang Islam. Ini kerana, Ordinan berkenaan tidak memasukkan sebarang peruntukan mengenai penubuhan  Mahkamah Syariah. Tidak sepertimana berlaku di negeri-negeri lain, penubuhan sebuah Majlis Agama Islam yang berfungsi sebagai nadi pentadbiran dan pengurusan hal ehwal Islam yang meliputi aspek perundangan Islam juga tidak diperuntukkan dalam Ordinan tersebut. Dengan kata yang lain, semua kes berkaitan undang-undang Islam dibicara dan diputuskan oleh KAN di Mahkamah Anak Negeri.

Dalam konteks Perlembagaan Negeri Sabah, Islam tidak dimasukkan sebagai agama Negeri Sabah sebagaimana negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia. Hal ini berlaku ekoran permintaan dan desakan pemimpin-pemimpin Sabah khususnya dari kalangan bukan Islam untuk tidak memasukkan Islam sebagai agama negeri dalam Perlembagaan Negeri semasa rundingan pembentukan Malaysia.[10] Perkara ini jelas terkandung dalam memorandum 20 Perkara yang dikemukakan dalam Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) yang menyaksikan bahawa perkara pertama dalam senarai Perkara 20 itu adalah berkenaan hal peniadaan peruntukan agama rasmi atau agama negeri bagi Negeri Sabah.[11] Ketiadaan Islam sebagai agama negeri dalam Perlembagaan Negeri Sabah berlangsung selama 10 tahun bermula dari saat kemerdekaan pada tahun 1963 sehinggalah tahun 1973.[12]

Ketiadaan peruntukan yang memasukkan Islam sebagai agama negeri Sabah dalam tempoh tersebut dilihat memberi kesan yang kurang sihat terhadap perkembangan undang-undang Islam di Sabah. Sementara dikatakan perkembangan agama lain khususnya Kristian dilihat subur, perkembangan Islam pula adalah sebaliknya. Hakikat bahawa tampuk pemerintahan seawal kemerdekaan yang dipegang oleh kebanyakannya pemimpin tempatan dari kalangan penganut Kristian dilihat memberi sumbangan kepada keadaan sedemikian terjadi.[13] Perkembangan Islam pula dilihat mula terserlah apabila Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) ditubuhkan secara rasminya pada tahun 1969. Jawatan Ketua Menteri ketika itu berada dalam pegangan Tun Datu Mustapha bin Datu Harun, yang juga Presiden USNO dan sekaligus Presiden USIA yang pertama. Dominasi orang Islam dalam kepimpinan tertinggi Negeri Sabah di samping tertubuhnya organisasi seperti USIA telah memberi sumbangan penting kepada suburnya gerakan dakwah dan perkembangan Islam di Sabah seawal 1970.

 

Islam Sebagai Agama Rasmi Negeri Sabah

Tarikh 23 September 1973 menjadi detik penting dalam perkembangan Islam di Sabah apabila Dewan Undangan Negeri Sabah meluluskan pindaan terhadap Perlembagaan Negeri Sabah dengan menetapkan Islam sebagai agama rasmi Sabah.[14] Perkara 5(A) Perlembagaan berkenaan menetapkan bahawa Islam menjadi agama rasmi negeri manakala agama-agama lain boleh dianuti dan diamalkan dengan aman dan harmoni di negeri ini. Roh peruntukan yang baru ini adalah sejajar dengan undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan berserta jaminan kebebasan beragama di kalangan rakyatnya.[15] Dari aspek lain, pindaan terhadap Perlembagaan Negeri ini sekaligus mengubah kedudukan asal Islam di Sabah yang sebelumnya tidak diberi tempat dalam perlembagaan sebagaimana termaktub dalam 20 Perkara.[16] Sesungguhnya kedudukan istimewa Islam sebagai agama rasmi negeri telah memberi sumbangan dari segi semangat dan usaha berterusan kepada kerajaan untuk memantapkan undang-undang dan pentadbiran keadilan syariah di Sabah untuk tahun-tahun seterusnya.

Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak Negeri Sabah 1971

Enakmen bagi mengatur dan mentadbir hal ehwal orang-orang Islam Sabah yang pertama diluluskan selepas merdeka adalah Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak Negeri Sabah 1971. Antara tujuan utama Enakmen ini adalah bagi membolehkan kerajaan menubuhkan sebuah badan berkanun Islam yang akan bertanggungjawap sepenuhnya terhadap pentadbiran dan perkembangan Islam di Sabah. Rentetan wujudnya Enakmen ini, akhirnya kerajaan telah menubuhkan Majlis Ugama Islam Sabah secara rasmi pada 25 April 1971.[17] Majlis ini diperlukan untuk mengkaji keperluan bagi penubuhan Mahkamah yang khusus untuk orang-orang Islam di Sabah. Di samping itu, bagi mencapai matlamat ini, satu enakmen yang baru bagi membolehkan penubuhan sebuah mahkamah khas bagi orang-orang Islam yang dinamakan Mahkamah Syariah perlu diwujudkan.

Enakmen 1971 ini tidak mengandungi peruntukan bagi membolehkan penubuhan mahkamah khusus untuk orang Islam iaitu Mahkamah Syariah. Perlantikan hakim atau qadi juga tidak diperuntukkan dalam enakmen ini. Ini bermakna, kedudukan asal sebagaimana amalan pentadbiran undang-undang Islam di zaman sebelum merdeka masih kekal melainkan penubuhan sebuah Majlis Ugama Islam. Enakmen ini antara lainnya hanya memperuntukkan perlantikan mufti, ahli jawatankuasa undang-undang Majlis dan imam-iman. Walaupun imam-imam diberi kuasa untuk menguruskan hal ehwal nikah, cerai dan rujuk, namun kuasa mereka amat terhad. Pertikaian hanya dapat dibicarakan di Mahkamah Anak Negeri memandangkan tiada hakim atau qadi yang dilantik di bawah enakmen tersebut. Beberapa kesalahan jenayah syariah antaranya gagal membayar nafkah, khalwat dan zina terpaksa dirujuk untuk dibicara dan diputuskan oleh Mahkamah Anak Negeri.[18] Kekurangan ketara dalam Enakmen tersebut mendorong kerajaan untuk meneruskan usaha menambahbaik dan meningkatkan kelicinan pentadbiran undang-undang Islam di Sabah dengan memperkenalkan undang-undang yang lebih lengkap dan tersusun selepasnya. Buktinya, Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak 1977 telah diperkenalkan bagi menggantikan Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak 1971.

PENUBUHAN MAHKAMAH SYARIAH NEGERI SABAH

Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak Negeri Sabah No. 15 Tahun 1977

23hb. Disember 1977 menjadi tarikh keramat dalam perkembangan undang-undang Islam di Sabah apabila Dewan Undangan Negeri Sabah meluluskan Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak 1977. Enakmen ini memansuhkan Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak 1971 yang ternyata masih banyak kekurangannya.[19] Enakmen yang mengandungi 109 seksyen ini lebih lengkap berbanding Enakmen terdahulu di mana beberapa peruntukan penting dan bersejarah telah dimuatkan. Antara peruntukan yang besar impaknya terhadap perkembangan pentadbiran undang-undang Islam di Sabah ialah adanya peruntukan yang memberi kuasa kepada Yang Dipertua Negeri Sabah untuk menubuhkan Mahkamah Syariah.[20]

Di bawah Enakmen yang baru ini, terdapat 3 peringkat Mahkamah Syariah iaitu Mahkamah Rayuan Syariah, Mahkamah Qadi Besar dan Mahkamah Qadi. Buat pertama kalinya dalam sejarah apabila Mahkamah Syariah mula beroperasi di Sabah seiring dengan perlantikan Qadi-qadi Mahkamah pada 1hb. Febuari 1978. Dengan kuasa yang diberi Enakmen ini, Yang Dipertua Negeri Sabah telah melantik Datuk Hj. Ahmad bin Idris sebagai Qadi Besar pertama bagi Sabah dan seorang Qadi bagi setiap residensi yang ditetapkan.[21] Terdapat 5 residensi Mahkamah Syariah bagi seluruh Sabah yang terdiri dari Pantai Barat Kota Kinabalu, Pedalaman, Kudat, Sandakan dan Tawau. Antara kathi-kathi yang dilantik dan menjadi perintis kepada nafas baru Mahkamah Syariah Sabah ialah Datuk Hj. Zaman bin Lassim, Pengiran Hj. Daud bin Pg. Ismail, Datuk Hj. Abdul Wahid bin Osman dan Datuk Hj. Mohd. Noor Wahab.[22]

Mahkamah Qadi dan Mahkamah Qadi Besar diberi kuasa sebagai mahkamah mula bicara dengan bidangkuasa yang berbeza.[23] Mahkamah Rayuan Syariah pula berperanan untuk mendengar dan memutuskan kes-kes yang dirayu dari Mahkamah Qadi atau Mahkamah Qadi Besar.[24]

Bagi memantapkan lagi undang-undang ini, pindaan telah dilakukan ke atas Enakmen ini pada tahun 1981. Struktur organisasi Mahkamah Syariah disusun semula dengan masih mengekalkan tiga peringkat Mahkamah iaitu Mahkamah Qadi, Mahkamah Qadi Bahagian dan Mahkamah Rayuan Syariah.[25] Pindaan tersebut telah memansuhkan Mahkamah Qadi Besar dan mengujudkan Mahkamah Qadi Bahagian. Ini bermakna, Mahkamah Qadi Bahagian telah mengambilalih bidangkuasa yang sebelum ini diberikan kepada Mahkamah Qadi Besar. Qadi Besar pula dilantik sebagai Yang diPertua Mahkamah Syariah Negeri Sabah dan tidak lagi membicarakan kes-kes di peringkat mahkamah mula bicara. Qadi Besar hanya mendengar kes rayuan bersama 2 orang ahli penal. Ini bermakna keanggotaan ahli Mahkamah Rayuan Syariah telah dikurangkan dari 7 orang kepada 3 orang sahaja. Ahli penal rayuan itu pula mestilah dianggotai dari kalangan Qadi Bahagian yang tidak pernah mendengar kes yang dirayu itu dari peringkat mula bicara.

Perubahan yang berlaku dalam struktur organisasi Mahkamah Syariah dalam Pindaan 1981 sesungguhnya amat penting dalam memperkemas dan memperkukuhkan institusi Mahkamah Syariah di Sabah. Kewibawaan Qadi yang memegang jawatan penting dalam kehakiman syariah semakin terserlah apabila jawatan berkenaan mula diisi dari kalangan mereka yang berkelayakan dari segi latihan dan akademik. Bermula tahun 1986, jawatan tersebut mula diisi oleh mereka yang mendapat Diploma Pentadbiran Undang-Undang dan Kehakiman Islam (DAIJ) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Petaling Jaya. Yang Arif Ahmad bin Lakim adalah antara generasi baru dengan kelayakan DAIJ telah dilantik menjawat Jawatan Qadi di Pantai Barat Kota Kinabalu pada tahun 1986.[26]Akademik dan latihan di peringkat Diploma Lanjutan di UIAM berkenaan telah mendedahkan para Qadi kepada kemahiran dan ilmu yang mantap bagi menjalankan tugas kehakiman. Tenaga pengajar pula adalah dari kalangan pakar undang-undang baik dari segi akademik mahupun pengalaman memandangkan majoritinya adalah professor undang-undang dan bekas-bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Malaysia yang telah bersara.

Pengukuhan Mahkamah Syariah dan Undang-Undang Islam Sabah

Perkembangan undang-undang Islam di Sabah terus subur apabila satu Jawatakuasa Teknikal Negeri Sabah dibentuk pada tahun 1989. Jawatankuasa ini bertanggungjawap untuk menyemak deraf beberapa enakmen yang telah disediakan oleh Jawatankuasa Teknikal Pusat yang telah dipengerusikan oleh Almarhum Tan Sri Prof. Ahmad Ibrahim di peringkat kebangsaan. Ekoran dari usaha Jawatankuasa Teknikal Negeri Sabah, akhirnya satu lagi sejarah indah dan amat penting bagi perundangan Islam di Sabah apabila Badan Perundangan Negeri Sabah meluluskan 9 Enakmen Hukum Syarak sepanjang tahun 1991 hingga tahun 1995. Undang-Undang tersebut adalah:

  1. Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam No. 7 Tahun 1991
  2. Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam No. 13 Tahun 1992.
  3. Enakmen Mahkamah Syariah No. 14 Tahun 1992.
  4. Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam No. 15 Tahun 1992.
  5. Enakmen Undang-Undang Keterangan Mahkamah Syariah No. 16 Tahun 1992.
  6. Enakmen Undang-Undang Zakat Fitrah No. 06 Tahun 1993.
  7. Enakmen Prosedur Mal Syariah No. 09 Tahun 1993.
  8. Enakmen Prosedur Jenayah Syariah No. 10 Tahun 1993.
  9. Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah No. 03 Tahun 1995.

Kewujudan dan pewartaan Enakmen-Enakmen tersebut telah merubah landskap pentadbiran Islam dan undang-undang Islam di Sabah pada skala yang begitu berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya. Beberapa institusi atau agensi baru telah ditubuhkan oleh kerajaan bagi mentadbir hukum syarak. Berkuatkuasa 1hb. Disember 1995, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah (JKSNS) telah ditubuhkan. Kelahiran JKSNS telah mengambil alih tugas mentadbir mahkamah-mahkamah syariah dari Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) sepenuhnya bermula 1hb. Januari 1996. Kedua-dua jabatan ini diletakkan di bawah kawalan Jabatan Ketua Menteri (JKM). Bagi JKSNS, Jabatan ini diketuai oleh Ketua Hakim Syarie Negeri.[27]

 

Organisasi Baru Mahkamah Syariah Negeri Sabah

Organisasi Mahkamah berubah sekali lagi dengan adanya Enakmen Mahkamah Syariah 1992. 3 peringkat mahkamah masih dikekalkan. Bagaimanapun, gelaran Qadi telah dimansuhkan dan digantikan dengan gelaran dan jawatan Hakim Syarie. Penggunaan gelaran Hakim Syarie sesungguhnya satu lagi usaha yang murni untuk memartabatkan institusi kehakiman Islam ke tempat yang dihormati dan disegani. Gelaran tersebut mempunyai nilai yang tinggi khususnya dalam konteks wibawa, penghormatan dan keberkesanan tugasan kehakiman di mata masyarakat. 3 peringkat Mahkamah Syariah telah berubah menjadi:

  1. Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Sabah
  2. Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sabah
  3. Mahkamah Rendah Syariah Negeri Sabah.[28]

 

Undang-Undang Islam Mutakhir

Usaha memantapkan institusi Mahkamah Syariah dan pentadbiran undang-undang Islam di Sabah tidak terhenti begitu saja. Tidak sampai 10 tahun, usaha untuk memperkemaskan pentadbiran mahkamah syariah dan undang-undang diteruskan lagi. Matlamat utama adalah untuk menjadikan enakmen-enakmen yang sedia ada diseragamkan dengan enakmen-enakmen di negeri-negeri lain di Malaysia. Berikutan itu, bermula 1hb. Jun 2005, beberapa enakmen baru dikuatkuasakan bagi menggantikan enakmen-enakmen yang terpakai di Mahkamah sebelumnya di samping wujudnya beberapa enakmen baru. Enakmen-enakmen terkini yang sedang diguna pakai adalah:

  1. Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam No. 7 Tahun 1991.
  2. Enakmen Undang-Undang Zakat Fitrah No. 06 Tahun 1993.
  3. Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah No. 03 Tahun 1995.
  4. Enakmen Perbadanan Baitulmal No. 11 Tahun 1998.
  5. Enakmen Majlis Ugama Islam Sabah No. 05 Tahun 2004.
  6. Enakmen Mahkamah Syariah No. 06 Tahun 2004.
  7. Enakmen Fatwa Negeri Sabah No. 07 Tahun 2004.
  8. Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam No. 08 Tahun 2004.
  9. Enakmen Tatacara Jenayah Syariah No. 09 Tahun 2004.
  10. Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah No. 10 Tahun 2004.
  11. Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah No. 11 Tahun 2004.

Berdasarkan kepada sinario yang ada, enakmen-enakmen yang terdahulu telah dimansuhkan. Enakmen Majlis Ugama Islam Sabah 2004 sebagai contohnya telah memansuhkan Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam No. 13 Tahun 1992. Ini bermakna selepas tahun 1995, terdapat 3 undang-undang bertulis yang baru diperkenalkan iaitu Enakmen Perbadanan Baitulmal 1998, Enakmen Majlis Ugama Islam Sabah 2004 dan Enakmen Fatwa Negeri Sabah 2004. Dengan perkembangan terbaru ini, kini terdapat sebanyak 11 Enakmen yang berkaitan Pentadbiran dan Undang-Undang Islam di Negeri Sabah iaitu 8 yang terbaru di atas dan 3 yang terdahulu iaitu  Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam No. 7 Tahun 1991, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah No. 03 Tahun 1995 dan Enakmen Undang-Undang Zakat Fitrah No. 06 Tahun 1993.

Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1995 dikekalkan tanpa sebarang pindaan walaupun pada dasarnya, Enakmen berkenaan dilihat perlu diperkemaskan sejajar kelahiran beberapa enakmen lain yang kini lebih segar dan kemas. Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 1992 bagaimanapun masih kekal kuatkuasanya walaupun Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004 telah dilulus dan diwartakan. Justeru, pada ketika ini, terdapat 2 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam di negeri ini yang berkuatkuasa. Tindakan segera adalah perlu untuk memansuhkan enakmen yang terdahulu untuk mengelak kesulitan dalam konteks perlaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang keluarga Islam di negeri ini.

 

PENUBUHAN JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH NEGERI SABAH

Berkuatkuasa 1hb. Disember 1995, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah (JKSNS) telah ditubuhkan. Kelahiran JKSNS telah mengambil alih tugas mentadbir mahkamah-mahkamah syariah dari Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) sepenuhnya bermula 1hb. Januari 1996. Selain JKSNS, sebuah jabatan baru bagi mentadbir dan melaksana segala urusan dan hal ehawal orang Islam di Sabah juga ditubuhkan iaitu Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS). Kedua-dua jabatan ini diletakkan di bawah kawalan Jabatan Ketua Menteri (JKM). Bagi JKSNS, Jabatan ini diketuai oleh Ketua Hakim Syarie Negeri.[29]

Di awal penubuhannya,  Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah dibekalkan dengan 65 jawatan dimana 37 darinya bertaraf sementara. Bilangan jawatan ini ditambah menjadi 75 jawatan pada 1999. Pada tahun  2000, melalui Waran Perjawatan Bil.27/2000, Bil.28/2000. Bil.29/2000, Bil.61/2000 dan Bil.69/2000, Jabatan ini mempunyai 83 jawatan termasuk 11 darinya masih bertaraf sementara.  Mulai 1 November 2002 melalui Waran Perjawatan Bil.33/2004,  Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah dibekalkan sebanyak 88 jawatan bertaraf tetap berikutan penggredan semula beberapa jawatan pada lapisan baru SSM. Jawatan Ketua Hakim Syarie Negeri kemudiannya dinaiktaraf dari Gred LS54 kepada Gred Utama C mulai 1 April 2005 melalui Waran Perjawatan Bil.49/2005. 2 jawatan lagi ditambah melalui Waran Perjawatan Bil.45/2005 menjadikan 90 jawatan kesemuanya.[30]

 PENYERTAAN KE DALAM SKIM PERKHIDMATAN GUNASAMA PERSEKUTUAN

Mahkamah Syariah Negeri Sabah melakar sejarah apabila memasuki Skim Perkhidmatan Gunasama Pegawai Syariah Persekutuan pada 19hb. Jun 2008. Sabah menjadi negeri yang ke-7 memasuki skim tersebut selepas Selangor, Melaka, Perlis, Wilayah Persekutuan,[31] Pulau Pinang dan Melaka.[32] Menariknya ialah, Negeri Sabah adalah satu-satunya negeri yang menyertai skim ini melibatkan semua pegawai dan kakitangan bermula Ketua Hakim Syarie Negeri sehinggalah kakitangan sokongan.[33]

Jika sebelum memasuki Skim Perkhidmatan Gunasama Persekutuan, bilangan waran perjawatan yang diluluskan kerajaan bagi Mahkamah Syariah Sabah hanya 90 jawatan, kini dengan penyertaan dalam Skim Perkhdimatan Gunasama Persekutuan bilangannya bertambah lebih sekali ganda iaitu 214 jawatan.[34] Jawatan Ketua Hakim Syarie Negeri adalah Gred Utama Jusa C manakala 5 jawatan bagi Hakim Mahkamah Tinggi Syariah adalah masing 2 bagi Gred LS52 dan 3 bagi Gred LS48. Selain itu, terdapat lagi satu jawatan penting dalam pentadbiran Mahkamah Syariah dengan Gred LS48 iaitu Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah menjadikan terdapat sebanyak 4 Gred LS48 kesemuanya. Gred LS44 adalah sebanyak 14 di mana 13 daripadanya adalah dikhususkan bagi jawatan Hakim Mahkamah Rendah Syariah dan selebihnya adalah untuk jawatan Pendaftar Kanan Mahkamah Syariah. Pegawai Sulh pula memegang Gred LS41 dengan bilangan sebanyak 13 jawatan.

Sejajar dengan keperluan dan perkembangan semasa, JKSNS dengan kerjasama Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah memulakan usaha pada tahun 2012 ini untuk melaksanakan unjuran semula perjawatan pegawai serta kakitangan JKSNS. Unjuran ini dibuat setiap 5 tahun sekali. Usaha ini melibatkan penaiktarafan gred jawatan Ketua Hakim Syarie dari Gred Utama Jusa C kepada Jusa B. Hakim Mahkamah Tinggi Syarie pula akan dinaiktaraf dari Gred LS52 dan LS48 kepada Jusa C dan LS54. Jawatan Ketua Pendaftar pula akan dinaik taraf dari Gred LS48 kepada LS54. Hakim Mahkamah Rendah Syariah pula akan dinaik taraf dari Gred LS44 kepada LS52 dan sebahagiannya adalah sekurang-kurangnya Gred LS48.

Usaha juga sedang dilakukan untuk menambah dan menaikkan gred jawatan bagi Pegawai-Pegawai Syariah yang terdiri dari Pegawai Sulh, Pendaftar, Timbalan Pendaftar dan Penolong Pendaftar kepada gred yang lebih baik. Jawatan-jawatan lain khususnya melibatkan khidmat pengurusan turut ditambah sesuai dengan pembukaan beberapa mahkamah lagi seperti Sipitang dan Ranau. Jika usaha ini mendapat kelulusan dari pihak kerajaan, bilangan pegawai dan kakitangan Jabatan ini akan bertambah lagi sekurang-kurangnya dalam 250 orang. Keputusan mengenai perkara ini dijangka diperolehi selewat-lewatnya penghujung tahun 2013.[35]

PENAIKAN TARAF MAHKAMAH SYARIAH SETANDING MAHKAMAH SIVIL

Satu sejarah penting bakal tercipta bagi Mahkamah Syariah di negara ini apabila kedudukannya akan berada sama taraf dengan Mahkamah Sivil dari segi perjawatan, emolumen dan lain-lain yang berkaitan. Usaha sedang dijalankan di peringkat Persekutuan bagi menaikkan taraf Mahkamah Syariah dari 3 peringkat kepada 5 peringkat sebagaimana di Mahkamah Sivil.[36] Ketika ini 3 peringkat yang sedia ada adalah Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah. 5 peringkat Mahkamah yang sedang diusahakan adalah:

  1. Mahkamah Rendah Syariah
  2. Mahkamah Tengah Syariah
  3. Mahkamah Tinggi Syariah
  4. Mahkamah Rayuan Syariah Negeri
  5. Majlis Rayuan Syariah

Untuk mencapai tujuan di atas, 2 Akta di peringkat Persekutuan telah dicadangkan iaitu Akta Suruhanjaya Perlantikan Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan Syariah Negeri dan Majlis Rayuan Syariah dan Akta Saraan Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Mahkamah Rayuan Syariah dan Majlis Rayuan Syariah. Kedua-dua Akta yang akan dicadangkan ini memperuntukkan penubuhan Suruhanjaya Pelantikan dan Penetapan Saraan (gaji, elaun, pencen dan faedah-faedah lain) Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Mahkamah Rayuan Syariah Negeri dan Majlis Rayuan Syariah. Kewujudan Suruhanjaya ini akan menjadikan taraf Hakim-Hakim di Mahkamah Syariah bermula Hakim Mahkamah Tinggi Syariah sehingga ke atas akan setaraf dengan Hakim-Hakim di Mahkamah Tinggi Sivil.[37]

 

PEMBANGUNAN MAHKAMAH SYARIAH SABAH

Setakat 1 Mac 2015, terdapat sebanyak 11 buah Mahkamah Rendah Syariah bagi seluruh Sabah. Daerah-daerah tersebut adalah Kota Kinabalu, Papar, Beaufort, Keningau, Kota Belud, Kudat, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Tawau dan Semporna. Kesemua Mahkamah Rendah Syariah di daerah-daerah berkenaan telahpun beroperasi sepenuhnya. Usaha berterusan oleh kerajaan untuk meningkatkan imej dan kewibawaan Mahkamah Syariah Sabah jelas kelihatan apabila beberapa daerah telahpun mempunyai bangunan mahkamah sendiri. Ketika ini, daerah-daerah yang telahpun mempunyai bangunan Mahkamah Syariah adalah Keningau, Beaufort, Lahad Datu, Kinabatangan dan Semporna.

Pembinaan sebuah komplek bangunan Mahkamah Syariah untuk Kota Kinabalu dijangka akan dimulakan pada tahun 2015 di bawah peruntukan bagi Rolling Plan ke-4 dalam Rancangan Malaysia 10. Majlis Pecah Tanah bagi pembinaan kompleks bernilai 63 juta di atas tapak seluas 5 ekar ini telah disempurnakan dengan rasminya oleh YAB Datuk Seri Panglima Musa bin Haji Aman, Ketua Menteri Sabah pada 13 Febuari 2015.[38] Sesungguhnya keadaan pada hari ini adalah jauh lebih baik dan kemas berbanding 20 tahun lampau walaupun tidak dinafikan masih banyak kekurangan dan kelemahan yang boleh diperbaiki pada masa hadapan.

  

VISI, MISI DAN OBJEKTIF JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH NEGERI SABAH

Visi Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah adalah ”Menjadi Institusi Kehakiman Syariah Yang Berwibawa.” Sesuai dengan tugas yang besar untuk memartabatkan perundangan Islam, Jabatan ini mempunyai misi yang penting iaitu melaksanakan pengadilan, pengurusan mahkamah dan perkhidmatan sokongan secara profesional, berkesan dan sistematik berasaskan Hukum Syarak dan peruntukan undang-undang.

Bagi memastikan pelaksanaan misi dan pencapaian visi adalah, Jabatan ini telah menetapkan objektif penubuhannya iaitu:

  1. i) Menyegerakan pengendalian kes-kes Syariah dengan adil, teratur dan berkesan;
  2. ii) Mempertingkatkan pengetahuan dan kemahiran pegawai dan kakitangan dari aspek perundangan dan pengurusan;

iii)     Melaksanakan dengan berkesan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi  (ICT) dalam pentadbiran;

  1. iv) Menyedia dan mempertingkatkan kemudahan infrastruktur yang mencukupi dan terbaik.

OPERASI UTAMA JABATAN

Jabatan ini diketuai oleh Ketua Hakim Syarie yang juga berfungsi sebagai Pengarah Jabatan. Ketua Hakim Syarie mempunyai pejabatnya sendiri yang dinamakan sebagai Pejabat Ketua Hakim Syarie. Bagi melicinkan pergurusan dan pentadbiran, Jabatan ini mempunyai 2 bahagian utama iaitu Bahagian Khidmat Pengurusan dan Bahagian Khidmat Kehakiman.

Dari segi operasinya, Bahagian Khidmat Pengurusan berfungsi bagi menjalankan urusan pentadbiran am, pengurusan sumber manusia, perkhidmatan, perjawatan, pembangunan, perolehan, urusan kewangan dan akaun dan keurusetiaan. Bahagian ini juga menjalankan fungsi-fungsi pengurusan kes-kes rayuan Mahkamah Rayuan Syariah. Bahagian ini diketuai oleh Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan. Ia mempunyai pejabatnya sendiri yang dinamakan Pejabat Ketua Pendaftar.

Bahagian Pentadbiran Kehakiman pula terdiri daripada Mahkamah Rendah dan Tinggi Syariah. Bahagian ini menyediakan perkhidmatan pengurusan kes-kes mal (termasuk pembahagian harta pusaka atau faraid dan hal-hal yang berkaitan dengannya) mengikut bidangkuasa dari peringkat pendaftaran, penyediaan kes, sebutan atau pra-bicara, perbicaraan, pengurusan perintah, pelaksanaan perintah dan pengurusan rayuan. Selain itu, bahagian ini turut menjalankan pengurusan dan kuasa-kuasa pengadilan  kes-kes jenayah Syariah mengikut bidangkuasa dari peringkat pendaftaran, penyediaan kes, sebutan atau pra-bicara, perbicaraan, pengurusan perintah, pelaksanaan hukuman atau perintah dan rayuan.

BIDANGKUASA MAHKAMAH SYARIAH SABAH

Secara umumnya, bagi melihat apakah perkara-perkara yang terletak di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah, rujukan utama boleh dibuat kepada Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang induk dan tertinggi dalam negara. Senarai 2 (Senarai Negeri) Jadual 9, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan seperti berikut:

Kecuali mengenai Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Hukum Syarak dan undang-undang diri dan keluarga bagi orang yang menganut Ugama Islam, termasuk hukum Syarak berhubung dengan mewarisi harta berwasiat dan tak berwasiat, pertunangan, perkahwinan, perceraian, mas kahwin, nafkah, pengambilan anak angkat, tafar anak, penjagaan anak, pemberian, pembahagian harta dan amanah bukan khairat; Wakaf Islam dan ta’arif  serta peraturan mengenai amanah khairat dan khairat agama, perlantikan pemegang-pemegang amanah dan perbadanan bagi orang-orang mengenai pemberian Ugama Islam dan khairat, yayasan, amanah, khairat dan yayasan khairat yang dijalankan, kesemuanya sekali dalam negeri; adat istiadat Melayu; zakat fitrah dan baitulmal atau hasil Ugama Islam yang seumpamanya; masjid atau mana-mana tempat sembahyang awam untuk orang Islam; mengadakan dan menghukum kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh orang-orang yang menganut Ugama Islam terhadap rukun-rukun Islam, kecuali mengenai perkara-perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan, keanggotaan, penyusunan dan acara bagi Mahkamah-Mahkamah Syariah, yang akan mempunyai bidang kuasa hanya ke atas orang-orang yang menganut Ugama Islam dan hanya mengenai mana-mana perkara yang termasuk dalam perenggan ini, tetapi tidak mempunyai bidang kuasa mengenai kesalahan-kesalahan kecuali setakat yang diberi oleh Undang-undang Persekutuan, mengawal pengembangan iktikad dan kepercayaan antara orang-orang yang menganut Ugama Islam; menentukan perkara-perkara hukum Syarak dan iktikad dan istiadat Melayu.

Negeri-negeri diberi kuasa untuk menubuhkan Mahkamah Syariah dan membuat undang-undang khusus untuk orang-orang Islam.[39] Bagaimanapun, undang-undang yang diluluskan melalui Badan Perundangan Negeri tidak boleh berlawanan dengan perkara-perkara yang telahpun disenaraikan dalam Senarai Negeri dalam Perlembagaan Persekutuan itu.[40] Semua negeri di Malaysia termasuk Sabah telahpun mempunyai Mahkamah Syariah sendiri di samping undang-undang yang terpakai bagi orang-orang Islam. Dalam konteks Mahkamah Syariah Negeri Sabah ketika ini, terdapat 3 peringkat Mahkamah yang telah diberi bidangkuasa masing-masing sebagaimana diperuntukkan dalam Enakmen Mahkamah Syariah 2004. Bidangkuasa tersebut dapat dilihat seperti yang dinyatakan di bawah ini.

Bidangkuasa Mahkamah Rendah Syariah[41]

Mahkamah Rendah Syariah mempunyai bidang kuasa di seluruh Bahagian atau Daerah di mana ia ditubuhkan. Mahkamah ini diketuai oleh seorang Hakim Mahkamah Rendah Syariah. Bidangkuasa Jenayah dan Mal bagi Mahkamah ini dinyatakan dalam Seksyen 12 Enakmen Mahkamah Syariah 2004.

(a) Dalam bidang kuasa jenayahnya, Mahkamah Rendah Syariah membicarakan apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh seseorang Islam di bawah Enakmen Majlis Ugama Islam Negeri Sabah 2004, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1995 atau di bawah mana-mana undang-undang bertulis lain yang berkuat kuasa yang menetapkan hukuman maksimum yang diperuntukkan oleh Enakmen-Enakmen itu atau mana-mana undang-undang bertulis lain, tidak melebihi tiga ribu ringgit, atau pemenjaraan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, dan boleh mengenakan mana-mana hukuman Yang diperuntukkan bagi kesalahan itu.

(b) Dalam bidang kuasa malnya, Mahkamah Rendah Syariah mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding yang Mahkamah Tinggi Syariah diberi kuasa untuk mendengar dan memutuskannya, jika amaun atau nilai hal perkara yang dipertikaikan itu tidak melebihi satu ratus ribu ringgit atau yang tidak dapat dianggarkan dengan wang (tidak termasuk tuntutan hadhanah atau harta sepencarian).

Bidang kuasa Mahkamah Tinggi Syariah.[42]

Mahkamah Tinggi Syariah mempunyai bidang kuasa di seluruh Negeri Sabah. Ia diketuai oleh seorang Hakim Mahkamah Tinggi Syariah. Tidak seperti Mahkamah Rendah Syariah, Ketua Hakim Syar’ie Negeri boleh bersidang sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah dan mengetuai Mahkamah itu. Bidangkuasa Jenayah dan Mal bagi Mahkamah ini dinyatakan dalam Seksyen 11 Enakmen Mahkamah Syariah 2004.

(a) Dalam bidang kuasa jenayahnya, Mahkamah Tinggi Syariah membicarakan apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh seseorang Islam dan boleh dihukum di bawah Enakmen Majlis Ugama Islam Negeri Sabah 2004, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1995 atau di bawah mana-mana undang-undang bertulis lain yang berkuat kuasa yang memberi Mahkamah Tinggi Syariah bidang kuasa untuk membicarakan apa-apa kesalahan, dan boleh mengenakan apa-apa hukuman yang diperuntukkan di dalamnya.

(b) Dalam bidang kuasa malnya, Mahkamah Tinggi Syariah mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding jika semua pihak dalam tindakan atau prosiding itu adalah orang Islam. Perkara dalam tindakan atau prosiding itu adalah berhubungan dengan:

 (i) pertunangan, perkahwinan, ruju’, perceraian, pembubaran perkahwinan (fasakh), nusyuz, atau pemisahan kehakiman (faraq) atau apa-apa perkara lain yang berkaitan dengan perhubungan antara suami isteri;

(ii) apa-apa pelupusan atau tuntutan harta yang berbangkit daripada mana-mana perkara yang dinyatakan dalam subperenggan (i);

(iii) nafkah orang-orang tanggungan, kesahtarafan, atau penjagaan atau jagaan (hadhanah) kanak-kanak;

(iv) pembahagian atau tuntutan harta sepencarian;

(v) wasiat atau alang semasa marad-al-maut seseorang si mati yang beragama Islam;

(vi) alang semasa hidup (hibbah), atau penyelesaian yang dibuat tanpa balasan yang memadai dengan wang atau nilaian wang oleh seseorang orang Islam;

(vii) wakaf atau nazr dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya;

(viii) pembahagian dan pewarisan harta berwasiat atau tak berwasiat atau Pelantikan Wasi dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya;

(ix) penentuan orang-orang yang berhak kepada bahagian harta pusaka seseorang si mati yang beragama Islam atau bahagian-bahagian yang kepadanya masing-masing orang itu berhak dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya;

(x) pengisytiharan bahawa seseorang yang telah mati itu ialah seorang Islam atau sebaliknya pada masa kematiannya;

(xi) pendaftaran dan pengambilan anak angkat dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya; dan

(xii) perkara-perkara lain yang berkenaan dengannya bidang kuasa diberikan oleh mana-mana undang-undang bertulis.

 

Bidang Kuasa Rayuan Mahkamah Tinggi Syariah.[43]

Selain berbidangkuasa mengenai perkara-perkara di atas, Mahkamah Tinggi Syariah juga mempunyai bidangkuasa rayuan. Rayuan boleh dibuat kepada Mahkamah Tinggi Syariah daripada apa-apa keputusan sesuatu Mahkamah Rendah Syariah dalam kes jenayah dan mal.

 (a) Dalam bidang kuasa jenayahnya, rayuan boleh dibuat oleh pihak pendakwa atau oleh orang yang telah disabitkan, dan rayuan itu boleh dibuat sama ada terhadap pembebasan, sabitan atau hukuman atau mana-mana satu daripadanya;

(b) Dalam bidang kuasa malnya, rayuan boleh dibuat oleh mana-mana orang yang terkilan dengan keputusan itu dalam mana-mana keadaan berikut:

(i) jika amaun yang dituntut itu tidak kurang daripada satu ribu ringgit;

(ii) dalam semua kes yang melibatkan apa-apa keputusan mengenai taraf diri;

(iii) dalam semua kes yang berhubungan dengan nafkah orang-orang tanggungan;

Bagaimanapun, suatu rayuan tidak boleh dibuat terhadap keputusan yang telah dibuat berdasarkan persetujuan. Mahkamah Tinggi juga boleh mendengar rayuan bagi apa-apa kes lain jika satu kebenaran untuk merayu telah diberikan oleh Mahkamah Tinggi Syariah.

Dalam menjalankan kuasa rayuannya, Mahkamah Tinggi Syariah boleh:

(a) dalam perkara jenayah, menolak rayuan, mensabitkan dan menghukum pihak yang merayu, memerintahkan Mahkamah perbicaraan memanggil pembelaan atau membuat siasatan lanjut, menambah atau meminda hukuman, memerintahkan perbicaraan semula, atau meminda, atau mengakaskan apa-apa perintah Mahkamah perbicaraan; dan

(b) dalam perkara mal, mengesahkan, mengakaskan atau mengubah keputusan Mahkamah perbicaraan, menjalankan mana-mana kuasa yang boleh dijalankan oleh mahkamah perbicaraan, membuat apa-apa perintah yang sepatutnya dibuat oleh Mahkamah perbicaraan, atau memerintahkan perbicaraan semula.

 

Bidang kuasa pengawasan dan penyemakan Mahkamah Tinggi Syariah.[44]

Selain berbidangkuasa mendengar kes-kes rayuan dari Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah juga mempunyai bidang kuasa pengawasan dan penyemakan ke atas semua Mahkamah Rendah Syariah. Bagi melaksanakan kuasa semakan dan pengawasannya, Mahkamah Tinggi Syariah boleh, sama ada atas kehendaknya sendiri atau atas kehendak mana-mana pihak atau orang yang berkepentingan, pada mana-mana peringkat dalam apa-apa perkara atau prosiding, sama ada mal atau jenayah, dalam mana-mana Mahkamah Rendah Syariah, memanggil dan memeriksa mana-mana rekod tentang perkara atau prosiding itu dan boleh memberikan apa-apa arahan yang dikehendaki demi keadilan.  Apabila Mahkamah Tinggi Syariah memanggil rekod sesuatu perkara atau prosiding berdasarkan kuasa pengawasan dan penyemakan, semua prosiding dalam Mahkamah Rendah Syariah tentang perkara atau prosiding itu hendaklah digantung sementara bagi menanti perintah selanjutnya daripada Mahkamah Tinggi Syariah.

 

Bidang kuasa Mahkamah Rayuan Syariah.[45]

Mahkamah Rayuan Syariah adalah Mahkamah tertinggi dan terakhir dalam peringkat rayuan bagi sesuatu kes. Mahkamah ini mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan apa-apa rayuan terhadap apa-apa keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Syariah dalam menjalankan bidang kuasa asalnya. Apabila suatu rayuan daripada sesuatu keputusan Mahkamah Rendah Syariah telahpun diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah, Mahkamah Rayuan Syariah boleh atas permohonan mana-mana pihak memberikan kebenaran untuk memutuskan olehnya sendiri apa-apa persoalan undang-undang berkepentingan awam yang telah timbul dalam perjalanan rayuan itu dan yang keputusannya oleh Mahkamah Tinggi Syariah telah menyentuh keputusan rayuan itu. Apabila kebenaran telah diberikan oleh Mahkamah Rayuan Syariah, ia hendaklah mendengar dan memutuskan persoalan yang dibenarkan dirujukkan bagi keputusannya dan membuat apa-apa perintah yang boleh dibuat oleh Mahkamah Tinggi Syariah, dan yang difikirkannya adil bagi penyelesaian rayuan ini.

 

Bidang kuasa pengawasan dan penyemakan Mahkamah Rayuan Syariah.[46]

Mahkamah ini mempunyai bidang kuasa pengawasan dan penyemakan ke atas Mahkamah Tinggi Syariah dan boleh, sama ada atas kehendaknya sendiri atau atas kehendak mana-mana pihak atau orang yang berkepentingan, pada mana-mana peringkat dalam apa-apa perkara atau prosiding, sama ada mal atau jenayah, dalam Mahkamah Tinggi Syariah, memanggil dan memeriksa mana-mana rekod tentang perkara atau prosiding itu dan boleh memberikan apa-apa arahan yang dikehendaki demi keadilan.

Apabila Mahkamah Rayuan Syariah memanggil rekod tentang apa-apa perkara atau prosiding, semua prosiding dalam Mahkamah Tinggi Syariah tentang perkara atau prosiding itu hendaklah digantung sementara menanti perintah selanjutnya daripada Mahkamah Rayuan Syariah.

 

MENDEPANI PERANAN DAN CABARAN DI MAHKAMAH SYARIAH SABAH

Melalui sejarah yang panjang dan penuh dengan ranjau, Mahkamah Syariah Sabah tidak terlepas dari berhadapan dengan beberapa cabaran khususnya dalam melaksanakan tugasnya sebagai pentadbir dan pelaksana undang-undang Islam. Beberapa perkara menarik yang boleh dikongsi mengenai tindakan dan pendekatan Mahkamah Syariah dalam melaksanakan urusan pentadbiran dan melaksanakan undang-undang Islam.

 

Pembahagian dan Pentadbir Harta Pusaka

Dalam konteks bidangkuasa umpamanya, Mahkamah Syariah Sabah tidak menghadapi masalah untuk menguatkuasakan perintah pembahagian harta pusaka termasuklah perintah perlantikan wasi atau pentadbir bagi harta pusaka simati yang beragama Islam. Sementara Mahkamah Syariah di negeri-negeri lain hanya mengeluarkan Sijil Perakuan Faraid, keadaan sebaliknya berlaku di Sabah. Seksyen 11(3)(b)(vii) Enakmen Mahkamah Syariah 2004 membuka ruang kepada Mahkamah Syariah untuk mendengar dan memutuskan hal pembahagian harta pusaka termasuk perlantikan wasi atau pentadbir.

Menariknya, Mahkamah Awam juga memberi pengiktirafan terhadap perintah pembahagian harta pusaka dan surat pentadbir harta pusaka yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah Sabah. Dalam kes Noh bin Abdul Aziz & Anor lwn Director of Lands and Surveys, Kota Kinabalu & Anor (1999),[47] Responden 1 telah  mempertikaikan Perintah Pembahagian Harta Pusaka yang dikeluarkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Sandakan. Menurut Responden, Pemohon dalam kes ini tidak mempunyai locus standi menfailkan kes di Mahkamah Tinggi Awam memandangkan tidak mempunyai Surat Kuasa Pentadbir yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Awam. Ketika menolak bantahan ini, Yang Arif Richard Malanjun dengan tegas memutuskan seperti berikut:

Dua perintah telah dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah dan Responden Pertama telah gagal untuk menunjukkan bahawa Mahkamah tersebut tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan perintah-perintah tersebut. Sememangnya Responden Pertama tidak boleh berbuat demikian kerana jelas di bawah Seksyen 11(2) Enakmen Mahkamah Syariah No. 14 Tahun 1992, bahawa Mahkamah Rendah Syariah mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan perkara berhubung dengan pembahagian dan pewarisan harta, berwasiat atau tak berwasiat. Selanjutnya Mahkamah sepatutnya berhak bergantung kepada Seksyen 114(e) Akta Keterangan 1950 apabila menerima kesahan perintah-perintah itu. Lebih-lebih lagi adalah tidak salah bagi pemohon-pemohon untuk menghadap Mahkamah Syariah untuk perintah-perintah itu walaupun ia adalah juga di dalam bidang kuasa Mahkamah Sivil. Oleh demikian, tiada merit di dalam bantahan Responden Pertama mengenai locus standi pemohon-pemohon.

Pengiktirafan terhadap bidangkuasa Mahkamah Syariah Negeri Sabah untuk mengeluarkan perintah pembahagian harta pusaka termasuk Surat Pentadbir harta pusaka turut dikongsi oleh seorang pakar perundangan Islam, Prof Mohd Ridzuan Awang. Beliau memberikan pandangannya seperti berikut:

Berdasarkan keputusan di atas, jelaslah bahawa Mahkamah-Mahkamah Syariah di Malaysia tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan surat kuasa wasiat (probet) dan surat kuasa mentadbir bagi harta orang Islam, kerana undang-undang yang berkaitan dengan probet dan surat kuasa tidak ada di negeri-negeri. Undang-undang yang dipakai ialah Akta Probet dan Pentadbiran 1959, kecuali Mahkamah Tinggi Syariah negeri Sabah diberi kuasa di bawah undang-undang negeri bagi membolehkan Mahkamah Tinggi Syariah mengeluarkan surat kuasa tadbir atau wasi bagi harta pusaka orang Islam di negeri ini. Pihak bertanggungjawap sepatutnya memikirkan untuk memperkenalkan undang-undang tersebut atau menyeragamkan peruntukan bidangkuasa mal Mahkamah Tinggi Syariah negeri-negeri dan dalam masa yang sama mengecualikan pemakaian Akta Probet dan Pentadbiran 1959 terhadap orang-orang Islam.[48]

Jelas sekali bahawa Mahkamah Syariah Negeri Sabah telah mendahului Mahkamah Syariah di negeri-negeri lain dalam isu pembahagian harta pusaka orang Islam. Amalan ini telahpun dilaksanakan dari awal penubuhan Mahkamah Syariah di negeri ini tanpa menghadapi masalah yang rumit.

Aplikasi DNA dalam pembuktian

Dalam aspek pembuktian dalam suatu kes di Mahkamah, para Hakim Syarie di Sabah turut membuktikan kewibawaan dan keberanian mereka apabila mereka menerimapakai pembuktian secara saintifik iaitu Deoxyribonucleic Acid (DNA). Beberapa penghakiman berkaitan perkara ini telah dilaporkan dalam Jurnal Hukum yang diterbitkan oelh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia.

Persidangan Pegawai-Pegawai Syariah Semalaysia di Grand Season Hotel, Kuala Lumpur pada bulan Julai 2011 menjadi bukti bersejarah apabila Perdana Menteri Malaysia dalam ucaptamanya menyebut beberapa kes penting dan menarik yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Sabah. Dalam kes  Pendakwa Syarie Negeri Sabah lwn Rosli Abdul Japar (2001)[49] Mahkamah Tinggi Syariah Keningau telah menerima pembuktian menggunakan DNA dalam menentukan nasab anak yang telah dikandung oleh wanita terbabit. Justeru, Mahkamah mensabitkan Tertuduh atas kesalahan persetubuhan haram setelah mengambil kira keputusan ujian DNA dan keterangan-keterangan yang lain.

Dalam kes jenayah antara Pendakwa Syarie Negeri Sabah lwn Mad Ranger (2001),[50] Mahkamah Tinggi Syariah Kota Kinabalu telah menerima pakai keterangan pakar berdasarkan ujian DNA ke atas Tertuduh dan anak yang dilahirkan oleh pasangan wanita Tertuduh dalam kes persetubuhan haram di bawah Seksyen 80 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1995. Keterangan pakar DNA menunjukkan wujud hubungan nasab antara tertuduh dengan anak yang dilahirkan oleh pasangan wanita Tertuduh. Berdasarkan keterangan melalui ujian DNA dan keterangan lain, Mahkamah Tinggi Syariah mensabitkan bahawa Tertuduh bersalah. Keputusan kes ini kini menjadi rujukan para sarjana perundangan Islam termasuk para hakim syarie di Mahkamah Syariah. Justeru, tidak keterlaluan untuk mengatakan Sabah tidak ketinggalan dalam arus perdana dan global bagi mendepani perubahan persekitaran terkini dalam konteks perkembangan undang-undang Islam.

Penulis berpendapat bahawa bilangan kes yang didaftar atau diselesaikan oleh Mahkamah bukanlah satu perkara yang perlu dibanggakan walaupun ia juga merupakan perkara penting. Apa yang penting sebenarnya adalah bagaimana warga dan pejuang undang-undang Islam, khususnya yang terlibat dalam pentadbiran undang-undang jenayah Islam mentadbir undang-undang itu sehingga ianya teratur, kemas, sistematik dan indah. Hal ini boleh dicapai dengan satu sikap yang sentiasa peka dan penuh minat terhadap perkembangan semasa di dunia. Pemakaian peralatan moden seperti DNA dalam pembuktian sesuatu kes merupakan satu contoh di mana warga pejuang pentadbiran keadilan jenayah Islam di Malaysia dan khususnya di Sabah harus mengambil tahu dan mengaplikasinya dalam urusan kes jenayah mahupun mal syariah. Sekurang-kurangnya, hari ini masyarakat Islam mahupun bukan Islam di mana-mana telah membuka mata dan telinga mereka akan keupayaan Mahkamah Syariah mengendalikan kes jenayah Islam dengan menggunapakai kaedah moden dan terkini seperti DNA. Ini satu peluang bagi menunjukkan Islam itu komprehensif, global, semasa, terkini dan sentiasa terbuka menerima apa saja perkara yang baru dan terbaik sesuai selagi ianya tidak lari dari hukum syarak.

Mengenai hal ini, kejayaan sesuatu kes di Mahkamah tidak terletak pada keupayaan dan kesediaan Mahkamah Syariah mengendalikan kes tersebut semata-mata. Mahkamah Syariah tidak dapat berdiri bersendirian. Kejayaan tersebut adalah hasil kerja yang tersusun dan bersepadu di peringkat Penguatkuasaan Agama dan Pendakwaan sebelum kes tersebut dibawa ke Mahkamah Syariah. Secara peribadi, Penulis melihat bahawa tindakan menggunakan DNA dalam pembuktian kes jenayah di Mahkamah Syariah adalah tindakan yang berani dan wajar sekali diberi pujian dan pengiktirafan oleh pihak berkaitan. Ini kerana, kita mencipta sejarah dan impaknya adalah besar sekali dalam konteks perkembangan undang-undang Islam di Malaysia, dan khasnya Sabah.

Hukuman Sebatan Syariah Pertama di Khalayak Ramai

Ketika beberapa negeri di Semenanjung Malaysia menghadapi pelbagai cabaran dalam konteks pelaksanaan hukuman sebat ke atas pesalah jenayah syariah, Mahkamah Syariah di Sabah tidak menghadapi cabaran yang serupa. Tarikh 10 Oktober 2011 menjadi tarikh keramat bagi sejarah perundangan Islam di Sabah apabila buat pertama kalinya seorang pesalah jenayah syariah atas kesalahan melakukan persetubuhan haram di bawah Seksyen 80(1) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1995 telah disebat di Penjara Kepayan. Pelaksanaan hukuman telah disaksikan oleh Hakim-Hakim Syarie Mahkamah Syariah Sabah bersama Pegawai-Pegawai Kanan Penjara.[51]Hukuman ini tidak mendapat bantahan dari mana-mana pihak di samping tidak mendapat liputan meluas dalam media massa.[52]

Tarikh 28 Oktober 2014 menjadi satu tarikh keramat apabila buat pertama kalinya dalam sejarah perundangan Islam di Malaysia, hukuman sebatan syariah yang pertama telah dilaksanakan di khalayak ramai ke atas seorang pesalah lelaki sebanyak 6 sebatan yang telah disabitkan bersalah melakukan persetubuhan haram.[53] Perlaksanaan sebatan yang disaksikan hampir 40 orang terdiri dari para Peguam Syarie yang beramal di Tawau, Pegawai Penjara Tawau, Pegawai Kesihatan Tawau, Pegawai Penguatkuasa Agama, Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Tawau, keluarga pesalah serta pegawai dan kakitangan Mahkamah Syariah Tawau itu dibuat dalam Dewan Terbuka Mahkamah Tinggi Sayariah Tawau.[54] Perlaksanaan hukuman sebat berkenaan bagaimanapun tidak diwar-warkan dalam media massa. Kejayaan perlaksanaan hukuman berkenaan telah mendapat reaksi dan sokongan yang amat positif dan memberangsangkan dari pelbagai pihak dari seluruh negara. Rentetan itu, usaha sedang dilaksanakan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) untuk menyediakan Standard Operating Procedure (SOP) untuk digunakan oleh Mahkamah Syariah di seluruh negara bagi perlaksanaan hukuman sebatan syariah di Mahkamah Syariah.[55]

Majlis Sulh di Mahkamah Syariah (Mediasi)

Bagi mengurangkan penggunaan masa yang panjang dan penggunaan kos serta tenaga yang banyak dalam sesuatu perbicaraan kes, Mahkamah telah melaksanakan satu pendekatan penting dengan merujukkan kes-kes tertentu kepada seorang pegawai sulh.[56] Ketika ini, terdapat seramai 13 orang Pegawai Sulh bagi Mahkamah Syariah di Sabah. Setiap Mahkamah di daerah-daerah ditempatkan seorang Pegawai Sulh. Pegawai sulh berfungsi untuk memanggil kedua pihak yang bertikai untuk membolehkan perundingan dibuat dan seterusnya mencapai persetujuan. Persetujuan yang direkodkan akan dibawa ke hadapan Hakim Syarie untuk diendoskan dan seterusnya diistiharkan sebagai perintah Mahkamah atas persetujuan. Proses yang dinamakan sebagai Majlis Sulh ini amat memberangsangkan. Lebih dari 50 peratus kes yang dirujuk ke Majlis Sulh ini berjaya diselesaikan melalui perundingan dan persetujuan. Proses yang tidak memerlukan khidmat peguam ini sesungguhnya telah memainkan peranan penting untuk mengelak berlakunya penangguhan kes yang banyak serta perbicaraan yang panjang di mahkamah. Ada ketikanya pihak-pihak yang menyatakan persetujuan awal mengenai suatu tuntutan dibawa terus kepada Pegawai Sulh pada hari yang sama di mana kes berkenaan didaftarkan di Mahkmah. Jika Hakim bersedia untuk endosmen persetujuan, kes berkenaan boleh diselesaikan pada hari yang sama ianya didaftarkan.[57] Bagi memantapkan perjalanan Majlis Sulh, satu kaedah yang dinamakan Kaedah-Kaedah Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Sulh) 2010 telah luluskan dan diwartakan pada 1 Julai 2010.

Bahagian Sokongan Keluarga (BSK)

Satu lagi unit penting dalam Mahkamah Syariah adalah Biro Sokongan Keluarga (BSK).  Unit ini dilancarkan di peringkat kebangsaan pada 22 Oktober 2008. Objektif utamanya adalah bagi memastikan perintah nafkah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah dapat dikuatkuasakan. Dalam konteks Mahkamah Syariah Sabah, BSK telah memainkan peranan penting bagi membantu pihak-pihak yang bermasalah untuk mendapatkan nafkah dari suami atau bekas suami sebagaimana yang telah diperintahkan oleh Mahkamah. Kerajaan Persekutuan sejak tahun 2010 lagi telahpun memperuntukkan sebanyak RM200,000 geran pendahuluan kepada Mahkamah Syariah Sabah. Geran ini digunakan untuk memberi wang pendahuluan kepada pihak isteri atau bekas isteri bagi tempoh 6 bulan sementara menunggu tindakan pelaksanaan perintah mahkamah diselesaikan sepenuhnya. Wang pendahuluan ini disalurkan terus ke dalam akuan penerima. Wang tersebut nanti akan dituntut oleh BSK ke atas suami atau bekas suami setelah berakhirnya tempoh 6 bulan.

Sejak dana ini mula disalurkan pada kepada penerima pada 2 April 2013, seramai 18 penerima telah berjaya menikmati dana berkenaan yang kebanyakannya terdiri dari ibu-ibu tunggal manakala seramai 8 orang pemohon sedang dalam proses penyaluran dana setakat 7 September 2014.[58] Usaha sedang digiatkan untuk menghebahkan kewujudan unit ini kepada masyarakat di Negeri ini termasuk mengadakan pameran, ceramah dan juga slot khas di Radio dan Television. Sesungguhnya kewujudan BSK amat penting untuk menaikkan lagi imej Mahkamah Syariah di mata masyarakat khususnya dalam memastikan pihak-pihak menikmati haknya di sisi syarak dan undang-undang.[59]

Sistem Pengurusan Kes Mahkamah Syariah (SPKMS)

Sejajar dengan perkembangan teknologi maklumat yang semakin canggih, Mahkamah Syariah tidak terlepas dari turut menggunakan sepenuhnya kemudahan ICT. Sehubungan itu, satu kaedah yang menggunapakai kemudahan ICT yang dinamakan sebagai Sistem Pengurusan Kes Mahkamah Syariah (SPKMS) telah diperkenalkan. Antara kemudahan yang disediakan oleh system yang beraplikasikan web ini adalah pendaftaran kes, penjadualan perbicaraan, kutipan dan pengeluaran resit, pertanyaan, carian maklumat kes, merekod keputusan penghakiman, statistik dan laporan kes. Selain itu, kemudahan ini juga memantau perjalanan kes bagi setiap hakim atau pendaftar Mahkamah di seluruh negara.

Fungsi-fungsi bagi SPKMS  adalah seperti berikut[60]:

  1. Pendaftaran kes jarak jauh di mana orang awam boleh mendaftar kes dari mana-mana mahkamah syariah daerah yang berada di dalam negeri berkenaan.
  2. Apabila suatu kes baru didaftar, sistem membolehkan pengguna untuk mengesan profil peribadi individu yang pernah mendaftar kes di mana-mana mahkamah syariah sebelum ini. Ini bertujuan untuk mengelak kemasukan data dua kali ke dalam sistem. Pengguna boleh membuat carian berdasarkan kad pengenalan terhadap pelanggan mahkamah yang pernah mendaftar kes sebelum ini.
  3. Peringatan dan mesej amaran dihantar kepada pendaftar dan hakim sekiranya terdapat kes yang masih belum selesai dalam tempoh masa yang ditetapkan.
  4. Sistem boleh mengagihkan kes secara automatik kepada para hakim untuk mengimbangi bebanan tugas.
  5. Sistem dilengkapkan dengan fungsi pengesanan fail yang mengandungi maklumat-maklumat seperti nombor kes, lokasi dan peminjam. Fungsi ini bertujuan untuk meminimumkan kehilangan fail kes dan membantu pegawai mahkamah mengesan fail-fail dengan lebih cepat dan berkesan.
  6. Sistem akan disertakan dengan Modul Sistem Kutipan di mana ia menyediakan fungsi penyediaan resit secara dalam talian untuk membantu proses pengutipan bayaran dan fi mahkamah seperti denda, deposit dan bayaran pendaftaran kes. Walau bagaimanapun, apabila talian sistem terganggu, Sistem Kutipan Luar Talian disediakan untuk menjalankan fungsi-fungsi seperti di atas.
  7. Aspek keselamatan sistem juga telah dipertingkatkan. Hanya pegawai yang layak dan diberi kebenaran sahaja berhak untuk mengakses maklumat kes yang sulit. Fungsi Audit traildisediakan untuk mengesan penggunaan sistem termasuk akses baca, ubahsuai dan padam kes.

SPKMS yang telah memasuki versi ke-2 ini juga telah dihubungkaitkan dengan agensi-agensi kerajaan lain melalui modul System Links untuk penyeragaman maklumat. Antara agensi-agensi kerajaan yang terlibat dengan System Links adalah seperti berikut:

  1. Jabatan Pendaftaran Negara (JPN);
  2. Polis Diraja Malaysia (PDRM);
  3. Jabatan Imigresen Malaysia (JIM);
  4. Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU); dan
  5. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

System Links antara Mahkamah Syariah dan agensi-agensi kerajaan mewujudkan hubungan penyeragaman maklumat secara sehala dan dua hala untuk meningkatkan prestasi kerja antara agensi-agensi tersebut.[61]

Penerbitan Penghakiman dalam Jurnal Perundangan

Mahkamah Syariah di Malaysia tidak ketinggalan untuk mengikut jejak langkah Mahkamah Sivil dalam usaha mengumpul dan menerbitkan penghakiman yang dibuat oleh Hakim-Hakim di Mahkamah Syariah. Sebagaimana yang berlaku di Mahkamah Sivil, penghakiman yang diterbitkan adalah keputusan-keputusan yang dibuat oleh Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan Syariah dan Mahkamah Tinggi Syariah. Penerbitan penghakiman di Mahkamah Syariah bermula pada tahun 1980 oleh Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS), Jabatan Perdana Menteri yang kini dikenali sebagai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sehingga tahun 2003 pada jilid ke-16. Bagaimanapun, dengan penubuhan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) pada tahun 1998, penerbitan tersebut telah dikendalikan sepenuhnya oleh JKSM bermula tahun 2004 pada keluaran Jilid ke-17. Jurnal yang diterbitkan sekurang-kurangnya 2 kali dalam setahun ini bukan saja diedarkan di dalam negara tetapi juga di luar negara, termasuklah perpustakaan universiti-universiti terkemuka dunia seperti Harvard Universiti di Amerika Syarikat. Penghakiman di Mahkamah Syariah turut dilaporkan dalam sebuah lagi jurnal undang-undang yang diterbitkan oleh LexisNexis dalam Syariah Law Report untuk edaran dalam dan luar negara.[62] Beberapa penghakiman oleh hakim-Hakim Mahkamah Tinggi dan Rayuan Syariah di Negeri Sabah telahpun dimasukkan dalam jurnal-jurnal berkenaan.

Perlantikan Hakim Syarie Wanita di Sabah

Setelah hampir 36 tahun Mahkamah Syariah ditubuhkan di Negeri Sabah, seorang wanita dari kalangan Pegawai Syariah yang juga merupakan anak watan Negeri Sabah telah dilantik secara rasminya sebagai Hakim Syarie pada bulan Jun tahun 2014.  Perlantikan oleh Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sabah ini merupakan salah satu pengiktirafan tertinggi terhadap sumbangan wanita dalam perkhidmatan awam. Perlantikan ini sesungguhnya merupakan batu loncatan untuk lebih ramai lagi wanita di negeri ini dilantik sebagai Hakim Syarie. Ini tentunya satu lagi pencapaian yang membanggakan bagi Mahkamah Syariah Negeri Sabah dalam konteks menaikkan imej institusi kehakiman Islam ini sebaris dengan institusi kehakiman yang lain.[63]

Kewibawaan Hakim Syarie wanita untuk mengendalikan kes di Mahkamah Syariah tidak perlu diragui. Ini kerana, semua Pegawai Syariah samada lelaki atau wanita telahpun mengikuti kursus dan latihan khas dalam bidang pentadbiran dan kehakiman Islam selama 1 tahun di universiti tempatan. Salah satu kelayakan untuk diterima sebagai Pegawai Syariah dalam perkhidmatan kehakiman selain memiliki Ijazah dalam Sarjana Muda Syariah adalah seseorang itu mestilah memiliki Diploma Lanjutan Pentadbiran Undang-Undang dan Kehakiman Islam (DAIJ) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) atau mana-mana universiti yang diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPAM). Sebelum dilantik sebagai Hakim Syarie, pegawai berkenaan perlulah terlebih dahulu dilantik sebagai Pendaftar Mahkamah, Pegawai Sulh, Pegawai Penyelidik, Pendakwa Syarie, Peguam Syarie di Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) atau Peguam Syarie di Jabatan Bantuan Guaman (JBG)).

Peguam Syarie di Mahkamah Syariah Sabah

Penglibatan Peguam Syarie di dalam pengendalian kes-kes di Mahkamah Syariah semakin dirasai kepentingannya. Sehingga kini, lebih dari 60 Peguam Syarie telah diterima masuk dan beramal di Mahkamah Syariah di seluruh Sabah. Kebanyakan Peguam Syarie ini adalah pengamal undang-undang di Mahkamah Sivil lulusan Sarjana Muda Undang-Undang (LL.B) dari dalam dan luar negara. Terdapat juga dari kalangan mereka yang berkelulusan double degrees iaitu Sarjana Muda Undang-Undang (LL.B) dan Syariah. Turut berkelayakan untuk diterima sebagai Peguam Syarie adalah dari kalangan mereka yang berkelulusan Syariah dan Undang-Undang (BA. Shariah) samada dari Universiti tempatan atau luar negeri.

Boleh dikatakan hampir setiap hari khidmat Peguam Syarie digunakan dalam pelbagai kes di Mahkamah Syariah Negeri Sabah. Keadaan ini amat positif dalam konteks membantu para hakim dalam melicinkan perjalanan kes terutama sekali bagi kes-kes melibatkan perbicaraan penuh.[64] Peranan Peguam Syarie di negeri ini juga semakin terserlah dengan kewujudan dua (2) persatuan peguam Muslim di Sabah iaitu Persatuan Peguam Muslim Sabah (AMAL) dan Persatuan Peguam Wanita Muslim Sabah (SALWA). Pembukaan perkhidmatan Klinik Guaman yang dikendalikan secara percuma oleh Peguam Syarie di Bangunan Mahkamah Syariah Tawau setiap hari jumaat adalah salah satu peranan penting para peguam syarie untuk bersama masyarakat Islam dalam memperkasa perundangan Islam di negeri ini.[65]

PEMANTAPAN MAHKAMAH ANAK NEGERI (MAN)

Melihat kepada perkembangan yang berlaku di Mahkamah Syariah hari ini sebagaimana yang dibincangkan di atas dalam konteks menaikkan imej serta kualiti perkhidmatan kepada orang awam, adalah menjadi harapan bahawa MAN juga akan turut serta merasai perkembangan-perkembangan tersebut menurut kemampuan yang ada. Usia kewujudan MAN yang telah melebihi 100 tahun sudah sewajarnya diberi tempat dan perhatian yang istimewa dari pihak kerajaan. Sesuai dengan pembinaan bangunan MAN yang canggih bernilai jutaan ringgit di daerah-daerah di Sabah, sudah sampai masanya institusi kehakiman anak negeri ini mempunyai jabatannya sendiri yang dikenali sebagai Jabatan Kehakiman Anak Negeri Sabah (JKANS). Dengan adanya jabatan tersebut, usaha untuk mengujudkan waran perjawatan bagi pegawai dan kakitangannya dapat dilaksanakan sebagaimana jabatan-jabatan lain. Walaupun perkara ini sudahpun disuarakan sebelum ini, namun usaha ini perlu dibangkit dan gerakkan dari semasa ke semasa agar ia dapat direalisasikan secepat mungkin.[66] Pengalaman yang dilalui oleh Mahkamah Syariah Sabah dalam melicinkan penyelesaian pertikaian melalui Majlis Sulh umpamanya, wajar diambil diambil pertimbangan bagi pengujudan Pegawai Sulh atau Mediasi di MAN.

Tanpa meminggirkan penglibatan Ketua-Ketua Adat Negeri yang terdiri dari Ketua Kampung, Ketua Anak Negeri, Ketua Daerah dan pemimpin masyarakat peribumi dalam institusi Kehakiman Adat Negeri, sudah sampai masanya bagi institusi ini turut dianggotai oleh mereka yang berlatar belakangkan pendidikan undang-undang (LL.B). Kajian dari masa ke semasa boleh dilakukan untuk melihat bagaimana golongan berlatar belakangkan undang-undang ini boleh diserapkan ke dalam institusi kehakiman adat negeri. Jika perlu, mereka ini dilantik sebagai hakim bagi kes-kes di peringkat Mahkamah Anak Negeri Daerah. Ini kerana, Mahkamah tersebut diberi peranan untuk mendengar semakan dan rayuan bagi kes yang diputuskan di Mahkamah Anak Negeri.[67] Isu-isu berkaitan undang-undang lazimnya akan dibangkitkan di peringkat ini yang sudah tentu memerlukan penelitian dan pemahaman persoalan undang-undang yang dibangkitkan. Kemahiran yang tinggi dalam bidang perundangan diperlukan untuk menyelesaikan isu-isu perundangan.

Satu lagi usaha yang boleh dilaksanakan bagi memperkukuh institusi MAN adalah dengan mewujudkan Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Adat Anak Negeri Sabah. Jawatankuasa ini berperanan untuk mengumpul dan mengkaji adat-adat pribumi di Sabah bagi merangka undang-undang adat negeri yang difikirkan sesuai untuk dikanunkan. Usaha ini sejajar dengan saranan YAB Ketua Menteri Sabah untuk menggerakkan usaha bagi mengujudkan pangkalan data (data base) adat-adat pribumi di Sabah semasa ucapan perasmiannya pada Persidangan Dwi Tahunan Ketua-Ketua Adat Peringkat Negeri Sabah di Sandakan pada tahun 2013.[68] Pembentukan Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang ini telah dilaksanakan di Mahkamah Syariah semenjak tahun 1988 lagi dan hasilnya, kini terdapat sebanyak 11 Enakmen berkenaan dengan undang-undang Islam yang terpakai di Negeri Sabah.

PENUTUP

Mahkamah Syariah Negeri Sabah sememangnya mempunyai sejarah tersendiri yang unik dan menarik. Hampir 100 tahun yang lampau, peranan dan fungsinya telah dijalankan sepenuhnya oleh sebuah mahkamah adat pribumi yang dinamakan sebagai Mahkamah Anak Negeri. Hanya 15 tahun selepas Sabah mencapai kemerdekaan, baharulah sebuah institusi kehakiman Islam iaitu Mahkamah Syariah di tubuhkan di negeri ini. Kini, dengan tertubuhnya Mahkamah Syariah, MAN tidak lagi menjalankan tugasnya untuk mengendalikan kes-kes melibatkan tuntutan dan pertikaian berkaitan hukum hakam Islam. Mahkamah Syariah terus melakar sejarahnya yang tersendiri sebagaimana yang telah dibincangkan di atas untuk memenuhi tuntutan dan keperluan umat Islam di Negeri ini. Walaupun masih banyak kekurangan yang perlu ditambah baik, namun beberapa pencapaian dalam kerangka pentadbiran dan perundangan Mahkamah Syariah yang dibincangkan di atas boleh dikongsi oleh MAN bagi memantapkan lagi institusi kehakiman adat negeri ke satu tahap yang boleh dibanggakan. Adalah diharapkan tulisan ini dapat menambahkan lagi khazanah bacaan dan rujukan berkaitan institusi perundangan di Negeri Sabah tercinta ini bagi kedua-dua Mahkamah Syariah dan Mahkamah Anak Negeri.

[1]Penulis merupakan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sabah sejak 6 Jun 2013. Kini bertugas sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Tawau, Sabah. Pernah memegang jawatan Ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah dari 16 Januari 2012 hingga 6 Jun 2013. Mula bertugas sebagai Hakim Mahkamah Rendah Syariah semenjak 1 Oktober 1996 di Pantai Barat Kota Kinabalu. Sebelum bertugas di Mahkamah Syariah, Penulis pernah beramal sebagai Peguambela dan Peguamcara Mahkamah Tinggi (Sabah & Sarawak) pada tahun 1996. Tulisan ini dibentangkan dalam Simposium Anak Negeri Sabah di Magellan Hotel, Sutera Harbour, Kota Kinabalu pada 8 September 2014. Beberapa bahagian dalam tulisan ini adalah dipetik dan dikemaskini dari tulisan asal Penulis bertajuk “Perundangan Islam di Sabah: Sejarah dan Bidangkuasa” yang dibentangkan dalam Seminar Perundangan Islam di Sabah, anjuran Jabatan hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah, Majlis Professor Negara dan JAKIM Sabah dengan kerjasama Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah dan Pejabat Hal Ehwal Anak Negeri Sabah di Dewan Sri Kinabalu, Kompleks Tabung Haji Sabah, Kota Kinabalu pada 4 Disember 2012. Penulis juga menggunakan semula dengan beberapa olahan dan penambahbaikan kepada tulisan Penulis bertajuk “Pengenalan Kepada Peranan dan Bidang Kuasa Mahkamah Syariah Negeri Sabah” yang dibentangkan semasa Sesi Lawatan dan Mendengar Taklimat oleh Pegawai Pentadbir dan Pensyarah UiTM anjuran Pusat Akademi Pengajian Islam kontemporari (ACIS) (Pusat Islam) Cawangan Sabah ke Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah bertempat di Dewan Hikmah, Wisma MUIS, Kota Kinabalu pada 3 Oktober 2013. Kertas Kerja ini telah dibentangkan Penulis dalam Simposium Anak Negeri Sabah Kali ke-3 pada 8hb. September 2014 di Ball Room, Magellan Hotel, Sutera Harbour, Kota Kinabalu. Terdapat penambahan maklumat dalam tulisan ini setelah dikemas kini setakat pada 7hb. Mac 2015.

[2] Lihat Enakmen Mahkamah Anak Negeri 1992.

[3] Lihat Ordinan Mahkamah Anak Negeri 1992. Di Sarawak, Mahkamah Anak Negeri adalah dipanggil Mahkamah Bumiputera. Untuk lebih lanjut, rujuk dalam http://www.nativecourt.sarawak.gov.my.

[4] Lihat juga Jasri @ Nasip B. Matjakir, Qadi: Perlantikan, Bidangkuasa dan Permasalahan, Satu Kajian di Sabah, Kertas Projek Diploma Pentadbiran Undang-Undang dan Kahakiman Islam (DAIJ), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Petaling Jaya, 1993, hal. 43-44.

[5] Sharifah Zaleha bt. Syed Hassan, Native Courts and the Construction of Modern Legal Thinking in Sabah: A case Study dalam Native Court and customary law of Sabah (with cases and decisions), Jabatan Cetak Kerajaan, Sabah, 1993, hal. 156.

[6] Ismail Yusoff, Politik dan agama di Sabah, Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, 2004, pp. 39-41. Antara Ketua Anak Negeri di kalangan orang Islam yang terkenal ketika itu adalah Panglima Undang, Pangeran Hj. Omar, Pangeran Mohd Abbas, Orang Kaya Mohd. Arshad and Haji Pati. Pangeran Mohd Abbas dan Pangeran Hj. Omar dikenali mempunyai pengetahuan yang baik mengenai undang-undang adat dan undang-undang Islam.

[7] M.B. Hooker, Native Law in Sabah and Sarawak dalam Native Court and customary law of Sabah (with cases and decisions), Jabatan Cetak Kerajaan, Sabah, 1993, hal. 8-9; Lihat juga Jasri @ Nasip B. Matjakir, Qadi: Perlantikan, Bidangkuasa dan Permasalahan, Satu Kajian di Sabah, Kertas Projek Diploma Pentadbiran Undang-Undang dan Kahakiman Islam (DAIJ), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Petaling Jaya, 1993, hal. 43-50. Native Court Ordinance 1953 telah dipinda sebanyak 2 kali iaitu pada tahun 1958 dan 1959.

[8]Sabihah Osman, “Perkembangan politik di Sabah” dalam Hairi Abdullah, Abdul Samad Hadi & Zulkifly Haji Mustapha (eds), Sabah: Perubahan dalam pembangunan, Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia, 1986, hal. 75; Semasa pendudukan Jepun di Sabah, Tun Datu Mustapha bin Datu Harun telah dilantik sebagai KAN bagi menggantikan bapanya yang telah meninggal dunia di Kudat pada tahun 1942. Untuk lebih lanjut, lihat dalam Sabihah Osman, Ismail Ali & Baszley Bee B. Basrah Bee, Tun Datu Hj. Mustapha bin Datu Harun: Jasabaktinya dalam pembangunan sosial Sabah, Universiti Malaysia Sabah, 2006, hal. 4; Abdul Hadi Harman Shah, Junaenah Sulehan, Mohamed Yusoff Ismail, Nor Azizan Idris & Zahra Yaacob, Tun Mustapha dan pembangunan Sabah, Yayasan Sabah,  Edisi Pertama, Sabah, 2003, hal. 11-13.

[9] Jasri @ Nasip B. Matjakir, Qadi: Perlantikan, Bidangkuasa dan Permasalahan, Satu Kajian di Sabah, Kertas Projek Diploma Pentadbiran Undang-Undang dan Kahakiman Islam (DAIJ), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Petaling Jaya, 1993, hal. 47.

[10] Lihat misalnya Mohammad Agus Yusoff, Malaysian federalism: Conflict or consensus, Bangi, Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, 2006, hal. 229-233.

[11] Abdul Malek Unar, Jatuh bangunnya PBS: Parlimen satu penentuan, Kota Kinabalu, Sabah Media Network, 1994, hal. 12-20; Muhiddin Yusin, Islam di Sabah, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990, hal. 34; Jeffrey G. Kitingan, Justice for Sabah, Shelma Publications and News Agency, Lahad Datu, Sabah, 2006, hal. 12-18; Patrick bin Sindu & Abdul Malek Unar, Isu 20 pekara: Jaminan dan perlindungan, STUDIO 3, Kota Kinabalu, 1993, hal. 16-21.

[12] Dalam Perkara 20, perkara agama bagi Negeri Sabah telah diletakkan di tempat pertama dalam senarai. Perkara Pertama menyebutkan bahawa sementara Islam diiktiraf dan diterima sebagai agama bagi persekutuan, Negeri Sabah tidak akan memasukkan mana-mana agama sebagai agama bagi Negeri Sabah. Kenyataan ini menunjukkan betapa sentimen keagamaan begitu menebal khususnya di kalangan pemimpin Kristian di Sabah di ambang kemerdekaan Sabah tahun 1963. Justeru, tidak memeranjatkan apabila Perlembagaan Negeri Sabah tidak memperuntukkan Islam sebagai agama bagi Sabah ketika mencapai kemerdekaan. Kekosongan ini akhirnya berakhir apabila Islam dengan rasminya menjadi agama bagi Negeri Sabah apabila ianya dimasukkan dalam Perkara 5(1A) Perembagaan Negeri Sabah pada tahun 1973.

[13] Subky Latif, Sebahagian dari memoir Tun Datu Mustapha: Merdeka melalui Malaysia, Kuala Lumpur, Pustaka Antara, 1981, hal. 83. Dalam nada kesal Tun Mustafa menyatakan “adakah peranan Islam sebagai agama rasmi Negara langsung tidak memberi apa-apa erti kepada Kerajaan Sabah?”. Tun Mustapha menggunakan ungkapan “agama rasmi Negara” sebagai merujuk kepada Islam sebagai agama bagi Persekutuan. Beliau tidak menggunakan ungkapan “agama rasmi bagi negeri Sabah” memandangkan ketika itu, Islam belum lagi menjadi agama rasmi bagi Sabah.

[14] Emin Madi, Sinar perjuangan USIA, Sabah: Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), 2009, hal. 93; Jeffrey G. Kitingan, Justice for Sabah, Lahad Datu: Shelma Publications and News Agency, 2006, hal. 101.

[15] Johari Alias, How Islam spread to Sabah dalam Cenderamata  Masjid Negeri Sabah bersempena perasmian Masjid Negeri Sabah oleh Yang DiPertuan Agong Malaysia pada 28 Jun 1977, hal. 43. Lihat juga Herman Luping dalam artikelnya “Formation of Malaysia Revisited” dalam Jeffrey G. Kitingan & Maximus J. Ongkili (e.d), Sabah 25 years later: 1963-1988, Institute for Development Studies (Sabah), 1989, hal. 58.; Information Malaysia 1992-93 yearbook, Berita publishing  Sdn. Bhd, Kuala Lumpur, 1992, hal. 81.

[16] Untuk rujukan selanjutnya, lihat Mohammad Agus Yusoff, Malaysian federalism: Conflict or consensus, Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, 2006, hal. 229-233.

[17] Jasri @ Nasip B. Matjakir, Qadi: Perlantikan, Bidangkuasa dan Permasalahan, Satu Kajian di Sabah, Kertas Projek Diploma Pentadbiran Undang-Undang dan Kahakiman Islam (DAIJ), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Petaling Jaya, 1993, hal. 50.

[18] Jasri @ Nasip B. Matjakir, Qadi: Perlantikan, Bidangkuasa dan Permasalahan, Satu Kajian di Sabah, Kertas Projek Diploma Pentadbiran Undang-Undang dan Kahakiman Islam (DAIJ), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Petaling Jaya, 1993, hal. 50-52.

[19] Lihat Seksyen 108, Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak 1977.

[20] Lihat Seksyen 46(1)(2)(3), Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak 1977.

[21] Datuk Hj. Ahmad bin Idris adalah Kathi Besar yang pertama di Mahkamah Syariah Negeri Sabah. Beliau berasal dari Negeri Kelantan. Sehingga tulisan ini dibuat, Penulis belum menemui maklumat mengenai Kathi Besar Mahkamah Syariah yang kedua. Qadi Besar Sabah yang ketiga adalah Datuk Hj. Mohd Noor Wahab. Beliau memegang jawatan tersebut semenjak tahun 1992. Apabila Enakmen Mahkamah Syariah Sabah 1992 diluluskan, gelaran Qadi Besar dimansukhkan dan digantikan dengan gelaran Ketua Hakim Syarie bermula 1 Januari 1996. Beliau memegang jawatan Qadi Besar dan seterusnya Ketua Hakim Syarie Negeri Sabah sehingga tahun 1999. Ini bermakna, beliau merupakan Ketua Hakim Syarie pertama bagi Negeri Sabah. Beliau digantikan oleh Datuk Hj. Aidi Mokthar yang memegang jawatan ini bermula tahun 1999 hingga 2010. Jawatan tersebut kemudiannya dipegang oleh Ketua Hakim Syarie yang baru iaitu Yang Amat Arif Datuk Jasri @ Nasip Bin Matjakir bermula tahun 2010 sehingga kini. Datuk Hj. Aidi Mokthar telah mengosongkan jawatan tersebut berikutan perlantikan beliau sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Syariah di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Putrajaya pada tahun 2010. Datuk Hj. Aidi Mokthar merupakan anak jati Sabah yang pertama memegang jawatan sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Syariah di peringkat Persekutuan.

[22] Jasri @ Nasip B. Matjakir, Qadi: Perlantikan, Bidangkuasa dan Permasalahan, Satu Kajian di Sabah, Kertas Projek Diploma Pentadbiran Undang-Undang dan Kahakiman Islam (DAIJ), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Petaling Jaya, 1993, hal. 54.

[23] Lihat Seksyen 47, Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak 1977.

[24] Lihat Seksyen 48(1), Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak 1977.

[25] Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak No. 15 Tahun 1977 (Pindaan 1981) mula berkuatkuasa 1hb. Disember 1981; Penubuhan ketiga-tiga peringkat Mahkamah tersebut boleh dirujuk kepada Seksyen 46(1), (2) dan (3) Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak No. 15 Tahun 1977 (Pindaan 1981).

[26] Penulis berterimakasih atas maklumat yang diberikan oleh Yang Arif Ahmad bin Lakim mengenai perkara ini pada 2hb. Disember 2012. Beliau kini memegang jawatan sebagai Pengarah Bahagian Latihan di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Putrajaya sejak tahun 2010. Sebelum ke Putrajaya, beliau pernah memegang jawatan sebagai Hakim Mahkamah Rendah Syariah dari tahun 1996 hingga 1998. Selepas itu beliau kemudiannya memegang jawatan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Sabah antara tahun 1998 sehingga 2010.

[27] Ketua Hakim Syarie yang pertama bagi Negeri Sabah adalah Datuk Hj. Mohd Noor Wahab. Beliau bersara dari perkhidmatan kehakiman pada tahun 1999 dan digantikan oleh Datuk Hj. Aidi Mokthar, anak kelahiran Daerah Papar, Sabah.

[28] Lihat Seksyen 4(1),(2) dan (3) Enakmen Mahkamah Syariah No. 14 Tahun 1992.

[29] Ketua Hakim Syarie yang pertama bagi Negeri Sabah adalah Datuk Hj. Mohd Noor Wahab. Beliau bersara dari perkhidmatan kehakiman pada tahun 1999 dan digantikan oleh Datuk Hj. Aidi Mokthar, anak kelahiran Daerah Papar, Sabah.

[30] Maklumat ini diperolehi dari Kertas Permohonan Unjuran Semula Perjawatan bagi Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah yang disediakan oleh Yang Arif Ahmad Din bin OKK Othman, mantan Ketua Pendaftar, Jabatan Kehakiman Syariah pada tahun 2008.

[31] Negeri Selangor, Melaka, Perlis dan Wilayah Persekutuan telah menandatangani Perjanjian bagi Mewujudkan Skim Perkhidmatan Gunasama Pegawai Syariah pada 17 Mei 1999. Negeri Sembilan dan Pulau Pinang pula menandatangani Perjanjian tersebut pada 24 ogos 1999. Negeri Sabah pula menandatangani Perjanjian tersebut di Kota Kinabalu pada 19 Jun 2008. Tujuh negeri lain iaitu Kedah, Kelantan, Perak, Johor, Pahang, Johor dan Sarawak masih belum menerima Perjanjian Gunasama tersebut setakat bulan Disember 2012.

[32] Cadangan untuk mewujudkan Skim Perkhidmatan Gunasama Pegawai Syariah telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri di peringkat Kerajaan Persekutuan pada 3 Julai 1996. Berikutan itu, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) secara rasminya ditubuhkan pada 1 April 1998. Jabatan ini diketuai oleh Ketua Hakim Syarie Malaysia yang juga berfungsi sebagai Pengarah JKSM.

[33] Perjanjian ini dilihat membuka ruang kepada Pegawai serta kakitangan sokongan dalam semua peringkat dari Semenanjung Malaysia untuk ditempatkan bagi berkhidmat di JKSNS. Bagaimanapun, penghantaran bagi penempatan pegawai dan kakitangan dari Persekutuan khususnya dari Semenanjung Malaysia adalah tertakluk kepada persetujuan dan kelulusan dari Kerajaan Negeri Sabah. Ini termaktub dalam Perkara 5 Perjanjian Perkhidmatan Gunasama tersebut antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah. Perjanjian tersebut juga jelas menyatakan bahawa keutamaan hendaklah diberikan kepada anak-anak tempatan dari Negeri Sabah bagi sebarang pengisian jawatan di JKSNS.

[34] Bilangan Pegawai dan kakitangan JKSNS berdasarkan waran perjawatan sebanyak 214 ini kekal tidak berubah sehingga tulisan ini dibuat pada 3 Oktober 2013.

[35] Mesyuarat Unjuran Semula Perjawatan bagi Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah (JKSNS) dan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan (MSWP) pada tahun 2012 telahpun diadakan sebanyak 2 kali setakat ini iaitu pada bulan Julai 2012 di Hotel Quality Shah Alam dan bulan Oktober 2012 di Hotel Heritage Cameron Highland. Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Yang Arif Datuk Seri Yusuf Che Teh, Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Persekutuan. Penulis turut terlibat dalam mesyuarat tersebut mewakili JKSNS.

[36] Lima peringkat Mahkamah di Mahkamah Sivil adalah Mahkamah Majistret, Mahkamah Sesyen, Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

[37] Untuk keterangan lanjut, rujuk Kertas Konsep Pewujudan Majlis Rayuan Syariah dan Mahkamah Tengah Syariah, Menaik taraf kedudukan Mahkamah Tinggi Syariah, penstrukturan semula Mahkamah Rayuan Syariah Negeri serta menaik taraf Hakim-Hakim Mahkamah Syariah yang disediakan oleh Seksyen Syariah, Bahagian Penasihat, Jabatan Peguan Negara, Putrajaya, Malaysia bertarikh 18 Ogos 2011 setebal 39 halaman; Lihat juga kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Bahrom mengenai penaik tarafan Mahkamah Syariah ini dalam The Star Online bertarikh 9 Jun 2012 di http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2012/6/9/mstar_berita/20120609153553&sec=mstar_berita. Bagi Negeri Sabah, cadangan ini telahpun dibentangkan di hadapan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) pada tahun 2012. Perkembangan mengenai perkara ini sekali lagi dimaklumkan kepada MUIS semasa kunjungan hormat Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang dan Hukum Syarak Persekutuan yang diketuai oleh Tan Sri Sheikh Ghazali bin Abdul Rahman kepada Pengerusi MUIS, Yang Berhormat Datuk Hj. Suhaili Said di Bangunan Wisma MUIS pada 7 Disember 2012. Penulis turut serta dalam pertemuan tersebut bagi mengiringi Ketua Hakim Syarie Negeri Sabah.

[38] Tapak pembinaan bangunan Mahkamah Syariah bagi Kota Kinabalu adalah bersebelahan Masjid Bandaraya, Teluk Likas, Kota Kinabalu. Lihat laporan akhbar dalam http://www.bernama.com/bernama/state_news/bm/news.php?id=1109025&cat=sbm; Ucapan penuh oleh YAB Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, Ketua Menteri Sabah dalam perasmian tersebut boleh dilihat dalam  http://www.sabah.gov.my/main/ms-MY/Press/Details/2015002325.

[39] Perkara 74(2), Perlembagaan Persekutuan.

[40] Perkara 75, Perlembagaan Persekutuan.

[41] Lihat Seksyen 12, Enakmen Mahkamah Syariah 2004.

[42] Lihat Seksyen 11, Enakmen Mahkamah Syariah 2004.

[43] Lihat Seksyen 13, Enakmen Mahkamah Syariah 2004.

[44] Lihat Seksyen 16, Enakmen Mahkamah Syariah 2004.

[45] Lihat Seksyen 17, Enakmen Mahkamah Syariah 2004.

[46] Lihat Seksyen 18, Enakmen Mahkamah Syariah 2004.

[47] Noh bin Abdul Aziz & Anor v Director of Lands & Surveys, Kota Kinabalu & Anor, High Court Tawau Originiting Motion No. T(25)-01 of 1999.

[48] Mohd Ridzuan Awang, Isu-Isu Semasa Dalam Pentadbiran Harta Pusaka Orang Islam di Malaysia dalam Isu Syariah dan Undang-Undang disunting Mohammad Zaini, Abdul Basir Mohamad, Mohd. Nasran Mohamad dan Mohd Zamro Muda, Siri 16, Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, 2007, hal. 166.

[49] Kes jenayah No. S-3/95-7(7) tahun 2001. Kes ini diputuskan oleh yang Arif Jasri bin Matjakir.

[50] Kes Jenayah No. S-3/95-7 (03) tahun 2001. Kes diputuskan oleh Yang Arif Jasri bin Matjakir.

[51] Penulis sendiri telah menyaksikan hukuman berkenaan. Penulis telah diberi kesempatan untuk memegang alat sebat dan melihat sendiri bahagian tubuh yang telah disebat.

[52] Seksyen 125(3)(c) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2004 memperuntukkan bahawa pelaksanaan sebatan syariah hendaklah dijalankan di hadapan seorang Pegawai Perubatan Kerajaan di mana-mana tempat sebagaimana yang diarahkan oleh Mahkamah atau di suatu tempat yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Dapat difahami bahawa selain daripada penjara, Mahkamah Syariah mempunyai kuasa untuk memerintahkan pelaksanaan hukuman sebat dijalankan di mana-mana tempat yang munasabah termasuklah di tempat awam seperti perkarangan masjid.

[53] Kes No. 12400-142-0004-2014, Mahkamah Tinggi Syariah Tawau. Pesalah telah didakwa dan disabitkan atas kesalahan melakukan persetubuhan haram dengan seorang wanita di bawah Seksyen 80(1) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1995.

[54] Laporan lengkap mengenai perlaksanaan hukuman sebat berkenaan boleh dilihat di https://erakita.wordpress.com/2014/10/29/sebatan-syariah-pertama-di-khalayak-ramai/; Lihat juga laporan berkenaan dalam http://syariah.perak.gov.my/keratan-akhbar/keratan-akhbar/keratan-akhbar-blogerakita-17072014.

[55] Penulis merupakan salah seorang ahli dalam mesyuarat pembentukan SOP berkenaan yang diadakan di Bangunan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Putrajaya, Bangunan Annexe, Istana Kehakiman, Presint 3, Putrajaya pada 17 Mac 2015. Jemputan lain adalah pegawai dari Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Peguam Negara dan Ibu Pejabat Penjara Malaysia.

[56] Lihat Seksyen 99 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah No. 10 Tahun 2004.

[57] Di Mahkamah Syariah Tawau sebagai contohnya, ada ketikanya terdapat antara 6 hingga 8 kes sehari yang berjaya mencapai penyelesaian melalui persetujuan bersama di hadapan Pegawai Sulh. Kes berkenaan lazimnya dapat diindoskan oleh Hakim pada hari yang sama. Ini bermakna, kes berkenaan dikira telah selesai tanpa melalui proses perbicaraan.

[58] Penulis berterimakasih atas maklumat yang diberikan oleh Tuan Muhamad Aslam bin Ahmad, Penolong Pegawai Syariah, Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah kepada Penulis pada 7 September 2014.

[59] Penulis berterimakasih atas maklumat yang diberikan oleh Tuan Mohd Saifullah, Penolong Pengarah Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) Sabah kepada Penulis pada 1 Oktober 2013. Sehingga tulisan ini dibuat, antara jenis perintah yang boleh dikuatkuasakan melalui BSK selain nafkah isteri dan anak adalah nafkah eddah dan mut’ah. Perkhidmatan ini dibuat secara percuma dan akan diperluaskan kepada beberapa lagi jenis perintah dari semasa ke semasa.

[60] Fungsi SPKMS ini dipetik dari laman web rasmi Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu di syariah.terengganu.gov.my/spkms.php pada 7 September 2014.

[61] Ibid.

[62] http://.lexisnexis.com.my/en-my/products/shariah-law-journal.page

[63] Penulis berterima kasih atas maklumat ini yang diberikan oleh Tuan Ade Rizal Pahlevi bin Mohd Zain, Ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah, Negeri Sabah kepada penulis pada 7 September 2014. Hakim Syarie wanita tersebut adalah Puan Taherah binti Tahir, berkelulusan Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang, Universiti Malaya. Sebelum dilantik sebagai Hakim Syarie, beliau memegang jawatan sebagai Pendaftar Kanan, Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sabah. Beliau mula menjalan tugas sebagai Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Pantai Barat, Kota Kinabalu sejak 1 Jun 2014. Sebelum itu, ada 2 Hakim Syarie wanita telah dilantik melalui perkenan Yang diPertuan Agong pada bulan Mei 2010 iaitu Puan Suraya Ramli dari Sabah dan Puan Rafidah binti Abdul Razak dari Pulau Pinang yang ditugaskan sebagai Hakim Mahkamah Rendah Syariah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. Ucapan tahniah mengenai perlantikan Hakim Syarie Wanita pertama di Sabah oleh YAB Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, Ketua Menteri Sabah dapat disentuh dalam ucapan YAB Ketua Menteri Sabah semasa merasmikan Majlis Pecah Tanah Kompleks Bangunan Mahkamah Syariah Kota Kinabalu, Sabah pada 13 Febuari 2015. Lihat ucapan tersebut dalam http://www.sabah.gov.my/main/ms-MY/Press/Details/2015002325. Untuk lebih lanjut mengenai perlantikan Hakim Syarie Wanita yang pertama bagi Negeri Sabah, lihat laporan terperinci dalam https://erakita.wordpress.com/2014/11/13/hakim-syarie-wanita-pertama-di-sabah/.

[64] Penulis mengucapkan terimakasih kepada Tuan Azmi bin Talip, Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah, Sabah atas maklumat yang diberikan kepada Penulis pada 7 September 2014.

[65] Klinik Guaman secara percuma di Mahkamah Syariah Tawau ini mula beroperasi di Bangunan Mahkamah Syariah Tawau sejak bulan 3 Oktober 2014. Satu bilik khas telah disediakan untuk para peguam syarie bagi mengendalikan perkhidmatan  yang dibuat pada setiap hari jumaat antara jam 2.00 petang hingga 4.00 petang.

[66] Lihat misalnya kenyataan Datuk Hajiji Haji Mohd Noor, Menteri Kerajaan dan Perumahan Tempatan dalam www.newsabahtimes.com.my/nstweb/fullstory/69426 bertarikh 19 Jun 2013. Dilihat pada 7 September 2014.

[67] Lihat Bahagian IV bermula Seksyen 16 hingga 17 Enakmen Mahkamah Anak Negeri 1992 yang memperuntukkan kuasa Penyemakan dan Rayuan bagi Mahkamah Anak Negeri Daerah.

[68] Lihat http://www.utusan.com.my/utusan/Sabah_%26_Sarawak/20130206/wb_06/Mahkamah-Anak-Negeri-masih-relevan. Dilihat pada 5 September 2014. Penulis merupakan salah seorang pembentang kertas kerja dalam Persidangan Tahunan Ketua-Ketua Adat Anak  Negeri Sabah di Hotel Four Points, Sandakan bertajuk “Peranan Mahkamah Anak Negeri  Antara Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 dan enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004” pada 4 dan 5hb Febuari 2013.

CATATAN PENGLIPUR LARA SANG MAJISTRET

 

CATATAN PENGLIPUR LARA SANG MAJISTRET

24 Disember  2013

Sebagai orang yang terlibat secara langsung dengan dunia perundangan, ERAKITA amat teruja apabila melihat tajuk “Catatan Penglipur Lara Sang Majistret” pada sebuah buku ketika berkunjung ke salah sebuah kedai buku di Kota Kinabalu baru-baru ini. Tak sia-sia membeli buku setebal 255 yang diterbitkan oleh Galeri Ilmu Sdn Bhd terbitan 2012. Buku yang ditulis oleh Saudara Zabidi Mohamed, seorang penulis yang semakin dikenali dan mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang perundangan sebelum berkecimpung dalam dunia penulisan itu sesungguhnya amat mencuit perasaan dan menghiburkan. Penceritaan kisah pengalaman penulis sebagai Majistret suatu ketika dahulu amat bernilai untuk dikongsi bersama.

20131203_161026[1]

Antara cerita yang penuh mendebarkan, suspen dan menggoncangkan perasaan ialah kisah bagaimana penulis dan beberapa Majistret wanita dibawa ke Penjara Pudu bagi menyaksikan sendiri perlaksanaan sebatan ke atas pesalah jenayah rogol. Paling mendebarkan apabila 3 pesalah lelaki terdiri dari Kaum Cina, India dan Melayu disebat satu demi satu. Pegawai Penguasa Penjara dari awal-awal memaklumkan kepada Sang Majistret bagaimana perbezaan nada dan kekuatan teriakan, rintihan dan jeritan kesakitan dari ketiga-tiga pesalah itu yang bakal disaksikan nanti. Ternyata, hipotesis Pegawai Penguasa Penjara itu tepat apabila Sang Majistret menyaksikan dengan kepala dan mata perlaksanaan hukuman sebat tersebut.

Ketika membaca buku ini, ERAKITA terbayang bagaimana ERAKITA berkesempatan untuk menyaksikan sendiri perlaksanaan sebatan pertama ke atas pesalah jenayah syariah di Penjara Kepayan, Kota Kinabalu, Sabah pada 10 Oktober 2011. Apa yang ERAKITA fahami ialah betapa berat dan peritnya kesakitan yang dialami oleh pesalah jenayah yang dihukum oleh Mahkamah Awam berbanding hukuman bagi pesalah jenayah syariah bagi hukuman sebat. ERAKITA amat bersetuju dengan kenyataan salah seorang pegawai penjara semasa menyaksikan sebatan bagi pesalah jenayah syariah di Penjara Kepayan itu apabila ia mengatakan bahawa kekuatan sebatan pesalah jenayah dari Mahkamah Awam adalah 100 peratus berbeza dari segi kekuatan sebatan bagi pesalah jenayah syariah.

Pendek kata, ERAKITA berani mengatakan bahawa bezanya adalah antara langit dan bumi. Sukar sekali membayangkan bagaimana berat dan sakitnya sebatan ke atas pesalah jenayah yang disabit dan dihukum oleh Mahkamah Awam. Bahkan ada kenyataan mengatakan bahawa sebatan tersebut silap haribulan boleh menyebabkan seorang lelaki itu mati pucuk. Sebatan syariah pula jelas sekali tidak ada unsur-unsur menyakitkan tubuh badan. ERAKITA sendiri bersyukur kerana berpeluang memegang alat sebat, melihat sendiri kesan sebatan di bahagian belakang tubuh pesalah dan seterusnya menyentuh kawasan yang disebat. Hanya ada kemerah-merahan yang cukup sederhana dan jelas tidak ada unsur menyakitkan fizikal. Pesalah disebat dalam keadaan berdiri, berpakaian hijau dan aurat tertutup.

Ketika disebat, tidak ada suara pesalah yang menggambarkan kesakitan. Cukup tenang tapi mendebarkan. Pesalah tidak diikat. Cuma tangannya dirapatkan di pipi yang dipegang oleh petugas penjara. ERAKITA tidak terkejut dengan jawapan pesalah tersebut setelah selesai 5 kali sebatan apabila ia menjawap pertanyaan ERAKITA. Katanya, sebatan tersebut tidak menyakitkan. Cuma mendebarkan sebelum sebatan dilaksanakan. Terpampang perasaannya begitu lega setelah sebatan selesai.

Buku ini amat sesuai dibaca oleh semua golongan untuk memberi gambaran bagaimana keadaan sebenar perjalanan kes di Mahkamah. Turut menarik untuk dikongsi bersama ialah bagaimana hebatnya cabaran yang dihadapi seorang hakim ketika berhadapan dengan pelbagai kes di Mahkamah. Golongan yang berkecimpung dengan undang-undang seperti Hakim, Peguam dan Pegawai Undang-Undang tidak harus melepaskan peluang untuk memiliki dan membaca buku ini. Penceritaan berdasarkan pengalaman sebenar penulis sesungguhnya menarik dan menghiburkan. Banyak perkara yang terselindung dalam dunia kehakiman dapat dikongsi bersama untuk hiburan dan pengetahuan umum.

ERAKITA menyarankan agar buku ini dapat dikongsi oleh semua peringkat untuk melihat lebih dekat bagaimana kehidupan individu yang terlibat dalam dunia perundangan khususnya Sang Majistret. Tahniah kepada Penulis yang hebat ini. Teruskan penulisan anda.

MERIAHNYA PESTA ILMU KE-29 PWTC

MERIAHNYA PESTA BUKU ANTARABANGSA KL 2010

31 MAC 2010

Ledakan ilmu terus berkembang di Malaysia. Di tengah-tengah kesibukan rakyat Malaysia menjalankan aktiviti hariannya, KL terus menggerakkan akiviti sihatnya dengan menganjurkan Pesta Buku Antarabangsa ke 29. Lokasi Pesta tersebut sudah semestinya PWTC sepertimana pesta-pesta buku sebelumnya. Walaupun telah berlalu, namun kemeriahannya masih amat terasa sehingga kini.

Sebagai pencinta ilmu, ERAKITA tidak melepaskan peluang untuk bertandang ke Pesta Buku itu. Di sinilah kita menyaksikan bagaimana gelagat dan sibuknya para pencinta ilmu dan ulat-ulat buku berpusu-pusu untuk memasuki gerai-gerai jualan buku. Di sinilah syarikat-syarikat penerbitan buku berkumpul dan menjual terus buku-buku terbitan mereka. Tambah menarik apabila kelihatan beberapa gerai dipenuhi orang ramai yang mengambil kesempatan mendengar ulasan buku menggunakan pembesar suara dari penulis sendiri. Tidak kurang juga pembeli yang mendapatkan tandatangan dari penulis buku.

Menurut pemerhatian ERAKITA, gerai PTS Publication dan TELAGA BIRU Sdn. Bhd merupakan antara gerai yang paling laris dan terhangat. Penerbit Telaga Biru memang terkenal dengan penerbitan buku-buku agama yang hebat. PTS Publication pula terkenal dengan penerbitan buku-buku dalam pelbagai disiplin. Ketika berkunjung dan membeli beberapa buah buku di gerai PTS Publication, ERAKITA sempat bertemu dan bersembang dengan Pengurus Besar PTS Publication, Tuan Fauzul Naim dan beberapa penulis hebat seperti Zamri Mohamad dan Shamsuddin Kadir. Tahun lepas, ERAKITA pernah mengikuti kursus penulisan buku popular yang dikendalikan oleh Tuan Fauzul Naim dan  Zamri Mohammad  dari PTS Publication di UIA.

ERAKITA sendiri mengunjungi pesta ini tiga hari berturut-turut sehinggalah pada hari terakhir. Apa yang membezakan hari terakhir dengan hari-hari sebelumnya ialah gelagat para petugas gerai dan penjual buku. Pada hari terakhir, ketika gerai-gerai jualan buku hampir melabuhkan tirainya pada jam 9.00 malam, kelihatan berbagai gaya dan rentak para penjual buku untuk menarik perhatian pengunjung.

Menarik sekali untuk dikongsi bersama bahawa harga buku yang ditawarkan cukup luar biasa dari hari-hari sebelumnya. Harga diskaun yang tinggi dan di luar jangkaan diberikan di gerai-gerai tertentu. ERAKITA hampir pasti bahawa, harga sedemikian tidak akan diperolehi pada hari-hari biasa di mana-mana tempat. Lebih kurang sejam sebelum gerai ditutup, HARGA MELETUP dapat dirasakan. Tawar menawar perkara biasa sehingga pada awalnya, hanya sebuah atau dua buah buku yang dibeli, namun penjual begitu MURAH HATI memasukkan beberapa buah buku yang agak rendah harganya ke dalam bakul plastic samada dengan memberikan harga yang begitu rendah atau diberikan secara PERCUMA sahaja. CUKUP mengujakan!

Sukar digambarkan bagaimana seronoknya berada di pesta ini. Pesta ini bukan pesta nyanyian atau hiburan yang melalaikan atau makanan yang mengenyangkan. Ini adalah pesta yang menjana ilmu. Pesta yang mencairkan minda yang beku. Pesta yang mencelikkan mata yang buta. Pesta yang yang membentuk peradaban manusia ke tahap tinggi. Semuanya kerana ilmu. Tidak hairanlah mengapa Allah s.w.t melontarkan satu soalan berhubung ilmu yang tidak memerlukan kita bersusah payah menjawapnya. Soalan Allah berbunyi “adakah sama orang yang mengetahui (berilmu) dengan orang yang tidak mengetahui (tidak berilmu)?”.

Pesta yang berlangsung dari 19hb-28hb Mac 2010 itu bertemakan BUKU: LAKARAN MASA DEPAN. Penganjuran pesta amat bersesuaian dengan waktu cuti sekolah baru-baru ini.

Semoga penganjuran pesta buku seperti ini akan berterusan pada tahun-tahun akan datang. Sama-sama kita hidupkan usaha mencari, mencintai dan mengamalkan ilmu. Kepada anda semua yang punya kelapangan, ERAKITA sukacita mengalu-alukan kedatangan anda ke pesta tersebut pada masa hadapan. Sediakan wang secukupnya sebagai persiapan agar tidak timbul perasaan kesal atau sedih kerana tidak dapat membeli buku yang amat dicari-cari atau minati.

ERAKITA sempat merakamkan beberapa gambar menarik di Pesta Ilmu itu untuk tatapan bersama.

Gerai PTS Publication hangat diserbu pengunjung

Tuan Fauzul Naim (tengah) merupakan Pengurus Besar PTS Publication Sdn Bhd. Di sebelah kanan adalah wakil utama sebuah syarikat penerbitan dari Indonesia Pemandangan dari pintu masuk utama di tingkat 1 pesta ilmu

Tuan Ade Rizal turut menjadi pengunjung di gerai Universiti Malaya

Alangkah indah bergelumbang dengan ombak di lautan ilmu

aksi-aksi pengunjung

BERKUNJUNGLAH KE PESTA ILMU!

Perpustakaan Mini di Rumah: sudah ada?

 

DSC07357

 

Mini Library di Rumah Sendiri

 

16 Oktober 2009 

Cubalah kita bayangkan bagaimana susasana sebuah rumah yang di dalamnya ada mini library atau mini perpustakaan. Boleh dikatakan bahawa jarang sekali kita melihat ada mini library di rumah dalam masyarakat kita. Jika ada, ianya diletakkan di tempat yang tidak startegi, dalam keadaan tidak tersusun dan bahan-bahan bacaannya pula bukan menjurus kepada pembelajaran dan peningkatan ilmu. Jika adapun, kadang-kadang koleksi buku-buku kartun yang banyak. Begitu juga, koleksi buku atau majalah berbentuk hiburan semata-mata dan lain-lain seumpamanya. 

Sebenarnya, tanpa disedari, kehadiran sebuah perpustakaan kecil di rumah amat besar makna dan kesannya dalam pembentukan minat membaca dan belajar di kalangan anak-anak. Dengan adanya bahan-bahan bacaan yang menarik, ibu bapa akan turut bersemangat untuk membaca. Tabiat ibubapa yang rajin membaca mudah diikuti oleh anak-anak kita. Bahan bacaan dan susunan meja serta kerusi yang menarik dapat membangkitkan semangat membaca di kalangan anak-anak. 

Rasanya, alasan tidak cukup wang untuk membeli buku bukanlah alasan yang kuat untuk menyediakan sebuah mini library di rumah. Membuat rak buku di rumah tidak memerlukan kos yang tinggi. Beberapa buah papan boleh dilekatkan di dinding rumah di lokasi yang sesuai dengan lampu yang terang untuk menempatkan buku-buku. Mengisi ruang-ruang kosong dalam rak bukan menjadi masalah. Ambil sahaja buku-buku anak-anak yang digunakan di sekolah dan letakkan secara tersusun dalam rak supaya kelihatan cantik dan mudah dicapai. Buku-buku anak yang sudah tidak digunakan lagi seperti buku-buku latihan, buku kerja, buku teks dan buku tulis yang digunakan tahun sebelumnya sebaiknya jangan dibuang. Simpanlah kesemuanya dan letakkanlah secara tersusun di rak buku. 

Semakin banyak buku yang diletakkan di rak, semakin cantiklah sebuah perpustakaan mini itu. Untuk menambah koleksi buku, peruntukkanlah wang sekurang-kurangnya RM5.00 atau RM10.00 dalam sebulan untuk membeli apa sahaja buku atau majalah. Jumlah ini sangat murah berbanding kos yang kita keluarkan untuk minum sarapan bersama kawan-kawan di kedai kopi. Koleksi bacaan juga boleh ditambah dengan mendapatkan pamphlet-pemphlet yang diterbitkan oleh jabatan-jabatan kerajaan tertutamanya di Pejabat Penerangan. Pejabat Penerangan biasanya mempunyai bahan-bahan terbitan yang agak banyak dalam tempoh setahun untuk diedarkan kepada umum. Kesempatan ini harus diambil. Pemphlet dari bank juga amat mudah diperolehi. 

Ketika mengunjungi pameran-pameran yang dianjurkan oleh badan-badan kerajaan atau bukan kerajaan, ambillah peluang untuk mendapatkan pemphlet yang disediakan di gerai-gerai pameran secara percuma. Walaupun bahan-bahan  itu dirasakan tidak diperlukan ketika itu, namun akan ada saat dan ketikanya bahan-bahan tersebut menjadi penting dan bernilai sebagai bahan maklumat. 

Perlu diingatkan bahawa kerajaan menggalakkan rakyat untuk membaca. Sehubungan itu, rebet cukai diberikan kepada para pembayar cukai yang membeli buku. Untuk tujuan itu, resit pembelian buku-buku hendaklah disimpan untuk rujukan dan bukti kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri apabila diperlukan. Ketika ini, kos pembelian yang boleh diberi rebet dalam percukaian ialah RM1,000.00 dalam setahun. Bayangkan! Betapa untungnya kita apabila membeli buku. Bukan saja memperolehi buku, tetapi juga kos pembelian tersebut boleh menjadi rebet dalam percukaian yang dikenakan oleh kerajaan. 

Soalnya sekarang, siapa sebenarnya yang rugi, orang yang membeli buku atau orang yang tidak membeli buku? Nampaknya, orang yang membeli buku dapat keuntungan berganda. Sebaliknya, orang yang tidak membeli buku, dapat rugi berganda kerana tidak dapat buku dan tidak pula dapat rebet atau pengecualiaan cukai andaikata ada cukai. Mempunyai koleksi bahan bacaan tertentu di mini perpustakaan rumah kita mampu memberi kelebihan kepada kita untuk membuat rujukan bagi tajuk tertentu. Bagi sesetengah orang, ia seringkali dijemput untuk menyampaikan kertas kerja dalam seminar atau atau persidangan atau ceramah. Ketiadaan masa untuk ke perpustakaan daerah atau negeri disebabkan masa yang diperuntukkan terlalu singkat boleh diatasi apabila kita mempunyai bahan-bahan bacaan berkaitan di rumah kita. Andai kita melawat pesta jualan buku, ambillah kesempatan untuk membeli buku-buku yang berkaitan dengan bidang kerjaya kita. Insyaa Allah, satu saat buku itu akan menjadi sangat bermanfaat kepada kita. 

ERAKITA mengajak anda untuk merenung perkara ini sejenak. Alangkah indahnya melihat telatah anak-anak kusyuk membaca di mini perpustakaan rumah kita! 

 

DSC07356

 

WUJUDKAN MINI PERPUSTAKAAN DI RUMAH ANDA

 

 

ISLAM DI SABAH: usaha pengumpulan data pendakwah terdahulu

white-calla-lilies

DAKWAH ISLAMIAH DI SABAH: ke arah pengumpulan data pendakwah terdahulu

 

11 Oktober 2009

ERAKITA mengucapkan tahniah kepada blog ABU NUHA CORNER di alamat http://abunuha.wordpress.com yang telah menyiarkan artikel pada 5 Oktober 2009 berkenaan usaha PERSATUAN ULAMA MALAYSIA (PUM) Cawangan Sabah untuk mengumpulkan maklumat dan data mengenai PENDAKWAH-PENDAKWAH ISLAM di Sabah. ERAKITA dalam rangka menyokong usaha murni ini dengan penuh rendah diri ingin berkongsi sedikit maklumat dalam artikel kali ini. Pengumpulan maklumat mengenai para pendakwah Islam yang telah menyumbangkan masa dan tenaga mereka dalam gerakan dakwah di Sabah suatu ketika dahulu amat wajar dilakukan. Jika tidak dilakukan sekarang, bila lagi dan siapa pula yang akan melakukannya.

Melihat kepada kepesatan peningkatan penduduk Islam di Sabah semenjak Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) ditubuhkan pada penghujung 1969, tidak dinafikan lagi bahawa RAMAI sebenarnya individu yang telah terlibat dalam gerakan tersebut. Menariknya individu itu bukan saja dari kalangan para Ustaz, tetapi juga golongan SAUDARA-SAUDARA KITA yakni, orang-orang yang baru sahaja memeluk Islam pada ketika itu. Dalam tahun 1978 umpamanya, terdapat seramai 181 mubaligh atau tenaga pendakwah USIA bagi seluruh Sabah.

Ini belum lagi termasuk tenaga-tenaga pendakwah yang dilantik oleh MUIS selepas kerajaan BERJAYA mengambil alih tampuk pemerintahan Sabah sejak 1976. Lebih menarik, pemimpin-pemimpin kerajaan, para pemimpin parti politik dan pemimpin masyarakat di peringkat daerah juga turut memainkan peranan penting dalam usaha dakwah tersebut. Kegiatan dakwah dan pengislaman besar-besaran di negeri ini begitu terserlah sekitar 1970-an dan 1980-an ketika kerajaan berada di bawah pentadbiran parti dominan  iaitu USNO dan BERJAYA.

Fakta mengenai penglibatan aktif ramai individu dalam gerakan dakwah seawal tahun 1970-an di Sabah dapat diperkukuhkan dengan kejayaan gerakan dakwah yg didokong oleh USIA mengislamkan lebih dari 50,000 orang dari kalangan penduduk yang belum atau sudah beragama lain di Sabah. Bayangkan saja, satu fakta yang amat mengkagumkan dan mungkin juga patut dirakamkan dalam REKOD DUNIA dalam gerakan dakwah Islam di mana setakat 1973, lebih 50,000 telah berjaya diIslamkan dalam tempoh yg begitu singkat. Dalam satu kertas kerja bertajuk PERANAN USIA DALAM MEMBINA AGAMA ISLAM DI SABAH yang ditulis oleh Allahyarham Datuk Hj. Ag. Sahari bin Abdul Latif, beliau menyebutkan:

Alhamdulillah, gerakan dakwah yang telah dilancarkan itu mendapat sambutan yang menggalakkan sehingga bilangan mereka yang telah memeluk agama Islam lebih dari 50,000 orang dewasa lelaki dan perempuan. Ini tidak termasuk kanak-kanak. Kalau dijumlahkan dengan kanak-kanak, bilangannya hampir 100,000 orang. Maka dengan yang demikian, peratus bilangan penduduk Islam Negeri Sabah telah meningkat kepada 52%.

 Usaha para penggerak dakwah yang ramai itu tidak sia-sia apabila penduduk Islam yang pada asalnya hanya dalam lingkungan 38 peratus pada tahun 1960-an, tiba-tiba mencapai lebih 50 peratus pada tahun 1973. Tidak cukup dengan itu, hasil yang begitu mengkagumkan dapat dicapai apabila lebih dari 2/3 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah adalah beragama Islam. Ini satu lagi sejarah bagi Negeri Sabah apabila DUN Sabah dilambaki oleh ADUN Islam ketika itu. Ramai ADUN bukan Islam telah memeluk Islam hasil usaha gerakan dakwah secara intensif tersebut. Bilangan ADUN yang beragama Islam pada 1972 telahpun mencapai 2/3 dari keseluruhan bilangan ADUN di Sabah. Keadaan ini jugalah yang telah menjadi satu rahmat buat Sabah apabila usul menubuhkan MAJLIS UGAMA ISLAM SABAH (MUIS) di DUN Sabah pada 26 April 1972 tidak mendapat sebarang masalah.

Lebih menarik lagi bahawa para penggerak dakwah yang aktif itu termasuklah juga dari kalangan PEMIMPIN parti politik dan ADUN sendiri. SINAR USIA terbitan Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) dan HIKMAH terbitan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), dua Majalah dakwah tersohor sekitar 1970-an dan 80-an di Sabah menjadi bukti jelas bagaimana ADUN-ADUN sendiri terlibat secara langsung dengan gerakan dakwah tersebut.

Tidak hairanlah mengapa usul memasukkan Artikel 5(A) dalam Perlembagaan Negeri Sabah yang menyatakan bahawa Islam adalah agama rasmi bagi Negeri Sabah berjaya dibawa ke DUN dan diluluskan tanpa bantahan lagi. Ketika itu, bantahan tidak kedengaran lagi kerana majoriti ADUN ketika itu adalah orang Islam. Suasana ini jauh sekali berbeza 10 tahun sebelum itu apabila para pemimpin Sabah yang majoritinya dari kalangan bukan Islam mengemukakan syarat ketat untuk pembentukan Malaysia. Syarat tersebut terkandung dalam 20 PERKARA yang telah telah dibincangkan secara terperinci di peringkat Suruhanjaya Antara Kerajaan (IGC) sebelum pembentukan Malaysia.

Perkara pertama dalam 20 PERKARA itu adalah berkaitan dengan agama Islam. Inilah PERKARA PERTAMA DAN TERATAS sekali dalam 20 perkara itu. Hal ini mungkin tidak disedari oleh sebahagian besar dari umat Islam ketika memperkatakan hak-hak Sabah dalam Perkara 20. Perkara mengenai agama  itu menyatakan bahawa sementara tiada bantahan bahawa Islam adalah agama kebangsaan Malaysia, Borneo Utara pula hendaklah tidak ada agama negeri, dan peruntukan-peruntukan berkenaan Islam dalam Perlembagaan Malaya yang sedia ada hendaklah tidak terpakai kepada Borneo Utara. Sebagai makluman, Borneo Utara adalah nama bagi Negeri Sabah sebelum merdeka pada tahun 1963.

Hakikat bahawa wujudnya SYARAT membentuk Malaysia di mana ISLAM BUKAN AGAMA RASMI DI SABAH dikatakan sebagai antara syarat yang PALING BERAT untuk diterima oleh umat Islam ketika itu. Namun, memandangkan bilangan umat Islam ketika itu hanyalah sekitar 38 peratus, syarat tersebut mahu tidak mahu terpaksa juga diterima. Ini kerana, jika tidak diterima, bermakna Sabah menghadapi halangan besar untuk turut sama dalam pembentukan Malaysia.

Kemuncaknya, Sabah bersama-sama Sarawak, Singapura dan Malaya membentuk Malaysia pada 16 Spetember 1963 di mana akhirnya sejarah mencatatkan bahawa Perlembagaan Negeri Sabah tidak memasukkan peruntukan bahawa Islam adalah agama rasmi negeri ini sebagaimana negeri-negeri lain. Hal ini berlanjutan selama 10 tahun bermula tahun 1963.

Ketiadaan Agama Rasmi bagi Sabah selama 10 tahun sesungguhnya telah memberi ruang seluas-luasnya kepada agama lain untuk menyebar dan mengembangkan agama mereka di kalangan penduduk di negeri ini. Tidak hairanlah mengapa dalam tempoh tersebut banyak sekali rumah-rumah ibadat agama-agama berkenaan berjaya didirikan di sana sini. Peratus pertumbuhan penganut agama lain juga begitu terkehadapan berbanding agama Islam sendiri dalam tempoh tersebut.

Hanya pada tahun 1973, baharulah Islam dapat dijadikan agama rasmi bagi Sabah setelah pindaan dalam perlembagaan Sabah berjaya dilakukan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah. Sesungguhnya kejayaan menjadikan Islam sebagai agama rasmi Sabah 10 tahun kemudiannya adalah hasil usaha bersungguh-sungguh pada pendakwah Islam ketika itu. Masing-masing merasakan bahawa mereka mempunyai peranan besar untuk membanyakkan bilangan umat Islam di Sabah ketika itu.

Kesan daripada kejayaan menjadikan Islam sebagai AGAMA RASMI SABAH dapat dilihat pada hari ini. Akhirnya Islam hari ini menjadi agama yang dominan di Sabah. Tidak syak lagi bahawa penghormatan dan penghargaan tinggi wajar diberikan kepada Bapa Kemerdekaan Sabah, Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun atas sumbangan besar beliau sehingga Islam mencapai kejayaan besar dan gemilang itu di bumi Sabah.

Laporan dari Jabatan Perangkaan Negara bagi tahun 2000 sahaja menunjukkan bahawa penganut Islam di Sabah sudah mencapai 63.7 peratus. Menariknya, dari 14 buah negeri di Malaysia, Sabah kini berada di TANGGA KE-7 sebagai negeri yang paling ramai penduduk Islam. Dari segi fakta, Sabah yang dikurniakan lebih 30 suku atau etnik sudah jauh meninggalkan negeri-negeri di Semenanjung seperti Negeri Sembilan (58.6 %), Selangor (55.7 %), Perak (53.9 %), Johor (58.8 %), Pulau Pinang (44.2 %), Sarawak (31.3 %) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (46.2 %). Itulah bancian Jabatan Perangkaan yang meliputi peratusan penganut Islam bagi semua negeri di Malaysia 10 tahun lepas.

Dengan perkembangan gerakan dakwah yang pesat di alaf 2000, diikuti kemasukan orang bukan Islam ke agama Islam yang berlaku hampir setiap hari di Sabah, di samping siri pengislaman kecil-kecilan mahupun besar-besaran yang masih lagi berlangsung di Sabah ketika ini, tidak mustahil bahawa statistik penduduk Islam dalam laporan bancian kependudukan oleh Jabatan Perangkaan Negara untuk tahun 2010 akan bertambah lagi. Tidak memeranjatkan kalau nanti peratusan penduduk Islam akan meningkat kepada sekitar 65-70 peratus tahun hadapan. Andai jangkaan ini menjadi realiti, tidak mustahil kedudukan Sabah dari tangga ke-7 akan naik ke tangga ke-6 atau ke-5 sebagai negeri paling ramai penduduk di Malaysia. Sama-sama kita nantikan laporan bancian kependudukan oleh Jabatan Perangkaan Negara yang dijangka dikeluarkan pada tahun hadapan.

Berbalik kepada usaha PERSATUAN ULAMA MALAYSIA (PUM) Cawangan Sabah untuk mengumpulkan maklumat mengenai tokoh-tokoh dakwah di Sabah, ia dilihat sebagai satu usaha murni dan memang wajar disokong. Kaedah dan semangat dakwah para pendakwah terdahulu boleh dijadikan kayu ukur dan iktibar untuk generasi pendakwah di Sabah hari ini untuk memikirkan kaedah dan strategi dakwah yang bersesuaian pada zaman. Sementara masih ramai di kalangan para pendawah tersebut yg masih hidup, amat sesuailah kalau usaha ini digerakkan mulai sekarang.

Maklumat yang lebih tepat dan telus akan lebih mudah diperolehi dari individu-individu berkenaan.  Pepatah Orang Putih ada mengatakan “STRIKE THE IRON WHILE IT IS HOT “. Maknannya, nak pakai penggosok baju (Strika), biarlah masa ia masih panas supaya kehalusan baju lebih berkualiti dan cantik. Dengan kata lain, untuk mendapatkan maklumat utama dan tepat, biarlah dari individu-individu tersebut sendiri selagi mereka masih hidup.

Untuk makluman anda semua, selain mendapatkan maklumat secara terus dari individu-individu berkenaan yang masih hidup, beberapa buah buku yang bermaklumat  berkaitan gerakan dakwah dan tokoh-tokoh dakwah di Sabah juga boleh membantu dalam usaha ini. Berikut adalah sebahagian dari beberapa buah buku atau rujukan yang boleh membantu:

  • Abdullah Hussain, Tun Mustapha Bapa Kemerdekaan Sabah: Sebuah Biografi, Kuala Lumpur, M.F.I, 1976.
  • Subky Latif, Sebahagian Dari Memoir Tun Datu Mustapha: Merdeka Melalui Malaysia, Kuala Lumpur, Penerbit Pustaka Antara, 1981.
  • Muhiddin Yusin, Islam di Sabah, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990.
  • Yahaya Ismail. (1986). Politik Islam di Sabah. Kuala Lumpur: Dinamika Kreatif.
  • Ismail Yusoff. (2004). Politik dan agama di Sabah. Bangi Selangor: Universiti Kebangsaan Malaysia.
  • Ainol Jamal. (1989). Islam di Sabah tertindas. Sabah: Penebitan Tinta.
  • Sahari Abdul Latif, Mana Bendera Saya?, Sabah, Institut Penyelidikan Sastera Sabah (INPES), Cetakan kedua 2006.
  • R.M Jasni, Memoir Anak Sisa Peperangan, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.
  • Jeffrey G. Kitingan & Maximus J. Ongkili (e.d), Sabah 25 years later: 1963-1988, Institute for Development Studies (Sabah), 1989.
  • Jeffrey G. Kitingan, Justice for Sabah, Shelma Publications and News Agency, Lahad Datu, Sabah, 2006.
  • Patrick bin Sindu & Abdul Malek Unar, Isu 20 pekara: Jaminan dan perlindungan, STUDIO 3, Kota Kinabalu, 1993.
  • Sabihah Osman. (1985). Pentadbiran peribumi Sabah 1881-1941. Bangi Selangor: Universiti Kebangsaan Malaysia.
  • Sabihah Osman, Ismail Ali & Baszley Bee B., Tun Datu Hj. Mustapha bin Datu Harun: Jasabaktinya dalam pembangunan sosial Sabah, Universiti Malaysia Sabah, Sabah, 2006.
  • Abdul Hadi Harman Shah, Junaenah Sulehan, Mohamed Yusoff Ismail, Nor Azizan Idris & Zahra Yaacob, Tun Mustapha dan pembangunan Sabah, Yayasan Sabah,  1st Edition, Sabah, 2003.
  • Buku Cenderahati Kecemerlangan SUIS Tambunan Dalam 25 Tahun, Sempena Sambutan Jubli Perak ke 25 Tahun SUIS Tambunan, Julai 2001.
  • Jenar Lamdah, Datuk Harris Mohd. Salleh dengan politik Sabah, Affa Sendirian Berhad, Kuala Lumpur, 1981.
  • Johari Alias, How Islam spread to Sabah in Cenderamata  Sabah State Mosque, in conjunction with the official opening of the Sabah State Mosque by His Majesty the Yang Di Pertuan Agong on 28th. June 1977.
  • Herman J. Luping, Sabah dilemma: The political history of Sabah (1960-1994), Magnus Books, Kuala Lumpur, 1994.
  • Cesar Adib majul, Islam di Filipina, (Terjemahan dari Bahasa Inggeris oleh Shamsuddin Jaafar), Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1988.
  • L.W. Jones, The Population of Borneo,: A Study of the Peoples of Sarawak, Sabah and Brunei, Opus Publications, Sabah, 2007.
  • Hamdan bin Aziz, Parti politik USNO & BERJAYA di Sabah, 1961-1996, Unpublished Thesis Master of School of Science Social, Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu, Sabah, 2005.
  • Ismail Mat, “Haji Muhammad Suhaili Haji Yaakub” in Ismail Mat, (ed), Ulama silam dalam kenangan, Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, 1993.
  • Maidis Pongot, Gerakan Dakwah Islamiyah Di Daerah tambunan Sabah Selepas Merdeka Sehingga 1989: Penumpuan Kepada Zaman USNO-SCA, Berjaya Dan PBS (Kertas Projek) Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, 1989.
  • Suraya Sintang. (2007). Kehidupan beragama masyarakat Kadazandusun. Sabah: Universiti Malaysia Sabah.
  • Saif @ Shaifuddin Hj. Daud, Transformasi Sosial Menerusi Islamisasi; Satu Kajian Kes Di Kalangan Orang Dusun/Kadazan Di Ranau Sabah (Tesis Master Sains Pembangunan), Fakulti Sains Pembangunan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Kampus Sabah, 1993.
  • Shaifuddin Hj. Daud, MUIS: Penubuhan Dan Kegiatannya Sehingga Tahun 1981, (Latihan Ilmiah), Jabatan Dakwah Dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, 1983/1984.
  • Buku Cenderahati, Sambutan 30 Tahun 1978-2008 JAKIM Cawangan Sabah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Cawangan Sabah, 2008.
  • Jamil Hj. Hamali (ed), Islam di Borneo: Sejarah, Perkembangan Dan Isu-Isu Kontemporari, Pusat Penerbitan Universiti (UPENA), Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, 2009.

Sesungguhnya perbincangan mengenai perkembangan gerakan dakwah Islam di Sabah sebelum merdeka dan selepas merdeka tidak memadai untuk dimuatkan dalam artikel yang  seringkas ini. Setakat yang diketahui, ERAKITA mendapati bahawa kajian-kajian ilmiah di universiti tempatan yang dilakukan berkenaan perkembangan Islam di Sabah hanyalah setakat tahun 1993. Belum ada kajian ilmiah di peringkat Master atau Ph.D yang mengkhususkan perkembangan Islam di Sabah selepas 1994, zaman selepas kejatuhan pemerintahan PBS di Sabah. Dalam hal ini, ERAKITA berpendapat bahawa kajian secara terperinci mengenai perkembangan Islam di Sabah selepas 1994 wajar dilakukan oleh para sarjana di Malaysia dan khususnya bagi sarjana-sarjana dari Sabah sendiri.

Sesungguhnya, semenjak 1994 sehingga kini, banyak sekali perkembangan yang berlaku di negeri Sabah. Kemunculan pelbagai persatuan, organisasi dan pertubuhan Islam di Sabah sejak akhir-akhir ini nyata sekali merancakkan lagi perkembangan dakwah Islam di Sabah. Pegawai-pegawai dakwah agama dan tenaga sukarelawan dari badan-badan bukan kerajaan (NGO) Islam yang tidak putus-putus menyalurkan tenaga dan masa mereka untuk bergerak ke seluruh pelusuk negeri untuk berdakwah tidak dapat dinafikan lagi banyak membantu merancakkan perkembangan Islam di negeri ini. Kewujudan saluran informasi terkini seperti laman web dan blog-blog berunsur dakwah di negeri ini dilihat begitu berkesan menyalurkan maklumat dan perkembangan-perkembangan terkini dakwah Islamiah di Sabah.

Akhir sekali, ERAKITA mengucapkan tahniah sekali lagi kepada blog ABU NUHA CORNER atas artikel yang amat bernilai itu dan usaha PUM Cawangan Sabah kerana menggerakkan usaha yang amat murni ini. Semoga usaha tersebut dipermudah lagi diberkati Allah AWT.

DAKWAH SEPANJANG ZAMAN