Monthly Archives: Julai 2010

PERKESO jual saham dalam syarikat arak: ALHAMDULILLAH

Keselamatan Pekerja harus diutamakan

 

PERKESO jual saham dalam syarikat arak: ALHAMDULILLAH

 

29 Julai 2010

Mula-mula terkejut juga bila terlihat tajuk berita di atas. Sebabnya, tak sangka pula PERKESO (PERTUBUHAN KESELAMATAN SOSIAL MALAYSIA), sebuah institusi kerajaan di bawah Kementerian Sumber Manusia yang unggul dan berprestej selama ini mempunyai kepentingan dalam syarikat arak. Tambahan pula, pelanggan PERKESO juga turut melibatkan orang-orang Islam. Ia sebuah pertubuhan yang ditubuhkan untuk menjaga kepentingan dan kebajikan dalam aspek keselamatan dan perlindungan para pekerja di Negara ini.

Arak telah jelas hukumnya dalam Islam. Hukumnya haram dan apa-apa hasil dari aktiviti arak adalah haram. Sesuatu yang haram, bila dilakukan juga hukumnya berdosa. Dalam al-Quran pada surah al-Maidah: 90 Allah secara jelas menyebutkan bahawa arak adalah perbuatan yang keji, kotor dan ia tergolong dalam kumpulan perbuatan musuh nombor satu iaitu Syaitan.

Menurut satu kajian yang dicatatkan dalam buku bertajuk Undang-Undang Jenayah Islam: Jenayah Hudud karangan Dr. Mat Saad Abd. Rahman, dalam halaman 111-112, terbitan Penerbit Hizbi, Shah Alam, 1993, Badan Kesihatan Dunia dalam laporannya Bil. 650 tahun 1980 ada menyebutkan penemuan mengenai bahaya arak.

Dalam Laporan Badan Kesihatan Dunia itu ada disebutkan bahawa kajian menyeluruh terhadap pelbagai jenayah PEMBUNUHAN dan KEGANASAN dalam 30 buah Negara mendapati bahawa 86% dari keseluruhan jenayah pembunuhan dan 50% dari jenayah rompakan adalah akibat dari kesan ARAK.

Bagi ERAKITA, walaupun kajian tersebut dibuat pada tahun 1980, lebih kurang 30 tahun lampau, namun ia tetap relevan dengan situasi hari ini. Ini kerana naluri dan keinginan manusia terhadap arak tetap sama dari dulu hingga kini. Berdasarkan kesan dari aktiviti arak yang amat dahsyat, tidak sepatutnya kita turut sama menyertai dalam aktiviti arak. Bagi orang yang beragama Islam, sudah pasti ia tidak dapat diterima sama sekali.

Sebarang hasil aktiviti arak samada dari penjualan atau pemilikan kepentingan termasuk gaji dari bekerja dengan kilang arak adalah tidak berkat. Bila tidak berkat, benda benda yang masuk dalam perut juga tidak berkat. Bila dah masuk perut, benda yang tidak berkat mempengaruhi tubuh badan dan fikiran manusia untuk melakukan perkara-perkara terlarang. Tidak hairanlah mengapa kerajaan membelanjakan jutaan ringgit saban tahun untuk memerangi segala bentuk jenayah dalam Negara. Dan, jangan lupa bahawa kajian Badan Kesihatan Dunia di atas membuktikan bahawa ARAK adalah punca terbesar kepada jenayah PEMBUNUHAN dan ROMPAKAN di kebanyakan tempat di dunia.

Walau apapun yang telah berlaku, ERAKITA mengucapkan kesyukuran dan tahniah kepada PERKESO kerana telah mengambil tindakan yang tepat dan bijak apabila menyingkirkan jauh-jauh sahamnya dalam SYARIKAT ARAK. Pendekatan ini adalah yang terbaik dan selaras dengan ajaran agama Islam. Lebih-lebih lagi pelanggan PERKESO turut meliputi orang-orang Islam. Semoga institusi lain yang berkemungkinan mempunyai kepentingan dalam syarikat arak turut mengikut jejak langkah PERKESO ini.

Untuk lebih jelas, ERAKITA dengan sukacitanya memetik semula kandungan berita mengenai perkara ini untuk tatapan dan renungan bersama. 

 

PERKESO jual saham dalam syarikat arak

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PERKESOjualsahamdalamsyarikatarak/Article/index_html 29 Julai 2010

KUALA LUMPUR: Dewan Negara dimaklumkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sudah menjual semua sahamnya dalam syarikat minuman keras, Carlsberg Brewery Malaysia Berhad (Carlsberg), baru-baru ini. Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam, berkata saham itu dijual berikutan keputusan PERKESO melupuskan saham sedemikian pada April lalu. Pada masa sekarang, PERKESO tidak mempunyai mana-mana saham di dalam syarikat itu walaupun pada satu ketika memang betul ia membeli saham syarikat ini, katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10) peringkat kementeriannya di Dewan Negara, semalam. 

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Senator Mumtaz Md Nawi yang meminta kementerian memberi penjelasan sama ada PERKESO masih lagi mempunyai pegangan saham dalam syarikat itu pada sesi perbahasan sebelum ini.

Subramaniam berkata, PERKESO tidak akan lagi membeli saham dalam syarikat yang menjalankan aktiviti perniagaan yang dianggap haram oleh agama seperti arak dan perjudian. BERNAMA

Semoga langkah murni ini dapat membantu mengurangkan kadar jenayah di Negara kita. Dan paling pentng, semoga segala bentuk urusan dan perjalanan pentadbiran dalam Negara benar-benar mengikut syariat Islam. Maklumat lanjut mengenai PERKESO dapat dilihat di alamat  www.perkeso.gov.my.  Wallahu a’lam.

 

MUNGKIR JANJI pertunangan: MANA JANJI MANISMU 1

 

Jalan Kimanis menggetarkan jiwa

 

MUNGKIR JANJI pertunangan: MANA JANJIMU 1

 

26 Julai 2010

Dua pasangan teruna dan dara yang telah menjalin hubungan cinta akhirnya mengikat tali pertunangan. Pertunangan memang disyariatkan oleh agama Islam. Ia mempunyai hukum hakam tersendiri. Umpamanya, adalah haram dan berdosa hukumnya andai seorang wanita yang masih tunangan orang lain tiba-tiba dikahwini oleh lelaki lain. Ia ditegah kerana pertunangan wanita berkenaan masih belum diputuskan lagi. 

Semasa majlis pertunangan, sudah menjadi kelaziman kedua-dua pihak akan membuat beberapa persetujuan penting seperti tempoh pertunangan, belanja perkahwinan, hantaran perkahwinan, mas kahwin dan lain-lain lagi. 

Namun, berlaku juga kejadian di mana salah satu pihak memutusan ikatan pertunangan mereka. Yang memeningkan, pihak yang memutuskan pertunangan itu langsung tidak mahu mengembalikan atau memulangkan pemberian atau barang-barang hantaran seperti pakaian dan lain-lain. Maklumlah, barang-barang tersebut sudahpun diserahkan lebih awal kepada pihak yang satu. Justeru, berlakulah kekecohan. Kadang-kadang pergaduhan besar berlaku. Mula-mula pergaduhan hanya melibatkan pasangan saja. Bila tak terkawal, pergaduhan merebak antara kedua keluarga pasangan. Ada kalanya, satu kampung jadi kecoh. Tidak kurang juga melibatkan kes yang dibawa terus ke balai polis untuk diselesaikan. Inilah angkara gagal menunaikan janji. Inilah yang dikatakan MUNGKIR JANJI. 

Dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004 (Sabah), seorang yang terkilan kerana mengalami kerugian akibat mungkir janji pertunangan boleh membuat tuntutan di Mahkamah Syariah. Pihak yang melanggar janji boleh disaman dan dituntut untuk mengembalikan hak yang sepatutnya dikembalikan kepada pihak yang terkilan. Pihak yang bertikai mempunyai hak di sisi undang-undang untuk mengambil khidmat guaman syarie. 

Untuk lebih jelas, ERAKITA menurunkan kandungan Seksyen berkenaan untuk rujukan. 

  

ENAKMEN 8 TAHUN 2004
ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM 2004 (SABAH)

BAHAGIAN II – PERKAHWINAN


Seksyen 15. Pertunangan:

Jika seseorang telah mengikat suatu pertunangan mengikut Hukum Syarak, sama ada secara lisan atau secara bertulis, dan sama ada secara bersendirian atau melalui seorang perantaraan, dan kemudiaannya enggan berkahwin dengan pihak yang satu lagi itu tanpa apa-apa sebab yang sah manakala pihak yang satu lagi bersetuju berkahwin dengannya, maka pihak yang mungkir adalah bertanggungan memulangkan pemberian-pemberian pertunangan, jika ada, atau nilainya dan membayar apa-apa wang yang telah dibelanjakan dengan suci hati oleh atau untuk pihak yang satu lagi untuk membuat persediaan bagi perkahwinan itu, dan yang demikian boleh dituntut melalui tindakan dalam Mahkamah. 

Bagi pihak yang beragama Islam, kes berkenaan hendaklah dibawa ke Mahkamah Syariah di tempat atau negeri di mana pihak berkenaan bermastautin. 

Tuntutan ganti rugi atas kemungkiran janji dalam pertunangan memang sensatif. Ia melibatkan soal maruah pihak-pihak. Tidak kurang kejadian di mana pihak-pihak yang bertelingkah membuat kecoh di luar mahkamah sebelum kes bermula. Dalam dewan mahkamah pula, lain lagi kejadiannya. Bila mata bertentang mata, kedua pihak yang sememangnya sudahpun ”PANAS” ada ketikanya tidak dapat menahan KEPANASAN. Belum jauh lawannya memberi keterangan, si kawan di sebelah sudah meninggikan suara dengan mengeluarkan kata-kata yang PANAS dan MEMANASKAN. 

Akhirnya, prosiding perbicaraan boleh terganggu dan terpaksa ditangguhkan buat seketika. Kejadian berlaku kerana tidak ada siapa dapat menduga apa akan terjadi semasa perbicaraan. Akhirnya, berlakulah DRAMA kejar mengejar dari dewan ke luar dewan. Bila saja keluar dari dewan, lain lagi yang terjadi. Berlaku juga pergelutan antara kedua pihak melibatkan tumbuk menumbuk, tampar menampar. Kata-kata kesat dan memalukan sudah tidak terkawal. 

Ada juga kejadian di mana pihak polis terpaksa datang untuk mengawal keadaan. Perbicaraan yang tadinya tenang akhirnya hanya mampu berlangsung beberapa minit saja. Jika pihak diwakili peguam, peguam biasanya memohon Mahkamah untuk penangguhan ke satu tarikh yang baru. Akhirnya tarikh baru untuk perbicaraan ditetapkan dengan harapan bahawa kedua pihak telah reda dari KEPANASAN. 

Inilah sekelumit dari banyak dan bermacam-macam kerenah yang berlaku dalam masyarakat kita akibat MUNGKIR JANJI PERTUNANGAN. Semoga sedikit cerita mengenai mungkir pertunangan ini dapat membuka minda kita semua.

 RENUNG-RENUNGKAN

 

Aplikasi system kewangan Islam: 11

 

Keindahan lembah Tambunan dari atas. Subhaanallah..

 

Aplikasi system kewangan Islam

 

13 Julai 2010

Perlembagaan Malaysia telah meletakkan urusan mengenai kewangan dan perbankan di dalam Senarai 1 yang juga dipanggil Senarai Persekutuan. Ini bermakna, perkara berkaitan kewangan dan perbankan terletak di bawah kuasa Parlimen untuk menggubal undang-undang berkaitan dengannya. Dewasa ini, sistem kewangan Islam telah menyerap masuk ke negara ini sehingga hampir kesemua bank-bank konvensional turut serta menyediakan produk kewangan Islam. Bank-bank berteraskan urusniaga secara Islam pula tumbuh begitu pesat bagai cendawan.

Penubuhan Bank Islam Malaysia Berhad pada tahun 1983 telah membuka lembaran baru bagi system kewangan Islam untuk terus bertapak kukuh di negara ini. Tahun 1983 telah menyaksikan Parlimen meluluskan satu undang-undang khusus bagi mengawal dan mentadbir kewangan Islam iaitu Akta Bank Islam 1983. Kini, setelah lebih dua dekad system kewangan Islam diperkenalkan di Malaysia, dikatakan hampir 70 peratus pelanggan yang melanggan produk-produk kewangan Islam yang ditawarkan adalah dari kalangan bukan Islam.

Pengurusan yang cekap di samping sokongan padu kerajaan serta nilai-nilai keadilan dan ketelusan dalam system ini telah memainkan peranan penting untuk menarik minat pelbagai golongan menggunakan system kewangan Islam ini. Fakta ini secara tidak langsung telah memberi satu pengiktirafan kepada kedudukan agama Islam di tempat yang selesa dari kaca mata seluruh rakyat Malaysia.

Sesungguhnya kemasukan dan perkembangan pesat system kewangan Islam di negara ini telah memberikan pilihan dan peluang yang begitu luas kepada umat Islam untuk beralih dari menggunakan system kewangan konvensional kepada system kewangan Islam. Kini tidak ada lagi alasan khususnya bagi orang Islam di Negara ini untuk terus menggunakan produk-produk perbankan konvensional yang berteraskan system riba. Yang pasti, produk kewangan Islam yang bersih dari unsur-unsur riba telah tersedia di hadapan kita.

Sesuai dengan gagasan 1Malaysia yang diwar-warkan oleh kerajaan, elok benarlah pada pendapat ERAKITA agar seluruh rakyat Malaysia menggunakan produk kewangan berteraskan Islam. Mungkinkah sebuah bank yang dinamakan Bank 1Malaysia dapat diwujudkan di Negara ini. Bank itu nanti sepenuhnya menggunakan produk kewangan Islam memandangkan produk Islam kini diterima baik oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama. Ciri-ciri keadilan dan sejagat dalam system kewangan Islam bersesuaian dengan konsep 1Malaysia yang bersifat perpaduan dan sejagat.

Kehadiran Bank 1Malaysia yang berteraskan kewangan Islam sepenuhnya nanti sudah tentu melonjakkan Islam sebagai agama dominan di Malaysia.

 

BERSAMA MENYOKONG PERBANKAN ISLAM