NAK BERPOLIGAMI?

Nak berpoligami?

29 september 2010

Soalan

Salam…

Saya ingin poligami. Isteri pertama telah mengizinkan dan borang poligami sudah diisi dan hantar di kaunter. Berapa lama untuk tunggu hari perbicaraan? Adakah ambil masa berbulan atau bertahun? Jikalau boleh, saya ingin nikah tahun hadapan.

Jawapan

Wa’alaykum salam wbt,

Terimakasih atas pertanyaan saudara Din di atas. Dalam kes ini, Din telah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan kebenaran berpoligami di Mahkamah Syariah. Isteri yang sedia ada telah bersetuju. Soalnya, setelah permohonan difailkan di mahkamah, berapa lama si pemohon perlu menunggu kesnya didengar di mahkamah? Dalam hal ini, saudara Din pula berhasrat untuk bernikah tahun hadapan.

Dalam hal ini, ERAKITA melihat bahawa saudara Din telah melakukan tindakan yang betul menurut undang-undang yang sedang berkuatkuasa. Perkahwinan berpoligami perlu mendapatkan kebenaran bertulis dari hakim syarie dari Mahkamah Syariah di negeri di mana perkahwinan tersebut hendak dilangsungkan. Lazimnya, menurut piagam pelanggan Mahkamah, suatu permohonan atau tuntutan itu akan didengar atau disebut dalam tempoh 21 hari dari tarikh penfailan kes.

Lazimnya juga, satu tarikh sebutan atau pendengaran pertama kali akan diberikan terus pada hari yang sama atau 3 hari sebaik suatu permohonan atau tuntutan itu difailkan. Walau bagaimanapun, hal ini juga bergantung kepada kekosongan atau ruang yang tersedia bagi Mahkamah bagi mendengar suatu kes. Ada ketikanya, Mahkamah perlukan masa tertentu untuk menetapkan tarikh sebutan atau pendengaran atau perbicaraan suatu kes. Keadaan ini sudah tentu menyebabkan penjadualannya melewati tempoh 21 hari di atas. Ini kerana, ada ketikanya pegawai Mahkamah termasuk pendaftar atau hakim terlibat dalam kursus atau program-program rasmi dan penting pada waktu tertentu.

Dalam hal ini, Saudara Din perlu mendapatkan maklumat dari Mahkamah dari masa ke semasa untuk mendapatkan tarikh sebutan atau pendengaran kes tersebut sekiranya belum diberikan. Bawalah bersama no. kes tersebut sebagai rujukan di Mahkamah untuk memudahkan carian fail kes dan maklumat. Notis panggilan yang dikeluarkan Mahkamah pula perlu diserahkan kepada isteri sedia ada, bakal isteri, wali kepada bakal isteri dan mana-mana orang yang diarahkan oleh Mahkamah.

Notis tersebut amat penting untuk membolehkan kes tersebut dapat didengar di Mahkamah. Ketidakpatuhan prosedur ini boleh menyebabkan kes tersebut akan ditangguhkan ke suatu tarikh lain. Notis tersebut mestilah diserahkan sendiri ke diri individu terbabit. Soal orang hendak menerima atau tidak, ataupun notis berkenaan dikoyakkan oleh si penerima, itu bukanlah masalah kerana apa yang penting, si penyerah boleh menunjukkan di hadapan orang itu akan notis itu dan meletakkan notis tersebut di hadapan orang tersebut SEKIRANYA orang tersebut enggan menerima.

Notis berkenaan pula tidak diambil dan dibawa semula oleh si penyerah. Suatu affidavit perakuan telah menyerahkan dokumen tersebut hendaklah dibuat selepas itu di mahkamah. Affidavit itu umpama surat akuan sumpah sepertimana yang lazim digunakan di Mahkamah Awam. Affidavit itu pula hendaklah ditandatangani dan diperakui di hadapan Pegawai Mahkamah atau Hakim Syarie sendiri. Jika individu yang dipanggil itu tidak hadir di Mahkamah pada tarikh sebutan, mahkamah boleh meneruskan pedengaran kes tersebut walaupun tanpa kehadiran orang yang dipanggil. Ini kerana penyerahan dokumen telah dianggap sah menurut undang-undang.

Walaupun demikian, tempoh penyerahan notis berkenaan hendaklah pula tidak kurang dari 3 hari sebelum tarikh sebutan atau pendengaran kes berkenaan. Jika kurang, maka penyerahan masih dianggap tidak sempurna. Perkara seperti ini sememangnya masih ramai yang tidak sedar atau tidak mengetahuinya. Apabila penyerahan dokumen telah disempurnakan menurut prosedur dan undang-undang, kes tersebut boleh dijalankan walau tanpa kehadiran orang yang dipanggil.

Sebab itu, perlu ditekankan di sini bahawa amat rugilah sekiranya isteri yang sedia ada mengambil tindakan untuk tidak atau enggan hadir di mahkamah untuk pendengaran kes poligami suaminya. Ini kerana, si isteri telah menafikan haknya di sisi syarak dan undang-undang untuk memberi respon atau maklum balas mengenai permohonan suami.

Semestinya isteri kena hadir di Mahkamah untuk memberikan maklumat yang sebenar. Maklumat penting yang sewajarnya diberikan di Mahkamah ialah mengenai kemampuan suami dari zahir dan batin untuk berpoligami. Maklumat itu pula harus diberikan sejujur-jujurnya. Ini kerana, isteri sedia ada adalah orang yang banyak mengetahui hal ehwal keadaan suaminya. Maklumat si isteri itu pula dapat didengar sendiri oleh bakal isteri kedua, ketiga atau keempat bersama-sama dengan wali kepada bakal isteri.

Semua maklumat dapat dikongsi. Proses ini telus dan bakal isteri serta wali kepada bakal isteri boleh berfikir semula semasak-masaknya samada hendak meneruskan perkahwinan tersebut atau tidak. Ini kerana mereka telah mendapat maklumat mengenai keberadaan si suami. Satu keistimewaan dan keunikan dalam kes berpoligami di mahkamah syariah ialah, apabila semua pihak yang terlibat dipanggil bersama dalam satu-satu masa. Inilah yang dikatakan telus. Isteri sedia ada dan bakal isteri serta wali kepada bakal isteri dapat bertemu “face to face” dalam mahkamah. Prosiding atau pendengaran kes pula dijalankan dalam mahkamah TERTUTUP samada dalam dewan atau dalam kamar hakim. Orang lain tidak akan dibenarkan masuk mendengar atau menyaksikan kes itu.

Lazimnya, kes akan berjalan lancar dan jarang sekali berlaku pergaduhan. Ini kerana isteri sedia ada dapat merasakan bahawa proses yang dijalankan tidak ada unsur berat sebelah atau rahsiah atau sembunyi-sembunyi. Tidak ada penganiyaan. Telus dan berterus terang. Ia dapat bersemuka sendiri dengan bakal isteri dan wali kepada bakal isteri. Dari aspek psikologi, isteri mendapat semangat dan kekuatan untuk berdepan dengan situsi berkenaan kerana ia dilakukan secara bersemuka. Pandangan dan responnya diambil kira dan diberi perhatian yang sepatutnya oleh Mahkamah. Isteri pertama berhak untuk bersetuju atau tidak dengan permohonan suaminya. Perlu dijelaskan bahawa persetujuan isteri sedia ada tidak semestinya akan menjadikan permohonan suami itu berjaya.

Persetujuan isteri hanyalah sebahagian dari banyak perkara yang harus dipertimbangkan oleh Mahkamah samada nak meluluskan atau tidak permohonan berpoligami itu. Terdapat juga kes-kes di mana mahkamah menolak permohonan suami untuk berpoligami walaupun isteri sedia ada telah memberi persetujuannya. Ini kerana, mahkamah juga pelu melihat kepada keperluan perkahwinan itu sendiri, kemampuan serta kesan-kesan jangkamasa pendek dan panjang akbibat berpoligami.

Sekiranya suami diizinkan berpoligami sedangkan tindakan itu jelas mengundang kemudaratan besar dalam hidup suami, isteri sedia ada, anak-anak mereka dan bakal isteri, maka mahkamah berhak untuk menolak permohonan tersebut walaupun isteri telah bersetuju. Tidak ada istilah isteri telah menurunkan tandatangan untuk bersetuju permohonan itu di luar mahkamah. Inilah persepsi yang selalu bermain dalam pemikiran masyarakat selama ini. Sebenarnya, apa yang penting, isteri kena hadir di mahkamah dan berikan maklumat yang sebenar mengenai kedudukan suaminya. Ini untuk kebaikan semua. Tidak akan ada yang teraniaya sepertimana yang lazimnya kita dengar dari orang.

Orang yang berkedudukan tinggi, berpangkat tinggi, bergaji besar tidak semestinya akan diberi keizinan berpoligami jika sekiranya dari aspek lain ia tidak mampu. Apalah ertinya berpoligami sekiranya dari aspek fizikal ia sudah tidak mampu? Jika bakal isteri masih muda dan si suami pula sudah berumur dan terbukti ia sudah tidak berkemampuan untuk melakukan hubungan kelamin, apakah kewajaran untuk membenarkan poligami? Namun, hal ini hanyalah sebahagian dari aspek yang akan diambil pertimbangan. Boleh jadi juga aspek fizikalnya lemah, namun hal tersebut dimaklumui dan dipersetujui atau diredhai semua pihak termasuk bakal isteri. Boleh jadi keputusan mahkamah adalah sebaliknya. Ia suatu yang amat subjektif. Segalanya adalah budi bicara mahkamah setelah semua aspek diambil kira.

Dalam hal ini, ERAKITA menyarankan agar saudara Din bersabar serta mendapatkan maklumat mengenai tarikh sebutan atau pendengaran kes tersebut dari masa ke semasa. Elakkan dari berurusan dengan “Orang Tengah” yang boleh jadi ingin mengambil kesempatan ke atas indivdu yang berurusan dalam hal-hal begini. Bertemulah terus dengan kakitangan atau pegawai mahkamah untuk hal tersebut. Begitu juga, patuhilah segala prosedur yang telah ditetapkan. Ikuti arahan yang diberikan mahkamah.

Inshaa Allah, jika semuanya dipatuhi, proses pendengaran dapat dijalankan dengan lancar. Jika sekiranya saudara Din merasakan mampu untuk berpoligami, jelaskan sejujur-jujurnya kepada mahkamah nanti. Jangan berikan maklumat yang tidak benar kerana keberkatan rumahtangga bermula dengan perbuatan dan tindakan kita di peringkat awal. Soal permohonan tersebut diluluskan atau sebaliknya, terimalah dengan redha. Jika tidak diluluskan, Saudara Din masih mempunyai hak untuk merayu di Mahkamah yang lebih tinggi iaitu Mahkamah Rayuan Syariah. Saudara Din boleh mengemukakan kes secara peribadi atau melalui khidmat guaman syarie.

Jika dapat, elakkan dari mengambil tindakan drastik seperti menceraikan isteri pertama sekiranya berlaku kesulitan dalam mendapatkan kebenaran berpoligami. Andai Mahkamah memberi kebenaran berpoligami, perkahwinan tersebut bolehlah dilaksanakan dalam tempoh yang diberikan dalam perintah mahkamah tersebut. Lazimnya, surat kebenaran tersebut sah untuk digunakan 30 hari dari tarikh ia dikeluarkan. Namun, ini bergantung kepada masa yang ditentukan oleh Mahkamah itu sendiri. Suami juga boleh memohon kebenaran mahkamah untuk melanjutkan tempoh sah melaksanakan pernikahan tersebut sekiranya perlu.

Setelah semuanya dilakukan, berserahlah kepada Allah di samping sentiasa menjaga kebajikan isteri yang sedia ada dan anak-anak. Tingkatkan amal dan iman kepada Allah. Berdoalah banyak-banyak dan mohonlah agar Allah memberikan jalan terbaik dalam hidup saudara Din dan keluarga. Ini kerana, hal berpoligami suatu perkara yang berat dan melibatkan kesan kepada banyak individu-individu terdekat kita. Cabarannya banyak tetapi boleh dihadapi dalam keadaan tenang.

Semoga penjelasan ini dapat memberi sedikit kelegaan terhadap persoalan saudara Din di atas.

Wallahu a’lam.

About ERAKITA

TERUSKAN LANGKAH USAH BERHENTI

Posted on 29 September 2010, in AGAMA, KELUARGA, UNDANG-UNDANG and tagged , , , . Bookmark the permalink. 33 Komen.

  1. Salam.
    Isteri saya dah brsetuju utk saya brpoligami.apa yg hrus saya bwa pergi mahkamah?siapa?apa yg perlu?

    • Salam.

      Apa yang perlu saudara lakukan ialah menfailkan borang permohonan bagi mendapatkan kebenaran berpoligami di Mahkamah Tinggi Syariah di mana saudara bermastautin. Lengkapkan borang tersebut dengan mengambikira segala perkara yang diperlukan dalam check list.

      Jika telah lengkap, failkan di Mahkamah. Saudara akan diberikan tarikh bagi sebutan pertama kes tersebut sebaik kes tersebut selesai didaftarkan oleh petugas di kaunter.

      Pihak yang perlu hadir bersama adalah isteri, bakal isteri dan wali kepada bakal isteri. Dan sudah tentu saudara juga. Ada kalanya hakim akan memanggil pihak-pihak tersebut berasing-asingan dan ada kalanya serentak. Itu tergantung kepada budibicara mahkamah.

      Sentiasalah patuh kepada masa yang telah ditetapkan Mahkamah. Ikuti peraturan mahkamah. Berikan keterangan hanya setelah diminta oleh hakim. Beri perhatian yang tinggi terhadap apa yang hakim katakan dalam kamar hakim.

      Bercakaplah dengan jujur dan elakkan dari memberikan keterangan palsu. Hormati pihak-pihak yang ada di mahkamah. Perkara ini dapat membantu melancarkan prosiding kes.

      Patuhilah segala arahan mahkamah. Elakkan dari meninggikan suara. Bersabar atas apa yang mahkamah putuskan. Jika mahkamah menolak permohonan saudara, saudara boleh merayu di mahkamah rayuan syariah dalam tempoh 14 hari dari tarikh keputusan.

      Semoga penjelasan ini bermanfaat.

      Wallahu a’lam

  2. assalammuailaikum<
    saya amira dari penang..saya dan teman lelaki saya ingin berkahwin…tp teman lelaki sy suda ada bini dan 3 org ank…saya suda tau dri awl perkenalan kami…dan saya terima suma tentang dirinya tanpa ada maslah dan sy syg ank kpd teman lelaki sy…si dia org sabah…dan bekerja di penang dan 3 taun sekali dia akn jenguk ank bini dia di sabah…tu pon bini dia yang suruh balik 3 taun sekali…tp yang sy puji sikap si dia…si dia x penah lupakn tnggungjwbnye trhadap bini dan ank dya…maslahnye sekrang…bini dia tak setuju…lgpon sy dan si dia dh bnyk kli pujuk bini dia…bini dia xnk bg kerjasama…si dia ingin berkahwin dgn sy disebbkn nk elak dri maksiat dan fitnah…lgpon dia amat menjaga kehormatan diri sy…tp kedua belah pihak keluarga sy dan si dia dh tau dan setuju dgn hbungan kami…family si dia setuju sbb ada org yg bole jaga mkn dan pkai ank dia di sini…sebenarnye bini si dia tak boleh kuar dari sabah sbb tidak punyai i/c dan cuma ada surat beranak je…lgpon isterinye sndri xnk kuar dri sabah sbb rela hdop jarak jauh…lgpon ank dia suma bersekolah di sabah…puas saya cuba ambik hatinye…tp masih x dpt jln penyelesaian juga…boleh kami dapatkn kelulusan dri mahkamah tanpa izin isteri pertamanye x..?? dan lg satu wajib ke calon isteri dan wali calon isteri untuk hadir ke mahkamah?? sekiranye wajib hadir,bolekah sy dpt pengecualian utk wali dtg…sbb wali sy xnk hadir…yg diorang tahu nk selesaikn cpt mslah ni dan kahwinkn kami tnpa perlu hadir ke mahkamah….sy buntu tuan…bnyk sgt mslah yg sy hadapi…

    • Walaikumussalam wbt.

      Suami perlu failkan permohonan kebenaran berpoligami di Mahkamah Syariah di mana ia bermastautin. Dalam hal ini, ada baiknya ia memohon kebenaran di Sabah. Ini kerana, ia berasal dari Sabah. Perkahwinan pertamanya adalah di Sabah. Isteri sedia ada juga berada di Sabah. Adalah menyusahkan jika permohonan tersebut difailkan di negeri lain.

      Kes tersebut boleh diteruskan pendengarannya oleh Mahkamah walaupun pihak-pihak yang dipanggil tidak hadir ke mahkamah. Yang penting, notis permohonan memanggil pihak-pihak ke mahkamah telah diserahkan kepada pihak-pihak dengan sempurna menurut undang-undang.

      Ikuti saja arahan mahkamah. Inshaa Allah, jika semuanya teratur dan suami pula layak dan berkemampuan, mahkamah boleh meluluskan permohonan tersebut.

      Wallahu a’lam dan terimakasih

  3. Salam….

    Tuan, saya ingin bertanya tentang poligami….Saya dan pasangan saya merancang untuk berkahwin pada November tahun hadapan…Bakal suami saya sudah berkahwin dan mempunyai 3 orang anak dan dia sudah pun diberi keizinan utk berpoligami oleh isteri pertama…Alhamdulillah saya pon telah mendapat keredhaan ibubapa dan bapa saya yang akan mewalikan saya inshaAllah…Bakal suami saya adalah warganegara Malaysia dan bekerja di United Kingdom…Tetapi isteri pertama dia bukan warganegara Malaysia dan mereka telah menetap di London sejak 20 tahun lalu…Saya ingin bertanya beberapa soalan:

    1) untuk mendapatkan perintah poligami, Mahkamah tinggi mane kah sepatut nya didftarkan? Sekiranya lelaki adalah orang Selangor dan perkahwinan pertama didaftarkan di negeri Selangor.

    2) Oleh kerana jarak dan masa, kemungkinan isteri pertama tidak dapat hadir pada waktu perbicaraan kerana beliau sekarang berada di United Kingdom..Walaubagaimanapun ada surat hitam putih yg mengatakan die setuju untuk berpoligami…Bolehkah tuan terangkan kepada saya apa yang patut saya buat jika isteri pertama tidak dapat hadir? Untuk saya dan wali inshaAllah tiada masalah kerana memang berada di Malaysia…

    3) Oleh kerana bakal suami saya berada di luar negara dan seorang usahawan, bolehkah tarikh perbicaraan ditunda kepada tarikh yg dia boleh hadiri sekiranya dia tidak dapat hadir pada tarikh yang diberitahu mahkamah???

    Harap tuan dapat menjawab soalan saya ini…Terima kasih…

    • Walaikumussalam wbt.

      Mengenai persoalan pertama, berdasarkan seksyen 4 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, jelas bahawa undang-undang berkenaan bukan saja terpakai bagi semua orang yang tinggal dalam Negeri Selangor, tetapi juga meliputi orang yang bermastautin di Selangor tetapi tinggal atau menetap di Luar Negeri. Justeru, jika bakal suami saudari itu berasal dari Selangor, ia wajar sekali menfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran berpoligami dari Mahkamah Tinggi Syariah Selangor.

      Mengenai persoalan kedua, kedudukan isteri pertama yang berada jauh di luar negara bukanlah satu halangan bagi mahkamah untuk meneruskan pendengaran suatu kes. Apa yang penting adalah penyampaian notis permohonan tersebut telah disempurnakan kepada pihak-pihak termasuklah isteri yang sedia ada. Jika mahkamah syariah berpuashati bahawa terdapat bukti notis permohonan berpoligami telah disampaikan kepada isteri sedia ada, kes berkenaan boleh diteruskan walau tanpa kehadiran isteri sedia ada. Satu affidavit penyerahan mestilah difailkan di mahkamah syariah di mana kes berkenaan didengar yang menyatakan pengakuan bahawa notis berkenaan telahpun disampaikan kepada isteri sedia ada di luar negara. Surat persetujuan isteri terhadap perkahwinan berkenaan boleh dikemukakan kepada mahkamah untuk membantu mahkamah membuat keputusan yang sewajarnya.

      Mengenai persoalan ketiga, sebarang penangguhan kes mestilah dimaklumkan kepada mahkamah lebih awal. Sebaiknya tidak kurang dari seminggu sebelum pendengaran kes agar mahkamah dapat menjadualkan semula kes berkenaan pada masa yang sesuai. Pihak suami dalam kes ini boleh memaklumkan tarikh-tarikh cadangan kepada mahkamah di mana suami boleh hadir. Berikanlah alasan atau justifikasi mengapa tarikh-tarikh tersebut dipilih untuk pendengaran kes. Inshaa Allah, mahkamah lazimnya boleh mempertimbangkan penjadualan semula kes jika berpuashati dengan alasan yang dikemukakan.

      Wallahu a’lam.

      • Tuan, bagaimana pula dengan kemudahan untuk pihak mahkamah berkomunikasi dengan beliau….Mungkin agak sukar kerana dia barada di luar negara…Contoh dari segi masa dimana UK berbeza 8jam dengan Malaysia…..Bolehkah kita meminta mahkamah untuk berkomunikasi dengan saya untuk memudahkan urusan??

      • Dan lagi satu perkara….bagaimanakah cara untuk memfailkan affidavit penyerahan? Bilakah sepatutnya affidavit itu boleh difailkan??
        Terima kasih tuan kerana dapat memudahkan juga urusan kami…

      • Sebelum mengambil apa-apa tindakan, erakita sarankan agar saudari mendapatkan pandangan dengan pendaftar mahkamah tinggi syariah. Buatlah temu janji dan dapatkan nasihat yang berkaitan. Nyatakan sebenar-benarnya situasi saudari dengan bakal suami puan. Pandangan tersebut boleh memudahkan urusan puan seterusnya. Ini kerana, tindakan-tindakan yang tidak perlu dapat dielakkan, di samping dapat menjimatkan tenaga, kos dan masa yang banyak. Lebih-lebih lagi masa yang ditetapkan untuk bernikah masih agak lama iaitu sekitar November 2014. Erakita berpendapat bahawa saudari tidak perlu terlalu kelam kabut untuk menguruskan niat yang murni ini. Biarlah urusan ini dibuat dalam keadaan tenang tetapi berkualiti. Usaha sudah tentu sebaik-baiknya dimulakan dari sekarang. Ini kerana, banyak perkara luar jangka boleh berlaku dalam tempoh tersebut.

        Erakita juga menyarankan agar saudari dapatkan juga pandangan atau khidmat jika perlu dari mana-mana peguam syarie yang bertauliah bagi negeri di mana kes tersebut difailkan. Melalui khidmat peguam, urusan penyerahan atau penyampaian notis permohonan termasuklah juga penfailan affidavit penyerahan dapat dilaksanakan menurut proses undang-undang. Mengenai tempoh menfailkan affidavit penyerahan, ianya boleh difailkan pada hari yang sama kes didengar jika tidak dapat difailkan lebih awal. Bagaimanapun, untuk memudahkan tugas mahkamah, sebaiknya affidavit penyerahan tersebut difailkan lebih awal, bukannya pada tarikh yang sama dengan pendengaran kes.

        Wallahu a’lam

      • Salam Tuan,

        Terima kasih di atas segala penerangan sebelum ini. Alhamdulillah, kami sudah selesai menguruskan permohonan untuk berpoligami dan sudah dapat tarikh sebutan perbicaraan iaitu pada 19 Jun ini. Tidak disangka prosesnya lebih mudah dari apa yang disangka kan. Walaubagaimanapun, saya ada satu pertanyaan. Pada hari sebutan kes, berapa lama masa diambil untuk mahkamah memberi jawapan sama ada si lelaki boleh berpoligami ke tidak?Ini kerana kami merancang untuk bernikah pada 31 Oktober dan si lelaki hanya akan berada di Malaysia selama 3 minggu sahaja pada Jun ini sehingga awal Ramadhan dan akan pulang ke UK pada 5 Julai. Selain itu, bolehkah saya tahu berapa kali selalunya saya dan wali perlu hadir ke Mahkamah? Ini kerana kami agak jauh dr Selangor dan sedang bekerja. Harap Tuan sudi menjawab. Terima kasih

    • Salam Tuan,

      Terima kasih di atas segala penerangan sebelum ini. Alhamdulillah, kami sudah selesai menguruskan permohonan untuk berpoligami dan sudah dapat tarikh sebutan perbicaraan iaitu pada 19 Jun ini. Tidak disangka prosesnya lebih mudah dari apa yang disangka kan. Walaubagaimanapun, saya ada satu pertanyaan. Pada hari sebutan kes, berapa lama masa diambil untuk mahkamah memberi jawapan sama ada si lelaki boleh berpoligami ke tidak?Ini kerana kami merancang untuk bernikah pada 31 Oktober dan si lelaki hanya akan berada di Malaysia selama 3 minggu sahaja pada Jun ini sehingga awal Ramadhan dan akan pulang ke UK pada 5 Julai. Selain itu, bolehkah saya tahu berapa kali selalunya saya dan wali perlu hadir ke Mahkamah? Ini kerana kami agak jauh dr Selangor dan sedang bekerja. Harap Tuan sudi menjawab. Terima kasih

      • Salam.

        Syukur alhamdulillah kerana perjalanan kes saudari adalah lancar malah lebih cepat dari yang disangka sebelumnya. Teruskan untuk mengikuti apa yang diarahkan oleh mahkamah.

        Mengenai jangkamasa atau tempoh mahkamah membuat keputusan, hal tersebut adalah sesuatu yang subjektif. Sukar untuk menentukan jangkamasa yang tepat. Bagaimanapun, jika semua prosedur dipatuhi meliputi kejayaan penyampaian notis permohonan poligami kepada semua pihak dalam tempoh yang dibenarkan undang-undang, tiada bantahan, pihak-pihak hadir di mahkamah dan keterangan telah diperolehi oleh mahkamah, di samping mahkamah dapati suami adalah layak berpoligami, maka tidak mustahil keputusan mahkamah boleh dibuat pada hari yang sama semasa pendengaran kali pertama dibuat iaitu pada 19 Jun 2014.

        Ada ketikanya mahkamah membuat keputusan terus pada hari yang sama. Ada juga ketikanya mahkamah menangguhkan ke satu tarikh yang lain untuk mengumumkan keputusan. Ini kerana mahkamah perlu membuat pertimbangan yang sedalam mungkin mengenai segala aspek kes berkenaan.

        Keputusan sudah tentu tidak dapat dibuat pada hari yang sama sekiranya mahkamah belum memperolehi keterangan yang diperlukan. Mahkamah boleh menangguhkan kes berkenaan untuk sambungan pendengaran bagi mendapatkan keterangan lanjut pada tarikh yang lain. Satu lagi situasi boleh berlakunya penangguhan kes adalah apabila isteri yang sedia ada menentang atau tidak bersetuju dengan permohonan tersebut. Mahkamah lazimnya akan memberikan peluang kepada isteri untuk menfailkan bantahan bertulisnya dalam beberapa hari atau minggu. Malah, mahkamah boleh menyarankan pasangan berkenaan mendapatkan khidmat peguam syarie bagi mewakili pihak-pihak.

        Dalam situasi kes di atas, erakita tidak dapat memberikan jangkamasa yang tepat bagi tempoh penyelesaian kes berkenaan. Sebaliknya, ia banyak bergantung kepada persiapan dan kehadiran semua pihak yang terlibat. Mengenai berapa kali perlu hadir di mahkamah, ianya juga terlalu subjektif. Namun, tidak perlu risau jika sekiranya segala prosedur dipatuhi, notis berjaya disampaikan kepada pihak-pihak, pihak-pihak hadir di mahkamah, adanya sebab yang kuat untuk suami berpoligami, adanya kemampuan dan tiada bantahan dari isteri.

        Pendek kata, maklumkan juga kepada mahkamah mengenai kekangan masa pihak suami untuk berada di Malaysia agar mahkamah dapat menyegerakan kes berkenaan untuk pendengaran dan penyelesaian.

        Wallahu a’lam

  4. saya dan teman lelaki bercadang untuk berkahwin, kami masih bujang..dia juga mempunyai seorang lagi teman dan saya tahu mengenai niat dia untuk berpoligami kerana perkara ini telah diberitahu kepada saya semasa kami mula2 berkawan lagi..dia berkata akan berkahwin dengan kami dalam tempoh yang dekat..adakah perkara ini dapat dilakukan memandangkan perlu mendapatkan kebenaran mahkamah syariah?

    • Ada sesiapa boleh membantu saya dalam hal ini?

      • Salam.

        Sukacita sekiranya pertanyaan itu dapat diperjelaskan lagi bagi memudahkan erakita memberikan pandangan yang berkaitan. Terimakasih dan wassalam.

      • Salam.

        Apa yang erakita dapat fahami melalui pertanyaan di atas adalah:

        1. Saudari Neem mempunyai seorang teman lelaki yang bersedia untuk berkahwin dengan Cik Neem.
        2. Dalam masa yang sama, teman lelaki saudari itu mempunyai teman wanita yang lain yang ia juga hendak mengahwininya.
        3. Teman lelaki saudari itu telah menyatakan hasratnya untuk mengahwini kedua-dua saudari dan teman wanitanya yang satu lagi. Dengan kata lain, teman lelaki saudari itu bersedia untuk berkahwin secara berpoligami.

        Dalam situasi ini, tidak timbul soal teman lelaki saudari itu membuat permohonan untuk mendapatkan kebenaran berpoligami dari mahkamah syariah pada ketika ini. Ini kerana beliau belum lagi berkahwin dengan mana-mana wanita. Belum masih bujang. Justeru tidak ada keperluan di sisi undang-undang untuk dia mendapatkan kebenaran berpoligami dari mahkamah.

        Tidak ada masalah di sisi undang-undang untuk lelaki berkenaan untuk bernikah dengan saudari mahupun teman wanitanya yang satu lagi. yang penting, dalam perkahwinan pertamanya, si lelaki tersebut cuma perlu mendapatkan kebenaran berkahwin daripada pendaftar perkahwinan di tempat ia tinggal atau bermastautin. Dalam situasi ini, terserahlah kepada saudari. Jika tidak mahu menghadapi masalah untuk berpoligami saat ini, usahakanlah untuk bernikah secara sah menurut undang-undang dan hukum syarak dengan teman lelaki saudari itu pada masa terdekat. Usah memikirkan soal teman wanitanya yang satu lagi jika saudari benar-benar bersedia untuk berkahwin.

        Selepas perkahwinan saudari nanti, baharulah timbulnya keperluan di sisi undang-undang kepada suami saudari itu itu memohon kebenaran berpoligami dari mahkamah syariah jika ia hendak meneruskan perkahwinan dengan teman wanitanya itu. Cuma, tidak ada pula jaminannya samada mahkamah akan meluluskan permohonan berpoligami itu. Semuanya bergantung kepada keputusan dari mahkamah syariah setelah mendengar permohonan itu.

        Jika benar teman lelaki saudari itu serius dengan hubungannya dengan saudari, maka saat inilah ruang untuk membuktikannya. Ia tidak seharusnya memikirkan lagi soal nak berkahwin dengan wanita lain dalam saat-saat seperti ini. Perlu difahami bahawa perkahwinan merupakan satu amanah dan tanggungjawap yang penting dan besar di sisi Allah. Sebaiknya saudari laksanakan juga solat sunat istikharah bagi memohon petunjuk dari Allah mengenai hasrat saudari berkahwin dengan lelaki berkenaan.

        Semoga penjelasan ini dapat merungkaikan persoalan saudari. Wallahu a’lam

    • terima kasih di atas maklum balas pihak tuan..
      kami telah berbincang, dan dia telah memaklumkan kepada saya bahawa dia akan berkahwin dengan wanita tersebut terlebih dahulu, dan kemudiannya saya.. katanya wanita tersebut dapat memberikan statement yang lebih kuat berbanding saya dalam permohonan poligami kerana kewangannya yang lebih kukuh..dia juga berkata untuk settle down dengan kami berdua dlm jarak yang dekat…saya cuma ingin tahu, adakah proses permohonan mengambil masa yang lama?

  5. Salam,

    Saya dan teman lelaki berhasrat untuk berkahwin tetapi mendapat tentangan dari isterinya.

    Kami ingin berkahwin mengikut prosedur yang sepatutnya tetapi kurang jelas dari segi di mana permohonan perlu dihantar berserta dokumen-dokumen yang perlu dilampirkan.

    Saya lahir di melaka tetapi telah menetap di selangor, alamat pada mykad adalah alamat di selangor manakala teman lelaki ssaya berasal dari kelantan tetapi bekerja di selangor

    Dari segi wali, bapa dan datuk saya telah meninggal dunia dan wali terdekat adalah adik saya yang berumur 14 tahun memandangkan ibubapa saya telah bercerai semasa saya kecil dan tidak berhubungan dengan keluarga sebelah bapa.

    • Walaikumussalam wbt.

      Dalam situasi Cik Ina, bakal suami lebih sesuai untuk menfailkan permohonan mendapatkan kebenaran berpoligami di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor. Walaupun Cik Ina dan bakal suami kedua-duanya bukan berasal dari Selangor, namun kedudukan terkini kedua pihak adalah di Selangor. Kad pengenalan Cik Ina juga jelas menunjukkan alamat tetap adalah Selangor. Demikian juga bakal suami juga bekerja tetap di Selangor. Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa kedua pihak adalah tinggal di Selangor. Ini sudah melayakkan permohonan tersebut difailkan di Selangor.

      Seksyen 4 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 menyatakan secara jelas bahawa Enakmen undang-undang keluarga ini adalah terpakai kepada orang yang tinggal di Selangor dan orang yang bermastautin di Selangor tetapi tinggal di luar negeri Selangor. Kedua pihak bukan setakat pemastautin tetapi tinggal di selangor. Justeru, permohonan mendapatkan kebenaran berpoligami itu wajar difailkan di Mahkamah Tinggi Syariah Syariah Selangor (di Shah Alam).

      Mengenai dokumen yang perlu disediakan bagi tujuan permohonan berkenaan, erakita sukacita menasihatkan agar Cik Ina datang sendiri ke kaunter pendaftaran kes di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam Selangor. Dapatkan maklumat yang jelas termasuk senarai semak bagi permohonan berpoligami. Apa yang pasti, dokumen seperti salinan kad pengenalan yang disahkan, status pemohonan samada bujang atau berkahwin, duda, janda, begitu juga dengan salinan sijil cerai jika telah bercerai, sijil nikah bagi bakal suami dokumen berkaitan sepertimana dikehendaki dalam senarai semak mahkamah.

      Mengenai wali, jika sudah tidak ada wali mujbir sebagaimana dalam situasi Cik Ina ketika ini, maka saudara kandung lelaki samada abang atau adik lelaki boleh dijadikan wali. Bagaimanapun, hendaklah dipastikan ketika pernikahan itu nanti samada adik lelaki itu sudah baligh atau belum. Ini kerana, salah satu syarat kepada perwalian itu adalah mestilah yang sudah baligh. Jika belum baligh, perlulah memohon kebenaran daripada Mahkamah Syariah untuk menggunakan wali hakim.

      Dalam keadaan isteri bakal suami menentang permohonan berpoligami, hal itu tidaklah menghalang bakal suami untuk menfailkan permohonan berpoligami di Mahkamah Syariah. Tidak mengapa. Failkan sahaja permohonan berkenaan setelah semua dokumen telah lengkap. Mahkamah akan keluarkan notis panggilan kepada isteri sedia ada, bakal isteri, wali kepada bakal isteri (jika ada) dan mana-mana orang yang difikirkan wajar dan patut oleh Mahkamah yang boleh membantu menberikan maklumat mengenai keadaan pemohonan.

      Di Mahkamah nanti, isterikepada bakal suami akan diberi ruang oleh Mahkamah untuk menyatakan pendiriannya samada menentang permohonan ini atau bersetuju. Jika menentang, isteri akan diberi peluang untuk menfailkan bantahan bertulis dalam tempoh yang menasabah. Pada prosiding berikutnya, Mahkamah akan mendengar keterangan dari semua pihak mengenai permohonan tersebut.

      Soal lulus atau tidak permohonan tersebut, serahkan saja kepada Mahkamah untuk memutuskannya. Apa yang penting, usaha telah dibuat menurut undang-undang. Semua pihak juga diberi peluang untuk menyatakan pendiriannya dalam kes berkenaan. Dalam soal berpoligami, erakita berharap Cik Ina banyak-banyak memohon petujuk dari Allah. Berdoa banyak-banyak agar diberi kekuatan untuk menghadapi apa jua keputusan di penghunjung kes berkenaan. Yang penting, jangan ambil jalan pintas dengan berkahwi lari ke sempadan atau menggunakan khidmat “orang luar” yang hanya mengambil kesempatan atas kesempitan orang lain.

      Wallahu a’lam

  6. saya nak tanya….saya sudah berkahwin di selatan thai dan mendapat seorang anak… tapi saya ragu-ragu dengan status perkahwinan., dan saya bercadang untuk bernikah semula dengan suami saya di malaysia. suami saya sudah beristeri dan anak-anak masih kecil. ingin mengemuka permohonan di mhkamah, suami saya tidak layak kerana tidak berkemampuan dari segi material. tuan rasa apa yang patut saya lakukan. kalau saya ingin mendaftar perkahwinan lalu, saya takut ianya dibubarkan dan procedur amat susah. lagipun kami xde duit. isteri pertama dia tak de masalah dan mengetahui tentang perkahwinan kami ini.

    • Salam.

      Dalam situasi Puan di atas, pertama sekali, Puan dan suami datang berjumpa dengan Pendaftar Perkahwinan di Jabatan Agama Islam di mana Puan tinggal atau bermastautin. Beritahu keadaan sebenar dan mohon agar diberi panduan apa yang patut dilakukan. Dalam situasi Puan di atas, perkahwinan di Thailand itu tidak mendapat kebenaran berkahwin daripada Pendaftar Perkahwinan di tempat tinggal Puan. Lebih-lebih lagi ianya melibatkan perkahwinan secara poligami.

      Keduanya, Puan perlu membuat permohonan mendapatkan pengesahan status pernikahan Puan dengan suami puan itu di Mahkamah Syariah. Mahkamah syariah akan memanggil puan dan pasangan puan untuk memberi keterangan. Jika sah, satu perintah pengesahan akan dikeluarkan oleh Mahkamah. Lazimnya, setelah pasangan didakwa di Mahkamah atas kesalahan melakukan perkahwinan bertentangan dengan undang-undang (kerana nikah tanpa kebenaran), baharulah pendaftar perkahwinan di Jabatan Agama Islam Negeri akan mendaftarkan pernikahan tersebut. Sijil nikah akan dikeluarkan selepas didaftarkan.

      Jika sekiranya pernikahan itu tak sah, Mahkamah akan faraqkan pernikahan berkenaan. Kedua pihak hendaklah memisahkan diri antara satu sama lain selepas itu melainkan dengan pernikahan yang baru. Jika difaraqkan nikah, status nasab atau keturunan anak hasil dari perkahwinan tersebut akan diputuskan oleh Mahkamah dalam kes yang sama.

      Ketiganya, dalam keadaan sekarang, utamakan untuk mendapatkan pengesahan pernikahan tersebut di Mahkamah syariah. Jika tidak sah dan kedua pihak masih ingin meneruskan perkahwinan, maka pihak suami hendaklah menfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran berpoligami di Mahkamah syariah. Soal mampu atau tak mampu, itu adalah perkara kedua. Biarlah hal tersebut ditentukan oleh Mahkamah. Persetujuan daripada isteri pertama lelaki berkenaan merupakan salah satu pertimbangan Mahkamah nanti.

      Erakita nasihatkan agar puan tidak perlu bertindak untuk bernikah semula dengan lelaki berkenaan di Malaysia. Memadai dengan mendapatkan pengesahan terlebih dahulu akan status pernikahan puan dengan lelaki berkenaan di Thailand. Ikutilah nasihat dan panduan yang diberikan oleh pendaftar perkahwinan nanti. Semoga ada manfaatnya jawapan ini.

      Waalhu a’lam

  7. Assalam.. saya dgn pasangan saya ingin berkahwin. Pasangan saya sudah berkahwin dan memiliki 3 anak. Permohonan poligami telah di hantar dan menunggu surat tarikh mahkamah. Isteri pasangan saya dah mengizinkan kami untuk bernikah. Selama kami bercinta selama 6 tahun. Kami telah melakukan kesalahan. Dan kami ingin bertaubat. Dan dari kesalahan itu kami telah memiliki seorang anak. Isteri pasangan saya juga telah mengetahui nya. Kami ingin segera berkahwin. Apa yg perlu kami lakukan untuk membaiki semua keadaan ini. Dan apa yg terjadi kepada anak kami sekiranya pihak jabatan agama mengetahui perkara ini. Mintak perjelaskan. Dan apa yg perlu kami lakukan. Anak kami juga telah mengidap penyakit jantung yg kronik. Kami ingin buat yg terbaik untuk anak kami.

  8. Walaikumussalam wbt.

    Tindakan bakal suami menfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran berpoligami di Mahkamah Syariah adalah betul di sisi undang-undang. Memang menjadi satu kesalahan jika berpoligami tanpa kebenaran mahkamah. Justeru, hadirlah ke mahkamah apabila dipanggil untuk memberikan keterangan di hadapan hakim nanti. Yang perlu hadir adalah suami (pemohon), isteri sedia ada, bakal isteri dan wali kepada bakal isteri. Jika mahkamah meluluskan, laksanakanlah pernikahan dan elakkan dari menunda-nunda. Dibimbangi akan berlaku pelbagai perkara yang tidak baik.

    Jika mahkamah tidak meluluskan permohonan tersebut, suami boleh membuat rayuan di mahkamah yang lebih tinggi iaitu Mahkamah rayuan Syariah. Persetujuan daripada isteri untuk si suami berpoligami merupakan satu kelebihan kepada suami walaupun ianya tidaklah semestinya menyebabkan mahkamah meluluskan permohonan tersebut. Terdapat beberapa perkara lagi yang perlu diambil pertimbangan oleh mahkamah seperti kemampuan suami dan juga alasan mengapa perlu berpoligami.

    Selepas pernikahan nanti, sijil nikah akan dikeluarkan oleh Pendaftar Nikah cerai dan Rujuk di Jabatan Agama Islam Negeri. Tindakan seterusnya adalah mendaftarkan kelahiran anak jika telah ada. Bagaimanapun, pihak JPN juga mempunyai peraturan tersendiri yang mengambil kira keputusan dari Muzakarah Fatwa Kebangsaan ketika meletakkan bin kepada seseorang anak dalam daftar kelahiran. Jika anak tersebut lahir kurang dari 6 bulan qamariah selepas pernikahan, anak tersebut akan dibin atau dibintikan dengan Abdullah. Meneurut apa yang erakita dapat fahami, anak telahpun dilahirkan oleh saudari CT sebelum pernikahan dengan bakal suami. Justeru, salah satu perkara yang perlu dirujuk kepada JPN apabila mendaftarkan kelahiran anak tersebut adalah berkenaan dengan nasab anak tersebut samada boleh dibin atau dibintikan kepada suami saudari CT. Bagi Semenanjung, rujukan boleh dibuat pada seksyen 13 Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957. Di Sabah, rujukan boleh dibuat kepada seksyen 10 Ordinance Sabah Cap 123. Bagi Sarawak pula, rujukan adalah kepada seksyen 11 Ordinance Sarawak Cap 10. Rujukan juga boleh dibuat kepada Pekeliling JPN No. 8/2009.

    Dari segi hukum dan undang-undang, adalah menjadi satu kesalahan di sisi hukum syarak dan undang-undang bagi orang-orang yang beragamh a Islam untuk melakukan perbuatan terlarang seperti zina. Justeru, jika sekiranya aduan diterima oleh pihak Penguatkuasa Agama di Jabatan Agama Islam mengenai perbuatan zina atau lahirnya anak tak sah taraf tersebut, satu siasatan mengenainya boleh dilakukan. Jika pihak pendakwa syarie berpuas hati adanya kes yang kuat untuk pendakwaan, maka pasangan berkenaan boleh didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah atas kesalahan melakukan persetubuhan luar nikah. Menurut seksyen 23 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (AKTA 559). pesalah lelaki atau wanita berkenaan boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih 3 tahun atau sebatan tidak lebih 6 sebat atau gabungan dari mana-mana 2 bentuk hukuman tersebut. Seksyen 23 itu juga jelas menyebutkan bahawa kehamilan luar nikah dengan kerelaan si wanita tersebut merupakan prima facie bahawa perlakuan persetubuhan luar nikah telah berlaku.

    Ini bermakna, selagi tidak ada aduan dibuat di hadapan Pegawai Penguatkuasa Agama di Jabatan Agama Islam Negeri mengenai perbuatan hamil luar nikah atau persetubuhan haram tersebut, maka tidak timbul soal saudari CT dan bakal suami didakwa di Mahkamah syariah. Erakita menasihatkan agar saudari dan pasangan saudari bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi semua ini andai ianya benar-benar berlaku.

    Mengenai penyakit anak tersebut, erakita turut tersimpati dengan ujian yang Allah berikan kepada saudari. Percayalah bahawa semua ujian ini ada hikmah di sebaliknya yang Allah untukkan untuk diri yang berkenaan. Mohon ampun dan taubat banyak-banyak kepada Allah tanpa henti. Banyak banyak tambahkan amal soleh. yang wajib dikerjakan dan yang yang sunat dilakukan menurut kemampuan. Banyakkan bersedekah dan melakukan kebaikan walaupun sedikit tetapi biar berterusan sehingga ke akhir hayat kita. Dapatkanlah rawatan terbaik untuk anak tersebut di hospital. Jangan biarkan anak tersebut terus menerus sakit. Minta bantuan kepada ahli keluarga saudari untuk mendapatkan rawatan di hospital atau mana-mana klinik pakar. Nyawa adalah keutamaan tanpa meminggirkan soal taubat dan tawakal kepada Allah.

    Erakita doakan agar saudari CT diberikan jalan keluar oleh Allah untuk berhadapan dengan ujian ini. Semoga Allah memberikan hidayah dan iman yang kukuh untuk saudari dan bakal suami saudari. Amin yaa Rabbal alamin.

  9. Salam tn .boleh sy tnya tentang proses utk poligami ?

  10. Salam tuan…mohon pencerahan utk proses poligami

  11. nurul fatehah binti mamat

    as salam…sy nak bertanya….sy asal terengganu…dan merancang ingin berkahwin dengan suami orang dan menjadi isteri ke2….melalui kefahaman sy di neg trg, kelantan dan perak hanya kebenaran bertulis dari qadi atau mahkamah syarie….adakah situasi sy ni xperlu dibicara di mmhkamah dan hanya perlukn kebenaran bertulis dari qadi?sbb sy xnk naik mahkamh kerana melibatkn bnyk pihak…..lebih2 ayah sy mmg xsk tmpt mcmtu…

  12. Salam tuan pemohonan poligami saya sudah lulus soalan saya disini…

    1)boleh kah saya nikah dulu sebelum perintah mahkamah siap
    2)boleh kah saya percepatkan proses agar perintah mahkamah keluar awal
    3)pasangan saya seorg mualaf perlu kah mohon lagi kat mahkamah untk wali hakim
    4)waktu sy buat pemohonan bakal isteri juga hadir dh telah beri keterangan tentang wali hakim.

    • Waalaikumussalam wbt.

      1. Saudara perlu tunggu sehingga perintah mahkamah berkenaan dikeluarkan. Perintah tersebut perlu dikemukakan kepada Pendaftar Pernikahan bagi tujuan perkahwinan tersebut.

      2. Saudara boleh memohon kepada Mahkamah agar mempercepatkan pengeluaran perintah kebenaran berpoligami berkenaan. Tulislah surat berserta alasan keperluan segera kepada Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah berkenaan.

      Bagaimanapun, pengeluaran perintah tersebut lazimnya ditangguhkan jika ada rayuan atau semakan kes berkenaan dibuat oleh isteri atau mana-mana pihak berkepentingan.

      3. Ya. Kebenaran berwali hakim perlu diperolehi dari Mahkamah Syariah melalui permohonan. Lazimnya kes permohonan wali hakim akan diberi keutamaan untuk dijadual bagi pendengaran di hadapan Hakim Syarie.

      4. Kehadiran bakal isteri semasa permohonan mendapatkan kebenaran berpoligami adalah atas kehendak undang-undang keluarga Islam. Tentunya keterangan mengenai wali kepada bakal isteri akan direkodkan Mahkamah. Bagaimanapun, keterangan tersebut tidaklah menyebabkan Hakim memberi kebenaran berwali hakim.

      Bakal isteri tersebut perlu failkan satu permohonan bagi mendapatkan kebenaran berwali hakim di Mahkamah Rendah Syariah. Jika perlu, mahkamah akan meminta pemohon untuk membuat penyampaian gantian melalui pemberitahuan di surat khabar tempatan mengenai permohonan kebenaran berwali hakim tersebut. Ia dibuat bagi memberi peluang kepada wali berkenaan untuk tampil ke mahkamah bagi memberi respon samada beliau setuju atau tidak menjadi wali dalam pernikahan pemohon.

      Untuk pemohon muallaf, biasanya mahkamah akan meminta beberapa saksi dibawa ke mahkamah untuk memberi keterangan mengenai kedudukan status pemohon. Lazimnya tiada iklan di surat khabar akan dibuat dalam situasi ini. Memadai dengan adanya keterangan saksi-saksi yang mengetahui kedudukan status diri dan keluarga pemohon.

      Semoga penjelasan ini ada manfaatnya. Wallahu a’lam

  13. assalam.nak tanya.saya ingin berkahwin,isteri pertama bakal suami telah setuju berpoligami.masalahnya sekarang,saya ada kena suruh buat surat sebab setuju berpoligami.saya tidak tahu cemana nak buat ayat..

  14. assalamualaikum.saya ingin bertanya. saya dan pasangan saya ingin berkahwin pada tahun ini,isteri pertama bakal suami saya pun bersetuju berpoligami. masalahnya saya ada kena bagi panduan kena suruh buat surat akuan sebab bersetuju berpoligami. saya tidak tahu cara nak buat surat itu.. boleh bantu saya?

  15. Assalamualaikum , saya nak bertanya tentang poligami samada akan diluluskan atau tidak . Saya baru berkenalan dengan seorang laki yang juga suami orang pada tahun lepas . Dia tidak mempunyai anak dengan isteri pertama . Hubungan kami telah melangkau dari jangkaan . Dia telah buat saya mengandung .Pada awalnya kami sepakat nak gugurkan tetapi bila saya fikirkan semula . Saya tak sampai hati jadi saya berhubung dengan isteri dia berkenaan hal ni . Pada awal perjumpaan kami , laki ni dah setuju untuk bertanggungjawab dan berkahwin dengan saya tapi keadaan berubah bila dia tiba-ii tidak mahu bertanggungjawab dan tidak mahu mengaku yang dia mngandungkan saya . Dia menuduh yang saya ada melakukan hubungan dengan laki lain dan cuma mahu perangkap dia . Sekarang ni , isterinya dah memohon permohan poligami untuk kami berkahwin dan akan dibicara dalam masa terdekat ni . Apa yang saya tahu niat isterinya buat begitu sebab dia tahu permohonan tu takkan diluluskan atas sebab pendapatan suaminya tak melayakkan dia untuk berpoligami . Dia cuma ingin menjatuhkan saya . Saya cuma nak tahu samada poligami ini akan diluluskan atau tidak jika pendapatan suaminya tidak mencukupi untuk poligami dan ingin berkahwin atas sebab saya dah mengandung . Saya tidak mahu laki tu lepas dari tanggungjawabnya . Keluarganya dah mengugut sekiranya kami dibenarkan berkahwin , dia akan abaikan saya dan takkan memberi nafkah apa-ii . Saya buntu , saya cuma mahukan hak keadilan untuk anak yang saya kandung . Masih adakah peluang untuk poligami ini diluluskan atas sebab-sebab yang saya sertakan diatas ?

Tinggalkan komen