Category Archives: HAKIM MAHKAMAH RENDAH SYARIAH

GANGGUAN ORANG KETIGA DALAM RUMAHTANGGA

IMG_20180818_163902

 

GANGGUAN ORANG KETIGA DALAM RUMAHTANGGA MENURUT UNDANG-UNDANG ISLAM DAN ADAT NEGERI SABAH

 

PENDAHULUAN

Sering kali terjadi krisis rumahtangga akibat orang ketiga sehingga membawa kepada perceraian suami dan isteri. Si suami atau si isteri main kayu tiga dengan menjalin hubungan intim dengan orang lain. Ada kejadian di mana ibu atau ayah mertua menghasut anak perempuan supaya bercerai dengan suaminya tanpa sebab syarie. Selain itu, ada kes yang lebih berat di mana kekasih gelap si isteri memujuk dan kemudiannya membawa lari si isteri dari rumah kediamannya. Keretakan yang membawa kepada kemusnahan istana perkahwinan dalam situasi di atas adalah angkara gangguan orang ketiga dalam rumahtangga tersebut. Tulisan ini menfokuskan perbincangan mengenai peruntukan undang-undang bagi mengawal dan mencegah dari berlakunya gangguan orang ketiga melibatkan orang Islam. Perbincangan mengenai kedudukan undang-undang mengenai mengenai perkara yang sama dalam perspektif adat Negeri Sabah turut dibincangkan. Kedudukan undang-undang berhubung gangguan orang ketiga ke atas rumathtangga dalam perspektif undang-undang sivil di Malaysia tidak dibincangkan dalam tulisan ini. Ini kerana, perbincangan mengenainya adalah lebih panjang dan terperinci apabila terdapat undang-undang yang spesifik bagi mengawal dan menanganinya seperti Akta Keganasan Rumahtangga 1994 dan juga Kanun Keseksaan (AKTA 574). Justeru, perbincangan secara berasingan mengenainya ada kewajaran untuk dilakukan.

 

GANGGUAN ORANG KETIGA DALAM PERSPEKTIF UNDANG-UNDANG ISLAM

Mengenai gangguan orang ketiga terhadap rumahtangga dalam Islam, terdapat peruntukan undang-undang yang mengawal perbuatan ini. Ia merupakan satu kesalahan jenayah syariah. Terdapat sekurang-kurangnya 3 seksyen bermula dari seksyen 36, seksyen 37 dan seksyen 38 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan yang menyebut secara jelas mengenai gangguan orang ketiga dalam rumahtangga. Berdasarkan kepada peruntukan undang-undang yang diperuntukkan di negeri-negeri, kesalahan mengganggu rumahtangga orang terbahagi kepada 3 komponen iaitu:

  • memujuk lari perempuan bersuami;
  • menghalang pasangan suami isteri untuk hidup bersama; dan
  • menghasut suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan.

Selain merujuk undang-undang yang terpakai di Mahkamah Syariah yang dikhususkan kepada orang-orang Islam, perbincangan juga turut menyentuh undang-undang gangguan ke atas rumahtangga orang di bawah undang-undang adat di Negeri Sabah.

 

A. Memujuk lari perempuan bersuami.

Kesalahan kerana memujuk lari perempuan bersuami diperuntukkan dalam seksyen 36 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan seperti berikut:

“Mana-mana orang yang memujuk lari seorang perempuan bersuami atau membawanya keluar dari atau dengan apa-apa cara mempengaruhinya supaya meninggalkan kediaman suami isteri yang ditentukan oleh suaminya adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan Mahkamah boleh memerintahkan perempuan tersebut supaya kembali kepada suaminya”.

 

B. Menghalang pasangan yang sudah bernikah daripada hidup sebagai suami isteri.

Kesalahan kerana menghalang pasangan yang sudah bernikah daripada hidup sebagai suami isteri diperuntukkan dalam seksyen 37 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan seperti berikut:

“Mana-mana orang yang menghalang sesuatu pasangan yang sudah bernikah daripada hidup sebagai suami isteri yang sudah bernikah dengan sah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, dan Mahkamah hendaklah memerintahkan pasangan itu supaya hidup sebagai pasangan suami isteri yang sudah bernikah dengan sah”.

 

C. Menghasut suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan.

Kesalahan kerana menghasut suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan diperuntukkan dalam seksyen 38 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan seperti berikut:

“Mana-mana orang yang menghasut, memaksa atau memujuk mana-mana orang lelaki atau orang perempuan supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan dan tanggungjawabnya sebagai suami atau isteri adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya”.

Tiga peruntukan yang terdapat dalam Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan di atas tidak diperuntukkan satu persatu dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah di Sabah 1995. Bagi Sabah, kesemua kesalahan tersebut dirangkumkan dalam satu seksyen sahaja. Seksyen 86 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Sabah 1995 menyebutkan seperti berikut:

“Sesiapa yang melarikan atau menyebabkan seseorang isteri orang lain meninggalkan rumahtangga yang ditentukan oleh suaminya adalah bersalah atas suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi dua ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan Mahkamah hendaklah memerintahkan supaya isteri itu kembali kepada suaminya”.

 

BERSUBAHAT MENGGANGGU RUMAHTANGGA ORANG

Perlu diingat bahawa orang lain yang turut bersubahat dalam perbuatan jenayah mengganggu rumahtangga orang juga tidak terkecuali dari tindakan undang-undang. Orang yang bersubahat itu turut melakukan kesalahan jenayah dan boleh didakwa atas kesalahan bersubahat melakukan kesalahan di bawah seksyen 102 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1995. Seksyen 102 menyebutkan:

“Sesiapa yang cuba atau bersubahat melakukan mana-mana kesalahan terhadap Enakmen ini hendaklah, melainkan diperuntukkan selainnya, dihukum dengan hukuman yang sama seolah-olah dia melakukan kesalahan yang demikian”.

Bersubahat bermaksud bahawa sesiapa sahaja orang terlibat mengganggu rumahtangga orang lain turut melakukan kesalahan. Orang tersebut boleh didakwa atas kesalahan bersubahat dan jika disabitkan boleh dihukum dengan hukuman yang sama sebagaimana hukuman bagi kesalahan asal. Orang yang bersubahat itu tidak dikhususkan kepada mana-mana orang. Dalam konteks rumahtangga, orang yang lazimnya terdedah kepada perbuatan bersubahat adalah ibu atau ayah kepada pasangan itu, saudara kandung atau pakcik dan makcik pasangan itu. Tidak terkecuali rakan-rakan kepada pasangan tersebut.

Justeru, bagi mengelak dari berlakunya perbuatan gangguan itu, ada baiknya laporan kepada pihak polis atau kepada penguatkuasa agama yang berhampiran untuk memaklumkan jika sekiranya memang terdapat kekerasan atau perlakuan jenayah yang dilakukan oleh pasangan tersebut sehingga tidak memungkinkan untuk ia tinggal bersama dengan pasangannya. Undang-undang bertulis yang memberi perlindungan kepada pasangan dalam rumahtangga seperti Akta Keganasan Rumahtangga 1994 boleh dirujuk untuk tindakan perundangan. Selain itu, perbuatan yang dikatakan mengganggu rumahtangga orang juga boleh dielakkan dengan mengambil tindakan pembubaran perkahwinan di bawah mana-mana peruntukan Enakmen Undang-Undang keluarga Islam jika sekiranya bersesuaian.

 

GANGGUAN RUMAHTANGGA ORANG KETIGA MENURUT UNDANG-UNDANG ADAT DI SABAH

Dalam undang-undang adat yang dikanunkan di Sabah, terdapat satu peruntukan berhubung gangguan terhadap rumahtangga orang. Ia melibatkan perbuatan seorang lelaki memikat isteri orang.  Dalam Aturan 18 Kaedah-Kaedah Mahkamah Anak Negeri (Undang-Undang Adat Anak Negeri) 1995, kesalahan tersebut disebutkan seperti berikut:

“Sesiapa juapun yang memikat atau membawa pergi isteri orang lain adalah melakukan perlanggaran undang-undang adat anak negeri dan boleh dikenakan –

  • membayar pihak yang terkilan sogit tidak melebihi 3 ekor ternakan atau barang-barang lain yang senilai dengannya mengikut denda adat; atau
  • jika engkar-
  • denda tidak melebihi RM3,000; atau
  • penjara selama tempoh tidak melebihi 18 bulan; atau
  • denda dan penjara kedua-duanya.

Berdasarkan kepada peruntukan di atas, jelas bahawa perbuatan mengganggu rumahtangga orang ada remedi tersendiri menurut undang-undang adat anak negeri di Sabah. Jika berlaku perlanggaran adat, prosiding perbicaraan bagi kes berkenaan dikendalikan di Mahkamah Anak Negeri yang terdapat hampir di setiap daerah di seluruh Negeri Sabah.

 

PENUTUP

Tidak dinafikan bahawa kejadian gangguan ke atas rumahtangga orang angkara orang ketiga sering berlaku dalam masyarakat kita. Jika ia melibatkan orang Islam, tindakan perundangan boleh diambil menurut undang-undang yang terpakai di Mahkamah Syariah. Ia merupakan kesalahan jenayah syariah. Jika melibatkan anak negeri, tindakan perundangan kerana perlangggaran adat menurut undang-undang adat negeri Sabah boleh diambil menerusi Mahkamah Anak Negeri Sabah.

Advertisements

BUKU RUJUKAN POLIGAMI

dav

 

BUKU RUJUKAN POLIGAMI

Amalan berpoligami merupakan satu daripada syariat yang dinyatakan oleh Allah s.w.t kepada orang Islam dalam al Quran. Pensyariatannya disebutkan secara khusus dalam surah al Nisaa : 3 yang berbunyi:

“Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenaan dari perempuan-perempuan (lain); dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka berkahwinlah dengan seorang sahaja atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman”.

Berdasarkan kepada ayat di atas, keharusan kepada amalan berpoligami atau berkahwin melebihi dari seorang isteri memerlukan kita untuk melihat dan mengambil kira satu perkara penting iaitu keadilan. Ternyata bahawa keadilan seorang suami amat ditekankan oleh Allah dalam institusi poligami. Apabila Allah meletakkan keadilan sebagai satu keutamaan dalam berpoligami, sudah tentulah ini merupakan satu perkara yang sangat perlu untuk diberi perhatian oleh seorang suami sebelum berpoligami. Allah menyebutkan bahawa sekiranya seorang suami itu takut atau bimbang tidak dapat berlaku adil kepada isteri-isterinya jika berpoligami, maka suami berkenaan hendaklah berkahwin satu sahaja. Tanpa keadilan seorang suami, pastilah akan berlaku perkara yang mudarat dan merugikan pihak-pihak dalam rumahtangga berkenaan.

Melihat kepada perkara ini, tidak syak lagi betapa perlunya umat Islam ini menambah dan mendalami ilmu pengetahuan mengenai perkahwinan dalam pelbagai aspek termasuklah perihal amalan berpoligami. Seni berpoligami dan bagaimana keadilan itu dapat dicapai dalam institusi poligami hanya dapat ketahui dengan mengikuti pengajian, kursus, berkongsi pengalaman dari para suami yang mengamalkan poligami serta menambahkan bahan bacaan berkaitan poligami. Kes-kes di Mahkamah Syariah yang telahpun diputuskan berhubung poligami dan dilaporkan dalam Jurnal Hukum yang diterbitkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) merupakan rujukan yang penting kepada masyarakat umum. Laporan berkenaan juga tentunya amat bermanfaat kepada orang-orang yang terlibat secara langsung dalam dunia perundangan Islam seperti para hakim syarie, pegawai-pegawai syariah dan para peguam syarie. Para pengkaji khususnya dari kalangan sarjana dari institusi pengajian tinggi seperti pensyarah dan juga para pelajar merupakan antara kumpulan dalam masyarakat yang memerlukan bahan untuk menyempurna dan melengkapkan kajian akademik mereka.

Melihat kepada peri pentingnya ilmu pengetahuan mengenai institusi poligami, erakita merasakan bahawa bahan rujukan seperti buku-buku berkaitan poligami yang sememangnya masih kurang ditulis dan dibukukan dalam bahasa melayu dan sukar pula didapati dalam koleksi di perpustakaan perlulah dikongsikan kepada masyarakat umum. Setakat tulisan ini dibuat pada 1 Ogos 2018, terdapat hanya 16 buah buku yang telah ditemui dan dikumpulkan dari pelbagai kedai menjual buku di merata tempat di Malaysia.

Berikut adalah senarai buku berkenaan:

  1. Abu Fadhil Zakaria (2014), “Poligami Cara Rasulullah”, Selangor: Pustaka Ilmuan (112 halaman).
  2. Adil Akhyar (2014), “Sunnah Poligami: Generasi Awal Islam”, Johor bahru, Johor: Pustaka Azhar (231 halaman).
  3. Ahmad Zawawi Abdullah (2016), “Barakah Kahwin dengan 4 Isteri”, Selangor: Pustaka Ilmuan (162 halaman).
  4. Fatimah Syarha dan Farhan Hadi (2015), “Kau Terbela Menjadi Muslimah: Cik Abang Sudi Nikah Satu?”, Selangor: Sebarkan Bahagian Resources (199 halaman).
  5. Hafiz Firdaus bin Abdullah (2014), Cetakan Kedua, “202 Pelajaran Berkenaan Poligami”, Johor Bahru, Johor: Perniagaan Jahabersa (275 halaman).
  6. Hafiz Firdaus bin Abdullah (2014), “Sebarkan Kebenaran-Mu: Catatan-catatan ke atas Novel Sebarkan Cinta-Mu”, Johor Bahru, Johor: Perniagaan Jahabersa (560 halaman).
  7. Imran Yusuf (2007), “Di Bawah Payung Aishah: Tip-Tip Poligami”, Selangor: PTS Islamika dan PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd (150 halaman).
  8. Isham Muhammad al-Sharif dan Muhammad Musfir al-Thawil (tanpa tahun), “Poligami Kebenaran Bersyarat”, Kuala Lumpur: S.A.Majeed & Co Sdn. Bhd (196 halaman).
  9. Jenna Hashim (tanpa tahun), “Aku yang Bermadu: Sebuah Kisah Benar Tentang Pahit Manisnya Berpoligami”, Kuala Lumpur: A To Z Publisher (169 halaman).
  10. Khozin Abu Faqih (2007), Cetakan Kedua, “Poligami: Solusi atau Masalah”, Jakarta Timur: Al-I’tishom Cahaya Umat (162 halaman).
  11. Ibrahim Sya’wat dan Abdullah Nasih Ulwan (terjemahan Basri bin Ibrahim) (2004), “Tuduhan Tidak Berasas Terhadap Perkahwinan dan Poligami Rasulullah SAW dan jawapan Terhadapannya”, Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publisher (143 halaman).
  12. Karim Hilmi Farhat Ahmad (terjamahan Juhan Che Yaman) (2008), ”Poligami: Kesenangan atau Kesengsaraan”, Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publication (153 halaman).
  13. Nor Atiqah Ghazali (1996), “Poligami yang Disalahertikan”, Johor Bahru, Johor: Perniagaan Jahabersa (154 halaman).
  14. (Tanpa Penulis) (2002), “Rahsia Poligami Bahagia”, Selangor: Dowan Creative (M) Sdn. Bhd (80 halaman).
  15. Zaini Nasohah (2006), Ulang Cetak, “Poligami”, Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd (86 halaman).
  16. Zaleha Muhamat (2002), “Analisis Poligami Menurut Perspektif Islam”, Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd (132 halaman).

Tidak dinafikan bahawa masih terdapat lagi bahan-bahan rujukan mengenai poligami yang tidak tersenarai sebagaimana di atas. Usaha pengumpulan buku-buku tersebut masih dilakukan secara berterusan mengikut kelapangan dan kesempatan. Tentunya, buku-buku yang ditulis di negara jiran kita, Indonesia mengenai poligami tidak kurang banyaknya. Demikian juga buku-buku yang ditulis dalam bahasa arab yang diterbitkan di negara-negara Timur Tengah tentunya lebih banyak dari tulisan yang dibuat di negara ini. Demikian juga kes-kes duluan yang telah dibicara dan diputuskan oleh Mahkamah Syariah di Malaysia yang dilaporkan dalam jurnal perundangan seperti Jurnal Hukum terbitan JKSM. Semoga Allah memberi kekuatan dan kesempatan kepada erakita untuk mengumpulkan bahan-bahan ini untuk dikongsikan bersama kepada masyarakat umum.

btr

btr

btr

rbt

btr

btr

btr

btr

TATACARA PENDAFTARAN KES JENAYAH DI MAHKAMAH SYARIAH

dav

 

TATACARA PENDAFTARAN KES TANGKAPAN

 SAMAN & WARAN

DI MAHKAMAH SYARIAH

 

Oleh: Ahadin bin Arinen[1]

 

PENGENALAN

Tiap-tiap kes yang dibawa ke Mahkamah mestilah terlebih dahulu didaftar di pejabat pendaftaran Mahkamah Syariah sebelum tindakan selanjutnya diambil ke atas kes berkenaan. Tatacara pendaftaran sesuatu kes jenayah mahupun mal tidak dinyatakan dalam mana-mana peruntukan undang-undang bertulis yang terpakai di Mahkamah Syariah. Sebaik sahaja sesuatu kes yang dibawa ke Mahkamah didaftarkan, apa-apa urusan seperti pendengaran kes, pengeluaran saman, sapina, bon jaminan dan waran adalah menjadi tugas dan tanggungjawap Mahkamah. Setiap kes yang didaftarkan adalah menurut kod kes yang telah ditetapkan oleh pihak Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan terpakai untuk seluruh Mahkamah Syariah di Malaysia.

Walaupun demikian, terdapat juga kes-kes tertentu yang tidak ditetapkan kod kes oleh pihak JKSM terutama bagi kes yang melibatkan permohonan waran tangkap atau geledah di mana kes induk belum lagi difailkan. Kes seumpama ini berlaku di peringkat penyiasatan Pegawai Penguatkuasa Agama (PPA). Bagi kes induk, tatacara pendaftaran telah ditetapkan dalam Prosedur Kualiti MS ISO 9001-2008 Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah (JKSN) yang telah mula dikuatkuasa sejak 2 Januari 2015. Walau bagaimanapun, bagi kes yang melibatkan permohonan sebelum kes induk difailkan, tatacara pendaftaran tidak ada ditetapkan melalui Prosedur Kualiti MS ISO berkenaan. Tatacara pendaftaran dan pengeluaran waran berkaitan dalam kes tersebut walau bagaimanapun ada disediakan dan ditetapkan oleh Mahkamah sepertimana yang akan diterangkan secara panjang lebar dalam kertas kerja ini.

Untuk memudahkan pemahaman, penulis membahagikan penulisan ini dalam dua bab. Bab pertama membincangkan bagaimana tatacara pendaftaran kes tangkapan tanpa waran dan saman di Mahkamah Syariah. Ketika membincangkan proses pendaftaran kes tangkapan tanpa waran, penulis membahagikan kes tersebut kepada 2 situasi. Situasi pertama ialah kes yang mana Orang kena Tuduh (OKT) dibawa terus ke Mahkamah dalam tempoh 24 jam tanpa dilepaskan dengan bon. Situasi kedua pula ialah OKT tidak dibawa ke Mahkamah dalam tempoh 24 jam tetapi dilepaskan dengan bon. Bab kedua pula menfokuskan tatacara mendapatkan waran tangkap dan geledah di Mahkamah Syariah. Penulis membahagikan keadaan atau situasi bagaimana waran tersebut diperolehi kepada 3 peringkat iaitu di peringkat penyiasatan, perbicaraan dan selepas penghakiman dikeluarkan oleh Mahkamah.

 

BAB 1

 

1.1    Pendaftaran Kes Tangkapan Tanpa Waran

Bagi kes tangkapan tanpa waran, seseorang yang ditangkap tidak boleh ditahan melebihi 24 jam dari masa ia ditangkap. Tempoh 24 jam itu tidak meliputi masa yang diambil dalam perjalanan dari tempat penahanan sehingga ke Mahkamah. Sekiranya orang yang ditangkap itu tidak dilepaskan dengan bon jaminan oleh PPA, orang tersebut mestilah dibawa ke hadapan Hakim Mahkamah Syariah dalam tempoh 24 jam untuk didakwa atas kesalahan berkaitan.[2] Tidak ada peruntukan reman atau perintah penahanan lanjut untuk siasatan di Mahkamah Syariah. Oleh itu, adalah menjadi tugas di bahu PPA dan Pendakwaan untuk mempastikan bahawa mereka benar-benar telah bersedia dalam kes mereka apabila membawa kes tersebut di hadapan hakim.

 

1.1.1    Persediaan PPA atau Pendakwa Syarie semasa mendaftar kes di Mahkamah

Untuk membolehkan kes tangkapan tersebut didaftarkan di Mahkamah, PPA atau Pendakwa hendaklah mempastikan perkara berikut dipenuhi:

a. Mengemukakan dokumen-dokumen berkaitan sekurang-kurangnya 2 salinan dokumen asas[3] di pejabat pendaftaran Mahkamah yang terdiri dari:

  1. Kertas Pertuduhan;[4]
  2. Keizinan menjalankan pendakwaan dari Ketua Pendakwa Syarie (KPS) bagi kesalahan tertentu yang disebutkan dalam undang-undang bertulis.[5]

b.   Membawa bersama orang yang ditahan atau tertuduh ke Mahkamah dengan jagaan dan kawalan PPA. Adalah menjadi suatu tanggungjawap PPA untuk menjaga dan mengawal OKT sehinggalah proses di Mahkamah selesai. Tugas tersebut adalah sebagaimana mengambil tugas polis di Mahkamah sepertimana yang berlaku di Mahkamah Sivil. Membawa OKT dalam jagaan PPA pada hari pendaftaran kes adalah satu kemestian di sisi undang-undang jika sekiranya OKT tersebut ditangkap dan tidak dilepaskan dengan bon dan perlu dibawa ke hadapan Hakim dalam tempoh 24 jam.

Tanpa memenuhi kehendak di atas, Mahkamah tidak akan mendaftarkan kes tersebut untuk sebutan. Membawa tertuduh ke Mahkamah pada hari berkenaan amat perlu untuk:

a. membolehkan pendakwaan ke atas tertuduh dijalankan. Adalah menjadi tugas Mahkamah untuk mendengar serta-merta pertuduhan ke atas orang tersebut di bawah Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2004.[6] Atau;

b. jika kes ditangguh, suatu bon dilaksanakan oleh tertuduh sebagai jaminan kehadirannya di Mahkamah pada tarikh seterusnya,[7] atau;

c.  menahan tertuduh di penjara atau dalam jagaan polis di bawah waran penahanan tidak melebihi 8 hari jika perlu.[8]

Selaras kehendak seksyen 22(4) ETJS 2004, mahkamah seharusnya menetapkan terus untuk sebutan bagi kes tersebut sebaik pendaftaran di mahkamah disempurnakan pada hari yang sama. Bagi melicinkan urusan pendaftaran dan sebutan kes pada hari yang sama, PPA sewajarnya menghubungi lebih awal Pendaftar Mahkamah samada hakim tersedia untuk membuat sebutan dan merekodkan pengakuan daripada OKT pada hari berkenaan. Maklumat awal dari mahkamah adalah penting bagi membolehkan PPA membuat keputusan samada membawa OKT ke mahkamah atau melepaskannya dengan satu bon jamin. Semasa sebutan kes, hakim boleh merekodkan pengakuan daripada OKT samada mengaku salah atau minta dibicarakan.

 

1.1.2    Pendaftaran kes tangkapan tanpa waran melibatkan OKT dilepaskan dengan bon

Walaupun undang-undang memperuntukkan bahawa seorang yang ditangkap tanpa waran mesti dibawa ke hadapan hakim dalam tempoh 24 jam dari masa ia ditahan, namun undang-undang juga memberi kelonggaran kepada PPA atau Polis yang pangkatnya tidak rendah dari Inspektor untuk melepaskan seseorang tahanan dengan bon atau jaminan.[9] Pada kebiasaannya, PPA melepaskan OKT dengan bon jaminan dengan menetapkan tarikh tertentu untuk OKT hadir samada di hadapan PPA atau Mahkamah Syariah. Kekeliruan mungkin boleh timbul di pihak PPA atau Pendakwaan iaitu pertamanya, samada perlu mendaftarkan kes tersebut di Mahkamah hanya pada tarikh OKT hadir supaya OKT dibawa bersama dalam jagaan PPA semasa pendaftaran kes di Mahkamah ataupun keduanya, pendaftaran kes boleh juga dilakukan pada bila-bila masa sebelum tarikh yang ditetapkan OKT hadir.

Jika diteliti, kaedah yang kedua itu lebih memudahkan semua pihak. Kaedah yang diamalkan di Mahkamah Awam ialah pihak Pendakwaan boleh mendaftarkan sesuatu kes sepertimana dalam situasi ini pada bila-bila masa tanpa menunggu tarikh yang mana OKT diarahkan hadir.[10] Amalan tersebut tidak melibatkan perlanggaran mana-mana peruntukan undang-undang bertulis yang terpakai di Mahkamah Syariah.

Tambahan pula, jika kes tersebut didaftarkan lebih awal, sekurang-kurangnya tindakan tersebut memudahkan tugas Mahkamah untuk menentukan tarikh yang sesuai untuk sebutan bagi kes tersebut, sekaligus dapat menghindarkan kesibukan mengendalikan urusan pendaftaran pada hari berkenaan terutama sekali apabila kes tersebut melibatkan bilangan OKT yang ramai. Hakim juga dapat bersedia lebih awal untuk mendengar kes tersebut pada hari yang ditetapkan. Oleh yang demikian, PPA atau Pendakwa Syarie boleh menfailkan dan mendaftarkan kes tangkapan tanpa waran lebih awal  tanpa membawa OKT ke Mahkamah jika memenuhi syarat berikut:

  1. kes tersebut melibatkan kes tangkapan tanpa waran[11];
  2. OKT telah dilepaskan dengan bon; dan
  3. bon tersebut masih berkuatkuasa. Jika bon tersebut telah luput, Mahkamah hanya akan mendaftarkan kes berkenaan setelah bon berkenaan dilanjutkan oleh PPA. Bon tersebut mestilah masih sah kuatkuasanya untuk membolehkan Mahkamah mengeluarkan satu  waran tangkap ke atas OKT  jika OKT gagal hadir di Mahkamah selepas kes didaftarkan.

Dalam situasi ini, OKT tidak dikehendaki hadir bersama PPA atau Pendakwa Syarie semasa pendaftaran kes kerana tidak ada lagi keperluan di sisi undang-undang untuk mendengar pertuduhan ke atas OKT serta merta. OKT yang telah dilepaskan dengan bon kehadiran tidak lagi tertakluk kepada peruntukan undang-undang untuk dibawa ke hadapan hakim dalam tempoh 24 jam dari waktu ia ditangkap. Oleh yang demikian, kehadiran OKT pada hari pendaftaran kes hanya terpakai dalam kes di mana PPA membawa OKT ke Mahkamah dalam tempoh 24 jam dari  masa tangkapan yang tidak dilepaskan dengan bon. Untuk membolehkan kes tersebut dapat dikemukakan secara teratur dan lengkap di Mahkamah, adalah lebih baik sekiranya PPA melepaskan tahanan tersebut dengan suatu bon bagi kehadirannya di hadapan PPA atau Mahkamah pada hari yang ditetapkan sekiranya penyiasatan dan maklumat mengenai kes berkenaan belum lengkap ataupun telah lengkap tetapi tidak ada keterdesakan untuk mengemukakannya di Mahkamah dalam kadar segera.[12]

 

1.1.3    Proses selepas pendaftaran kes

Di peringkat Mahkamah, pendaftaran kes bukan sahaja dibuat secara manual seperti mendaftarkan kes dalam buku kausa pendaftaran tetapi juga melalui online registration di bawah Sistem Pengurusan Kes Mahkamah Syariah (SPKMS) yang dilaksanakan di seluruh Malaysia sejak tahun 2001. Ini bermakna sebaik sahaja kes berkenaan didaftarkan di dalam SPKMS, perjalanan kes tersebut dapat dipantau  oleh pengguna-pengguna system tersebut di seluruh negara. Borang-borang berkaitan seperti borang bon jaminan dapat dijana secara terus melalui system ini. Sebaik sahaja kes tersebut didaftarkan, OKT akan dibawa ke hadapan hakim untuk sebutan kes jika hakim ada dan bersedia pada ketika itu. Jika hakim tiada atau tidak bersedia, kes tersebut akan disebut pada tarikh yang akan diberikan pada hari yang sama.

OKT boleh dilepaskan dengan bon jaminan dengan sejumlah wang yang ditetapkan oleh Mahkamah atau dengan sekurang-kurangnya seorang penjamin tempatan atau kedua-duanya. Salinan bon jaminan akan diberikan kepada PPA, penjamin dan OKT. Jika OKT tidak dilepaskan dengan bon jamin atau tidak menyediakan bon jaminan, OKT akan ditahan di penjara atau di bawah jagaan polis sehingga ke tarikh sebutan akan datang melalui satu Waran Penahanan yang dikeluarkan oleh Mahkamah. Waran penahanan itu hanya berkuatkuasa sehingga 8 hari. Waran penahanan mestilah diperbaharui oleh M jika penahanan melebihi 8 hari.[13]

 

1.2    Pendaftaran Kes Saman

Lazimnya kes saman bermula akibat suatu aduan mengenai suatu kesalahan yang tidak boleh ditangkap melainkan melalui suatu waran tangkap. Setelah PPA selesai menyiasat sesuatu kes, hasil siasatan yang lengkap akan dikemukakan kepada Pendakwa Syarie. Jika Ketua Pendakwa Syarie (KPS) berpuashati dengan hasil penyiasatan, pihak pendakwaan akan mengemukakan kes tersebut ke Mahkamah untuk pendakwaan. Untuk mendaftarkan kes saman, pendakwaan hendaklah menfailkan sekurang-kurangnya 2 salinan dokumen berkaitan yang terdiri daripada:

  1. Surat Permintaan Saman;
  2. Kertas Pertuduhan;
  3. Salinan Dokumen Pengenalan Diri OKT; dan
  4. Keizinan Bagi Menjalankan Pendakwaan dari KPS bagi kesalahan tertentu yang disebutkan dalam undang-undang bertulis.

Permohonan untuk mendaftarkan kes jenayah boleh dilakukan samada oleh PPA atau Pendakwa Syarie. Sebagaimana kes tangkapan tanpa waran, kes saman juga didaftarkan melalui Buku Daftar secara manual dan secara online registration melalui SPKMS. Sebarang keputusan samada permohonan mendapatkan saman diluluskan atau tidak bergantung kepada kelulusan Hakim. Keputusan hakim akan dicatat dalam ruangan khas dalam Surat Permintaan Saman yang mengandungi tandatangan hakim dan tarikh keputusan ringkas. Lazimnya Mahkamah akan mengeluarkan saman dalam 3 salinan pada hari yang sama. PPA atau Pendakwa Syarie boleh terus mendapatkan 2 salinan saman dari Mahkamah pada hari tersebut. Jika saman tidak dapat dikeluarkan pada hari yang sama, pihak Mahkamah melalui Penghantar Notis akan menghantar 2 salinan saman ke pejabat PPA atau Pendakwa Syarie di daerah di mana saman tersebut dikeluarkan.[14]

 

BAB 2

 

2.1    Pengeluaran Waran Tangkap dan Geledah di Mahkamah Syariah

Peruntukan berhubung waran tangkap dan waran geledah ada dinyatakan dalam ETJS 2004. Walau bagaimanapun, kaedah untuk mendapatkan kedua-kedua waran tersebut tidak dinyatakan dalam mana-mana peruntukan undang-undang. Keadaan ini sudah tentu menyulitkan bukan saja pihak PPA atau Pendakwa Syarie tetapi juga kepada Mahkamah sendiri. Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) pernah mengemukakan contoh prosedur permohonan waran tangkap dan waran geledah kepada Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah (JKSN) untuk semakan dan persetujuan.[15] Oleh itu, JKSN telah membuat beberapa ketetapan berhubung kaedah atau prosedur permohonan dan pengeluaran waran tangkap dan geledah yang akan dinyatakan di bawah ini.

 

2.2.1 Waran Tangkap

Secara ringkasnya, waran tangkap boleh dikeluarkan dalam tiga keadaan iaitu:

  1. Semasa Penyiasatan;
  2. Selepas kes didaftarkan, disebut dan dibicarakan tetapi penghakiman belum dibuat; dan
  3. Selepas penghakiman.

 

2.2.1.1             Waran Tangkap semasa penyiasatan.

Waran Tangkap semasa penyiasatan sesuatu masih berjalan atau belum selesai boleh dikeluarkan oleh Mahkamah apabila:

  1. satu aduan diterima mengenai suatu kesalahan tak boleh tangkap melainkan dengan adanya waran dari Mahkamah (Non Seizeable Offence)[16];
  2. satu surat telah dikeluarkan untuk memanggil seseorang hadir di hadapan PPA bagi membantu siasatan mengenai suatu kesalahan tetapi orang tersebut tidak hadir tanpa sebab menasabah pada masa dan tarikh yang telah ditetapkan;[17] dan
  3. satu bon jaminan telah dibuat melibatkan seseorang yang telah ditangkap tanpa waran kemudiannya dilepaskan tetapi orang tersebut tidak hadir di hadapan PPA atau Mahkamah pada masa yang ditetapkan ia hadir.[18]

 

Kaedah memohon waran tangkap semasa penyiasatan adalah seperti berikut:

  1. PPA mengemukakan permohonan rasmi secara bertulis dan ditujukan kepada Hakim Syarie dalam 3 salinan.[19]
  2. Permohonan tersebut hendaklah disertakan dengan dokumen-dokumen seperti berikut:
  3. Affidavit Bersumpah Pegawai PPA berkenaan yang mengandungi pernyataan mengapa satu waran tangkap perlu dikeluarkan oleh Mahkamah ke atas orang tersebut. Suatu Affidavit Bersumpah hendaklah dibuat di hadapan hakim Syarie atau Pendaftar; dan
  4. Salinan Waran Tangkap yang belum bertandatangan Hakim Syarie. Waran Tangkap ini hendaklah disediakan sendiri oleh PPA dan hanya akan ditandatangani oleh Hakim sebaik permohonan pengeluaran waran tangkap diluluskan.
  5. Permohonan tersebut direkodkan oleh Mahkamah dalam Buku Permohonan Jenayah Syariah.
  6. Pendengaran permohonan dibuat dalam kamar Hakim sahaja. PPA hendaklah hadir sendiri di hadapan Hakim untuk mengemukakan permohonan tersebut.
  7. Waran Tangkap dikeluarkan pada hari yang sama sekiranya Hakim meluluskan permohonan tersebut. 2 salinan Waran Tangkap yang telah ditandatangani Hakim Syarie akan diberikan kepada PPA.[20]

 

2.2.1.2.   Waran Tangkap selepas kes didaftar, disebut, dibicara tetapi penghakiman belum dibuat.

Waran Tangkap boleh dikeluarkan oleh Mahkamah setelah kes didaftarkan, disebut, dibicarakan tetapi penghakiman belum dikeluarkan dalam beberapa keadaan seperti berikut:

  1. OKT tidak hadir di Mahkamah pada tarikh dan masa sebutan kes sedangkan saman telah disampaikan kepadanya secara sempurna menurut undang-undang;
  2. OKT yang telah dilepaskan dengan bon jaminan kehadiran gagal hadir di Mahkamah pada hari sebutan semula atau perbicaraan atau sambungan perbicaraan atau pengumuman keputusan; dan
  3. Saksi pendakwaan atau OKT gagal hadir tanpa sebab yang menasabah di Mahkamah pada tarikh dan masa yang ditetapkan untuk memberi keterangan sedangkan sapina telah dikeluarkan dan disampaikan secara sempurna ke atasnya.

 

Kaedah memohon waran tangkap dalam situasi di atas adalah seperti berikut:

  1. Pendakwa Syarie mengemukakan permohonan secara lisan di hadapan Hakim semasa prosiding berjalan. Ini bermakna tidak ada keperluan untuk memohon secara bertulis sepertimana dalam kes memohon waran tangkap semasa penyiasatan kes masih berjalan.
  2. Kelulusan permohonan dibuat pada hari yang sama setelah Mahkamah berpuasahati dengan alasan yang diberikan.
  3. Walaupun menurut kelaziman, Mahkamah yang akan menyediakan waran tangkap dalam situasi ini, namun Pendakwa Syarie adalah digalakkan untuk menyediakan sendiri waran tangkap yang belum bertandatangan Hakim Syarie untuk tindakan yang lebih pantas.
  4. Jumlah waran tangkap yang perlu disediakan adalah 3 salinan. 2 salinan Waran Tangkap yang telah disempurnakan akan diberikan terus kepada Pendakwa Syarie pada hari yang sama jika perlu.
  5. Pengeluaran waran tangkap dalam situasi ini hendaklah direkodkan dalam Buku Kes Jenayah Syariah.

 

2.2.1.3             Waran Tangkap selepas penghakiman

Waran Tangkap boleh dikeluarkan setelah kes selesai dan suatu keputusan atau penghakiman telah dibuat oleh Mahkamah dalam keadaan-keadaan seperti berikut:

  1. Apabila OKT disabitkan bersalah dan dijatuhkan hukuman denda melanggar bon jaminan dengan tidak membayar denda tersebut dalam tempoh yang ditetapkan dalam bon jaminan. Lazimnya waran tangkap dalam situasi ini dikeluarkan oleh Mahkamah atas usul Mahkamah sendiri memandangkan segala rekod perjalanan kes termasuk sabitan, jenis hukuman, bon jaminan dan rekod pembayaran dipegang dan dikawal oleh Pendaftar Mahkamah. Hakim akan mengeluarkan waran tangkap apabila menerima laporan bertulis perlanggaran bon jaminan OKT dari Pendaftar Mahkamah. Adalah memadai Hakim melihat fail asal kes tersebut untuk meneliti perjalanan kes tersebut sebelum mengeluarkan keputusan untuk meluluskan waran tangkap;
  2. Apabila OKT yang disabitkan bersalah dan dihukum berkelakuan baik dalam suatu tempoh tertentu dilepaskan dengan bon jaminan melanggar bon jaminan tersebut. Contoh perlanggaran bon jaminan adalah seperti gagal hadir di Mahkamah atau di hadapan mana-mana Pegawai Agama pada tarikh dan masa yang telah ditetapkan. Kaedah pengeluaran waran tangkap dalam situasi ini dijelaskan seperti berikut:
  • Jika bon itu menghendaki OKT hadir ke Mahkamah dan OKT gagal tanpa sebab menasabah hadir pada tarikh dan masa yang ditetapkan, Mahkamah boleh atas usulnya sendiri mengeluarkan waran tangkap tersebut untuk menangkap OKT. Hakim Syarie boleh mengeluarkan waran tersebut berdasarkan laporan bertulis Pendaftar Mahkamah setelah meneliti fail induk kes berkenaan.
  • Jika bon itu menghendaki OKT hadir di hadapan mana-mana Pegawai Agama SELAIN Pegawai Mahkamah dan OKT gagal menghadirkan diri tanpa sebab menasabah pada tarikh dan masa yang telah ditetapkan, Mahkamah boleh mengeluarkan waran tangkap ke atas OKT atas usul atau permintaan Pendakwa Syarie. Kaedah permohonan dalam situasi ini hendaklah menurut kaedah permohonan mengeluarkan waran tangkap semasa kes masih dalam peringkat penyiasatan. Hanya yang membezakan ialah Mahkamah hendaklah merekodkan pengeluarkan waran tangkap tersebut dalam Buku Kes Jenayah Syariah. Fail induk kes tersebut menjadi rujukan Hakim sebelum mengeluarkan waran tersebut.
  • Permohonan Pendakwa Syarie hendaklah didengar di hadapan Hakim Syarie dalam kamar Hakim. Untuk membolehkan proses pengeluaran waran dibuat dengan segera, adalah disarankan Pendakwa Syarie menyediakan sendiri 3 salinan waran tangkap yang belum bertandatangan Hakim. Jika dapat, waran tangkap tersebut dikeluarkan dan diserahkan 2 salinan kepada Pendakwa Syarie pada hari yang sama; dan

3. Apabila OKT melarikan diri semasa pelaksanaan hukuman seperti melarikan diri dari jagaan PPA semasa dalam perjalanan ke penjara.   Kaedah permohonan dalam situasi ini adalah seperti berikut:

  • hendaklah menurut kaedah permohonan mengeluarkan waran tangkap semasa kes masih dalam peringkat penyiasatan.
  • Mahkamah mengeluarkan waran tangkap ke atas OKT atas usul atau permintaan Pendakwa Syarie.
  • Permohonan Pendakwa Syarie hendaklah didengar di hadapan Hakim Syarie dalam kamar Hakim. Untuk membolehkan proses pengeluaran waran dibuat dengan segera, adalah disarankan Pendakwa Syarie menyediakan sendiri 3 salinan waran tangkap yang belum bertandatangan Hakim. Jika dapat, waran tangkap tersebut dikeluarkan dan diserahkan 2 salinan kepada Pendakwa Syarie pada hari yang sama.
  • Mahkamah hendaklah merekodkan pengeluarkan waran tangkap tersebut dalam Buku Kes Jenayah Syariah. Fail induk kes tersebut menjadi rujukan Hakim sebelum mengeluarkan waran tersebut.

 

2.3    Waran Geledah

Waran Geledah lazimnya dipohon oleh PPA di Mahkamah semasa penyiasatan masih berjalan. Waran ini diperlukan untuk memasuki sesuatu bangunan untuk mencari dan mendapatkan benda atau barang yang dipercayai mempunyai kaitan dengan perlakuan sesuatu kes jenayah. Waran Geledah juga diperlukan untuk mencari orang yang dikurung secara salah dalam sesuatu bangunan atau tempat. Kaedah pengeluaran Waran Geledah hampir serupa dengan kaedah pengeluaran waran tangkap semasa penyiasatan sedang berjalan. Berikut adalah kaedah pengeluaran waran geledah:

  1. PPA mengemukakan permohonan rasmi secara bertulis dan ditujukan kepada Hakim Syarie dalam tiga salinan.[21]
  2. Permohonan tersebut hendaklah disertakan dengan dokumen-dokumen seperti berikut:
  3. Affidavit Bersumpah Pegawai PPA berkenaan yang mengandungi alasan mengapa satu Waran Geledah perlu dikeluarkan oleh Mahkamah ; dan
  4. Salinan Waran Geledah yang belum bertandatangan Hakim Syarie. Waran Geledah ini hendaklah disediakan sendiri oleh PPA dan hanya akan ditandatangani oleh Hakim sebaik permohonan pengeluaran Waran Geledah diluluskan.
  5. Permohonan tersebut direkodkan oleh Mahkamah dalam Buku Permohonan Jenayah Syariah.
  6. Pendengaran permohonan dibuat dalam kamar Hakim sahaja. PPA hendaklah hadir sendiri di hadapan Hakim untuk mengemukakan permohonan tersebut.
  7. Waran Geledah dikeluarkan pada hari yang sama sekiranya Hakim meluluskan permohonan tersebut. 2 salinan Waran Geledah yang telah ditandatangani Hakim Syarie akan diberikan kepada PPA.[22]

Sebaik sahaja Waran tersebut berjaya dilaksanakan, PPA hendaklah memaklumkan kepada Mahkamah secepat mungkin hal tersebut. Satu salinan barang-barang yang dirampas atau ditahan (senarai inventori) dalam pengeledahan tersebut hendaklah dikemukakan kepada Mahkamah untuk dimasukkan ke dalam fail permohonan.[23]

 

KESIMPULAN

Tatacara pendaftaran kes tangkapan dan saman di Mahkamah Syariah yang telah dibincangkan di atas adalah walaupun tidak merujuk kepada mana-mana kaedah atau peruntukan khusus dalam ETJS 2004, namun tatacara tersebut masih dalam kerangka ETJS 2004 itu sendiri. Tatacara tersebut didasarkan kepada Prosedur Kualiti MS ISO 9001-2008 yang dilaksanakan di JKSN. Oleh kerana tidak ada undang-undang khusus yang menentukannya, tatacara tersebut boleh berubah dari semasa ke semasa menurut keperluan. Adalah difahamkan bahawa JKSM sedang dalam proses untuk menyeragamkan Prosedur Kualiti bagi proses kerja di Mahkamah Syariah dalam perlaksanaan ISO di seluruh Malaysia. Apa yang perlu ditekankan ialah apakah dokumen-dokumen yang perlu dikemukakan kepada Mahkamah semasa pendaftaran sesuatu kes dibuat.

Berkenaan kaedah pengeluaran waran Tangkap dan Waran Geledah yang dibentangkan di atas, ianya menjadi panduan yang amat berguna bukan sahaja kepada PPA, Pendakwa Syarie tetapi juga kepada Mahkamah sendiri. Ini adalah kerana, selama hampir 2 dekad lamanya iaitu sejak Enakmen Prosedur Jenayah Syariah 1993, Sabah diluluskan dan dilaksanakan, kemudian dimansuhkan oleh ETJS 2004, kita tidak mempunyai satu bentuk kaedah yang sistematik tentang cara-cara mendapatkan Waran Tangkap dan Waran Geledah dalam situasi-situasi yang disebutkan satu persatu di atas. Adalah diharapkan kertas kerja ini dapat memberi manfaat kepada semua warga yang terlibat dalam perlaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang jenayah Islam di Negeri Sabah khususnya dan di Malaysia amnya.

Wallaahu a’lam.

 

[1] Kertas Kerja ini telah dibentangkan oleh Penulis dalam Muzakarah Hakim Mahkamah Syariah Negeri Sabah di Kompleks Lembaga Tabung Haji, Sembulan, Kota Kinabalu, Sabah pada 26 Mac 2006. Beberapa bahagian dalam kertas kerja ini telah ditambah baik dan disesuaikan dengan Prosedur Kualiti MS ISO 9001-2008 yang mula dikuatkuasa di Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah sejak 2 Januari 2015. Penulis merupakan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sabah sejak 6 Jun 2013. Pernah memegang jawatan Ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah dari 16 Januari 2012 hingga 6 Jun 2013. Mula bertugas sebagai Hakim Mahkamah Rendah Syariah semenjak 1 Oktober 1996 di Pantai Barat Kota Kinabalu. Sebelum bertugas di Mahkamah Syariah, Penulis pernah beramal sebagai Peguambela dan Peguamcara Mahkamah Tinggi (Sabah & Sarawak) pada tahun 1996. Penulis merupakan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Tawau, Sabah sejak 1 Febuari 2014 sehingga kini.

[2] Lihat Seksyen 22(1) hingga (5) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Sabah (No. 9) Tahun 2004 (ETJS 2004) mengenai tatacara penahanan melalui tangkapan tanpa waran.

[3]   Amalan di Mahkamah Awam ialah hanya Kertas Pertuduhan sahaja yang difailkan oleh pihak Pendakwa ketika mendaftarkan kes jenayah bagi kes tangkapan am. Kertas pertuduhan tersebut adalah adalah menurut Borang 114 Mahkamah Awam. Kertas pertuduhan tersebut mengandungi maklumat  atau butiran lengkap mengenai pertuduhan, pengadu, tangkapan, OKT, bon jamin dan lain-lain lagi yang berkaitan. Ia serupa dengan format kertas pertuduhan yang digunakan di Mahkamah Syariah. Untuk lebih jelas, sila lihat Kod 83 Manual Prosedur Kerja Kes-Kes Sivil dan Jenayah Di Mahkamah Majistret.

[4]Format Pertuduhan boleh dilihat dalam Lampiran 1, JKSNS-PKU 02, Prosedur Kualiti MS ISO 9001-2008, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah.

[5]Keizinan tersebut mesti diperolehi dalam kes yang melibatkan kesalahan matrimonial yang dinyatakan dalam Bahagian IV bermula seksyen 35 hingga 40 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Sabah 2004. Keizinan juga diperlukan dalam kes yang mana pihak PPA sendiri menjalankan pendakwaan di Mahkamah Rendah Syariah tanpa mengira kes tersebut melibatkan kesalahan boleh tangkap atau tak boleh tangkap tanpa waran di bawah seksyen 183 ETJS 2004 dan juga bagi kesalahan-kesalahan di bawah seksyen 51-56 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah, Sabah 1995 (EKJS 1995) sebagaimana ditetapkan oleh Seksyen 73 ETJS 2004; Lihat misalnya Format Bentuk Surat Izin Mendakwa di Mahkamah Syariah Negeri Sabah dalam Lampiran 2, JKSNS-PKU 02, MS ISO 9001-2008.

[6]Seksyen 22 (4) ETJS 2004.

[7]Seksyen 22 (5) ETJS 2004. Bentuk Bon Kehadiran Tertuduh  atau OKT boleh dilihat dalam Lampiran 2.

[8]Seksyen 22 (5) dan 107 (1) ETJS 2004. Bentuk Waran Penahanan boleh dilihat dalam Lampiran 3.

[9]Seksyen 23 ETJS 2004.

[10]Penulis berterimakasih dengan Tuan Aminuddin Mustaffa, Majistret Kelas Pertama Mahkamah Majistret Daerah Keningau, Sabah kerana memberikan maklumat ini kepada Penulis pada 24.3.2006 di Bangunan Mahkamah Majistret, Keningau.

[11] Tangkapan Tanpa Waran dikenali dirujuk kepada “Kesalahan Boleh Tangkap” sebagaimana ditafsirkan dalam Seksyen 2 ETJS 2004. Kesalahan Boleh Tangkap ertinya sesuatu kesalahan yang boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh kurang dari satu tahun atau dengan denda sahaja yang baginya pada lazimnya PPA atau Pegawai Polis tidak boleh menangkap tanpa waran.

[12]Seksyen 22 (1) dan 23 ETJS 2004.

[13]Seksyen 107 (1) ETJS 2004. Menurut amalan di Mahkamah Awam, Majistret atau Pendaftar Mahkamah sendiri yang akan pergi ke Penjara di mana OKT ditahan untuk melanjutkan tempoh penahanan pada masa yang ditetapkan untuk memastikan agar tempoh waran penahanan tidak luput. Penulis berterimakasih kepada Majistret Tuan Aminuddin Mustaffa atas maklumat ini.

[14] Berdasarkan kepada Dokumen Prosedur Kualiti bagi pendaftaran kes jenayah Syariah, JKSNS-PKU 02, MS ISO 9001-2008, penyampaian saman hendaklah dilaksanakan oleh Penghantar Notis Mahkamah Syariah. Amalan sebelum ini adalah saman adalah diserahkan sendiri oleh PPA kepada OKT. Pada pendapat Penulis, amalan meminta PPA menyerahkan sendiri saman tersebut kepada OKT adalah lebih praktikal memandangkan kes ini adalah kes jenayah dan PPA dalam konteks ini bertindak sebagaimana polis menyerahkan sendiri saman jenayah kepada OKT dalam kes jenayah di Mahkamah Sivil. Dokumen MS ISO juga boleh diubah dari masa ke semasa berdasarkan kepada keperluan dan kesesuaian. Seksyen 28 (3) ETJS 2004 memperuntukkan bahawa selain saman berkenaan disampaikan oleh Pegawai Mahkamah, pihak lain yang difikirkan patut boleh diarahkan oleh Mahkamah untuk menyampaikan saman berkenaan kepada OKT. Mana-mana orang lain yang wajar dan sesuai menyampaikan saman berkenaan adalah lebih condong merujuk kepada PPA pada pendapat Penulis.

[15]Lihat surat Jheains kepada JKSN bertarikh 26 Mei 2005 bil. JHEAINS: BPP/100-32/1

[16]Tafsiran “Kesalahan Tak Boleh Tangkap” seperti yang disebutkan dalam Seksyen 2 ETJS 2004 membawa maksud sesuatu kesalahan yang boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh kurang daripada satu tahun atau dengan denda sahaja yang baginya pada lazimnya PPA atau Pegawai Polis tidak boleh menangkap tanpa waran.

[17]Lihat Seksyen 58 (1) dan (2)  ETJS 2004.

[18]Lihat Seksyen 41 ETJS 2004.

[19]Surat Permintaan Waran Tangkap yang disediakan oleh JHEAINS dalam Borang BPP-25 boleh digunakan. Surat tersebut difailkan bersama-sama dengan Affidavit Pegawai PPA berkenaan dan  Waran Tangkap yang belum bertandatangan Hakim. Sila lihat dokumen tersebut dalam lampiran.

[20]Bentuk Waran Tangkap adalah sepertimana Borang 3 yang dimasukkan dalam ETSJ 2004.

[21]Surat Permintaan Waran Geledah yang disediakan oleh JHEAINS dalam Borang BPP-24 boleh digunakan. Surat tersebut difailkan bersama-sama dengan Affidavit Pegawai PPA yang akan melaksanakan waran tersebut  dan salinan Waran Geledah yang belum bertandatangan Hakim. Sila lihat Borang BPP-24 dalam lampiran.

[22]Bentuk Waran Geledah adalah sepertimana Borang 4 yang ditentukan dalam ETJS 2004.

[23]Borang yang dikemukakan oleh PPA kepada Mahkamah untuk semakan dan persetujuan berkenaan senarai barang kes yang dirampas semasa menjalankan Waran Geledah melalui rujukan: JHEAINS:BPP-16 boleh digunakan.

HAK, MANFAAT DAN CABARAN WANITA DALAM POLIGAMI

cof

 

HAK WANITA DALAM POLIGAMI MENURUT SYARIAH, MANFAAT DAN CABARANNYA

 

 Ahadin bin Arinen[1]

 

PENGENALAN

Amalan berpoligami bukan suatu yang baru. Ia telah diamalkan oleh manusia sejak ribuan tahun yang lampau tanpa peraturan, had dan kawalan sebelum datangnya Islam yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Sejarah merekodkan bahawa poligami telah diamalkan secara meluas pada zaman Arab jahiliah sejak 7 Masihi lagi di mana seorang lelaki dikatakan mempunyai isteri yang ramai sehingga 200 orang.[2] Islam tidak membatalkan atau memansuhkan amalan ini. Islam datang untuk membataskan dan meluruskan amalan ini dengan mengenakan peraturan dan syarat-syarat khusus kepada umat Islam. Islam telah membataskan bilangan maksima isteri yang dibolehkan untuk dinikahi kepada 4 orang sahaja. Demikianlah batasan yang Allah syariatkan kepada umat Islam melalui firman Allah dalam surah al-Nisa’ : 3 yang bermaksud:

Dan jika kamu takut tidak akan berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan lain; dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu), maka berkahwinlah dengan seorang sahaja atau kahwinilah hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman (aniaya).

Tulisan ini menfokuskan kepada perbincangan mengenai tiga perkara utama iaitu hak-hak yang disediakan kepada wanita yang terlibat dalam berpoligami, hikmah di sebalik pensyariatan berpoligami dan seterusnya cabaran-cabaran yang dihadapi dalam urusan poligami. Perbincangan mengenai cabaran berpoligami melibatkan tiga pihak yang terlibat secara langsung dengan poligami dalam konteks undang-undang keluarga Islam iaitu Mahkamah Syariah, isteri dan seterusnya pihak suami. Perbincangan terhadap tiga perkara ini dilihat dapat memberikan sumbangan terhadap pertambahan khazanah ilmu berkaitan poligami kepada masyarakat Islam dan bukan Islam. Perbincangan mengenai amalan ini juga dilihat dapat memberi gambaran yang positif terhadap amalan berpoligami dalam Islam dengan mengambil kira aspek undang-undang yang telah dikanunkan dan juga hukum syarak itu sendiri.

 

HAK WANITA DALAM PERKAHWINAN POLIGAMI

Perbincangan terhadap hak wanita dalam perkahwinan berpoligami dibahagikan kepada tiga fasa. Fasa pertama membincangkan mengenai hak wanita khususnya di pihak isteri sebelum berlakunya poligami. Fasa kedua perbincangan tertumpu kepada hak wanita semasa dalam tempoh perkahwinan berpoligami. Seterusnya perbincangan pada fasa ketiga tertumpu kepada hak wanita selepas berlakunya perceraian dalam sebuah perkahwinan berpoligami.

 

Fasa Pertama

Hak sebelum perkahwinan berpoligami.

Salah satu hak seorang isteri apabila suaminya hendak berpoligami adalah isteri mesti panggil ke Mahkamah untuk memberi keterangan mengenai perkahwinan yang bakal dibuat oleh suaminya. Menurut Seksyen 23 (5) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004, salah satu pihak yang mesti dipanggil oleh Mahkamah semasa pendengaran permohonan kebenaran poligami oleh suami adalah isteri. Satu Notis Permohonan yang mencatatkan tarikh pendengaran kes mesti diserahkan kepada isteri tidak kurang dari 2 hari sebelum tarikh pendengaran kes berkenaan. Dalam permohonan berkenaan, isteri dijadikan sebagai pihak Responden.[3] Penyerahan notis hadir ke mahkamah secara ke diri isteri mesti dilaksanakan terlebih dahulu sebelum penyampaian secara gantian samada melalui tampalan notis di rumah atau premis kediaman isteri atau mana-mana premis yang diarahkan oleh mahkamah atau melalui iklan di surat khabar tempatan.

Ini bermakna, sesuatu pendengaran kes bagi mendapatkan kebenaran berpoligami itu tidak boleh diteruskan oleh Mahkamah selagi penyampaian notis berkenaan belum dapat disempurnakan kepada isteri. Semasa pendegaran kes di mahkamah, isteri berhak untuk menyatakan pendiriannya samada bersetuju atau tidak dengan permohonan berpoligami oleh suaminya. Jika isteri menentang, isteri berhak untuk mengemukakan bantahannya dengan menfailkan affidavit bantahan. Beliau berhak untuk mendapatkan khidmat peguam syarie bagi mewakilinya dalam kes berkenaan. Kehadiran isteri semasa pendengaran kes poligami di Mahkamah amat penting bagi membantu Mahkamah meneliti dan menimbang tahap kemampuan dan kelayakan suami untuk berpoligami.

Di Mahkamah, isteri berhak untuk meminta Mahkamah menetapkan pembahagian harta sepencarian ke atas harta-harta yang diperolehi bersama antara suami isteri sepanjang tempoh pernikahan. Lazimnya, harta-harta yang terlibat adalah wang dalam akaun, saham, rumah dan kenderaan. Di samping itu, isteri berhak untuk meminta agar ditetapkan suatu kadar nafkah semasa isteri dan juga anak-anak yang wajib ditunaikan oleh suami apabila berpoligami.

Malangnya, tidak kurang kes di mana isteri enggan hadir di Mahkamah walaupun telah menerima notis panggilan kehadiran. Tindakan isteri ini jelas merugikan isteri kerana ia telah melepaskan peluang dan haknya untuk bersuara samada bersetuju atau tidak dengan perkahwinan tersebut. Isteri juga terlepas peluang untuk meminta Mahkamah mengeluarkan perintah mengenai pembahagian harta sepencarian dan juga penetapan nafkah semasa isteri dan anak-anak.

Perlu ditekankan bahawa tanggapan bahawa jika tidak ada persetujuan isteri, maka permohonan berpoligami suami tidak akan diluluskan merupakan satu kesilapan. Sekiranya isteri tidak hadir sedangkan notis panggilan hadir ke Mahkamah telah berjaya diserahkan kepada isteri, Mahkamah boleh meneruskan pendengaran kes berkenaan. Keterangan suami, bakal isteri dan wali kepada bakal isteri akan diambil sebelum mahkamah membuat keputusan. Jika isteri tidak hadir, suami akan diminta untuk melafazkan sumpah yang dinamakan yamin al istizhar yang terpakai bagi kes-kes yang mana pihak responden atau defendan tidak hadir di Mahkamah. Keputusan akan dikeluarkan selepas semua proses mahkamah selesai disempurnakan.[4] Justeru, adalah satu kesilapan bagi seorang isteri untuk tidak menghadirkan diri ke Mahkamah apabila dipanggil memberi keterangan mengenai permohonan mendapatkan kebenaran berpoligami oleh suaminya.

Jika sekiranya permohonan berpoligami diluluskan dan isteri tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut, isteri masih berhak untuk menfailkan Notis Rayuan di mahkamah yang sama dalam tempoh 14 hari dari tarikh keputusan itu diumumkan.[5] Dalam kes poligami, amat dianjurkan agar isteri menfailkan Notis Rayuan tersebut pada kadar segera. Jika perlu, ia difailkan pada hari yang sama di mana keputusan itu dibuat. Isteri seterusnya perlu menfailkan permohonan bagi menggantungkan perlaksanaan keputusan tersebut bagi mengelak pernikahan itu dijalankan.[6] Tidak ada maknanya notis rayuan difailkan apabila suami telahpun melaksanakan pernikahan dengan bakal isteri berkenaan. Ia hanyalah bersifat akademik semata-mata.

 

Fasa Kedua

Hak setelah suami berpoligami

Wanita yang dikahwini oleh suami dalam suatu perkahwinan yang dilaksanakan tanpa kebenaran berpoligami dari Mahkamah masih mempunyai hak di sisi undang-undang dalam perkahwinan tersebut. Wanita berkenaan berhak mendaftarkan pernikahan tersebut kepada Pendaftar Perkahwinan di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam di negeri di mana pasangan itu tinggal atau bermastautin. Bagaimanapun, proses undang-undang mesti dilalui. Untuk tujuan pendaftaran, perkahwinan tersebut perlulah ditentukan samada sah atau tidak oleh Mahkamah Syariah. Pasangan berkenaan khususnya suami perlu membuat permohonan untuk pengesahan pernikahan tersebut dan jika sah, perintah mendaftarkan perkahwinan tersebut dikeluarkan oleh Mahkamah.

Proses undang-undang tidak terhenti setakat itu. Suami akan didakwa atas kesalahan berpoligami tanpa kebenaran mahkamah[7] manakala isteri baru tersebut pula akan didakwa atas kesalahan bersubahat dengan suami untuk melakukan perkahwinan poligami tanpa kebenaran[8] dan juga kesalahan bernikah tanpa kebenaran pendaftar perkahwinan[9]. Selepas semua proses perundangan ini dilalui, baharulah pernikahan itu didaftar dan sijil pernikahan dikeluarkan oleh Pendaftar Perkahwinan di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam. Jika suami enggan menfailkan permohonan atau menghilangkan diri, wanita berkenaan tidak terhalang untuk menfailkan permohonan untuk mendapatkan pengesahan pernikahan dan seterusnya mendapatkan perintah pendaftaran pernikahan tersebut sekiranya sah oleh Mahkamah. Hanya dengan terdaftarnya pernikahan tersebut, baharulah isteri tersebut bebas untuk menuntut hak-hak sebagai isteri dalam suatu perkahwinan menurut undang-undang dan hukum syarak.

Dalam konteks berpoligami, seorang isteri berhak di sisi undang-undang untuk mendapatkan perintah Mahkamah agar suaminya kembali hidup bersama isteri yang ditinggalkan suami.[10] Justeru, sekiranya suami mengabaikan isteri dengan meninggalkan langsung isteri berkenaan kerana tinggal bersama dengan isteri yang lain, isteri berkenaan mempunyai hak untuk mengambil tindakan undang-undang dengan mendapatkan perintah dari mahkamah bagi memaksa suami kembali hidup dengan isteri berkenaan sesuai dengan syariat agama. Sekiranya suami berkenaan cuai atau masih engkar mematuhi perintah berkenaan, isteri boleh membuat aduan kepada Penguatkuasa Agama di Jabatan hal Ehwal Agama Islam untuk tujuan pendakwaan. Jika disabitkan salah, suami boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya.[11]

Dalam hidup berpoligami, isteri-isteri berhak untuk mendapat layanan yang adil dari suami. Ini sememangnya kewajipan seorang suami dalam sebuah rumahtangga memandangkan salah satu daripada syarat kepada perkahwinan berpoligami sebagaimana yang dinyatakan dalam Seksyen 23 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004 adalah suami mampu berlaku adil kepada isteri-isterinya menurut hukum syarak[12]. Sekiranya isteri tidak diperlakukan secara adil, isteri tersebut berhak di sisi undang-undang untuk melaporkan kepada Penguatkuasa Agama di Jabatan hal Ehwal Agama Islam Negeri untuk tujuan pendakwaan ke atas suami atas kesalahan tidak berlaku adil kepada isteri. Di bawah Seksyen 127 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004, seorang suami yang disabitkan bersalah kerana tidak berlaku adil kepada isteri boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya sekali.[13]

Dalam tempoh perkahwinan secara berpoligami, isteri-isteri berhak untuk menuntut nafkah ke atas suami.[14] Hak tersebut tidak hanya terbatas kepada makan, pakaian dan tempat tinggal sahaja, malah ia turut meliputi aspek-aspek lain seperti perubatan, pelajaran, perkhidmatan dan seumpamanya.[15] Seksyen 60 (1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004 secara jelas memberi kuasa kepada Mahkamah untuk memerintahkan suami untuk memberikan nafkah kepada isteri yang tidak disabitkan nusyuz terhadap suami.

Selain daripada itu, isteri juga berhak untuk mendapat perlindungan daripada suami sebagaimana diperintahkan oleh Allah kepada para suami dalam Surah al Nisa’: 19 yang bermaksud: Allah memerintahkan suami bergaul dengan isteri dengan cara yang baik (ma’ruf). Sesuai dengan firman Allah tersebut, undang-undang secara jelas memberi hak perlindungan kepada wanita semasa suami membuat permohonan untuk mendapatkan kebenaran berpoligami di mahkamah. Seksyen 23 (5) (d) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004 umpamanya menyebutkan bahawa salah satu aspek yang perlu dipertimbangkan oleh Mahkamah ketika meluluskan permohonan berpoligami suami adalah perkahwinan yang dicadangkan itu tidak akan menyebabkan darar syar’ie kepada isteri atau isteri-isteri yang sedia ada. Darar syar’ie menurut tafsiran Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004 adalah merujuk kepada bahaya yang menyentuh isteri mengenai agama, nyawa, tubuh badan, akal fikiran, maruah atau harta benda mengikut kebiasaan yang diakui oleh Hukum Syarak.[16]

Sesuai dengan hak mendapat perlindungan ini,  undang-undang telah memberikan pula hak kepada isteri untuk menuntut pembubaran perkahwinan secara fasakh atas alasan bahawa suami menganiya isteri dengan lazim menyakiti yang menyebabkan hidup isteri menderita akibat tindakan suami itu.[17] Seorang isteri juga berhak untuk melaporkan perbuatan aniaya suaminya termasuk perbuatan menipu isterinya dalam perkara harta si isteri kepada Penguatkuasa Agama di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri untuk tindakan perundangan. Seksyen 128 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004 jelas memperuntukkan bahawa seorang yang disabitkan bersalah kerana menganiaya isteri atau dengan menipu harta isteri boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebih 6 bulan atau kedua-dua sekali. Mahkamah juga boleh memerintahkan pesalah tersebut untuk membayar apa-apa pampasan atas kerugian di pihak isteri atas penipuan harta yang dilakukan oleh suaminya.[18]

Selain hak-hak di atas, isteri yang terlibat dalam perkahwinan poligami juga berhak untuk membubarkan perkahwinannya dengan suaminya di Mahkamah Syariah. Beberapa bentuk pembubaran perkahwinan yang tersedia untuk dipilih oleh isteri sesuai dengan keadaan dan alasan perceraian. Isteri boleh memilih untuk memohon kebenaran bercerai di bawah Seskyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004. Lazimnya, permohonan untuk bercerai di bawah ini dibuat apabila pasangan suami isteri itu sudah tidak ada persefahaman dalam rumahtangga. Suami akan diberi kebenaran oleh Mahkamah untuk menceraikan isteri dengan talaq 1. Proses perceraian akan lebih cepat penyelesaiannya apabila kedua-dua suami dan isteri bersetuju untuk bercerai secara baik.

Ada juga keadaan di mana suami enggan menceraikan isteri sedangkan isteri mempunyai alasan yang kuat untuk mendapatkan perceraian. Dalam situasi ini, isteri boleh menuntut pembubaran perceraian secara fasakh jika terdapat salah satu atau lebih alasan yang dinyatakan dalam Seksyen 53 (1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004. Antara alasan yang sering kali digunakan oleh isteri untuk menuntut fasakh adalah apabila suami cuai atau gagal memberikan nafkah kepada isteri selama tempoh 3 bulan. Selain itu, perbuatan aniaya suami yang sering menyakiti hidup isteri sehingga menyebabkan hidup isteri menderita juga selalu dijadikan alasan utama isteri untuk menuntut fasakh nikah.[19]

Isteri juga boleh menuntut perceraian secara tebus talaq atau khulu’ di bawah Seksyen 49 (1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam. Perceraian secara tebus talaq berlaku apabila telah timbul perasaan benci isteri kepada suami atas sebab kekurangan suami sedangkan suami masih ingin mempertahankan rumahtangga tersebut. Dalam situasi ini, isteri akan membayar sejumlah bayaran yang dipersetujui kedua pihak sebagai tebuskan kepada suami yang melafazkan cerai atas permintaan isteri. Selain pembubaran perkahwinan dengan jalan tebus talaq, seorang isteri yang mendapati dirinya telah dianiaya oleh suami dalam perkahwinan poligami boleh memilih untuk menuntut perceraian secara ta’liq di bawah Seksyen 50 (1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004. Lafaz ta’liq yang dibacakan oleh suami selepas akad nikah dapat dilihat pada catatan di belakang atau di bahagian bawah pada muka hadapan sijil nikah. Jika berlaku perlanggaran terhadap apa yang diucapkan oleh suami itu seperti suami gagal menunaikan nafkah kepada isteri 4 bulan berturut-turut atau suami melakukan aniaya terhadap tubuh badan isteri, maka isteri boleh menuntut perceraian secara ta’liq di Mahkamah.

Selain hak untuk menuntut perceraian sebagaimana diterangkan di atas, seorang isteri dalam perkahwinan berpoligami juga boleh menuntut nafkah diri isteri yang telah tertunggak.[20] Jika telah ada perintah pembayaran nafkah dikeluarkan oleh Mahkamah sebelumnya, isteri boleh menuntut tunggakan nafkah yang tidak dibayar oleh suami termasuk penguatkuasa dan perlaksanaan perintah tersebut. Seorang suami boleh disaman hadir di Mahkamah untuk menjelaskan bayaran tertunggak isteri melalui tindakan saman penghutang penghakiman oleh isteri di Mahkamah.[21] Kegagalan suami melaksanakan perintah tersebut boleh menyebabkan suami dikomitkan ke penjara selama tempoh tidak melebihi 30 hari.[22]

Selain perkara nafkah, isteri juga boleh memohon untuk penguatkuasan dan perlaksanaan perintah ke atas perintah pembahagian harta sepencarian yang telah diputuskan oleh Mahkamah semasa prosiding pendengaran permohonan kebenaran berpoligami oleh suami suatu ketika dulu. Penguatkuasaan perintah ini boleh dibuat apabila suami enggan melaksanakan keputusan mengenai pembahagian harta tersebut seperti enggan menyerahkan harta tersebut kepada isteri dalam tempoh yang ditetapkan oleh Mahkamah.[23] Perlu difahami bahawa apa-apa tunggakan nafkah atau kegagalan penyerahan harta oleh suami kepada isteri sebagaimana diperintahkan Mahkamah boleh dituntut sebagai hutang suami semasa pembahagian harta pusaka suami apabila suami meninggal dunia nanti.[24] Selain daripada itu, isteri yang kematian suami juga berhak di sisi hukum syarak dan undang-undang untuk menuntut bahagian faraid ke atas harta pusaka yang ditinggalkan oleh suaminya apabila suaminya meninggal dunia.[25]

 

Fasa Ketiga

Hak selepas perceraian dalam perkahwinan berpoligami

Kesemua hak yang diberikan oleh hukum syarak dan undang-undang kepada seorang isteri dalam perkahwinan biasa selepas berlakunya perceraian juga dimiliki oleh seorang isteri yang terlibat dalam perkahwinan berpoligami. Tidak ada bezanya. Hak-hak tersebut meliputi  tuntutan nafkah diri tertunggak bagi isteri yang telah diceraikan,[26]nafkah eddah bagi isteri yang diceraikan dengan talaq 1 atau talaq 2,[27] mut’ah atau pemberian sagu hati,[28] harta sepencarian terhadap harta-harta yang diperolehi secara langsung atau tidak langsung dalam tempoh perkahwinan antara bekas suami dan bekas isteri,[29] hak penjagaan anak atau hadanah,[30] hak tempat tinggal isteri di rumah yang isteri biasa tinggal semasa dalam tempoh perkahwinan sementara menanti tamatnya tempoh eddah isteri atau selagi tempoh penjagaan atau hadanah ke atas anak hasil perkahwinan mereka masih belum tamat,[31] nafkah semasa anak[32] dan juga mas kahwin yang belum dijelaskan oleh suami selama tempoh perkahwinan mereka.[33]

 

MANFAAT POLIGAMI

Perbincangan mengenai manfaat perkahwinan secara berpoligami cukup banyak dan panjang. Pelbagai pandangan dan tulisan telah dibuat mengenainya. Bagaimanapun secara ringkasnya, dapatlah dinyatakan beberapa manfaat atau kelebihan ataupun hikmah di sebalik pensyariatan poligami seperti berikut:

 

Untuk mendapatkan zuriat

Ketiadaan zuriat dalam suatu perkahwinan merupakan satu ujian yang besar dalam sebuah rumahtangga. Setelah melalui pelbagai usaha untuk mendapatkan zuriat dan disahkan bahawa pihak isteri tidak mampu melahirkan anak disebabkan mandul atau akibat penyakit tertentu yang menghalang isteri untuk mengandung, maka adalah wajar suami untuk bernikah lagi dengan wanita lain tanpa menceraikan isteri yang sedia ada. Dengan pernikahan secara berpoligami itu, maka dapatlah suami itu merasai nikmat Allah dengan memperolehi zuriat yang boleh menyambung keturunannya sehingga hari kiamat.[34] Seksyen 23 (5) (a) Enakmen Undang-Undang keluarga Islam 2004 memperuntukkan bahawa salah satu pertimbangan yang perlu diberikan oleh Mahkamah dalam memberikan kelulusan berpoligami kepada suami ialah apabila isterinya mandul atau tidak dapat melahirkan zuriat. Mengikut amalan di Mahkamah Syariah, lazimnya isteri tidak membantah permohonan suami untuk berpoligami dengan menggunakan alasan ini.

 

Isteri berpenyakit yang menghalang hubungan kelamin

Terdapat juga keadaan di mana isteri diuji dengan penyakit yang kronik dan sukar disembuhkan sehingga hubungan kelamin antara suami dan isteri tidak dapat dilakukan. Dalam hal ini, hukum syarak dan undang-undang menyediakan ruang kepada suami untuk menyalurkan naluri syhawatnya dengan memberi ruang kepadanya berkahwin lagi dengan wanita yang sihat. Pernikahan baru tanpa menceraikan isteri yang sedia ada dapat mengekalkan keharmonian rumah tangga dan dapat pula menyelamatkan suami daripada menyalurkan hawa nafsunya kepada wanita lain tanpa ikatan pernikahan yang sah. Dengan perkahwinan berpoligami itu, maka terpeliharalah rumahtangga tersebut daripada bencana huru hara dan masyarakat juga akan turut mendapat keamanan kesan dari wujudnya rumahtangga yang tenang dan bahagia. Sebagaimana dalam keadaan isteri mandul, keuzuran jasmani isteri yang tidak memungkinkan persetubuhan suami isteri dapat dilaksanakan merupakan satu alasan yang diterima oleh undang-undang untuk seorang suami berpoligami sebagaimana disebutkan dalam Seksyen 53 (5) (a) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004.

 

Bilangan wanita yang semakin meningkat

Kehilangan nyawa di pihak lelaki akibat peperangan, sengketa, kemalangan di tempat kerja dan pelbagai lagi akibat menyebabkan bilangan wanita akan semakin bertambah berbanding lelaki. Keadaan ini menyebabkan tidak kurang ramainya wanita menjadi janda dan memerlukan perlindungan dan sara hidup. Pernikahan dengan jalan poligami oleh suami dilihat merupakan salah satu cara untuk mengatasi keadaan sukar yang dihadapi oleh balu atau janda tersebut. Pernikahan yang sah seperti ini lebih mulai dan menjadikan kedudukan janda atau balu tersebut dipandang mulia di sisi agama dan manusia sekeliling berbanding terbiar tanpa perlindungan, ke sana sini meminta simpati. Wanita tersebut juga terhindar dari perbuatan terlarang seperti menjual tubuh untuk meneruskan penghidupan bersama anak-anak yang ditinggalkan suami terdahulu.[35]

 

Menghindari Zina

Ada suami yang dikurniakan oleh Allah naluri seksual yang kuat. Melakukan hubungan kelamin dengan seorang isteri tidaklah memadai untuk memenuhi naluri syhwatnya. Dalam keadaan di mana isteri telah mencapai tempoh monopause atau telah berhenti kedatangan haid, naluri seksnya tidaklah lagi seperti zaman sebelumnya. Sering keletihan dan tidak mempunyai keinginan untuk melakukan hubungan kelamin dengan suami tentunya memberikan tekanan tersendiri kepada suami. Keadaan akan menjadi lebih sukar bagi suami yang masih kuat naluri seksualnya apabila isteri semakin lanjut usia dan tidak lagi mampu melakukan hubungan kelamin. Suami yang mempunyai kesihatan yang baik di samping mempunyai kelayakan mencukupi untuk berpoligami mempunyai alasan yang menasabah untuk berpoligami dalam situasi ini. Amalan poligami yang disyariatkan oleh Allah kepada umat Islam dapatlah memberi penyelesaian kepada cabaran dan tekanan seksual suami tersebut lebih-lebih lagi bagi suami yang sering melakukan perjalanan yang jauh untuk urusan kerja dan menetap agak lama di tempat berkenaan.[36] Dengan jalan yang halal dan dilindungi undang-undang, gejala zina dapat dihindarkan. Penyaluran naluri seksual suami pada jalan yang halal melalui poligami dapat mewujudkan ketenangan pada diri suami dan akhirnya melahirkan semangat untuk terus mencari rezeki halal dan melaksanakan ibadah-ibadah yang telah ditetapkan oleh Allah.

Tentunya banyak lagi manfaat atau hikmah di sebalik amalan poligami yang disyariatkan dalam Islam. Bagaimanapun, adalah memadai untuk menyenaraikan beberapa hikmah di atas untuk memberi gambaran kepada umum bahawa ajaran Islam adalah ajaran yang komprehensif dan mengambil kira keperluan zahir dan batin pada manusia. Amalan berpoligami yang telah ribuan tahun telah diamalkan oleh manusia di muka bumi tidak pernah dimansuh atau dibatalkan oleh Islam.

Apa yang dilakukan oleh Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w adalah membataskan amalan ini dengan menggariskan aturan dan syarat-syarat yang tertentu dalam berpoligami agar amalan berpoligami ini benar-benar menepati kehendak dan naluri manusiawi. Dengan pembatasan yang diberikan dengan hanya membenarkan pernikahan kepada bilangan maksima iaitu 4 isteri dalam satu-satu masa, ianya jelas menunjukkan betapa Islam ini mengambil kira segala aspek dalam kehidupan manusia dan menjamin kelangsungan amalan yang yang telah ribuan tahun menjadi amalan manusia dengan cara yang tersusun dan teratur sebegitu rupa bagi mengelak segala bentuk kezaliman atau penindasan khususnya kepada kaum wanita.

 

CABARAN BERPOLIGAMI

Para suami mahupun isteri yang terlibat secara langsung dengan perkahwinan secara berpoligami tentunya mempunyai cabaran tersendiri dalam rumahtangganya. Cabaran bukan saja dihadapi oleh pasangan suami isteri berkenaan, tetapi juga ia turut dihadapi oleh Mahkamah Syariah yang mengendalikan permohonan si suami untuk mendapatkan kebenaran berpoligami. Bagi memudahkan perbincangan, perbahasan mengenai cabaran berpoligami dibahagikan kepada 3 kelompok iaitu di pihak Mahkamah sendiri, isteri dan seterusnya pihak suami.

 

Kelompok Pertama

Mahkamah

Ada kalanya isteri datang secara tiba-tiba ke Mahkamah dan marah-marah kerana tidak berpuas hati dengan perjalanan kes poligami suami di Mahkamah. Isteri mendakwa bahawa beliau tidak dipanggil atau dimaklumkan mengenai permohonan mendapatkan kebenaran berpoligami oleh suaminya. Isteri yang yang mendakwa bahawa Mahkamah bersekongkol dengan pihak suami untuk memberi kebenaran kepada suaminya berpoligami tanpa pengetahuannya. Hal ini ada kalanya menimbulkan suasana tegang. Dalam hal ini, pegawai Mahkamah akan menerangkan kepada si isteri bahawa segala prosedur telah diikuti. Terdapat pengakuan daripada suami melalui Affidavit Penyampaian Saman bahawa suami telah menyerahkan sendiri ke diri isteri Notis panggilan ke Mahkamah. Bagi Mahkamah, apabila telah ada pengakuan melalui Affidavit yang diikrarkan di hadapan Pegawai Mahkamah dan suami pula melaksanakan sumpah istizhar bagi menyatakan kebenaran keterangannya di hadapan Hakim, mahkamah akan meneruskan kes berkenaan dan membuat keputusan atau penghakiman walaupun tanpa kehadiran isteri.

Dalam keadaan suami telah diberi kebenaran berpoligami dan suami telahpun bernikah, isteri yang terkilan tadi masih boleh mengambil tindakan undang-undang kepada suami. Isteri berhak melaporkan kepada Penguatkuasa Agama di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JHEAINS) bahawa suaminya telah membuat keterangan atau penyataan palsu di Mahkamah di bawah Seksyen 101 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1995. Di bawah undang-undang ini, seseorang yang disabitkan bersalah memberi keterangan atau penyataan palsu di mahkamah boleh dihukum dengan denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih dari 6 bulan atau kedua-duanya sekali.[37] Selain daripada itu, suami berkenaan juga boleh didakwa atas kesalahan jenayah kerana membuat perakuan atau penyataan palsu bagi mendapatkan kebenaran berkahwin di bawah Seksyen 38 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004.[38]

Bagi si isteri pula, jika beliau terus mengeluarkan kata-kata cemuhan, tuduhan dan pelbagai kata-kata berupa penghinaan kepada Mahkamah atas dakwaan bahawa Mahkamah bersekongkol dengan suaminya untuk memberi kebenaran berpoligami, maka tindakan undang-undang boleh dikenakan kepada si isteri itu. Satu Notis tunjuk sebab boleh dikeluarkan oleh Mahkamah kepada si isteri tersebut untuk hadir di M dan memberi alasan mengapa beliau tidak dikomitkan ke penjara kerana menghina Mahkamah. Perkara ini dinyatakan dalam Seksyen 229 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2004. Orang yang disabitkan melakukan penghinaan Mahkamah di bawah undang-undang ini boleh dihukum penjara tidak lebih 6 bulan atau denda tidak melebihi RM2,000.

 

Kelompok Kedua

Isteri

Poligami merupakan satu cabaran tersendiri di pihak isteri khususnya isteri yang sedia ada. Keadaan rumahtangga yang tenang boleh bertukar menjadi kecoh apabila suami mula menyatakan hasratnya untuk berpoligami. Adalah suatu yang lumrah bahawa isteri akan menyatakan bantahan terhadap hasrat si suami tersebut. Ada kejadian di mana sebaik isteri menunjukkan bantahannya atau protesnya, suami mula menjauhkan isteri. Suami mula jarang balik ke rumah apatah lagi makan bersama dengan isteri dan anak-anak. Ada situasi di mana suami lebih rela untuk tidur di sofa dalam ruang tamu berbanding tidur dalam bilik kelamin. Hal ini tentunya menimbulkan keadaan yang tidak kondusif dalam rumahtangga dan memberi tekanan yang hebat terhadap perasaan si isteri.

Keadaan keterampilan bakal isteri yang hadir di Mahkamah untuk pendengaran kes poligami juga memberi cabaran dan tekanan tersendiri kepada isteri. Sering kali berlaku kejadian di mana bakal isteri memakai pakaian yang cantik dengan penampilan yang seakan telah bersiap untuk melangsungkan pernikahan. Bakal isteri tampil dengan wang-wangian dengan make up di wajah yang cukup rapi. Si isteri pula hadir dengan penampilan biasa dengan pakaian yang cukup sederhana. Penampilan bakal isteri yang tentunya “jauh lebih menarik” daripada isteri tidaklah baik untuk ditunjukkan di hadapan isteri. Keadaan ini hanya akan menimbulkan perasaan tidak selesa, geram dan sakit hati di pihak isteri terhadap bakal isteri. Sukarlah dibayangkan bagaimana suasana tidak selesa ini terpaksa dihadapi oleh isteri semasa duduk bersama-sama dengan suami, bakal isteri dan wali kepada bakal isteri di ruang menunggu yang terletak di luar kamar hakim sebelum dipanggil memberi keterangan di Mahkamah. Sepatutnya, bakal isteri perlu mengelakkan diri dari membuat penampilan yang berlebihan. Memadailah hadir di Mahkamah dengan pakaian yang sederhana dan sopan bagi mengelak timbulnya perasaan tidak selesa di pihak isteri. Inilah masanya bakal isteri menunjukkan sikap sederhananya dan menzahirkan sikap baiknya kepada isteri. Boleh jadi, suasana ini mampu mengurangkan ketegangan antara isteri dengan suami dan bakal isteri.[39]

Sering juga terjadi kes di mana suami bernikah  tanpa pengetahuan isteri. Lazimnya, suami membawa bakal isteri itu ke Selatan Thailand dan bernikah di pejabat Majlis Agama Islam di negara berkenaan. Pernikahan tersebut hanya diketahui si isteri apabila suami menunjukkan keterangan pernikahannya yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Thailand dan juga perakuan pernikahan oleh Pejabat Konsulat Malaysia di Selatan Thailand. Ada juga kejadian di mana isteri hanya mengetahui pernikahan suami dengan isteri kedua apabila suami menfailkan permohonan pengesahan pernikahan dan perintah pendaftaran pernikahan tersebut di Mahkamah Syariah.

Tindakan suami ini tidak dinafikan boleh menimbulkan tekanan tersendiri di pihak isteri. Ini satu kejutan dan cabaran berat yang terpaksa dihadapi isteri. Sekiranya suami membuat permohonan mendapatkan kebenaran di Mahkamah, dapatlah isteri menyatakan responnya sama ada bersetuju atau tidak. Isteri juga dapat pula menuntut hak-haknya di hadapan Mahkamah semasa pendengaran kes poligami berkenaan seperti pembahagian harta sepencarian, nafkah isteri dan anak-anak serta tempat tinggal isteri dan anak-anak setelah suami bernikah dengan isteri kedua. Dengan tindakan suami menyembunyikan pernikahannya, ia merupakan satu tamparan tersendiri terhadap isteri yang tidak dijangkakan.

Cabaran lain yang terpaksa ditempuh oleh seorang isteri apabila suaminya berpoligami ialah apabila suami sanggup mengugut untuk menceraikan isteri jika isteri tidak bersetuju dengan pernikahan tersebut. Ada kes di mana si suami sanggup menceraikan isterinya di luar mahkamah walaupun kes poligami di Mahkamah sedang berjalan. Suami mengambil jalan mudah untuk melafazkan cerai kepada isterinya untuk mengelak daripada menghadapi tentangan hebat dari isteri terhadap permohonan poligaminya. Setelah tamat tempoh eddah isteri, kes poligami tidak perlu lagi diteruskan kerana keperluan untuk mendapatkan respon atau persetujuan daripada isteri pertama sudah tidak relevan lagi. Suami akhirnya bernikah dengan isteri baru manakala isteri terdahulu sudah diceraikan. Ini antara tindakan suami yang boleh dipersoalkan kerana ia mengambil jalan mudah dengan menceraikan isterinya bagi membolehkan suami berkenaan dapat bernikah dengan bakal isterinya.

Kegagalan suami berlaku adil dalam berpoligami sering kali terjadi. Ada kes di mana isteri menfailkan permohonan perceraian di Mahkamah kerana suami gagal menunaikan kewajipannya memberikan nafkah belanja kepada isteri. Ada juga suami yang terpaksa ke sana sini berhutang dengan orang kerana tidak mempunyai kewangan yang mencukupi untuk menampung perbelanjaan keluarga. Isteri tidak lagi menikmati nafkah sebagaimana yang dinikmatinya sebelum suami berpoligami. Ada juga suami yang memberi keutamaan kepada isteri yang pertama semata-mata untuk menunjukkan bukti kasih sayangnya kepada si isteri dengan menggunakan masa yang lebih banyak untuk tinggal bermalam.

Dalam hal ini, isteri kedua terpaksa menghadapi layanan yang tidak seimbang dari suami berbanding isteri pertama. Tidak hairanlah mengapa ada isteri yang menfailkan tuntutan perceraian secara fasakh di Mahkamah atas kegagalan suami memberikan nafkah melebihi 3 bulan. Menurut Seksyen 53 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004, seorang isteri boleh menuntut fasakh sekiranya suami cuai atau gagal menunaikan kewajiban nafkah kepada isteri selama tempoh 3 bulan. Selain itu, kegagalan suami berlaku adil terhadap isteri dalam berpoligami boleh dijadikan alasan si isteri untuk menuntut fasakh nikah. Bagi isteri yang masih sayangkan rumahtangganya, ia sanggup menempuh hidup derita dengan keadaan yang menimpa daripada mengambil jalan untuk menuntut perceraian di Mahkamah. Ini adalah antara cabaran seorang isteri apabila suaminya berpoligami.

 

Kelompok Ketiga

Suami

Salah satu cabaran besar bagi seorang suami ketika hendak berpoligami ialah ketika menyatakan hasratnya untuk berkahwin lagi. Bukan mudah bagi seorang suami untuk berterus terang dengan isteri dalam hal ini. Ada suami yang takut untuk berterus terang kerana tidak sanggup dimarahi isteri. Justeru, sering terjadi kes di mana suami sanggup berkahwin secara senyap-senyap tanpa pengetahuan isteri. Isteri hanya mengetahui pernikahan itu apabila orang sekeliling mula memperkatakan mengenai perkahwinan suaminya dengan wanita lain. Ada juga isteri yang mengetahui perkahwinan tersebut apabila suami didakwa di Mahkamah Syariah atas kesalahan berpoligami tanpa kebenaran Mahkamah. Dalam situasi seumpaman itu, suami terpaksa berhadapan dengan kemarahan isteri dan keluarga bukan sahaja dari pihak isteri, malah kemarahan juga datang dari keluarga suami sendiri.

Cabaran mula terasa apabila suami menfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran berpoligami di Mahkamah. Ada kes di mana si isteri meninggalkan rumah dengan membawa anak-anak pula ke rumah ibubapa isteri sebaik mendapat Notis Panggilan hadir untuk memberi keterangan mengenai permohonan poligami suaminya di Mahkamah. Walaupun telah menerima Notis Panggilan hadir ke Mahkamah, isteri enggan hadir untuk memberikan keterangan di Mahkamah mengenai kemampuan suami termasuk menyatakan maklum balas samada isteri bersetuju atau tidak dengan permohonan suami untuk berpoligami. Keadaan ini mendatangkan tekanan dan cabaran tersendiri kepada suami berkenaan. Suami berada dalam persimpangan. Samada hendak meneruskan hasrat untuk berpoligami atau kekal dengan isteri yang sedia ada.

Isteri nekad meminta diceraikan sebagai syarat untuk suami bernikah dengan bakal isteri merupakan cabaran yang hebat bagi seorang suami. Hal ini sering kali terjadi apabila isteri hadir di Mahkamah semasa kes poligami didengar di hadapan Hakim. Dalam situasi sedemikian, suami berada dalam kondisi yang begitu sukar. Ada isteri yang menfailkan tuntutan perceraian di Mahkamah sebaik sahaja suami menfailkan permohonan kebenaran berpoligami di Mahkamah. Dalam keadaan seperti ini, ada ketikanya kedua pihak mencapai persetujuan bersama untuk bercerai secara baik dengan talaq 1 di hadapan Mahkamah. Ada juga kes di mana, suami terpaksa menunggu masa yang begitu lama untuk penyelesaian kes poligami di Mahkamah. Tempoh penyelesaian kes yang panjang boleh berlaku apabila permohonan berkenaan dibantah oleh isteri. Isteri sanggup mengambil khidmat peguam syarie bagi mewakilinya. Suami juga sanggup mengambil khidmat peguam bagi mewakilinya. Apabila perbicaraan dijalankan, prosedur perbicaraan di Mahkamah perlu dipatuhi. Kesemua pihak akan diambil keterangan termasuk saksi-saksi jika ada. Ada kes yang mengambil masa untuk penyelesaian sehingga 3 tahun. Jika suami berjaya mendapat kebenaran berpoligami, keadaan rumahtangga yang sedia ada tidak lagi seperti dahulu. Keadaan sudah semakin sukar apabila hubungan antara suami dan isteri semakin longgar jika tidak diperbaiki. Akhirnya, kita menyaksikan rumahtangga berkenaan berakhir dengan perceraian.

Perkahwinan berpoligami tanpa kebenaran Mahkamah merupakan satu lagi cabaran yang berat bukan saja bagi seorang suami tetapi juga kepada isteri baru si suami. Pernikahan tersebut belum dapat dipastikan samada sah atau tidak. Pernikahan itu juga tidak boleh didaftarkan di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam selagi ianya tidak disahkan dan diperintahkan untuk pendaftaran oleh Mahkamah Syariah. Dalam situasi ini, suami perlu melalui proses perundangan dengan membuat permohonan di Mahkamah bagi mengesahkan pernikahan tersebut dan seterusnya mendapatkan perintah mendaftarkan pernikahan itu di Jabatan Agama Islam jika sah menurut hukum syarak.

Sekiranya sah, pendaftaran nikah berkenaan hanya akan dilaksanakan oleh Pendaftar Perkahwinan setelah suami tersebut didakwa dan disabitkan atas kesalahan berpoligami tanpa kebenaran Mahkamah. Menurut Seksyen 23 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004, seorang suami yang berpoligami tanpa kebenaran Mahkamah apabila disabitkan boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebih 6 bulan atau kedua-duanya sekali. Ini bermakna, suami telah mendapat status sebagai pesalah jenayah syariah apabila disabitkan bersalah dengan kesalahan berpoligami tanpa kebenaran Mahkamah.

Tekanan akan lebih terasa apabila pernikahan tersebut diputuskan sebagai tidak sah. Pernikahan tersebut akan difaraq atau dibubarkan. Suami dan pasangan barunya terpaksa berpisah dan tidak dibenarkan oleh hukum syarak dan undang-undang untuk tinggal bersama sebagaimana sebelumnya. Mereka perlu mengikuti proses undang-undang jika ingin hidup sebagai suami isteri. Apa yang perlu dilakukan ialah suami dikehendaki untuk membuat permohonan bagi mendapatkan kebenaran berpoligami daripada Mahkamah Syariah. Bagaimanapun, tidak ada jaminan bahawa permohonan tersebut akan diluluskan oleh Mahkamah. Semuanya bergantung sejauh mana suami layak atau tidak berpoligami.

Selain itu, anak-anak yang lahir dari pernikahan berpoligami tanpa kebenaran Mahkamah akan berhadapan dengan kesukaran apabila anak-anak tersebut tidak dapat dinasab dibin kepada bapa mereka. Lazimnya, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan meletakkan perkataan Abdullah pada bin atau binti si anak tersebut dan mencatatkan perkataan “Seksyen 10” pada bahagian bawah sijil lahir anak berkenaan. JPN akan meminta ibubapa anak tersebut untuk mendapat terlebih dahulu pengesahan nasab anak tersebut di Mahkamah Syariah. Jika anak tersebut diputuskan sebagai anak sah taraf, maka JPN akan membuat perubahan pada sijil lahir anak berkenaan dengan meletakkan bin atau binti anak tersebut kepada bapanya. Sekiranya status anak tersebut diputuskan sebagai anak tak sah taraf, JPN lazimnya akan mengekalkan anak tersebut berbin atau berbintikan kepada Abdullah. Inilah antara cabaran yang terpaksa dihadapi oleh suami dalam berpoligami tanpa kebenaran Mahkamah.

Bukan mudah bagi suami untuk melaksanakan keadilan kepada isteri-isterinya dalam perkahwinan berpoligami. Berlaku adil kepada isteri-isteri dalam rumahtangga bukanlah sesuatu yang mudah. Ia memerlukan ilmu dan pengetahuan yang mendalam terhadap selok belok poligami dalam Islam. Pengetahuan dan pengamalan ajaran agama Islam yang baik amat perlu dimiliki oleh suami selain dari memiliki kesabaran yang tinggi untuk berhadapan dengan sikap isteri-isteri dan juga ujian-ujian lain dalam rumahtangga. Perasaan cemburu yang wujud dalam diri isteri-isteri perlu dihadapi dengan tabah oleh suami. Seni menghadapi dan menangani kecemburuan isteri dengan isteri yang lain perlu dipelajari dan dimiliki oleh suami dalam sebuah rumahtangga agar perkahwinan itu tetap kukuh sehingga ke akhir hayat.

 

PENUTUP

Melihat kepada perbincangan yang dibuat di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ilmu pengetahuan terhadap amalan berpoligami adalah penting untuk dipelajari dan difahami oleh semua orang. Kefahaman yang jelas mengenai poligami dapat menyingkirkan segala salah faham terhadap poligami baik dari kalangan orang Islam sendiri atau dari kalangan bukan Islam. Hak-hak yang disediakan pada seorang isteri yang terlibat dalam perkahwinan berpoligami akan menyedarkan kepada suami untuk lebih bertanggungjawap dan menunaikan sedapat mungkin segala kewajipan yang ditetapkan oleh undang-undang dan hukum syarak. Manfaat amalan poligami yang dijelaskan di atas amat perlu diketahui dan difahami oleh masyarakat agar amalan ini dilihat sebagai suatu amalan yang murni dan benar-benar selari dengan keperluan manusia sepanjang masa.

Tentunya cabaran besar dalam berpoligami tidak dapat dihindarkan. Pengetahuan mengenai cabaran-cabaran yang terpaksa ditempuhi oleh pihak-pihak yang teribat dalam urusan poligami seperti mahkamah dan juga pihak suami dan isteri yang secara langsung beramal dengan perkahwinan berpoligami dapat memberi manfaat yang banyak dan bernilai kepada sesiapa sahaja yang ingin beramal atau hendak mengetahui hal ehwal perkahwinan poligami. Pengetahuan awal dan mendalam mengenai pelbagai aspek dalam amalan berpoligami tentunya akan mewujudkan satu masyarakat yang lebih tersusun, sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan dan terjamin pula hal ehwal kehidupan rumahtangganya dari sebarang bentuk gejala atau perkara yang memudaratkan.

[1] Penulis merupakan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sabah sejak 6 Jun 2013. Pernah memegang jawatan Ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah dari 16 Januari 2012 hingga 6 Jun 2013. Mula bertugas sebagai Hakim Mahkamah Rendah Syariah semenjak 1 Oktober 1996 di Pantai Barat Kota Kinabalu. Sebelum bertugas di Mahkamah Syariah, Penulis pernah beramal sebagai Peguambela dan Peguamcara Mahkamah Tinggi (Sabah & Sarawak) pada tahun 1996. Tulisan ini dibentangkan Persidangan Hak-hak Wanita Dalam Perundangan anjuran Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) yang diadakan di Wisma Wanita, Kota Kinabalu pada 17 April 2018.

[2] Dr. Adil Akhyar LL.M, Sunnah Poligami Generasi Awal Islam, Pustaka Azhar, Johor Bahru, 2014, hal. 193; Lihat juga khozin Abu Faqih, Poligami: Solusi atau Masalah, Al-I’Tishom Cahaya Umat, Cetakan Kedua 2007, 10 Rawamangun, Jakarta Timur, hal. 99.

[3] Lihat misalnya Seksyen 45 Enakmen Tatacara Mal Syariah 2004 yang menyatakan bahawa suatu Notis Permohonan hendaklah disampaikan kepada pihak yang satu lagi tidak kurang dari 2 hari sebelum tarikh pendengaran kes berkenaan melainkan Mahkamah memerintahkan sebaliknya.

[4] Seksyen 121 (2) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah 2004 memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk membuat penghakiman tanpa kehadiran pihak yang dituntut setelah penyampaian saman atau notis permohonan telah berjaya disampaikan kepada pihak tersebut.

[5] Seksyen 139 (4) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah 2004.

[6] Seksyen 144 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah 2004 menyatakan bahawa penfailan Notis Rayuan tidaklah secara otomatik menggantung perlaksanaan suatu keputusan Mahkamah. Ini bermakna, dalam kes di mana notis rayuan telah difailkan, pihak perayu mesti menfailkan Notis Permohonan untuk mendapatkan perintah penggantungan perlaksanaan perintah Mahkamah itu.

[7] Seksyen 124 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004. Hukuman bagi kesalahan berpoligami tanpa kebenaran adalah denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya sekali.

[8] Lihat Seksyen 44 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1995.

[9] Lihat Seksyen 40 Enakmen Undang-Udang Keluarga Islam 2004. Seorang yang disabitkan bersalah di bawah seksyen ini boleh dihukum dengan penjara tidak melebihi 6 bulan atau denda tidak melebihi RM1,000 atau kedua-duanya.

[10] Lihat Seksyen 121 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004.

[11] Lihat Seksyen 127 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004.

[12] Lihat Seksyen 23 (5) (C) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004.

[13] Lihat Seksyen 127 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004.

[14] Lihat firman Allah dalam Sura al Talaq 65:7 “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya”.

[15] Lihat Nor Azizah Hj. Baharom, Wanita dan Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Melaka: Antara Peruntukan dan Tuntutan dalam Wanita dan Undang-Undang Siri 2: Wanita dan Isu-Isu Kekeluargaan, (Penyunting: Che Zuina Ismail & Liziana Kamarul Zaman), Penerbit Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, Selangor, 2013, hal. 30.

[16] Lihat Seksyen 2 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004.

[17] Lihat Seksyen 53 (1) (h) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004.

[18] Lihat Seksyen 128 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004.

[19] Lihat Seksyen 53 (1) (h) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004.

[20] Lihat Seksyen 60 (1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004.

[21] Lihat Seksyen 176 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah 2004.

[22] Lihat Seksyen 181 (1) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah 2004.

[23] Lihat Seksyen 148 hingga 151 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah 2004.

[24] Lihat Seksyen 70 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004.

[25] Lihat Seksyen 11 (3) (b) (viii) & (ix) Enakmen Mahkamah Syariah 2004.

[26] Lihat Seksyen 60 (1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004.

[27] Lihat Seksyen 66 (1) enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004.

[28] Lihat Seksyen 58 (1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004.

[29] Lihat Seksyen 122 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004.

[30] Lihat Seksyen 82 hingga 88, Bahagian VII (Penjagaan) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004.

[31] Lihat Seksyen 72 (1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004.

[32] Lihat Seksyen 73 (1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004.

[33] Lihat Seksyen 59 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004.

[34] Isham Muhammad al-Syarif, Poligami Kebenaran Bersyarat, S.A.Majeed & Co. Sdn Bhd, Kuala lumpur, (tanpa tahun), hal. 176.

[35] Ahmad Zawazi Abdullah, Barakah Kahwin Dengan 4 Isteri, Pustaka Ilmuwan, Rawang Selangor, 2016, hal. 124.

[36] Ahmad Zawazi Abdullah, Barakah Kahwin Dengan 4 Isteri, Pustaka Ilmuwan, Rawang Selangor, 2016, hal. 178.

[37] Lihat Seksyen 101 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1995.

[38] Lihat Seksyen 38 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004. Di bawah Seksyen ini, mana-mana orang yang disabitkan salah memberi akuan atau penyataan palsu bagi mendapatkan kebenaran berkahwinan boleh dihukum dengan hukuman denda sebanyak tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali.

[39] Lihat tulisan Penulis dalam BLOG ERAKITA di bawah tajuk “Bakal Isteri Elak Pakai Lawa di Mahkamahhttps://erakita.wordpress.com/2015/09/02/bakal-isteri-kedua-elak-pakai-lawa-di-mahkama/. Dilihat pada 15 April 2018.

PERKAHWINAN BAWAH UMUR

dav

 

PERKAHWINAN BAWAH UMUR

Perkahwinan memang suatu perkara yang disyariatkan dalam Islam. Ia merupakan amalan para Nabi dan Rasul. Ia adalah Sunnah Nabi s.a.w. Perkahwinan perlu untuk kelangsungan keturunan. Keturunan membentuk keluarga. Keluarga mewujudkan satu masyarakat. Masyarakat pula membentuk sebuah Negara. Tidak hairan mengapa ada ungkapan mengatakan bahawa negara yang kuat dan hebat adalah kerana masyarakat atau rakyatnya kuat dan hebat. Pernah juga kita mendengar kata-kata pembakar semangat dan motivasi rakyat dari para ilmuan yang mengatakan bahawa jika hendak melihat bentuk dan rupa sebuah negara pada masa hadapan, lihat saja pada para belianya.

Mengenai perkahwinan, para ulama bahkan meletakkan hukum wajib berkahwin kepada mana-mana lelaki atau perempuan yang telah mencapai satu tahap kritikal untuk kahwin. Hukumnya wajib apabila mereka tidak mampu lagi menahan diri dari terjerumus kepada perzinaan sedangkan mereka berkemampuan dari zahir dan batin untuk berkahwin.

Dalam konteks Negara kita di Malaysia, setiap negeri ada undang-undang tersendiri mengenai perkahwinan. Undang-undang ini dinamakan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam. Undang-undang ini digunakan untuk mengawal dan mentadbir hal kekeluargaan orang-orang Islam yang meliputi hal ehwal perkahwinan, perceraian dan rujuk. Termasuk perkara yang ditadbir dan dikawal adalah had umur pasangan yang hendak berkahwin.

Di bawah Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Sabah, 2004, (EUUKIS) had umur minimum pasangan lelaki yang dibenarkan berkahwin adalah 18 tahun. Bagi perempuan pula, had minimum umur yang dibenarkan ialah 16 tahun. Perkara ini termaktub dalam Seksyen 8 Enakmen tersebut.

Untuk jelasnya, Penulis memperturunkan kandungan penuh seksyen 8 EUUKIS untuk dihayati bersama. 

Seksyen 8. Umur minimum untuk perkahwinan

“Tiada sesuatu perkahwinan boleh diakadnikahkan di bawah Enakmen ini jika lelaki itu berumur kurang daripada lapan belas tahun atau perempuan itu berumur kurang daripada enam belas tahun kecuali jika Hakim Syar’ie telah memberi kebenarannya secara bertulis dalam hal keadaan tertentu”.

Berdasarkan kepada seksyen 8 di atas, mana-mana pasangan lelaki yang berumur 18 tahun ke bawah dan perempuan yang berumur 16 tahun ke bawah, mereka adalah ditegah di sisi undang-undang untuk diakadnikah. Walau bagaimanapun, terdapat pengecualian diberikan kepada pasangan ini jika hendak meneruskan perkahwinan tersebut. Mereka boleh meneruskan perkahwinan mereka walaupun masih di bawah umur asalkan mereka mendapat KEBENARAN SECARA BERTULIS DARI HAKIM SYARIE. Hakim Syarie di sini bermaksud Hakim Mahkamah Syariah.

Seksyen 18 EUUKIS jelas menghendaki Pendaftar Pekahwinan Perceraian dan Rujuk di Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri untuk merujukkan terus permohonan melibatkan pasangan bawah umur yang bercadang untuk berkahwin kepada Hakim Syarie di mana perempuan tersebut bermastautin. Ini bermakna, jika pasangan wanita tersebut bermastautin di Kota Kinabalu, maka permohonan bagi mendapatkan kebenaran berkahwin hendaklah difailkan di Mahkamah Syariah di Kota Kinabalu. Pendaftar Perkahwinan tidak mempunyai kuasa memberi kebenaran berkahwinan kepada pasangan bawah umur kerana hanya Hakim Syarie sahaja yang boleh memberi kebenaran tersebut sebagaimana termaktub dalam undang-undang.

Apa yang perlu dilakukan ialah, pasangan tersebut hendaklah terlebih dahulu melalui proses di Mahkamah Syariah. Tidak cukup dengan hanya datang ke Pejabat Pendaftar Perkahwinan Nikah dan Rujuk di Jabatan Agama Islam. Ibu bapa atau Penjaga kepada pasangan bawah umur lazimnya menjadi pemohon dalam kes tersebut. Permohonan ini dinamakan Permohonan Kebenaran Kahwin Bawah Umur (KBU).

Alasan-alasan yang kukuh mengapa pasangan bawah umur hendak berkahwin hendaklah dikemukakan di hadapan Hakim Syarie. Selain ibu bapa atau Penjaga, pasangan bawah umur juga dikehendaki hadir di hadapan Hakim. Jika perlu, kesemua pihak, termasuk pasangan bawah umur itu juga akan ditanya atau disoal mengenai perkahwinan yang bakal ditempuh.

Alasan yang kukuh untuk berkahwin lazimnya akan mendapat kebenaran dari Hakim Syarie. Mahkamah boleh menolak permohonan atau menangguhkan kebenaran perkahwinan tersebut sehingga ke satu masa yang sesuai menurut pertimbangan Mahkamah.

Antara alasan yang lazimnya digunakan oleh pemohon dalam kes KBU ialah kerana pasangan suka sama suka, sukar untuk dielakkan lagi perkahwinan kerana pasangan terlalu rapat, pasangan telahpun bersekedudukan, pasangan lari dari rumah, pasangan telah ditangkap khalwat, pasangan perempuan telahpun mengandung anak luar nikah, atas persetujuan kedua ibu bapa atau keluarga kedua pihak dan pelbagai lagi alasan. Apapun alasan atau sebab yang dikemukakan, terserahlah kepada kebijaksanaan dan budibicara Makhamah Syariah untuk meluluskan atau sebaliknya permohonan tersebut. Soalan-soalan yang akan ditanya oleh Hakim juga adalah bergantung kepada kreativiti Hakim tersebut. Yang penting, Hakim berpuashati dengan keterangan yang diberikan.

Pendengaran kes pula lazimnya dibuat dalam kamar hakim sebagaimana yang dikehendaki oleh undang-undang. Seksyen 119 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah No, 10 (Sabah) Tahun 2004 (ETMS) menghendaki bahawa mana-mana kes yang dimulakan dengan permohonan, pendengaran kes berkenaan hendaklah dikendalikan dan diputuskan dalam kamar atau bilik hakim. Berikut adalah kandungan penuh Seksyen 119 ETMS:

“Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya dalam Enakmen ini atau mana-mana undang-undang bertulis lain, semua prosiding yang dimulakan dengan saman hendaklah didengar dan diputuskan di dalam Mahkamah terbuka dan semua prosiding yang dimulakan dengan permohonan hendaklah didengar dan diputuskan di dalam Kamar”.

Pendengaran kes dibuat dalam kamar hakim wajar dilakukan bagi menutup sebarang aib pihak-pihak yang mungkin dizahirkan semasa kes tersebut dikemukakan di hadapan hakim. Sebab-sebab mengapa perkahwinan tersebut perlu dilaksanakan pada kadar segera ada kalanya tidak dinyatakan dalam Affidavit Permohonan Pemohon. Bagaimanapun, perkara sebenar mengapa pernikahan tidak lagi dapat dielakkan akan dinyatakan oleh ibubapa atau penjaga anak berkenaan kepada Hakim melalui pertanyaan dan siasatan hakim. Antara contoh perkara mengaibkan pasangan yang tidak wajar didengar di dalam dewan mahkamah yang boleh didengar oleh awam ialah wanita tersebut sudahpun mengandung anak luar nikah. Inilah antara hikmah mengapa kes berkenaan perlu didengar dan diputuskan dalam kamar hakim sahaja.

 

Bagaimana jika bakal suami sudah berkahwin?

Dalam borang permohonan mendapatkan kebenaran berkahwin, pasangan dikehendaki menyatakan status semasa mereka samada masih bujang, berkahwin, janda atau duda. Jika sekiranya bakal suami perempuan tadi sudah berkahwin, maka mahkamah boleh menangguhkan pendengaran atau keputusan kes permohonan KBU perempuan tersebut. Apa yang perlu dilakukan ialah bakal suami perempuan tersebut hendaklah terlebih dahulu menfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran berpoligami di Mahkamah Tinggi Syariah. Jika kebenaran berpoligami sudah diberikan, Mahkamah yang mendengar permohonan KBU akan mendengar semula kes tersebut dan bolehlah membuat keputusannya samada membenarkan perkahwinan bawah umur kepada anak tersebut atau sebaliknya.

Undang-undang ini pada pandangan Penulis perlu dilihat dan dinilai dalam perspektif positif. Persepsi masyarakat bahawa undang-undang ini menyusahkan urusan orang Islam harus diketepikan. Tujuan utama adalah untuk membendung kemudaratan. Mudarat dalam perkahwinan lebih cenderung untuk berlaku kerana pasangan masih terlalu muda untuk melayari alam rumahtangga. Rumahtangga pula penuh dengan pelbagai cubaan dan dugaan, pahit dan manis, ranjau dan duri. Tambahan lagi, rumahtangga memerlukan pasangan menghayati hak dan tanggungjawap mereka. Inilah yang lebih utama.

Bayangkanlah sekiranya yang hendak berkahwin itu baharu berumur 13 tahun atau 14 tahun! Bagaimana agaknya mereka mengendalikan rumahtangga mereka? Tidak menghairankan apabila ada pasangan suami isteri yang masih muda akhirnya kembali semula ke Mahkamah Syariah untuk bercerai hanya beberapa bulan selepas berkahwin. Puncanya,  ada kaitan dengan kegagalan menunaikan hak dan tanggungjawap dalam rumahtangga. Soalnya, mereka gagal memahami alam rumahtangga itu sendiri kerana belum matang. Soalnya, mereka gagal memahami hukum hakam dalam dunia perkahwinan.

Semoga ada manfaatnya tulisan ini untuk anda semua. Sesungguhnya Islam tidak menyusahkan suatu urusan umatnya. Bahkan ia menyeru untuk mempermudahkan urusan itu. Namun, Islam juga melihat kepada kemudaratan yang bakal berlaku. Apa yang pasti, Allah telah mengingatkan kita bahawa kita dilarang sama sekali untuk mencampakkan diri kira ke dalam kebinasaan. Akhirnya, jika syariat Islam itu dihayati dan diamalkan, akan terserlahlah pada kita bahawa 5 perkara utama dalam kehidupan yang diperlukan oleh semua manusia di muka bumi ini akan terpelihara. 5 perkara yang perlu dijaga dan dipelihara itu adalah agama, nyawa, akal, harta dan keturunan.

Wallahu a’lam.

KAEDAH TERMUDAH MENCARI MUKA SURAT PERTAMA SETIAP JUZUK DALAM AL QURAN

TAWAU – 10 Jun 2018 (25 Ramadhan 1439). Alhamdulillah. Segala puji-pujian hanya untuk Allah s.w.t. Erakita telah mendapat satu mesej dari aplikasi whatapps dari seorang hamba Allah pagi ini yang cukup menguja dan menggembirakan. Tajuk mesej itu adalah “Cara mudah mencari muka surat dalam al Quran..!!!”. Setelah membaca dan mempraktikkannya dengan berulang-ulang kali, ternyata kaedah mencari muka surat halaman dalam al Quran itu cukup mudah dan cepat. Kaedah ini dikhususkan untuk mencari muka surat pada permulaan halaman setiap juzuk al Quran sebanyak 30 juzuk sahaja.

Kaedah ini sangat menakjubkan. Ia menggunakan formula matematik yang cukup ringkas.

 

CONTOH PERTAMA

Jika anda ingin mengetahui Juzuk 2 berada di halaman ke berapa, ikuti langkah ini:

2 perlu ditolakkan dengan 1 seperti begini: 2 – 1 = 1.

1 perlu didarab dengan 2 seperti begini: 1 x 2 = 2

Letakkan no 2 selepas angka pada jawapan seperti begini: 2 dan 2 = 22

Jadi, halaman pertama pada juzuk 2 adalah 22.

Anda tidak percaya? Anda cuba dan cuba. Ulang dan ulang. Pasti anda menemui keajaiban. Mudah bukan?

 

CONTOH KEDUA

Jika anda ingin mengetahui Juzuk 19 berada di halaman ke berapa, ikuti langkah ini:

19 perlu ditolakkan dengan 1 seperti begini: 19 – 1 = 18.

18 perlu didarab dengan 2 seperti begini: 18 x 2 = 36

Letakkan no 2 selepas angka pada jawapan seperti begini: 36 dan 2 = 362

Jadi, halaman pertama pada juzuk 19 adalah 362.

Anda tidak percaya? Anda cuba dan cuba. Ulang dan ulang. Pasti anda menemui keajaiban. Mudah bukan? 

 

CONTOH KETIGA

Jika anda ingin mengetahui Juzuk 28 berada di halaman ke berapa, ikuti langkah ini:

28 perlu ditolakkan dengan 1 seperti begini: 28 – 1 = 27.

27 perlu didarab dengan 2 seperti begini: 27 x 2 = 54

Letakkan no 2 selepas angka pada jawapan seperti begini: 54 dan 2 = 542

Jadi, halaman pertama pada juzuk 28 adalah 542.

Anda tidak percaya? Anda cuba dan cuba. Ulang dan ulang. Pasti anda menemui keajaiban. Mudah bukan?

 

SEBARKAN ILMU

Berdasarkan kaedah di atas, ternyata bahawa mencari halaman pertama pada setiap juzuk dalam al quran adalah begitu mudah. Setiap angka terakhir pula adalah angka genap iaitu 2. Walapun tidaklah dapat diketahui dengan mudah halaman pada setiap surah atau ayat dalam al Quran, namun sekurang-kurangnya telah ada kaedah yang cukup mudah dan cepat untuk mengetahui halaman pada permulaan setiap juzuk dalam al Quran itu. Mengetahui permulaan halaman atau muka surat pada setiap juzuk akan memudahkan kita mengetahui nama-nama surah al Quran pada setiap juzuk itu. Apabila kita mendengar seseorang membaca al Quran baik dalam solat atau radio atau TV, kita akan mudah untuk mengetahui kedudukan juzuk dalam al Quran tersebut berdasarkan kepada surah yang sedang dibacakan itu.

Alangkah indahnya al Quran kalam Allah. Ini kata-kata Allah yang wajib dipelajari dan dibaca oleh umat Islam. Semakin dibaca semakin tenang hati dan perasaan. Selepas mengkhatamkan bacaan 30 juzuk, semangat untuk membaca bermula dari halaman pertama, juzuk pertama akan sentiasa bertambah. Tidak akan ada perasaan bosan. Inilah kehebatan al Quran. Siapa membacanya pasti mendapat ketenangan. Pahala berlipat kali ganda yang dijanjikan Allah kepada pembaca al Quran tentunya tidak akan dilepaskan begitu saja oleh orang yang faham dan mencintai al Quran. Rasulullah s.a.w pernah berpesan bahawa al Quran akan menjadi syafaat iaitu penolong kepada para pembacanya di pada hari kiamat kelak.

Sebarkan ilmu ini kepada sesiapa saja di serata alam. Allah pastinya menyediakan pahala yang cukup besar kepada orang yang menyebarkan ilmu lebih-lebih ilmu al Quran. Kepada hamba Allah yang telah mencari dan menemui kaedah ini, kita doakan agar Allah memberi beliau sebesar-besar ganjaran di sisi Allah. Tugas kita adalah menyampaikan apa saja ilmu bermanfaat untuk manusia. Semoga ianya nanti akan menjadi ilmu bermanfaat yang sentiasa berterusan pahalanya untuk kita walaupun kita telah meninggalkan alam ini ribuan tahun.

MUZAKARAH HAKIM SYARIE DAN PEGAWAI SYARIAH SABAH

KOTA KINABALU – Muzkarah Hakim Syarie dan Pegawai-Pegawai Syariah Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah telah diadakan selama 2 hari di Kampus Institut Tadbiran Negara (INTAN) Kota Kinabalu pada 8 dan 9 Mac 2018. Muzakarah dirasmikan oleh Yang Amat Arif, Ketua Hakim Syarie Negeri Sabah (JKSNS) Yang Amat Arif Datuk Jasri @ Nasip bin Matjakir. Pada hari pertama, satu kertas kerja telah disampaikan oleh Yang Arif Prof Adjung Dato’ Dr. Hj Mohd Na’im bin Hj Mokthar, Hakim Mahkamah Rayuan, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) bertajuk “Penentuan Kesahtarafan Anak Menurut Hukum Syarak dan Undang-Undang: Satu Sorotan Penghakiman Mahkamah Rayuan Syariah JKSM“.  Mesyuarat Pegawai-Pegawai Sulh JKSNS yang dipengerusikan oleh Ketua Pendaftar JKSNS, Puan Hajah Suraya binti Ramlee pula diadakan pada sebelah malam melibatkan seramai 14 Pegawai Sulh Jabatan berkenaan.

Pada hari kedua, kertas kerja kedua bertajuk “Kertas Kerja Cadangan Penyelarasan Perintah Kesahtarafan Anak” telah disampaikan oleh Tuan Muhd Yusuf bin Nureddin, Hakim Syarie Mahkamah Syariah Sandakan. Muzakarah diteruskan dengan perbincangan mengenai pengurusan kes di Mahkamah di bawah tajuk “Pengurusan Kes Mal Bagi Cadangan Penyelesaian Kes Tertunggak” yang dipengerusikan oleh Yang Arif Tuan Ahmad Din bin OKK Othman, Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sabah. Beberapa resolusi telah dicapai dan dibentangkan di penghujung muzakarah berkenaan.

IMG-20180309-WA0027

sdr

IMG-20180309-WA0025

sdr

IMG-20180309-WA0015

sdrcofdigdig

IMG-20180309-WA0012

sdrburstsdrsdrsdrsdrsdr

SEMINAR PERUNDANGAN SYARIAH (ARB) SABAH

KOTA KINABALU – Satu Seminar Perundangan Syariah dengan tema “Peranan Amanah Raya Raya Berhad di Sabah” telah berjaya diadakan pada 2 Mac 2018 (jumaat) di Kota Kinabalu. Seminar berkenaan adalah anjuran bersama Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah dan Amanah Raya Berhad (ARB). Seminar ini adalah kesinambungan dari seminar yang pernah diadakan di Tawau pada tahun 2017.

Seminar yang disampaikan oleh Pengurus Kanan ARB Sabah, Tuan Usman bin Hamid itu dihadiri lebih kurang 150 orang yang terdari dari Ketua Hakim Syarie Negeri Sabah, Yang Amat Arif Datuk Jasri @ Nasip bin Matjakir, Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Sabah, Hakim-Hakim Syarie Sabah, Ketua Pendaftar dan pegawai-pegawai kanan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah.

Turut hadir adalah Pengurus Kanan Bahagian Pengurusan Pemasaran ARB Pusat, Tuan Mohd Yazid bin Shuaib, pegawai-pegawai kanan kerajaan Negeri dan Persekutuan, Pegurus Besar Pusat Zakat Sabah, para pengamal undang-undang sivil dan syariah dari Persatuan Peguam-Peguam Muslim Sabah (AMAL), Persatuan Peguam Wanita Muslim Sabah (SALWA), Pengurus-Pengurus Bank dan pelbagai lagi wakil dari beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan orang perseorangan.

Seminar selama setengah hari itu mengandungi dua (2) slot dengan tajuk Peranan Amanah Raya Berhad Negeri Sabah dalam slot pertama dan Perlantikan Amanah Raya Berhad Sebagai Pemegang Amanah bagi slot kedua. Teks ucapan perasmian penutupan telah dibacakan oleh Timbalan Pengerusi Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Tuan Junaidi Haji Jumahad yang mewakili Yang Berhormat Datuk Haji Arifin bin Mohd Arif, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah yang juga merangkap Pengerusi MUIS.

cofdigsdrdigdigdigdigdigdigcofsdrdig

 

cof

cof

LAWATAN KERJA KE JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH NEGERI SELANGOR

SHAH ALAM – Dalam rangka mengukuhkan silaturrahim dan ukhuwwah, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah telah mengadakan lawatan kerja ke Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor pada 14 Febuari 2018. Rombongan dari Jabatan Kehakiman Kehakiman Syariah Negeri Sabah yang diketuai oleh Ketua Hakim Syarie Negeri Sabah, Yang Amat Arif Datuk Jasri @ Nasip bin Matjakir turut disertai bersama oleh Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Ketua Pendaftar dan Penolong Pendaftar.

Rombongan telah disambut dan diraikan oleh Ketua Hakim Syarie Negeri Selangor, Yang Amat Arif Tuan Mohammad Adib bin Hussain bersama Hakim Mahkamah Tinggi, Ketua Pendaftar dan Pegawai-Pegawai Kanan Jabatan berkenaan. Lawatan berkenaan turut diadakan bagi mendapat dan menimba pengalaman Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor dalam pengurusan dan pengendalian kes berkaitan hakam dan perceraian menggunakan kaedah fast track.

Rombongan seterusnya diberikan taklimat khas oleh Ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor, Yang Arif Puan Noor Huda binti Roslan mengenai Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor meliputi aspek pentadbiran, cabaran, hala tuju, perjawatan, statistik kes, program-program inovasi dan beberapa kejayaan Jabatan berkenaan di peringkat Negeri dan Persekutuan. Lawatan tersebut turut melibatkan lawatan rombongan di sekitar bangunan Mahkamah seperti kaunter pendaftaran kes, bilik runding cara, dewan perbicaraan, dewan pelbagai guna dan beberapa ruang utama di Mahkamah berkenaan.

cofcofmdecofsdrcofsdrdigdigdigcof

 

WACANA KETUA HAKIM SYARIE MALAYSIA

PUTRAJAYA – Pada 13 febuari 2018, satu Wacana Ketua Pengarah / Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia telah diadakan di Dewan Serba Guna, Aras 2, Kementerian Pengangkutan Malaysia, No. 26, Jalan Tun Hussein, Presint 4, Wilayah Persekutuan Putrajaya. Wacana yang dihadiri oleh Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Ketua-Ketua Hakim Syarie, Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi Syariah dan Hakim-Hakim Syarie Negeri-Negeri merupakan acara tahunan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM). Dianggarkan seramai 250 peserta hadir dalam wacana berkenaan.

Dalam ucapannya, Ketua Pengarah / Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Yang Amat Arif Dato’ Hj Mukhyuddin bin Hj Ibrahim telah menggariskan sebanyak 8 hala tuju Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia bagi tahun 2018. Berikut adalah ringkasan hala tuju tersebut sebagaimana dipetik dari lama rasmi facebook Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM):

  1. Memartabatkan sistem kehakiman dan perundangan Syariah.
  2. Mentasqifkan (proses mengintelektualkan) Pegawai Syariah melalui penguasaan ilmu secara berterusan.
  3. Mengamalkan budaya kerja berintegriti dan berakauntabiliti dalam amalan kerja seharian.
  4. Meningkatkan علاقة (hubungan) dan kerjasama strategik dengan agensi Persekutuan dan Negeri.
  5. Menyemarakkan budaya inovasi dan kreativiti.
  6. Kebajikan dan kemajuan kerjaya.
  7. Mengambil istifadah dari aplikasi sistem E-Syariah.
  8. Memperkasakan profesionalisme wanita dalam institusi kehakiman dan perundangan Syariah.

Dalam majlis yang sama, satu ceramah khas telah disampaikan oleh SS Mufti Wilayah Persekutuan Dato’ Dr Zulkifli bin Mohamad Al- Bakri bertajuk “Adab al-Qadi: Di Era Kontemporari“.  Sijil-sijil penghargaan juga disampaikan kepada Jabatan Kehakiman Syariah Negeri-Negeri yang mendapat pencapaian cemerlang dalam perlaksanaan Arahan Amalan, pegawai-pegawai syariah yang telah berjaya memperolehi Ijazah Tinggi Doktor Falsafah (Ph.D) dan Sarjana. Turut mengisi majlis adalah pelancaran Air Mineral Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM), Program Umrah Ukhuwwah Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM) dan penyerahan SOP 4P (Permohonan Pengesahan dan Pendaftaran Perkahwinan) kepada Ketua-Ketua Hakim Syarie negeri-negeri.

IMG-20180216-WA0076

IMG-20180216-WA0075

IMG-20180216-WA0074

cof

bty

sdr

sdr