KEMPEN WAKAF MASJID PENAMPANG DILANCARKAN

 

KEMPEN WAKAF MASJID PENAMPANG DILANCARKAN

 

1 September 2010 

29 Ogos 2010 menjadi satu lagi sejarah dalam gerakan dakwah dan pembangunan Islam di Sabah apabila kempen Wakaf Masjid Penampang dilancarkan secara rasminya. Majlis yang ringkas tapi penuh bererti dihadiri lebih kurang  dalam 1000 umat Islam yang datang dari seluruh pelusuk Negeri Sabah. Dewan Saadah Wisma MUIS Kota Kinabalu dipilih sebagai tempat pelancaran. Majlis berkenaan dianjurkan oleh CONCERN, sebuah Majlis NGO Islam yang menggabungkan pelbagai NGO Islam di Sabah ketika ini.  

Pengerusi Penganjur, Tuan Haji Sainurin Yahmin dalam ucapannya menyatakan latar belakang pembinaan Masjid berkenaan. Menurutnya, lokasi berkenaan terletak di Jalan Penampang Bypass, sebuah kawasan strategik dan bernilai tinggi. Nilai tanah berkenaan melebihi angka sejuta ringgit. Namun, pemiliknya telah bermurah hati untuk menjualnya pada paras yang jauh lebih rendah untuk membolehkan sebuah Masjid dapat didirikan di kawasan berkenaan. Dengan kata lain, pemilik berkenaan juga turut mewakafkan sebahagian besar tanah tersebut bagi pembinaan Masjid berkenaan. 

Antara objektif atau matlamat pembinaan masjid berkenaan adalah:

  • Menyediakan tempat ibadat yang strategik untuk umat Islam.
  • Tempat umat Islam untuk berkumpul bagi menjalankan aktiviti keagamaan.
  • Mewujudkan institusi pendidikan agama untuk keperluan generasi Islam di Daerah Penampang dan kawasan sekitarnya.
  • Mewujudkan pusat informasi Islam dan “One Stop Centre”.
  • Menyemarakkan syiar Islam di Daerah Penampang. 

Apabila siap kelak, bukan saja sebuah bangunan Masjid bakal tersergam, beberapa bangunan lain seperti bangunan serbaguna dan sekolah agama juga akan tersergam di tapak berkenaan. Tabung wakaf dan derma yang dilancarkan oleh Tuan Haji Jamaluddin Elias, Timbalan Pengerusi Yayasan Amal Malaysia telah berjaya mengumpul lebih RM20,000 pada hari pelancaran. Kos keseluruhan meliputi pembelian tapak dan pembinaan masjid serta bangunan lain dianggarkan mencecahRM6.5 juta. 

Di luar dewan, di bahagian pintu masuk utama, orang ramai berpusu-pusu ke kaunter wakaf yang tersedia untuk melaksanakan wakaf sebagai amal bernilai untuk bekalan di hari akhirat. Beberapa gerai menjual buku-buku agama turut diadakan di pintu hadapan dewan utama. 

Sumbangan sebagai amal jariah boleh dibuat dengan menghantar terus sumbangan ke alamat Jawatankuasa Wakaf Masjid Penampang, D/A Lot 28, Tingkat Satu, Lorong Grace Square, Jalan Sembulan, 88100, Kota Kinabalu. Para petugas boleh dihubungi di talian 088-212080 dan faks di talian 088-212080. Sumbangan atau wakaf juga boleh dimasukkan terus ke dalam akaun Bank Islam Malaysia Berhad atas nama Jawatankuasa Wakaf Masjid Penampang pada no. akaun 10016010074517. Bagi wakaf Masjid, harga bagi 1 lot yang bersamaan 1 kaki persegi adalah RM100. Kebenaran kutipan dana telahpun dipeolehi dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Jabatan Ketua Menteri. 

Antara pengisian menarik sepanjang majlis yang berlangsung dari jam 8.00am hingga 12.30 tengahari itu antaranya, ceramah mengenai konsep dan kelebihan wakaf dalam perspektif Islam oleh Ustaz Abdullah Din, YDP ABIM Padang Terap Kedah dan  perkongsian pengalaman mendebarkan Tuan Haji Jamaluddin Elias, Timbalan Pengerusi Yayasan Amal Malaysia bersama Kapal Mavi Malvara yang ditahan dan diserang oleh tentera Isreal semasa misi kemanusiaan ke Gaza baru-baru ini. 

Bagi ERAKITA, kehadiran sebuah bangunan masjid di Penampang Sabah merupakan satu lagi mercu kecemerlangan pembangunan Islam di Sabah. Dalam sejarah perkembangan Islam di Sabah, tidak ada catatan atau rekod yang menunjukkan bahawa masjid pernah dirikan di kawasan daerah ini. Lebih mengujakan, walaupun sejarah menyaksikan betapa gerakan pengislaman besar-besaran seawal tahun 1970 sehingga 1980-an berlangsung di Sabah dan dikatakan berjaya mengislamkan hampir seratus ribu orang, namun sebuah masjid di Daerah Penampang Sabah tidak pula “berjaya” dibina. 

Perlembagaan Sabah yang dibentuk pada tahun 1963 menyaksikan tidak ada memperuntukkan Islam sebagai agama rasminya. Namun, kesan pengislaman  besar-besaran melibatkan rakyat biasa dan para pemimpin tertinggi negeri, di samping usaha bersungguh-sungguh Ketua Menteri Sabah ketika itu, Tun Datu Mustapha Datu Harun, akhirnya Islam berjaya dijadikan agama rasmi Sabah melalui peruntukan baru dalam perkara 5 Perlembagaan Negeri Sabah pada tahun 1973. Walaupun kejayaan gemilang dalam hal tersebut telah dicapai, namun pembinaan sebuah masjid di Daerah Penampang sejak merdeka sehingga kini belum dapat direalisasikan. Mungkin ada hikmah di sebalik kejadian ini. 

Dengan usaha hebat yang kini sedang giat dijalankan oleh badan-badan NGO Islam, kemunculan sebuah bangunan Masjid tidak lama lagi di daerah ini bakal merubah wajah  Penampang. Umat Islam yang semakin ramai menetap dan bekerja di kawasan ini tidak lagi perlu bersusah payah menunaikan solat Jumaat dan silat fardu berjemaah di kawasan jauh seperti Kota Kinabalu, Luyang dan Putatan. Semoga cahaya Islam bersinar dan gemilang di bumi Penampang dengan kehadiran masjid tersebut.

 

Ayuh, berwakaf hari ini untuk memetik untung menakjubkan di akhirat!

 

 

 

About ERAKITA

TERUSKAN LANGKAH USAH BERHENTI

Posted on 1 September 2010, in AGAMA, MAJLIS, MASJID. Bookmark the permalink. Tinggalkan komen.

Tinggalkan komen