Monthly Archives: Julai 2011

RUPANYA… SAYA ISTERI NO. 2!

RUPANYA..SAYA ISTERI NO.2!

28Julai 2011

Berikut adalah soalan salah seorang tetamu Erakita. Justeru, Erakita sukacita memberikan jawapan sebagaimana di bawah ini.

Soalan:

Assalamualaikum…

Saya bertanya mengenai suami. Kami telah bernikah, tiba-tiba saya mengetahui yg suami saya sudah berkahwin sedangkan saya tidak tahu yang suami saya sudah berkahwin. Saya ditipu oleh suami saya dan isterinya baru tahu yang suaminya baru bernikah. Kami sama-sama kena tipu olehnya. Jika saya buat laporan pada pejabat agama apakah tindakan pada suami saya. Kalau boleh saya tidak mahu orang tua saya tahu hal ini.

Jawapan:

Walaykum salam wbt.

Situasi yang berlaku ke atas Puan Sue memang berat bagi seorang isteri. Ia juga berlaku pada kebanyakan kaum wanita. Mereka telah tertipu oleh kata-kata manis seorang lelaki. Si Lelaki sanggup berbohong mengatakan bahawa ia masih single, belum pernah kahwin, belum pernah bercinta dan berbagai lagi kata-kata manis dan meyakinkan teman wanitanya. Sampai ada kalanya, si lelaki sanggup bersumpah menggunakan kalimah Allah untuk meyakinkan bahawa ia masih bujang.

Yang penting baginya, ia dapat kahwin dengan buah hatinya. Yang penting cita-citanya tercapai. Soal isteri dan anak-anak di rumah ada makanan atau tidak, semuanya tidak lagi menjadi penting baginya. Yang penting baginya ketika itu ialah, mendapatkan sekeping hati atas dasar cinta dan sayang kepada kekasihnya. Dengan segala pujuk rayu dan kata-kata sumpah, akhirnya teman wanita layu, kendur dan longlai. Akhirnya, ia percaya seratus persen pada kata-kata teman lelakinya. Si wanita lantas begitu yakin dan tanpa ragu-ragu bahawa teman lelakinya memang bujang!

Berbalik kepada kes Puan Sue. Erakita melihat ada dua kemungkinan yang berlaku ke atas perkahwinan Puan Sue. Pertamanya, boleh jadi perkahwinan Puan Sue dengan Suaminya telah melalui proses undang-undang seperti membuat permohonan kebenaran kahwin dari Jabatan Agama Islam Negeri. Keduanya, boleh jadi perkahwinan Puan Sue tidak melalui Jabatan Agama Islam tetapi melalui orang-orang tertentu atau lebih dikenali sendikit. Jika tidak melalui jabatan agama, lazimnya ia melibatkan jurunikah tak bertauliah.

Satu hal yang memeritkan bagi Puan Sue ialah, Puan Sue rupanya bukanlah isteri pertama, tetapi isteri kedua. Ini kerana, tembelang suami akhirnya terkeluar juga. Baharulah Puan Sue sedar bahawa ia sebenarnya ditipu oleh kata-kata manis suaminya.

Dalam hal ini, ERAKITA menyarankan Puan Sue untuk melaporkan perkara ini pada Jabatan Agama Islam Negeri di mana Puan Sue bermastautin. Laporan tersebut penting untuk memastikan:

1. samada perkahwinan Puan Sue dengan suami itu sah atau tidak di sisi Syarak?

2. samada perkahwinan Puan Sue dengan suami menurut undang-undang Keluarga Islam atau sebaliknya.

Kesahihan perkahwinan Puan perlu diketahui dalam hal ini. Ini kerana, jika tidak melalui Jabatan Agama, boleh jadi proses pernikahan yang dijalankan melalui orang lain (tak bertauliah) tidak menepati syarak. Contohnya, wali yang digunakan dalam perkahwinan tidak betul dari segi susunannnya. Jika hal ini terjadi, perkahwinan tersebut akan difaraq atau dibubarkan di Mahkamah.

Jika perkahwinan ini sah dari syarak, belum tentu ia menepati kehendak undang-undang. Contoh yang jelas, semua rukun nikah umpamanya telah dipenuhi. Namun, pasangan tidak ada memohon kebenaran berkahwin dari PEndaftar Perkahwinan di tempat di mana perkahwinan itu dilangsungkan. Satu lagi, suatu perkahwinan yang dijalankan di luar daerah, atau negeri dan bukan dari tempat asal kita, ia memerlukan pasangan tersebut mendapatkan kebenaran kehwin luar daerah atau negeri dari Pendaftar Perkahwinan tempat asal pasangan.

Ketiadaan kebenaran dari Pendaftar merupakan satu kesalahan dalam hal perkahwinan dan boleh didakawa atas kesalahan jenayah syariah di Mahkamah Syariah. Berikut kandungan penuh seksyen 40 Akta Keluarga Islam Wilayah Persekutuan sebagai rujukan bagi kesalahan berkaitan.

AKTA UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 1984

BAHAGIAN IV – PENALTI DAN PELBAGAI PERUNTUKAN YANG BERHUBUNGAN DENGAN AKAD NIKAH DAN PENDAFTARAN PERKAHWINAN

——————————————————————————–

Seksyen 40. Kesalahan yang berhubungan dengan akad nikah perkahwinan

(1) Mana-mana orang yang diketahuinya mengakadnikahkan atau berbuat sesuatu yang berupa sebagai mengakadnikahkan atau menjalankan upacara, sesuatu perkahwinan—

(a) tanpa ada kebenaran berkahwin sebagaimana dikehendaki oleh seksyen 19; atau
(b) selainnya di hadapan sekurang-kurangnya dua orang saksi yang boleh dipercayai selain orang yang mengakadnikahkan perkahwinan itu,
melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

(2) Mana-mana orang yang berkahwin atau berbuat sesuatu yang berupa sebagai akad nikah atau yang menjalani suatu bentuk akad nikah dengan sesiapa jua berlawanan dengan mana-mana peruntukan Bahagian II melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Jika perkahwinan itu sah, namun ia melibatkan kes poligami tanpa kebenaran Mahkamah, pasangan khususnya si lelaki boleh didakwa atas kesalahan jenayah syariah kerana berpoligami tenpa kebenaran Mahkamah. Jika sabit kesalahan, ia boleh dihukum denda tidak lebih seribu ringgit atau penjara tidak lebih 6 bulan atau kedua-duanya. Berikut diperturunkan kandungan penuh seksyen 123 Akta berkenaan sebagai rujukan.

Seksyen 123. Poligami tanpa kebenaran Mahkamah

Seseorang lelaki, berkahwin lagi di mana-mana jua pun dalam masa perkahwinannya yang sedia ada masih berterusan tanpa mendapat kebenaran secara bertulis terlebih dahulu dari Mahkamah maka dia melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Implikasi terhadap perkahwinan yang sah tetapi tidak menurut undang-undang ialah, perkahwinan itu tidak dapat didaftarkan kecuali semua proses undang-undang diikuti. Contohnya, pasangan tersebut akan didakwa terlebih dahulu atas perlanggaran-perlanggaran beberapa kesalahan yang telah dilakukan antaranya kahwin tanpa kebenaran, poligami tanpa kebenaran Mahkamah atau memberi keterangan palsu kepada pihak berkuasa agama bagi mendapatkan kebenaran berkahwin.

Bagi kesalahan memberikan keterangan palsu kepada Pendaftar Perkahwinan di Jabatan Agama Islam, contohnya mengaku bahawa ia masih bujang sedangkan ia sudahpun berkahwin, maka hukumannya jika disabitkan adalah sebagaimana tertera dalam seksyen 38 Akta yang sama.

Seksyen 38. Akuan atau pernyataan palsu untuk mendapatkan perkahwinan

“Mana-mana orang, bagi maksud mendapatkan suatu perkahwinan dilakukan di bawah Akta ini, dengan sengaja membuat sesuatu akuan atau pernyataan yang palsu, maka orang itu melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya”.

Lazimnya, setelah semua proses perundangn dilakukan, baharulah pekahwinan yang sah itu boleh didaftarkan. Bila didaftarkan, bolehlah pasangan tersebut menarik nafas lega kerana suatu sujil pernikahan dapat dikeluarkan.

Bagi ERAKITA, Puan Sue dan Isteri Pertama telah menjadi mangsa kepada suami. Perkahwinan dalam Islam mengandungi hikmah serta metlamat yang suci dan murni. Ia harus dilaksanakan dengan cara yang maaruf. Tiada istilah bohong-bohong atau tipu-tipu. Biasanya, rumahtangga akan porak poranda akibat sikap hipokrit, kepura-puraan atau sikap tidak jujur pasangan dalam rumahtangga. Jika si suami berjaya membohongi dua wanita dalam satu-satu sama (isteri pertama dan kedua), tidak mustahil baginya untuk berbohong untuk kesekian kalinya pada diri kita atau orang lain.

Namun, apa yang tidak sepatutnya berlaku telah berlaku. Jika Puan masih sayang dengan suami, berbincanglah sebaik-baiknya dengan suami. jelaskan apa yang telah berlaku dan apa yang kita kini ketahui. Jelaskan kesan undang-undang dan hukumnya. Sebaiknya, bawalah suami ke Jabatan Agama dan mengadulah atas apa yang telah berlaku. Tak payah lagi nak bersembunyi. Bersedialah untuk menempuh segala proses perundangan termasuk didakwa (terutama bagi si suami) agar perkahwinan tersebut dapat didaftar dan dikeluarkan sijil nikah jika ianya sah.

Bagi isteri pertama pula, Puan Sue ada baiknya datang untuk bertemu dengannya. Mohonlah bantuan mana-mana orang yang dipercayai sebagai orang tengah. Ini kerana ianya amat sensetif. Jelaskan keadaan Puan bahawa Puan juga adalah mangsa. Luahkan lah juga rasa sedih dan kesihan kepada isteri pertama kerana ia juga telah menjadi mangsa. Mungkin cara ini dapat meredakan ketegangan. Boleh jadi dengan mempunyai rasa yang sama, akan wujud ikatan hubungan dalam kehidupan bermadu secara harmoni dan bahagia.

Wallahu a’lam. Semoga nasihat dan pendapat ini dapat meleraikan sedikit sebanyak konflik yang dihadapai oleh Puan Sue.

Advertisements