Suami boleh mohon fasakh

Suami Boleh Mohon Fasakh

10 April 2012

Fasakh adalah salah satu jalan yang diberikan oleh Allah kepada umat Islam untuk keluar dari kemelut rumahtangga. Fasakh merupakan salah satu jenis pembubaran perkahwinan antara suami dan isteri. Menurut Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam, fasakh hanya boleh dilakukan melalui Mahkamah Syariah.

Dalam konteks Negeri Sabah, hak untuk menuntut pembubaran perkahwinan melalui fasakh hanya diberikan isteri di bawah Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Sabah) 1992. Bagaimanapun, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Sabah) 2004 yang baru kini memberi hak yang sama kepada suami. Maknanya, suami juga mempunyai hak menuntut fasakh ke atas isterinya.

Alasan yang boleh digunakan untuk menuntut fasakh boleh dirujuk dalam Seksyen 53 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Sabah) 2004.  berikut adalah kandungan seksyen tersebut untuk tatapan para pembaca.

Seksyen 53. Perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh

(1) Seorang perempuan atau lelaki, mengikut mana-mana berkenaan, berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak mendapat suatu perintah untuk membubarkan pekahwinan atau untuk fasakh atas satu atau lebih daripada alasan-alasan yang berikut, iaitu-

(a) bahawa tempat di mana beradanya suami atau isteri telah tidak diketahui selama tempoh lebih daripada satu tahun;

(b) bahawa suami telah cuai atau telah tidak mengadakan peruntukan bagi nafkahnya selama tempoh tiga bulan;

(c) bahawa suami atau isteri telah dihukum penjara selama tempoh tiga tahun atau lebih;

(d) bahawa suami atau isteri telah tidak menunaikan, tanpa sebab yang munasabah, kewajipan perkahwinannya (nafkah batin) selama tempoh satu tahun;

(e) bahawa suami telah mati pucuk pada masa perkahwinan dan masih lagi sedemikian dan isteri tidak tahu pada masa perkahwinan bahawa suami telah mati pucuk;

(f) bahawa suami atau isteri telah gila selama tempoh dua tahun atau sedang mengidap penyakit kusta atau vitiligo atau sedang mengidap penyakit kelamin dalam keadaan boleh berjangkit;

(g) bahawa isteri, setelah dikahwinkan oleh wali mujbirnya sebelum ia mencapai umur baligh, menolak perkahwinan itu sebelum mencapai umur lapan belas tahun, dan ia belum disetubuhi oleh suaminya itu;

(h) bahawa suami atau isteri menganiaya isteri atau suaminya iaitu, antara lain-

(i) lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya;

(ii) berkawan dengan perempuan-perempuan atau lelaki jahat atau hidup berperangai keji mengikut pandangan Hukum Syarak;

(iii) cuba memaksa isteri hidup secara lucah;

(iv) melupuskan harta isteri atau suami atau melarang isteri atau suami itu dari menggunakan hak-haknya di sisi undang-undang terhadap harta itu;

(v) menghalang isteri atau suami dari menunai atau menjalankan kewajipan atau amalan agamanya;

(vi) jika suami mempunyai isteri lebih daripada seorang, dia tidak melayani isteri yang berkenaan secara adil mengikut kehendak-kehendak Hukum syarak;

(i) bahawa walaupun empat bulan berlalu tetapi isteri masih belum disetubuhi oleh kerana suami bersengaja enggan mensetubuhinya;

(j) bahawa isteri tidak izin akan perkahwinan itu atau izinnya tidak sah, sama ada oleh sebab paksaan, kesilapan, ketidaksempurnaan akal, atau hal keadaan lain yang diakui oleh Hukum Syarak;

(k) bahawa pada masa perkahwinan itu isteri, sungguhpun berkebolehan memberi izin yang sah, adalah seorang yang sakit otak, sama ada berterusan atau berselangan, dalam erti Ordianan Orang Gila 1951 [ Bab 74 Sabah ] dan sakit otaknya adalah dari suatu jenis atau setakat yang menjadikannya tidak layak untuk berkahwin; atau

(l) apa-apa alasan lain yang diiktiraf sebagai sah bagi membubarkan perkahwinan atau bagi fasakh di bawah Hukum Syarak

 Berdasarkan kepada peruntukan seksyen 53 di atas, adalah memadai pihak yang menuntut samada suami atau isteri menggunakan salah satu alasan di atas. Bagaimanapun, untuk tujuan pensabitan Mahkamah, alasan yang digunakan mestilah dibuktikan terlebih dahulu.

Semoga artikel ini memberi manfaat untuk semua. Wallahu a’lam.

About ERAKITA

TERUSKAN LANGKAH USAH BERHENTI

Posted on 11 April 2012, in KELUARGA, UNDANG-UNDANG. Bookmark the permalink. 2 Komen.

  1. Salam. Boleh try produk saya ni tgk.. please refer di link kat bawah ni..

    http://www.ubatvitiligo.com/

    Boleh contact saya untuk pertanyaan lanjut, 019-5440021 (Arif Aziz)

    TQ.

  2. boleh kah talak dikenakan jika permohonan fasakh siisteri di mahkamah syariah tanpa kehadiran sisuami.

Tinggalkan komen