Manjana Cinta sejati buat Rasulullah s.aw

Manjana Cinta sejati buat Rasulullah s.aw

 

15 Febuari 2011

Sempena memperingati kelahiran Nabi Muhammad s.a.w, ada baiknya kita fikirkan balik diri kita. Setakat mana sebenarnya kita mencintai dan mengasihi Nabi yang mulia itu. Adakah kita termasuk kumpulan orang yang ikut Sunnah Nabi? Apakah kita punya amalan menurut Sunnah Nabi walau satu Sunnah yang kita amalkan secara berterusan? Cukup beruntung sebenarnya andai kita mengamalkan walau satu Sunnah Nabi berbanding tidak ada langsung.

Satu cara paling cepat dan berkesan untuk menjana rasa cinta dan kasih pada Nabi Muhammad s.a.w adalah dengan melakukan ziarah makam Nabi yang mulia itu di Madinah. Sukar digambarkan dengan kata-kata perasaan sebak, terharu, sedih, gembira dan kesyukuran sebaik memasuki bumi Madinah. Terasa amat bertuah dan terlalu mahal harganya suasana dan kehadiran kita di sana. Melihat menara Masjid Nabawi dari jauh mampu menjadikan debaran jantung semakin rancak dan sukar dikawal. Semakin dekat maka semakin lajulah debaran jantung. Seolah tidak percaya bahawa kita kini berada di Bumi Nabi, bumi di mana Islam bangkit sebagai agama yang hebat dan menjalar ke seluruh muka bumi tanpa batasan. Di sini bermulanya sistem pemerintahan dan bernegara yang teratur dan agung. Di sini lahirnya sebuah Dustur atau Perlembagaan Bertulis Pertama di muka bumi.

Di sini lahirnya suasana persaudaraan sesama Muslim yang cukup agung dan hebat yang sukar sekali dapat dilihat pada hari ini. Di sini lahirnya akhlak manusia yang suci dan murni, sehingga mencapai tahap gemilang dan terbilang. Di sini lahirnya manusia yang kuat bekerja di siang hari dan kuat beribadah di malam hari. Di sini lahirnya manusia yang gagah dan punya kesabaran tinggi menghadapi peperangan memepertahankan agama dan negara di bawah panahan terik mentari yang dahsyat. Di sini lahirnya manusia yang iklhas dan tinggi imannya sehingga mampu mengundang rahmat Allah dengan menurunkan ayat-ayat Al-Quran sebagai menjawab dan menggambarkan keberadaan diri mereka. Di sini lahir manusia yang diiystiharkan langsung oleh Nabi Muhammad s.a.w sebagai insan yang dijamin masuk syurga.

Ya, bumi inilah yang menyaksikan manusia yang sanggup mengorbankan seluruh harta bendanya untuk menegak dan mempertahankan maruah dan kesucian agama Allah. Di sini lahirnya manusia yang begitu takut Allah, begitu takut hari pembalasan, begitu takut hari hisab, begitu takut akan azab api neraka. Bumi inilah salah satu dari dua bumi di atas dunia yang terang-terang diiystiharkan Allah sebagai tanah yang diharamkan untuk dipijak dan dimasuki oleh orang-orang kafir. Di bumi inilah salah satu dari dua bumi yang telah ditetapkan kawasan dan perbatasan sebagai tanah haram selama-lamanya sehingga hari kiamat. Bumi ini menyaksikan begitu banyak ayat dan surah dalam Al-Quran diturunkan.

Ya, di sinilah pertama kalinya seorang hamba Allah bernama Abu Bakar r.a menjadi imam menggantikan Nabi Muhammad s.a.w sebagai imam dalam solat ketika mana Nabi s.aw. masih hidup. Di sini penghulu segala Nabi dan Rasul-Rasul wafat. Di sini seorang Nabi dan Rasul terakhir di muka bumi dimakamkan. Bumi ini jugalah jasad insan yang agung dan mulia itu disemadikan. Dan saudaraku, makam itu secara jelas dan nyata lagi mutlak kini berada di Masjid Nabawi yang begitu gah dan tersergam indah. Jutaan banyaknya manusia yang tidak putus-putus berkunjung dan menziarahi makam nabi yang agung itu dari pelusuk dunia. Mereka datang bukan dipaksa. Mereka datang berbekalkan rasa cinta dan sayang kepada Nabi. Mereka korbankan masa, tenaga dan harta benda untuk sampai ke bumi yang hebat dan penuh bersejarah.

Hasilnya, ada satu kepuasan yang cukup luarbiasa. Mengucapkan salam secara live kepada Nabi Muhammad s.a.w di hadapan makamnya mampu mengalirkan air mata yang sukar disekat-sekat. Ia mengalir tanpa diundang, tanpa diduga, tanpa dipaksa dan tanpa dilakonkan. Tiada skrip disediakan untuk hal ini terjadi. Ia datang tiba-tiba dan membawa rasa nikmat dan syahdu yang begitu indah secara semulajadi. Suasana yang indah dan tiada taranya. Tiada lagi ingatan tentang harta, pangkat dan segala macam hal keduniaan kerana perasaan hangat dan syahdu berada di sisi Nabi telah meresap kukuh dalam hati sanubari.

Cubalah saudara bayangkan, kalau dengan kita yang telah ditinggalkan Nabi lebih 1,400 tahun lampaupun begitu dashyat dan hebatnya rasa rindu dan syahdu ketika di depan makamnya, lalu bagaimana pula keadaan para para Sabahat nabi yang langsung hidup dan sehari-hari bersama dengan nabi ketika itu. Maka, tidak hairan kalau ada para Sahabat yang terlalu merinduinya lantaran tidak bersua muka dengan Nabi walau sehari. Maka, tidak hairan kalau Saidina Umar r.a sanggup mengiystiharkan tindakan mengorbankan nyawa terhadap hadirin yang berani mengatakan Nabi telah wafat pada hari kewafatan Baginda. Ini semua kerana rasa cinta dan kasih yang hebat dan agung terhadap Nabi. Ini kerana timbulnya rasa cinta dan tidak sanggup menghadapi kenyataan akan kehilangan insan yang mulia dan agung itu.

Demikianlah secebis ingatan buat diri yang gersang dengan amal soleh ini. Gersang dengan amalan Sunnah Nabi s.a.w. Gersang dengan bekalan untuk hari akhirat yang tiada taranya. Buat kita yang masih hidup dan punya sedikit masa dan kemampuan, usahakanlah sedaya mungkin untuk sampai ke bumi Nabi s.a.w. Bumi Madinah yang bercahaya itu sentiasa tersedia untuk menanti kedatangan kita. Makam Nabi yang mulia itu sedia untuk diziarahi oleh umatnya yang merindukan dan mencintainya. Sekurang-kurangnya ziarah kita ke sana manjadi saksi berharga untuk kita di akhirat kelak betapa kita cinta dan kasih kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

 

Ciptalah Ziarah dan kenangan terindah di Makam Rasulullah s.a.w

 

 

About ERAKITA

TERUSKAN LANGKAH USAH BERHENTI

Posted on 15 Februari 2011, in AGAMA, RENUNGAN. Bookmark the permalink. Tinggalkan komen.

Tinggalkan komen