Monthly Archives: Ogos 2010

Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran di SK Kinabaan Tambunan

 

Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran di SK Kinabaan Tambunan

 

27 Ogos 2010 

Sekalung tahniah dan penghargaan kepada SK Kinabaan Tambunan kerana berjaya menganjurkan Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Sekolah 2010. Itulah antara ungkapan dari Yang Berbahagia Ustaz Yassin Mohd Yunus, Penyelia Pendidikan Islam dari Pejabat Pendidikan Daerah Tambunan ketika merasmikan penutupan majlis berkenaan. Beliau mewakili Pegawai Pendidikan Daerah, Tuan Hj Kaipin Rosmin yang tidak dapat hadir atas sebab yang tidak dapat dielakkan.

Ust. Yassin Mohd Yunus

Majlis berkenaan yang bermula dari jam 7.30am berakhir pada jam 1.00pm. Antara pengisian yang diadakan adalah pertandingan Cepat Hafaz ayat-ayat al-Quran, Bijak Jawi dan Amali Solat. Hampir 10 buah sekolah rendah dari sekitar Daerah Tambunan menghantar wakil masing-masing dalam pertandingan tersebut. Tahap 1 melibatkan peserta dari Tahun 1-3. Manakala Tahap 2 pula melibatkan peserta dari Tahun 4-6. 

Walaupun pertandingan tersebut hanya di peringkat sekolah sahaja, namun jemputan ke atas sekolah-sekolah lain untuk turut serta mendapat sambutan di luar dugaan. Penyertaan mereka begitu memberangsangkan. Sekolah ini, melalui Penitia Pendidikan Islam yang diketuai Ustaz Mazri Kalik telah menganjurkan beberapa majlis dan pertandingan serupa sebelum ini sejak beberapa tahun lalu. 

Turut diselitkan dalam majlis berkenaan adalah ceramah agama bertajuk Al-Quran dan Sains. Tajuk berkenaan dipilih untuk mengembalikan kefahaman dan kesedaran  umat Islam betapa banyaknya ayat-ayat dalam Al-Quran yang memperkatakan tentang sains. Penemuan demi penemuan oleh para sarjana dan pakar sains kebanyakannya dari Barat jelas memperakui apa yang telah dinyatakan di dalam al-Quran lebih 1400 tahun lampau. 

Kejayaan penganjuran majlis mendapat kerjasama sepenuhnya dari Guru Besar, kakitangan dan guru-guru sekolah berkenaan termasuk guru-guru bukan Islam.

 Hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Tuan Jaslih Rahiman dari Pejabat Pendidikan Daerah Tambunan.

SYABAS DAN TAHNIAH!

KEM BESTARI AKADEMIK DAN SAHSIAH (kemBAS) di SUI Tambunan

 

KEM BESTARI AKADEMIK DAN SAHSIAH (kemBAS) di SUI Tambunan BERJAYA

 

24 Ogos 2010 

22 Ogos 2010 menjadi satu lagi tarikh bersejarah bagi Sekolah Ugama Islam (SUI) Tambunan apabila berjaya mengadakan Kem Bestari Akademik dan Sahsiah (kemBAS). Program motivasi tersebut adalah anjuran bersama Ahli Jawatankuasa Masjid Institut Pendidikan Guru Kampus (IPG) Keningau dengan pihak SUI Tambunan. 

Program yang mula diadakan sejak tahun 2009 itu terdiri dari 3 siri dalam setahun. Ia diadakan pada hujung minggu. Program kali ini adalah program terakhir setelah tamatnya 3 siri. Menariknya, ramai ibubapa yang hadir pada majlis penutupan tersebut. Majlis penutupan disempurnakan oleh mantan Pensyarah IPG Keningau, Ustaz Hafiz bin Othman. Beliau merupakan perintis kepada program berkenaan semasa bertugas di IPG Keningau. 

KemBAS merupakan program tahunan AJK Masjid IPG Keningau di SUI Tambunan. Sekaligus menjadikan SUI Tambunan sebagai anak angkat kepada IPG Keningau. Pengarah program pula adalah Saudara Asdar bin Siri, yang juga merupakan Pelatih IPG Keningau. Lebih kurang 20 fasilitator terlibat yang kebanyakannya terdiri dari para pelatih IPG Keningau. 

Para peserta program adalah para pelajar Tahun 6 yang bersekolah di SUI Tambunan yang bakal menduduki Peperiksaan Akhir iaitu UPSR dan Sijil Rendah Ugama (SRU). 

Antara objektif program adalah untuk memberi pendedahan awal kepada para pelatih IPG agar lebih meyedari keperluan anak-anak murid dalam sesi pengajaran sebenar pada masa hadapan. Selain itu, para peserta juga ditekankan dengan kepentingan ilmu dan bagaimana menghargai ilmu. Para peserta turut diberi suntikan semangat dan keazaman tinggi untuk mendapat keputusan terbaik dalam kedua-dua peperiksaan akhir nanti. 

Sepanjang program, para peserta diberikan motivasi untuk menjadi insan terbaik berbekalkan iman, taqwa, ilmu dan akhlak yang mulia. Menariknya, pengisian kerohanian seperti bagaimana mengenal diri, ibubapa dan keluarga turut diterapkan dalam program ini. Ibubapa yang hadir turut dilibatkan dalam program kerohanian. Mereka dikumpulkan bersama anak tersayang mereka sambil memegang erat tangan dan saling berpelukan sebagai tanda ikatan kasih sayang yang tulus dan ikhlas. Slot ini menyaksikan bagaimana ibubapa dan anak-anak turut sama-sama menitiskan air mata atas dasar keinsafan, kesedaran dan kasih sayang antara anak dan ibubapa. 

Tahniah sekali lagi kepada para Pelatih dari IPG Keningau yang begitu bersungguh-sungguh menjayakan program tersebut. Sekalung tahniah juga diucapkan kepada Guru Besar Hajah Siti Zubaidah Abdul Rahim atas keperihatinan terhadap kebajikan anak-anak muridnya. Kejayaan program turut dibantu oleh tenaga-tenaga hebat dari Ustaz Hatta, Ustaz Idris dan lain-lain lagi guru-guru yang bertugas di beberapa sekolah sekitar Daerah Tambunan.   

Semoga program ini dapat diteruskan pada masa hadapan.

 

 

PERKAHWINAN LAIN AGAMA

   

PERKAHWINAN LAIN AGAMA

  

18 Oos 2010

Islam meletakkan perkahwinan sebagai syariat yang suci dan murni. Ia bukan suatu perkara yang boleh dipermain-mainkan atau dicuba-cuba. Ini kerana, perkahwinan akan membentuk sebuah institusi penting iaitu keluarga. Keluarga membentuk sebuah masyarakat. Masyarakat pula membentuk sebuah negeri atau Negara. Perkataan “keluarga” selalu disebut orang bagi merujuk kedudukan kelompok atau kumpulan dalam sebuah masyarakat.

Contohnya, orang akan mengatakan “itu keluarga berada”. “Itu keluarga diraja”. “Itu keluarga bangsawan”. “Itu keluarga seni”. “Itu keluarga beragama”. “Itu keluarga kaya”. “Itu keluarga miskin”. “Itu keluarga malang”. “Itu keluarga baik” dan bermacam lagi sebutan orang. Melihat betapa pentingnya sebuah keluarga, Islam begitu menekankan peraturan ketat dan teratur kepada umatnya dalam hal kekeluargaan. 

Dalam ajaran Islam, tidak ada istilah “Kahwin Campur” atau kahwin antara berlainan agama. Contohnya seorang Islam berkahwin dengan seorang Kristian. Atau seorang Islam berkahwin dengan seorang Buddha. Perkahwinan ini adalah terlarang dan tidak diiktiraf. Jika diteruskan juga, perkahwinan itu dianggap sebagai tak sah. Bila tidak sah, maka perkahwinan itu mestilah difaraqkan atau dibubarkan.

Dalam konteks undang-undang keluarga Islam, larangan ke atas orang Islam untuk berkahwin dengan orang yang berlainan agama termaktub dalam seksyen 10 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (2004) Sabah. 

Larangan ini walau bagaimanapun dikecualikan bagi perkahwinan antara seorang Islam dengan seorang Kitabiyah. Untuk lebih jelas, Erakita perturunkan kandungan penuh seksyen 10 seperti berikut. 

ENAKMEN 8 TAHUN 2004
ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM 2004

BAHAGIAN II – PERKAHWINAN


Seksyen 10. Orang dari agama lain

(1) Tiada seseorang lelaki atau perempuan boleh berkahwin dengan seseorang bukan Islam kecuali seorang Kitabiyah.

(2) Tiada seseorang perempuan boleh berkahwin dengan seseorang bukan Islam. 

Berkenaan pengecualiaan kepada seorang Kitabiyah, persoalan boleh timbul. Siapa dia seorang Kitabiyah yang dikatakan boleh dan sah dikahwini oleh orang Islam? Erakita sukacita ingin merujuk saudara-saudara kepada tafsiran Kitabiyah dalam Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984. Di bawah ini, diperturunkan kandungan penuh tafsirannya.

AKTA 303
AKTA UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (WILAYAH PERSEKUTUAN) 1984

BAHAGIAN I – PERMULAAN


Seksyen 2. Tafsiran.

“Kitabiyah” ertinya –

(a) seorang perempuan dari keturunan Bani Ya’qub; atau

(b) seorang perempuan Nasrani dari keturunan orang-orang Nasrani sebelum Nabi Muhammad menjadi Rasul; atau

(c) seorang perempuan Yahudi dari keturunan orang-orang Yahudi sebelum Nabi ‘Isa menjadi Rasul;

Isu samada masih wujud golongan Kitabiyah pada masa ini, soal itu tidak akan dibincangkan oleh Erakita dalam artikel ini. Mengenai perkahwinan campur atau berlainan agama, tidak ada jalan lain melainkan perkahwinan itu mestilah dibubarkan.

Sebagai umat Islam yang cintakan kesucian agama, kita bertanggungjawap untuk memberi ingatan dan teguran kepada pihak yang telah terlanjur berkawin antara agama supaya mengambil tindakan untuk membubarkan perkahwinan mereka. Apa yang patut dilakukan ialah merujukkan hal tersebut kepada pihak berkuasa agama di mana-mana yang terdekat dengan pasangan. Nasihat yang berguna dapat diberikan kepada pasangan tersebut. 

Perkahwinan yang tidak sah itu hendaklah dibubarkan di Mahkamah Syariah. Setelah dibubarkan, pasangan tersebut boleh memilih untuk berkahwin semula menurut syariat dan undang-undang yang ada atau berpisah terus. Jika ingin berkahwin semula, pihak yang bukan Islam hendaklah memeluk agama Islam terlebih dahulu. Setelah sah sebagai seorang Islam, baharulah pasangan berkenaan sah untuk bernikah antara mereka. 

Justeru, tidak ada jalan singkat untuk berkahwin. Banyak implikasi atau kesan akibat perkahwinan campur itu. Selain tidak sah perkahwinan, pasangan juga menghadapi masalah untuk mendaftarkan perkahwinan mereka. Pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pula mempunyai peraturan yang ketat apabila mendaftarkan kelahiran anak-anak. Perkara-perkara seperti sijil nikah atau kahwin, agama ibu bapa dan lain-lain lagi diperlukan untuk memproses pengeluaran sijil lahir anak-anak.

Persoalan timbul. Bagaimana jika pasangan itu tidak ada sijil kahwin? Apa agaknya status anak dalam system pendaftaran JPN nanti? Bukan menjadi satu kejutan andaikata system pendaftaran di JPN nanti meletakkan status anak tersebut sebagai tiada bapa! 

Banyak sebenarnya kesan negatif akibat kahwin berlainan agama. Selain menggugat aqidah atau kepercayaan seseorang terhadap agamanya, ia merosakkan institusi kekeluargaan. Ia merosakkan keharmonian antara agama. Ia menjadikan masyarakat celaru. Ia meletakkan anak-anak mereka menjadi mangsa keadaan. Selain terdedah kepada ketiadaan bapa dalam system JPN, anak-anak juga terpaksa berhadapan mengenai status agama mereka. Apakah anak-anak itu dianggap Islam atau sebaliknya. Demikian juga nasab atau keturunan anak tersebut yang turut menjadi persoalan. 

Rumusan yang Erakita dapat nyatakan ialah hentikan perkahwinan berlainan agama. Janganlah korbankan kesucian agama semata-mata kerana memenuhi ikatan cinta dengan pasangan. Fikirkan kesannya pada masa hadapan. Kesan buruknya amat besar. Jika hendak berkahwin juga, biarlah menurut hukum agama dan undang-undang.

 Perkahwinan berlainan agama tak boleh! Kecuali Kitabiyah

 

 

PERKAHWINAN TERLARANG

 

 

 

PERKAHWINAN TERLARANG

 

15 Ogos 2010 

Perkahwinan antara lelaki dan perempuan bukannya adat. Ia adalah satu amalan manusia sejak zaman berzaman. Ia pastinya akan berterusan sampai hari kiamat. Perkahwinan diamal dan diiktiraf oleh semua agama. Dalam Islam, ia disebut pernikahan. Majlis perkahwinan juga disebut sebagai majlis pernikahan atau majlis akad nikah. 

Kegembiraan pasangan yang baru mengecapi alam perkahwinan boleh bertukar menjadi satu “malapetaka” besar. Kesedihan boleh berlaku sekelip mata. Kekecewaan melanda jiwa pasangan. Seluruh keluarga kedua pihak turut terkena bahang dan tampiasnya. Mengapa tidak? Ia boleh berlaku apabila pada akhirnya didapati bahawa perkahwinan mempelai baru itu rupanya tidak sah di sisi hukum syarak. 

Salah satu sebab perkahwinan itu tidak sah kerana adanya pertalian nasab atau perkawinan antara kedua pasangan itu. Pertalian itu pula menyebabkan perkahwinan antara keduanya dilarang atau diharamkan. Larangan berkahwin itu pula ada yang bersifat sementara dan ada yang bersifat selama-lamanya. 

Untuk hal ini, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam bagi setiap negeri di Malaysia menyediakan peruntukan undang-undang khusus. Tujuannya, agar ia menjadi panduan berguna kepada semua penganut Islam agar perkahwinan yang dijalankan itu menepati kehendak hukum syarak. 

Dalam konteks Negeri Sabah, peruntukan mengenai larangan perkahwinan atau perkahwinan yang diharamkan disebabkan pertalian nasab atau perkahwinan dinyatakan dalam seksyen 9, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Sabah), 2004. Berikut adalah kandungan penuh seksyen berkenaan. 

 

ENAKMEN 8 TAHUN 2004
ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM 2004

BAHAGIAN II – PERKAHWINAN


Seksyen 9. Pertalian yang melarang perkahwinan

(1) Tiada seseorang lelaki atau perempuan, mengikut mana-mana yang berkenaan, boleh, oleh sebab nasab, berkahwin dengan-

(a) ibunya atau bapanya;

(b) neneknya atau datuknya hingga ke atas, sama ada dari sebelah bapa atau dari sebelah ibu;

(c) anak perempuannya atau anak lelakinya dan cucu perempuannya atau cucu lelakinya hingga ke bawah;

(d) saudara perempuan atau saudara lelaki seibu sebapa, saudara perempuan atau saudara lelaki sebapa, dan saudara perempuan atau saudara lelaki seibu;

(e) anak perempuan atau anak lelaki kepada saudara lelaki atau saudara perempuan hingga ke bawah;

(f) ibu saudara atau bapa saudara sebelah bapanya hingga ke atas; dan

(g) ibu saudara atau bapa saudara sebelah ibunya hingga ke atas.

(2) Tiada seseorang lelaki atau perempuan, mengikut mana-mana yang berkenaan, boleh, oleh sebab pertalian kahwin, berkahwin dengan-

(a) ibu mertuanya atau bapa mertuanya hingga ke atas;

(b) ibu tirinya atau bapa tirinya, iaitu isteri bapanya atau suami ibunya;

(c) nenek tirinya atau datuk tirinya, iaitu isteri kepada datuknya atau suami kepada neneknya, sama ada dari sebelah bapa atau sebelah ibu;

(d) menantunya, lelaki atau perempuannya; dan

(e) anak perempuan tirinya atau anak lelaki tirinya hingga ke bawah daripada isteri atau suami yang perkahwinan telah disatukan.

 (3) Tiada seseorang lelaki atau perempuan, mengikut mana-mana yang berkenaan, boleh, oleh sebab sesusuan, berkahwin dengan seseorang perempuan atau lelaki yang ada hubungan dengannya melalui penyusuan di mana, jika hubungan itu adalah melalui kelahiran dan bukan melalui penyusuan, perempuan atau lelaki itu tetap dilarang berkahwin dengannya oleh sebab nasab atau pertalian kahwin.

(4) Tiada seseorang lelaki boleh mempunyai lebih dari satu isteri pada satu masa jika isteri-isteri itu adalah bertalian antara satu sama lain melalui nasab, pertalian kahwin, atau sesusuan yang mana perkahwinan antara mereka tidak sah mengikut Hukum Syarak.

 Jika didapati perkahwinan itu melibatkan mana-mana salah satu dari senarai pertalian terlarang untuk perkahwinan seperti dinyatakan dalam seksyen 9 itu, kedua pasangan seharunya merujukkan perkara itu kepada pihak berkuasa agama. Nasihat berguna boleh diminta untuk mendapatkan kepastian mengenai kedudukan perkahwinan mereka. Seterusnya pasangan berkenaan boleh mendapatkan nasihat mengenai tindakan yang perlu dilakukan untuk menyelesaikan masalah berkenaan. 

Dalam hal tersebut, perkahwinan itu hendaklah difaraq atau dibubarkan di Mahkamah Syariah di mana pasangan berkenaan bermastautin. Jika pasangan telah mempunyai anak hasil dari perkahwinan tersebut, pasangan bolehlah mendapatkan status nasab bagi anak itu melalui permohonan kepada Mahkamah Syariah. Hal ini penting kerana perkara nasab mempunyai kesan tersendiri terhadap perkara-perkara seperti pewarisan harta pusaka, perwalian, pernikahan dan hubungan mahram dan hal-hal lain yang berkaitan. 

Satu perkara penting yang wajar diberi perhatian. Pasangan tersebut boleh terdedah kepada pendakwaan atas kesalahan melaksanakan akad nikah yang bertentangan dengan hokum syarak. Seksyen 40 (2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Sabah) 2004 boleh digunakan untuk tujuan pendakwaan bagi kesalahan ini. Jika disabitkan bersalah, Mahkamah boleh menjatuhkan hukuman kepada pasangan berkenaan dengan denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya sekali. 

ERAKITA sukacita untuk menurunkan kandungan penuh seksyen 40 di bawah ini untuk tatapan semua. 

 

ENAKMEN 8 TAHUN 2004
ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM 2004

BAHAGIAN IV – PENALTI DAN PELBAGAI PERUNTUKAN BERHUBUNGAN DENGAN AKAD NIKAH DAN PENDAFTARAN PERKAHWINAN


Seksyen 40. Kesalahan-kesalahan berhubungan dengan akad nikah perkahwinan

(1) Seseorang yang dengan diketahuinya mengakadnikahkan atau berbuat sesuatu yang berupa sebagai mengakadnikahkan atau menjalankan upacara sesuatu perkahwinan-

(a) tanpa ada kebenaran berkahwin sebagaimana dikehendaki oleh seksyen 19; atau

(b) di hadapan selain di hadapan sekurang-kurangnya dua orang saksi yang boleh dipercayai di samping orang yang mengakadnikahkan perkahwinan itu, adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu.

 (2) Seseorang yang berkahwin atau berbuat sesuatu yang berupa sebagai akadnikah atau yang menjalani sesuatu cara akadnikah dengan sesiapa jua berlawanan dengan mana-mana peruntukan Bahagian II adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu.

 

Bagi ERAKITA, undang-undang yang dibuat oleh pemerintah seumpama dalam kes di atas bukanlah untuk menyusahkan umat Islam. Undang-undang itu perlu untuk mengawal kita agar tindakan yang dilakukan menepati kehendak hokum syarak dan undang-undang. Hukuman yang disediakan seharusnya menjadi ingatan semua agar setiap pasangan yang hendak berkahwin mestilah meneliti dan menyemak kedudukan diri masing-masing, terutama mengenai pertalian pasangan.

Ahli keluarga bagi kedua pihak juga semestinya memastikan agar tidak wujudnya pertalian pasangan yang melarang perkawinan itu. Peranan masyarakat sekeliling yang mengenali pasangan, bakal saksi, wali dan juga jurunikah dalam hal ini amat diperlukan. Masing-masning mestilah mempunyai rasa tanggungjawab untuk menzahirkan apa yang terselindung.

 Semoga ada manfaatnya tulisan ini 

 

KAHWIN BAWAH UMUR?

 

 

KAHWIN BAWAH UMUR?

 

12 Ogos 2010

 Perkahwinan memang suatu perkara yang disyariatkan dalam Islam. Ia merupakan amalan para Nabi dan Rasul. Ia adalah Sunnah Nabi s.a.w. Perkahwinan perlu untuk kelangsungan keturunan. Keturunan melangsungkan kewujudan satu masyarakat. Masyarakat pula membentuk sebuah Negara. Tidak heran mengapa ada ungkapan mengatakan bahawa Negara yang kuat dan hebat adalah kerana masyarakat atau rakyatnya  kuat dan hebat. 

Mengenai perkahwinan, para ulama bahkan meletakkan hukum wajib berkahwin kepada mana-mana lelaki atau perempuan yang telah mencapai satu tahap kritikal untuk kahwin. Hukumnya wajib apabila mereka tidak mampu lagi menahan diri dari terjerumus kepada perzinaan sedangkan mereka berkemampuan dari zahir dan batin untuk berkahwin. 

Dalam konteks Negara kita di Malaysia, setiap negeri ada undang-undang tersendiri mengenai perkahwinan. Undang-undang ini dinamakan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam. Undang-undang ini digunakan untuk mengawal dan mentadbir hal ehwal rumahtangga yang meliputi perkahwinan, perceraian dan rujuk. Termasuk perkara yang ditadbir dan dikawal adalah had umur pasangan yang hendak berkahwin.

Di bawah Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Sabah, 2004, had umur minimum pasangan lelaki yang dibenarkan berkahwin adalah 18 tahun. Bagi perempuan pula, had minimum umur yang dibenarkan ialah 16 tahun. Perkara ini termaktub dalam Seksyen 8 Enakmen tersebut. 

Untuk jelasnya, ERAKITA memperturunkan kandungan penuh seksyen 8 untuk dihayati bersama. 

ENAKMEN 8 TAHUN 2004
ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM 2004

BAHAGIAN II – PERKAHWINAN


Seksyen 8. Umur minimum untuk perkahwinan

Tiada sesuatu perkahwinan boleh diakadnikahkan di bawah Enakmen ini jika lelaki itu berumur kurang daripada lapan belas tahun atau perempuan itu berumur kurang daripada enam belas tahun kecuali jika Hakim Syar’ie telah memberi kebenarannya secara bertulis dalam hal keadaan tertentu.

Berdasarkan kepada seksyen 8 di atas, mana-mana pasangan lelaki yang berumur 18 tahun ke bawah dan perempuan yang berumur 16 tahun ke bawah, mereka adalah ditegah di sisi undang-undang untuk diakadnikah. Walau bagaimanapun, terdapat pengecualiaan diberikan kepada pasangan ini jika hendak meneruskan perkahwinan tersebut. Mereka boleh meneruskan perkahwinan mereka walaupun masih di bawah umur asalkan mereka mendapat KEBENARAN SECARA BERTULIS DARI HAKIM SYARIE. Hakim Syarie di sini bermaksud Hakim Mahkamah Syariah. 

Apa yang perlu dilakukan ialah, pasangan tersebut hendaklah terlebih dahulu melalui proses di Mahkamah Syariah. Tidak cukup dengan hanya datang ke Pejabat Pendaftar Perkahwinan Nikah dan Rujuk di Jabatan Agama Islam. Ibu bapa atau Penjaga kepada pasangan bawah umur boleh menjadi pemohon dalam kes tersebut. Permohonan ini dinamakan Permohonan Kahwin Bawah Umur (KBU).

Alasan-alasan yang kukuh mengapa pasangan bawah umur hendak berkahwin hendaklah dikemukan di hadapan Hakim Syarie. Selain ibu bapa atau Penjaga, pasangan bawah umur juga dikehendaki hadir di hadapan Hakim. Jika perlu, kesemua pihak, termasuk pasangan bawah umur itu juga akan ditanya atau disoal mengenai perkahwinan yang bakal ditempuh. 

Alasan yang kukuh untuk berkahwin lazimnya akan mendapat kebenaran dari Hakim Syarie. Mahkamah boleh menolak permohonan atau menangguhkan kebenaran perkahwinan tersebut sehingga ke satu masa yang sesuai menurut pertimbangan Mahkamah.

Antara alasan yang lazimnya digunakan oleh pemohon dalam kes KBU ialah kerana pasangan suka sama suka, sukar untuk dielakkan lagi perkahwinan kerana pasangan terlalu rapat, pasangan telahpun bersekedudukan, pasangan lari dari rumah, pasangan perempuan telahpun mengandung, atas persetujuan kedua ibu bapa atau keluarga kedua pihak dan lain-lain lagi alasan. Apapun alasan atau sebab yang dikemukakan, terserahlah kepada kebijaksanaan dan budibicara Makhamah Syariah untuk meluluskan atau sebaliknya permohonan tersebut. 

Undang-undang ini pada ERAKITA perlu dilihat dan dinilai dalam perspektif positif. Tujuan utama adalah untuk membendung kemudaratan. Mudarat dalam perkahwinan lebih cenderung untuk berlaku kerana pasangan masih terlalu muda untuk melayari alam rumahtangga. Rumahtangga pula penuh dengan pelbagai cubaan dan dugaan, pahit dan manis, ranjau dan duri. Tambahan lagi, rumahtangga memerlukan pasangan menghayati hak dan tanggungjawap mereka. Inilah yang lebih utama.

Bayangkanlah sekiranya yang hendak berkahwin itu baharu berumur 13 tahun atau 14 tahun! Bagaimana agaknya mereka mengendalikan rumahtangga mereka? Tidak menghairankan apabila tidak kurang bilangannya pasangan suami isteri yang masih muda akhirnya kembali semula ke Mahkamah Syariah untuk bercerai. Puncanya,  berkait kepada soal kegagalan menunaikan hak dan tanggungjawap dalam rumahtangga. Soalnya, mereka gagal memahami alam rumahtangga itu sendiri kerana belum matang. 

Semoga ada manfaatnya tulisan ini untuk anda semua. Sesungguhnya Islam tidak menyusahkan suatu urusan umatnya. Bahkan ia menyeru untuk mempermudahkan urusan itu. Namun, Islam juga melihat kepada kemudaratan yang bakal berlaku. Dan, apa yang pasti, Allah telah mengingatkan kita bahawa kita dilarang sama sekali untuk mencampakkan diri kira ke dalam kebinasaan. Akhirnya, jika syariat Islam itu dihayati dan diamalkan, akan terserlahlah pada kita bahawa 5 perkara utama dalam kehidupan ini akan terpelihara. 5 perkara yang terpelihara itu adalah agama, nyawa, akal, harta dan keturunan.

syariah asas keadilan

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Takziah buat Saudara Janis Abdullah

 

 

Takziah buat Saudara Janis Abdullah

 

11 Ogos 2010 

ERAKITA dengan ini mengucapkan TAKZIAH atas pemergian isteri tersayang kepada Saudara Janis Abdullah pada 9 Ogos 2010 (malam). Semoga rohnya dicucuri rahmat dan maghfirah dari Allah s.w.t. Jenazah telah dikebumikan di Tanah Perkuburan orang-orang Islam, Kg Baru, Pekan Tambunan pada petang, 10 Ogos 2010.

Terdahulu, jenazah telah sembahyangkan selepas solat zohor di Masjid Negeri Sabah. Dianggarkan lebih 500 jemaah turut serta dalam solat tersebut. Antara orang kenamaan yang hadir ialah YB Datuk Masidi Manjun. Semoga Allah mengurniakan kesabaran dan ketabahan kepada Saudara Janis atas kehendak Allah ini. 

Untuk makluman, Saudara Janis Abdullah adalah salah seorang guru al-Quran yang aktif mengajar pembacaan al-Quran hampir sedekad yang lalu di sekitar Kota Kinabalu. Ratusan anak muridnya telahpun berjaya menamatkan kelas pengajian al-Quran. Beliau juga seorang Ahli Jawatankuasa Masjid Negeri Sabah yang aktif dalam pengimarahan Masjid Negeri. Beliau juga merupakan orang penting yang memberikan taklimat mengenai Masjid dan hal ehwal agama Islam kepada para pelancong yang datang ke Masjid Negeri dari pelbagai Negara.

Apa yang membanggakan, beberapa pelawat dari Negara asing yang mendapat taklimat mengenai ajaran Islam dari Saudara Janis Abdullah akhirnya memeluk Islam. Penguasaan mantap beliau dalam bahasa Inggeris, perdebatan dan ilmu perbandingan agama merupakan kekuatan beliau yang tidak dapat dinafikan lagi banyak membantu mempermudahkan tugasnya. Segalanya atas hidayah Allah jua. Beliau juga mempunyai blognya sendiri di alamat http://www.jjamarchon.blogspot.com.

 

 AL FATIHAH

 

 

Bantuan Kemanusiaan: Mana Janji Manismu?: 3

 

Bantuan Kemanusiaan: Mana Janji Manismu?

 

8 Ogos 2010 

Seringkali terjadi malapetaka yang hebat berlaku di dunia sejak akhir-akhir ini. Kejadian tsunami yang begitu dahsyat di negara jiran kita, Indonesia tahun 2004 telah meragut lebih dari 200 ribu nyawa manusia. Kejadian gempa bumi di Haiti awal tahun 2010 dikatakan jauh lebih hebat dahsyatnya kerana mengorbankan hampir 300 ribu nyawa penduduknya. Dalam kejadian tsunami tahun 2004, negara kita turut menerima tampiasnya apabila kita turut kehilangan ratusan nyawa dalam kejadian ngeri itu. Negara-negara lain di Asia seperti India dan Thailand turut menerima malappetaka yang sama.

Ekoran itu, bukan saja ratusan ribu nyawa melayang, lebih teruk lagi apabila jutaan manusia di muka bumi kehilangan tempat tinggal, kehilangan saudara, kehilangan sumber pendapatan, kehilangan sumber makanan dan air, kehilangan harta dan pelbagai lagi benda-benda penting dan asas dalam kehidupan mereka hilang sekelip mata. Ramai yang mati kerana kebuluran dan terkena wabak penyakit. 

Lantas, bantuan kemanusiaanpun digerakkan di seluruh dunia. Bantuan datang mencurah-curah. Pelbagai cara digunakan untuk menarik sumbangan dari orang ramai. Ada yang buat konsert amal, ada yang menggerakkan pungutan derma dari sekolah, di institusi pengajian tinggi, di kampung-kampung, di masjid dan lain-lain lagi. Ada juga pungutan derma melalui jamuan amal. Ada juga melalui SMS dan macam-macam lagi. Ketika itulah banyak janji yang ditaburkan.

Kekadang dalam majlis jamuan yang dihadiri para VIP, para pemimpin dan orang-orang kenamaan, ada juga indvidu tertentu yang merasa prihatin dengan keadaan yang ada dengan spontan mengiystiharkan bahawa dia akan menyumbangkan derma dengan jumlah yang besar. Kadang-kadang, jumlah yang disebutkan boleh digunakan untuk membeli sebuah kereta secara cash. Terpampanglah namanya di akhbar, di kaca TV dan namapun disebut-sebut orang sebagai senarai penyumbang. 

Tunggu punya tunggu, rupanya tidak ada sumbangan yang diberikan. Rupanya ada juga manusia yang mengambil kesempatan untuk menaikkan namanya agar disebut-sebut, agar menjadi terkenal seketika di saat manusia menghadapi kesusahan. Individu itu menabur janji dengan semudah itu di hadapan khalayak ramai tapi pada akhirnya, beliau gagal menunaikan janjinya.

Inilah yang dikatakan JANJI MANIS. Tidak mengapalah kalau kadar sumbangan yang dijanjikan hanya melibatkan puluhan ringgit atau ratusan ringgit, ini sampai ribuan malahan puluhan ribu jumlahnya. Lebih menyedihkan bila namanya turut tersiar di kaca TV melalui paparan di TV berulang-ulang kali sebagai senarai penyumbang derma kemanusiaan.

Begitulah adat manusia di dunia. Cepat sangat menabur janji tanpa memikirkan kemampuan dan risikonya pada masa hadapan. Orang-orang begini hanya mementingkan glamour semata-mata.

 

Mana Bantuannya?

 

 

 

Cinta oh Cinta: Mana janjimu Manismu?: 2

 

Cinta oh Cinta: Mana janjimu Manismu?

 

6 Ogos 2010

Orang bercinta boleh mengungkapkan apa saja kata-kata indah. Mereka akan berjanji sehidup semati setelah diijabkabulkan. Sehingga di tengah kehangatan bercinta, si wanita boleh termakan pujuk rayu dan janji teman lelakinya. Bila teman lelakinya kata, dia sanggup bertanggungjawap dan berjanji mengahwininya asalkan si wanita sanggup menyerahkan seluruh jiwa dan tubuh badannya kepada lelaki itu. Si wanita yang sudah mabuk cinta dan termakan janji manis lelaki itu tanpa berfikir panjang, akhirnya menyerahkan tubuhnya.

Akhirnya berlakulah perbuatan terlarang dalam agama. Soal tidur bersama sudah tidak jadi persoalan lagi. Kini, tidur bersama bagaikan perkara biasa. Tanpa rasa bersalah dan takutkan Allah, pasangan sejoli itu benar-benar bagaikan sepasang suami isteri yang dah sah.  Tapi, apa yang terjadi? Tidak berapa lama kemudiannya, si wanita tiba-tiba tidak lagi datang haid sebagimana kebiasaannya. Rupa-rupanya, setelah datang ke klinik, Dr mengesahkan bahawa si wanita sedang hamil. 

Terperanjatlah wanita itu. Ketika memberitahu hal itu kepada teman lelakinya, teman lelaki itu pula tiba-tiba saja enggan bertanggungjawap. Begitu mudah lelaki itu memberi jawapan sedemikian rupa. Akhirnya si wanita mengigit jari. Ia begitu kecewa dan tidak tahu lagi hendak buat apa. Lelaki yang diharapkannya untuk menjadi suaminya sehidup semati, rupa-rupanya hanya bersendiwara. Ia hanya mahu menghisap madu dari tubuhnya. Setelah mendapat madu, iapun lari meninggalkannya. Alangkah kecewanya hati si wanita ketika itu. Remuk hatinya bagaikan remuknya cermin sebuah kereta yang terkena lantunan atau tembakan batu dari luar. 

Apa yang dilakukan oleh wanita itu? Ia mula memikirkan untuk mencari jalan bagaimana mengatasi masalah besar yang sedang dihadapinya. Wajah-wajah keluarga dan rakan-rakan mula terbayang-bayang dalam kepalanya. Ia membayangkan bagaimana ia harus berhadapan dengan mereka. Apa jawapan yang boleh diberikan jika ditanya tentang badannya yang semakin berisi. Bermacam-macam yang difikirkannya.

Saudara, ketika berhadapan situasi begini, ada wanita yang sanggup mengambil keputusan menggugurkan kandungannya. Ada juga wanita yang mengambil keputusan untuk membiarkan saja kandungan tersebut disebabkan rasa bersalah dan rasa kesihan kepada bayi dalam kanndungan. Baginya, inilah balasan dari Tuhan atas perbuatan terkutuknya. Memang ia wajar mendapat balasannya. Ada juga yang tidak tahu nak buat apa sehingga mengambil keputusan untuk membunuh diri. Tidak hairan mengapa kita sering terbaca dalam akhbar bahawa ada wanita bunuh diri dengan meminum racun rumput, atau meminum cuka getah atau terjun dari jambatan tinggi atau menggantung diri. 

Semua kejadian ini bermula dengan keyakinan pasangan wanita tadi akan janji manis yang ditaburkan oleh teman lelakinya. Ketika bercinta, wanita tidak lagi memikirkan risiko yang bakal ditanggung. Kata-kata yang berbunyi ”KALAU CINTA SUDAH MELEKAT, TAHI KUCING RASA COKLAT” atau ”cinta itu buta” atau ”cinta itu tidak mengenal siapa” memang ada kebenarannya. Sehingga ada kata-kata yang biasa kita dengar seperti ”lautan api akan ku renangi untuk membuktikan cintaku padamu” atau ”kalau kamu tidak percaya cintaku, ambil  pisau dan belahlah dadaku”. Inilah kata-kata manis dan cukup berbisa bagi pasangan-pasangan yang sedang hanyut dilanda cinta asmara. 

Tanpa mereka sedar, kata-kata cinta itulah yang menghancurkan seluruh harga diri dan maruah mereka. Tanpa mereka sedar, kata-kata itulah yang boleh menghancurkan masa  depan mereka. Tidak dapat dinafikan lagi, gara-gara KETAHUAN anak daranya hamil tanpa nikah, ada ibubapa yang tiba-tiba dihinggapi penyakit darah tinggi, kencing manis, stroke dan lain-lain lagi. Bagi yang mengalami penyakit jantung, ada juga yang meninggal dunia sebaik mendengar atau mengetahui hal tersebut kerana begitu tertekan dan terkejut. Semuanya angkara JANJI MANISMU. Ya, JANJI MANISMU! 

Banyak sekali contoh yang berlegar dalam masyarakat kita berhubung janji manis sebelum berkahwin. Laporan akhbar Kosmo bertarikh 27 Okober 2009 umpamanya memaparkan tajuk utama di muka hadapannya yang berbunyi JANDA LONDON TUNTUT JANJI. Dalam laporan tersebut, seorang bekas ahli politik dari sebuah negeri di Malaysia didakwa tidak menunaikan janji untuk memberi mas kahwin sebuah banglo dan sebuah kereta mercedes. Wanita tersebut yang dikatakan termakan dengan janji lelaki tersebut mendapati bahawa ia adalah isteri yang ketujuh hasil perkahwinan dan perceraian bekas suaminya itu.

Ia termakan kata-kata manis bekas Datuk berkenaan apabila ia menunjukkan sijil mati isterinya kepadanya. Dengan kepercayaan yang tinggi, akhirnya mereka bernikah di London setelah terma-terma mas kahwin dipersetujui. Hanya setelah berkahwin, baharulah si wanita menyedari bahawa ia telah ditipu oleh suaminya. Setelah disiasat, tidak ada nama isterinya yang meninggal dunia sepertimana didakwa lelaki berkenaan. Kini mereka telah bercerai dan proses tuntut JANJI di mahkamah sedang berjalan. 

Demikianlah sekelumit contoh realistik yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini. Kejadian-kejadian yang berlaku di hadapan kita hari ini memang wajar diberi perhatian. Sikap mengambil tahu kejadian yang berlaku dalam persekitaran kita dapat membantu kita untuk berhati-hati setiap masa.

 

Inilah kehebatan JANJI MANIS dalam percintaan.