Arkib Blog

SEMINAR KEBANGSAAN TRANSFORMASI PENGURUSAN HARTA PUSAKA 2016

USIM –  Seminar Kebangsaan Transformasi Harta Pusaka Kebangsaan telah diadakan di Universiti Islam Sains Malaysia (USIM) pada 22 September 2016 bersamaan 20 Zulhijjah 1437. Seminar sehari berkenaan yang dihadiri lebih kurang 1000 peserta dari dalam dan luar negara adalah anjuran Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dengan kerjasama USIM.

Seminar ini telah dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Datuk Seri Jamil Khir bin Baharom bagi mewakili Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi. Dalam majlis yang sama beliau turut melancarkan Projek Pembangunan Perisian Sistem e-Faraid.

Turut hadir adalah Yang Berhormat Senator Dato’ Dr Asyraf Wajdi bin Datuk Dusuki, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ketua Hakim Syarie yang juga Ketua Pengarah JKSM, Yang Amat Arif Tan Sri Dr Hj Ibrahim bin Lembut dan Dato’ Prof Dr. Musa Ahmad, Naib Canselor, USIM.

Peserta yang hadir terdiri dari pelbagai latar belakang . Selain Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan Syariah JKSM, Ketua-Ketua Hakim Syarie Negeri-Negeri, Hakim-Hakim Syarie, Mufti, pegawai kanan dari Jabatan Peguam Negara, pegawai-pegawai agama, peguam, pakar-pakar kewangan Islam, pensyarah-pensyarah dari universiti awam dan swasta serta orang awam juga turut hadir dalam seminar tersebut.

Beberapa kertas kerja dibentangkan oleh tokoh-tokoh perundangan Islam di negara ini. Pada sesi pagi, ucap tama telah disampaikan oleh Ketua Hakim Syarie JKSM, YAA Tan Sri Dr Hj Ibrahim bin Lembut dengan tajuk “Pengurusan Kes Harta Pusaka: Transformasi Alaf Madani”.

Dalam ucap tamanya, YAA Tan Sri Dr Ibrahim Lembut memaklumkan bahawa E-Faraid merupakan pembangunan sistem pengurusan faraid berasaskan web yang akan digunakan oleh Mahkamah Syariah di seluruh negara dan juga orang awam. E-Faraid juga merupakan aplikasi online seumpama ini yang pertama kali diwujudkan di dunia. Projek ini terdiri dari 2 modul iaitu E-Faraid dan dan K-Faraid.

E-Faraid adalah sistem pengurusan kes faraid yang dikendalikan di mahkamah syariah bermula dari pendaftaran kes sehingga perintah dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah yang digunakan oleh mahkamah syariah Malaysia. K-Faraid pula merupakan pembelajaran disiplin ilmu faraid meliputi kefahaman hukum syarak melibatkan faraid serta komponen pembelajaran secara interaktif kepada orang awam.

Kertas kerja pertama dibentangkan oleh Yang Arif Tuan Ahmad bin Lakim, Hakim Litar Mahkamah Tinggi Syariah Melaka, juga merangkap Pengarah Bahagian latihan JKSM bertajuk “Pengurusan dan Bidang Kuasa Kes Harta Pusaka Mahkamah Syariah di Malaysia: Cabaran dan Transformasi”.

Pada sesi petang pula, kertas kerja kedua telah dibentangkan oleh Dr Mushaddad Hasbullah, Pensyarah FSU, USIM bertajuk “Implikasi Harta Pusaka Dalam Konteks Hukum dan Nasab”. Kertas kerja ketiga pula dibentangkan oleh Tuan Hj Suhaime bin Mahbar, Pengarah Penyelidikan Perancangan dan Dasar, JPA dengan tajuk “Transformasi Pengurusan Pembahagian Harta Pusaka di Malaysia: Isu-Isu dan Penyelesaian”.

20160922_141006

20160922_123140

 

20160922_112444

20160922_112306

20160922_112337

20160922_123418

20160922_165955

20160922_172454

Advertisements

PENTADBIRAN UNDANG-UNDANG PUSAKA ISLAM DI SABAH

14 JULAI 2015

27 Ramadhan 1436H

Merasakan betapa pentingnya tajuk di atas dalam konteks perkembangan pentadbiran undang-undang Islam di Malaysia dan khususnya di Negeri Sabah, erakita sekali lagi menerbitkan artikel penuh berbentuk PDF untuk tatapan umum. Dalam artikel kali ini, ia lebih lengkap apabila rujukan atau sumber bahan perbincangan dimasukkan pada nota kaki. Hal ini dapat memudahkan umum membuat rujukan, khususnya bagi tujuan kajian lanjut di peringkat pengajian tinggi.

Artikel yang sama pernah diterbitkan sebelum ini pada 12 Mei 2015 dalam blog erakita. Bagaimanapun, nota kaki tidak dapat dimasukkan atas sebab teknikal. Semoga penerbitan kali ini akan mempunyai nilai tambah yang dapat menyumbang kepada penulisan sejarah perkembangan perundangan Islam di Malaysia dan khasnya di Negeri Sabah. Semoga usaha ini diterima sebagai amal soleh di sisi Allah.

Untuk mendapatkan artikel penuh dalam bentuk PDF, sila KLIK tajuk di bawah:

PENTADBIRAN UNDANG-UNDANG PUSAKA ISLAM DI SABAH

PEMANTAPAN MAHKAMAH ANAK NEGERI: SATU PENGALAMAN MAHKAMAH SYARIAH NEGERI SABAH

PEMANTAPAN MAHKAMAH ANAK NEGERI: SATU PENGALAMAN MAHKAMAH SYARIAH NEGERI SABAH

 

Oleh: Ahadin bin Arinen[1]

7 Mac 2015

PENDAHULUAN

Kewujudan Mahkamah Anak Negeri (MAN) di negara ini merupakan suatu perkara yang boleh dianggap luar biasa. Ini kerana, sukar sekali ditemui di mana-mana negara di dunia ini yang mempunyai sebuah mahkamah adat atau pribumi pada zaman moden yang serba canggih ini. Lebih unik lagi apabila hanya Sabah[2] dan Sarawak[3], kedua-duanya terletak dalam wilayah Malaysia Timur, merupakan dua negeri di Malaysia yang mempunyai mahkamah adatnya sendiri. Dalam konteks Negeri Sabah, kewujudan sebuah mahkamah adat atau pribumi dilihat sebagai sebahagian dari usaha kerajaan meraikan kepelbagaian adat dan budaya lebih dari 30 suku kaum di negeri ini yang telah wujud sekian lama sebelum kemerdekaannya pada tahun 1963. Kini, setelah lebih dari 100 tahun MAN ini, pelbagai usaha telah dan sedang dijalankan untuk memantap dan memperkukuhkan institusi kehakiman adat negeri ini seiring dengan perkembangan zaman. Pengalaman yang dilalui oleh mahkamah-mahkamah kehakiman yang lain seperti mahkamah sivil dan mahkamah syariah turut diambil kira dalam rangka merealisasikan pemantapan mahkamah adat ini.

Tulisan ini membincangkan pengalaman Mahkamah Syariah Negeri Sabah dalam rangka melaksanakan fungsinya sebagai sebuah badan kehakiman bagi melaksanakan keadilan kepada umat Islam di Negeri Sabah. Bagi memantapkan gambaran sebenar mengenai pengalaman yang dilalui oleh Mahkamah Syariah, Penulis memuatkan perbincangan mengenai sejarah kewujudan Mahkamah Syariah Negeri Sabah dan pengkanunan undang-undang bertulis yang terpakai bagi Mahkamah ini. Turut dibincangkan adalah penubuhan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah dan perjawatan. Perbincangan mengenai prasarana dan perkhidmatan yang disediakan di Mahkamah Syariah bagi memantapkan sistem penyampaian perkhidmatannya turut dilakukan. Penulis juga turut memuatkan perbincangan mengenai cabaran-cabaran dan perkembangan mutakhir Mahkamah Syariah Negeri Sabah bagi memperkukuhkan gambaran mengenai pengalaman sebenar Mahkamah ini dalam melaksanakan tugas kehakimannya. Adalah diharapkan bahawa perkongsian pengalaman Mahkamah Syariah tersebut boleh dijadikan sebagai salah satu bahan penting untuk MAN memperkasa dan memantapkan institusi adat negeri ini ke tahap yang lebih baik pada masa hadapan.

PERKEMBANGAN DAN PENGALAMAN MAHKAMAH SYARIAH NEGERI SABAH

Perkembangan undang-undang Islam dan Mahkamah Syariah sebelum merdeka 1963

Perkembangan undang-undang Islam dan penubuhan Mahkamah Syariah di Sabah berkait rapat dengan kewujudan MAN di negeri ini. Penubuhan MAN secara tidak rasmi dikatakan telahpun berlaku sejak tahun 1881 oleh pihak Syarikat Berpiagam Borneo Utara British (SBBUB). Bagaimanapun, penubuhan mahkamah berkenaan berlaku secara rasminya pada penghujung 1800-an apabila SBBUB mula memperkenalkan undang-undang bertulis bagi melicinkan pentadbiran keadilan ketika itu. Undang-undang yang dilaksanakan ketika itu adalah menurut undang-undang diri pribumi. Jika kes berkenaan melibatkan orang Islam, pengadil atau perunding yang dilantik adalah dari kalangan orang Islam yang mahir dalam undang-undang adat dan undang-undang Islam.[4] Mereka dikenali sebagai Ketua Anak Negeri (KAN).

Pengiktirafan terhadap institusi ini semakin terserlah apabila SBBUB memperkenalkan The Village Administration Proclamation 1891. Melalui undang-undang ini, KAN diserapkan dalam pentadbiran kerajaan bagi membantu Majistret mengendalikan pentadbiran undang-undang dan kehakiman.[5] Menariknya, majoriti KAN yang dilantik oleh pihak SBBUB sepanjang tempoh pentadbirannya dari 1881 sehingga 1941 adalah dari kalangan orang-orang Islam. Pada tahun 1915 sebagai contohnya, 8 dari 9 orang ahli Majlis Penasihat Ketua Anak Negeri adalah beragama Islam.[6] Semenjak tahun 1881 sehingga Sabah merdeka pada tahun 1963, undang-undang Islam terus berjalan dan berkembang selari dengan perkembangan undang-undang adat. Antara undang-undang bertulis yang diperkenalkan oleh SBBUB dan kerajaan selepasnya yang ada kaitan dengan undang-undang Islam sepanjang tempoh berkenaan selain The Village Administration Proclamation 1891 adalah Muhammadan Custom Proclamation of 1902, Mohammadan Ordinance 1914, The Native Administration Ordinance 1937, Muslims Ordinance 1953 dan Native Courts Ordinance 1953.[7]

Semasa pendudukan Jepun di Sabah antara tahun 1941 hingga 1945, pentadbiran hal ehwal Islam tetap berjalan. Menariknya, dalam keadaan genting dan tidak menentu, KAN yang majoritinya terdiri dari kalangan orang-orang Islam telah diambil dan dilantik oleh pentadbiran tentera Jepun untuk menjadi Majistret di bawah pengawasan tentera Jepun. Pengalaman berkhidmat dalam kerajaan walaupun singkat di bawah pentadbiran tentera Jepun sedikit sebanyak memberi pengalaman dan pengetahuan tambahan dalam pengurusan pentadbiran keadilan di kalangan mereka yang dilantik.[8]

 

Perkembangan undang-undang Islam dan Mahkamah Syariah selepas merdeka 1963

Sehingga Sabah mencapai kemerdekaan melalui pembentukan Malaysia pada tahun 1963, undang-undang utama bertulis yang terpakai bagi orang Islam di Sabah adalah Muslim Ordinance 1953.[9] Tidak timbul langsung penubuhan Mahkamah Syariah bagi membicarakan kes di kalangan orang-orang Islam. Ini kerana, Ordinan berkenaan tidak memasukkan sebarang peruntukan mengenai penubuhan  Mahkamah Syariah. Tidak sepertimana berlaku di negeri-negeri lain, penubuhan sebuah Majlis Agama Islam yang berfungsi sebagai nadi pentadbiran dan pengurusan hal ehwal Islam yang meliputi aspek perundangan Islam juga tidak diperuntukkan dalam Ordinan tersebut. Dengan kata yang lain, semua kes berkaitan undang-undang Islam dibicara dan diputuskan oleh KAN di Mahkamah Anak Negeri.

Dalam konteks Perlembagaan Negeri Sabah, Islam tidak dimasukkan sebagai agama Negeri Sabah sebagaimana negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia. Hal ini berlaku ekoran permintaan dan desakan pemimpin-pemimpin Sabah khususnya dari kalangan bukan Islam untuk tidak memasukkan Islam sebagai agama negeri dalam Perlembagaan Negeri semasa rundingan pembentukan Malaysia.[10] Perkara ini jelas terkandung dalam memorandum 20 Perkara yang dikemukakan dalam Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) yang menyaksikan bahawa perkara pertama dalam senarai Perkara 20 itu adalah berkenaan hal peniadaan peruntukan agama rasmi atau agama negeri bagi Negeri Sabah.[11] Ketiadaan Islam sebagai agama negeri dalam Perlembagaan Negeri Sabah berlangsung selama 10 tahun bermula dari saat kemerdekaan pada tahun 1963 sehinggalah tahun 1973.[12]

Ketiadaan peruntukan yang memasukkan Islam sebagai agama negeri Sabah dalam tempoh tersebut dilihat memberi kesan yang kurang sihat terhadap perkembangan undang-undang Islam di Sabah. Sementara dikatakan perkembangan agama lain khususnya Kristian dilihat subur, perkembangan Islam pula adalah sebaliknya. Hakikat bahawa tampuk pemerintahan seawal kemerdekaan yang dipegang oleh kebanyakannya pemimpin tempatan dari kalangan penganut Kristian dilihat memberi sumbangan kepada keadaan sedemikian terjadi.[13] Perkembangan Islam pula dilihat mula terserlah apabila Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) ditubuhkan secara rasminya pada tahun 1969. Jawatan Ketua Menteri ketika itu berada dalam pegangan Tun Datu Mustapha bin Datu Harun, yang juga Presiden USNO dan sekaligus Presiden USIA yang pertama. Dominasi orang Islam dalam kepimpinan tertinggi Negeri Sabah di samping tertubuhnya organisasi seperti USIA telah memberi sumbangan penting kepada suburnya gerakan dakwah dan perkembangan Islam di Sabah seawal 1970.

 

Islam Sebagai Agama Rasmi Negeri Sabah

Tarikh 23 September 1973 menjadi detik penting dalam perkembangan Islam di Sabah apabila Dewan Undangan Negeri Sabah meluluskan pindaan terhadap Perlembagaan Negeri Sabah dengan menetapkan Islam sebagai agama rasmi Sabah.[14] Perkara 5(A) Perlembagaan berkenaan menetapkan bahawa Islam menjadi agama rasmi negeri manakala agama-agama lain boleh dianuti dan diamalkan dengan aman dan harmoni di negeri ini. Roh peruntukan yang baru ini adalah sejajar dengan undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan berserta jaminan kebebasan beragama di kalangan rakyatnya.[15] Dari aspek lain, pindaan terhadap Perlembagaan Negeri ini sekaligus mengubah kedudukan asal Islam di Sabah yang sebelumnya tidak diberi tempat dalam perlembagaan sebagaimana termaktub dalam 20 Perkara.[16] Sesungguhnya kedudukan istimewa Islam sebagai agama rasmi negeri telah memberi sumbangan dari segi semangat dan usaha berterusan kepada kerajaan untuk memantapkan undang-undang dan pentadbiran keadilan syariah di Sabah untuk tahun-tahun seterusnya.

Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak Negeri Sabah 1971

Enakmen bagi mengatur dan mentadbir hal ehwal orang-orang Islam Sabah yang pertama diluluskan selepas merdeka adalah Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak Negeri Sabah 1971. Antara tujuan utama Enakmen ini adalah bagi membolehkan kerajaan menubuhkan sebuah badan berkanun Islam yang akan bertanggungjawap sepenuhnya terhadap pentadbiran dan perkembangan Islam di Sabah. Rentetan wujudnya Enakmen ini, akhirnya kerajaan telah menubuhkan Majlis Ugama Islam Sabah secara rasmi pada 25 April 1971.[17] Majlis ini diperlukan untuk mengkaji keperluan bagi penubuhan Mahkamah yang khusus untuk orang-orang Islam di Sabah. Di samping itu, bagi mencapai matlamat ini, satu enakmen yang baru bagi membolehkan penubuhan sebuah mahkamah khas bagi orang-orang Islam yang dinamakan Mahkamah Syariah perlu diwujudkan.

Enakmen 1971 ini tidak mengandungi peruntukan bagi membolehkan penubuhan mahkamah khusus untuk orang Islam iaitu Mahkamah Syariah. Perlantikan hakim atau qadi juga tidak diperuntukkan dalam enakmen ini. Ini bermakna, kedudukan asal sebagaimana amalan pentadbiran undang-undang Islam di zaman sebelum merdeka masih kekal melainkan penubuhan sebuah Majlis Ugama Islam. Enakmen ini antara lainnya hanya memperuntukkan perlantikan mufti, ahli jawatankuasa undang-undang Majlis dan imam-iman. Walaupun imam-imam diberi kuasa untuk menguruskan hal ehwal nikah, cerai dan rujuk, namun kuasa mereka amat terhad. Pertikaian hanya dapat dibicarakan di Mahkamah Anak Negeri memandangkan tiada hakim atau qadi yang dilantik di bawah enakmen tersebut. Beberapa kesalahan jenayah syariah antaranya gagal membayar nafkah, khalwat dan zina terpaksa dirujuk untuk dibicara dan diputuskan oleh Mahkamah Anak Negeri.[18] Kekurangan ketara dalam Enakmen tersebut mendorong kerajaan untuk meneruskan usaha menambahbaik dan meningkatkan kelicinan pentadbiran undang-undang Islam di Sabah dengan memperkenalkan undang-undang yang lebih lengkap dan tersusun selepasnya. Buktinya, Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak 1977 telah diperkenalkan bagi menggantikan Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak 1971.

PENUBUHAN MAHKAMAH SYARIAH NEGERI SABAH

Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak Negeri Sabah No. 15 Tahun 1977

23hb. Disember 1977 menjadi tarikh keramat dalam perkembangan undang-undang Islam di Sabah apabila Dewan Undangan Negeri Sabah meluluskan Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak 1977. Enakmen ini memansuhkan Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak 1971 yang ternyata masih banyak kekurangannya.[19] Enakmen yang mengandungi 109 seksyen ini lebih lengkap berbanding Enakmen terdahulu di mana beberapa peruntukan penting dan bersejarah telah dimuatkan. Antara peruntukan yang besar impaknya terhadap perkembangan pentadbiran undang-undang Islam di Sabah ialah adanya peruntukan yang memberi kuasa kepada Yang Dipertua Negeri Sabah untuk menubuhkan Mahkamah Syariah.[20]

Di bawah Enakmen yang baru ini, terdapat 3 peringkat Mahkamah Syariah iaitu Mahkamah Rayuan Syariah, Mahkamah Qadi Besar dan Mahkamah Qadi. Buat pertama kalinya dalam sejarah apabila Mahkamah Syariah mula beroperasi di Sabah seiring dengan perlantikan Qadi-qadi Mahkamah pada 1hb. Febuari 1978. Dengan kuasa yang diberi Enakmen ini, Yang Dipertua Negeri Sabah telah melantik Datuk Hj. Ahmad bin Idris sebagai Qadi Besar pertama bagi Sabah dan seorang Qadi bagi setiap residensi yang ditetapkan.[21] Terdapat 5 residensi Mahkamah Syariah bagi seluruh Sabah yang terdiri dari Pantai Barat Kota Kinabalu, Pedalaman, Kudat, Sandakan dan Tawau. Antara kathi-kathi yang dilantik dan menjadi perintis kepada nafas baru Mahkamah Syariah Sabah ialah Datuk Hj. Zaman bin Lassim, Pengiran Hj. Daud bin Pg. Ismail, Datuk Hj. Abdul Wahid bin Osman dan Datuk Hj. Mohd. Noor Wahab.[22]

Mahkamah Qadi dan Mahkamah Qadi Besar diberi kuasa sebagai mahkamah mula bicara dengan bidangkuasa yang berbeza.[23] Mahkamah Rayuan Syariah pula berperanan untuk mendengar dan memutuskan kes-kes yang dirayu dari Mahkamah Qadi atau Mahkamah Qadi Besar.[24]

Bagi memantapkan lagi undang-undang ini, pindaan telah dilakukan ke atas Enakmen ini pada tahun 1981. Struktur organisasi Mahkamah Syariah disusun semula dengan masih mengekalkan tiga peringkat Mahkamah iaitu Mahkamah Qadi, Mahkamah Qadi Bahagian dan Mahkamah Rayuan Syariah.[25] Pindaan tersebut telah memansuhkan Mahkamah Qadi Besar dan mengujudkan Mahkamah Qadi Bahagian. Ini bermakna, Mahkamah Qadi Bahagian telah mengambilalih bidangkuasa yang sebelum ini diberikan kepada Mahkamah Qadi Besar. Qadi Besar pula dilantik sebagai Yang diPertua Mahkamah Syariah Negeri Sabah dan tidak lagi membicarakan kes-kes di peringkat mahkamah mula bicara. Qadi Besar hanya mendengar kes rayuan bersama 2 orang ahli penal. Ini bermakna keanggotaan ahli Mahkamah Rayuan Syariah telah dikurangkan dari 7 orang kepada 3 orang sahaja. Ahli penal rayuan itu pula mestilah dianggotai dari kalangan Qadi Bahagian yang tidak pernah mendengar kes yang dirayu itu dari peringkat mula bicara.

Perubahan yang berlaku dalam struktur organisasi Mahkamah Syariah dalam Pindaan 1981 sesungguhnya amat penting dalam memperkemas dan memperkukuhkan institusi Mahkamah Syariah di Sabah. Kewibawaan Qadi yang memegang jawatan penting dalam kehakiman syariah semakin terserlah apabila jawatan berkenaan mula diisi dari kalangan mereka yang berkelayakan dari segi latihan dan akademik. Bermula tahun 1986, jawatan tersebut mula diisi oleh mereka yang mendapat Diploma Pentadbiran Undang-Undang dan Kehakiman Islam (DAIJ) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Petaling Jaya. Yang Arif Ahmad bin Lakim adalah antara generasi baru dengan kelayakan DAIJ telah dilantik menjawat Jawatan Qadi di Pantai Barat Kota Kinabalu pada tahun 1986.[26]Akademik dan latihan di peringkat Diploma Lanjutan di UIAM berkenaan telah mendedahkan para Qadi kepada kemahiran dan ilmu yang mantap bagi menjalankan tugas kehakiman. Tenaga pengajar pula adalah dari kalangan pakar undang-undang baik dari segi akademik mahupun pengalaman memandangkan majoritinya adalah professor undang-undang dan bekas-bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Malaysia yang telah bersara.

Pengukuhan Mahkamah Syariah dan Undang-Undang Islam Sabah

Perkembangan undang-undang Islam di Sabah terus subur apabila satu Jawatakuasa Teknikal Negeri Sabah dibentuk pada tahun 1989. Jawatankuasa ini bertanggungjawap untuk menyemak deraf beberapa enakmen yang telah disediakan oleh Jawatankuasa Teknikal Pusat yang telah dipengerusikan oleh Almarhum Tan Sri Prof. Ahmad Ibrahim di peringkat kebangsaan. Ekoran dari usaha Jawatankuasa Teknikal Negeri Sabah, akhirnya satu lagi sejarah indah dan amat penting bagi perundangan Islam di Sabah apabila Badan Perundangan Negeri Sabah meluluskan 9 Enakmen Hukum Syarak sepanjang tahun 1991 hingga tahun 1995. Undang-Undang tersebut adalah:

  1. Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam No. 7 Tahun 1991
  2. Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam No. 13 Tahun 1992.
  3. Enakmen Mahkamah Syariah No. 14 Tahun 1992.
  4. Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam No. 15 Tahun 1992.
  5. Enakmen Undang-Undang Keterangan Mahkamah Syariah No. 16 Tahun 1992.
  6. Enakmen Undang-Undang Zakat Fitrah No. 06 Tahun 1993.
  7. Enakmen Prosedur Mal Syariah No. 09 Tahun 1993.
  8. Enakmen Prosedur Jenayah Syariah No. 10 Tahun 1993.
  9. Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah No. 03 Tahun 1995.

Kewujudan dan pewartaan Enakmen-Enakmen tersebut telah merubah landskap pentadbiran Islam dan undang-undang Islam di Sabah pada skala yang begitu berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya. Beberapa institusi atau agensi baru telah ditubuhkan oleh kerajaan bagi mentadbir hukum syarak. Berkuatkuasa 1hb. Disember 1995, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah (JKSNS) telah ditubuhkan. Kelahiran JKSNS telah mengambil alih tugas mentadbir mahkamah-mahkamah syariah dari Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) sepenuhnya bermula 1hb. Januari 1996. Kedua-dua jabatan ini diletakkan di bawah kawalan Jabatan Ketua Menteri (JKM). Bagi JKSNS, Jabatan ini diketuai oleh Ketua Hakim Syarie Negeri.[27]

 

Organisasi Baru Mahkamah Syariah Negeri Sabah

Organisasi Mahkamah berubah sekali lagi dengan adanya Enakmen Mahkamah Syariah 1992. 3 peringkat mahkamah masih dikekalkan. Bagaimanapun, gelaran Qadi telah dimansuhkan dan digantikan dengan gelaran dan jawatan Hakim Syarie. Penggunaan gelaran Hakim Syarie sesungguhnya satu lagi usaha yang murni untuk memartabatkan institusi kehakiman Islam ke tempat yang dihormati dan disegani. Gelaran tersebut mempunyai nilai yang tinggi khususnya dalam konteks wibawa, penghormatan dan keberkesanan tugasan kehakiman di mata masyarakat. 3 peringkat Mahkamah Syariah telah berubah menjadi:

  1. Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Sabah
  2. Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sabah
  3. Mahkamah Rendah Syariah Negeri Sabah.[28]

 

Undang-Undang Islam Mutakhir

Usaha memantapkan institusi Mahkamah Syariah dan pentadbiran undang-undang Islam di Sabah tidak terhenti begitu saja. Tidak sampai 10 tahun, usaha untuk memperkemaskan pentadbiran mahkamah syariah dan undang-undang diteruskan lagi. Matlamat utama adalah untuk menjadikan enakmen-enakmen yang sedia ada diseragamkan dengan enakmen-enakmen di negeri-negeri lain di Malaysia. Berikutan itu, bermula 1hb. Jun 2005, beberapa enakmen baru dikuatkuasakan bagi menggantikan enakmen-enakmen yang terpakai di Mahkamah sebelumnya di samping wujudnya beberapa enakmen baru. Enakmen-enakmen terkini yang sedang diguna pakai adalah:

  1. Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam No. 7 Tahun 1991.
  2. Enakmen Undang-Undang Zakat Fitrah No. 06 Tahun 1993.
  3. Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah No. 03 Tahun 1995.
  4. Enakmen Perbadanan Baitulmal No. 11 Tahun 1998.
  5. Enakmen Majlis Ugama Islam Sabah No. 05 Tahun 2004.
  6. Enakmen Mahkamah Syariah No. 06 Tahun 2004.
  7. Enakmen Fatwa Negeri Sabah No. 07 Tahun 2004.
  8. Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam No. 08 Tahun 2004.
  9. Enakmen Tatacara Jenayah Syariah No. 09 Tahun 2004.
  10. Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah No. 10 Tahun 2004.
  11. Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah No. 11 Tahun 2004.

Berdasarkan kepada sinario yang ada, enakmen-enakmen yang terdahulu telah dimansuhkan. Enakmen Majlis Ugama Islam Sabah 2004 sebagai contohnya telah memansuhkan Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam No. 13 Tahun 1992. Ini bermakna selepas tahun 1995, terdapat 3 undang-undang bertulis yang baru diperkenalkan iaitu Enakmen Perbadanan Baitulmal 1998, Enakmen Majlis Ugama Islam Sabah 2004 dan Enakmen Fatwa Negeri Sabah 2004. Dengan perkembangan terbaru ini, kini terdapat sebanyak 11 Enakmen yang berkaitan Pentadbiran dan Undang-Undang Islam di Negeri Sabah iaitu 8 yang terbaru di atas dan 3 yang terdahulu iaitu  Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam No. 7 Tahun 1991, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah No. 03 Tahun 1995 dan Enakmen Undang-Undang Zakat Fitrah No. 06 Tahun 1993.

Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1995 dikekalkan tanpa sebarang pindaan walaupun pada dasarnya, Enakmen berkenaan dilihat perlu diperkemaskan sejajar kelahiran beberapa enakmen lain yang kini lebih segar dan kemas. Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 1992 bagaimanapun masih kekal kuatkuasanya walaupun Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004 telah dilulus dan diwartakan. Justeru, pada ketika ini, terdapat 2 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam di negeri ini yang berkuatkuasa. Tindakan segera adalah perlu untuk memansuhkan enakmen yang terdahulu untuk mengelak kesulitan dalam konteks perlaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang keluarga Islam di negeri ini.

 

PENUBUHAN JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH NEGERI SABAH

Berkuatkuasa 1hb. Disember 1995, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah (JKSNS) telah ditubuhkan. Kelahiran JKSNS telah mengambil alih tugas mentadbir mahkamah-mahkamah syariah dari Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) sepenuhnya bermula 1hb. Januari 1996. Selain JKSNS, sebuah jabatan baru bagi mentadbir dan melaksana segala urusan dan hal ehawal orang Islam di Sabah juga ditubuhkan iaitu Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS). Kedua-dua jabatan ini diletakkan di bawah kawalan Jabatan Ketua Menteri (JKM). Bagi JKSNS, Jabatan ini diketuai oleh Ketua Hakim Syarie Negeri.[29]

Di awal penubuhannya,  Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah dibekalkan dengan 65 jawatan dimana 37 darinya bertaraf sementara. Bilangan jawatan ini ditambah menjadi 75 jawatan pada 1999. Pada tahun  2000, melalui Waran Perjawatan Bil.27/2000, Bil.28/2000. Bil.29/2000, Bil.61/2000 dan Bil.69/2000, Jabatan ini mempunyai 83 jawatan termasuk 11 darinya masih bertaraf sementara.  Mulai 1 November 2002 melalui Waran Perjawatan Bil.33/2004,  Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah dibekalkan sebanyak 88 jawatan bertaraf tetap berikutan penggredan semula beberapa jawatan pada lapisan baru SSM. Jawatan Ketua Hakim Syarie Negeri kemudiannya dinaiktaraf dari Gred LS54 kepada Gred Utama C mulai 1 April 2005 melalui Waran Perjawatan Bil.49/2005. 2 jawatan lagi ditambah melalui Waran Perjawatan Bil.45/2005 menjadikan 90 jawatan kesemuanya.[30]

 PENYERTAAN KE DALAM SKIM PERKHIDMATAN GUNASAMA PERSEKUTUAN

Mahkamah Syariah Negeri Sabah melakar sejarah apabila memasuki Skim Perkhidmatan Gunasama Pegawai Syariah Persekutuan pada 19hb. Jun 2008. Sabah menjadi negeri yang ke-7 memasuki skim tersebut selepas Selangor, Melaka, Perlis, Wilayah Persekutuan,[31] Pulau Pinang dan Melaka.[32] Menariknya ialah, Negeri Sabah adalah satu-satunya negeri yang menyertai skim ini melibatkan semua pegawai dan kakitangan bermula Ketua Hakim Syarie Negeri sehinggalah kakitangan sokongan.[33]

Jika sebelum memasuki Skim Perkhidmatan Gunasama Persekutuan, bilangan waran perjawatan yang diluluskan kerajaan bagi Mahkamah Syariah Sabah hanya 90 jawatan, kini dengan penyertaan dalam Skim Perkhdimatan Gunasama Persekutuan bilangannya bertambah lebih sekali ganda iaitu 214 jawatan.[34] Jawatan Ketua Hakim Syarie Negeri adalah Gred Utama Jusa C manakala 5 jawatan bagi Hakim Mahkamah Tinggi Syariah adalah masing 2 bagi Gred LS52 dan 3 bagi Gred LS48. Selain itu, terdapat lagi satu jawatan penting dalam pentadbiran Mahkamah Syariah dengan Gred LS48 iaitu Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah menjadikan terdapat sebanyak 4 Gred LS48 kesemuanya. Gred LS44 adalah sebanyak 14 di mana 13 daripadanya adalah dikhususkan bagi jawatan Hakim Mahkamah Rendah Syariah dan selebihnya adalah untuk jawatan Pendaftar Kanan Mahkamah Syariah. Pegawai Sulh pula memegang Gred LS41 dengan bilangan sebanyak 13 jawatan.

Sejajar dengan keperluan dan perkembangan semasa, JKSNS dengan kerjasama Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah memulakan usaha pada tahun 2012 ini untuk melaksanakan unjuran semula perjawatan pegawai serta kakitangan JKSNS. Unjuran ini dibuat setiap 5 tahun sekali. Usaha ini melibatkan penaiktarafan gred jawatan Ketua Hakim Syarie dari Gred Utama Jusa C kepada Jusa B. Hakim Mahkamah Tinggi Syarie pula akan dinaiktaraf dari Gred LS52 dan LS48 kepada Jusa C dan LS54. Jawatan Ketua Pendaftar pula akan dinaik taraf dari Gred LS48 kepada LS54. Hakim Mahkamah Rendah Syariah pula akan dinaik taraf dari Gred LS44 kepada LS52 dan sebahagiannya adalah sekurang-kurangnya Gred LS48.

Usaha juga sedang dilakukan untuk menambah dan menaikkan gred jawatan bagi Pegawai-Pegawai Syariah yang terdiri dari Pegawai Sulh, Pendaftar, Timbalan Pendaftar dan Penolong Pendaftar kepada gred yang lebih baik. Jawatan-jawatan lain khususnya melibatkan khidmat pengurusan turut ditambah sesuai dengan pembukaan beberapa mahkamah lagi seperti Sipitang dan Ranau. Jika usaha ini mendapat kelulusan dari pihak kerajaan, bilangan pegawai dan kakitangan Jabatan ini akan bertambah lagi sekurang-kurangnya dalam 250 orang. Keputusan mengenai perkara ini dijangka diperolehi selewat-lewatnya penghujung tahun 2013.[35]

PENAIKAN TARAF MAHKAMAH SYARIAH SETANDING MAHKAMAH SIVIL

Satu sejarah penting bakal tercipta bagi Mahkamah Syariah di negara ini apabila kedudukannya akan berada sama taraf dengan Mahkamah Sivil dari segi perjawatan, emolumen dan lain-lain yang berkaitan. Usaha sedang dijalankan di peringkat Persekutuan bagi menaikkan taraf Mahkamah Syariah dari 3 peringkat kepada 5 peringkat sebagaimana di Mahkamah Sivil.[36] Ketika ini 3 peringkat yang sedia ada adalah Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah. 5 peringkat Mahkamah yang sedang diusahakan adalah:

  1. Mahkamah Rendah Syariah
  2. Mahkamah Tengah Syariah
  3. Mahkamah Tinggi Syariah
  4. Mahkamah Rayuan Syariah Negeri
  5. Majlis Rayuan Syariah

Untuk mencapai tujuan di atas, 2 Akta di peringkat Persekutuan telah dicadangkan iaitu Akta Suruhanjaya Perlantikan Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan Syariah Negeri dan Majlis Rayuan Syariah dan Akta Saraan Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Mahkamah Rayuan Syariah dan Majlis Rayuan Syariah. Kedua-dua Akta yang akan dicadangkan ini memperuntukkan penubuhan Suruhanjaya Pelantikan dan Penetapan Saraan (gaji, elaun, pencen dan faedah-faedah lain) Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Mahkamah Rayuan Syariah Negeri dan Majlis Rayuan Syariah. Kewujudan Suruhanjaya ini akan menjadikan taraf Hakim-Hakim di Mahkamah Syariah bermula Hakim Mahkamah Tinggi Syariah sehingga ke atas akan setaraf dengan Hakim-Hakim di Mahkamah Tinggi Sivil.[37]

 

PEMBANGUNAN MAHKAMAH SYARIAH SABAH

Setakat 1 Mac 2015, terdapat sebanyak 11 buah Mahkamah Rendah Syariah bagi seluruh Sabah. Daerah-daerah tersebut adalah Kota Kinabalu, Papar, Beaufort, Keningau, Kota Belud, Kudat, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Tawau dan Semporna. Kesemua Mahkamah Rendah Syariah di daerah-daerah berkenaan telahpun beroperasi sepenuhnya. Usaha berterusan oleh kerajaan untuk meningkatkan imej dan kewibawaan Mahkamah Syariah Sabah jelas kelihatan apabila beberapa daerah telahpun mempunyai bangunan mahkamah sendiri. Ketika ini, daerah-daerah yang telahpun mempunyai bangunan Mahkamah Syariah adalah Keningau, Beaufort, Lahad Datu, Kinabatangan dan Semporna.

Pembinaan sebuah komplek bangunan Mahkamah Syariah untuk Kota Kinabalu dijangka akan dimulakan pada tahun 2015 di bawah peruntukan bagi Rolling Plan ke-4 dalam Rancangan Malaysia 10. Majlis Pecah Tanah bagi pembinaan kompleks bernilai 63 juta di atas tapak seluas 5 ekar ini telah disempurnakan dengan rasminya oleh YAB Datuk Seri Panglima Musa bin Haji Aman, Ketua Menteri Sabah pada 13 Febuari 2015.[38] Sesungguhnya keadaan pada hari ini adalah jauh lebih baik dan kemas berbanding 20 tahun lampau walaupun tidak dinafikan masih banyak kekurangan dan kelemahan yang boleh diperbaiki pada masa hadapan.

  

VISI, MISI DAN OBJEKTIF JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH NEGERI SABAH

Visi Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah adalah ”Menjadi Institusi Kehakiman Syariah Yang Berwibawa.” Sesuai dengan tugas yang besar untuk memartabatkan perundangan Islam, Jabatan ini mempunyai misi yang penting iaitu melaksanakan pengadilan, pengurusan mahkamah dan perkhidmatan sokongan secara profesional, berkesan dan sistematik berasaskan Hukum Syarak dan peruntukan undang-undang.

Bagi memastikan pelaksanaan misi dan pencapaian visi adalah, Jabatan ini telah menetapkan objektif penubuhannya iaitu:

  1. i) Menyegerakan pengendalian kes-kes Syariah dengan adil, teratur dan berkesan;
  2. ii) Mempertingkatkan pengetahuan dan kemahiran pegawai dan kakitangan dari aspek perundangan dan pengurusan;

iii)     Melaksanakan dengan berkesan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi  (ICT) dalam pentadbiran;

  1. iv) Menyedia dan mempertingkatkan kemudahan infrastruktur yang mencukupi dan terbaik.

OPERASI UTAMA JABATAN

Jabatan ini diketuai oleh Ketua Hakim Syarie yang juga berfungsi sebagai Pengarah Jabatan. Ketua Hakim Syarie mempunyai pejabatnya sendiri yang dinamakan sebagai Pejabat Ketua Hakim Syarie. Bagi melicinkan pergurusan dan pentadbiran, Jabatan ini mempunyai 2 bahagian utama iaitu Bahagian Khidmat Pengurusan dan Bahagian Khidmat Kehakiman.

Dari segi operasinya, Bahagian Khidmat Pengurusan berfungsi bagi menjalankan urusan pentadbiran am, pengurusan sumber manusia, perkhidmatan, perjawatan, pembangunan, perolehan, urusan kewangan dan akaun dan keurusetiaan. Bahagian ini juga menjalankan fungsi-fungsi pengurusan kes-kes rayuan Mahkamah Rayuan Syariah. Bahagian ini diketuai oleh Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan. Ia mempunyai pejabatnya sendiri yang dinamakan Pejabat Ketua Pendaftar.

Bahagian Pentadbiran Kehakiman pula terdiri daripada Mahkamah Rendah dan Tinggi Syariah. Bahagian ini menyediakan perkhidmatan pengurusan kes-kes mal (termasuk pembahagian harta pusaka atau faraid dan hal-hal yang berkaitan dengannya) mengikut bidangkuasa dari peringkat pendaftaran, penyediaan kes, sebutan atau pra-bicara, perbicaraan, pengurusan perintah, pelaksanaan perintah dan pengurusan rayuan. Selain itu, bahagian ini turut menjalankan pengurusan dan kuasa-kuasa pengadilan  kes-kes jenayah Syariah mengikut bidangkuasa dari peringkat pendaftaran, penyediaan kes, sebutan atau pra-bicara, perbicaraan, pengurusan perintah, pelaksanaan hukuman atau perintah dan rayuan.

BIDANGKUASA MAHKAMAH SYARIAH SABAH

Secara umumnya, bagi melihat apakah perkara-perkara yang terletak di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah, rujukan utama boleh dibuat kepada Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang induk dan tertinggi dalam negara. Senarai 2 (Senarai Negeri) Jadual 9, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan seperti berikut:

Kecuali mengenai Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Hukum Syarak dan undang-undang diri dan keluarga bagi orang yang menganut Ugama Islam, termasuk hukum Syarak berhubung dengan mewarisi harta berwasiat dan tak berwasiat, pertunangan, perkahwinan, perceraian, mas kahwin, nafkah, pengambilan anak angkat, tafar anak, penjagaan anak, pemberian, pembahagian harta dan amanah bukan khairat; Wakaf Islam dan ta’arif  serta peraturan mengenai amanah khairat dan khairat agama, perlantikan pemegang-pemegang amanah dan perbadanan bagi orang-orang mengenai pemberian Ugama Islam dan khairat, yayasan, amanah, khairat dan yayasan khairat yang dijalankan, kesemuanya sekali dalam negeri; adat istiadat Melayu; zakat fitrah dan baitulmal atau hasil Ugama Islam yang seumpamanya; masjid atau mana-mana tempat sembahyang awam untuk orang Islam; mengadakan dan menghukum kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh orang-orang yang menganut Ugama Islam terhadap rukun-rukun Islam, kecuali mengenai perkara-perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan, keanggotaan, penyusunan dan acara bagi Mahkamah-Mahkamah Syariah, yang akan mempunyai bidang kuasa hanya ke atas orang-orang yang menganut Ugama Islam dan hanya mengenai mana-mana perkara yang termasuk dalam perenggan ini, tetapi tidak mempunyai bidang kuasa mengenai kesalahan-kesalahan kecuali setakat yang diberi oleh Undang-undang Persekutuan, mengawal pengembangan iktikad dan kepercayaan antara orang-orang yang menganut Ugama Islam; menentukan perkara-perkara hukum Syarak dan iktikad dan istiadat Melayu.

Negeri-negeri diberi kuasa untuk menubuhkan Mahkamah Syariah dan membuat undang-undang khusus untuk orang-orang Islam.[39] Bagaimanapun, undang-undang yang diluluskan melalui Badan Perundangan Negeri tidak boleh berlawanan dengan perkara-perkara yang telahpun disenaraikan dalam Senarai Negeri dalam Perlembagaan Persekutuan itu.[40] Semua negeri di Malaysia termasuk Sabah telahpun mempunyai Mahkamah Syariah sendiri di samping undang-undang yang terpakai bagi orang-orang Islam. Dalam konteks Mahkamah Syariah Negeri Sabah ketika ini, terdapat 3 peringkat Mahkamah yang telah diberi bidangkuasa masing-masing sebagaimana diperuntukkan dalam Enakmen Mahkamah Syariah 2004. Bidangkuasa tersebut dapat dilihat seperti yang dinyatakan di bawah ini.

Bidangkuasa Mahkamah Rendah Syariah[41]

Mahkamah Rendah Syariah mempunyai bidang kuasa di seluruh Bahagian atau Daerah di mana ia ditubuhkan. Mahkamah ini diketuai oleh seorang Hakim Mahkamah Rendah Syariah. Bidangkuasa Jenayah dan Mal bagi Mahkamah ini dinyatakan dalam Seksyen 12 Enakmen Mahkamah Syariah 2004.

(a) Dalam bidang kuasa jenayahnya, Mahkamah Rendah Syariah membicarakan apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh seseorang Islam di bawah Enakmen Majlis Ugama Islam Negeri Sabah 2004, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1995 atau di bawah mana-mana undang-undang bertulis lain yang berkuat kuasa yang menetapkan hukuman maksimum yang diperuntukkan oleh Enakmen-Enakmen itu atau mana-mana undang-undang bertulis lain, tidak melebihi tiga ribu ringgit, atau pemenjaraan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, dan boleh mengenakan mana-mana hukuman Yang diperuntukkan bagi kesalahan itu.

(b) Dalam bidang kuasa malnya, Mahkamah Rendah Syariah mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding yang Mahkamah Tinggi Syariah diberi kuasa untuk mendengar dan memutuskannya, jika amaun atau nilai hal perkara yang dipertikaikan itu tidak melebihi satu ratus ribu ringgit atau yang tidak dapat dianggarkan dengan wang (tidak termasuk tuntutan hadhanah atau harta sepencarian).

Bidang kuasa Mahkamah Tinggi Syariah.[42]

Mahkamah Tinggi Syariah mempunyai bidang kuasa di seluruh Negeri Sabah. Ia diketuai oleh seorang Hakim Mahkamah Tinggi Syariah. Tidak seperti Mahkamah Rendah Syariah, Ketua Hakim Syar’ie Negeri boleh bersidang sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah dan mengetuai Mahkamah itu. Bidangkuasa Jenayah dan Mal bagi Mahkamah ini dinyatakan dalam Seksyen 11 Enakmen Mahkamah Syariah 2004.

(a) Dalam bidang kuasa jenayahnya, Mahkamah Tinggi Syariah membicarakan apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh seseorang Islam dan boleh dihukum di bawah Enakmen Majlis Ugama Islam Negeri Sabah 2004, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1995 atau di bawah mana-mana undang-undang bertulis lain yang berkuat kuasa yang memberi Mahkamah Tinggi Syariah bidang kuasa untuk membicarakan apa-apa kesalahan, dan boleh mengenakan apa-apa hukuman yang diperuntukkan di dalamnya.

(b) Dalam bidang kuasa malnya, Mahkamah Tinggi Syariah mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding jika semua pihak dalam tindakan atau prosiding itu adalah orang Islam. Perkara dalam tindakan atau prosiding itu adalah berhubungan dengan:

 (i) pertunangan, perkahwinan, ruju’, perceraian, pembubaran perkahwinan (fasakh), nusyuz, atau pemisahan kehakiman (faraq) atau apa-apa perkara lain yang berkaitan dengan perhubungan antara suami isteri;

(ii) apa-apa pelupusan atau tuntutan harta yang berbangkit daripada mana-mana perkara yang dinyatakan dalam subperenggan (i);

(iii) nafkah orang-orang tanggungan, kesahtarafan, atau penjagaan atau jagaan (hadhanah) kanak-kanak;

(iv) pembahagian atau tuntutan harta sepencarian;

(v) wasiat atau alang semasa marad-al-maut seseorang si mati yang beragama Islam;

(vi) alang semasa hidup (hibbah), atau penyelesaian yang dibuat tanpa balasan yang memadai dengan wang atau nilaian wang oleh seseorang orang Islam;

(vii) wakaf atau nazr dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya;

(viii) pembahagian dan pewarisan harta berwasiat atau tak berwasiat atau Pelantikan Wasi dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya;

(ix) penentuan orang-orang yang berhak kepada bahagian harta pusaka seseorang si mati yang beragama Islam atau bahagian-bahagian yang kepadanya masing-masing orang itu berhak dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya;

(x) pengisytiharan bahawa seseorang yang telah mati itu ialah seorang Islam atau sebaliknya pada masa kematiannya;

(xi) pendaftaran dan pengambilan anak angkat dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya; dan

(xii) perkara-perkara lain yang berkenaan dengannya bidang kuasa diberikan oleh mana-mana undang-undang bertulis.

 

Bidang Kuasa Rayuan Mahkamah Tinggi Syariah.[43]

Selain berbidangkuasa mengenai perkara-perkara di atas, Mahkamah Tinggi Syariah juga mempunyai bidangkuasa rayuan. Rayuan boleh dibuat kepada Mahkamah Tinggi Syariah daripada apa-apa keputusan sesuatu Mahkamah Rendah Syariah dalam kes jenayah dan mal.

 (a) Dalam bidang kuasa jenayahnya, rayuan boleh dibuat oleh pihak pendakwa atau oleh orang yang telah disabitkan, dan rayuan itu boleh dibuat sama ada terhadap pembebasan, sabitan atau hukuman atau mana-mana satu daripadanya;

(b) Dalam bidang kuasa malnya, rayuan boleh dibuat oleh mana-mana orang yang terkilan dengan keputusan itu dalam mana-mana keadaan berikut:

(i) jika amaun yang dituntut itu tidak kurang daripada satu ribu ringgit;

(ii) dalam semua kes yang melibatkan apa-apa keputusan mengenai taraf diri;

(iii) dalam semua kes yang berhubungan dengan nafkah orang-orang tanggungan;

Bagaimanapun, suatu rayuan tidak boleh dibuat terhadap keputusan yang telah dibuat berdasarkan persetujuan. Mahkamah Tinggi juga boleh mendengar rayuan bagi apa-apa kes lain jika satu kebenaran untuk merayu telah diberikan oleh Mahkamah Tinggi Syariah.

Dalam menjalankan kuasa rayuannya, Mahkamah Tinggi Syariah boleh:

(a) dalam perkara jenayah, menolak rayuan, mensabitkan dan menghukum pihak yang merayu, memerintahkan Mahkamah perbicaraan memanggil pembelaan atau membuat siasatan lanjut, menambah atau meminda hukuman, memerintahkan perbicaraan semula, atau meminda, atau mengakaskan apa-apa perintah Mahkamah perbicaraan; dan

(b) dalam perkara mal, mengesahkan, mengakaskan atau mengubah keputusan Mahkamah perbicaraan, menjalankan mana-mana kuasa yang boleh dijalankan oleh mahkamah perbicaraan, membuat apa-apa perintah yang sepatutnya dibuat oleh Mahkamah perbicaraan, atau memerintahkan perbicaraan semula.

 

Bidang kuasa pengawasan dan penyemakan Mahkamah Tinggi Syariah.[44]

Selain berbidangkuasa mendengar kes-kes rayuan dari Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah juga mempunyai bidang kuasa pengawasan dan penyemakan ke atas semua Mahkamah Rendah Syariah. Bagi melaksanakan kuasa semakan dan pengawasannya, Mahkamah Tinggi Syariah boleh, sama ada atas kehendaknya sendiri atau atas kehendak mana-mana pihak atau orang yang berkepentingan, pada mana-mana peringkat dalam apa-apa perkara atau prosiding, sama ada mal atau jenayah, dalam mana-mana Mahkamah Rendah Syariah, memanggil dan memeriksa mana-mana rekod tentang perkara atau prosiding itu dan boleh memberikan apa-apa arahan yang dikehendaki demi keadilan.  Apabila Mahkamah Tinggi Syariah memanggil rekod sesuatu perkara atau prosiding berdasarkan kuasa pengawasan dan penyemakan, semua prosiding dalam Mahkamah Rendah Syariah tentang perkara atau prosiding itu hendaklah digantung sementara bagi menanti perintah selanjutnya daripada Mahkamah Tinggi Syariah.

 

Bidang kuasa Mahkamah Rayuan Syariah.[45]

Mahkamah Rayuan Syariah adalah Mahkamah tertinggi dan terakhir dalam peringkat rayuan bagi sesuatu kes. Mahkamah ini mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan apa-apa rayuan terhadap apa-apa keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Syariah dalam menjalankan bidang kuasa asalnya. Apabila suatu rayuan daripada sesuatu keputusan Mahkamah Rendah Syariah telahpun diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah, Mahkamah Rayuan Syariah boleh atas permohonan mana-mana pihak memberikan kebenaran untuk memutuskan olehnya sendiri apa-apa persoalan undang-undang berkepentingan awam yang telah timbul dalam perjalanan rayuan itu dan yang keputusannya oleh Mahkamah Tinggi Syariah telah menyentuh keputusan rayuan itu. Apabila kebenaran telah diberikan oleh Mahkamah Rayuan Syariah, ia hendaklah mendengar dan memutuskan persoalan yang dibenarkan dirujukkan bagi keputusannya dan membuat apa-apa perintah yang boleh dibuat oleh Mahkamah Tinggi Syariah, dan yang difikirkannya adil bagi penyelesaian rayuan ini.

 

Bidang kuasa pengawasan dan penyemakan Mahkamah Rayuan Syariah.[46]

Mahkamah ini mempunyai bidang kuasa pengawasan dan penyemakan ke atas Mahkamah Tinggi Syariah dan boleh, sama ada atas kehendaknya sendiri atau atas kehendak mana-mana pihak atau orang yang berkepentingan, pada mana-mana peringkat dalam apa-apa perkara atau prosiding, sama ada mal atau jenayah, dalam Mahkamah Tinggi Syariah, memanggil dan memeriksa mana-mana rekod tentang perkara atau prosiding itu dan boleh memberikan apa-apa arahan yang dikehendaki demi keadilan.

Apabila Mahkamah Rayuan Syariah memanggil rekod tentang apa-apa perkara atau prosiding, semua prosiding dalam Mahkamah Tinggi Syariah tentang perkara atau prosiding itu hendaklah digantung sementara menanti perintah selanjutnya daripada Mahkamah Rayuan Syariah.

 

MENDEPANI PERANAN DAN CABARAN DI MAHKAMAH SYARIAH SABAH

Melalui sejarah yang panjang dan penuh dengan ranjau, Mahkamah Syariah Sabah tidak terlepas dari berhadapan dengan beberapa cabaran khususnya dalam melaksanakan tugasnya sebagai pentadbir dan pelaksana undang-undang Islam. Beberapa perkara menarik yang boleh dikongsi mengenai tindakan dan pendekatan Mahkamah Syariah dalam melaksanakan urusan pentadbiran dan melaksanakan undang-undang Islam.

 

Pembahagian dan Pentadbir Harta Pusaka

Dalam konteks bidangkuasa umpamanya, Mahkamah Syariah Sabah tidak menghadapi masalah untuk menguatkuasakan perintah pembahagian harta pusaka termasuklah perintah perlantikan wasi atau pentadbir bagi harta pusaka simati yang beragama Islam. Sementara Mahkamah Syariah di negeri-negeri lain hanya mengeluarkan Sijil Perakuan Faraid, keadaan sebaliknya berlaku di Sabah. Seksyen 11(3)(b)(vii) Enakmen Mahkamah Syariah 2004 membuka ruang kepada Mahkamah Syariah untuk mendengar dan memutuskan hal pembahagian harta pusaka termasuk perlantikan wasi atau pentadbir.

Menariknya, Mahkamah Awam juga memberi pengiktirafan terhadap perintah pembahagian harta pusaka dan surat pentadbir harta pusaka yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah Sabah. Dalam kes Noh bin Abdul Aziz & Anor lwn Director of Lands and Surveys, Kota Kinabalu & Anor (1999),[47] Responden 1 telah  mempertikaikan Perintah Pembahagian Harta Pusaka yang dikeluarkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Sandakan. Menurut Responden, Pemohon dalam kes ini tidak mempunyai locus standi menfailkan kes di Mahkamah Tinggi Awam memandangkan tidak mempunyai Surat Kuasa Pentadbir yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Awam. Ketika menolak bantahan ini, Yang Arif Richard Malanjun dengan tegas memutuskan seperti berikut:

Dua perintah telah dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah dan Responden Pertama telah gagal untuk menunjukkan bahawa Mahkamah tersebut tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan perintah-perintah tersebut. Sememangnya Responden Pertama tidak boleh berbuat demikian kerana jelas di bawah Seksyen 11(2) Enakmen Mahkamah Syariah No. 14 Tahun 1992, bahawa Mahkamah Rendah Syariah mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan perkara berhubung dengan pembahagian dan pewarisan harta, berwasiat atau tak berwasiat. Selanjutnya Mahkamah sepatutnya berhak bergantung kepada Seksyen 114(e) Akta Keterangan 1950 apabila menerima kesahan perintah-perintah itu. Lebih-lebih lagi adalah tidak salah bagi pemohon-pemohon untuk menghadap Mahkamah Syariah untuk perintah-perintah itu walaupun ia adalah juga di dalam bidang kuasa Mahkamah Sivil. Oleh demikian, tiada merit di dalam bantahan Responden Pertama mengenai locus standi pemohon-pemohon.

Pengiktirafan terhadap bidangkuasa Mahkamah Syariah Negeri Sabah untuk mengeluarkan perintah pembahagian harta pusaka termasuk Surat Pentadbir harta pusaka turut dikongsi oleh seorang pakar perundangan Islam, Prof Mohd Ridzuan Awang. Beliau memberikan pandangannya seperti berikut:

Berdasarkan keputusan di atas, jelaslah bahawa Mahkamah-Mahkamah Syariah di Malaysia tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan surat kuasa wasiat (probet) dan surat kuasa mentadbir bagi harta orang Islam, kerana undang-undang yang berkaitan dengan probet dan surat kuasa tidak ada di negeri-negeri. Undang-undang yang dipakai ialah Akta Probet dan Pentadbiran 1959, kecuali Mahkamah Tinggi Syariah negeri Sabah diberi kuasa di bawah undang-undang negeri bagi membolehkan Mahkamah Tinggi Syariah mengeluarkan surat kuasa tadbir atau wasi bagi harta pusaka orang Islam di negeri ini. Pihak bertanggungjawap sepatutnya memikirkan untuk memperkenalkan undang-undang tersebut atau menyeragamkan peruntukan bidangkuasa mal Mahkamah Tinggi Syariah negeri-negeri dan dalam masa yang sama mengecualikan pemakaian Akta Probet dan Pentadbiran 1959 terhadap orang-orang Islam.[48]

Jelas sekali bahawa Mahkamah Syariah Negeri Sabah telah mendahului Mahkamah Syariah di negeri-negeri lain dalam isu pembahagian harta pusaka orang Islam. Amalan ini telahpun dilaksanakan dari awal penubuhan Mahkamah Syariah di negeri ini tanpa menghadapi masalah yang rumit.

Aplikasi DNA dalam pembuktian

Dalam aspek pembuktian dalam suatu kes di Mahkamah, para Hakim Syarie di Sabah turut membuktikan kewibawaan dan keberanian mereka apabila mereka menerimapakai pembuktian secara saintifik iaitu Deoxyribonucleic Acid (DNA). Beberapa penghakiman berkaitan perkara ini telah dilaporkan dalam Jurnal Hukum yang diterbitkan oelh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia.

Persidangan Pegawai-Pegawai Syariah Semalaysia di Grand Season Hotel, Kuala Lumpur pada bulan Julai 2011 menjadi bukti bersejarah apabila Perdana Menteri Malaysia dalam ucaptamanya menyebut beberapa kes penting dan menarik yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Sabah. Dalam kes  Pendakwa Syarie Negeri Sabah lwn Rosli Abdul Japar (2001)[49] Mahkamah Tinggi Syariah Keningau telah menerima pembuktian menggunakan DNA dalam menentukan nasab anak yang telah dikandung oleh wanita terbabit. Justeru, Mahkamah mensabitkan Tertuduh atas kesalahan persetubuhan haram setelah mengambil kira keputusan ujian DNA dan keterangan-keterangan yang lain.

Dalam kes jenayah antara Pendakwa Syarie Negeri Sabah lwn Mad Ranger (2001),[50] Mahkamah Tinggi Syariah Kota Kinabalu telah menerima pakai keterangan pakar berdasarkan ujian DNA ke atas Tertuduh dan anak yang dilahirkan oleh pasangan wanita Tertuduh dalam kes persetubuhan haram di bawah Seksyen 80 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1995. Keterangan pakar DNA menunjukkan wujud hubungan nasab antara tertuduh dengan anak yang dilahirkan oleh pasangan wanita Tertuduh. Berdasarkan keterangan melalui ujian DNA dan keterangan lain, Mahkamah Tinggi Syariah mensabitkan bahawa Tertuduh bersalah. Keputusan kes ini kini menjadi rujukan para sarjana perundangan Islam termasuk para hakim syarie di Mahkamah Syariah. Justeru, tidak keterlaluan untuk mengatakan Sabah tidak ketinggalan dalam arus perdana dan global bagi mendepani perubahan persekitaran terkini dalam konteks perkembangan undang-undang Islam.

Penulis berpendapat bahawa bilangan kes yang didaftar atau diselesaikan oleh Mahkamah bukanlah satu perkara yang perlu dibanggakan walaupun ia juga merupakan perkara penting. Apa yang penting sebenarnya adalah bagaimana warga dan pejuang undang-undang Islam, khususnya yang terlibat dalam pentadbiran undang-undang jenayah Islam mentadbir undang-undang itu sehingga ianya teratur, kemas, sistematik dan indah. Hal ini boleh dicapai dengan satu sikap yang sentiasa peka dan penuh minat terhadap perkembangan semasa di dunia. Pemakaian peralatan moden seperti DNA dalam pembuktian sesuatu kes merupakan satu contoh di mana warga pejuang pentadbiran keadilan jenayah Islam di Malaysia dan khususnya di Sabah harus mengambil tahu dan mengaplikasinya dalam urusan kes jenayah mahupun mal syariah. Sekurang-kurangnya, hari ini masyarakat Islam mahupun bukan Islam di mana-mana telah membuka mata dan telinga mereka akan keupayaan Mahkamah Syariah mengendalikan kes jenayah Islam dengan menggunapakai kaedah moden dan terkini seperti DNA. Ini satu peluang bagi menunjukkan Islam itu komprehensif, global, semasa, terkini dan sentiasa terbuka menerima apa saja perkara yang baru dan terbaik sesuai selagi ianya tidak lari dari hukum syarak.

Mengenai hal ini, kejayaan sesuatu kes di Mahkamah tidak terletak pada keupayaan dan kesediaan Mahkamah Syariah mengendalikan kes tersebut semata-mata. Mahkamah Syariah tidak dapat berdiri bersendirian. Kejayaan tersebut adalah hasil kerja yang tersusun dan bersepadu di peringkat Penguatkuasaan Agama dan Pendakwaan sebelum kes tersebut dibawa ke Mahkamah Syariah. Secara peribadi, Penulis melihat bahawa tindakan menggunakan DNA dalam pembuktian kes jenayah di Mahkamah Syariah adalah tindakan yang berani dan wajar sekali diberi pujian dan pengiktirafan oleh pihak berkaitan. Ini kerana, kita mencipta sejarah dan impaknya adalah besar sekali dalam konteks perkembangan undang-undang Islam di Malaysia, dan khasnya Sabah.

Hukuman Sebatan Syariah Pertama di Khalayak Ramai

Ketika beberapa negeri di Semenanjung Malaysia menghadapi pelbagai cabaran dalam konteks pelaksanaan hukuman sebat ke atas pesalah jenayah syariah, Mahkamah Syariah di Sabah tidak menghadapi cabaran yang serupa. Tarikh 10 Oktober 2011 menjadi tarikh keramat bagi sejarah perundangan Islam di Sabah apabila buat pertama kalinya seorang pesalah jenayah syariah atas kesalahan melakukan persetubuhan haram di bawah Seksyen 80(1) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1995 telah disebat di Penjara Kepayan. Pelaksanaan hukuman telah disaksikan oleh Hakim-Hakim Syarie Mahkamah Syariah Sabah bersama Pegawai-Pegawai Kanan Penjara.[51]Hukuman ini tidak mendapat bantahan dari mana-mana pihak di samping tidak mendapat liputan meluas dalam media massa.[52]

Tarikh 28 Oktober 2014 menjadi satu tarikh keramat apabila buat pertama kalinya dalam sejarah perundangan Islam di Malaysia, hukuman sebatan syariah yang pertama telah dilaksanakan di khalayak ramai ke atas seorang pesalah lelaki sebanyak 6 sebatan yang telah disabitkan bersalah melakukan persetubuhan haram.[53] Perlaksanaan sebatan yang disaksikan hampir 40 orang terdiri dari para Peguam Syarie yang beramal di Tawau, Pegawai Penjara Tawau, Pegawai Kesihatan Tawau, Pegawai Penguatkuasa Agama, Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Tawau, keluarga pesalah serta pegawai dan kakitangan Mahkamah Syariah Tawau itu dibuat dalam Dewan Terbuka Mahkamah Tinggi Sayariah Tawau.[54] Perlaksanaan hukuman sebat berkenaan bagaimanapun tidak diwar-warkan dalam media massa. Kejayaan perlaksanaan hukuman berkenaan telah mendapat reaksi dan sokongan yang amat positif dan memberangsangkan dari pelbagai pihak dari seluruh negara. Rentetan itu, usaha sedang dilaksanakan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) untuk menyediakan Standard Operating Procedure (SOP) untuk digunakan oleh Mahkamah Syariah di seluruh negara bagi perlaksanaan hukuman sebatan syariah di Mahkamah Syariah.[55]

Majlis Sulh di Mahkamah Syariah (Mediasi)

Bagi mengurangkan penggunaan masa yang panjang dan penggunaan kos serta tenaga yang banyak dalam sesuatu perbicaraan kes, Mahkamah telah melaksanakan satu pendekatan penting dengan merujukkan kes-kes tertentu kepada seorang pegawai sulh.[56] Ketika ini, terdapat seramai 13 orang Pegawai Sulh bagi Mahkamah Syariah di Sabah. Setiap Mahkamah di daerah-daerah ditempatkan seorang Pegawai Sulh. Pegawai sulh berfungsi untuk memanggil kedua pihak yang bertikai untuk membolehkan perundingan dibuat dan seterusnya mencapai persetujuan. Persetujuan yang direkodkan akan dibawa ke hadapan Hakim Syarie untuk diendoskan dan seterusnya diistiharkan sebagai perintah Mahkamah atas persetujuan. Proses yang dinamakan sebagai Majlis Sulh ini amat memberangsangkan. Lebih dari 50 peratus kes yang dirujuk ke Majlis Sulh ini berjaya diselesaikan melalui perundingan dan persetujuan. Proses yang tidak memerlukan khidmat peguam ini sesungguhnya telah memainkan peranan penting untuk mengelak berlakunya penangguhan kes yang banyak serta perbicaraan yang panjang di mahkamah. Ada ketikanya pihak-pihak yang menyatakan persetujuan awal mengenai suatu tuntutan dibawa terus kepada Pegawai Sulh pada hari yang sama di mana kes berkenaan didaftarkan di Mahkmah. Jika Hakim bersedia untuk endosmen persetujuan, kes berkenaan boleh diselesaikan pada hari yang sama ianya didaftarkan.[57] Bagi memantapkan perjalanan Majlis Sulh, satu kaedah yang dinamakan Kaedah-Kaedah Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Sulh) 2010 telah luluskan dan diwartakan pada 1 Julai 2010.

Bahagian Sokongan Keluarga (BSK)

Satu lagi unit penting dalam Mahkamah Syariah adalah Biro Sokongan Keluarga (BSK).  Unit ini dilancarkan di peringkat kebangsaan pada 22 Oktober 2008. Objektif utamanya adalah bagi memastikan perintah nafkah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah dapat dikuatkuasakan. Dalam konteks Mahkamah Syariah Sabah, BSK telah memainkan peranan penting bagi membantu pihak-pihak yang bermasalah untuk mendapatkan nafkah dari suami atau bekas suami sebagaimana yang telah diperintahkan oleh Mahkamah. Kerajaan Persekutuan sejak tahun 2010 lagi telahpun memperuntukkan sebanyak RM200,000 geran pendahuluan kepada Mahkamah Syariah Sabah. Geran ini digunakan untuk memberi wang pendahuluan kepada pihak isteri atau bekas isteri bagi tempoh 6 bulan sementara menunggu tindakan pelaksanaan perintah mahkamah diselesaikan sepenuhnya. Wang pendahuluan ini disalurkan terus ke dalam akuan penerima. Wang tersebut nanti akan dituntut oleh BSK ke atas suami atau bekas suami setelah berakhirnya tempoh 6 bulan.

Sejak dana ini mula disalurkan pada kepada penerima pada 2 April 2013, seramai 18 penerima telah berjaya menikmati dana berkenaan yang kebanyakannya terdiri dari ibu-ibu tunggal manakala seramai 8 orang pemohon sedang dalam proses penyaluran dana setakat 7 September 2014.[58] Usaha sedang digiatkan untuk menghebahkan kewujudan unit ini kepada masyarakat di Negeri ini termasuk mengadakan pameran, ceramah dan juga slot khas di Radio dan Television. Sesungguhnya kewujudan BSK amat penting untuk menaikkan lagi imej Mahkamah Syariah di mata masyarakat khususnya dalam memastikan pihak-pihak menikmati haknya di sisi syarak dan undang-undang.[59]

Sistem Pengurusan Kes Mahkamah Syariah (SPKMS)

Sejajar dengan perkembangan teknologi maklumat yang semakin canggih, Mahkamah Syariah tidak terlepas dari turut menggunakan sepenuhnya kemudahan ICT. Sehubungan itu, satu kaedah yang menggunapakai kemudahan ICT yang dinamakan sebagai Sistem Pengurusan Kes Mahkamah Syariah (SPKMS) telah diperkenalkan. Antara kemudahan yang disediakan oleh system yang beraplikasikan web ini adalah pendaftaran kes, penjadualan perbicaraan, kutipan dan pengeluaran resit, pertanyaan, carian maklumat kes, merekod keputusan penghakiman, statistik dan laporan kes. Selain itu, kemudahan ini juga memantau perjalanan kes bagi setiap hakim atau pendaftar Mahkamah di seluruh negara.

Fungsi-fungsi bagi SPKMS  adalah seperti berikut[60]:

  1. Pendaftaran kes jarak jauh di mana orang awam boleh mendaftar kes dari mana-mana mahkamah syariah daerah yang berada di dalam negeri berkenaan.
  2. Apabila suatu kes baru didaftar, sistem membolehkan pengguna untuk mengesan profil peribadi individu yang pernah mendaftar kes di mana-mana mahkamah syariah sebelum ini. Ini bertujuan untuk mengelak kemasukan data dua kali ke dalam sistem. Pengguna boleh membuat carian berdasarkan kad pengenalan terhadap pelanggan mahkamah yang pernah mendaftar kes sebelum ini.
  3. Peringatan dan mesej amaran dihantar kepada pendaftar dan hakim sekiranya terdapat kes yang masih belum selesai dalam tempoh masa yang ditetapkan.
  4. Sistem boleh mengagihkan kes secara automatik kepada para hakim untuk mengimbangi bebanan tugas.
  5. Sistem dilengkapkan dengan fungsi pengesanan fail yang mengandungi maklumat-maklumat seperti nombor kes, lokasi dan peminjam. Fungsi ini bertujuan untuk meminimumkan kehilangan fail kes dan membantu pegawai mahkamah mengesan fail-fail dengan lebih cepat dan berkesan.
  6. Sistem akan disertakan dengan Modul Sistem Kutipan di mana ia menyediakan fungsi penyediaan resit secara dalam talian untuk membantu proses pengutipan bayaran dan fi mahkamah seperti denda, deposit dan bayaran pendaftaran kes. Walau bagaimanapun, apabila talian sistem terganggu, Sistem Kutipan Luar Talian disediakan untuk menjalankan fungsi-fungsi seperti di atas.
  7. Aspek keselamatan sistem juga telah dipertingkatkan. Hanya pegawai yang layak dan diberi kebenaran sahaja berhak untuk mengakses maklumat kes yang sulit. Fungsi Audit traildisediakan untuk mengesan penggunaan sistem termasuk akses baca, ubahsuai dan padam kes.

SPKMS yang telah memasuki versi ke-2 ini juga telah dihubungkaitkan dengan agensi-agensi kerajaan lain melalui modul System Links untuk penyeragaman maklumat. Antara agensi-agensi kerajaan yang terlibat dengan System Links adalah seperti berikut:

  1. Jabatan Pendaftaran Negara (JPN);
  2. Polis Diraja Malaysia (PDRM);
  3. Jabatan Imigresen Malaysia (JIM);
  4. Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU); dan
  5. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

System Links antara Mahkamah Syariah dan agensi-agensi kerajaan mewujudkan hubungan penyeragaman maklumat secara sehala dan dua hala untuk meningkatkan prestasi kerja antara agensi-agensi tersebut.[61]

Penerbitan Penghakiman dalam Jurnal Perundangan

Mahkamah Syariah di Malaysia tidak ketinggalan untuk mengikut jejak langkah Mahkamah Sivil dalam usaha mengumpul dan menerbitkan penghakiman yang dibuat oleh Hakim-Hakim di Mahkamah Syariah. Sebagaimana yang berlaku di Mahkamah Sivil, penghakiman yang diterbitkan adalah keputusan-keputusan yang dibuat oleh Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan Syariah dan Mahkamah Tinggi Syariah. Penerbitan penghakiman di Mahkamah Syariah bermula pada tahun 1980 oleh Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS), Jabatan Perdana Menteri yang kini dikenali sebagai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sehingga tahun 2003 pada jilid ke-16. Bagaimanapun, dengan penubuhan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) pada tahun 1998, penerbitan tersebut telah dikendalikan sepenuhnya oleh JKSM bermula tahun 2004 pada keluaran Jilid ke-17. Jurnal yang diterbitkan sekurang-kurangnya 2 kali dalam setahun ini bukan saja diedarkan di dalam negara tetapi juga di luar negara, termasuklah perpustakaan universiti-universiti terkemuka dunia seperti Harvard Universiti di Amerika Syarikat. Penghakiman di Mahkamah Syariah turut dilaporkan dalam sebuah lagi jurnal undang-undang yang diterbitkan oleh LexisNexis dalam Syariah Law Report untuk edaran dalam dan luar negara.[62] Beberapa penghakiman oleh hakim-Hakim Mahkamah Tinggi dan Rayuan Syariah di Negeri Sabah telahpun dimasukkan dalam jurnal-jurnal berkenaan.

Perlantikan Hakim Syarie Wanita di Sabah

Setelah hampir 36 tahun Mahkamah Syariah ditubuhkan di Negeri Sabah, seorang wanita dari kalangan Pegawai Syariah yang juga merupakan anak watan Negeri Sabah telah dilantik secara rasminya sebagai Hakim Syarie pada bulan Jun tahun 2014.  Perlantikan oleh Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sabah ini merupakan salah satu pengiktirafan tertinggi terhadap sumbangan wanita dalam perkhidmatan awam. Perlantikan ini sesungguhnya merupakan batu loncatan untuk lebih ramai lagi wanita di negeri ini dilantik sebagai Hakim Syarie. Ini tentunya satu lagi pencapaian yang membanggakan bagi Mahkamah Syariah Negeri Sabah dalam konteks menaikkan imej institusi kehakiman Islam ini sebaris dengan institusi kehakiman yang lain.[63]

Kewibawaan Hakim Syarie wanita untuk mengendalikan kes di Mahkamah Syariah tidak perlu diragui. Ini kerana, semua Pegawai Syariah samada lelaki atau wanita telahpun mengikuti kursus dan latihan khas dalam bidang pentadbiran dan kehakiman Islam selama 1 tahun di universiti tempatan. Salah satu kelayakan untuk diterima sebagai Pegawai Syariah dalam perkhidmatan kehakiman selain memiliki Ijazah dalam Sarjana Muda Syariah adalah seseorang itu mestilah memiliki Diploma Lanjutan Pentadbiran Undang-Undang dan Kehakiman Islam (DAIJ) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) atau mana-mana universiti yang diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPAM). Sebelum dilantik sebagai Hakim Syarie, pegawai berkenaan perlulah terlebih dahulu dilantik sebagai Pendaftar Mahkamah, Pegawai Sulh, Pegawai Penyelidik, Pendakwa Syarie, Peguam Syarie di Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) atau Peguam Syarie di Jabatan Bantuan Guaman (JBG)).

Peguam Syarie di Mahkamah Syariah Sabah

Penglibatan Peguam Syarie di dalam pengendalian kes-kes di Mahkamah Syariah semakin dirasai kepentingannya. Sehingga kini, lebih dari 60 Peguam Syarie telah diterima masuk dan beramal di Mahkamah Syariah di seluruh Sabah. Kebanyakan Peguam Syarie ini adalah pengamal undang-undang di Mahkamah Sivil lulusan Sarjana Muda Undang-Undang (LL.B) dari dalam dan luar negara. Terdapat juga dari kalangan mereka yang berkelulusan double degrees iaitu Sarjana Muda Undang-Undang (LL.B) dan Syariah. Turut berkelayakan untuk diterima sebagai Peguam Syarie adalah dari kalangan mereka yang berkelulusan Syariah dan Undang-Undang (BA. Shariah) samada dari Universiti tempatan atau luar negeri.

Boleh dikatakan hampir setiap hari khidmat Peguam Syarie digunakan dalam pelbagai kes di Mahkamah Syariah Negeri Sabah. Keadaan ini amat positif dalam konteks membantu para hakim dalam melicinkan perjalanan kes terutama sekali bagi kes-kes melibatkan perbicaraan penuh.[64] Peranan Peguam Syarie di negeri ini juga semakin terserlah dengan kewujudan dua (2) persatuan peguam Muslim di Sabah iaitu Persatuan Peguam Muslim Sabah (AMAL) dan Persatuan Peguam Wanita Muslim Sabah (SALWA). Pembukaan perkhidmatan Klinik Guaman yang dikendalikan secara percuma oleh Peguam Syarie di Bangunan Mahkamah Syariah Tawau setiap hari jumaat adalah salah satu peranan penting para peguam syarie untuk bersama masyarakat Islam dalam memperkasa perundangan Islam di negeri ini.[65]

PEMANTAPAN MAHKAMAH ANAK NEGERI (MAN)

Melihat kepada perkembangan yang berlaku di Mahkamah Syariah hari ini sebagaimana yang dibincangkan di atas dalam konteks menaikkan imej serta kualiti perkhidmatan kepada orang awam, adalah menjadi harapan bahawa MAN juga akan turut serta merasai perkembangan-perkembangan tersebut menurut kemampuan yang ada. Usia kewujudan MAN yang telah melebihi 100 tahun sudah sewajarnya diberi tempat dan perhatian yang istimewa dari pihak kerajaan. Sesuai dengan pembinaan bangunan MAN yang canggih bernilai jutaan ringgit di daerah-daerah di Sabah, sudah sampai masanya institusi kehakiman anak negeri ini mempunyai jabatannya sendiri yang dikenali sebagai Jabatan Kehakiman Anak Negeri Sabah (JKANS). Dengan adanya jabatan tersebut, usaha untuk mengujudkan waran perjawatan bagi pegawai dan kakitangannya dapat dilaksanakan sebagaimana jabatan-jabatan lain. Walaupun perkara ini sudahpun disuarakan sebelum ini, namun usaha ini perlu dibangkit dan gerakkan dari semasa ke semasa agar ia dapat direalisasikan secepat mungkin.[66] Pengalaman yang dilalui oleh Mahkamah Syariah Sabah dalam melicinkan penyelesaian pertikaian melalui Majlis Sulh umpamanya, wajar diambil diambil pertimbangan bagi pengujudan Pegawai Sulh atau Mediasi di MAN.

Tanpa meminggirkan penglibatan Ketua-Ketua Adat Negeri yang terdiri dari Ketua Kampung, Ketua Anak Negeri, Ketua Daerah dan pemimpin masyarakat peribumi dalam institusi Kehakiman Adat Negeri, sudah sampai masanya bagi institusi ini turut dianggotai oleh mereka yang berlatar belakangkan pendidikan undang-undang (LL.B). Kajian dari masa ke semasa boleh dilakukan untuk melihat bagaimana golongan berlatar belakangkan undang-undang ini boleh diserapkan ke dalam institusi kehakiman adat negeri. Jika perlu, mereka ini dilantik sebagai hakim bagi kes-kes di peringkat Mahkamah Anak Negeri Daerah. Ini kerana, Mahkamah tersebut diberi peranan untuk mendengar semakan dan rayuan bagi kes yang diputuskan di Mahkamah Anak Negeri.[67] Isu-isu berkaitan undang-undang lazimnya akan dibangkitkan di peringkat ini yang sudah tentu memerlukan penelitian dan pemahaman persoalan undang-undang yang dibangkitkan. Kemahiran yang tinggi dalam bidang perundangan diperlukan untuk menyelesaikan isu-isu perundangan.

Satu lagi usaha yang boleh dilaksanakan bagi memperkukuh institusi MAN adalah dengan mewujudkan Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Adat Anak Negeri Sabah. Jawatankuasa ini berperanan untuk mengumpul dan mengkaji adat-adat pribumi di Sabah bagi merangka undang-undang adat negeri yang difikirkan sesuai untuk dikanunkan. Usaha ini sejajar dengan saranan YAB Ketua Menteri Sabah untuk menggerakkan usaha bagi mengujudkan pangkalan data (data base) adat-adat pribumi di Sabah semasa ucapan perasmiannya pada Persidangan Dwi Tahunan Ketua-Ketua Adat Peringkat Negeri Sabah di Sandakan pada tahun 2013.[68] Pembentukan Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang ini telah dilaksanakan di Mahkamah Syariah semenjak tahun 1988 lagi dan hasilnya, kini terdapat sebanyak 11 Enakmen berkenaan dengan undang-undang Islam yang terpakai di Negeri Sabah.

PENUTUP

Mahkamah Syariah Negeri Sabah sememangnya mempunyai sejarah tersendiri yang unik dan menarik. Hampir 100 tahun yang lampau, peranan dan fungsinya telah dijalankan sepenuhnya oleh sebuah mahkamah adat pribumi yang dinamakan sebagai Mahkamah Anak Negeri. Hanya 15 tahun selepas Sabah mencapai kemerdekaan, baharulah sebuah institusi kehakiman Islam iaitu Mahkamah Syariah di tubuhkan di negeri ini. Kini, dengan tertubuhnya Mahkamah Syariah, MAN tidak lagi menjalankan tugasnya untuk mengendalikan kes-kes melibatkan tuntutan dan pertikaian berkaitan hukum hakam Islam. Mahkamah Syariah terus melakar sejarahnya yang tersendiri sebagaimana yang telah dibincangkan di atas untuk memenuhi tuntutan dan keperluan umat Islam di Negeri ini. Walaupun masih banyak kekurangan yang perlu ditambah baik, namun beberapa pencapaian dalam kerangka pentadbiran dan perundangan Mahkamah Syariah yang dibincangkan di atas boleh dikongsi oleh MAN bagi memantapkan lagi institusi kehakiman adat negeri ke satu tahap yang boleh dibanggakan. Adalah diharapkan tulisan ini dapat menambahkan lagi khazanah bacaan dan rujukan berkaitan institusi perundangan di Negeri Sabah tercinta ini bagi kedua-dua Mahkamah Syariah dan Mahkamah Anak Negeri.

[1]Penulis merupakan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sabah sejak 6 Jun 2013. Kini bertugas sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Tawau, Sabah. Pernah memegang jawatan Ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah dari 16 Januari 2012 hingga 6 Jun 2013. Mula bertugas sebagai Hakim Mahkamah Rendah Syariah semenjak 1 Oktober 1996 di Pantai Barat Kota Kinabalu. Sebelum bertugas di Mahkamah Syariah, Penulis pernah beramal sebagai Peguambela dan Peguamcara Mahkamah Tinggi (Sabah & Sarawak) pada tahun 1996. Tulisan ini dibentangkan dalam Simposium Anak Negeri Sabah di Magellan Hotel, Sutera Harbour, Kota Kinabalu pada 8 September 2014. Beberapa bahagian dalam tulisan ini adalah dipetik dan dikemaskini dari tulisan asal Penulis bertajuk “Perundangan Islam di Sabah: Sejarah dan Bidangkuasa” yang dibentangkan dalam Seminar Perundangan Islam di Sabah, anjuran Jabatan hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah, Majlis Professor Negara dan JAKIM Sabah dengan kerjasama Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah dan Pejabat Hal Ehwal Anak Negeri Sabah di Dewan Sri Kinabalu, Kompleks Tabung Haji Sabah, Kota Kinabalu pada 4 Disember 2012. Penulis juga menggunakan semula dengan beberapa olahan dan penambahbaikan kepada tulisan Penulis bertajuk “Pengenalan Kepada Peranan dan Bidang Kuasa Mahkamah Syariah Negeri Sabah” yang dibentangkan semasa Sesi Lawatan dan Mendengar Taklimat oleh Pegawai Pentadbir dan Pensyarah UiTM anjuran Pusat Akademi Pengajian Islam kontemporari (ACIS) (Pusat Islam) Cawangan Sabah ke Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah bertempat di Dewan Hikmah, Wisma MUIS, Kota Kinabalu pada 3 Oktober 2013. Kertas Kerja ini telah dibentangkan Penulis dalam Simposium Anak Negeri Sabah Kali ke-3 pada 8hb. September 2014 di Ball Room, Magellan Hotel, Sutera Harbour, Kota Kinabalu. Terdapat penambahan maklumat dalam tulisan ini setelah dikemas kini setakat pada 7hb. Mac 2015.

[2] Lihat Enakmen Mahkamah Anak Negeri 1992.

[3] Lihat Ordinan Mahkamah Anak Negeri 1992. Di Sarawak, Mahkamah Anak Negeri adalah dipanggil Mahkamah Bumiputera. Untuk lebih lanjut, rujuk dalam http://www.nativecourt.sarawak.gov.my.

[4] Lihat juga Jasri @ Nasip B. Matjakir, Qadi: Perlantikan, Bidangkuasa dan Permasalahan, Satu Kajian di Sabah, Kertas Projek Diploma Pentadbiran Undang-Undang dan Kahakiman Islam (DAIJ), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Petaling Jaya, 1993, hal. 43-44.

[5] Sharifah Zaleha bt. Syed Hassan, Native Courts and the Construction of Modern Legal Thinking in Sabah: A case Study dalam Native Court and customary law of Sabah (with cases and decisions), Jabatan Cetak Kerajaan, Sabah, 1993, hal. 156.

[6] Ismail Yusoff, Politik dan agama di Sabah, Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, 2004, pp. 39-41. Antara Ketua Anak Negeri di kalangan orang Islam yang terkenal ketika itu adalah Panglima Undang, Pangeran Hj. Omar, Pangeran Mohd Abbas, Orang Kaya Mohd. Arshad and Haji Pati. Pangeran Mohd Abbas dan Pangeran Hj. Omar dikenali mempunyai pengetahuan yang baik mengenai undang-undang adat dan undang-undang Islam.

[7] M.B. Hooker, Native Law in Sabah and Sarawak dalam Native Court and customary law of Sabah (with cases and decisions), Jabatan Cetak Kerajaan, Sabah, 1993, hal. 8-9; Lihat juga Jasri @ Nasip B. Matjakir, Qadi: Perlantikan, Bidangkuasa dan Permasalahan, Satu Kajian di Sabah, Kertas Projek Diploma Pentadbiran Undang-Undang dan Kahakiman Islam (DAIJ), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Petaling Jaya, 1993, hal. 43-50. Native Court Ordinance 1953 telah dipinda sebanyak 2 kali iaitu pada tahun 1958 dan 1959.

[8]Sabihah Osman, “Perkembangan politik di Sabah” dalam Hairi Abdullah, Abdul Samad Hadi & Zulkifly Haji Mustapha (eds), Sabah: Perubahan dalam pembangunan, Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia, 1986, hal. 75; Semasa pendudukan Jepun di Sabah, Tun Datu Mustapha bin Datu Harun telah dilantik sebagai KAN bagi menggantikan bapanya yang telah meninggal dunia di Kudat pada tahun 1942. Untuk lebih lanjut, lihat dalam Sabihah Osman, Ismail Ali & Baszley Bee B. Basrah Bee, Tun Datu Hj. Mustapha bin Datu Harun: Jasabaktinya dalam pembangunan sosial Sabah, Universiti Malaysia Sabah, 2006, hal. 4; Abdul Hadi Harman Shah, Junaenah Sulehan, Mohamed Yusoff Ismail, Nor Azizan Idris & Zahra Yaacob, Tun Mustapha dan pembangunan Sabah, Yayasan Sabah,  Edisi Pertama, Sabah, 2003, hal. 11-13.

[9] Jasri @ Nasip B. Matjakir, Qadi: Perlantikan, Bidangkuasa dan Permasalahan, Satu Kajian di Sabah, Kertas Projek Diploma Pentadbiran Undang-Undang dan Kahakiman Islam (DAIJ), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Petaling Jaya, 1993, hal. 47.

[10] Lihat misalnya Mohammad Agus Yusoff, Malaysian federalism: Conflict or consensus, Bangi, Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, 2006, hal. 229-233.

[11] Abdul Malek Unar, Jatuh bangunnya PBS: Parlimen satu penentuan, Kota Kinabalu, Sabah Media Network, 1994, hal. 12-20; Muhiddin Yusin, Islam di Sabah, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990, hal. 34; Jeffrey G. Kitingan, Justice for Sabah, Shelma Publications and News Agency, Lahad Datu, Sabah, 2006, hal. 12-18; Patrick bin Sindu & Abdul Malek Unar, Isu 20 pekara: Jaminan dan perlindungan, STUDIO 3, Kota Kinabalu, 1993, hal. 16-21.

[12] Dalam Perkara 20, perkara agama bagi Negeri Sabah telah diletakkan di tempat pertama dalam senarai. Perkara Pertama menyebutkan bahawa sementara Islam diiktiraf dan diterima sebagai agama bagi persekutuan, Negeri Sabah tidak akan memasukkan mana-mana agama sebagai agama bagi Negeri Sabah. Kenyataan ini menunjukkan betapa sentimen keagamaan begitu menebal khususnya di kalangan pemimpin Kristian di Sabah di ambang kemerdekaan Sabah tahun 1963. Justeru, tidak memeranjatkan apabila Perlembagaan Negeri Sabah tidak memperuntukkan Islam sebagai agama bagi Sabah ketika mencapai kemerdekaan. Kekosongan ini akhirnya berakhir apabila Islam dengan rasminya menjadi agama bagi Negeri Sabah apabila ianya dimasukkan dalam Perkara 5(1A) Perembagaan Negeri Sabah pada tahun 1973.

[13] Subky Latif, Sebahagian dari memoir Tun Datu Mustapha: Merdeka melalui Malaysia, Kuala Lumpur, Pustaka Antara, 1981, hal. 83. Dalam nada kesal Tun Mustafa menyatakan “adakah peranan Islam sebagai agama rasmi Negara langsung tidak memberi apa-apa erti kepada Kerajaan Sabah?”. Tun Mustapha menggunakan ungkapan “agama rasmi Negara” sebagai merujuk kepada Islam sebagai agama bagi Persekutuan. Beliau tidak menggunakan ungkapan “agama rasmi bagi negeri Sabah” memandangkan ketika itu, Islam belum lagi menjadi agama rasmi bagi Sabah.

[14] Emin Madi, Sinar perjuangan USIA, Sabah: Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), 2009, hal. 93; Jeffrey G. Kitingan, Justice for Sabah, Lahad Datu: Shelma Publications and News Agency, 2006, hal. 101.

[15] Johari Alias, How Islam spread to Sabah dalam Cenderamata  Masjid Negeri Sabah bersempena perasmian Masjid Negeri Sabah oleh Yang DiPertuan Agong Malaysia pada 28 Jun 1977, hal. 43. Lihat juga Herman Luping dalam artikelnya “Formation of Malaysia Revisited” dalam Jeffrey G. Kitingan & Maximus J. Ongkili (e.d), Sabah 25 years later: 1963-1988, Institute for Development Studies (Sabah), 1989, hal. 58.; Information Malaysia 1992-93 yearbook, Berita publishing  Sdn. Bhd, Kuala Lumpur, 1992, hal. 81.

[16] Untuk rujukan selanjutnya, lihat Mohammad Agus Yusoff, Malaysian federalism: Conflict or consensus, Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, 2006, hal. 229-233.

[17] Jasri @ Nasip B. Matjakir, Qadi: Perlantikan, Bidangkuasa dan Permasalahan, Satu Kajian di Sabah, Kertas Projek Diploma Pentadbiran Undang-Undang dan Kahakiman Islam (DAIJ), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Petaling Jaya, 1993, hal. 50.

[18] Jasri @ Nasip B. Matjakir, Qadi: Perlantikan, Bidangkuasa dan Permasalahan, Satu Kajian di Sabah, Kertas Projek Diploma Pentadbiran Undang-Undang dan Kahakiman Islam (DAIJ), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Petaling Jaya, 1993, hal. 50-52.

[19] Lihat Seksyen 108, Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak 1977.

[20] Lihat Seksyen 46(1)(2)(3), Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak 1977.

[21] Datuk Hj. Ahmad bin Idris adalah Kathi Besar yang pertama di Mahkamah Syariah Negeri Sabah. Beliau berasal dari Negeri Kelantan. Sehingga tulisan ini dibuat, Penulis belum menemui maklumat mengenai Kathi Besar Mahkamah Syariah yang kedua. Qadi Besar Sabah yang ketiga adalah Datuk Hj. Mohd Noor Wahab. Beliau memegang jawatan tersebut semenjak tahun 1992. Apabila Enakmen Mahkamah Syariah Sabah 1992 diluluskan, gelaran Qadi Besar dimansukhkan dan digantikan dengan gelaran Ketua Hakim Syarie bermula 1 Januari 1996. Beliau memegang jawatan Qadi Besar dan seterusnya Ketua Hakim Syarie Negeri Sabah sehingga tahun 1999. Ini bermakna, beliau merupakan Ketua Hakim Syarie pertama bagi Negeri Sabah. Beliau digantikan oleh Datuk Hj. Aidi Mokthar yang memegang jawatan ini bermula tahun 1999 hingga 2010. Jawatan tersebut kemudiannya dipegang oleh Ketua Hakim Syarie yang baru iaitu Yang Amat Arif Datuk Jasri @ Nasip Bin Matjakir bermula tahun 2010 sehingga kini. Datuk Hj. Aidi Mokthar telah mengosongkan jawatan tersebut berikutan perlantikan beliau sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Syariah di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Putrajaya pada tahun 2010. Datuk Hj. Aidi Mokthar merupakan anak jati Sabah yang pertama memegang jawatan sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Syariah di peringkat Persekutuan.

[22] Jasri @ Nasip B. Matjakir, Qadi: Perlantikan, Bidangkuasa dan Permasalahan, Satu Kajian di Sabah, Kertas Projek Diploma Pentadbiran Undang-Undang dan Kahakiman Islam (DAIJ), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Petaling Jaya, 1993, hal. 54.

[23] Lihat Seksyen 47, Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak 1977.

[24] Lihat Seksyen 48(1), Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak 1977.

[25] Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak No. 15 Tahun 1977 (Pindaan 1981) mula berkuatkuasa 1hb. Disember 1981; Penubuhan ketiga-tiga peringkat Mahkamah tersebut boleh dirujuk kepada Seksyen 46(1), (2) dan (3) Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak No. 15 Tahun 1977 (Pindaan 1981).

[26] Penulis berterimakasih atas maklumat yang diberikan oleh Yang Arif Ahmad bin Lakim mengenai perkara ini pada 2hb. Disember 2012. Beliau kini memegang jawatan sebagai Pengarah Bahagian Latihan di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Putrajaya sejak tahun 2010. Sebelum ke Putrajaya, beliau pernah memegang jawatan sebagai Hakim Mahkamah Rendah Syariah dari tahun 1996 hingga 1998. Selepas itu beliau kemudiannya memegang jawatan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Sabah antara tahun 1998 sehingga 2010.

[27] Ketua Hakim Syarie yang pertama bagi Negeri Sabah adalah Datuk Hj. Mohd Noor Wahab. Beliau bersara dari perkhidmatan kehakiman pada tahun 1999 dan digantikan oleh Datuk Hj. Aidi Mokthar, anak kelahiran Daerah Papar, Sabah.

[28] Lihat Seksyen 4(1),(2) dan (3) Enakmen Mahkamah Syariah No. 14 Tahun 1992.

[29] Ketua Hakim Syarie yang pertama bagi Negeri Sabah adalah Datuk Hj. Mohd Noor Wahab. Beliau bersara dari perkhidmatan kehakiman pada tahun 1999 dan digantikan oleh Datuk Hj. Aidi Mokthar, anak kelahiran Daerah Papar, Sabah.

[30] Maklumat ini diperolehi dari Kertas Permohonan Unjuran Semula Perjawatan bagi Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah yang disediakan oleh Yang Arif Ahmad Din bin OKK Othman, mantan Ketua Pendaftar, Jabatan Kehakiman Syariah pada tahun 2008.

[31] Negeri Selangor, Melaka, Perlis dan Wilayah Persekutuan telah menandatangani Perjanjian bagi Mewujudkan Skim Perkhidmatan Gunasama Pegawai Syariah pada 17 Mei 1999. Negeri Sembilan dan Pulau Pinang pula menandatangani Perjanjian tersebut pada 24 ogos 1999. Negeri Sabah pula menandatangani Perjanjian tersebut di Kota Kinabalu pada 19 Jun 2008. Tujuh negeri lain iaitu Kedah, Kelantan, Perak, Johor, Pahang, Johor dan Sarawak masih belum menerima Perjanjian Gunasama tersebut setakat bulan Disember 2012.

[32] Cadangan untuk mewujudkan Skim Perkhidmatan Gunasama Pegawai Syariah telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri di peringkat Kerajaan Persekutuan pada 3 Julai 1996. Berikutan itu, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) secara rasminya ditubuhkan pada 1 April 1998. Jabatan ini diketuai oleh Ketua Hakim Syarie Malaysia yang juga berfungsi sebagai Pengarah JKSM.

[33] Perjanjian ini dilihat membuka ruang kepada Pegawai serta kakitangan sokongan dalam semua peringkat dari Semenanjung Malaysia untuk ditempatkan bagi berkhidmat di JKSNS. Bagaimanapun, penghantaran bagi penempatan pegawai dan kakitangan dari Persekutuan khususnya dari Semenanjung Malaysia adalah tertakluk kepada persetujuan dan kelulusan dari Kerajaan Negeri Sabah. Ini termaktub dalam Perkara 5 Perjanjian Perkhidmatan Gunasama tersebut antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah. Perjanjian tersebut juga jelas menyatakan bahawa keutamaan hendaklah diberikan kepada anak-anak tempatan dari Negeri Sabah bagi sebarang pengisian jawatan di JKSNS.

[34] Bilangan Pegawai dan kakitangan JKSNS berdasarkan waran perjawatan sebanyak 214 ini kekal tidak berubah sehingga tulisan ini dibuat pada 3 Oktober 2013.

[35] Mesyuarat Unjuran Semula Perjawatan bagi Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah (JKSNS) dan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan (MSWP) pada tahun 2012 telahpun diadakan sebanyak 2 kali setakat ini iaitu pada bulan Julai 2012 di Hotel Quality Shah Alam dan bulan Oktober 2012 di Hotel Heritage Cameron Highland. Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Yang Arif Datuk Seri Yusuf Che Teh, Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Persekutuan. Penulis turut terlibat dalam mesyuarat tersebut mewakili JKSNS.

[36] Lima peringkat Mahkamah di Mahkamah Sivil adalah Mahkamah Majistret, Mahkamah Sesyen, Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

[37] Untuk keterangan lanjut, rujuk Kertas Konsep Pewujudan Majlis Rayuan Syariah dan Mahkamah Tengah Syariah, Menaik taraf kedudukan Mahkamah Tinggi Syariah, penstrukturan semula Mahkamah Rayuan Syariah Negeri serta menaik taraf Hakim-Hakim Mahkamah Syariah yang disediakan oleh Seksyen Syariah, Bahagian Penasihat, Jabatan Peguan Negara, Putrajaya, Malaysia bertarikh 18 Ogos 2011 setebal 39 halaman; Lihat juga kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Bahrom mengenai penaik tarafan Mahkamah Syariah ini dalam The Star Online bertarikh 9 Jun 2012 di http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2012/6/9/mstar_berita/20120609153553&sec=mstar_berita. Bagi Negeri Sabah, cadangan ini telahpun dibentangkan di hadapan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) pada tahun 2012. Perkembangan mengenai perkara ini sekali lagi dimaklumkan kepada MUIS semasa kunjungan hormat Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang dan Hukum Syarak Persekutuan yang diketuai oleh Tan Sri Sheikh Ghazali bin Abdul Rahman kepada Pengerusi MUIS, Yang Berhormat Datuk Hj. Suhaili Said di Bangunan Wisma MUIS pada 7 Disember 2012. Penulis turut serta dalam pertemuan tersebut bagi mengiringi Ketua Hakim Syarie Negeri Sabah.

[38] Tapak pembinaan bangunan Mahkamah Syariah bagi Kota Kinabalu adalah bersebelahan Masjid Bandaraya, Teluk Likas, Kota Kinabalu. Lihat laporan akhbar dalam http://www.bernama.com/bernama/state_news/bm/news.php?id=1109025&cat=sbm; Ucapan penuh oleh YAB Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, Ketua Menteri Sabah dalam perasmian tersebut boleh dilihat dalam  http://www.sabah.gov.my/main/ms-MY/Press/Details/2015002325.

[39] Perkara 74(2), Perlembagaan Persekutuan.

[40] Perkara 75, Perlembagaan Persekutuan.

[41] Lihat Seksyen 12, Enakmen Mahkamah Syariah 2004.

[42] Lihat Seksyen 11, Enakmen Mahkamah Syariah 2004.

[43] Lihat Seksyen 13, Enakmen Mahkamah Syariah 2004.

[44] Lihat Seksyen 16, Enakmen Mahkamah Syariah 2004.

[45] Lihat Seksyen 17, Enakmen Mahkamah Syariah 2004.

[46] Lihat Seksyen 18, Enakmen Mahkamah Syariah 2004.

[47] Noh bin Abdul Aziz & Anor v Director of Lands & Surveys, Kota Kinabalu & Anor, High Court Tawau Originiting Motion No. T(25)-01 of 1999.

[48] Mohd Ridzuan Awang, Isu-Isu Semasa Dalam Pentadbiran Harta Pusaka Orang Islam di Malaysia dalam Isu Syariah dan Undang-Undang disunting Mohammad Zaini, Abdul Basir Mohamad, Mohd. Nasran Mohamad dan Mohd Zamro Muda, Siri 16, Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, 2007, hal. 166.

[49] Kes jenayah No. S-3/95-7(7) tahun 2001. Kes ini diputuskan oleh yang Arif Jasri bin Matjakir.

[50] Kes Jenayah No. S-3/95-7 (03) tahun 2001. Kes diputuskan oleh Yang Arif Jasri bin Matjakir.

[51] Penulis sendiri telah menyaksikan hukuman berkenaan. Penulis telah diberi kesempatan untuk memegang alat sebat dan melihat sendiri bahagian tubuh yang telah disebat.

[52] Seksyen 125(3)(c) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2004 memperuntukkan bahawa pelaksanaan sebatan syariah hendaklah dijalankan di hadapan seorang Pegawai Perubatan Kerajaan di mana-mana tempat sebagaimana yang diarahkan oleh Mahkamah atau di suatu tempat yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Dapat difahami bahawa selain daripada penjara, Mahkamah Syariah mempunyai kuasa untuk memerintahkan pelaksanaan hukuman sebat dijalankan di mana-mana tempat yang munasabah termasuklah di tempat awam seperti perkarangan masjid.

[53] Kes No. 12400-142-0004-2014, Mahkamah Tinggi Syariah Tawau. Pesalah telah didakwa dan disabitkan atas kesalahan melakukan persetubuhan haram dengan seorang wanita di bawah Seksyen 80(1) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1995.

[54] Laporan lengkap mengenai perlaksanaan hukuman sebat berkenaan boleh dilihat di https://erakita.wordpress.com/2014/10/29/sebatan-syariah-pertama-di-khalayak-ramai/; Lihat juga laporan berkenaan dalam http://syariah.perak.gov.my/keratan-akhbar/keratan-akhbar/keratan-akhbar-blogerakita-17072014.

[55] Penulis merupakan salah seorang ahli dalam mesyuarat pembentukan SOP berkenaan yang diadakan di Bangunan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Putrajaya, Bangunan Annexe, Istana Kehakiman, Presint 3, Putrajaya pada 17 Mac 2015. Jemputan lain adalah pegawai dari Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Peguam Negara dan Ibu Pejabat Penjara Malaysia.

[56] Lihat Seksyen 99 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah No. 10 Tahun 2004.

[57] Di Mahkamah Syariah Tawau sebagai contohnya, ada ketikanya terdapat antara 6 hingga 8 kes sehari yang berjaya mencapai penyelesaian melalui persetujuan bersama di hadapan Pegawai Sulh. Kes berkenaan lazimnya dapat diindoskan oleh Hakim pada hari yang sama. Ini bermakna, kes berkenaan dikira telah selesai tanpa melalui proses perbicaraan.

[58] Penulis berterimakasih atas maklumat yang diberikan oleh Tuan Muhamad Aslam bin Ahmad, Penolong Pegawai Syariah, Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah kepada Penulis pada 7 September 2014.

[59] Penulis berterimakasih atas maklumat yang diberikan oleh Tuan Mohd Saifullah, Penolong Pengarah Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) Sabah kepada Penulis pada 1 Oktober 2013. Sehingga tulisan ini dibuat, antara jenis perintah yang boleh dikuatkuasakan melalui BSK selain nafkah isteri dan anak adalah nafkah eddah dan mut’ah. Perkhidmatan ini dibuat secara percuma dan akan diperluaskan kepada beberapa lagi jenis perintah dari semasa ke semasa.

[60] Fungsi SPKMS ini dipetik dari laman web rasmi Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu di syariah.terengganu.gov.my/spkms.php pada 7 September 2014.

[61] Ibid.

[62] http://.lexisnexis.com.my/en-my/products/shariah-law-journal.page

[63] Penulis berterima kasih atas maklumat ini yang diberikan oleh Tuan Ade Rizal Pahlevi bin Mohd Zain, Ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah, Negeri Sabah kepada penulis pada 7 September 2014. Hakim Syarie wanita tersebut adalah Puan Taherah binti Tahir, berkelulusan Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang, Universiti Malaya. Sebelum dilantik sebagai Hakim Syarie, beliau memegang jawatan sebagai Pendaftar Kanan, Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sabah. Beliau mula menjalan tugas sebagai Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Pantai Barat, Kota Kinabalu sejak 1 Jun 2014. Sebelum itu, ada 2 Hakim Syarie wanita telah dilantik melalui perkenan Yang diPertuan Agong pada bulan Mei 2010 iaitu Puan Suraya Ramli dari Sabah dan Puan Rafidah binti Abdul Razak dari Pulau Pinang yang ditugaskan sebagai Hakim Mahkamah Rendah Syariah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. Ucapan tahniah mengenai perlantikan Hakim Syarie Wanita pertama di Sabah oleh YAB Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, Ketua Menteri Sabah dapat disentuh dalam ucapan YAB Ketua Menteri Sabah semasa merasmikan Majlis Pecah Tanah Kompleks Bangunan Mahkamah Syariah Kota Kinabalu, Sabah pada 13 Febuari 2015. Lihat ucapan tersebut dalam http://www.sabah.gov.my/main/ms-MY/Press/Details/2015002325. Untuk lebih lanjut mengenai perlantikan Hakim Syarie Wanita yang pertama bagi Negeri Sabah, lihat laporan terperinci dalam https://erakita.wordpress.com/2014/11/13/hakim-syarie-wanita-pertama-di-sabah/.

[64] Penulis mengucapkan terimakasih kepada Tuan Azmi bin Talip, Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah, Sabah atas maklumat yang diberikan kepada Penulis pada 7 September 2014.

[65] Klinik Guaman secara percuma di Mahkamah Syariah Tawau ini mula beroperasi di Bangunan Mahkamah Syariah Tawau sejak bulan 3 Oktober 2014. Satu bilik khas telah disediakan untuk para peguam syarie bagi mengendalikan perkhidmatan  yang dibuat pada setiap hari jumaat antara jam 2.00 petang hingga 4.00 petang.

[66] Lihat misalnya kenyataan Datuk Hajiji Haji Mohd Noor, Menteri Kerajaan dan Perumahan Tempatan dalam www.newsabahtimes.com.my/nstweb/fullstory/69426 bertarikh 19 Jun 2013. Dilihat pada 7 September 2014.

[67] Lihat Bahagian IV bermula Seksyen 16 hingga 17 Enakmen Mahkamah Anak Negeri 1992 yang memperuntukkan kuasa Penyemakan dan Rayuan bagi Mahkamah Anak Negeri Daerah.

[68] Lihat http://www.utusan.com.my/utusan/Sabah_%26_Sarawak/20130206/wb_06/Mahkamah-Anak-Negeri-masih-relevan. Dilihat pada 5 September 2014. Penulis merupakan salah seorang pembentang kertas kerja dalam Persidangan Tahunan Ketua-Ketua Adat Anak  Negeri Sabah di Hotel Four Points, Sandakan bertajuk “Peranan Mahkamah Anak Negeri  Antara Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 dan enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004” pada 4 dan 5hb Febuari 2013.

PEMBUKAAN TAHUN PERUNDANGAN SYARIAH TAWAU 2015

PEMBUKAAN TAHUN PERUNDANGAN SYARIAH TAWAU 2015

 

23 FEBUARI 2015

Buat pertama kalinya dalam sejarah, Majlis Pembukaan Tahun Perundangan Syariah Tawau berjaya diadakan pada 6 Febuari 2015 bersamaan 16 Rabiulakhir 1436H. Acara yang diadakan di Dewan Mahkamah Tinggi Syariah Tawau itu bermula tepat jam 8.30am. Majlis itu dihadiri oleh Hakim Syarie dan Pegawai-Pegawai Kanan dan kakitangan Mahkamah Syariah Tawau, barisan Pendakwa Syarie yang diketuai oleh Ketua Pendakwa Syarie dan para Peguam Syarie yang beramal di Tawau yang dianggarkan sekitar 40 orang.

Majlis yang dijalankan menurut format prosiding di mahkamah itu bermula sebaik sahaja Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Tawau memasuki Dewan Mahkamah Tinggi Syariah tepat jam 8.30am. Semua hadirin bangun memberi hormat dan selepas Hakim Mahkamah Tinggi memberi salam, prosiding pembukaan tahun perundangan syariahpun bermula. Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Tawau, Tuan Kassim Sauji memohon izin bagi memulakan prosiding dengan pembacaan ummul kitab al Fatihah. Prosiding seterusnya disusuli bacaan doa yang dipimpin oleh Pegawai Penyelidik Mahkamah Tinggi Syariah Tawau, Tuan Khalid bin Suahid.

 

Intipati Hujahan Peguam Syarie

Pengisian prosiding dimulakan dengan ucapan dari wakil Persatuan Peguam Muslim Sabah (AMAL) yang juga mewakili peguam-peguam syarie yang beramal di Tawau, Tuan Mohd Amin bin Hj. Tengreng. Dalam ucapannya yang mengambil masa selama 7 minit, beliau menyentuh peranan penting peguam syarie di Mahkamah Syariah. Beliau menekankan betapa para peguam syarie perlu berperanan membantu mahkamah bagi mencapai keadilan dalam sesuatu pertikaian kes. Para Peguam Syarie perlu sentiasa menyedari bahawa tugas sebagai wakil kepada anak guam mestilah dilaksanakan semata-mata mencari keredhaan Allah s.w.t dan jauh sekali dari menurut kehendak hawa nafsu, perasaan kasihan, marah, kemashyuran dan ingin memenangi sesuatu kes di Mahkamah. Beliau seterusnya menarik perhatian hadirin mengenai beberapa usaha kerjasama yang telah dijalankan oleh para peguam syarie di Tawau dalam rangka memartabatkan perundangan Islam di Negeri Sabah secara amnya dan secara khususnya di Daerah Tawau. Antara usaha yang dilaksanakan adalah menyediakan Klinik Guaman Syarie secara percuma kepada masyarakat Islam di Tawau pada setiap hari jumaat antara jam 2.00 petang sehingga 4.00 petang. Perkhidmatan yang dijalankan di bangunan Mahkamah Syariah Tawau ini telahpun dimulakan sejak bulan September 2014 lagi.

Para Peguam Syarie daerah ini juga menurut beliau turut terlibat dalam beberapa program lawatan dan kunjungan mahabbah Mahkamah Syariah Tawau ke beberapa agensi kerajaan yang berkaitan seperti Mahkamah Tinggi Awam, Balai Polis, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan FELDA UMAS dalam Daerah Tawau. Beliau melahirkan kesediaan para Peguam Syarie di daerah ini untuk memberi kerjasama dan sokongan padu atas apa-apa program yang dilaksanakan oleh Mahkamah dalam rangka meningkatkan mutu perkhidmatan dan penyampaian kepada masyarakat Islam di daerah ini. Ketika ini, pengisan Slot Bicara Syariah dan Perundangan di Tawau FM yang sudahpun bermula sejak bulan Januari 2015 adalah antara program berterusan melibatkan kerjasama antara Mahkamah Syariah Tawau, Peguam Syarie Tawau dan Tawau FM. Program ini diadakan pada minggu ketiga setiap bulan selama 30 minit dari pukul 2.00 petang hingga 2.30 petang.

Beliau yang mewakili suara Pegaum Syarie Tawau mengakhiri hujahan beliau dengan mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pihak yang telah bertungkus lumus bagi merealisasikan perlaksanaan majlis yang penuh bersejarah ini. Menurut beliau, majlis ini merupakan permulaan yang amat baik dan mengharapkan agar majlis seumpama ini dapat terus dilaksanakan pada tahun-tahun akan datang. Sebagai penutup, beliau menyatakan kepercayaan bahawa majlis ini jelas menunjukkan kepada umum bahawa sikap kebersamaan, kasih sayang dan setia kawan antara Mahkamah Syariah, Peguam Syarie dan Pendakwa Syarie mampu mencapai matlamat untuk menzahirkan keadilan undang-undang Islam sesuai dengan ungkapan “Syariah Asas Keadilan”.

 

Intipati Hujahan Ketua Pendakwa Syarie Sabah

Ucapan seterusnya disampaikan oleh Ketua Pendakwa Syarie Negeri Sabah, Tuan Sakaria Samela. Ucapan beliau yang mengambil masa selama 15 minit itu antara lain memaklumkan kepada hadirin bahawa prosiding Pembukaan Tahun Perundangan dan Syariah Tawau tahun 2015 ini merupakan satu sejarah dalam perundangan Islam di Malaysia. Menurut beliau, program seumpama ini belum pernah diadakan di mana-mana negeri di Malaysia. Justeru, usaha yang diadakan dengan kerjasama antara Mahkamah Syariah Tawau, Peguam Syarie Tawau dan Bahagian Pendakwaan Syarie Sabah ini merupakan sejarah tersendiri yang akan terpahat dalam lipatan sejarah bagi komuniti syariah di Malaysia. Beliau turut mengalu-alukan agar Pembukaan Tahun Perundangan Syariah ini dapat diadakan sebagai acara tahunan yang bukan saja diadakan di Daerah Tawau, malah dapat pula dikembangkan di peringkat negeri dan Kebangsaan pada masa hadapan.

Ketika menghuraikan peranan Pendakwa Syarie, beliau menekankan bahawa pendakwa dan peguam merupakan kumpulan professional yang bertindak untuk menegakkan keadilan, bersumberkan wahyu ilahi, melangkaui catatan manusiawi dalam bentuk dokumen yang dikanunkan. Menurutnya lagi, dalam merencanakan keadilan Islam, pendakwa dan peguam perlu berinteraksi melalui etika professional tanpa melayan kehendak klien atau saksi yang tidak professional. Bagi mencapai keadilan dan keindahan Islam, ketika bertindak tegas terhadap individu yang disyaki melanggar undang-undang, tanggungjawap pendakwa syarie dan peguam syarie tetap dilaksanakan. Antaranya, mereka sama sekali tidak dipujuk, apa lagi dipaksa untuk mengaku salah semata-mata untuk membolehkan hukuman ringan dapat dipertimbangkan atau play bargain digunakan. Pendakwa Syarie menurut beliau perlu mengambil perhatian bahawa dalam prinsip hukum syarak, tidak wujud istilah apabila memberi kerjasama kepada pihak berwewenang, hukuman ringan dapat diberikan.

Selaku Ketua Pendakwa Syarie Negeri Sabah, beliau melahirkan iltizam dan komitment untuk menyokong apa sahaja usaha ke arah menaikkan imej dan martabat institusi kehakiman syariah. Turut ditekankan dalam ucapan beliau adalah sokongan dan harapan pihak Pendakwaan Syarie agar hasrat kerajaan bagi menambahkan bilangan peringkat Mahkamah Syariah kepada 5 peringkat yang meliputi Mahkamah Rendah, Mahkamah Tengah, Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Majlis Rayuan Syariah akan menjadi kenyataan. Beliau juga melahirkan harapan bahawa usaha kerajaan bagi menubuhkan Jabatan Pendakwaan Syariah di negeri-negeri termasuk Sabah dalam rangka memperkasa dan memantapkan pengurusan dan pentadbiran kes-kes jenayah syariah akan menjadi kenyataan. Langkah ini telah dipersetujui oleh Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam (MKI) yang pengerusikan oleh YAB Perdana Menteri. Beliau seterusnya memaklumkan mengenai peningkatan kes pendakwaan jenayah syariah di negeri ini dan khususnya di Tawau yang sudah tentunya memerlukan komitment yang tinggi antara Mahkamah Syariah Tawau dan Bahagian Pendakwaan bagi memastikan kes-kes berkenaan dapat diselesaikan menurut masa yang sewajarnya. Ketika ini, Bahagian Pendakwaan Syarie telah menempatkan seorang Timbalan Pendakwa Syarie di Tawau bagi mengendalikan kes-kes pendakwaan bagi kesalahan-kesalahan syariah di Pantai Timur Sabah meliputi Daerah Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna.

 

Intipati Amanat dan Rumusan Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Syariah

Kemuncak prosiding adalah ucapan dan amanat dari Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Tawau. Dalam amanatnya, Yang Arif melahirkan kesyukuran kepada Allah kerana mengizinkan acara Pembukaan Tahun Perundangan Syariah bagi Daerah Tawau tahun 2015 ini dapat dilaksanakan. Menurut beliau, acara yang julung kali diadakan ini merupakan satu detik penting dalam sejarah komuniti perundangan Syariah bukan saja di Tawau, malah di Negeri Sabah dan juga di Malaysia. Ini kerana, acara ini merupakan yang pertama kali diadakan. Dalam amanatnya, Yang Arif memaklumkan mengenai beberapa peristiwa penting dan berimpak tinggi dalam konteks perkembangan Islam di Malaysia telah berlaku di Mahkamah Syariah Tawau sepanjang tahun 2014. Perlaksanaan hukuman sebatan syariah sebanyak 6 rotan di dalam mahkamah terbuka Mahkamah Tinggi Syariah Tawau pada 28 Oktober 2014 merupakan detik penting yang terpahat dalam sejarah perundangan Islam di negara ini. Ini kerana, perlaksanaan hukuman sebatan yang disaksikan di khalayak ramai itu merupakan pertama kali berlaku dalam sejarah Mahkamah Syariah di Malaysia. Perlaksanaan hukuman tersebut mendapat reaksi positif dan sokongan padu dari pelbagai pihak.

Malah menurut beliau, ekoran dari kejayaan perlaksanaan hukuman sebat di Tawau, satu Standard Operating Procedure (SOP) mengenai perlaksanaan hukuman sebat di hadapan umum bakal dikeluarkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) untuk digunapakai bagi seluruh negeri di Malaysia. Dalam amanat itu juga, beliau turut melahirkan kesyukuran kerana impian untuk melaksanakan solat berjamaah di Mahkamah Syariah Tawau berjaya diadakan bagi solat zohor dan asar. Perlaksanaan solat berjamaah ini telah diwajibkan kepada semua pegawai dan kakitangan lelaki Mahkamah Syariah Tawau sejak 17 November 2014 melalui satu arahan khas yang dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Tawau. Bagi melicinkan perlaksanaan solat tersebut, prosding kes dalam Mahkamah Rendah dan Tinggi Syariah dihentikan 10 minit sebelum masuknya waktu solat. Perlaksanaan solat berjemaah melibatkan kakitangan Mahkamah, para peguam syarie dan para pelanggan yang berurusan di Mahkamah Syariah dilihat amat positif dalam meningkat kualiti kerohanian di kalangan warga Mahkamah Syariah di daerah ini. Beliau turut berkongsi harapan dengan wakil Peguam Syarie, Tuan Mohd Amin bin Hj. Tengreng dan Tuan Sakaria bin Samela selaku Ketua Pendakwa Syarie Sabah agar acara Pembukaan Tahun Perundangan dan Syariah ini dapat diteruskan pada masa hadapan setiap tahun bukan sahaja di Daerah Tawau tetapi juga di peringkat negeri-negeri di Malaysia.

Turut mendapat perhatian dalam amanat dan rumusan Yang Arif Hakim adalah kerjasama yang diadakan oleh Mahkamah Syariah Tawau dan Peguam Syarie Tawau untuk membuat pengisian sekali dalam sebulan rancangan khas dalam Radio Tawau FM yang dinamakan Bicara Syariah dan Perundangan. Rancangan yang dibuat secara langsung sejak bulan Januari tahun 2015 ini dilihat mampu membantu masyarakat Islam dan bukan Islam di sekirar Daerah Tawau, Kunak, lahad Datu dan Semporna untuk mengenali Mahkamah Syariah lebih dekat lagi. Di samping mendapat gambaran sebenar peranan dan fungsi Mahkamah Syariah, masyarakat setempat juga mendapat manfaat untuk mengetahui bidang kuasa mahkamah syariah, peranan peguam syarie, tata cara permohonan dan tuntutan di mahkamah syariah, cabaran-cabaran dan perkembangan-perkembangan semasa dalam dunia perundangan Islam.

Perkhidmatan Klinik Guaman Syarie secara percuma setiap minggu di bilik yang disediakan di Bangunan Mahkamah Syariah Tawau turut mendapat reaksi positif Yang Arif Hakim. Perkhidmatan yang bermula sejak bulan September 2014 semakin mendapat sambutan masyarakat Islam setempat. Usaha yang membabitkan semua peguam syarie yang beramal di Tawau ini sekali gus dapat memberi gambaran positif terhadap kewibawaan dan peranan para peguam syarie dalam rangka mencelikkan masyarakat kepada hak-hak mereka dan hal-hal berkaitan perundangan islam di sekitar Pantai Timur Sabah.

Sesuai dengan tema tahun ini yang berbunyi “KE ARAH KEBERSAMAAN, KASIH SAYANG DAN SETIA KAWAN”, Yang Arif Hakim mengharapkan agar kerjasama antara pihak Pendakwaan Syarie dan para peguam syarie di Daerah ini terus dikekalkan serta ditingkatkan dari semasa ke semasa. Prosiding yang berjalan selama 1 jam dan berakhir tepat pada pukul 9.30 pagi itu ditangguhkan pada tahun hadapan. Acara yang menggabungkan Pegawai Kehakiman, Pendakwaan Syarie dan Peguam Syarie dengan pakaian lengkap dan jubah khas sesuai dengan profesyen masing-masing memperlihatkan keunikan tersendiri. Sesi bergambar beramai-ramai bersama Hakim Syarie kemudiannya diadakan dalam Dewan Mahkamah Tinggi Syariah dan juga di luar bangunan Mahkamah. Para peserta yang hadir rata-rata menyatakan perasaan puas hati dan menyatakan harapan agar majlis seumpama ini dapat diteruskan pada tahun hadapan.

MAJLIS PECAH TANAH KOMPLEKS MAHKAMAH SYARIAH NEGERI SABAH

MAJLIS PECAH TANAH KOMPLEKS MAHKAMAH SYARIAH NEGERI SABAH

15 Febuari 2015

Akhirnya tarikh 13 Febuari 2015 bersamaan 23 Rabiulakhir 1436 tercatat sebagai sejarah bagi Mahkamah Syariah Negeri Sabah. Majlis Pecah Tanah Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Sabah yang terletak di atas tapak seluas 5 ekar di Teluk Likas bersebelahan dengan Masjid Bandaraya Kota Kinabalu dilancarkan dengan rasminya oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, Ketua Menteri Sabah. Turut hadir Timbalan Ketua Menteri, Yang Berhormat Datuk Seri Penglima Yahya Hussin, Menteri-Menteri dan Pembantu-Pembantu Menteri Negeri Sabah, Setiausaha Kerajaan Negeri dan Persekutuan Sabah, Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Malaysia, Ketua-Ketua Hakim Syarie Negeri-Negeri, Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan dan Negeri dan pegawai-pegawai dan kakitangan dari Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).

Terdahulu, majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan dari Yang Berhormat Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Haji Baharom (B), Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawap mengenai hal ehwal agama Islam. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Yang Amat Arif Tan Sri Dr. Ibrahim bin Lembut, Ketua Pengarah Jabatan kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) merangkap Ketua Hakim Syarie Malaysia. Terdahulu, Yang Berhormat Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Haji Baharom yang telah tiba sehari lebih awal di Kota Kinabalu terpaksa kembali ke ibu negara bagi menghadiri upacara pengkebumian Almarhum Tok Guru Dato’ Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, bekas Menteri Besar Kelantan yang meninggal dunia pada 12 Febuari 2015.

Dalam ucapannya, YB Dato’ Seri Jamil Khir bin Haji Baharom memaklumkan bahawa kompleks Mahkamah Syariah yang menelan belanja sebanyak RM63 juta itu akan dilengkapi dengan kemudahan moden yang canggih seperti kelengkapan sistem teknologi maklumat. Bangunan tersebut juga akan mempunyai sebuah dewan terbuka bagi Mahkamah Rayuan Syariah, dua dewan untuk Mahkamah Tinggi Syariah dan 3 dewan bagi Mahkamah Rendah Syariah. Antara kelengkapan lain adalah ruang perpustakaan, bilik hakim, bilik mesyuarat, kafeteria, tempat letak kereta dan surau. Turut ditekankan dalam ucapannya adalah perkembangan undang-undang Islam di Sabah yang telah mendahului negeri-negeri lain apabila Mahkamah Syariah Negeri Sabah diberikan kuasa oleh undang-undang untuk memutuskan perkara-perkara berkaitan perlantikan wasi atau pentadbir harta pusaka orang Islam dan juga pendaftaran serta pengambilan anak angkat. Bidang kuasa berkenaan termaktub dalam Seksyen 11(3)(b)(viii) dan (xi) Enakmen Mahkamah Syariah No. 6 Tahun 2004. Kedua-dua bidang kuasa berkenaan belum wujud dalam mana-mana Enakmen di negeri-negeri lain. Pada ketika ini, Mahkamah Syariah Kota Kinabalu belum mempunyai bangunan sendiri dan menjalankan operasinya di Bangunan Wisma MUIS yang disewakan kepada Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah.

Dalam ucapan perasmian oleh YAB Ketua Menteri Sabah, beliau antara lain menekankan bahawa pembinaan kompleks berkenaan adalah antara komitment dan iltizam kerajaan bagi meningkatkan syiar Islam dan memartabatkan institusi Mahkamah Syariah di Sabah. Bagi beliau, pembinaan kompleks mahkamah berkenaan tepat pada masanya dan bersesuaian dengan tasawwur Islam. Kedudukan geografi Negeri Sabah yang berjiran dengan Negara Brunei Darussalam, Indonesia dan Pilipina yang secara tidak langsung dapat menambah nilai dalam konteks perkembangan sosiobudaya dan kemajuan Islam di rantau ini. Selain mengharapkan impak positif dalam konteks perkhidmatan terbaik dan berkualiti dari warga Mahkamah Syariah dengan adanya kompleks yang canggih itu nanti, beliau juga melahirkan impian agar sistem penyampaian yang terbaik dapat ditonjolkan oleh pegawai dan kakitangan mahkamah syariah di negeri ini seiring dengan perkembangan yang berlaku di Mahkamah Awam.

YAB Ketua Menteri seterusnya melahirkan harapannya agar peluang untuk pengisian jawatan dan juga kenaikan pangkat untuk jawatan yang lebih tinggi bagi pegawai mahkamah syariah di kalangan anak-anak Sabah yang berkelayakan dapat diberi perhatian oleh Kerajaan Persekutuan. Menurut Ketua Menteri lagi, perlantikan seorang Hakim Syarie Wanita pertama di Mahkamah Syariah Negeri Sabah baru-baru ini merupakan satu sejarah tersendiri bagi Negeri Sabah. Perlantikan tersebut merupakan satu pengiktirafan kerajaan terhadap sumbangan dan kebolehan golongan wanita di negeri ini.

Projek pembangunan kompleks mahkamah syariah yang bakal dimulakan pada tahun 2015 ini dijangka siap pada tahun 2018. Kedudukan bangunan yang bersebelahan dengan Masjid Bandaraya dan menghadap Laut China Selatan dilihat bakal menambahkan lagi seri Bandaraya Kota Kinabalu yang sememangnya terkenal sebagai bandaraya yang cantik dan indah di Malaysia. Ini tentunya akan menambah nilai kepada tarikan pelancung dari dalam dan luar negara yang semakin bertambah bilangannya bagi menikmati keindahan bandaraya ini. Jika pembinaan kompleks tersebut berjalan lancar mengikut jadual, tentunya rakyat Sabah, khususnya umat Islam di negeri ini akan sama-sama menikmati kemajuan pembangunan negara sebelum Malaysia melakarkan sejarah dengan status negara maju menjelang tahun 2020.

JIKA SUDAH TERLAFAZ CERAI, CEPAT-CEPATLAH KE MAHKAMAH

JIKA SUDAH TERLAFAZ CERAI, CEPAT-CEPATLAH KE MAHKAMAH

3 Febuari 2015

Soalan

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya. Adik ipar saya telah melafazkan cerai talak satu kepada isterinya di hadapan kedua pakcik dan makcik si isteri. Tetapi dalam masa kurang sebulan, adik ipar saya dan isterinya telah kembali semula dan bersekedudukan bersama. Di sini, saya ingin tahu:

(1) Adakah mereka harus memfailkan penceraian mereka di pejabat agama?
(2) Haruskah mereka melalui proses penceraian sebelum mereka rujuk semula?
(3) Apa hukum jika sudah melafazkan cerai tanpa memfailkan dan bersekedudukan??

Sila balas pertanyaan saya kerana saya ingin tahu. Terima kasih

Jawapan

Walaikumussalam wbt. Dalam keadaan di atas, apabila ternyata si adik ipar telah melafazkan cerai ke atas isterinya, tindakan segera yang perlu dilakukan adalah menfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai luar mahkamah di Mahkamah Syariah di mana pasangan tersebut bermastautin atau tinggal. Terus sahaja ke Mahkamah Syariah. Elakkan dari menangguh-nangguh perkara ini. Penangguhan yang berterusan akan hanya menambahkan rasa resah, bimbang dan tidak senang pada hati bukan saja pada pasangan ini malah pada keluarga kedua pihak yang terlibat.

Lafaz tersebut perlu diteliti oleh Mahkamah samada ianya telah menggugurkan talaq atau tidak. Ini kerana, lafaz talaq itu sendiri ada yang disebut sebagai lafaz soreh atau lafaz yang terang, nyata yang mana seseorang yang melafazkannya dalam keadaan biasa akan menggugurkan talaq. Ia tak memerlukan niat menceraikannya. Contohnya “aku ceraikan kau” atau “aku talaqkan kau” atau “kau tertalaq”.

Ada lagi lafaz yang dikategorikan sebagai lafaz kinayah yang memerlukan niat menceraikan baharulah lafaz tersebut dikira sebagai sabit perceraian atau gugur talaq. Contohnya suami mengatakan kepada isterinya “kau kembalilah kepada ibubapa engkau dan jangan lagi kau balik ke sini”. Dalam hal ini, sekiranya suami berniat menceraikan isteri saat melafazkan kata-kata itu, maka ia dikira menggugurkan talaq. Sebaliknya, jika suami sekadar menakutkan atau memberi amaran kepada isteri, maka tidaklah gugur talaq.

Justeru, dalam situasi yang dihadapi oleh adik ipar tersebut, sebaiknya bersegeralah ke Mahkamah Syariah dan failkan permohonan pengesahan lafaz cerai luar Mahkamah. Jika benar telah bercerai, mahkamah akan menentukan pula berapa bilangan atau jumlah talaq yang gugur. Hanya mahkamah syariah saja yang boleh memutuskan perkara ini menurut undang-undang keluarga Islam yang berkuatkuasa di negeri-negeri. Seksyen 56 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam jelas menyebutkan bahawa Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk hanya boleh mendaftarkan suatu perceraian itu apabila telah berpuashati bahawa Mahkamah Syariah telah membuat pengesahan mengenai perceraian itu.

Soal mereka telah rujuk, kembali atau bersekedudukan semula sebagai suami isteri, hal tersebut tidak harus berlaku begitu saja tanpa mendapat kepastian mengenai kedudukan status mereka semada sudah bercerai atau tidak. Jika mereka benar-benar nak bersatu semula, ikutilah undang-undang yang ada. Undang-undang itu bukanlah menyusahkan tetapi ia adalah memudahkan urusan manusia. Ia mengelak dari berlakunya perkara-perkara yang bertentangan dengan syarak. Segerakan dan jangan bertangguh lagi.

Tindakan menyegerakan untuk membuat laporan (permohonan) ke mahkamah mengenai lafaz cerai yang dilakukan di luar mahkamah tanpa kebenaran mahkamah adalah kehendak undang-undang. Seksyen 57 Enakmen Undang_undang Keluarga Islam menegaskan bahawa laporan (permohonan pengesahan lafaz cerai luar mahkamah) hendaklah dibuat kepada Mahkamah Syariah dalam tempoh 7 hari dari lafaz cerai tersebut berlaku. Ini bermakna, bila mana lafaz cerai sudah dibuat oleh suami, maka pasangan tersebut mestilah melaporkan hal tersebut dalam tempoh 7 hari dari tarikh lafaz.

Dalam perkara sepenting ini, Arahan Amalan sudah dikeluarkan kepada seluruh Mahkamah Syariah di negeri-negeri bahawa keutamaan untuk mendengar terus permohonan yang ada persetujuan bagi kes pengesahan lafaz cerai perlu diberi termasuk mendengar pada hari yang sama kes berkenaan jika ada ruang mahkamah berbuat demikian. Erakita berpendapat bahawa penjelasan dari artikel dalam ruangan ini serta jawapan di atas memadai sebagai jawapan kepada soalan yang ketiga.

Demikianlah jawapan erakita dalam situasi di atas. Semoga ada manfaatnya. Jangan tunggu lagi. Bersegeralah ke Mahkamah Syariah dan failkan permohonan pengesahan lafaz cerai luar mahkamah tersebut. Mohonlah kepada Pendaftar Mahkamah supaya kes berkenaan dapat disegerakan pendegarannya atas sebab nak rujuk.

Wallahu a’lam.

REMIDI KEGANASAN RUMAHTANGGA DALAM UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM

REMIDI KEGANASAN RUMAHTANGGA DALAM UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM

 

 18 Febuari 2014

Selain dari perlindungan yang boleh diperolehi di Mahkamah Majistret, pasangan suami isteri juga boleh mendapatkan perlindungan dan juga remidi-remidi berkaitan dari Mahkamah Syariah. Walau bagaimanapun, pasangan tersebut mestilah seorang yang beragama Islam dan perkahwinan mereka mestilah telah didaftarkan secara sah menurut undang-undang dan hukum syarih di Jabatan Agama Islam. Perlindungan dan remidi-remidi yang disediakan adalah berbentuk perlindungan keselamatan ke atas mangsa dalam bentuk hak untuk mendapatkan perintah pembubaran perkahwinan jika mangsa memilih untuk menamatkan perkahwinan mereka. Keganasan yang dilakukan oleh suami umpamanya, boleh dijadikan alasan utama untuk pembubaran perkahwinan tersebut melalui fasakh dan ta’liq.

1.         Fasakh:

Ada peruntukan dalam sek 53(1)(h)(i) yg menyebut mengenai penganiayaan seperti berikut:

“Seorang perempuan yg berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak mendapat perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh atas satu atau lebih daripada alasan-alasan berikut iaitu bahawa suami menganiayainya, iaitu antara lain menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan kelakuan aniaya”

 Sek 53(1)(h)(m) menyebut:

 “apa-apa alasan lain yg diiktiraf sebagai sah bagi membubarkan perkahwinan atau bagi fasakh di bawah Hukum Syarak”.

Dalam kes Hairon vs Omar (JH). Mahkamah Rayuan Syariah memutuskan bahawa perbuatan menyakiti tubuh badan isteri membolehkan isteri difasakhkan nikahnya. Dalam tulisan Norainan Bahari bertajuk Darar Syarie Dalam Mu’asyarah al-Jiwaz dan Pemakaiannya Dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Selangor 1984 yang dimuatkan dalam buku bertajuk Wanita Dan Perundangan Islam suntingan Raihanah Abdullah, terbitan Ilmiah Publishers Sdn. Bhd, 2001 dalam halaman 79 yang menyebutkan seperti berikut:

“Oleh itu, memukul walaupun tidak lazim tetapi menjadi suatu penganiyaan dan berasaskan Mazhab Maliki, fasakh dibolehkan kerana menyebabkan darar terhadap isteri bukan setakat menyebabkan kesusahan sahaja tetapi juga penderitaan akibat sentiasa berlaku pertengkaran dan maki hamun.”

Dalam kes Hairun vs Omar, Yang Arif Tan Sri Dato’ Haji Mohd. Azmi dalam penghakimannya berkata:

 “Prinsip dhirar ini telah diterima oleh kebanyakan negara-negara Islam termasuk Undang-Undang Keluarga Islam di Malaysia dan Undang-Undang Keluarga Islam 1984 Negeri Selangor juga telah menerima prinsip ini. Jika diteliti dengan lebih mendalam, prinsip pembubaran perkahwinan atau fasakh kerana “aniaya” atau “dhirar” ini tidaklah disyaratkan penganiayaan atau dhirar terhadap tubuh badan sahaja, malahan lebih luas dari itu termasuk enggan bercakap dengan isteri, membelakangkan isteri atau memalingkan muka darinya semasa di katil, mengutamakan memberi layanan kepada perempuan lain dari isteri, memukul dengan pukulan yang menyakiti dan seterusnya dan tidaklah disyaratkan pukulan itudilakukan berulang kali dan lazim”.

Berhubung pemakaian pendapat mazhab dalam kes fasakh, saya merujuk kenyataan Yang Arif Tan Sri Dato’ Haji Mohd Azmi ketika memberikan penghakimannya dalam kes Hairun vs Omar yang menegaskan bahawa pendapat dari Mazhab Maliki berkaitan dhirar digunakan sebagai alasan untuk pembubaran perkahwinan atau fasakh dan prinsip ini diterimapakai kebanyakan negara Islam termasuklah di negara kita. Beliau berkata seperti berikut:

“Kuasa Mahkamah membubarkan perkahwinan atau fasakh kerana perbuatan yang menyebabkan berlakunya “dhirar” terhadap isteri ini adalah berasaskan pendapat Mazhab Maliki. (Miwad Abdul Tawwab, Mausua’h al-Maarif, Iskandariyyah Egypt 1986, halaman 646). Prinsip dhirar ini telah diterima oleh kebanyakan negara-negara Islam termasuklah Undang-Undang Keluarga Islam di Malaysia dan Undang-Undang Keluarga Islam 1984 Negeri Selangor juga telah menerima prinsip ini”.

 Dari kenyataan di atas, saya tidak lagi teragak-agak untuk memetik pendapat dari ulama Mazhab Maliki sepertimana yang dinukilkan oleh Dr. Wahbah al-Zuhaili di atas mengenai keharusan pemisahan dilakukan apabila berlakunya pertelingkahan dan kemudaratan dalam rumahtangga pasangan suami isteri. Untuk memperkukuhkan kenyataan yang mengatakan bahawa kemudaratan dalam rumahtangga boleh diambilkira dalam kes pembubaran perkahwinan atau fasakh, saya tertarik untuk memetik tulisan Mohd. Salleh Haji Ahmad mengenai Kaedah Fekah yang berbunyi “Kemudaratan Hendaklah Disingkirkan” dalam bukunya yang bertajuk Pengantar Syariat Islam, terbitan Pustaka Haji Abdul Majid, cetakan 1999, di halaman 224-225 yang menyatakan seperti berikut:

“Ulama telah sepakat bahawa kaedah ini mengecualikan dhirar yang diizin oleh Syara’ seperti Qisas, Hudud dan segala jenis hukuman keseksaan dan ta’zir yang lain kerana sesungguhnya menolak kerosakan hendaklah didahulukan dari menarik kebaikan. Walau bagaimanapun hukuman-hukuman itu pada hakikatnya tidak disyariatkan melainkan kerana hendak menolak kemudaratan juga.

 

 Masalah-masalah yang termasuk dalam kaedah ini:

 

a.             Boleh dipulangkan barang yang dibeli kepada penjual kerana terdapat kecacatan padanya.

b.             Dihajar (ditahan dari mengurus harta sendiri) ke atas safih; dilarang Mufti yang tidak bersopan dari mengeluarkan fatwa; doktor yang jahil dari merawat orang sakit kerana amalan-amalan mereka ini mendatangkan kemudaratan ke atas diri mereka dan orang lain.

c.             Fasakh nikah kerana ‘aib, kepapaan dengan nafkah dan sebagainya.

d.             Qisas, Hudud dan Ta’zir.”

2.         Ta’liq:

 Sebarang tindakan pihak suami menyakiti tubuh badan isteri boleh mensabitkan cerai taqliq jika berlaku perlanggaran terhadap lafaz taqliq yg dibuat oleh suami selepas aqad nikah. Di negeri sabah umpamanya, bentuk lafaz taqliq yang dipakai seperti yg terdapat di belakang sijil nikah ialah:

          “Adalah saya Atan bin Bidin tinggal di Kota Kinabalu dengan ini bertaklik iaitu manakala saya tinggalkan isteri saya Sarah bte Arshad selama 4 bulan berturut-turut atau lebih, sengaja atau paksa atau saya atau wakil saya tiada memberi nafkah kepadanya selama masa yang tersebut, padahal ia taatkan saya, atau saya melakukan perkara yang menyakitkan tubuh badannya atau kehormatan dirinya atau harta bendanya atau perkara yang tidak diingininya, kemudian ia mengadu kepada mana-mana kadhi di seluruh Malaysia dan manakala sabit aduannya di sisi kadhi atau Mahkamah Syariah, maka pada ketika itu tertalaklah isteriku Sarah bte Bidin dengan satu talak”

Dalam lafaz taqliq tersebut ada disebutkan “atau saya melakukan perkara yg menyakiti tubuh badannya atau kehormatan dirinya..”. Perlakuan menyakiti tubuh badan jelas termasuk dalam senarai perkara yg dikatakan keganasan rumahtangga. Di samping ada diperuntukkan dalan AKRT 1994, perkara yg sama juga ada diperuntukkan dalam EUUKINS 2004. Keadaan ini sebenarnya memberi banyak manfaat kepada kaum wanita terutamanya untuk mencari jalan keluar dari masalah rumahtangga yang kronik disebabkan tindakan ganas dari pihak suami.

Ini bermakna jika si isteri dapat membuktikan kepada M bahawa si suami menyakitkan tubuh badannya dengan dengan pukulan yg menyakitkan, maka M apabila mensabitkan dakwaan isteri itu, talaq satu akan gugur.  Alasan ini banyak digunakan pihak isteri dalam tuntutan taqliq mereka di M Syariah. Laporan polis dan doktor perubatan juga banyak membantu isteri dalam tuntutan mereka.

3.         Perintah Tegahan Terhadap Gangguan

 Seperti dalam AKRT 1994, perkara yg menyentuh mengenai perintah perlindungan terhadap mangsa keganasan rumahtangga ada diperuntukkan dengan jelas dalam EUUKINS 2004. Sek 107(1) menyebut:

“Mahkamah adalah berkuasa dalam masa perbicaraan hal ehwal suami isteri masih belum selesai atau selepas pemberian suatu perintah perceraian, fasakh atau pembatalan, memerintahkan seseorang menahan dirinya dari mengganggui atau menceroboh, dengan apa-apa cara pun ke atas suami dan isteri atau bekas suami atau bekas isterinya “.

 Perintah tersebut boleh dipohon bukan saja untuk melindungi isteri tetapi juga suami. Kesan terhadap sebarang keingkaran mematuhi perintah M tersebut merupakan satu penghinaan terhadap Mahkamah. Seksyen 107(2) menyebut:

“Kemungkiran mematuhi sesuatu perintah yg dibuat di bawah seksyen ini boleh dikenakan hukuman sebagai suatu penghinaan terhadap Mahkamah”.

Ini bermakna, pihak yang melanggar perintah itu boleh dikenakan tindakan penghinaan Mahkamah dengan memberikan notis tunjuk sebab kepadanya di hadapan Mahkamah mengapa ia tidak dikomitkan ke penjara atau dihukum dengan apa-apa juga hukuman yang sewajarnya atas kesalahan menghina Mahkamah. Prosiding kes seperti ini akan dijalankan dalam kes mal memandangkan permohonan berkaitan penghinaan Mahkamah dan pegkomitan ke penjara ini dibuat terus kepada mahkamah melalui kes mal.

4.         Dakwaan menghina Mahkamah kerana ingkar perintah tegahan.

 Selain boleh memilih untuk mendapatkan keadilan mengheret pihak yang melanggar perintah tegahan yang dikeluarkan Mahkamah di bawah seksyen 107 di atas ke Mahkamah untuk pengkomitan ke penjara, pihak yang terkilan itu juga boleh memilih untuk membawa orang yang ingkar tadi ke Mahkamah dalam kes jenayah. Apa yang perlu dilakukan ialah dengan membuat aduan rasmi kepada Pegawai Penguatkuasa Agama di Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah. Siasatan akan dijalankan di bawah seksyen 104 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Sabah) 1995 (EKJS) atas kesalahan menhina perintah Mahkamah. Di bawah Seksyen 104 EKJS 1995, seseorang yg disabitkan menghina Mahkamah boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM1,000.00 atau penjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya sekali.

5.         Kesalahan- dan hukuman berkaitan keganasan rumahtangga di bawah EUUKINS 1992

 Terdapat 2 seksyen khas yang memperuntukkan hukuman bagi kesalahan berkenaan keganasan rumahtangga. Dalam seksyen2 tersebut, perkataan berkenaan keganasan rumahtangga yg digunakan ialah menganiayai dan menzalimi. Sek 134 EUUKINS 1992 sebagai contohnya menyebut:

“Seseorang suami atau isteri yg menganiaya isteri atau suaminya atau menipu harta isteri atau suaminya adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh dihukum denda tidak melebihi RM1000.00 atau penjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua2nya denda dan penjara itu”.

 Manakala sek 142(1) menyebut:

“Seseorang lelaki yg menzalimi isterinya atau anaknya dengan apa carapun adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM3000.00 atau penjara tidak melebihi 1 tahun atau kedua2nya denda dan penjara itu”.

 Sek 142(2) pula menyebut:

“Seseorang isteri yg menzalimi suaminya atau anaknya dengan apa carapun adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM3000.00 atau penjara tidak melebihi 1 tahun atau kedua2nya denda dan penjara itu”.

 Di bawah EUUKINS 2004 pula, seksyen 128 menyebutkan bahawa selain boleh dipenjara dan dihukum membayar denda, pesalah jenayah dalam rumahtangga juga boleh diperintahkan untuk membayar pampasan kepada mangsa bagi harta yang telah ditipu itu. Seksyen tersebut berbunyi”

(1) Seseorang suami atau isteri yang dengan sengaja menganiaya isterinya atau suaminya atau menipu harta isterinya atau suaminya, mengikut mana-mana yang berkenaan, adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu.

(2) Mahkamah boleh, sebagai perintah tambahan, memerintahkan supaya dibayar pampasan bagi harta yang telah ditipu itu.

Perlu dimaklumi bahawa EUUKINS 1992 sehingga kini belum lagi dimansukhkan. Ini bermakna, terdapat 2 enakmen undang-undang keluarga Islam yang sedang berkuatkuasa di Sabah ketika ini iaitu EUUKIN 1992 dan EUUKINS 2004. Semoga tulisan ini ada manfaatnya dalam rangka penyebaran ilmu pengetahuan dan kefahaman mengenai hak kita di sisi undang-undang khususnya dalam konteks perundangan Islam.

PERTANDINGAN RATU CANTIK: SATU KESALAHAN JENAYAH SYARIAH DI SABAH

PERTANDINGAN RATU CANTIK: SATU KESALAHAN JENAYAH SYARIAH DI SABAH

28 Ogos 2013

Satu negara heboh menjelang Ramadhan baru-baru ini apabila 4 orang gadis Melayu Islam terpilih sebagai finalis dalam pertandingan Ratu Cantik di Wilayah Persekutuan. Ekoran tersebarnya penyertaan mereka dalam pertandingan tersebut, pelbagai pandangan dan reaksi diterima khususnya dari masyarakat Islam. Rata-rata menyatakan rasa terkilan dan tidak berpuas hati, lebih-lebih lagi penganjuran pertandingan tersebut bertepatan pada bulan Ramadhan bagi tahun 2013.

Ketiadaan peruntukan khusus bagi kesalahan menyertai pertandingan ratu cantik dalam Enakmen atau Akta di negeri-negeri merupakan salah satu isu yang hangat diperkatakan. Terdapat desakan pelbagai pihak agar satu peruntukan khusus mengenai larangan mengenainya dimasukkan dalam Akta Kesalahan Jenayah Syariah bagi Wilayah Persekutuan dan Enakmen bagi negeri-negeri. Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia (MPWIM) adalah antara badan kerajaan yang menyuarakan secara tegas saranan tersebut.

Erakita terpanggil bagi mengulas perkara ini bagi menyatakan bahawa bagi Negeri Sabah, peruntukan mengenai larangan menyertai pertandingan ratu cantik telahpun dimasukkan dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Sabah) 1995. Larangan ke atas mana-mana individu Islam untuk menyertai pertandingan tersebut tidak meliputi kanak-kanak yang berumur di bawah 12 tahun. Berikut diperturunkan kandungan penuh Seksyen 91 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Sabah) 1995 untuk rujukan lanjut.

Seksyen 91. Pertandingan ratu cantik.

(1) Sesiapa, kecuali kanak-kanak di bawah umur dua belas tahun, melibatkan diri dengan sebarang pertandingan ratu cantik atau ratu pakaian atau seumpamanya adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya sekali.

(2) Sesiapa yang menganjurkan atau bersubahat kesalahan dalam subsekyen (1) adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan kepada peruntukan di atas, mana-mana orang yang disabitkan salah boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih 3 bulan atau kedua-duanya sekali. Undang-undang tersebut juga jelas memperuntukan bahawa orang yang bersubahat melakukan kesalahan tersebut seperti penganjur sekiranya orang Islam, turut tidak terkecuali menghadapi dakwaan atas kesalahan bersubahat melakukan kesalahan. Jika disabitkan salah, pesalah yang bersubahat boleh dikenakan bentuk dan kadar hukuman yang sama dengan peserta ratu cantik.

Walau tidak disebutkan samada peserta ratu cantik itu wanita atau lelaki, namun dapat difahami bahawa penyertaan ratu cantik lazimnya disertai oleh oleh wanita. Lelaki lebih banyak terlibat sebagai penganjur pertandingan sahaja.

Setakat ini, hanya Negeri Sabah satu-satunya negeri yang mempunyai peruntukan mengenai larangan penyertaan wanita Islam untuk menyertai pertandingan ratu cantik. Di negeri-negeri lain, peruntukan tersebut belum diwujudkan. Di Negeri Perak, terdapat satu peruntukan mengenai kesalahan yang hampir serupa tetapi tidaklah pula disebutkan sebagai termasuk penyertaan dalam pertandingan ratu cantik. Kesalahan yang disebutkan adalah perbuatan wanita yang mendedahkan tubuh badannya yang menimbulkan ghairah di tempat awam. Jika diteliti, peruntukan ini boleh dikaji samada ia boleh digunakan untuk mendakwa mana-mana peserta wanita Muslim yang menyertai pertandingan ratu cantik.

Erakita berpendapat bahawa jika terdapat bukti menunjukkan bahawa wanita yang menyertai pertandingan tersebut telah mendedahkan tubuhnya, maka pendakwaan boleh dijalankan terhadap wanita berkenaan menggunakan peruntukan ini. Contoh mudah bagi perbuatan mendedahkan tubuh yang menimbulkan ghairah ialah ketika wanita tersebut memakai pakaian bikini yang jelas memperlihatkan susuk tubuh dengan pakaian yang singkat dan nipis. Untuk jelasnya, berikut adalah kandungan penuh Seksyen 56 Enakmen Jenayah Syariah, No. 3, Tahun 1995 (Perak):

Seksyen 56. Mendedahkan tubuh, di tempat awam.

Seseorang perempuan yang mendedahkan mana-mana bahagian tubuhnya yang menimbulkan ghairah di mana-mana tempat awam adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah, apabila disabitkan, dikenakan denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Berdasarkan kepada peruntukan undang-undang di atas, kesalahan berkaitan menyertai pertandingan ratu cantik dan mendedahkan tubuh yang menimbulkan ghairah adalah termasuk dalam kategori kesalahan yang tidak boleh ditangkap melainkan ada waran tangkap dari Mahkamah Syariah. Ini kerana hukuman maksima bagi kesalahan-kesalahan tersebut adalah tidak melebihi penjara setahun. Justeru, satu waran tangkap mestilah diperolehi terlebih dahulu bagi membolehkan tangkapan dapat dilaksanakan secara sah menurut undang-undang. Tangkapan melalui serbuan oleh Pegawai Penguatkuasa Agama sebaik menerima aduan perlu dielakkan selagi belum ada satu waran tangkap dari Mahkamah Syariah. Bagi membolehkan tangkapan dapat dilakukan tanpa waran, peruntukan tersebut perlu dipinda dengan menambahkan kadar hukuman iaitu melebihi setahun penjara jika disabitkan.

Sesungguhnya tulisan ini dilakukan bagi menjelaskan kedudukan terkini di Sabah bahawa keperluan untuk memasukkan peruntukan baru bagi kesalahan menyertai ratu cantik dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah di negeri-negeri tidak lagi terpakai bagi Negeri Sabah ketika ini. Ini kerana, peruntukan tersebut telahpun wujud sejak sekian lama. Hanya saja, pendakwaan yang dilakukan di mahkamah Syariah masih kurang terserlah, mungkin disebabkan jarangnya aduan yang diterima oleh Bahagian Penguatkuasaan dan Penyiasatan, Jabatan hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) ataupun jarangnya penyertaan orang Islam dalam perbuatan seperti ini.

Semoga tulisan ini ada manfaatnya.

Wallahu a’lam.