Category Archives: PELBAGAI

KAEDAH TERMUDAH MENCARI MUKA SURAT PERTAMA SETIAP JUZUK DALAM AL QURAN

TAWAU – 10 Jun 2018 (25 Ramadhan 1439). Alhamdulillah. Segala puji-pujian hanya untuk Allah s.w.t. Erakita telah mendapat satu mesej dari aplikasi whatapps dari seorang hamba Allah pagi ini yang cukup menguja dan menggembirakan. Tajuk mesej itu adalah “Cara mudah mencari muka surat dalam al Quran..!!!”. Setelah membaca dan mempraktikkannya dengan berulang-ulang kali, ternyata kaedah mencari muka surat halaman dalam al Quran itu cukup mudah dan cepat. Kaedah ini dikhususkan untuk mencari muka surat pada permulaan halaman setiap juzuk al Quran sebanyak 30 juzuk sahaja.

Kaedah ini sangat menakjubkan. Ia menggunakan formula matematik yang cukup ringkas.

 

CONTOH PERTAMA

Jika anda ingin mengetahui Juzuk 2 berada di halaman ke berapa, ikuti langkah ini:

2 perlu ditolakkan dengan 1 seperti begini: 2 – 1 = 1.

1 perlu didarab dengan 2 seperti begini: 1 x 2 = 2

Letakkan no 2 selepas angka pada jawapan seperti begini: 2 dan 2 = 22

Jadi, halaman pertama pada juzuk 2 adalah 22.

Anda tidak percaya? Anda cuba dan cuba. Ulang dan ulang. Pasti anda menemui keajaiban. Mudah bukan?

 

CONTOH KEDUA

Jika anda ingin mengetahui Juzuk 19 berada di halaman ke berapa, ikuti langkah ini:

19 perlu ditolakkan dengan 1 seperti begini: 19 – 1 = 18.

18 perlu didarab dengan 2 seperti begini: 18 x 2 = 36

Letakkan no 2 selepas angka pada jawapan seperti begini: 36 dan 2 = 362

Jadi, halaman pertama pada juzuk 19 adalah 362.

Anda tidak percaya? Anda cuba dan cuba. Ulang dan ulang. Pasti anda menemui keajaiban. Mudah bukan? 

 

CONTOH KETIGA

Jika anda ingin mengetahui Juzuk 28 berada di halaman ke berapa, ikuti langkah ini:

28 perlu ditolakkan dengan 1 seperti begini: 28 – 1 = 27.

27 perlu didarab dengan 2 seperti begini: 27 x 2 = 54

Letakkan no 2 selepas angka pada jawapan seperti begini: 54 dan 2 = 542

Jadi, halaman pertama pada juzuk 28 adalah 542.

Anda tidak percaya? Anda cuba dan cuba. Ulang dan ulang. Pasti anda menemui keajaiban. Mudah bukan?

 

SEBARKAN ILMU

Berdasarkan kaedah di atas, ternyata bahawa mencari halaman pertama pada setiap juzuk dalam al quran adalah begitu mudah. Setiap angka terakhir pula adalah angka genap iaitu 2. Walapun tidaklah dapat diketahui dengan mudah halaman pada setiap surah atau ayat dalam al Quran, namun sekurang-kurangnya telah ada kaedah yang cukup mudah dan cepat untuk mengetahui halaman pada permulaan setiap juzuk dalam al Quran itu. Mengetahui permulaan halaman atau muka surat pada setiap juzuk akan memudahkan kita mengetahui nama-nama surah al Quran pada setiap juzuk itu. Apabila kita mendengar seseorang membaca al Quran baik dalam solat atau radio atau TV, kita akan mudah untuk mengetahui kedudukan juzuk dalam al Quran tersebut berdasarkan kepada surah yang sedang dibacakan itu.

Alangkah indahnya al Quran kalam Allah. Ini kata-kata Allah yang wajib dipelajari dan dibaca oleh umat Islam. Semakin dibaca semakin tenang hati dan perasaan. Selepas mengkhatamkan bacaan 30 juzuk, semangat untuk membaca bermula dari halaman pertama, juzuk pertama akan sentiasa bertambah. Tidak akan ada perasaan bosan. Inilah kehebatan al Quran. Siapa membacanya pasti mendapat ketenangan. Pahala berlipat kali ganda yang dijanjikan Allah kepada pembaca al Quran tentunya tidak akan dilepaskan begitu saja oleh orang yang faham dan mencintai al Quran. Rasulullah s.a.w pernah berpesan bahawa al Quran akan menjadi syafaat iaitu penolong kepada para pembacanya di pada hari kiamat kelak.

Sebarkan ilmu ini kepada sesiapa saja di serata alam. Allah pastinya menyediakan pahala yang cukup besar kepada orang yang menyebarkan ilmu lebih-lebih ilmu al Quran. Kepada hamba Allah yang telah mencari dan menemui kaedah ini, kita doakan agar Allah memberi beliau sebesar-besar ganjaran di sisi Allah. Tugas kita adalah menyampaikan apa saja ilmu bermanfaat untuk manusia. Semoga ianya nanti akan menjadi ilmu bermanfaat yang sentiasa berterusan pahalanya untuk kita walaupun kita telah meninggalkan alam ini ribuan tahun.

KUNJUNGAN MAHABBAH KE MAHKAMAH SYARIAH LAHAD DATU

LAHAD DATU – Mahkamah Syariah Lahad Datu menerima kunjungan mahabbah dari Mahkamah Syariah Tawau pada 9 Febuari 2018 (Jumaat). Rombongan yang diketuai Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Tawau itu turut disertai Hakim Mahkamah Rendah Syariah dan pegawai-pegawai kanan Mahkamah Syariah Tawau. Peguam-peguam syarie dan sivil juga turut bersama-sama sebagaimana kunjungan-kunjungan di tempat lain sebelum ini. Hakim Syarie Mahkamah Rendah Syariah Lahad Datu, Tuan Mohd Haslan bin Hassan menerima kunjungan tersebut bersama-sama pegawai kanan dan kakitangan mahkamah berkenaan.

Di samping merapatkan ukhuwwah, pelbagai aspek pengurusan kes bagi kedua-dua mahkamah turut dibincangkan. Pengujudan klinik guaman syarie bagi daerah ini turut dibincangkan. Perkhidmatan klinik guaman syarie secara percuma yang diadakan setiap jumaat di bangunan Mahkamah Syariah telahpun dilaksanakan di Tawau sejak tahun 2014 lagi. Sebuah bilik khas disediakan dalam bangunan Mahkamah Syariah Tawau untuk membolehkan operasi khidmat klinik guaman tersebut dapat dilaksanakan. Lahad Datu adalah sebuah daerah besar dan bilangan penduduk Islam juga ramai. Kebanyakan kes yang difailkan di Mahkamah Tinggi Syariah Tawau datang dari daerah ini. Jarak perjalanan darat antara Tawau dan Lahad Datu adalah 150 kilometer dan mengambil masa selama lebih kurang 2 jam 20 minit menggunakan kenderaan.

IMG-20180209-WA0033

IMG-20180209-WA0026

IMG-20180209-WA0027

 

KUNJUNGAN MAHABBAH KE MAHKAMAH SYARIAH SEMPORNA

SEMPORNA – Mahkamah Syariah Tawau meneruskan aktiviti mingguannya pada awal tahun 2018 apabila mengadakan kunjungan mahabbah ke Mahkamah Syariah Semporna pada 26 Januari 2018 (Jumaat) lalu. Seperti kunjungan ke agensi kerajaan sekitar Tawau sebelum  ini, rombongan dari Tawau ini diketuai oleh Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Tawau. Hakim Mahkamah Rendah Syariah dan pegawai-pegawai kanan serta beberapa kakitangan Mahkamah Syariah Tawau turut serta. Pegawai dari Bahagian Pendakwaan Syariah, Jabatan hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains) dan Peguam Syarie yang beramal sekitar Tawau, Lahad Datu dan Semporna juga turut serta dalam kunjungan ini.

Kunjungan diterima penuh mesra dan mahabbah dari Hakim Mahkamah Rendah Syariah Semporna Tuan Saiful Azlimi bersama-sama Pegawai-Pegawai Kanan dan kakitangan Mahkamah berkenaan. Aspek pengurusan kes seperti pendaftaran kes Mahkamah Tinggi Syariah, semakan kes, persetujuan penyelesaian bersama pihak-pihak, pendakwaan, penyampaian saman dan pelbagai lagi perkara berkaitan perjalanan kes kedua-dua Mahkamah telah dibincangkan. Kunjungan ini dilihat amat bermanfaat ke arah memperkemas dan saling merapatkan kerjasama ke arah pengurusan kes Mahkamah Syariah di Tawau dan Semporna. Selain Daerah Kunak dan Lahad Datu, Semporna juga termasuk salah satu daerah yang berada dalam lingkungan pengendalian kes oleh Mahkamah Tinggi Syariah di Tawau.

Pada ketika ini, semua kes mal (sivil) dan jenayah syariah yang melibatkan yang jatuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi Syariah dari 4 daerah ini didaftar dan dikendalikan sepenuhnya oleh Mahkamah Tinggi Syariah di Tawau. Justeru, kunjungan seumpama ini amat relevan dalam rangka memantapkan lagi perjalanan pengurusan dan penyelesaian kes di daerah-daerah ini.

IMG-20180126-WA0067

IMG-20180126-WA0027

IMG-20180126-WA0026

IMG-20180126-WA0059IMG-20180126-WA0062

 

KUNJUNGAN MAHABBAH KE KONSULAT REPUBLIK INDONESIA TAWAU

TAWAU – Melihat kepada keperluan wujudnya kerjasama baik dengan pelbagai agensi dan institusi dalam mempermudahkan urusan pentadbiran dan pengurusan kes di Mahkamah Syariah, satu kunjungan mahabbah telah dibuat oleh Mahkamah Syariah Tawau ke Pejabat Konsulat Republik Indonesia di Tawau pada 19 Januari 2018 (Jumaat). Rombongan tersebut diketuai oleh Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Tawau. Turut bersama dalam rombongan tersebut adalah Hakim Mahkamah Rendah Syariah dan pegawai-pegawai kanan Mahkamah Syariah Tawau, Pendakwa Syarie Kanan Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah (JHEAINS) serta beberapa peguam kanan sivil dan syariah yang beramal di Tawau bagi pihak Persatuan Peguam Muslim Sabah (AMAL).

Kunjungan penuh mahabbah itu diraikan oleh Konsul Republik Indonesia Tawau, Bapak Krishna Djelani bersama-sama dengan pegawai kanan di Konsulat berkenaan. Bapak Konsulat turut mengalu-alukan kunjungan tersebut bagi memperkukuhkan lagi kerjasama dan persefahaman antara Mahkamah Syariah di Tawau dan Pejabat Konsulat Republik Indonesia di Tawau. Daerah Tawau yang bersempadan dengan Malaysia dan Indonesia menempatkan ramai warganegara Indonesia yang kebanyakannya bekerja dalam sektor perladangan di sekitar Pantai Timur Sabah seperti Daerah Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna. Perkahwinan melibatkan pasangan dari kedua-dua negara merupakan suatu kelaziman dari dahulu sehingga ke hari ini. Antara kes-kes yang sering dibawa ke Mahkamah Syariah membabitkan pasangan dari warganegara Indonesia adalah pengesahan perkahwinan, pengesahan nasab anak, perceraian, tuntutan hak jagaan anak, tuntutan mut’ah, nafkah isteri dan anak, harta sepencarian dan pembahagian harta pusaka.

Perkara-perkara berkaitan urusan dokumentasi seperti pengesahan dokumen perkahwinan, status perkahwinan, dokumentasi perjalanan, penyampaian saman dan notis permohonan, perintah Mahkamah, perlantikan peguam bagi mewakili pasangan warga Indonesia dan pelbagai aspek lagi telah dibincangkan. Kunjungan ini telah membuahkan hasil yang positif. Kerjasama dan persefahaman telah dicapai dalam perkara-perkara di atas dalam rangka melicinkan lagi pengurusan dan perjalanan kes di Mahkamah Syariah khususnya melibatkan pasangan warganegara Inodnesia. Bapak Konsul mengalu-alukan kerjasama berterusan antara kedua-dua pihak bagi mempermudah dan melancarkan lagi pengurusan kes dan juga hal-hal yang berkaitan dengan pasangan dari warganegara indonesia yang terlibat dalam sesuatu permohonan atau tuntutan di Mahkamah Syariah di Tawau.

cofcofcof

 

 

KUNJUNGAN MAHABBAH KE IMIGRESEN TAWAU

TAWAU – Dalam rangka memasyarakatkan mahkamah dan menjalinkan kerjasama baik dengan pelbagai agensi kerajaan, Mahkamah Syariah Tawau dengan kerjasama Persatuan Peguam Muslim Sabah (AMAL) telah mengadakan kunjungan mahabbah ke Pejabat Imigresen Tawau di Bangunan Persekutuan, Tawau pada 12 Januari 2018 (jumaat). Rombongan diketuai oleh Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Tawau disertai oleh Hakim Mahkamah Rendah Syariah Tawau, pegawai-pegawai kanan Mahkamah Syariah dan beberapa peguam sivil dan syariah di Tawau.

Pelbagai perkara berkaitan dengan aspek perundangan khususnya dokumentasi dan juga pengkuatkuasaan perintah Mahkamah Syariah telah dibincangkan. Pertemuan antara Mahkamah Syariah dan Jabatan Imigresen tersebut menghasilkan beberapa persefahaman dan kerjasama dalam pelbagai aspek berkaitan perundangan syariah dan pengurusan perjalanan kes khususnya melibatkan pihak-pihak yang bukan warganegara Malaysia. Antara aspek yang difokuskan dalam perbincangan tersebut adalah berkaitan perintah tegahan membawa anak keluar dari Negeri Sabah dalam kes tuntutan hak penjagaan anak, pengeluaran saman dan notis hadir ke Mahkamah melibatkan salah satu pihak yang bukan warganegara Malaysia dan lain-lain lagi. Kerjasama yang baik antara kedua-dua institusi ini akan terus diperkukuhkan dalam rangka memperkemaskan perjalanan dan penguatkuasaan undang-undang khususnya undang-undang Islam di Negeri Sabah.

IMG-20180112-WA0042

IMG-20180112-WA0019

IMG-20180112-WA0022

IMG-20180112-WA0026

 

LAWATAN KERJA KETUA HAKIM SYARIE KE TAWAU

TAWAU – Yang Amat Arif, Datuk Jasri @ Nasip bin Matjakir, Ketua Hakim Syarie Negeri Sabah telah mengadakan lawatan kerja ke Mahkamah Syariah Tawau pada 30 November 2018 (khamis). Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Tawau, Yang Arif Tuan Ahadin bin Arinen telah memberikan taklimat mengenai perkembangan semasa di Mahkamah Syariah Tawau meliputi aktiviti, statistik kes dan juga hal-hal berkaitan pengurusan pentadbiran Mahkamah Syariah Tawau.

cofcofsdrsdrsdr

 

PERSIDANGAN KOMUNITI PERUNDANGAN SYARIAH 2017

TAWAU – Persidangan Komuniti Perundangan Syariah yang menghimpunkan komuniti yang terlibat dalam dunia perundangan syariah di Sabah telah diadakan di Tawau pada 24 November 2017 (jumaat) yang lalu. Persidangan yang diadakan di Dewan Terbuka Mahkamah Tinggi Syariah Tawau dengan tema “Ke Arah Transformasi Perundangan Syariah” itu bermula tepat jam 9.00 pagi dan berakhir pada jam 10.00 pagi. Ini adalah tahun ketiga majlis seumpama ini diadakan di Tawau. Majlis sebelum ini diadakan pada tahun 2015 dan 2016 dengan menggunakan nama Pembukaan Tahun Perundangan Syariah yang diadakan pada awal tahun.

Bagaimanapun, nama majlis ini ditukar kepada Persidangan Komuniti Perundangan Syariah pada tahun 2017 sesuai dengan waktu diadakan iaitu pada penghujung tahun.  laporan mengenai aktiviti dan peristiwa-peristiwa serta kes-kes Mahkamah yang penting membabitkan hal ehwal perundangan syariah dalam dan luar Negeri Sabah serta pembentangan statistik kes Mahkamah dapat dizahirkan pada penghujung tahun. Persidangan yang dihadiri lebih kurang 70 orang pada kali ini menyaksikan kehadiran Ygbh. Peguam Besar Negeri Sabah, Puan Hajah Zaleha Rose Haji Pandin dan Presiden Persatuan Peguam Muslim Sabah (AMAL), Datuk Adnan Putih. Antara yang hadir juga adalah Timbalan Konsul Republik Indonesia (Tawau), Bapak Sulistijo Djati Ismojo, hakim-hakim syarie Sabah, para peguam syarie dan sivil yang beramal di Mahkamah Syariah, pendakwa syarie, pegawai-pegawai kanan persekutuan dan negeri dan juga wakil-wakil Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dari seluruh Sabah.

Ucapan dimulakan oleh wakil dari Persatua Peguam Muslim Sabah (AMAL), Mohd Amin Hj. Tenreng dan disusuli oleh Ygbh. Peguam Besar Negeri Sabah. Ucapan penggulungan dibuat oleh Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Tawau. Persidangan tahunan ini dilihat dapat mempertemukan golongan professional yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dengan perundangan syariah di Negeri Sabah, Selain mengukuhkan silaturahim, persidangan ini dapat membuka ruang kepada pertukaran pandangan dan pengalaman bagi menaikkan imej perundangan Islam di mata masyarakat.

Berikut adalah gambar-gambar yang sempat dirakamkan dalam majlis berkenaan.

cofsdrcofcofcofsdrsdrsdrsdrsdr

KONVENSYEN PEGAWAI PENGUATKUASA AGAMA DAN PENDAKWA SYARIE MALAYSIA 2017

KOTA KINABALU – Sabah menjadi tuan rumah bagi Konvensyen Pegawai Penguatkuasa Agama dan Pendakwa Syarie seluruh Malaysia bagi tahun 2017. Konvensyen yang mengumpulkan Pegawai Penguatkuasa Agama dan Pendakwa Syarie dari seluruh negara itu berlangsung selama 2 hari dari 15 dan 16 Oktober 2017 di Tabung Haji Hotel, Kota Kinabalu, Sabah. Konvensyen bertemakan “Menangkis Penghinaan Terhadap Islam: Suatu Tindakan Holistik” adalah anjuran bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Perasmian konvensyen telah disempurnakan oleh YB. Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Hj Baharom (B), Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Beberapa kertas kerja telah disampaikan oleh tokoh-tokoh perundangan Islam dan pengamal undang-undang Islam. Turut hadir dalam majlis berkenaan adalah YB. Datuk Haji Mohd Arifin bin Haji Mohd Arif, Pengerusi Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) yang juga merupakan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Pengarah-Pengarah dari pelbagai Jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan, pengamal undang-undang, Peguam Besar Negeri Sabah, Hakim-Hakim Syarie dan Badan-Badan Bukan Kerajaan.

Selain pembentangan kertas kerja dan forum, Sijil Penyartaan Program Sangkutan Pendakwa Syarie di Jabatan Peguam Negara dan di Pejabat Penasihat Undang Negeri seluruh Malaysia bagi tahun 2017 turut disampaikan kepada Pegawai-Pegawai Pendakwa Syarie.

15_10_2017 3_00 PM Office Lens (1)

15_10_2017 3_37 PM Office Lens (1)

cofmdecofcofcofcofcofcof

 

ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG (APC) & TAULIAH PENDAFTAR

Kota Kinabalu – Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Perpisahan 2 kakitangan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah. Majlis yang berlangsung pada 09 Oktober 2017 di Hotel Shangrila,  Bandaran Berjaya, Kota Kinabalu itu dihadiri oleh Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi dan Rendah Syariah Sabah, Ketua Pendaftar, pegawai-pegawai kanan dan kakitangan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah.

Dalam ucapannya, Yang Amat Arif Datuk Jasri @ Nasip bin Matjakir mengalu-alukan kehadiran 3 pegawai baru di Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah. Pegawai baru berkenaan adalah Puan Hajah Surayah binti Ramlee yang dilantik sebagai Ketua Pendaftar, Tuan Mohd Amir bin Haji Arifin dan Tuan Abu Hassan bin Abdullah yang masing-masing menjalankan tugas sebagai Pendaftar dan Hakim Syarie di Mahkamah Syariah Sabah.

Pada majlis berkenaan, seramai 15 orang pegawai dan kakitangan menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC). Penerima anugerah adalah seperti berikut:

  1. Tuan Sabaruddin bin Bidin
  2. Tuan Mohd Jaidil Akthar bin Mahamod.
  3. Puan Norhidayah binti Basri
  4. Encik Mod Hanif bin Arshad
  5. Puan Zuliza binti Musa
  6. Encik Kamaruzzaman bin Ab Kadir
  7. Cik Norliza binti Sawi
  8. Encik Ramzy bin Ramli
  9. Puan Laineh binti Maidum
  1. Cik Amida @ Amidah binti Sami
  2. Puan Norlialah binti Lamjan
  3. Encik Muhammad Hilmy M Moh Zain
  4. Encik Dirman bin Santing
  5. Encik Hamidun bin Kamijan
  6. Encik Masdar bin Ital

cofcofcofcof

 

Majlis berkenaan juga turut meraikan perpisahan dengan Tuan Sabaruddin bin Bidin yang berpindah ke Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan.

cof

 

Majlis turut meraikan 3 orang kakitangan Mahkamah Syariah pegawai yang menamatkan tempoh perkhidmatan awam. Mereka adalah Madly bin Madiki, Adam bin Yunus dan Rosni binti Mustapha.

cofcof

Dalam majlis yang sama, Yang Amat Arif Ketua Hakim Syarie turut menyerahkan Tauliah Penolong Pendaftar kepada 13 pegawai Mahkamah.

cof

Turut menyerikan majlis adalah acara memotong kek sempena hari lahir Ketua Hakim Syarie, Yang Amat Arif Datuk Jasri @ Nasip bin Matjakir yang ke 55.

cofcofcofcof

cof

 

 

SEMINAR KEBANGSAAN TRANSFORMASI PENGURUSAN HARTA PUSAKA 2016

USIM –  Seminar Kebangsaan Transformasi Harta Pusaka Kebangsaan telah diadakan di Universiti Islam Sains Malaysia (USIM) pada 22 September 2016 bersamaan 20 Zulhijjah 1437. Seminar sehari berkenaan yang dihadiri lebih kurang 1000 peserta dari dalam dan luar negara adalah anjuran Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dengan kerjasama USIM.

Seminar ini telah dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Datuk Seri Jamil Khir bin Baharom bagi mewakili Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi. Dalam majlis yang sama beliau turut melancarkan Projek Pembangunan Perisian Sistem e-Faraid.

Turut hadir adalah Yang Berhormat Senator Dato’ Dr Asyraf Wajdi bin Datuk Dusuki, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ketua Hakim Syarie yang juga Ketua Pengarah JKSM, Yang Amat Arif Tan Sri Dr Hj Ibrahim bin Lembut dan Dato’ Prof Dr. Musa Ahmad, Naib Canselor, USIM.

Peserta yang hadir terdiri dari pelbagai latar belakang . Selain Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan Syariah JKSM, Ketua-Ketua Hakim Syarie Negeri-Negeri, Hakim-Hakim Syarie, Mufti, pegawai kanan dari Jabatan Peguam Negara, pegawai-pegawai agama, peguam, pakar-pakar kewangan Islam, pensyarah-pensyarah dari universiti awam dan swasta serta orang awam juga turut hadir dalam seminar tersebut.

Beberapa kertas kerja dibentangkan oleh tokoh-tokoh perundangan Islam di negara ini. Pada sesi pagi, ucap tama telah disampaikan oleh Ketua Hakim Syarie JKSM, YAA Tan Sri Dr Hj Ibrahim bin Lembut dengan tajuk “Pengurusan Kes Harta Pusaka: Transformasi Alaf Madani”.

Dalam ucap tamanya, YAA Tan Sri Dr Ibrahim Lembut memaklumkan bahawa E-Faraid merupakan pembangunan sistem pengurusan faraid berasaskan web yang akan digunakan oleh Mahkamah Syariah di seluruh negara dan juga orang awam. E-Faraid juga merupakan aplikasi online seumpama ini yang pertama kali diwujudkan di dunia. Projek ini terdiri dari 2 modul iaitu E-Faraid dan dan K-Faraid.

E-Faraid adalah sistem pengurusan kes faraid yang dikendalikan di mahkamah syariah bermula dari pendaftaran kes sehingga perintah dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah yang digunakan oleh mahkamah syariah Malaysia. K-Faraid pula merupakan pembelajaran disiplin ilmu faraid meliputi kefahaman hukum syarak melibatkan faraid serta komponen pembelajaran secara interaktif kepada orang awam.

Kertas kerja pertama dibentangkan oleh Yang Arif Tuan Ahmad bin Lakim, Hakim Litar Mahkamah Tinggi Syariah Melaka, juga merangkap Pengarah Bahagian latihan JKSM bertajuk “Pengurusan dan Bidang Kuasa Kes Harta Pusaka Mahkamah Syariah di Malaysia: Cabaran dan Transformasi”.

Pada sesi petang pula, kertas kerja kedua telah dibentangkan oleh Dr Mushaddad Hasbullah, Pensyarah FSU, USIM bertajuk “Implikasi Harta Pusaka Dalam Konteks Hukum dan Nasab”. Kertas kerja ketiga pula dibentangkan oleh Tuan Hj Suhaime bin Mahbar, Pengarah Penyelidikan Perancangan dan Dasar, JPA dengan tajuk “Transformasi Pengurusan Pembahagian Harta Pusaka di Malaysia: Isu-Isu dan Penyelesaian”.

20160922_141006

20160922_123140

 

20160922_112444

20160922_112306

20160922_112337

20160922_123418

20160922_165955

20160922_172454

MAJLIS TAHUN PERUNDANGAN SYARIAH KE 2 TAWAU TAHUN 2016

TAWAU | Majlis Tahun Perundangan Syariah Ke-2 Tawau, Sabah telah diadakan pada 5hb Febuari 2016. Acara yang diadakan di Dewan Mahkamah Tinggi Syariah Tawau itu bermula tepat jam 8.45am. Majlis itu dihadiri oleh Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Sabah, Tuan Alijus @ Mohd Ali bin Hj Sipil, Hakim-Hakim Syarie di Mahkamah Rendah Syariah Lahad Datu, Semporna dan Tawau. Selain itu, majlis kali ini dihadiri lebih ramai dari tahun 2015. Seramai lebih kurang 60 orang telah hadir yang terdiri dari Ketua Pendakwa Syarie Negeri Sabah, Ketua Penguatkuasa Agama Negeri Sabah, Pegawai Tadbir Agama Tawau, Pegawai-Pegawai kanan dari Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah, Kota Kinabalu, Timbalan Penguasa Penjara Tawau, Pengarah Hospital Tawau, Pegawai-Pegawai Kanan dari Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Tanah dan Ukur, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Radio Television Malaysia (RTM) TawauFM dan beberapa lagi agensi lain dari sekitar Tawau.

Format majlis adalah sebagaimana format pada tahun 2015. Majlis yang bermula tepat pada 8.45am dan berakhir pada jam 9.40am itu diisikan dengan ucapan dari Wakil Peguam Syarie Tawau yang dibuat oleh Tuan Mohd Amin bin Hj Tenreng, Pendakwa Syarie Kanan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Tuan Riduan Mohamad bin Othman dan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Tawau, Yang Arif Tuan Ahadin bin Arinen.

Acara Majlis Tahun Perundangan Syariah pada kali ini amat bersejarah kerana bilangan yang hadir amat memberangsangkan. Majlis yang bertemakan “Ketelusan Pemacu Keadilan” itu juga diserikan dengan majlis sesi bergambar di hadapan Bangunan Mahkamah Syariah Tawau. Jamuan makan juga turut disediakan kepada semua peserta. Majlis yang bersejarah ini adalah atas kerjasama antara Mahkamah Syariah Tawau, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Peguam Syarie Tawau. Berikutan sambutan peserta yang amat memberangsangkan, Majlis Tahun Perundangan Syariah pada tahun hadapan dijangka akan diperluaskan lagi dengan menjemput beberapa agensi lain. Ucapan dari Peguam Besar Negeri Sabah juga akan dimasukkan dalam tentatif prosiding Majlis tersebut. Selain itu, pameran dan beberapa program lain juga dijangka akan turut diadakan pada hari yang sama. Rata-rata peserta yang hadir menyatakan harapan bahawa majlis ini akan diadakan pada setiap tahun dengan beberapa penambah baikan.

Untuk mengetahui gambaran perjalanan majlis ini, erakita dengan sukacitanya menjemput anda untuk melihat laporan Majlis Tahun Perundangan Syariah Tawau 2015 dalam blog ini pada 23 Febuari 2015. Sila klik https://erakita.wordpress.com/2015/02/23/pembukaan-tahun-perundangan-syariah-tawau-2015/  untuk mendapatkan laporan tersebut.

12694931_10153910476134555_6688810024043489572_o

12657830_10153910475519555_9199621084622591531_o

RAMADHAN HADIR LAGI

RAMADHAN HADIR LAGI

29 Jun 2014

Sempena kehadiran Ramadhan, erakita mengucapkan selamat berpuasa kepada semua umat Islam. Semoga ibadah kita diterima Allah. Ambillah peluang keemasan ini. Peluang hanya datang sekali dalam setahun. Nilai pahala pula tidak ada batas dan hadnya. Segalanya tergantung atas kehendak Allah semata-mata. Situasi ini berbeza sekali dengan nilai pahala yang kita lakukan pada bulan-bulan yang lain. Ini semua bergantung kepada kualiti dan keikhlasan kita ketika melaksanakan ibadah di bulan ini. Saat ini pintu-pintu syurga dibukakan. Pintu-pintu neraka ditutup. Manakala, syaitan terbelenggu.

Lailatul Qadar

Bulan ini ada satu malam yang nilai pahalanya tersangat banyak dan hebat. Nilainya lebih baik dari amalan yang kita lakukan pada hari biasa selama 83 tahun 4 bulan. Malam itu dinamakan Lailatul Qadar. Ia berada dalam 10 malam terakhir pada bulan Ramadhan. Maknanya, ia berada pada fasa ketiga dalam bulan yang berkat ini.

Justeru, marilah kita berusaha untuk berdoa setiap hari mulai sekarang agar dikurniakan peluang beribadat pada malam al qadar itu. Doa orang berpuasa adalah antara doa yang mustajab. Ambil peluang ini. Walau sudah diketahui malam tersebut ada pada 10 malam terakhir, namun bukan sesuatu yang mudah untuk kita bertemunya. Ujian cukup hebat terutama pada fasa terakhir ramadhan. Lihatlah, betapa barisan jamaah yang hadir untuk solat tarawih pada fasa terakhir ramadhan lazimnya jauh susut dan berkurangan. Kadangkala bilangan jamaahnya berkurangan lebih dari separuh. Orang lebih sibuk untuk perkara-perkara lain seperti membuat persiapan hari raya yang bermacam-macam bentuknya.

Sedekah dan terus bersedekah

Dalam kesempatan ini, ayuh kita buat yang terbaik. Buatlah apa saja amal walau sekecil mungkin berserta niat yang ikhlas kepada Allah. Usah lupakan sedekah. Jika dapat, bawalah duit walau sedikit barang 10 sen semasa datang ke masjid untuk solat subuh berjamaah. Masukkan ke dalam tabung masjid. Lakukan hari-hari jika dapat. Moga-moga amalan ini akan jadi amalan harian sehingga akhir hayat kita. Ingatlah pesan Nabi s.a.w bahawa sebaik-baik amalan itu adalah amalan sedikit tetapi dilaksanakan secara berterusan. Bersedekah dengan memberi pada kadar sedikit. Moga-moga bila sudah jadi kebiasaan, jumlahnya ditambah lagi pada kadar yang semakin besar menurut kemampuan kita.

Semoga sedikit ingatan ini ada manfaatnya untuk kita. Ramadhan yang diberkati. Syukur alhamdulillah. Kita bertemu lagi.

REMIDI KEGANASAN RUMAHTANGGA DALAM UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM

REMIDI KEGANASAN RUMAHTANGGA DALAM UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM

 

 18 Febuari 2014

Selain dari perlindungan yang boleh diperolehi di Mahkamah Majistret, pasangan suami isteri juga boleh mendapatkan perlindungan dan juga remidi-remidi berkaitan dari Mahkamah Syariah. Walau bagaimanapun, pasangan tersebut mestilah seorang yang beragama Islam dan perkahwinan mereka mestilah telah didaftarkan secara sah menurut undang-undang dan hukum syarih di Jabatan Agama Islam. Perlindungan dan remidi-remidi yang disediakan adalah berbentuk perlindungan keselamatan ke atas mangsa dalam bentuk hak untuk mendapatkan perintah pembubaran perkahwinan jika mangsa memilih untuk menamatkan perkahwinan mereka. Keganasan yang dilakukan oleh suami umpamanya, boleh dijadikan alasan utama untuk pembubaran perkahwinan tersebut melalui fasakh dan ta’liq.

1.         Fasakh:

Ada peruntukan dalam sek 53(1)(h)(i) yg menyebut mengenai penganiayaan seperti berikut:

“Seorang perempuan yg berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak mendapat perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh atas satu atau lebih daripada alasan-alasan berikut iaitu bahawa suami menganiayainya, iaitu antara lain menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan kelakuan aniaya”

 Sek 53(1)(h)(m) menyebut:

 “apa-apa alasan lain yg diiktiraf sebagai sah bagi membubarkan perkahwinan atau bagi fasakh di bawah Hukum Syarak”.

Dalam kes Hairon vs Omar (JH). Mahkamah Rayuan Syariah memutuskan bahawa perbuatan menyakiti tubuh badan isteri membolehkan isteri difasakhkan nikahnya. Dalam tulisan Norainan Bahari bertajuk Darar Syarie Dalam Mu’asyarah al-Jiwaz dan Pemakaiannya Dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Selangor 1984 yang dimuatkan dalam buku bertajuk Wanita Dan Perundangan Islam suntingan Raihanah Abdullah, terbitan Ilmiah Publishers Sdn. Bhd, 2001 dalam halaman 79 yang menyebutkan seperti berikut:

“Oleh itu, memukul walaupun tidak lazim tetapi menjadi suatu penganiyaan dan berasaskan Mazhab Maliki, fasakh dibolehkan kerana menyebabkan darar terhadap isteri bukan setakat menyebabkan kesusahan sahaja tetapi juga penderitaan akibat sentiasa berlaku pertengkaran dan maki hamun.”

Dalam kes Hairun vs Omar, Yang Arif Tan Sri Dato’ Haji Mohd. Azmi dalam penghakimannya berkata:

 “Prinsip dhirar ini telah diterima oleh kebanyakan negara-negara Islam termasuk Undang-Undang Keluarga Islam di Malaysia dan Undang-Undang Keluarga Islam 1984 Negeri Selangor juga telah menerima prinsip ini. Jika diteliti dengan lebih mendalam, prinsip pembubaran perkahwinan atau fasakh kerana “aniaya” atau “dhirar” ini tidaklah disyaratkan penganiayaan atau dhirar terhadap tubuh badan sahaja, malahan lebih luas dari itu termasuk enggan bercakap dengan isteri, membelakangkan isteri atau memalingkan muka darinya semasa di katil, mengutamakan memberi layanan kepada perempuan lain dari isteri, memukul dengan pukulan yang menyakiti dan seterusnya dan tidaklah disyaratkan pukulan itudilakukan berulang kali dan lazim”.

Berhubung pemakaian pendapat mazhab dalam kes fasakh, saya merujuk kenyataan Yang Arif Tan Sri Dato’ Haji Mohd Azmi ketika memberikan penghakimannya dalam kes Hairun vs Omar yang menegaskan bahawa pendapat dari Mazhab Maliki berkaitan dhirar digunakan sebagai alasan untuk pembubaran perkahwinan atau fasakh dan prinsip ini diterimapakai kebanyakan negara Islam termasuklah di negara kita. Beliau berkata seperti berikut:

“Kuasa Mahkamah membubarkan perkahwinan atau fasakh kerana perbuatan yang menyebabkan berlakunya “dhirar” terhadap isteri ini adalah berasaskan pendapat Mazhab Maliki. (Miwad Abdul Tawwab, Mausua’h al-Maarif, Iskandariyyah Egypt 1986, halaman 646). Prinsip dhirar ini telah diterima oleh kebanyakan negara-negara Islam termasuklah Undang-Undang Keluarga Islam di Malaysia dan Undang-Undang Keluarga Islam 1984 Negeri Selangor juga telah menerima prinsip ini”.

 Dari kenyataan di atas, saya tidak lagi teragak-agak untuk memetik pendapat dari ulama Mazhab Maliki sepertimana yang dinukilkan oleh Dr. Wahbah al-Zuhaili di atas mengenai keharusan pemisahan dilakukan apabila berlakunya pertelingkahan dan kemudaratan dalam rumahtangga pasangan suami isteri. Untuk memperkukuhkan kenyataan yang mengatakan bahawa kemudaratan dalam rumahtangga boleh diambilkira dalam kes pembubaran perkahwinan atau fasakh, saya tertarik untuk memetik tulisan Mohd. Salleh Haji Ahmad mengenai Kaedah Fekah yang berbunyi “Kemudaratan Hendaklah Disingkirkan” dalam bukunya yang bertajuk Pengantar Syariat Islam, terbitan Pustaka Haji Abdul Majid, cetakan 1999, di halaman 224-225 yang menyatakan seperti berikut:

“Ulama telah sepakat bahawa kaedah ini mengecualikan dhirar yang diizin oleh Syara’ seperti Qisas, Hudud dan segala jenis hukuman keseksaan dan ta’zir yang lain kerana sesungguhnya menolak kerosakan hendaklah didahulukan dari menarik kebaikan. Walau bagaimanapun hukuman-hukuman itu pada hakikatnya tidak disyariatkan melainkan kerana hendak menolak kemudaratan juga.

 

 Masalah-masalah yang termasuk dalam kaedah ini:

 

a.             Boleh dipulangkan barang yang dibeli kepada penjual kerana terdapat kecacatan padanya.

b.             Dihajar (ditahan dari mengurus harta sendiri) ke atas safih; dilarang Mufti yang tidak bersopan dari mengeluarkan fatwa; doktor yang jahil dari merawat orang sakit kerana amalan-amalan mereka ini mendatangkan kemudaratan ke atas diri mereka dan orang lain.

c.             Fasakh nikah kerana ‘aib, kepapaan dengan nafkah dan sebagainya.

d.             Qisas, Hudud dan Ta’zir.”

2.         Ta’liq:

 Sebarang tindakan pihak suami menyakiti tubuh badan isteri boleh mensabitkan cerai taqliq jika berlaku perlanggaran terhadap lafaz taqliq yg dibuat oleh suami selepas aqad nikah. Di negeri sabah umpamanya, bentuk lafaz taqliq yang dipakai seperti yg terdapat di belakang sijil nikah ialah:

          “Adalah saya Atan bin Bidin tinggal di Kota Kinabalu dengan ini bertaklik iaitu manakala saya tinggalkan isteri saya Sarah bte Arshad selama 4 bulan berturut-turut atau lebih, sengaja atau paksa atau saya atau wakil saya tiada memberi nafkah kepadanya selama masa yang tersebut, padahal ia taatkan saya, atau saya melakukan perkara yang menyakitkan tubuh badannya atau kehormatan dirinya atau harta bendanya atau perkara yang tidak diingininya, kemudian ia mengadu kepada mana-mana kadhi di seluruh Malaysia dan manakala sabit aduannya di sisi kadhi atau Mahkamah Syariah, maka pada ketika itu tertalaklah isteriku Sarah bte Bidin dengan satu talak”

Dalam lafaz taqliq tersebut ada disebutkan “atau saya melakukan perkara yg menyakiti tubuh badannya atau kehormatan dirinya..”. Perlakuan menyakiti tubuh badan jelas termasuk dalam senarai perkara yg dikatakan keganasan rumahtangga. Di samping ada diperuntukkan dalan AKRT 1994, perkara yg sama juga ada diperuntukkan dalam EUUKINS 2004. Keadaan ini sebenarnya memberi banyak manfaat kepada kaum wanita terutamanya untuk mencari jalan keluar dari masalah rumahtangga yang kronik disebabkan tindakan ganas dari pihak suami.

Ini bermakna jika si isteri dapat membuktikan kepada M bahawa si suami menyakitkan tubuh badannya dengan dengan pukulan yg menyakitkan, maka M apabila mensabitkan dakwaan isteri itu, talaq satu akan gugur.  Alasan ini banyak digunakan pihak isteri dalam tuntutan taqliq mereka di M Syariah. Laporan polis dan doktor perubatan juga banyak membantu isteri dalam tuntutan mereka.

3.         Perintah Tegahan Terhadap Gangguan

 Seperti dalam AKRT 1994, perkara yg menyentuh mengenai perintah perlindungan terhadap mangsa keganasan rumahtangga ada diperuntukkan dengan jelas dalam EUUKINS 2004. Sek 107(1) menyebut:

“Mahkamah adalah berkuasa dalam masa perbicaraan hal ehwal suami isteri masih belum selesai atau selepas pemberian suatu perintah perceraian, fasakh atau pembatalan, memerintahkan seseorang menahan dirinya dari mengganggui atau menceroboh, dengan apa-apa cara pun ke atas suami dan isteri atau bekas suami atau bekas isterinya “.

 Perintah tersebut boleh dipohon bukan saja untuk melindungi isteri tetapi juga suami. Kesan terhadap sebarang keingkaran mematuhi perintah M tersebut merupakan satu penghinaan terhadap Mahkamah. Seksyen 107(2) menyebut:

“Kemungkiran mematuhi sesuatu perintah yg dibuat di bawah seksyen ini boleh dikenakan hukuman sebagai suatu penghinaan terhadap Mahkamah”.

Ini bermakna, pihak yang melanggar perintah itu boleh dikenakan tindakan penghinaan Mahkamah dengan memberikan notis tunjuk sebab kepadanya di hadapan Mahkamah mengapa ia tidak dikomitkan ke penjara atau dihukum dengan apa-apa juga hukuman yang sewajarnya atas kesalahan menghina Mahkamah. Prosiding kes seperti ini akan dijalankan dalam kes mal memandangkan permohonan berkaitan penghinaan Mahkamah dan pegkomitan ke penjara ini dibuat terus kepada mahkamah melalui kes mal.

4.         Dakwaan menghina Mahkamah kerana ingkar perintah tegahan.

 Selain boleh memilih untuk mendapatkan keadilan mengheret pihak yang melanggar perintah tegahan yang dikeluarkan Mahkamah di bawah seksyen 107 di atas ke Mahkamah untuk pengkomitan ke penjara, pihak yang terkilan itu juga boleh memilih untuk membawa orang yang ingkar tadi ke Mahkamah dalam kes jenayah. Apa yang perlu dilakukan ialah dengan membuat aduan rasmi kepada Pegawai Penguatkuasa Agama di Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah. Siasatan akan dijalankan di bawah seksyen 104 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Sabah) 1995 (EKJS) atas kesalahan menhina perintah Mahkamah. Di bawah Seksyen 104 EKJS 1995, seseorang yg disabitkan menghina Mahkamah boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM1,000.00 atau penjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya sekali.

5.         Kesalahan- dan hukuman berkaitan keganasan rumahtangga di bawah EUUKINS 1992

 Terdapat 2 seksyen khas yang memperuntukkan hukuman bagi kesalahan berkenaan keganasan rumahtangga. Dalam seksyen2 tersebut, perkataan berkenaan keganasan rumahtangga yg digunakan ialah menganiayai dan menzalimi. Sek 134 EUUKINS 1992 sebagai contohnya menyebut:

“Seseorang suami atau isteri yg menganiaya isteri atau suaminya atau menipu harta isteri atau suaminya adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh dihukum denda tidak melebihi RM1000.00 atau penjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua2nya denda dan penjara itu”.

 Manakala sek 142(1) menyebut:

“Seseorang lelaki yg menzalimi isterinya atau anaknya dengan apa carapun adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM3000.00 atau penjara tidak melebihi 1 tahun atau kedua2nya denda dan penjara itu”.

 Sek 142(2) pula menyebut:

“Seseorang isteri yg menzalimi suaminya atau anaknya dengan apa carapun adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM3000.00 atau penjara tidak melebihi 1 tahun atau kedua2nya denda dan penjara itu”.

 Di bawah EUUKINS 2004 pula, seksyen 128 menyebutkan bahawa selain boleh dipenjara dan dihukum membayar denda, pesalah jenayah dalam rumahtangga juga boleh diperintahkan untuk membayar pampasan kepada mangsa bagi harta yang telah ditipu itu. Seksyen tersebut berbunyi”

(1) Seseorang suami atau isteri yang dengan sengaja menganiaya isterinya atau suaminya atau menipu harta isterinya atau suaminya, mengikut mana-mana yang berkenaan, adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu.

(2) Mahkamah boleh, sebagai perintah tambahan, memerintahkan supaya dibayar pampasan bagi harta yang telah ditipu itu.

Perlu dimaklumi bahawa EUUKINS 1992 sehingga kini belum lagi dimansukhkan. Ini bermakna, terdapat 2 enakmen undang-undang keluarga Islam yang sedang berkuatkuasa di Sabah ketika ini iaitu EUUKIN 1992 dan EUUKINS 2004. Semoga tulisan ini ada manfaatnya dalam rangka penyebaran ilmu pengetahuan dan kefahaman mengenai hak kita di sisi undang-undang khususnya dalam konteks perundangan Islam.

Selamat Tahun Baru 2014

 

Selamat Tahun Baru 2014

31 Disember 2013

Tahun baru datang lagi. Angka 2013 melabuhkan tirainya. Kini angka 2014 akan muncul. Pelbagai peristiwa suka duka, pahit manis telah dilalui sepanjang tahun 2014. Kini semuanya telah berlalu. Tinggallah peristiwa-peristiwa itu sebagai sejarah tersendiri. Pada kesempatan ini, ERAKITA mengucapkan selamat menempuh tahun baru 2014. Semoga tahun yang baru ini lebih baik dan berkualiti berbanding tahun-tahun sebelumnya. Majulah ke hadapan bersama azam dan cita-cita yang hebat. Inilah masanya untuk berubah. Berubah dari malas kepada rajin. Daripada sakit kepada sihat. Daripada lemah iman kepada kuat iman. Dari kurang amalan kebaikan kepada banyak amalan kebaikan. Dari kurang menderma kepada banyak menderma. Dari lambat bangun pagi kepada awal bangun. Dari selalu lewat tidur kepada tidur awal. Dari lewat datang kerja kepada awal datang kerja. Dari selalu berbohong kepada jujur. Dari selalu bermuka masam kepada bermuka ceria dan senyum. Dari asyik cakap keburukan orang kepada cakap kebaikan orang. Dari duduk lama-lama di kedai kopi waktu bekerja kepada duduk minum untuk tempoh yang menasabah sahaja.

Banyak sekali perkara yang boleh difikirkan untuk diubah. Semuanya terserah pada kita. Ada baiknya kita ambil masa untuk bersendirian sambil berfikir, sambil bermuhasabah diri. Fikirkan apa yang telah dilalui. Apakah kita berpuashati dengan apa yang kita lakukan atau kita capai sebelum ini? Apakah kita sudah puas hati dengan tahap ibadah yang kita lakukan? Apakah amalan kita selama ini sudah cukup untuk menjamin kita mendapat kemudahan di alam kubur atau akhirat kelak? Jika tidak, ayuhlah cepat-cepat berazam di awal tahun. Berazam untuk berubah kepada suatu tahap yang lebih baik pada awal tahun lebih terasa aura dan kehangatannya berbanding hari-hari biasa. Ambillah kesempatan yang tersedia ini sebelum ia berlalu dan pergi semakin jauh dari garisan permulaan.

Paling penting untuk diinsafi, setiap kali datang tahun baru, itu sebenarnya tanda jelas bahawaAllah telah memanjangkan umur kita.  Bila umur meningkat, bermakna jangka hayat kita di dunia sebenarnya semakin singkat atau pendek. Ya! umur kita semakin pendek. Kita semakin hampir kepada kubur. Semakin pendek masa kita untuk menatap insan-insan kesayangan kita dalam hidup ini. Semakin pendek dan singkatnya masa untuk kita berbuat ibadah dan apa jua kebaikan di alam dunia ini. Bila menyedari umur makin pendek, bersedialah untuk melakukan sesuatu yang paling bernilai dalam hidup buat bekalan di hari kemudian. Jangan persiakan masa yang ada. Setiap saat yang Allah beri pada kita merupakan bonus termahal untuk kita. Lakukan yang terbaik ketika ini kerana belum tentu ada peluang lagi selepas ini.

Akhir kalam, ERAKITA juga mengucapkan setinggi-tinggi terimakasih atas kunjungan para tetamu ke rumah ERAKITA selama ini. Semoga kunjungan tersebut akan melonjakkan lagi semangat ERAKITA untuk terus menghasilkan pengisian yang terbaik dalam blog ini pada masa hadapan. Doakan ERAKITA supaya terus menyumbang apa yang termampu menurut ilmu dan pengalaman yang ada. Sesungguhnya kepuasan tersendiri dapat dirasai jika kita dapat berkongsi ilmu dan manfaatnya dapat dirasai oleh semua orang. Kita laksanakan usaha ini semata-mata mengharapkan redha Allah s.w.t. Semoga ianya menjadi sebahagian dari amal jariah yang menjadi bekalan di hari kemudian. Terimakasih juga atas komen, pendapat dan persoalan-persoalan yang telah dikemukakan dalam blog ini.

Selamat Tinggal 2013

 

CATATAN PENGLIPUR LARA SANG MAJISTRET

 

CATATAN PENGLIPUR LARA SANG MAJISTRET

24 Disember  2013

Sebagai orang yang terlibat secara langsung dengan dunia perundangan, ERAKITA amat teruja apabila melihat tajuk “Catatan Penglipur Lara Sang Majistret” pada sebuah buku ketika berkunjung ke salah sebuah kedai buku di Kota Kinabalu baru-baru ini. Tak sia-sia membeli buku setebal 255 yang diterbitkan oleh Galeri Ilmu Sdn Bhd terbitan 2012. Buku yang ditulis oleh Saudara Zabidi Mohamed, seorang penulis yang semakin dikenali dan mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang perundangan sebelum berkecimpung dalam dunia penulisan itu sesungguhnya amat mencuit perasaan dan menghiburkan. Penceritaan kisah pengalaman penulis sebagai Majistret suatu ketika dahulu amat bernilai untuk dikongsi bersama.

20131203_161026[1]

Antara cerita yang penuh mendebarkan, suspen dan menggoncangkan perasaan ialah kisah bagaimana penulis dan beberapa Majistret wanita dibawa ke Penjara Pudu bagi menyaksikan sendiri perlaksanaan sebatan ke atas pesalah jenayah rogol. Paling mendebarkan apabila 3 pesalah lelaki terdiri dari Kaum Cina, India dan Melayu disebat satu demi satu. Pegawai Penguasa Penjara dari awal-awal memaklumkan kepada Sang Majistret bagaimana perbezaan nada dan kekuatan teriakan, rintihan dan jeritan kesakitan dari ketiga-tiga pesalah itu yang bakal disaksikan nanti. Ternyata, hipotesis Pegawai Penguasa Penjara itu tepat apabila Sang Majistret menyaksikan dengan kepala dan mata perlaksanaan hukuman sebat tersebut.

Ketika membaca buku ini, ERAKITA terbayang bagaimana ERAKITA berkesempatan untuk menyaksikan sendiri perlaksanaan sebatan pertama ke atas pesalah jenayah syariah di Penjara Kepayan, Kota Kinabalu, Sabah pada 10 Oktober 2011. Apa yang ERAKITA fahami ialah betapa berat dan peritnya kesakitan yang dialami oleh pesalah jenayah yang dihukum oleh Mahkamah Awam berbanding hukuman bagi pesalah jenayah syariah bagi hukuman sebat. ERAKITA amat bersetuju dengan kenyataan salah seorang pegawai penjara semasa menyaksikan sebatan bagi pesalah jenayah syariah di Penjara Kepayan itu apabila ia mengatakan bahawa kekuatan sebatan pesalah jenayah dari Mahkamah Awam adalah 100 peratus berbeza dari segi kekuatan sebatan bagi pesalah jenayah syariah.

Pendek kata, ERAKITA berani mengatakan bahawa bezanya adalah antara langit dan bumi. Sukar sekali membayangkan bagaimana berat dan sakitnya sebatan ke atas pesalah jenayah yang disabit dan dihukum oleh Mahkamah Awam. Bahkan ada kenyataan mengatakan bahawa sebatan tersebut silap haribulan boleh menyebabkan seorang lelaki itu mati pucuk. Sebatan syariah pula jelas sekali tidak ada unsur-unsur menyakitkan tubuh badan. ERAKITA sendiri bersyukur kerana berpeluang memegang alat sebat, melihat sendiri kesan sebatan di bahagian belakang tubuh pesalah dan seterusnya menyentuh kawasan yang disebat. Hanya ada kemerah-merahan yang cukup sederhana dan jelas tidak ada unsur menyakitkan fizikal. Pesalah disebat dalam keadaan berdiri, berpakaian hijau dan aurat tertutup.

Ketika disebat, tidak ada suara pesalah yang menggambarkan kesakitan. Cukup tenang tapi mendebarkan. Pesalah tidak diikat. Cuma tangannya dirapatkan di pipi yang dipegang oleh petugas penjara. ERAKITA tidak terkejut dengan jawapan pesalah tersebut setelah selesai 5 kali sebatan apabila ia menjawap pertanyaan ERAKITA. Katanya, sebatan tersebut tidak menyakitkan. Cuma mendebarkan sebelum sebatan dilaksanakan. Terpampang perasaannya begitu lega setelah sebatan selesai.

Buku ini amat sesuai dibaca oleh semua golongan untuk memberi gambaran bagaimana keadaan sebenar perjalanan kes di Mahkamah. Turut menarik untuk dikongsi bersama ialah bagaimana hebatnya cabaran yang dihadapi seorang hakim ketika berhadapan dengan pelbagai kes di Mahkamah. Golongan yang berkecimpung dengan undang-undang seperti Hakim, Peguam dan Pegawai Undang-Undang tidak harus melepaskan peluang untuk memiliki dan membaca buku ini. Penceritaan berdasarkan pengalaman sebenar penulis sesungguhnya menarik dan menghiburkan. Banyak perkara yang terselindung dalam dunia kehakiman dapat dikongsi bersama untuk hiburan dan pengetahuan umum.

ERAKITA menyarankan agar buku ini dapat dikongsi oleh semua peringkat untuk melihat lebih dekat bagaimana kehidupan individu yang terlibat dalam dunia perundangan khususnya Sang Majistret. Tahniah kepada Penulis yang hebat ini. Teruskan penulisan anda.