Monthly Archives: Oktober 2015

61 HADIR SAKSIKAN HUKUMAN SEBATAN SYARIAH DI TAWAU

TAWAU | Perlaksanaan hukuman sebatan ke atas 2 pesalah jenayah syariah telah dijalankan di Dewan Terbuka Mahkamah Tinggi Syariah, Tawau pada 9 Oktober 2015. Dewan terbuka Mahkamah tersebut mula dipenuhi orang ramai seawal jam 8.40am bagi menyaksikan hukuman tersebut dilaksanakan.  Hukuman sebatan di khalayak ramai seumpama ini merupakan kali kedua dibuat selepas kali pertama dilaksanakan di Mahkamah yang sama pada 28 Oktober 2014. Menariknya, 2 pesalah berkenaan adalah seorang lelaki dan seorang wanita. Kedua-duanya telah disabitkan atas kesalahan melakukan persetubuhan haram atau zina di bawah seksyen 80(1) bagi pesalah lelaki dan seksyen 80(2) bagi pesalah wanita sebagaimana termaktub dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Sabah) 1995. Kedua-duanya telah disabitkan salah oleh Mahkamah Tinggi Syariah, Tawau pada 21 April 2015 atas pengakuan salah. Keputusan hukuman sebatan sahaja bagi kedua-dua pesalah dibuat pada 27 Mei 2015.

Prosiding perlaksanaan hukuman bermula tepat jam 9.15am apabila Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Tawau masuk ke dalam Dewan Mahkamah. Seperti perlaksanaan hukuman kali pertama pada tahun 2014, prosiding hukuman dimulakan dengan pemeriksaan tahap kesihatan pesalah sebelum hukuman dilaksanakan. Pemeriksaan kesihatan pesalah diperlukan untuk memastikan samada pesalah berkenaan layak untuk menjalani hukuman sebat atau tidak. Pemeriksaan kesihatan bagi pesalah lelaki dijalankan oleh Doktor Perubatan dari Hospital Tawau dalam dewan mahkamah yang dapat disaksikan oleh orang ramai. Pesalah wanita pula diperiksa oleh seorang Doktor Pakar Perubatan Wanita (Wad Kecemasan) di bilik khas yang berasingan. Pemeriksaan ke atas pesalah wanita dibuat di bilik khas yang hanya dihadiri oleh Doktor Perubatan dan juga seorang Pegawai Penjara yang kedua-duanya wanita.

Sementara menunggu laporan tahap kesihatan pesalah wanita, Mahkamah telah meneruskan prosiding perlaksanaan hukuman ke atas pesalah lelaki setelah disahkan layak untuk menjalani hukuman oleh Pegawai Perubatan. Setiap sebatan bermula dari sebatan pertama hingga keenam dikira dan direkodkan oleh Pegawai Penjara. Wajah Pesalah kelihatan begitu tenang tidak menunjukkan reaksi kesakitan semasa dan selepas disebat. Ketika sebatan, suasana dewan yang penuh sesak sunyi senyap. Semua mata tertumpu kepada tukang sebat dan pesalah. Sebaik sebatan terakhir selesai, pegawai perubatan memeriksa tahap kesihatan pesalah. Setelah disahkan sihat, Pegawai penjara memaklumkan bahawa hukuman sebat ke atas pesalah lelaki telah selesai.

Sementara itu, pesalah terus berada dalam dewan di ruang tempat duduk yang telah disediakan di bahagian tengah dewan. Keadaan terus sunyi senyap tanpa kedengaran sebarang suara. Pesalah wanita yang telah dibawa bagi pemeriksaan kesihatan di bilik yang berasingan masih belum muncul walau setelah 8 minit berlalu. Hakim kemudiannya mengarahkan Timbalan Pendaftar untuk mendapatkan maklumat di luar dewan mengenai perkembangan hasil pemeriksaan pesalah wanita. Timbalan Pendaftar yang baru memasuki dewan menghampiri Hakim dan membisikkan sesuatu kepada hakim. Sejurus selepas itu, Pegawai Perubatan wanita bersama-sama dengan tukang sebat wanita dan pesalah wanita memasuki dewan. Tumpuan hadirin terarah kepada Pegawai Perubatan. Pegawai Perubatan berdiri dan memaklumkan Hakim bahawa hasil pemeriksaan air kencing sebanyak 2 kali mengesahkan bahawa pesalah wanita tersebut adalah hamil. Mahkamah seterusnya dimaklumkan bahawa pesalah tersebut tidak layak untuk menjalani hukuman pada masa itu.

Hakim kemudiannya mengumumkan bahawa perlaksanaan hukuman sebatan ke atas pesalah wanita berkenaan ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian setelah pesalah berkenaan melahirkan anak. Bon kehadiran pesalah tersebut ke Mahkamah bagi menjalani hukuman dilanjutkan. Sebagaimana prosiding hukuman sebat pada tahun 2014, Hakim memberikan ucapan bagi menutup prosiding hukuman.

Berikut adalah ucapan Hakim:

Alhamdulillah. Tidak ada kalimah yang dapat diungkapkan selain kesyukuran yang tiada taranya kepada Allah s.w.t. Ini kerana, Allah telah mempermudahkan urusan hamba-hambaNYA pada hari ini dalam rangka memartabatkan syariat Allah di muka bumi. Sebentar tadi, kita semua telah menyaksikan di hadapan mata kita perlaksanaan hukuman sebat ke atas pesalah jenayah syariah atas kesalahan zina. Kedua-duanya telah disabitkan atas pengakuan salah kerana melakukan persetubuhanb haram atau zina di bawah seksyen 80(1) dan (2) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Sabah) 1995. Menurut seksyen 80 ini, pesalah boleh hukum dengan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tempoh 3 tahun atau sebatan tidak melebihi 6 kali sebatan atau gabungan dari mana-mana dua bentuk hukuman tadi. Pesalah telah dijatuhkan hukuman sebat sebanyak 6 sebatan. Tidak ada rayuan terhadap hukuman ini dibuat oleh kedua-dua pesalah ke Mahkamah Rayuan Syariah dalam tempoh yang diberi oleh undang-undang. Sebagai makluman, hukuman sebatan di khalayak ramai pada hari ini adalah dibuat setelah mengambil kira permintaan sendiri berkali-kali oleh kedua-dua pesalah ini agar dihukum dengan sebatan semasa dalam proses mitigasi hukuman di hadapan Mahkamah sebelum ini.

Sidang hadirin semua, hukuman sebat adalah satu hukuman yang ditetapkan oleh Allah kepada orang yang melakukan zina sebagaimana disebutkan dalam surah an Nuur: 2 yang berbunyi:

Perempuan yang berzina dan laki laki yang berzina, hendaklah kamu sebat kedua-duanya seratus kali sebatan. Dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap kedua-duanya dalam menjalankan hukum Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan itu oleh kumpulan daripada orang yang beriman”.

Pada hari ini, para hadirin semua telah menyaksikan di hadapan mata, betapa hukuman sebat yang telah ditetapkan Allah itu bukanlah satu hukuman menyiksa atau mendera atau mengazab pesalah. Sudah terang lagi bersuluh. Sudah gaharu cendana pula. Begitulah ungkapan yang dapat dizahirkan bagi menggambarkan bahawa hukuman ini amatlah ringan berbanding hukuman yang dikenakan dari Mahkamah Awam. Inilah dia hukuman yang selama ini digeruni dan ditakuti oleh ramai orang. Mereka menyangka betapa kejam dan dahsyatnya hukuman sebat dalam Islam. Pelbagai kata-kata negatif, hinaan dan cemuhan dilemparkan terhadap hukuman ini. Ada yang mengatakan bahawa hukuman ini tidak bertamadun. Hatta, ada juga suara-suara yang mengatakan bahawa pelabur asing tidak akan datang melabur di negara ini kerana takut dengan undang-undang tidak bertamadun ini. Namun, hari ini, para hadirin yang hadir di dalam dewan terbuka Mahkamah Tinggi Syariah Tawau ini telah menyaksikan sendiri bagaimana hukuman ini dilaksanakan. Justeru, apakah benar dakwaan orang-orang tersebut bahawa hukuman Islam ini kejam? Anda semua boleh menjawapnya hari ini.

Sebagaimana yang anda semua telah saksikan, hukuman sebatan telah dilaksanakan dengan penuh tertib dan beradab menurut syariat Islam. Pesalah pada hari ini terdiri dari seorang lelaki dan seorang wanita. Pemeriksaan kesihatan oleh Pegawai Perubatan yang didatangkan dari Hospital Daerah Tawau ke atas kedua-dua pesalah sebelum perlaksanaan hukuman telah dibuat secara berasingan. Pesalah wanita diperiksa oleh seorang Doktor Pakar wanita (Wad Kecemasan) di bilik khas. Manakala, pesalah lelaki pula diperiksa tahap kesihatannya oleh seorang Doktor Perubatan lelaki di hadapan umum. Kehadiran doktor pakar wanita khususnya bagi memeriksa pesalah wanita amat penting bagi menghilangkan sebarang prasangka, keraguan dan tohmahan terhadap proses pemeriksaan kesihatan ke atas pesalah wanita. Demikian juga dengan Tukang Sebat dari Jabatan Penjara Tawau. Hukuman sebat dilaksanakan oleh Tukang Sebat lelaki ke atas pesalah lelaki. Manakala, bagi pesalah wanita pula, seorang tukang sebat wanita dikhaskan bagi melaksanakan hukuman  sebat ke atas pesalah wanita.

Di hadapan hadirin sebentar tadi, daripada 2 pesalah yang sepatutnya menjalani sebatan, hanya seorang pesalah lelaki sahaja yang telah dihukum sebat. Hukuman ke atas pesalah wanita pula telah ditangguhkan setelah disahkan oleh Doktor wanita bahawa beliau tidak layak untuk menjalani hukuman sebat. 2 kali ujian kencing dilakukan ke atas pesalah tersebut. Kedua-dua ujian tersebut didapati positif yang menunjukkan bahawa pesalah tersebut sedang hamil. Ini menunjukkan bahawa perlaksanaan hukuman ini dijalankan menurut undang-undang dan hukum syarak. Tiada unsur kezaliman dan penganiayaan dilakukan kepada pesalah berkenaan. Tindakan menangguhkan hukuman ke atas pesalah wanita ini adalah mengambil pendekatan Rasulullah s.a.w yang menangguhkan hukuman ke atas seorang wanita yang disabitkan melakukan perbuatan zina setelah didapati bahawa wanita berkenaan sedang hamil.

Para hadirin semua, dalam Islam, perlaksanaan hukuman hendaklah dilakukan di khalayak umum. Ini telah disebutkan sendiri oleh Allah dalam surah an Nuur: 2 yang dibacakan tadi. Allah menegaskan bahawa hukuman tersebut hendaklah disaksikan oleh sekumpulan orang-orang beriman. Tujuannya bukan mendera, bukan menyeksa, tetapi untuk memberi pengajaran, pendidikan dan keinsafan kepada kepada pesalah dan orang lain, lebih-lebih lagi kepada orang yang menyaksikan hukuman itu agar perbuatan ini tidak dilakukan lagi oleh pesalah atau orang yang menyaksikan atau ahli-ahli keluarga yang menyaksikan dan juga oleh masyarakat. Kesannya adalah kepada jiwa dan minda manusia. Hukuman seumpama ini, yang disaksikan sendiri di hadapan mata, inshaa Allah, boleh melekat dalam hati dan sanubari orang yang menyaksikannya. Ia akan diingati sepanjang hayat dan kesannya adalah berpanjangan.  Inilah dia keindahan dan mutiara Islam yang perlu diketahui orang dan perlu pula dizahirkan kepada umum.

Ketika ini, pemerintah melalui Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965 (AKTA 355) hanya memberi kuasa kepada Mahkamah syariah untuk menghukum pesalah jenayah syariah dengan sebatan paling maksima sebanyak 6 kali sebatan sahaja berbanding 100 kali sebatan sebagaimana yang diperintahkan Allah dalam Surah An Nuur: 2 itu. Pada hari ini, Mahkamah ini telah melaksanakan sepenuhnya kuasa yang diberi oleh pemerintah itu. Kita doakan semoga pihak pemerintah akan memperkasa dan memperkukuhkan lagi undang-undang yang sedia ada sehingga ianya benar-benar sejajar dengan apa yang disebutkan dalam Al Quran pada masa akan datang. Kita tidak boleh berputus asa untuk terus berdoa semoga kadar hukuman yang ditetapkan Allah itu terlaksana juga akhirnya di bumi tercinta ini walaupun ia mengambil masa puluhan, atau ratusan atau ribuan tahun untuk ianya terlaksana. Amin yaa Rabbal alamin.

Sesungguhnya kehadiran anda semua yang terdiri dari tokoh dan pemimpin masyarakat bagi menyaksikan perlaksanaan hukuman ini amatlah dihargai. Kehadiran masyarakat yang terdiri dari Hakim-Hakim Mahkamah Anak Negeri Sabah di Tawau, Pengarah Hospital Tawau, Timbalan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Ketua Pendakwa Syarie Negeri Sabah, Ketua Penguatkuasa Agama Negeri Sabah, wakil-wakil Presiden bagi kedua-dua NGO guaman Islam di Sabah iaitu Persatuan Peguam Muslim Sabah (AMAL) dan Persatuan Peguam Wanita Muslim Sabah (SALWA), Para Peguam Sivil dan Syariah seramai 15 orang dan pegawai-pegawai kerajaan seramai 61 orang bagi menyaksikan perlaksanaan hukuman pada hari ini sesungguhnya amat bersejarah dan signifikan dalam rangka memartabatkan syiar Islam di negeri ini. Kehadiran anda semua telah dikira menepati kehendak Surah An Nuur: 2 yang menegaskan bahawa hukuman tersebut disaksikan oleh orang-orang yang beriman. Semoga kita yang menyaksikan hukuman pada hari ini diterima sebagai golongan yang beriman sebagaimana disebutkan dalam ayat tersebut.

Semoga Allah meredhai perlaksanaan hukuman pada hari ini dan menghitungnya sebagai sebahagian daripada amal soleh dan usaha kita semua untuk memartabatkan hukum Allah di muka bumi. Kepada para hadirin yang menyaksikan perlaksanaan hukuman pada hari ini, ambillah pengajaran dan iktibar dari apa yang disaksikan sebentar tadi. Sebarkanlah kepada masyarakat yang tidak berpeluang menyaksikan perlaksanaan hukuman ini betapa syariat Islam itu indah. Semoga dosa dan kesalahan yang dilakukan oleh kedua-dua pesalah ini diampuni Allah. Semoga perlaksanaan hukuman sebat di hadapan umum pada hari ini membawa rahmat kepada perkembangan undang-undang Islam di negara ini. Sekian.

Wassalamualaikum wbt.

Sebaik selesai ucapan Hakim, prosiding hukuman ditutup dengan hentakan tukul Hakim. Upacara prosiding perlaksanaan hukuman sebat berakhir tepat pada jam 9.50am. Para hadirin diberi peluang untuk melihat dan memegang sendiri rotan yang digunakan untuk menyebat pesalah. Mereka juga berpeluang untuk bertemu dan bertanyakan kepada tukang sebat mengenai sebatan syariah. Peluang ini dilihat amat positif bagi memberi kefahaman dan penghayatan orang ramai mengenai perlaksanaan hukuman sebatan dalam Islam yang sebenar. Pada keseluruhannya, perlaksanaan hukuman tersebut berjalan lancar dan teratur sebagaimana dalam tentatif yang telah disediakan. Rata-rata hadirin yang ditemui selepas selesai hukuman berpuas hati dengan perjalanan hukuman berkenaan. Sesungguhnya perlaksanaan hukuman sebat di hadapan umum dilihat mampu memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat setempat untuk melihat sendiri keindahan dan kehebatan hukuman dalam Islam berbanding hanya mendengarnya semata-mata.