ISTERI MOHON PERCEPAT SIJIL CERAI

Assalamulaikum

Saya mahu bertanya bagaimanakah caranya untuk mempercepatkan pengambilan surat cerai. Sebabnya, Mahkamah belum lagi memanggil bekas suami untuk dibicarakan?

Walaikumussalam wbt.

Istilah surat cerai dalam pertanyaan Puan di atas adalah bersifat umum. Sebenarnya, terdapat 2 bentuk dokumen penting mengenai perceraian pasangan Muslim. Pertamanya, Perintah Perceraian dari Mahkamah Syariah. Keduanya, Sijil Perceraian yang dikeluarkan oleh Pendaftar Pernikahan Perceraian dan Rujuk (PPR) di Jabatan Agama Islam Negeri.

Sijil Perceraian hanya dikeluarkan oleh PPR setelah Mahkamah Syariah mengeluarkan perintah perceraian atau pembubaran perkahwinan samada berpunca dari pengesahan lafaz perceraian yang berlaku di luar mahkamah atau perceraian biasa dengan lafaz talaq di hadapan mahkamah, fasakh, ta’liq dan khulu’ atau disebut juga sebagai tebus talaq. Hanya setelah mahkamah syariah mengeluarkan perintah perceraian atau pembubaran perkahwinan, baharulah PPR di Jabatan Agama Islam akan mengeluarkan Sijil Cerai.

Justeru, pada peringkat ini, Puan dinasihatkan untuk berurusan terus dengan pihak mahkamah bagi mendapatkan tarikh terawal bagi pendengaran kes Puan. Lazimnya, mahkamah akan menetapkan pendengaran kes berkenaan dalam tempoh 21 hari dari tarikh pendaftaran kes di Mahkamah. Ini adalah menurut Arahan Amalan yang dikeluarkan oleh Ketua Hakim Syarie negeri-negeri yang diselaraskan di seluruh negara. Tempoh ini juga menjadi Piagam Pelanggan Mahkamah Syariah di negeri-negeri.

Puan boleh menghubungi Mahkamah berkenaan melalui telipon atau emel bagi  mendapatkan maklumat dari Pendaftar Mahkamah untuk mengetahui status kes dan tarikh kes berkenaan akan didengar. Namun, ada baiknya Puan sendiri datang ke Mahkamah Syariah untuk bertanya terus hal tersebut. Staf di kaunter boleh membantu untuk menyemak status kes Puan melalui talian online dalam Sistem Pendaftaran Kes Mahkamah Syariah (SPKMS).

Puan juga boleh meminta budi bicara mahkamah untuk menjadualkan lebih awal kes berkenaan jika Puan mempunyai alasan yang kukuh seperti terpaksa keluar negara dalam jangkamasa terdekat atas urusan mendesak seperti menyambung pelajaran di luar negara. Alasan seperti terpaksa menjalani rawatan di hospital bagi penyakit yang berat boleh dijadikan justifikasi bagi penjadualan awal.

Pendengaran kes di Mahkamah boleh tertunda akibat kegagalan menyampaikan saman atau Notis Permohonan kepada pihak suami. Di sisi undang-undang, asas untuk Mahkamah boleh meneruskan pendengaran atau perbicaraan sesuatu kes adalah apabila penyampaian saman atau Notis Permohonan telah berjaya disempurnakan ke atas Defendan atau suami dalam kes ini. Penyampaian gantian seperti membuat tampalan saman dan Notis berkenaan di tempat-tempat awam yang ditetapkan oleh Mahkamah atau melalui iklan di surat khabar tempatan atau nasional boleh dilaksanakan dan dikira sempurna sekiranya Defendan atau suami gagal dikesan. Perkara ini dinyatakan dalam seksyen 48 Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998 (Akta 585).

Penyelesaian kes perceraian Puan akan menjadi lebih mudah sekiranya suami Puan dapat hadir bersama di Mahkamah. Persetujuan bersama kedua suami dan isteri untuk bercerai juga boleh dipertimbangkan oleh mahkamah untuk menjadualkan kes berkenaan pada masa yang singkat. Bahkan, di beberapa negeri seperti Pulau Pinang, Selangor dan Sabah, kes perceraian lazimnya didengar dan diputuskan oleh Mahkamah pada hari yang sama kes berkenaan didaftarkan sekiranya ada persetujuan bersama kedua suami dan isteri untuk bercerai. Laporan akhbar mengenai penyelesaian perceraian di Mahkamah Syariah Selangor boleh dirujuk dalam Sinar Harian pada 3 Julai 2015 di alamat http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/bercerai-dalam-tempoh-enam-jam-1.407375.

Bagaimanapun, kita sedia maklum bahawa Mahkamah juga mempunyai jadual yang ketat khususnya mahkamah yang beroperasi di daerah atau bahagian-bahagian yang besar dan padat penduduknya. Hal ini sudah tentu menjadi salah satu cabaran atau kekangan kepada mahkamah untuk menjadual kes pada hari yang sama ianya didaftarkan atau lebih awal khususnya bagi pendengaran kali kedua dan seterusnya. Pendengaran kes pada hari yang sama ianya didaftarkan di Mahkamah bergantung kepada ruang masa dan kesediaan Hakim untuk mendengar terus kes berkenaan. Pendengaran kes pada hari yang sama juga dapat dilakukan sekiranya kedua pihak hadir di Mahkamah dan bersedia untuk menyelesaikan kes berkenaan melalui persetujuan.

Kesimpulannya, selagi kes perceraian di mahkamah belum selesai, selagi itulah Pendaftar PPR di Jabatan Agama tidak akan mengeluarkan sijil perceraian tersebut. Justeru, sijil cerai yang Puan maksudkan itu hanya akan dikeluarkan oleh PPR selepas kes perceraian di Mahkamah Syariah telah selesai sepenuhnya. Kes perceraian Puan pula boleh diselesaikan dengan cepat sekiranya Puan dan suami Puan bersedia untuk hadir bersama dan membuat persetujuan bercerai secara baik di Mahkamah tanpa melalui proses perbicaraan yang panjang. Semoga penjelasan ini memberi manfaat kepada Puan.

Wallahu a’lam

About ERAKITA

TERUSKAN LANGKAH USAH BERHENTI

Posted on 27 Ogos 2015, in AGAMA, KELUARGA, UNDANG-UNDANG. Bookmark the permalink. 11 Komen.

  1. Bolehkah penceraian berlaku di pejabat agama lain selain tempt tinggal suami atau isteri..mksud sya dua2 stay perak tpi si suami kerja di seremban..penceraian berlaku di seremban.

  2. ZAILAH BINTI ALI OMAR

    Salam.saya nak tanya bagaimana saya nak dapat surat cerai saya.saya dah bercerai selama 1 tahun lebih.sehingga sekarang saya belum dapat surat cerai saya.saya desak bekas suami urus surat cerai ada ja alasan dia bagi.selama ni saya dah pun berurusan di pejabat agama dan mahkamah.alasan mereka bagi bekas suami belum membayar denda di mahkamah.dan sekarang bekas suami dah pun berkahwin tanpa dia bagi surat cerai dengan saya.

    • Sama.. Sy pun sudah lebih 7 tahun bercerai.. Tapi sy belum menguruskan surat cerai sy.. Tetapi pada 7 tahun lepas,selepas beberapa bulan penceraian sy bersama bekas suami,bekas suami berada di perak.. Sy berada di selangor.. Dan pada selepas hari raya tu.. Kawan bekas suami sy dtg di rumah dan memberi tahu, bekas suami meninggal dunia seminggu yg lalu(7tahun lalu) dan bagaimana kah harus sy buat utk menguruskan surat cerai sy?

      • Walaikumussalam wbt.

        Erakita bersimpati dengan ujian yang menimpa Puan. Dalam situasi Puan sekarang, perkara pertama yang puan lakukan adalah failkan permohonan pengesahan perceraian luar mahkamah. Walaupun lafaz itu berlaku 7 tahun lepas, namun puan perlu memastikan samada perceraian itu sah atau tidak. Tidak mengapa jika suami sudah meningggal dunia. Kes tersebut masih boleh difailkan dan dibicarakan. Puan hanya perlu memberikan keterangan di mahkamah. Kemukakan bukti seperti saksi jika ada.

        Mahkamah akan menentukan samada perceraian tersebut sah atau tidak. Jika sah perceraian tersebut, maka perceraian itu berkuat kuasa dari tarikh lafaz 7 tahun lepas. Pengesahan ini akan memberi kesan dari segi hukum syarak dan undang-undang. Ketika kematian suami itu, puan bukan lagi isteri yang sah kepada bekas suami puan. Puan tidak perlu bereddah kematian suami bagi tempoh 4 bulan 10 hari. Puan juga tidak berhak mewarisi harta pusaka bekas suami.

        Sebaliknya, jika Mahkamah Syariah memutuskan bahawa tidak berlaku perceraian, maka puan masih lagi isteri yang sah kepada arwah suami puan itu sehinggalah ke saat kematiannya. Walaupun 7 tahun tinggal berasingan, ia bukan satu bukti peceraian pasangan sekiranya tidak ada perceraian yang sah menurut hukum syarak dan undang-undang. Dalam keadaan seperti ini, puan perlu bereddah 4 bulan 10 hari bermula tarikh kematian suami puan itu. Puan juga berhak untuk mewarisi harta pusaka peninggalan suami sebanyak 1/8 dari harta suami sekiranya puan dan arwah suami puan ada anak . Sekiranya tidak ada anak, maka puan berhak mendapat 1/4 bahagian dari harta pusaka suami.

        Semoga jawapan ini bermanfaat untuk semua. Wallahu a’lam.

  3. Saya nak tanya saya sudah buka fail untuk mohon penceraian tapi masalahnya suami lari tak mahu kerjasama apa harus saya buat…

  4. Saya nak tanya saya sudah buka fail untuk mohon penceraian tapi masalahnya suami lari tak mahu kerjasama apa harus saya buat…

  5. Maaf sekadar bertanya,..seorang suami yang melanggar adat perkahwinan telah diarah oleh mahkamah mmbyr denda ttapi suami ini enggan membayar, malah mengugut isterinya kerana hal ini. Apakah tindakan seterusnya dalam keadaan begin I?..

  6. Saya dan suami telah berpisah lebih 2 tahun. Dia tidak pernah memberi nafkah kepada kami spenjang perninggalannya dan sepanjang kami berkahwin. Saya menetap di sarawak dan suami telah pulang ke sabah. Bolehkah saya memohon pengesahan bercerai tanpa mengikuti perbicaraan kerana suami tidak boleh dihubungi.? Bagaimanakah cara caranya?

  7. Suami lafaz cerai luar mahkamah 2 tahun yang lepas. Sekarang baru kami berpakat fail kes cerai. Soalan saya selepas kes selesai. Bilakah saya akan dapat sijil cerai . Sebab bekas suami saya akan melangsungkan perkahwinan kedua pada 24/8/18 .

  8. Siti juwairiah mohd faizal

    Permohonan daftar cerai

  9. Assalamualaikum.. Saya Dan bkas suami bercerai d.sekitar 2008..tpi saya sdh tk ingat bulan Dan tarikh nya..kami bercercerai d mkhkmah Syariah Kuala Lumpur.smggu slpas itu,sya terpksa pulang ke Sabah atas arahan org tua sya.sjsk itu hingga sekarang sya tak pernh tuntut sijil cerai atau perakuan cerai sya. Soalan sya d manakah sya boleh tuntut Surat perakuan itu,Dan boleh kah pihak sana melakukan pngiriman Surat perakuan itu ke negeri lain tnpa perlu hadir.mohon pencerahan

Tinggalkan komen