Monthly Archives: April 2011

UBAT DARI SUMBER BABI

UBAT DARI SUMBER BABI

26 April 2011

Sebuah buku yang baru diterbitkan sejak Oktober 2010 lalu, edaran Cresent News (K.L) Sdn. bhd bertajuk UBAT daripada sumber BABI dan pilihan alternatif kini berada dalam pasaran. ERAKITA sempat membeli satu naskah semasa berkunjung ke Pameran Buku Antarabangsa Kuala Lumpur kelmarin. Pameran tersebut bermula sejak 22 April dan akan berakhir pada 1 Mei 2011.

Menariknya, buku berkenaan adalah julung kalinya diterbit dan berada di pasaran. Melihat kepada tajuknya sahaja sudah mampu menarik perhatian. Lebih menarik, penulisnya adalah anak kelahiran Tawau Sabah. Penulisnya, Abdul Rahman merupakan lulusan Sarjana Muda Farmasi dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Buku tersebut menyenaraikan lebih dari 90 jenis ubat daripada BABI. Bagi Erakita, buku ini harus dimiliki oleh pengamal perubatan khususnya para doktor perubatan dan masyarakat Islam amnya. Kandungannya amat berfaedah dan banyak ilmu mengenai ubat-ubatan yang mengandungi unsur babi dapat ditemui. Persoalan mengapa kebanyakan ubat-ubatan yang kritikal mengandungi unsur babi ada jawabannya dalam buku tersebut.

http://www.rahsiaubatbabi.com

dan

http://www. kedaibuku.net

Semoga anda menemui banyak informasi berguna dalam buku tersebut.

MALAYSIA: NEGARA CONTOH MENGURUS JEMAAH HAJI

MALAYSIA: NEGARA CONTOH MENGURUS JEMAAH HAJI

21 April 2011

Tidak dapat dipertikaikan lagi bahawa Malaysia adalah antara negara Islam di dunia yang boleh dibanggakan dalam pengurusan jemaah haji. Pengiktirafan ini bukan sesuatu yang baru. Ia telah lama diakui oleh Kerajaan Arab Saudi sebagai Tuan Rumah Jemaah Haji dari seluruh dunia.

ERAKITA percaya para jemaah haji Malaysia yang menunaikan haji di Tanah Suci bersetuju dengan pengiktirafan ini. Kecekapan dan keberkesanan pengurusan Tabung Haji Malaysia mengendalikan kebajikan jemaah jelas kelihatan bermula dari tanah air lagi. Kursus bersiri dan latihan prakikal diadakan secara intensif kepada para bakal jemaah haji diadakan bermula beberapa bulan sebelum keberangkatan ke Tanah Suci.

Bagi ERAKITA, para jemaah haji Malaysia wajar bersyukur kerana Malaysia adalah antara negara Islam di dunia yang teratur dan berkesan urusan hajinya. Layanan dan khidmat terbaik dari para petugas Tabung Haji bermula dari tanah air, ketika dalam penerbangan, ketika di Madinah dan Makkah amat dirasai. Di Madinah umpamanya, para petugas Tabung Haji bertungkus lumus memastikan kebajikan jemaahnya terjaga. Mereka sentiasa berada di mana-mana dan mudah sekali ditemui dengan pakaian khas baik di kawasan bangunan penginapan (hotel) mahupun di Masjid Nabawi. Hatta, para petugas juga masih meronda kawasan Masjid Nabi pada waktu tengah malam sekalipun. Ini semua dilakukan untuk memastikan tiada sesiapa jemaah yang tersesat atau menghadapi kesulitan.

Pegawai-pegawai agama yang juga menjadi pakar rujuk dalam hal ehwal ibadah haji sentiasa tersedia di tempat khas di bangunan penginapan. Mereka bersedia menerima apa sahaja kemuyskilan dari para jemaah. Terasa sekali betapa mereka tidak mengenal penat dan lelah bila berhadapan dengan pelbagai kerenah para jemaah.

Keadaan yang sama juga berlaku di Makkah. Ketekunan dan kesabaran para petugas Haji wajar dipuji. Mereka ada di mana-mana. Mereka mudah dikenali melalui pakaian mereka berlambangkan Tabung Haji yang bertulis besar “Petugas Tabung Haji”. Lebih membanggakan, para jamaah Malaysia ditempatkan di bangunan-bangunan penginapan atau hotel yang dekat dengan Masjid Nabi di Madinah dan dengan Masjidil haram di Makkah. Bagi Jemaah Haji Malaysia, jarak hotel penginapan jemaah seperti Janadriyah adalah dalam lingkungan 800 meter dari Masjidil Haram. Bagi jemaah yang menunaikan haji melalui Pekej Haji, jarak bangunan penginapan mereka lebih dekat dengan Masjidli Haram. Ia rata-rata dalam lingkungan 300-500 meter dari Masjidli Haram.

Jarak ini sesungguhnya terlalu dekat berbanding jemaah dari negara-negara lain. Jamaah haji dari Indonesia umpamanya ada yang terpaksa menginap di hotel atau bangunan dalam jarak 8 kilometer dari Masjidil Haram. Sukar dibayangkan bagaimana payah dan sukarnya mereka melakukan persiapan untuk solat ke Masjidil Haram. Jika jemaah Haji Malaysia boleh bangun seawal jam 3.00 pagi untuk persiapan ke Masjid, berkemungkinan jemaah dari negara luar itu terpaksa bangun seawal jam 1.00am atau 2.00am. Ini kerana, tandas bagi satu bilik yang menempatkan antara 6-8 orang jemaah hanya satu. Kebanyakan jemaah pula sudah lanjut usia dan uzur. Sudah tentu mengambil masa yang agak panjang untuk ‘berurusan” di bilik air.

Bagi jemaah Malaysia, untuk sampai ke Masjidli Haram, cukup dengan berjalan kaki yang hanya mengambil masa antara 10 hingga 20 minit. Inilah nikmat yang tidak ternilai harganya dinikmati oleh para jemaah haji Malaysia. Klinik kesihatan pula sentiasa tersedia 24 jam. Para petugas kesihatan yang terdiri dari doktor, pembantu perubatan dan jururawat adalah mencukupi untuk menerima kehadiran para pesakit. Layanan yang diberikan pula amat baik. Para jemaah yang sakit sentiasa diingatkan untuk menunaikan solat apabila masuk waktunya.

Makanan yang disediakan pula tidak perlu dipertikaikan. Soal kurang makanan sama sekali tidak timbul. Sebaliknya makanan sentiasa mencukupi dan memuaskan. Air zam-zam sentiasa tersedia di setiap penjuru pada setiap tingkat dalam hotel penginapan jemaah. Buah-buahan pula silih berganti jenisnya. Bahkan, tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa buah-buahan yang disediakan seperti epal dan oren selalunya melebihi dari keperluan. Ini kerana tidak semua jemaah dapat memakannya. Bagi jemaah yang ingin merasa kelainan, mereka boleh memilih untuk membeli makanan di restoran berdekatan. Kafeteria yang menyajikan makanan Malaysia juga tersedia di Tingkat Bawah hotel penginapan.

Ceramah agama silih berganti diadakan untuk setiap maktab dan tingkat. Pelbagai tajuk khusus pelaksanaan ibadah haji sentiasa diadakan. Boleh dikatakan hampir setiap hari ia diadakan di lobby hotel di setiap tingkat. Ketika hendak bergerak ke Arafah, jemaah juga tidak perlu risau. Ini kerana deretan bas sedia membawa jamaah ke Arafah. Apa yang penting, jemaah kena bersabar untuk menunggu giliran bersama pasangan atau orang yang diiringi. Tiada masalah dari segi terlepas atau tidak cukup bas kerana hal tersebut menjadi keutamaan Tabung Haji Malaysia.

Dari Arafah, Mudzalifah dan Mina, semuanya berjalan lancar asalkan para jemaah haji memberikan kerjasama kepada petugas Tabung Haji. Kebajikan para jemaah haji Malaysia benar-benar dijaga. Terasa sekali betapa jemaah haji Malaysia dilimpahi nikmat berlipat kali ganda di Tanah Suci berbanding jemaah dari negara lain. Jika diperhati, betapa ramai bahkan tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa mungkin ratusan ribu jemaah lain terpaksa berjalan kaki dari Arafah ke Mudzalifah, dan seterusnya ke Mina. Mereka membawa beg berisi kelengkapan mereka untuk menunaikan ibadah melontar di Mina. Bagi jemaah Malaysia pula, mereka tidak perlu bersusah payah kerana semuanya telah diatur sebegitu rapi.

Bas yang disediakan juga mempunyai air cond. Tinggal saja, yang diperlukan adalah kesabaran terutama ketika berhadapan dengan kesesakan jalan raya yang boleh dikatakan hebat. Sesungguhnya terlalu banyak keistimewaan dan nikmat yang dikecapi jemaah Malaysia berbanding jemaah lain. Bagi ERAKITA, ini semua adalah terhasil berkat kesungguhan dan kecekapan Tabung Haji Malaysia mengurus jemaahnya. Di samping itu, kesabaran dan kerjasama baik yang ditunjukkan oleh jemaah haji Malaysia juga boleh dibanggakan.

Tidak hairan mengapa para pekedai yang menjual pelbagai barangan di Madinah dan Makkah boleh dikatakan rata-ratanya boleh berbahasa Melayu. Ada yang mahir dan ada yang boleh bercakap mengenai harga sesuatu barang. Kata-kata seperti “Malaysia Bagus” selalu saja kedengaran keluar dari mulut para peniaga. Ini menunjukkan bahawa orang Malaysia amat dikenali, ramah dan mudah dibawa bercakap.

Sebenarnya, banyak perkara yang boleh diperkatakan mengenai kecekapan Tabung Haji dalam mengurus jemaah haji Malaysia. Namun, ianya boleh dibincangkan pada kesempatan akan datang. Tidak menghairankan apabila Imam Besar Masjidil Haram, Sheikh Dr Abdul Rahman Ibn Abdul Aziz As-Sudais membuat pujian atas kecekapan Malaysia mengurus jemaah hajinya. Beliau menyifatkan Malaysia sebagai negara contoh dalam menguruskan hal ehwal ibadah haji dan berkata ia perlu dijadikan panduan oleh masyarakat serta negara Islam lain di seluruh dunia.

“Ia termasuk aspek memberi kefahaman hukum kepada jemaah terbabit, bagaimana menguruskan kebajikan mereka, dan bagaimana membantu meningkatkan ekonomi jemaah sebelum dan selepas menunaikan haji,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan syarahan umum bertajuk “Masa Depan Ketamadunan Islam pada abad ke-21” di Institut Kajian Islam Lanjutan Antarabangsa di sini pada 20 April 2011.

Sheikh Abdul Rahman sedang dalam rangka lawatan lima hari ke Malaysia, dan dijangka menyampaikan khutbah sebelum mengimamkan solat Jumaat di Masjid Wilayah Persekutuan di sini, sebelum pulang ke Arab Saudi.

Kita doakan agar Tabung Haji terus maju dan memacu kecemerlangan dalam pengurusan haji. Semoga pengurusan cemerlang itu dapat pula dicontohi oleh negara-negara lain di dunia. Syabas Tabung Haji.

SPRM: Teruskan Usaha Anda!

SPRM: Teruskan Usaha Anda

 

8 April 2011

Melihat berita yang dipaparkan dalam Akhbar Harian Metro Online hari ini, ERAKITA tertarik untuk memaparkan semula kenyataan tersebut dalam blog ini. Usaha ini harus dibanggakan dan disokong. Melihat kepada nilai rampasan yang ditemui oleh Pegawai SPRM di kalangan Pegawai Kastam tersebut, masyarakat harus melihat perkara ini sebagai sesuatu yang kritikal dan serius. Jika benar berlaku amalan rasuah di kalangan pegawai tersebut, betapa besarnya kerugian yang ditanggung oleh negara dan khususnya oleh rakyat.

Bagi ERAKITA, Pegawai SPRM wajar sekali ditempatkan di Kementerian dan Jabatan-Jabatan yang kritikal seperti Kastam, Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara, Perlesenan dan lain-lain agensi yang berkaitan. Namun, yang terlebih penting lagi adalah contoh terbaik yang mesti ada pada para pemimpin negara kita. Slogan KEPIMPINAN MELALUI TELADAN harus tonjolkan. Rakyat melihat pemimpin sebagai idola dan ikutan. Jika ada di kalangan para pemimpin negara mengamalkan rasuah, sampai bilapun rasuah di kalangan rakyat sukar dihapuskan.

Kesihan sungguh kepada para pengamal rasuah. ERAKITA terbayang bagaimana anak-anak mereka besarkan melalui duit yang TIDAK BERKAT. Mereka tak sedar bahawa selama ini mereka memberi makan dan minum serta tinggal di rumah mewah hasil dari wang HARAM dan tidak berkat! Bila ianya haram, hukumnya tiada lain melainkan DOSA! ya DOSA! Apalah ertinya hidup jika seluruh keperluan dan kemudahan hidup yang ada diperoleh dengan harta yang haram?

Ingat! Hidup hanya sementara. Jika umur kita hari ini sudah masuk 40 tahun, baki umur kita di dunia hanya sekitar 20 atau 30 tahun lagi. Lumayanlah jika sampai ke tahap itu. Harta sama sekali tidak akan dibawa ke kubur. Yang dibawa hanya amalan samada baik atau buruk. Amalan itulah yang akan menentukan ke mana distinasi terakhir kehidupan nanti. Syurga atau Neraka. Inilah yang ramai manusia leka dan lalai untuk memikirkan dan merenungkan.

Untuk renungan bersama, ERAKITA sukacita memaparkan kenyataan berkenaan seperti berikut

SPRM tahan 62 pegawai kastam

MUSTAFAR... usaha dapat semula wang kerajaan
MUSTAFAR… usaha dapat semula wang kerajaan

PUTRAJAYA: Seramai 62 pegawai kastam pelbagai pangkat berusia antara 24 hingga 56 tahun ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak operasi besar- besaran bersepadu dikenali Ops 3b di lima pelabuhan seluruh negara, Isnin lalu.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali berkata, daripada jumlah itu 53 adalah lelaki manakala sembilan lagi wanita.

Beliau berkata, sehingga semalam, 17 masih direman manakala yang lain dibebaskan dengan jaminan. Pegawai kastam dari Pelabuhan Klang, Selangor paling ramai ditahan iaitu 48 orang.

“Hasil siasatan mendapati, ada pegawai mengaku menerima suapan antara RM100 hingga RM500 untuk setiap borang K1 iaitu borang pengisytiharan kastam sejak lima bulan lalu, malah ada yang mengaku pihak tertentu memasukkan RM10,000 setiap bulan ke dalam akaun dan kita mengesan tujuh transaksi dijalankan.

“Malah, kami turut menemui wang yang banyak dalam akaun pegawai, pelaburan amanah saham bernilai RM200,000 termasuk jam tangan emas,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Mustafar berkata, kelmarin SPRM turut menahan beberapa lagi pegawai dan menemui tiga beg wang tunai berjumlah RM625,250, selain lima jongkong emas bernilai kira-kira RM50,000 serta dua pistol tiruan dan 241 peluru.

Katanya, di rumah pengarah kastam yang masih ditahan reman, pihaknya menemui wang tunai bernilai RM65,000, mercun dan bunga api serta rokok kretek.

“Kita masih menyiasat harta dimiliki pengarah berkenaan kerana dalam beberapa akaun miliknya mempunyai ribuan malahan jutaan ringgi, ada yang berjumlah sehingga RM2.1 juta manakala satu akaun lagi RM500,000, semua itu masih dalam siasatan,” katanya.

Mustafar berkata, hasil operasi itu juga, SPRM mengesan lebih RM10 bilion diseludup dan dihantar ke luar negara secara haram.

Beliau berkata, fokus utama pelaksanaan operasi itu bagi mendapatkan kembali hasil pendapatan kerajaan serta membersihkan amalan rasuah di kalangan pegawai dan kakitangan Kastam Diraja Malaysia (KDRM).

Ia berikutan ada maklumat menyatakan pegawai kastam di pelabuhan seluruh negara meminta dan menerima rasuah daripada ejen penghantaran untuk mengurangkan duti kastam serta mempercepatkan proses Borang K1.

Operasi dilaksanakan di Pelabuhan Klang, Selangor; Pelabuhan Kuantan, Pahang; Pelabuhan Pulau Pinang; Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pelabuhan Pasir Gudang, Johor.

“Usaha kita adalah mendapatkan kembali pendapatan kerajaan yang boleh diberikan semula kepada masyarakat. Kerajaan kehilangan berbilion ringgit disebabkan amalan ‘tangan kotor’ yang dilakukan pihak tertentu,” katanya.

Rasuah MUSUH utama negara

MURID 7 TAHUN MAUT DIBELASAH GURU?

MURID 7 TAHUN MAUT DIBELASAH GURU?

 

4 April 2011

Gempar! Terkejut! Terkilan! Sukar diterima! Inilah agaknya perkataan yang dapat diungkapkan setelah melihat laporan akhbar Berita Harian hari ini. Tajuk “Murif Agama Dibelasah Guru Meninggal” benar-benar mengejutkan. Murid yang malang itu terlalu muda untuk menerima “Hukuman Ganas” dari seorang guru. Umurnya baharu sahaja 7 tahun. Seorang anak yatim yang baru sahaja merasa dunia baru dalam persekolahan. Mungkin kemiskinan dan serba kekurangan dalam hidup yang menyebabkan ia tinggal di asrama. Sungguh kesihan! Hanya setelah masuk bulan ke-4 ia menyirup alam persekolahan, ia kehilangan nyawa akibat akibat pukulan dan belasah dari seorang manusia yang kehilangan rasa kemanusiaan dan kawarasannya.

Erakita tidak ingin mengulas panjang kerana kes ini masih dalam siasatan Polis di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Jika susupek didakwa di Mahkamah dan disabitkan salah, suspek boleh dijatuhkan hukuman mati. Terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan kerana kes masih disiasat. Setelah selesai siasatan, boleh jadi banyak fakta baru akan ditemui. Kita serahkan saja kepada pihak berkuasa untuk menjalankan tugas mereka. Apapun, Erakita sukacita untuk memetik kenyataan akhbar berkenaan bertarikh 4 April 2011 mengenai tragedi di atas. Semoga ada manfaatnya buat kita yang punya hati dan perasaan.

KANGAR: Murid Tahun Satu sebuah sekolah agama persendirian di Arau, Saiful Syazani Saiful Sopfidee, 7, yang koma sejak tiga hari lalu selepas dibelasah gurunya, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, pagi semalam.

Mangsa yang juga anak yatim, menghembuskan nafas terakhir jam 8.30 pagi selepas mengalami pendarahan dalaman di kepala dan komplikasi jantung akibat kejadian terbabit yang berlaku di bilik asrama sekolah agama itu, Khamis lalu. Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Mohd Nadzri Hussain, berkata murid berkenaan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pediatrik HSB dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa kepada hukuman mati.

Katanya, polis akan menjalankan siasatan menyeluruh kejadian terbabit, apatah lagi ia membabitkan kematian.

“Perintah reman terhadap suspek berusia 26 tahun yang juga guru mangsa yang berakhir esok (hari ini), akan sambung bagi tujuan siasatan,” katanya enggan mengulas lanjut kes itu.

Difahamkan, punca kejadian mangsa dibelasah dengan teruk kerana didakwa mencuri wang RM7 milik rakan sekelas.
Akhbar semalam melaporkan Saiful Syazani yang juga anak yatim dibelasah dengan kejam oleh gurunya dalam keadaan kedua-dua tangannya terikat pada tingkap asrama sehingga menyebabkan mangsa koma dalam kejadian kira-kira jam 7 malam Khamis lalu.

Mangsa dikatakan berjaya membuka ikatan tangannya untuk melarikan diri hingga menimbulkan kemarahan guru berkenaan yang memukulnya tanpa belas kasihan.

Selepas memukul kepala, suspek dikatakan ‘naik minyak’ dan menggoncang badan mangsa serta menolaknya dengan kuat ke dinding yang dipercayai punca utama mangsa mengalami masalah pendarahan dalam kepala dan komplikasi jantung.

Suspek juga dikatakan sempat bersolat hajat selepas dimaklumkan doktor bahawa mangsa dalam keadaan kritikal sebelum bergegas ke Alor Setar dengan menaiki motosikal untuk melihat keadaan mangsa.

Guru terbabit yang juga warden asrama sekolah itu menyerah diri di Balai Polis Arau, Jumaat lalu selepas bapa mangsa, Saiful Sopfidee Marzuki, 34, membuat laporan di Balai Polis Alor Setar, jam 8 malam hari kejadian.

Sementara itu, pengetua sekolah agama terbabit, Yaakub Abu Soman, berkata pihaknya tidak akan membuat sebarang ulasan berhubung kejadian itu yang membabitkan guru dan murid sekolahnya atas arahan pihak polis.

“Kami akan mengadakan sidang akhbar selepas tempoh reman terhadap suspek yang juga guru sekolah ini tamat nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Saiful Sopfidee berkata, jenazah mangsa yang juga anak tunggal hasil perkongsian hidup dengan arwah isteri, Jahiyah Che Amat dikebumikan di Tanah Perkuburan Tok Paduk, di sini, selepas solat Maghrib, semalam.

Beliau berharap guru terbabit dikenakan tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang kerana perbuatannya yang tidak berperikemanusiaan itu.

Pengarah Pelajaran negeri, Mansor Lat, ketika mengulas kejadian itu berkata, pihaknya menyerahkan kes berkenaan kepada pihak polis kerana sekolah itu milik persendirian dan bukannya di bawah seliaan jabatan.

Semoga kisah ini menjadi pengajaran berguna buat kita semua. Bagi Erakita, kes seperti ini tidak harus menjadikan persepsi kita kepada guru-guru menjadi negatif. Kes ini adalah kes terpencil dan ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. “Terlalu Ramai” guru-guru yang cukup hebat dan begitu cemerlang prestasi mereka dalam mendidik anak-anak kita menjadi insan berilmu. Kepada guru-guru, teruskan perjuangan untuk mendidik dengan gigih, tulus, ikhlas dan sabar. Kerana andalah, kami berada di tempat kami hari ini.