KUNJUNGAN MAHABBAH KE KONSULAT REPUBLIK INDONESIA TAWAU

TAWAU – Melihat kepada keperluan wujudnya kerjasama baik dengan pelbagai agensi dan institusi dalam mempermudahkan urusan pentadbiran dan pengurusan kes di Mahkamah Syariah, satu kunjungan mahabbah telah dibuat oleh Mahkamah Syariah Tawau ke Pejabat Konsulat Republik Indonesia di Tawau pada 19 Januari 2018 (Jumaat). Rombongan tersebut diketuai oleh Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Tawau. Turut bersama dalam rombongan tersebut adalah Hakim Mahkamah Rendah Syariah dan pegawai-pegawai kanan Mahkamah Syariah Tawau, Pendakwa Syarie Kanan Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah (JHEAINS) serta beberapa peguam kanan sivil dan syariah yang beramal di Tawau bagi pihak Persatuan Peguam Muslim Sabah (AMAL).

Kunjungan penuh mahabbah itu diraikan oleh Konsul Republik Indonesia Tawau, Bapak Krishna Djelani bersama-sama dengan pegawai kanan di Konsulat berkenaan. Bapak Konsulat turut mengalu-alukan kunjungan tersebut bagi memperkukuhkan lagi kerjasama dan persefahaman antara Mahkamah Syariah di Tawau dan Pejabat Konsulat Republik Indonesia di Tawau. Daerah Tawau yang bersempadan dengan Malaysia dan Indonesia menempatkan ramai warganegara Indonesia yang kebanyakannya bekerja dalam sektor perladangan di sekitar Pantai Timur Sabah seperti Daerah Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna. Perkahwinan melibatkan pasangan dari kedua-dua negara merupakan suatu kelaziman dari dahulu sehingga ke hari ini. Antara kes-kes yang sering dibawa ke Mahkamah Syariah membabitkan pasangan dari warganegara Indonesia adalah pengesahan perkahwinan, pengesahan nasab anak, perceraian, tuntutan hak jagaan anak, tuntutan mut’ah, nafkah isteri dan anak, harta sepencarian dan pembahagian harta pusaka.

Perkara-perkara berkaitan urusan dokumentasi seperti pengesahan dokumen perkahwinan, status perkahwinan, dokumentasi perjalanan, penyampaian saman dan notis permohonan, perintah Mahkamah, perlantikan peguam bagi mewakili pasangan warga Indonesia dan pelbagai aspek lagi telah dibincangkan. Kunjungan ini telah membuahkan hasil yang positif. Kerjasama dan persefahaman telah dicapai dalam perkara-perkara di atas dalam rangka melicinkan lagi pengurusan dan perjalanan kes di Mahkamah Syariah khususnya melibatkan pasangan warganegara Inodnesia. Bapak Konsul mengalu-alukan kerjasama berterusan antara kedua-dua pihak bagi mempermudah dan melancarkan lagi pengurusan kes dan juga hal-hal yang berkaitan dengan pasangan dari warganegara indonesia yang terlibat dalam sesuatu permohonan atau tuntutan di Mahkamah Syariah di Tawau.

cofcofcof

 

 

About ERAKITA

TERUSKAN LANGKAH USAH BERHENTI

Posted on 10 Februari 2018, in AGAMA, JKSM, KELUARGA, MAHKAMAH, Mahkamah Sivil, Mahkamah Syariah, MAJLIS, PELBAGAI, UNDANG-UNDANG. Bookmark the permalink. Tinggalkan komen.

Tinggalkan komen