Monthly Archives: Ogos 2009
JANGAN TERLALU BAIK KETIKA MEMANDU KERETA DI KL: BENARKAH BEGITU?
MEMANDU DI KL
Pengalaman pertama kali memandu kereta baru jenis MIVY 1.3 di Bandaraya Kosmopolitan seperti KL sukar dilupakan. Ketika diminta oleh salah seorang anggota keluarga ERAKITA, Nurjannah bte Hj. Adenan untuk memandu kereta barunya dari Pantai Dalam KL ke Shah Alam, perasaan penulis begitu berdebar-debar. Walaupun telah memiliki lesen memandu sejak tahun 1996, namun pengalaman memandu kereta samada jenis auto atau manual berbelas tahun di Sabah tidak membantu untuk meyakinkan penulis. Anggota keluarga lain yang kebetulan tinggal di KL seperti Arsin dan isterinya, Jila turut serta menaiki kereta tersebut tidak kosong dengan dorongan dan kata-kata peransang kepada penulis.
Di samping tidak arif laluan yang akan digunakan, penulis juga tidak mempunyai keyakinan sama sekali untuk memandu. Lebih membimbangkan, suasana kesesakan kenderaan dari sekecil-kecil seperti motorsikal hinggalah lori-lori besar yang lazimnya memenuhi setiap lorong yang banyak di jalan raya merunsingkan fikiran penulis. Penolakan penulis akhirnya gagal berjaya apabila penulis ditenangkan dan diberi suntikan semangat untuk mencuba terlebih dahulu. Beberapa kata peransang buat pembakar semangat dari mereka akhirnya melenyapkan sama sekali perasaan cemas dan gementar itu. Satu tips atau petua yang dilontarkan mereka yang penulis tidak akan lupa ialah “JANGAN TERLALU BAIK KETIKA MEMANDU DI KL”.
Bila memikirkan kata-kata ini, penulis dapati bahawa maksud sebenarnya adalah untuk kebaikan. Jangan terlalu baik maknanya, janganlah terlalu berlembut atau memberikan peluang kepada pemandu lain untuk memotong, mendahului kita, atau memberi laluan atau mendahulukan pemandu lain sehingga akhirnya kita sendiri terlepas peluang untuk masuk ke lorong yang sepatutnya. Untuk memasuki simpang tertentu, kedudukan kereta kita mestilah berada di lorong yang betul sekurang-kurangnya dalam jarak 100-200 meter untuk mengelak berlakunya kemalangan. Jika perlu, isyarat menggunakan tangan ketika hendak memasuki lorong lain hendaklah digunakan agar diberi laluan pemandu lain.
Laluan banyak dalam sebuah jalanraya akan menyukarkan kita memasuki ke lorong sepatutnya bila tiba masanya sekiranya kita berada di lorong yang jauh. Suasana jalanraya di sekitar KL menyaksikan betapa kenderaannya begitu sesak, rapat jaraknya dan berlapis-lapis memenuhi setiap lane atau laluan. Memandu di KL memerlukan keberanian dan keyakinan tinggi ketika memintas kereta lain dengan syarat kita menggunakan lampu isyarat. Ada kalanya kita terpaksa masuk ke lorong lain dan terpaksa berhadapan dengan risiko kemalangan dalam keadaan kenderaan terlalu rapat dan sesak.
Seorang pemandu teksi KL yang ditemui memberitahu bahawa ketika berpindah ke lorong lain, pemandu hendaklah berhati-hati dengan kehadiran motorsikal dari arah belakang secara tiba-tiba. Kemunculan motorsikal secara tiba-tiba dari arah belakang dan bergerak terlalu hampir dengan kereta kita boleh menyebabkan kemalangan jika tidak berhati-hati. Malah ketika memandu kereta di sekitar Bandaraya KL beberapa hari lalu, kereta yang digunakan penulis cermin sisinya digesel beberapa kali oleh pemandu motorsikal dari arah belakang.
Lebih mencemaskan apabila tersalah masuk ke lorong PARKING di bawah bangunan pencakar langit seperti KLCC. Kesilapan penulis masuk ke bahagian “season parking” cukup mencabar apabila terpaksa berundur ke belakang dalam keadaan kereta lain berada di belakang untuk keluar ke kawasan parking orang awam. Hanya Allah sahaja yang mengetahui bagaimana perasaan penulis ketika itu. Satu perkara yang penulis nampak ialah tidak kurang ramainya pemandu kereta di KL yang memotong kenderaan lain dalam keadaan bersesak-sesak dan terlalu rapat tanpa menggunakan lampu isyarat.
Tips yang diberikan itu benar-benar menjadi senjata yang berkesan dan ampuh. Perjalanan ke Shah Alam pada 16hb. Ogos 2009 (sabtu) itu begitu lancar walaupun kenderaan sesak di lebuh raya dan di jalan-jalan kecil. Akhirnya penulis dapat memahami maksud tips di atas. Ungkapan “JANGAN TERLALU BAIK KETIKA MEMANDU DI KL” yang kelihatannya bemaksud negatif andai dibaca secara literal itu bukanlah menyuruh kita melakukan tindakan tidak bertanggunjawap atau melanggar undang-undang jalan raya. Bukan begitu maksudnya. Ia hanyalah ingatan agar kita lebih bersikap berpada-pada apabila membuat kebaikan kepada orang lain.
Janganlah kerana kita nak berbuat kebaikan kepada orang, kebajikan diri sendiri terabai sehingga mengundang mudarat. Satu kaedah dalam Islam yang menganjurkan sikap berpada-pada dalam satu tindakan seperti “TIDAK MEMUDARATKAN DAN TIDAK DIMUDARATKAN” jika difahami maksudnya mampu memberi kemudahan kepada kita. Bagi penulis, apa yang penting ialah kita selamat sampai ke distinasi masing-masing tanpa menyebabkan kemudaratan kepada diri sendiri dan juga orang lain.
SELAMAT MEMANDU DENGAN YAKIN DAN SELAMAT DI KL
Gambar-gambar di bawah menjelaskan dengan sendirinya bagaimana suasana jalanraya di KL.
- memang mencabar terutama dalam suasana hujan
- sebahagian suasana sesak jalanraya di sekitar KL
- suasana mencabar ketika memandu di KL
- sebahagian gambaran jalanraya di ibu kota
- sebahagian dari gambaran sesak di KL
- Laluan di hadapan Dataran Merdeka dalam keadaan tenang. Jalan ini biasanya ditutup untuk acara-acara rasmi negara seperti Sambutan Hari Kemerdekaan. Bagi tahun 2009, acara rasmi Hari Kemerdekaan diadakan di Perkarangan Bangunan Parlimen.
MANUSIA TERPANTAS DI MUKA BUMI: PATUT KAGUM SIAPA?
USAIN BOLT TERPANTAS DI DUNIA
Kejayaan USAIN BOLT dari Jamaica, sebuah negara pengeluar athlit sukan terbilang dunia memecahkan rekod dunianya sendiri dalam acara larian 100 meter dan 200 meter mencetuskan fenomena luar biasa di dunia. Dengan kelajuan 9.58 saat bagi acara 100 meter dan 19.19 saat bagi acara 200 meter, Usain kini menjadi pelari pecut terpantas di muka bumi. Lebih 5 billion manusia yang hidup dalam satu-satu masa di muka bumi ketika ini tidak setanding dengan Usain. Usain kini berada pada kedudukan 1 dalam lebih 5 billion manusia. Usain Bolt yang lahir pada 21 Ogos 1986 mempunyai ketinggian 6.4 kaki.
Sejak acara sukan mencatat rekod dunia pertama tahun 1912, inilah pertama kali satu catatan larian paling pantas dan luar biasa pernah dicatatkan. Tidak mustahil, dengan kelajuan luar biasa Usain baru-baru ini, satu rekod baru dari mana-mana pelari pecut dunia belum pasti dapat memecahkannya walau 100 tahun akan datang. Namun, tidak pula mustahil andai Usain dapat memecahkan lagi rekodnya sendiri selepas ini.
ERAKITA melihat bahawa dalam semua jenis sukan olaraga, acara larian 100 meterlah yang menjadi tumpuan mata. Saat bintang pecut terkemuka berada betul-betul di garisan permulaan trek, tumpuan mata semuanya terarah kepada setiap gerak geri mereka. Bagi kita yang menyaksikan, debaran jantung juga begitu luar biasa cepatnya. Saat itu benar-benar mendebarkan. Sesiapa jadi juara, pasti akan menjadi buah mulut dan dikagumi.
Begitulah apa yang berlaku kepada diri Usain dari Jamaica itu. Saat ini, manusia di atas muka bumi begitu teruja dan mengkagumi beliau. Ada yang mungkin tidak percaya dengan pencapaian luas biasanya sebegitu rupa. Begitulah manusia. Apabila ia kagum dan minat seseorang itu, ia akan uja dan memuja. Ia akan cinta dan rindu dengan segala apa yang ada pada diri orang itu.
Tidakkah manusia terfikir bahawa Usain itu hanyalah manusia biasa? Ia hanyalah makhluk ciptaan Allah. Usain memang berhak dikagumi atas pencapaian luas biasanya. Namun, ramai manusia yang tidak sedar bahawa Sang Pencipta Usainlah yang lebih layak dikagumi kerana mencipta makhluk yang begitu pantas. Siapa lagi Sang Pencipta Usain jika bukan Allah yang maha agung. Ia maha berkuasa dan memilik segala-gala yang dikatakan maha. Alangkah indahnya andai kekaguman manusia yang luas biasa kepada Usain ditujukan kepada Allah.
Allahlah yang layak dikagumi. Mengapa tidak? Kerana Allah mencipta tanpa batasnya. Andai Ia mahu membuat sesuatu, cukup mudah ia melakukannya dengan mengatakan JADILAH”. Dan jadilah benda itu sungguh-sungguh. Tidakkah wajib manusia kagum kepada Allah setelah Allah mencipta dunia dan segala isinya?. Tidakkah manusia wajib kagum Allah setelah Allah mencipta seluruh alam semesta luas yang tak bertepi ini?
Cuba kita belek-belek balik al-Quran itu. Perhati betul-betul. Di sana banyak sekali kita jumpa kalimah-kalimah suci Allah yang menyuruh manusia agar menggunakan daya intelek dengan berfikir, bermuhasabah, bertadabbur, melihat dengan mata dan mendengar dengan telinga. Andaikata semua ini andai dihayati dan diamalkan manusia, nescaya manusia akan menjadi bijaksana. Bijaksana kerana dapat memilih antara intan atau berlian. Dapat memilih antara yang sedikit dan banyak. Dapat mengenali antara yang buruk dan baik. Dapat menilai antara yang besar dan kecil. Dapat menilai antara yang cantik dan hodoh, antara yang manis dan pahit, antara yang tinggi dan rendah, antara yang mulia dan hina dan macam-macam lagi “ANTARA”.
Penggunaan pancaindera unik dan hebat ciptaan Allah seperti otak, mata, telinga, mulut dan lain-lainya yang berlandaskan peraturan Allah pasti menjadikan manusia menjadi manusia yang canggih. Manusia menjadi canggih kerana mereka bijak dan sentiasa berada dalam landasan yang benar ketika melakukan sesuatu perbuatan. Apabila manusia sudah mengarahkan kekagumannya kepada Allah, percayalah bahawa dunia ini akan aman. Dunia akan maju. Dunia akan berseri. Keadilan ditegakkan. Kemiskinan dihapuskan. Kejahilan disingkirkan. Kebatilan dimusnahkan. Kekayaan diserlahkan.
Sebabnya, kerana semua amalan atau aktiviti manusia disandarkan kepada Allah. Bersandar kepada Allah bermakna manusia memegang dan melaksanakan segala kehendak dan peraturan Allah. Apabila peraturan Allah diikuti, tunggulah saat di mana manusia benar-benar akan menikmati nikmatnya hidup di dunia ini. Mengapa tidak? Kerana sebagai Sang Pencipta, Allah amat-amat mengetahui mana peraturan atau undang-undang yang terbaik untuk manusia sesuai keadaan dan kemampuannya. Bukankah Allah maha adil dan memiliki semua jenis MAHA yang selalu diagung-agungkan manusia.
EARKITA terfikir. Alangkah indahnya suasana bila mana manusia kagum kepada pencapaian luar biasa Usain, lantas manusia lebih kagum lagi kepada Sang Pencipta makhluk bernama Usain ini. Alangkah indahnya andai manusia mengkagumi betapa hebatnya seorang rakyat Nabi Sulaiman a.s yang alim lagi soleh dapat membawa istana Ratu Balqis, pemerintah Kerajaan Saba di hadapan Nabi Sulaiman begitu cepat. Cepatnya dapat digambarkan apabila istana Ratu Balqis dapat di bawa ke hadapan Nabi Sulaiman sebelum Nabi Sulaiman mengerlipkan matanya.
ERAKITA melihat bahawa kisah Usain yang luar biasa itu boleh sebenarnya dapat meningkatkan iman kita kepada Allah andai kita kaitkan dengan Sang Pencipta Usain itu. Siapa lagi Sang Pencipta Usain jika bukan Allah yang Maha Agung itu. Siapalah Usain di sisi Allah yang begitu kaya dengan luar biasa-Nya.
ERAKITA mengajak kita semua berfikir dan terus berfikir hal ini. Semoga ada manfaatnya buat kita semua.
Gambar-gambar di bawah menerangkan segala-galanya.
- Catatan dalam skrin mengesahkan rekod baru acara 100 meter 9.58 saat oleh Usain Bolt. Gambar dipetik dari http://www.latimes.com/sports/la-sp-world-track-championships-2009aug17,0,7171283.story
- Usain Bolt, kanan sekali dari Jamaica melepasi garisan penamat mengesahkan kemenangannya dalam acara 100 meter dengan rekod dunia baru semasa World Athletics Championships di Berlin pada ahad, 16 Ogos, 2009. Di kiri ialah dari USA Tyson Gay. (AP Photo/Herbert Knosowski) di http://www.latimes.com/sports/la-sp-world-track21-2009aug21,0,6981293.story
TAHNIAH! KONVOKESYEN PTPL (KOTA KINABALU) KE-10, 2009
INILAH KEJAYAAN..YES!
Tahniah kerana berjaya menamatkan pengajian di peringkat Diploma dalam bidang Teknologi Makmal Perubatan. Itulah yang dapat ERAKITA ucapkan kepada Aisyah bte Rusli dan rakan-rakannya atas kejayaan tersebut. Majlis konvokesyen PTPL cawangan Kota Kinabalu Sabah kali ke-10 itu diadakan di Hotel Star Tanjung Aru, Kota Kinabalu, salah sebuah hotel bertaraf antarabangsa dan terkenal di Sabah pada 11hb. Julai 2009.
Sijil-sijil Diploma disampaikan oleh YAB Ketua Menteri Sabah, Datuk Musa bin Aman. Turut hadir ialah Yg. Berbahagia Datuk Wira Mohd Shukri Abdul Yajid, Presiden Management Science University Malaysia (MSU).
Majlis yang bersejarah itu menyaksikan lebih dari 300 pelajar PTPL menerima Diploma dalam tiga bidang pengkhususan iaitu Diploma Pengurusan, Diploma Teknologi Makmal Perubatan dan Diploma Teknologi Maklumat. Majlis yang bermula sejak jam 9.00am itu berakhir dengan jayanya pada jam 3.00pm.
Turut hadir mengiringi Aisyah ialah anggota keluarga ERAKITA iaitu Ibu Hj Assnah Dulah dan bapa kandung Aisyah, En. Rusli. Pengajian Aisyah di PTPL bermula dari sejak Jun 2006 dan tamat pada Mac 2009.
Perjuangan untuk mencari llmu tidak terhenti setakat itu. Kini, dengan semangat yang kental, Aisyah terus melangkah ke hadapan apabila mendaftar sebagai pelajar di Management Science University Malaysia (MSU), salah sebuah Pusat Pengajian Tinggi di Shah Alam, Selangor. Beliau kini mengambil jurusan yang baru iaitu Bachelor in Food Service and Technology.
ERAKITA sekali lagi mengucapkan tahniah kepada Aisyah Rusli dan rakan-rakannya. Teruskan perjuangan untuk untuk sampai ke tahap yang lebih tinggi.
Beberapa gambar menarik sempena Majlis Konvokesyen tersebut sempat dirakamkan untuk tatapan anda.
- Detik-detik ceria terakhir sebelum melangkah ke pentas menerima skroll
- Aisyah (kanan) bersama rakan seperjuangan. Tahniah!
- Wajah kegembiraan
- pose istimewa para graduan
- tahniah! tahniah!
- Bersama kawan-kawan seperjuangan. lepas ni, tambahkan lagi skroll!
- Ini baru permulaan. Inisyaallah, ada lagi lepas ni
- wajah-wajah keceriaan
- pose istimewa
- Dan akhirnya..
TAHNIAH KEPADA PARA GRADUAN PTPL KOTA KINABALU! TERUSKAN LANGKAH KE MENARA GADING YANG LEBIH TINGGI.
TRAGEDI NATRAH – MEMILUKAN

Majalah Al Islam keluaran September 2009 memaparkan kisah sedih Natrah

Gambar yang dimuatkan dalam Majallah Al Islam memaparkan hubungan erat Natrah dan Che Aminah. Di sebelah kanan menunjukkan umat Islam berhimpun untuk menunjukkan kemarahan atas apa yang terjadi ke atas Natrah

kesudahannya.. lihat dan renungkanlah..
TRAGEDI NATRAH YANG TRAGIS
Keluaran Majalah Islam kontemporari, AL ISLAM untuk bulan September 2009 benar-benar menarik perhatian ERAKITA untuk berkongsi maklumat dengan anda semua. Melalui muka depannya, majalah tersebut memaparkan tajuk “KE MANA HILANGNYA SEMANGAT NATRAH?. Pelajar dan pengamal undang-undang di negara ini tidak akan sukar untuk mengenali siapa Natrah dan apakah yang menarik dalam kes Natrah kerana tragedi Natrah boleh dirujuk dalam kes Mahkamah yang diterbitkan dalam Malayan Law Jurnal (MLJ) sekitar 1950-an.
Malah kehadirannya ke Kemaman, Terengganu untuk bertemu adik beradik angkatnya, Kamariah, sehari sebelum umat menyambut Hari Raya Idul Fitri tahun 1998 telah mendapat perhatian orang ramai. Kematiannya pada 9 Julai 2009 di Belanda yang baru lalu juga turut mendapat perhatian apabila disiarkan dalam media massa tempatan.
Apa sebenarnya yang menarik di sebalik kisah NATRAH ini?. Ringkasnya, sekurang-kurang ada 2 perkara penting dalam tragedi Natrah ini sehingga ianya dikenang dan diingati sehingga hari ini.
Pertamanya: Berlaku pertentangan undang-undang semasa perbicaraannya berjalan. Mahkamah Inggeris di Singapore memutuskan bahawa pernikahan Natrah yang dilangsungkan menurut undang-undang Islam adalah tidak sah dan batal (null and void). Ia terbatal kerana Undang-Undang Sivil atau Common Law Inggeris yang digunakan semasa perbicaraan kes itu mengatasi Undang-Undang Islam. Keduanya: Tercetusnya rusuhan di kalangan orang Islam kerana tidak rela melihat Natrah dimurtadkan. Rusuhan tersebut telah menyaksikan kehilangan nyawa umat Islam yang ramai.
Untuk tatapan anda, sukacita ERAKITA memaparkan semula catatan penting Majalah Al Islam pada muka surat 16 untuk mengetahui latar belakang tragedi Natrah seperti berikut:
“Natrah @ Maria Huberdina Bertha Hertogh adalah anak Belanda yang menjadi anak angkat kepada Che Aminah di Kemaman, Trengganu pada zaman penjajah Inggeris (1947-1950). Natrah berusia 13 tahun ketika muslihat penjajah meminta ibu angkatnya Che Aminah datang ke Singapore untuk dibicarakan di bawah undang-undang Inggeris. Dalam perbicaraan pertama, Mahkamah memutuskan bahawa Che Aminah masih terus dapat mengekalkan hak jagaan Natrah. Malangnya, dalam perbicaraan kali kedua, kepuusan Mahkamah telah menyebabkan Natrah berpindah hak jagaan daripada Che Aminah kepada bapa kandung Natrah iaitu Hertogh. Ini kerana pernikahan Natrah dengan Mansor Adabi dianggap perkahwinan di bawah umur dan tidak sah mengikut undang-undang sivil Inggeris.
Perbicaraan Natrah telah menarik perhatian seluruh dunia. Perbicaraan Mahkamah tersebut membawa erti pertembungan agama antara Islam dan Kristian, pertembungan politik antara yang dijajah dengan penjajah dan pertembungan budaya antara Timur dan Barat. Orang-orang Melayu boleh sabar dengan keputusan Mahkamah, tetapi provokasi akhbar Inggeris (Straits Times) berhari-hari sebelum itu yang mengatakan bahawa Natrah melutut pada patung virgin Mary menyebabkan orang Melayu berasa agama mereka dihina, lalu bangkit merusuh di Singapore.
Seramai 18 orang meninggal, 173 orang cedera dan berpuluh-puluh lagi dipenjarakan. Singapore mengistiharkan darurat 2 hari 2 malam dan Natrah dilarikan ke Belanda. Penjajah terkejut dan seluruh dunia tergamam. Mereka mula hormat terhadap keberanian dan pengorbanan orang Melayu. Tragedi ini tetap dikenang sebagai sejarah keberanian orang Melayu yang bangkit membela agama dan menentang penjajah”.
Demikianlah antara intisari penting yang dipetik dari Majalah tersebut untuk tatapan anda semua. ERAKITA sukacita menyarankan agar anda mendapatkan naskhah Majalah AL ISLAM keluaran September 2009 untuk mengetahui lebih lanjut dan terperinci mengenai TRAGEDI sadis dan pilu ke atas insan bernama NATRAH ini.
Kisah ini boleh mengingatkan minda kita kepada apa yang berlaku ke atas umat Islam di Malaysia hari ini. Kisah bagaimana umat Islam memberi respon kepada isu murtad ketika 60 tahun yang lampau dapat dilihat perbezaannya yang begitu ketara bila dibandingkan bagaimana umat Islam menangani isu murtad pada hari ini, khususnya di Malaysia.
Sama-sama kita fikirkan dan selamat membaca.
MENANTI SAAT BAHAGIA

Anak-anak yang comel turut memeriahkan majlis.
- Eja dan ahli keluarga selepas majlis pertunangan selesai

Kegembiraan terserlah selepas termeterinya ikatan pertunangan

Keriangan anak-anak keluarga ERAKITA sebaik majlis pertunangan selesai. Lihatlah wajah-wajah mereka yang ceria.

Memang comel! Nur Syakirah bte Ahadin memberikan pose menarik di majlis itu.
SELEPAS BERTUNANG, KINI MENANTI DETIK BAHAGIA

Gandingan Bakal menantu & Ayah Mertua. Ini satu permulaan baik. Ngamlah tu!

Anak-beranak: Ibu (kiri), Along (tengah) dan Eja (kiri)

Bakal menantu, Ismael (kiri), Hj Jaafar yunus (tengah) dan Hj Adenan Mohd Yussuf (kanan) sedang berdoa selepas termeteri ikatan pertunangan

barang hantaran tersusun indah menyerlahkan keceriaan majlis
- Hiasan daun sireh yang indah

Wang hantaran Pertunangan tersusun indah
RAMADHAN AL-MUBARAK KINI BERMULA

Kad Ucapan Menyambut Ramadhan

Kad Ucapan Salam ramadhan
RAMADHAN BERMULA
Kini Ramadhan telah bermula. Ayuh kita ambil peluang keemasan ini untuk meningkatkan sebanyak-banyaknya amal ibadat kepada Allah. Ingat! Peluang ini hanya ditemui sekali dalam setahun. Tempohnya sebulan. Jadikan hari pertama sebagai permulaan yang baik. Untuk membangkitkan semangat beribadat, kita boleh mencuba petua atau kaedah ini. Kita anggaplah bahawa puasa kali ini adalah puasa yang terakhir bagi kita, kali terakhir untuk merebut segala peluang dan kesempatan mendapatkan keampunan dan rahmat dari Allah. Bayangkanlah, pahala beribadat di bulan ini tidak ternilai banyaknya. Lagi satu, inilah bulan keampunan. Kalau kita sudah banyak buat dosa selama ini, ambillah peluang ini untuk mohon ampun banyak-banyak kepada Allah. Mohon ampun sungguh-sungguh kepada Allah. Kalau kita berhajat atau punya azam yang banyak, inilah masa paling sesuai dan penting untuk memohon segala-galanya kepada Allah. Doa pada bulan ini amat mustajab.
Paling utama, dalam bulan ini ada satu malam yang teramat sangat besar nilainya. Ibadat pada malam itu nilainya lebih baik dari ibadat 1000 bulan. Wah! Lebih hebat dari 1000 bulan?. Ya.. Nilai ibadat pada malam itu lebih baik dari 1000 bulan. Jadi, kalau mohon ampun bagaimana? Ya, mohon ampun itu kan ibadat juga. Kalau mohon diperkenankan segala hajat? Ya, mohon agar diperkenankan segala hajat itu kan juga ibadat. Cuba kita ambil al-Quran itu dan buka Surah al-Qadar. Ayat ketiga dalam surah itu jelas menyatakan bahawa malam itu lebih baik dari 1000 bulan. Soalnya, apa sebenarnya nama malam itu? Ya, nama malam itu sepertimana disebutkan Allah ialah LAILATUL QADAR. Maha Suci Allah yang tidak ada tandingannya. Allah itu Maha Kaya. Allah itu Maha Pengampun. Allah itu Maha Berkuasa atas segala-galanya. Allahlah yang cipta kita, alam ini dan segala isinya. Siapa lagi yang kita berharap kalau bukan kepada Allah. Allah yang menguasai segala-galanya. Oleh itu, ayuh kita rebut peluang keemasan ini. Semoga segala madu dan kelazatannya dapat kita rasai.
Akhir kata, sekali lagi diingatkan, anggaplah bahawa Ramadhan kali ini adalah Ramadhan terakhir buat kita.
SELAMAT BERIBADAT
WAHAI RAMADHAN! KAMI RINDU PADAMU..

Masjid Negeri Sabah (Sebelum diperbesarkan)
MARHABAN oh MARHABAN..
Wahai Ramadhan!
Engkau memang setia dan tepati janji. Tiap waktu yang dijanjikan, pasti engkau tiba. Namun, kami belum tentu dapat menepati janji pertemuan denganmu. Betapa tidak, kami ada batas waktu yang telah ditentukan. Batas itu bakal memisahkan kami dengan dunia dan segala isinya. Umur kami terbatas. Nafas kami ada noktahnya. Allah telah tetapkan semuanya untuk terjadi. Semuanya boleh terjadi bila-bila masa tanpa amaran.
Namun, selagi nafas masih berhembus. Selagi mata masih melihat. Selagi darah masih mengalir. Selagi akal masih waras. Selagi tubuh masih bernyawa. Selagi nadi masih berdenyut. Selagi ajal belum tiba. Kami setia menunggumu. Kami setia menantimu. Kami setia menyayangimu. Bila engkau tiba, kami akan menyambutmu. Kami akan melayanmu. Kami akan menghiasimu. Kami akan menyantunmu. Kami akan mengisimu. Kami akan menghormatimu.
Namun kami bimbang. Bimbang tidak sabar. Bimbang tidak prihatin. Bimbang tidak tahan. Bimbang lalai. Bimbang malas. Bimbang leka. Bimbang tertewas angkara hawa nafsu yang tak mengenal siapa. Akhirnya, kami bimbang kami tidak akan dapat menepati janji kami kepadamu.
Namun, hanya kepada Allah kami berserah, bertawakal, berharap dan berdoa untuk kekuatan dan kesabaran. Dalam kebimbangan ini, kami amat mengharap pertemuan itu. Pertemuan untuk mengisimu, melayanimu, menyantunmu, menghiasimu dan merebut segala khazanah agung yang ada padamu.
WAHAI RAMADHAN!
KAMI RINDU PADAMU..
MEMPERKENALKAN.. INILAH “ERA KITA”

ERA KITA mempersembahkan..
SALAM PERKENALAN
Assalamu ‘alaykum wbt dan salam sejahtera semua.
Kami dengan sukacita memperkenalkan kepada anda blog terbaru kami yang kami beri nama ERA KITA dan boleh dilayari di https://erakita.wordpress.com. Nama ERA KITA dipilih sebagai nama blog ini memandangkan perkataan ini mudah disebut dan mempunyai makna tersendiri. Ia adalah gabungan dari dua perkataan iaitu ”ERA” dan ”KITA”. Era bermakna zaman, masa atau waktu. Sesuai dengan zaman sekarang, ledakan maklumat begitu dirasai. Ia kini boleh diperolehi di hujung jari. Kita ditakdirkan hidup dalam era teknologi maklumat yang begitu canggih. Inilah era di mana dunia kini dikatakan tiada sempadan.
Seiring dengan itu, kami merasakan bahawa era ini mesti ditempuh dan diharung menurut keadaan dan kesesuaiannya. Melalui ERA KITA, kami amat berbangga untuk berkongsi dengan anda sebarang maklumat yang boleh mendatangkan manfaat bersama. Berkongsi maklumat bermakna berkongsi ilmu. Masyarakat yang berilmu dapat membina tamadun manusia ke tahap yang lebih tinggi dan kukuh. Maklumat pula tidak akan dihadkan kepada bidang tertentu. Namun, segala maklumat yang bakal dihidangkan akan mengambilkira sensiviti agama, peribadi atau moral.
Akhir kata, kami mengucapkan selamat berkunjung ke ERA KITA. Sokongan anda semua amat kami hargai. Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang teguran membina andai terdapat kelemahan atau kekurangan dalam persembahan kami nanti.
Selamat berkunjung ke https://erakita.wordpress.com.
“ERA KITA : PERKONGSIAN MAKLUMAT MASA KINI”
Terimakasih.