YAA TUAN ALIDIN @ AHMAD DIN OKK OTHMAN KETUA HAKIM SYARIE SABAH YANG BARU

KOTA KINABALU – Yang Amat Arif Tuan Alidin @ Ahmad Din bin OKK Othman, 57, telah dilantik sebagai Ketua Hakim Syarie Negeri Sabah yang baru. Perlantikan ini adalah bagi mengisi kekosongan jawatan tersebut apabila penyandang terdahulu, Yang Arif Datuk Jasri @ Nasip bin Matjakir dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia awal tahun 2019.

Majlis penyerahan watikah Ketua Hakim Syarie Negeri Sabah disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama, Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Haji Juhar bin Datuk Haji Mahiruddin di Istana Negeri pada 16 Mac 2020. Turut menyaksikan majlis tersebut adalah Menteri Undang-Undang dan Hal Ehawal Anak Negeri, Datuk Haji Aidi Mokhtar, Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Datuk Seri Panglima Dr Hasbullah bin Haji Mohd Taha dan beberapa pegawai kanan dari Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah. Watikah perlantikan tersebut berkuat kuasa mulai 11 November 2019.

Yang Amat Arif Tuan Alidin @ Ahmad Din bin OKK Othman yang dilahirkan di Kota Marudu, Sabah mendapat kelulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah dari Universiti Malaya pada 1987. Beliau seterusnya mendapat Diploma Lanjutan Undang-Undang Pentadbiran dan Kehakiman Islam (DAIJ) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada tahun 1990. Selain itu, beliau juga memperolehi Sijil Perbandingan Agama dari Muslim College, London pada tahun 1993. Dalam bidang kehakiman Islam, beliau mempunyai pengalaman luas dalam bidang kehakiman Syariah di Negeri Sabah selama lebih kurang 30 tahun sebagai Kadi bahagian, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah dan juga Ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah.

About ERAKITA

TERUSKAN LANGKAH USAH BERHENTI

Posted on 31 Disember 2020, in Uncategorized. Bookmark the permalink. Tinggalkan komen.

Tinggalkan komen