Monthly Archives: April 2016

MUZAKARAH HAKIM SYARIE SABAH

KENINGAU | Muzakarah  Hakim-Hakim, Mahkamah Syariah Negeri Sabah Bilangan 1, telah diadakan di Keningau, Sabah pada 26hb April 2016 yang lalu. Muzakarah yang diadakan selama sehari itu membabitkan semua Hakim Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rendah Syariah dari seluruh Negeri Sabah. Muzakarah yang dipengerusikan oleh Yang Amat Arif, Datuk Jasri @Nasip bin Matjakir, Ketua Hakim Syarie Sabah itu turut melibatkan pegawai-pegawai kanan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah seperti Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah, Pegawai Sulh dan Pegawai Penyelidik.

Dalam perutusannya, YAA Ketua Hakim Syarie Sabah antara lainnya menekankan supaya setiap Mahkamah berusaha untuk mencapai KPI penyelesaian kes-kes perceraian yang tertangguh bagi kes yang didaftarkan sebelum tahun 2014 pada kadar tidak kurang dari 70 peratus. Ketua Hakim Syarie juga menegaskan bahawa semua Hakim perlu mengekalkan momentum yang tinggi untuk melaksanakan amanah yang diberikan untuk mendengar dan menyelesaikan kes-kes orang Islam di dibawa ke Mahkamah Syariah.

Pada sebelah malam, satu menyuarat telah diadakan di bilik Mesyuarat Bangunan Mahkamah Syariah Keningau bagi penyediaan deraf Kaedah-Kaedah Sulh, Peguam Syarie dan Fee bagi Mahkamah Syariah Negeri Sabah. Antara yang hadir adalah wakil dari Persatuan Peguam Muslim Sabah (AMAL).

20160426_220522

20160426_161741

 

KURSUS KHAS GUBALAN DAN SEMAKAN UNDANG-UNDANG

IMG-20160412-WA0030

PUTRAJAYA | Seramai 18 Pegawai Syariah yang terdiri dari Ketua Pendaftar dan Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi Syariah dari seluruh negara telah mengikuti Kursus Khas Gubalan dan Semakan Undang-Undang . Kursus selama 3 hari yang dianjurkan oleh Bahagian Latihan, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) ini diadakan di Bilik Kuliah, Masjid Putra, Putrajaya bermula dari 12hb April 2016 hingga 14hb April 2016. Kursus ini dikendalikan sepenuhnya oleh Puan Liza Melati binti Mat Som, Penolong Pengarah Program Perundangan ILKAP.  Antara objektif utama program ini diadakan adalah untuk memberi pengetahuan kepada peserta mengenai prinsip asas penggubalan undang-undang meliputi undang-undang yang dibuat di peringkat Persekutuan dan Negeri.

Program ini memberi pengetahuan kepada para peserta mengenai proses yang dilalui dari peringkat awal hingga akhir penggubalan undang-undang tersebut. Kursus ini memberi nilai tambah ilmu kepada Pegawai Syariah dalam rangka mempelbagaikan pengetahuan dan kemahiran dalam hal ehwal perundangan. Pada hari terakhir kursus, para peserta diberi tugasan secara amali bagaimana menyediakan deraf undang-undang menurut kaedah yang betul. Deraf tersebut kemudiannya dibentangkan di hadapan peserta kursus bagi melihat sebarang kelemahan dan kekuatan serta apa-apa penambahbaikan. Kursus seumpama ini dilihat wajar diadakan pada masa hadapan dengan beberapa penambah baikan dari segi kandungan kursus termasuklah mengadakan lawatan peserta ke Bahagian Gubalan di Jabatan Peguam Negara.

RAHSIA KEJAYAAN HUKUMAN SEBATAN SYARIAH DI KHALAYAK RAMAI

Perlaksanaan hukuman sebatan syariah baru-baru ini mendapat perhatian luas di media massa. Ini ekoran dari kenyataan yang dibuat dalam oleh salah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri Kelantan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada 8 Mac 2016 yang mencadangkan agar hukuman sebatan syariah di Kelantan akan dilaksanakan di hadapan umum. Cadangan juga dibuat agar tempat hukuman adalah di perkarangan Masjid. Cadangan perlaksanaan hukuman di khalayak ramai itu juga telah merujuk kepada kejayaan Mahkamah Tinggi Syariah Tawau melaksanakan hukuman sebat di hadapan umum dalam Dewan Terbuka Mahkamah Syariah. Perkembangan ini sesungguhnya menarik dan amat positif dalam rangka perkembangan dan penyuburan perlaksanaan undang-undang Islam di negara ini. Sejauh mana hasrat Kerajaan Negeri Kelantan itu tercapai, hanya Allah sahaja yang menentukan dan mengetahuinya. Hasrat yang murni ini sewajarnya disokong dan didokong. Sebagai Muslim pula, menjadi tanggunjawap kita untuk mendoakan kejayaannya.

Di sebalik perkembangan tersebut, terdapat juga pihak yang tidak menyokong usaha tersebut. Malah ada yang terang-terangan menzahirkan tentangan mereka di media massa. Hal seperti ini dilihat boleh mempengaruhi kelancaran dan kejayaan perlaksanaan usaha tersebut untuk tercapai. Usaha pihak-pihak tertentu untuk mendapatkan bantuan dan sokongan daripada pihak yang berpengaruh dan berotoriti bagi menghalang perlaksanaan hukuman di hadapan umum ini tidak boleh diambil mudah. Apa yang berlaku dalam kes Kartika Sari Dewi sebelum ini di Pahang boleh dijadikan sebagai satu tauladan yang bernilai. Dalam kes Kartika itu, kita menyaksikan bagaimana pada akhirnya, hukuman sebatan syariah tersebut tidak diteruskan dan diubah kepada bentuk hukuman alternatif yang lebih ringan. Sebagai ingatan, kes Kartika itu bukanlah melibatkan perlaksanaan hukuman sebatan di khalayak ramai. Ia sepatutnya dilaksanakan di Penjara sahaja. Namun, atas tentangan, bantahan dan pandangan pelbagai pihak, akhirnya hukuman sebatan tersebut digantikan dengan hukuman alternatif yang lebih ringan iaitu hukuman berbentuk khidmat masyarakat pada tahun 2010.

Di Tawau Sabah, keadaan yang berlaku kepada Kartika tidak terjadi. Hukuman sebatan syariah di khalayak ramai telah berjaya dilaksanakan ke atas pesalah lelaki yang disabitkan melakukan persetubuhan haram atau zina. Hukuman tersebut dilaksanakan kali pertama pada 28 Oktober 2014 dan kali kedua pada 9 Oktober 2015. Kedua-dua hukuman itu dilaksanakan di Dewan Terbuka Mahkamah Tinggi Syariah Tawau di khalayak ramai. Pada tahun 2014, seramai lebih kurang 40 orang awam menyaksikannya. Pada tahun 2015 pula, seramai 61 orang menyaksikannya. Sepanjang hukuman dilaksanakan, tidak ada kedengaran halangan mahupun bantahan diterima. Bahkan sehingga tulisan ini dibuat, tidak ada satu laporan akhbarpun yang menyiarkan secara khusus perlaksanaan hukuman itu. Justeru, tidak ada bantahan atau tentangan yang timbul walaupun 2 tahun berturut-turut hukuman seumpama ini dilaksanakan. Menariknya, kejayaan hukuman di khalayak ramai di Tawau itu akhirnya diketahui juga oleh umum. Ia diketahui dari mulut ke mulut orang yang menyaksikannya. Ia kemudiannya disebarkan melalui aplikasi whatapps dan facebook. Turut menyumbang kepada penyebaran maklumat tersebut adalah melalui 2 artikel yang disiarkan dalam blog erakita pada tahun 2014 dan 2015. Untuk mengetahui laporan lengkap mengenai perlaksanaan hukuman tersebut, sila KLIK SEBATAN SYARIAH PERTAMA DI KHALAYAK RAMAI dan  61 HADIR SAKSIKAN HUKUMAN SEBATAN SYARIAH DI TAWAU.

Mengapa perkara yang boleh dikatakan penting dan amat sensatif ini berjaya dilaksanakan di Tawau? Bagaimana hukuman ini berjaya dilaksanakan tanpa tentangan dari mana-mana pihak? Tentunya ada sebab dan alasannya. Apa yang jelas, perlaksanaan hukuman sebatan di Tawau itu dibuat tanpa sebarang hebahan kepada umum. Tiada hebahan di media massa samada akhbar, radio mahupun televisyen. Ianya dilaksanakan tanpa pemakluman kepada umum kecuali di saat-saat akhir sahaja. Pemakluman hanyalah terhad kepada orang-orang yang dijemput secara lisan mahupun melalui aplikasi whatapps. Dengan jemputan secara lisan dan juga whatapps sahaja, sambutan dan kehadiran orang awam ternyata di luar dugaan. Orang-orang yang dijemput menyaksikannya memberi komitmen yang tinggi dengan menghadiri majlis berkenaan tanpa soal. Kehadiran yang cukup memberangsangkan ini menunjukkan bahawa orang ramai mempunyai minat dan keinginan tinggi untuk menyaksikannya. Apatah lagi, hukuman seumpama ini julung-julung kali berlaku.

Apa yang dapat disimpulkan dari kejayaan Mahkamah Syariah Tawau melaksanakan hukuman sebatan syariah di khalayak ramai ialah perlunya ada strategi yang jitu dan berkesan. Elakkan dari menghebahkan kepada umum secara terbuka perlaksanaan hukuman tersebut, apatah lagi kepada golongan media massa. Laksanakan dahulu hukuman tersebut tanpa menghubungi media massa bagi mengelak sebarang ulasan, kritikan dan bangkangan luar jangka dari umum. Paling dielak adalah campurtangan atau penglibatan dari mana-mana pihak yang berpengaruh dan berotoriti yang akhirnya boleh membantut dan menggagalkan hasrat tersebut. Kaedah dan strategi ini amat berkesan. Setelah perlaksanaan hukuman secara terbuka ini berjalan beberapa lama, masyarakat akhirnya akan dapat menerimanya sebagai suatu keperluan dalam kehidupan. Setelah masyarakat terbiasa dan perkara ini menjadi pengetahuan umum, perlaksanaan hukuman secara terbuka akan lebih mudah dijalankan.

Malah, pada ketika itu nanti, hukuman tersebut bolehlah dihebahkan melalui media massa secara meluas samada melalui akhbar, radio ataupun televisyen. Dengan kata lain, melaksanakan hukum Islam yang indah dan universal ini memerlukan strategi yang mantap dan berkesan. Barangkali lebih mudah menggambarkannya dalam bentuk peribahasa yang berbunyi “bagai menghela (menarik) rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berserak”. Semoga perkongsian ilmu ini bermanfaat dalam rangka meletakkan undang-undang Islam di tempat yang tinggi dan dihormati oleh semua lapisan masyarakat yang merentasi sempadan agama, bangsa dan negara.