REMIDI KEGANASAN RUMAHTANGGA DALAM UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM

REMIDI KEGANASAN RUMAHTANGGA DALAM UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM

 

 18 Febuari 2014

Selain dari perlindungan yang boleh diperolehi di Mahkamah Majistret, pasangan suami isteri juga boleh mendapatkan perlindungan dan juga remidi-remidi berkaitan dari Mahkamah Syariah. Walau bagaimanapun, pasangan tersebut mestilah seorang yang beragama Islam dan perkahwinan mereka mestilah telah didaftarkan secara sah menurut undang-undang dan hukum syarih di Jabatan Agama Islam. Perlindungan dan remidi-remidi yang disediakan adalah berbentuk perlindungan keselamatan ke atas mangsa dalam bentuk hak untuk mendapatkan perintah pembubaran perkahwinan jika mangsa memilih untuk menamatkan perkahwinan mereka. Keganasan yang dilakukan oleh suami umpamanya, boleh dijadikan alasan utama untuk pembubaran perkahwinan tersebut melalui fasakh dan ta’liq.

1.         Fasakh:

Ada peruntukan dalam sek 53(1)(h)(i) yg menyebut mengenai penganiayaan seperti berikut:

“Seorang perempuan yg berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak mendapat perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh atas satu atau lebih daripada alasan-alasan berikut iaitu bahawa suami menganiayainya, iaitu antara lain menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan kelakuan aniaya”

 Sek 53(1)(h)(m) menyebut:

 “apa-apa alasan lain yg diiktiraf sebagai sah bagi membubarkan perkahwinan atau bagi fasakh di bawah Hukum Syarak”.

Dalam kes Hairon vs Omar (JH). Mahkamah Rayuan Syariah memutuskan bahawa perbuatan menyakiti tubuh badan isteri membolehkan isteri difasakhkan nikahnya. Dalam tulisan Norainan Bahari bertajuk Darar Syarie Dalam Mu’asyarah al-Jiwaz dan Pemakaiannya Dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Selangor 1984 yang dimuatkan dalam buku bertajuk Wanita Dan Perundangan Islam suntingan Raihanah Abdullah, terbitan Ilmiah Publishers Sdn. Bhd, 2001 dalam halaman 79 yang menyebutkan seperti berikut:

“Oleh itu, memukul walaupun tidak lazim tetapi menjadi suatu penganiyaan dan berasaskan Mazhab Maliki, fasakh dibolehkan kerana menyebabkan darar terhadap isteri bukan setakat menyebabkan kesusahan sahaja tetapi juga penderitaan akibat sentiasa berlaku pertengkaran dan maki hamun.”

Dalam kes Hairun vs Omar, Yang Arif Tan Sri Dato’ Haji Mohd. Azmi dalam penghakimannya berkata:

 “Prinsip dhirar ini telah diterima oleh kebanyakan negara-negara Islam termasuk Undang-Undang Keluarga Islam di Malaysia dan Undang-Undang Keluarga Islam 1984 Negeri Selangor juga telah menerima prinsip ini. Jika diteliti dengan lebih mendalam, prinsip pembubaran perkahwinan atau fasakh kerana “aniaya” atau “dhirar” ini tidaklah disyaratkan penganiayaan atau dhirar terhadap tubuh badan sahaja, malahan lebih luas dari itu termasuk enggan bercakap dengan isteri, membelakangkan isteri atau memalingkan muka darinya semasa di katil, mengutamakan memberi layanan kepada perempuan lain dari isteri, memukul dengan pukulan yang menyakiti dan seterusnya dan tidaklah disyaratkan pukulan itudilakukan berulang kali dan lazim”.

Berhubung pemakaian pendapat mazhab dalam kes fasakh, saya merujuk kenyataan Yang Arif Tan Sri Dato’ Haji Mohd Azmi ketika memberikan penghakimannya dalam kes Hairun vs Omar yang menegaskan bahawa pendapat dari Mazhab Maliki berkaitan dhirar digunakan sebagai alasan untuk pembubaran perkahwinan atau fasakh dan prinsip ini diterimapakai kebanyakan negara Islam termasuklah di negara kita. Beliau berkata seperti berikut:

“Kuasa Mahkamah membubarkan perkahwinan atau fasakh kerana perbuatan yang menyebabkan berlakunya “dhirar” terhadap isteri ini adalah berasaskan pendapat Mazhab Maliki. (Miwad Abdul Tawwab, Mausua’h al-Maarif, Iskandariyyah Egypt 1986, halaman 646). Prinsip dhirar ini telah diterima oleh kebanyakan negara-negara Islam termasuklah Undang-Undang Keluarga Islam di Malaysia dan Undang-Undang Keluarga Islam 1984 Negeri Selangor juga telah menerima prinsip ini”.

 Dari kenyataan di atas, saya tidak lagi teragak-agak untuk memetik pendapat dari ulama Mazhab Maliki sepertimana yang dinukilkan oleh Dr. Wahbah al-Zuhaili di atas mengenai keharusan pemisahan dilakukan apabila berlakunya pertelingkahan dan kemudaratan dalam rumahtangga pasangan suami isteri. Untuk memperkukuhkan kenyataan yang mengatakan bahawa kemudaratan dalam rumahtangga boleh diambilkira dalam kes pembubaran perkahwinan atau fasakh, saya tertarik untuk memetik tulisan Mohd. Salleh Haji Ahmad mengenai Kaedah Fekah yang berbunyi “Kemudaratan Hendaklah Disingkirkan” dalam bukunya yang bertajuk Pengantar Syariat Islam, terbitan Pustaka Haji Abdul Majid, cetakan 1999, di halaman 224-225 yang menyatakan seperti berikut:

“Ulama telah sepakat bahawa kaedah ini mengecualikan dhirar yang diizin oleh Syara’ seperti Qisas, Hudud dan segala jenis hukuman keseksaan dan ta’zir yang lain kerana sesungguhnya menolak kerosakan hendaklah didahulukan dari menarik kebaikan. Walau bagaimanapun hukuman-hukuman itu pada hakikatnya tidak disyariatkan melainkan kerana hendak menolak kemudaratan juga.

 

 Masalah-masalah yang termasuk dalam kaedah ini:

 

a.             Boleh dipulangkan barang yang dibeli kepada penjual kerana terdapat kecacatan padanya.

b.             Dihajar (ditahan dari mengurus harta sendiri) ke atas safih; dilarang Mufti yang tidak bersopan dari mengeluarkan fatwa; doktor yang jahil dari merawat orang sakit kerana amalan-amalan mereka ini mendatangkan kemudaratan ke atas diri mereka dan orang lain.

c.             Fasakh nikah kerana ‘aib, kepapaan dengan nafkah dan sebagainya.

d.             Qisas, Hudud dan Ta’zir.”

2.         Ta’liq:

 Sebarang tindakan pihak suami menyakiti tubuh badan isteri boleh mensabitkan cerai taqliq jika berlaku perlanggaran terhadap lafaz taqliq yg dibuat oleh suami selepas aqad nikah. Di negeri sabah umpamanya, bentuk lafaz taqliq yang dipakai seperti yg terdapat di belakang sijil nikah ialah:

          “Adalah saya Atan bin Bidin tinggal di Kota Kinabalu dengan ini bertaklik iaitu manakala saya tinggalkan isteri saya Sarah bte Arshad selama 4 bulan berturut-turut atau lebih, sengaja atau paksa atau saya atau wakil saya tiada memberi nafkah kepadanya selama masa yang tersebut, padahal ia taatkan saya, atau saya melakukan perkara yang menyakitkan tubuh badannya atau kehormatan dirinya atau harta bendanya atau perkara yang tidak diingininya, kemudian ia mengadu kepada mana-mana kadhi di seluruh Malaysia dan manakala sabit aduannya di sisi kadhi atau Mahkamah Syariah, maka pada ketika itu tertalaklah isteriku Sarah bte Bidin dengan satu talak”

Dalam lafaz taqliq tersebut ada disebutkan “atau saya melakukan perkara yg menyakiti tubuh badannya atau kehormatan dirinya..”. Perlakuan menyakiti tubuh badan jelas termasuk dalam senarai perkara yg dikatakan keganasan rumahtangga. Di samping ada diperuntukkan dalan AKRT 1994, perkara yg sama juga ada diperuntukkan dalam EUUKINS 2004. Keadaan ini sebenarnya memberi banyak manfaat kepada kaum wanita terutamanya untuk mencari jalan keluar dari masalah rumahtangga yang kronik disebabkan tindakan ganas dari pihak suami.

Ini bermakna jika si isteri dapat membuktikan kepada M bahawa si suami menyakitkan tubuh badannya dengan dengan pukulan yg menyakitkan, maka M apabila mensabitkan dakwaan isteri itu, talaq satu akan gugur.  Alasan ini banyak digunakan pihak isteri dalam tuntutan taqliq mereka di M Syariah. Laporan polis dan doktor perubatan juga banyak membantu isteri dalam tuntutan mereka.

3.         Perintah Tegahan Terhadap Gangguan

 Seperti dalam AKRT 1994, perkara yg menyentuh mengenai perintah perlindungan terhadap mangsa keganasan rumahtangga ada diperuntukkan dengan jelas dalam EUUKINS 2004. Sek 107(1) menyebut:

“Mahkamah adalah berkuasa dalam masa perbicaraan hal ehwal suami isteri masih belum selesai atau selepas pemberian suatu perintah perceraian, fasakh atau pembatalan, memerintahkan seseorang menahan dirinya dari mengganggui atau menceroboh, dengan apa-apa cara pun ke atas suami dan isteri atau bekas suami atau bekas isterinya “.

 Perintah tersebut boleh dipohon bukan saja untuk melindungi isteri tetapi juga suami. Kesan terhadap sebarang keingkaran mematuhi perintah M tersebut merupakan satu penghinaan terhadap Mahkamah. Seksyen 107(2) menyebut:

“Kemungkiran mematuhi sesuatu perintah yg dibuat di bawah seksyen ini boleh dikenakan hukuman sebagai suatu penghinaan terhadap Mahkamah”.

Ini bermakna, pihak yang melanggar perintah itu boleh dikenakan tindakan penghinaan Mahkamah dengan memberikan notis tunjuk sebab kepadanya di hadapan Mahkamah mengapa ia tidak dikomitkan ke penjara atau dihukum dengan apa-apa juga hukuman yang sewajarnya atas kesalahan menghina Mahkamah. Prosiding kes seperti ini akan dijalankan dalam kes mal memandangkan permohonan berkaitan penghinaan Mahkamah dan pegkomitan ke penjara ini dibuat terus kepada mahkamah melalui kes mal.

4.         Dakwaan menghina Mahkamah kerana ingkar perintah tegahan.

 Selain boleh memilih untuk mendapatkan keadilan mengheret pihak yang melanggar perintah tegahan yang dikeluarkan Mahkamah di bawah seksyen 107 di atas ke Mahkamah untuk pengkomitan ke penjara, pihak yang terkilan itu juga boleh memilih untuk membawa orang yang ingkar tadi ke Mahkamah dalam kes jenayah. Apa yang perlu dilakukan ialah dengan membuat aduan rasmi kepada Pegawai Penguatkuasa Agama di Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah. Siasatan akan dijalankan di bawah seksyen 104 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Sabah) 1995 (EKJS) atas kesalahan menhina perintah Mahkamah. Di bawah Seksyen 104 EKJS 1995, seseorang yg disabitkan menghina Mahkamah boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM1,000.00 atau penjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya sekali.

5.         Kesalahan- dan hukuman berkaitan keganasan rumahtangga di bawah EUUKINS 1992

 Terdapat 2 seksyen khas yang memperuntukkan hukuman bagi kesalahan berkenaan keganasan rumahtangga. Dalam seksyen2 tersebut, perkataan berkenaan keganasan rumahtangga yg digunakan ialah menganiayai dan menzalimi. Sek 134 EUUKINS 1992 sebagai contohnya menyebut:

“Seseorang suami atau isteri yg menganiaya isteri atau suaminya atau menipu harta isteri atau suaminya adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh dihukum denda tidak melebihi RM1000.00 atau penjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua2nya denda dan penjara itu”.

 Manakala sek 142(1) menyebut:

“Seseorang lelaki yg menzalimi isterinya atau anaknya dengan apa carapun adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM3000.00 atau penjara tidak melebihi 1 tahun atau kedua2nya denda dan penjara itu”.

 Sek 142(2) pula menyebut:

“Seseorang isteri yg menzalimi suaminya atau anaknya dengan apa carapun adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM3000.00 atau penjara tidak melebihi 1 tahun atau kedua2nya denda dan penjara itu”.

 Di bawah EUUKINS 2004 pula, seksyen 128 menyebutkan bahawa selain boleh dipenjara dan dihukum membayar denda, pesalah jenayah dalam rumahtangga juga boleh diperintahkan untuk membayar pampasan kepada mangsa bagi harta yang telah ditipu itu. Seksyen tersebut berbunyi”

(1) Seseorang suami atau isteri yang dengan sengaja menganiaya isterinya atau suaminya atau menipu harta isterinya atau suaminya, mengikut mana-mana yang berkenaan, adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu.

(2) Mahkamah boleh, sebagai perintah tambahan, memerintahkan supaya dibayar pampasan bagi harta yang telah ditipu itu.

Perlu dimaklumi bahawa EUUKINS 1992 sehingga kini belum lagi dimansukhkan. Ini bermakna, terdapat 2 enakmen undang-undang keluarga Islam yang sedang berkuatkuasa di Sabah ketika ini iaitu EUUKIN 1992 dan EUUKINS 2004. Semoga tulisan ini ada manfaatnya dalam rangka penyebaran ilmu pengetahuan dan kefahaman mengenai hak kita di sisi undang-undang khususnya dalam konteks perundangan Islam.

About ERAKITA

TERUSKAN LANGKAH USAH BERHENTI

Posted on 18 Februari 2014, in AGAMA, KELUARGA, PELBAGAI, UNDANG-UNDANG and tagged , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , . Bookmark the permalink. 6 Komen.

  1. Salam..sy nk bertnya sikit..adakah sy ckp “abg dh fikir masak2..kemas brg2 awk…selepas tu sy berkata sy syg awk”..adakah dikira cerai..pasal saya tak ada niat pn nk berpisah dgn isteri sy

    • Walaikumussalam wbt.

      Bagi lafaz kinayah, niat si suami ketika menuturkan lafaz itu adalah penting. Jika sekiranya suami berniat untuk menceraikan isteri, maka talaq adalah sabit gugur. Jika tiada niat menceraikan isteri ketika lafaz tersebut dituturkan, maka tiadalah talaq yang gugur. Contoh lafaz kinayah berkaitan talaq adalah seperti suami berkata kepada isterinya “ambil semua barang-barang kepunyaan kau ni dan baliklah kepada orang tua kamu”.

      Mengenai lafaz yang saudara Fauzi nyatakan di atas, ia kurang jelas dan tidak menunjukkan satu lafaz kinayah. Kata-kata “abang dah fikir masak-masak..kemas barang-barang awak” itu sendiri tidak menunjukkan bahawa terdapat maksud untuk menceraikan isteri. Ia kelihatannya tergantung dan perlu adanya kata-kata sambungan selepas itu yang dapat menunjukkan adanya maksud untuk menceraikan isteri seperti “dan baliklah kepada orang tua awak”.

      Bagaimanapun, untuk lebih afdhal dan bagi menghilangkan segala keraguan, maka disarankan agar saudara Fauzi buat permohonan bagi mendapatkan pengesahan samada gugur atau tidak lafaz tersebut. Ini kerana, di mahkamah nanti, banyak perkara yang diambil kira sebelum membuat keputusan. Boleh jadi juga terdapat keterangan lain yang boleh memperjelaskan lagi lafaz tersebut yang kita kurang ingat tetapi dapat pula diingati semasa di mahkamah nanti. Ini kerana mahkamah akan lebih teliti dan lazimnya akan bertanyakan keadaan suami sebelum lafaz, semasa lafaz dan selepas lafaz.

      Wallahu a’lam.

  2. Salam….bolehkah saya meminta fasakh apabila suami saya telah menyakiti tubuh badan saya hingga mendatangkan kecederaan..disamping berzina dengan perempuan lain hingga mendatangkan penyakit keputihan yg amat teruk kepada saya…saya belum melaporkan kpada pihak polis tapi saya menyimpan gambar2 kecederaan yang saya alami…untuk makluman tuan saya tak mahu meneruskan perkahwinan kami tapi suami saya tidak mahu melepaskan saya atas alasan anak2 dan masih sayangkan saya.tapi saya tak dapat terima dia pernah banding- bandingkan alat sulit saya dengan perempuan2 yang dia zina.seolah-olah dia permainkan maruah saya sbg seorang isteri

    • Salam.

      Dalam situasi Puan di atas, erakita mempunyai alasan yang wajar untuk menuntut fasakh di Mahkamah Syariah. Perbuatan suami menyakiti tubuh badan isteri seperti memukul, menampar atau menyebat tubuh menggunakan tali pinggang atau apa saja cara yang jelas memudaratkan atau menyakiti tubuh boleh dijadikan alasan fasakh nikah. Hal ini telah diterangkan secara panjang lebar dalam artikel di atas.

      Perbuatan suami bergaul termasuk berzina dengan mana-mana wanita lain bukan isterinya juga tergolong dalam senarai alasan yang boleh digunakan oleh isteri dalam tuntutan fasakh.

      Soal suami masih sayang isteri atau tidak bukan satu alasan untuk mahkamah menolak tuntutan fasakh isteri. Perkara utama dalam fasakh adalah perbuatan aniaya suami itu sendiri yang boleh digunakan sebagai alasan fasakh. Yang diperlukan di mahkamah adalah pembuktian atas perbuatan suami itu.

      Perlu diingat bahawa bukti bukan saja semata-mata keterangan dari saksi, tetapi juga termasuk juga dokumen-dokumen berkaitan seperti laporan perubatan, laporan polis, gambar kecederaan, tulisan-tulisan seperti emel dan lain-lain yang boleh memberi petunjuk kepada mahkamah bahawa dakwaan ke atas suami itu adalah benar. Selain itu, sumpah menggunakan kalimah Allah juga boleh digunakan atas izin Mahkamah dalam keadaan tertentu bagi menafikan dakwaan isteri atau memperkukuhkan dakwaan isteri. Sumpah lazimnya digunakan setelah mendapat izin mahkamah dalam keadaan di mana orang yang menuntut (Plaintif atau Pemohon) gagal membuktikan tuntutan atau dakwaannya.

      Dalam hal ini, erakita menyarankan agar Puan mengambil khidmat peguam syarie samada peguam dari Jabatan Bantuan Guaman (bagi yang layak) atau peguam syarie dari mana-mana firma guaman bagi mewakili Puan.

      Semoga penjelasan ini dapat membantu Puan. Wallahu a’lam.

  3. Salam Tuan Ahadin, syabas atas usaha mewujudkan blog bagi menyebarluas kan ilmu dalam kalangan masyarakat awam hari ini. Tuan, saya sekarang dalam proses mengkaji mengenai aspek kemudaratan/darar yag berlaku didalam rumahtangga berdasarkan kes-kes yang diputuskan di mahkamah syariah. Saya memerlukan pandangan Tuan selaku profesional di dalam bidang ini. Saya telah menghantar emel melalui medium rasmi Tuan, semoga Tuan dapat meluangkan sedikit masa bagi membantu kajian ini.Terima kasih.

    • Salam Puan.

      Erakita mengucapkan terimakasih atas kunjungan Puan ke dalam blog ini. Inshaa Allah, erakita sedia berkongsi sedikit ilmu dan pengalaman yang ada untuk manfaat bersama. Terimakasih dan wassalam.

Tinggalkan komen