Monthly Archives: April 2010

SEKATAN PENYEBARAN AGAMA LAIN KE ATAS ORANG ISLAM: 2

Sekatan penyebaran agama lain ke atas orang Islam

30 April 2010

Kedudukan istimewa agama Islam di Malaysia diperkukuhkan lagi apabila Perkara 11(4) dengan jelas memberi kuasa kepada Parlimen dalam konteks Wilayah Persekutuan dan Dewan Undangan Negeri dalam konteks negeri-negeri untuk membuat undang-undang yang menyekat dan menghalang sebarang bentuk usaha mana-mana pihak untuk menyebarkan agama selain Islam di kalangan orang Islam.

Sementara agama lain tidak boleh disebarkan di kalangan orang Islam, lain pula kedudukannya bagi agama Islam. Dalam perlembagaan, orang-orang Islam diberi kebebasan untuk menyebar serta mengembangkan agama Islam di kalangan orang-orang bukan Islam. Kedudukan istimewa Islam seumpama ini merupakan salah satu kesan atau implikasi penting akibat permeterian Islam sebagai agama Persekutuan seperti termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

Kedudukan hak yang kelihatan tidak seimbang ini tidak mustahil boleh menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan orang bukan Islam. Namun, harus diingat bahawa sejarah telah mencatatkan bahawa peruntukan-peruntukan penting dan sensatif dalam perlembagaan yang ada pada hari ini merupakan hasil persetujuan atau kompromi semua wakil-wakil kepada kaum-kaum yang utama sewaktu Malaysia menuju ke ambang kemerdekaan.

Berbalik kepada Perkara 11(4) Perlembagaan, dapat difahami bahawa setiap negeri diberi kuasa dan tanggungjawap untuk mengubal undang-undang pengawalan penyebaran agama lain ke atas orang Islam. Walau bagaimanapun, Perlembagaan ini tidak pula MEWAJIBKAN Wilayah-Wilayah Persekutuan atau Negeri-Negeri untuk membuat undang-undang tersebut. Dengan kata lain, terserahlah kepada Negeri-Negeri berkenaan samada nak membuatnya atau sebaliknya.

Dalam konteks Negeri Sabah, undang-undang tersebut belum lagi diwujudkan sehingga ke hari ini. Keadaan ini pada pendapat Erakita boleh mengundang lebih banyak aktiviti penyebaran agama lain ke atas orang Islam ekoran ketiadaan undang-undang bertulis untuk mengawal dan menyekatnya. Tidaklah mustahil bahawa kekosongan undang-undang dalam hal ini boleh mendatangkan kesan yang tidak baik dalam usaha menangani gejala murtad di kalangan penganut Islam yang sememangnya wujud ketika ini.

Berhubung Perkara 11(4), kuasa membuat undang-undang yang menyekat penyebaran agama lain di kalangan orang Islam dilihat sebagai satu bentuk penguasaan dan dominasi orang Islam di negara ini. Dominasi orang Islam ini tidak menghairankan kerana berdasarkan sejarah, Islam telahpun dianuti secara meluas di kalangan penduduk Tanah Melayu semenjak kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15.

Tidak ada harapan yang lebih besar melainkan usaha dan kesungguhan dari wakil-wakil rakyat yang dipilih rakyat di Dewan Rakyat atau Dewan Undang Negeri untuk membuat undang-undang Pencegahan Penyebaran Agama Lain di Kalangan Orang Islam.

Dalam konteks Sabah, kedudukan suara majoriti yang begitu kukuh di DUN Sabah pada ketika ini dilihat sebagai satu peluang dan kesempatan paling bernilai untuk menggubal undang-undang tersebut. Lagipun, tindakan tersebut bukanlah sesuatu yang sensatif memandangkan undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Malaysia lebih 50 tahun yang lampau telahpun menyediakan dan mengizinkan untuk hal ini dilaksanakan.

Bagi Erakita, mengambil dan melaksanakan suatu peruntukan dalam Perlembagaan itu sesungguhnya suatu lambang penghormatan dan sokongan padu terhadap undang-undang tertinggi itu sendiri. Keistimewaan yang diberi kepada Agama Islam ini sewajarnya direnung dan dihayati agar matlamat penggubal undang-undang itu dapat diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaannya.

Akhirnya, sesuai dengan kedudukan umat Islam sebagai penduduk majoriti di negara ini, kesucian dan kemurnian Islam semestinya dipertahankan dengan membuat undang-undang sekatan dan penyebaran agama lain di kalangan orang-orang Islam.

“Bersama Memantapkan Undang-Undang”


ISLAM SEBAGAI AGAMA PERSEKUTUAN: 1

 

Prof Ahmad Ibrahim (duduk 3 dari kiri) bersama tenaga pengajar dan pelajar undang-undang UIA 1994

 

Kedudukan Islam Dalam Perlembagaan:

Islam sebagai Agama Persekutuan

 

26 April 2010

Berdasarkan kepada Perkara 3(1) Perlembagaan, agama Islam ternyata diberi kedudukan yang istimewa berbanding agama-agama lain di negara ini. Ini terbukti apabila undang-undang tertinggi ini menyatakan bahawa Islam adalah agama Persekutuan manakala agama-agama lain pula bebas untuk dianuti dan dipraktikkan oleh penganut-penganutnya. Dalam konteks negeri-negeri pula, hampir kesemua Perlembagaan negeri-negeri memperuntukkan bahawa Islam adalah agama rasmi negeri di samping jaminan kebebasan beragama terpelihara sebagaimana dalam perlembagaan. Peruntukan seumpama ini merupakan kesinambungan kepada apa yang wujud dalam perlembagaan bertulis negeri-negeri Melayu sebelumnya seperti Perlembagaan Negeri Johor 1895 dan Negeri Terengganu 1911. Apa yang menarik untuk diberi perhatian ialah peruntukan mengenai Islam ini diberi keutamaan dari segi urutan peruntukan dalam perlembagaan. 

Walaupun Perlembagaan persekutuan ini telah diiystiharkan sebagai undang-undang tertinggi negara, namun peruntukan mengenainya hanya diletakkan pada Perkara 4. Manakala, bagi Islam pula, kedudukannya yang istimewa telah diberi keutamaan tertinggi dari segi urutan apabila ia diletakkan lebih awal dalam Perkara 3. Meletakkan Agama Islam di awal bahagian dalam Perlembagaan membawa makna yang besar dari segi peranan dan kedudukannya. Perlu diingat bahawa, walaupun Perlembagaan itu adalah undang-undang utama dan tidak ada yang dapat mengatasinya, namun harus diingat bahawa Islam yang meliputi undang-undang Islam juga merupakan sebahagian dari undang-undang yang diliputi dan diiktiraf oleh perlembagaan itu sendiri. Dengan kata lain, undang-undang Islam itu adalah sebahagian dari kandungan  Perlembagaan itu sendiri. 

Kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan menunjukkan bahawa agama Islam telah diberi keistimewaan dalam perlembagaan berbanding agama-agama lain di negara ini. Kedudukan Islam yang istimewa ini tidak harus dipertikaikan memandangkan peruntukan mengenainya ditunjangi oleh Perlembagaan. Perlembagaan Persekutuan itu pula adalah hasil kompromi dan permuafakatan bersama pemimpin-pemimpin negara dan masyarakat yang terdiri dari pelbagai kaum dan agama semasa Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaannya pada tahun 1957.

Kedudukan Istimewa Islam ini juga telah mengambil kira elemen-elemen tradisional penduduk asal Tanah Melayu iaitu orang-orang Melayu ratusan tahun sebelumnya yang terus menerus dipertahankan . Contohnya, agama Islam telah menjadi anutan sejak ratusan tahun bagi orang-orang Melayu. Kerajaan Melayu Melaka yang bertapak kukuh selama lebih kurang 100 tahun pada kurun ke-15 telahpun memperkenalkan undang-undang Islam yang dikenali Hukum Kanun Melaka. Walaupun undang-undang tersebut dikatakan mengandungi unsur-unsur adat, namun sebahagian besar kandungannya merupakan undang-undang Islam sebenar meliputi perkara-perkara sivil dan jenayah.

Oleh yang demikian, tidaklah menghairankan mengapa Islam menjadi agama Pesekutuan. Sebagai Agama Persekutuan, Islam menjadi agama yang dominan dan mendapat banyak keistimewaan di negara ini berbanding agama-agama Islam. Apa yang penting dalam hal ini ialah, betapa pentingnya seluruh warga Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum dan agama ini menghayati sejarah negara. Tujuannya, agar setiap peruntukan penting dalam undang-undang di negara kita dapat difahami mengapa ia berlaku sedemikian rupa. Pemahaman mendalam mengenai sejarah negara dan undang-undang tidak syak lagi dapat mengikis rasa ketidakpuas hati mana-mana pihak terhadap suatu peruntukan undang-undang itu.

  

Ayuh! Sama-sama kita hayati sejarah Negara

 

 

TUNGGU KAWAN: mana janji manismu?

 

 

TUNGGU KAWAN

 mana janji manismu?

 

8 April 2010

 Janji manis menunggu kawan datang: Ini lagi satu masalah yang biasa kita alami. Biasanya, dalam satu perjalanan ke mana-mana, kita akan berjanji untuk bertemu di suatu tempat sebelum bertolak ke suatu distinasi. Si kawan minta supaya kita menunggunya di tempat sekian-sekian pada jam sekian-sekian. Kita pun bergegaslah ke tempat itu, takut pula si kawan yang dulu sampai dan terpaksa menunggu kita pula. Dalam hati kita, biarlah saya tunggu orang, jangan sampai orang tungu kita. 

Kekadang kita tidak sempat lagi menjamah makanan di rumah, tak sempat bersarapan di kedai. Ini semua gara-gara nak cepat sampai ke tempat itu. Tiba-tiba, setelah sampai di tempat yang disebutkan, si kawan rupanya belum sampai. Legalah juga hati kita, sekurang-kurangnya kita tidaklah membuatkan orang menunggu kita. Kitapun menunggulah si kawan sampai. Tunggu punya tunggu punya tunggu, si kawan tidak sampai-sampai juga. 5 minit berlalu, kita tunggu juga tanpa syak apa-apa. Setelah 15 minit berlalu, kita telipon si kawan. Si kawan kata,”Ya! Ya!, saya dalam perjalanan ni. Kau tunggu saja. Dalam 10 minit saya sampai”. 

Kita tunggu lagi. Setelah 10 minit berlalu, batang hidungnya pun tak nampak juga. Kita tunggu juga dengan penuh sabar. Hampir setengah jam kita tunggu, kita pun telipon lagi. Si kawan kata ”Sori-sori!, sekejap lagi sampai, dalam perjalanan ni, K..”. Dipendekkan cerita, akhirnya si kawan sampai juga tapi hanya setelah kita mengambil masa selama hampir sejam menunggunya tanpa sebarang faedah. Sudahlah kita terlepas sarapan, perut pula memulas-mulas, perasaan pula sudah tidak seceria seperti mula-mula tadi. Pendek kata, hilang segala mood. Si kawan pula dengan selamba melemparkan senyumannya tanpa merasa bersalah. 

Saudara, pernahkah anda mengalami kejadian seperti ini? Inilah yang dikatakan penyakit janji manismu. Memang manis betul janji si kawan tadi. Janjinya ialah dia akan sampai di tempat tersebut jam sekian-sekian. Bukan sekali berjanji, jika dikira dari janji sebelum bertolak, janji manisnya dibuat sebanyak 3 kali. Semuanya tidak tertunai. Walaupun sampai di tempat tu tapi bukanlah pada masa yang dijanjikan. Akhirnya, ada 3 janji manis si kawan yang tidak ditunaikan mengikut masanya. 

Ironinya, pada satu hari, akhirnya kita dapat tahu dari rakan si kawan tentang cerita sebenar mengapa si kawan lambat sampai tempoh hari. Menurut cerita rakannya yang kita boleh percayai, sebenarnya ketika si kawan mengatakan bahawa ia sedang dalam perjalanan dan tak lama lagi sampai, si kawan sebenarnya belum lagi bergerak dari rumah. 

Alahai, jika kita tergolong dalam golongan si kawan ni, cepat-cepatlah keluar dari golongan tu. Takut-takut, jika dah terbiasa janji manis, akhirnya kita hilang kepercayaan dari kawan-kawan. Akhirnya, kita akan kehilangan kawan. Kita juga yang rugi. Jadi, ubahlah sikap dari sekarang. Sedarlah bahawa sekali kita mengkhianati janji, orang tidak akan lagi percaya dengan kita. Paling penting, jangan kita lupa bahawa dalam al-Quran, Allah telah berpesan agar manusia berpegang pada janji. Janji itu pula akan dipersoalkan di akhirat kelak. Oleh itu, ayuh! Berpeganglah pada janji. 

 

Selamat Berpegang Pada Janji

 

 

HUTANG: mana janji manismu?

HUTANG

MANA JANJI MANISMU?

5 April 2010

Ada pepatah mengatakan ”Orang yang mudah berjanji, biasanya mudah mengingkarinya”. Jika dihayati pepatah ini, memang ada benarnya. Cuba kita lihat manusia sekeliling kita. Biasanya orang yang suka membuat janji tidak akan benar-benar memikirkan ucapannya. Cepat sangat ia mengeluarkan kata-kata janji tanpa berfikir panjang. Inilah bahayanya jika terlalu cepat mengeluarkan kata-kata janji. Mungkin apa yang ia fikirkan ialah yang penting, perkara di hadapannya ketika itu selesai cepat. Contoh mudah ialah orang datang menagih HUTANG dengan kita. Untuk mengelak dari masalah rumit atau pergaduhan ataupun diketahui orang lain, kitapun dengan cepat mengeluarkan kata-kata janji sekian-sekian untuk bayar.

Namun, setelah tiba hari yang dijanjikan, kita akan cuba mengelak dari bertemu dengan orang tersebut. Alangkah kesihannya orang itu datang dari jauh ke rumah kita atau ke pejabat kita semata-mata untuk mengutip hutangnya sebagaimana dijanjikan. Yang pelik dan ajaibnya, saat orang itu datang, pandai pula kita menghilangkan diri. Kadang-kadang staf atau rakan-rakan sepejabat sendiri tidak tahu ke mana kita menghilang saat itu. Menunggulah orang itu di hadapan kaunter sampai 2-3 jam. Namun, kelibat kita hari itu langsung tidak kelihatan. Kesihannya orang itu. Mungkinkah fenomena ini biasa berlaku di sekeliling kita. Tepuk dada tanyalah hati sendiri.

Begitu juga bagi siapa-siapa yang ada KAD KREDIT. Menggunakan kad kredit memang mudah dan senang sekali. Jika ke stesyen minyak, jarang sekali kita mengisi tangki minyak kereta untuk harga barang RM10 atau RM20. Jangankan separuh tangki, lazimnya kita mengisi hingga penuh tangki itu. Tidak kurang insiden di mana badan kereta digoyang-goyangkan agar tangki  kereta benar-benar dipenuhi minyak. Ini realiti yang berlaku dalam masyarakat kita. Mengapa begitu? Kerana kita guna kad kredit. Jadi mudahlah bayar ketika itu. Saat itu kalau nak beli barang, semua boleh dapat. Namun, di penghujung bulan, kita sudah risau memandangkan sudah banyak duit hutang yang kita perlu bayar kepada pihak bank.

Setelah itu, mulalah kita menerima panggilan daripada pegawai bank yang bertanyakan bila kita akan membayar hutang kad kredit. Paling malang, bila kita sedang syok bercerita dengan kawan-kawan, tiba-tiba pula hand set kita berdering. Sekali dilihat, tertera perkataan PRIVATE NUMBER. Sahlah! Ini mesti dari bank pasal pembayaran kad kredit. Saat itu, perbualan yang rancak terhenti seketika. Muka kita tiba-tiba menjadi tidak lagi ceria. Rakan-rakan kita semacam perasan akan apa yang kita hadapi. Bila pegawai bank tanya bila kita akan bayar, tanpa berfikir panjang, kitapun mengatakan ”ya, ya, minggu ni, paling lambat hari jumaat ni”. Begitulah agaknya kata-kata kita untuk menamatkan segera panggilan tersebut. Samada kita sedar atau tidak, itulah janji kita, itulah amanah yang perlu kita pikul dan tunaikan. Bagi pihak bank, panggilan tersebut akan direkodkan.

Segala janji tadi telahpun direkodkan. Pada hari jumaat sebagaimana dijanjikan, pihak bank membuat panggilan telipon. Mulalah kita mencari alasan untuk mengelak diri dari menjawap. Kekadang sengaja kita biarkan hand set kita berdering beberapa kali tanpa diangkat. Mengapa? Kerana kita sudah tahu, dengan timbulnya pemangil PRIVATE NUMBER itu, itu maknanya panggilan dari bank pasal kad kredit. Bila panggilan dibiarkan, panggilan itu akan berstatus MISS CALL. Dengan itu kita ada alasan untuk memanjangkan cerita pasal kad kredit itu. Sekurang-kurangnya kita sudah terlepas satu MASALAH buat SEMENTARA. Saudara, pernahkah kita berhadapan situasi ini?

Cakap soal hutang dan janji manis kita untuk melunaskannya, rasanya ramai orang yang terlibat benda ni. Dari yang SEKAYA-KAYA hingga SEMISKIN-MISKIN. Dari PEGAWAI TINGGI hingga Kakitangan Bawahan. Sehingga ada orang pernah kata ”HARIMAU MATI MENINGGALKAN BELANG, MANUSIA MATI MENINGGALKAN HUTANG”. Memang ada kebenarannya kata-kata ini. Hari ini andai anda ke Mahkamah Syariah, anda akan percaya kata-kata ini. Dalam kes pembahagian harta pusaka si mati, anda akan dapati tidak kurang banyaknya bilangan orang yang meninggal dunia tanpa sempat membayar hutang. Baik hutang kepada bank atau hutang dengan orang perseorangan.

Tidak keterlaluan bahawa ada juga para waris yang terpaksa MENGGIGIT JARI kerana gara-gara hutang si mati yang banyak, akhirnya harta peninggalan si mati jadi SIKIT atau habis sama sekali. Kenapa habis? Kerana digunakan untuk menutup segala hutang-piutang si mati. Akhirnya yang waris dapat hanyalah KEPENATAN turun naik turun naik ke Mahkamah semata-mata menyelesaikan harta peninggalan si mati. Ikut hukum Islam, sebelum harta simati dibahagi kepada waris-warisnya, salah satu hak simati yang WAJIB ditunaikan ialah melunaskan segala hutang simati terlebih dahulu. Maknanya, harta simati tu kenalah guna untuk melunaskan hutang terlebih dahulu. Jika ada baki, baki itulah yang dinamakan sebagai harta pusaka si mati yang sebenar.

Kekadang semasa hayatnya, simati memang mempunyai kemampuan untuk membayar hutang tersebut. Tapi, sikap semulajadi manusia menguasai diri sehingga kewajipan membayar hutang dilambat-lambat atau dilengah-lengahkan. Jika dituntutpun, jawapan yang biasa diberikan ialah ”Bah, nantilah hari sekian-sekian saya bayar”. Bila dituntut lagi, jawapannya mulai tambah canggih seperti ”Ok! Ok! Kau tunggu saja hari jumaat ni, sebelum jam 11.00 pagi, saya datang office!. Jangan pula kau tiada sana masa tu!”. Jawapan yang cukup menyakinkan. Ayat-ayat power ”Jangan pula kau tiada di sana masa tu” itulah yang paling berharga dan sangat mengembirakan orang yang menuntut hutang tadi. Orang yang menagih hutangpun merasa gembira dan begitu yakin bahawa orang tersebut akan datang pada hari dan masa yang disebutkan untuk melunaskan hutang. Apa yang berlaku selepas itu? Sah! Batang hidungpun tidak nampak. Inilah janji namanya. Janji memang mudah diucapkan tapi amat sukar ditunaikan.

Saudara, hal-hal begini perlu direnungi. Ini kerana, kegagalan kita menunaikan janji bakal membawa kesulitan. Bukan saja kita yang sulit di dunia, malah kita akan berhadapan kesulitan berpanjangan selepas kematian kita. Kita jangan lupa bahawa biarpun kita banyak amal kebajikan semasa hidup, namun, kalau kita masih berhutang dengan orang lain, maka roh kita juga menghadapi kesulitan yang cukup hebat di alam sana. Bahkan, orang-orang yang punya hak ke atas kita bakal pula menuntut hak mereka ke atas kita di akhirat kelak.

Begitu juga, keluarga tersayang kita juga bakal berhadapan kesulitan apabila kita tinggalkan mereka buat selama-lamanya. Mereka pula kena sedaya upaya melunaskan hutang kita melalui sedikit harta yang kita tinggalkan. Jika tidak cukup juga, keluarga kita pula yang kena pakai harta mereka untuk melunaskan hutang kita. Akhirnya, mereka tidak mendapat apa-apa harta pusaka kita, sebaliknya mereka pula yang mengeluarkan harta mereka sendiri untuk menyelesakan hutang kita. Inilah yang perlu kita fikirkan jika kita punya hutang. Fikirkan kesannya jika kita gagal melangsaikan hutang kita. Bukan saja kita rugi, bahkan, waris-waris kita juga turut mendapat kerugian dari tindakan kita.

Sebab itu, jangan mudah membuat janji manis dalam soal hutang. Sebab, janji manis itulah nanti yang akan memudaratkan kita, waris-waris kita dan orang lain yang telah memberi hutang kepada kita.

SELAMAT MEMBAYAR HUTANG