Monthly Archives: Mac 2011

Fenomena Mengaibkan orang

Fenomena Mengaibkan orang

 

30 Mac 2011

Keberanian media cetak dan eletronik negara ini untuk memaparkan keaiban individu tertentu menarik perhatian ramai. Media tidak lagi segan silu melapor dan mengulas perihal perkara yang sangat peribadi dan sensatif bagi seseorang. Contoh jelas yang berlaku ketika ini adalah pendedahan terbuka mengenai perilaku seks melibatkan pemimpin tertinggi dan berpengaruh sebuah parti politik negara ini. Pita rakaman berkenaan dipertontonkan di hadapan beberapa orang sebelum berita sensasi ini tersebar secara meluas dan terbuka.

Setakat yang ERAKITA tahu melalui laporan akhbar, majoriti orang yang terlibat dalam pendedahan tersebut adalah orang melayu yang beragama Islam. Bahkan pendedahan secara terbuka itu dilakukan oleh individu-individu berpengaruh dalam negara ini. Melihat hal ini, ERAKITA sering terfikir mengapa mereka begitu berani membuat pendedahan ini secara terbuka? ERAKITA terfikir apakah sebenarnya matlamat pendedahan tersebut? ERAKITA terfikir, sebagai orang Islam apakah mereka tidak takut dosa dan seksa hebat di akhirat kerana mendedahkan keaiban seseorang secara terbuka di khalayak ramai?

ERAKITA terfikir, dari sudut manakah sebenarnya yang membuatkan mereka yakin seratus peratus bahawa hal tersebut benar-benar dilakukan oleh individu berkenaan? ERAKITA terfikir, jika hal tersebut ada kaitan dengan salah laku seks iaitu ZINA, mengapa mereka tidak melaporkan saja kepada Penguatkuasa Agama Negeri untuk siasatan dan tindakan lanjut menurut undang-undang negara? Undang-undang Jenayah Syariah dan Prosedur Jenayah Syariah sudah lama dikanunkan. Ia sentiasa tersedia untuk digunapakai oleh badan bertanggungjawab sebaik laporan atau aduan dikemukakan kepada mereka. Namun, hal ini masih belum berlaku sehingga kini.

Jika ada aduan atau laporan dikemukakan kepada Pegawai Penguatkuasa Agama Negeri,  ERAKITA percaya bahawa kes tersebut boleh disiasat. Pegawai Penguatkuasa Agama sebagaimana polis, juga mempunyai kuasa tertentu di sisi undang-undang untuk memanggil pihak terlibat termasuk mana-mana individu berkaitan untuk membantu siasatan. Pegawai Penguatkuasa Agama juga bahkan boleh memohon suatu waran tangkap dari Mahkamah Syariah untuk memaksa kehadiran individu berkenaan di hadapan mereka jika keadaan memerlukan.

Ketua Pendakwa Syarie Negeri pula mempunyai kuasa untuk memutuskan samada kes berkenaan dibawa ke Mahkamah Syariah untuk pendakwaan atau tidak. Tindakan ini dilakukan setelah siasatan di peringkat Penguatkuasa Agama Negeri telah selesai sepenuhnya. Prosedur yang sama sepertimana di Mahkamah Sivil adalah terpakai di Mahkamah Syariah.

Bagi ERAKITA, mengulas secara berleluasa di media cetak dan eletronik semata-mata tanpa tindakan undang-undang tidak akan membawa manfaat untuk masyarakat dan negara. Tindakan mengaibkan seseorang secara terbuka dan berani tidak ada bezanya seperti menelanjangkan seseorang sewenang-wenangnya di hadapan orang ramai. Bayangkan betapa malunya orang yang ditelanjangkan di hadapan orang ramai!

Cuba anda bayangkan, bagaimana perasaan orang yang ditelanjangkan itu? Bayangkan sekiranya anda sendiri yang dibuka pakaian dan ditelanjangkan di hadapan orang ramai tanpa mampu melarikan diri atau melawan! Bayangkan bagaimana perasaan isteri dan anak-anak kesayangan anda ketika mereka menyaksikan orang mereka sayangi diperlakukan sedemikian rupa? Di mana mereka hendak meletakkan air muka mereka? Cuba anda tempatkan diri anda di tempat mereka! Apa perasaan dan bagaimana anda menghadapinya?

Kadang-kadang ERAKITA terfikir betapa banyaknya kes pembuangan bayi berlaku di sana sini. Ia semakin menjadi-jadi. Lebih membimbangkan, kebanyakan kes melibatkan orang-orang Islam. Tanpa kita sedari, boleh jadi gejala ini terjadi akibat perlakuan ibubapa mereka sendiri. Maksud ERAKITA, boleh jadi ia merupakan balasan dan ujian Allah terhadap perbuatan dosa mereka terhadap orang lain. Dosa kerena menzalimi orang lain. Dosa kerena menfitnah orang lain. Dosa kerana mengaibkan orang lain. Dosa kerena menghina orang lain. Boleh jadi orang yang dizalimi telah mendoakan agar Allah timpakan balasan setimpal dengan dosa yang mereka lakukan terhadapnya. Ini tidak mustahil kerana doa orang yang dizalimi adalah antara doa yang tidak akan ditolak Allah menurut hadith Nabi s.a.w.

Sementara kita sibuk mengulas dan mengaibkan orang lain tanpa batas, kita tidak sedar bahawa kita sebenarnya sedang mengundang malapetaka terhadap diri kita dan keluarga kita. Paling ditakuti, kita mati sebelum tanpa mendapat kemaafan dan keampunan dari orang yang dizalimi. Akhirnya, kita muflis di akhirat kerana amalan-amalan kebaikan yang dikumpul semasa hidup di dunia berpindah kepada orang yang dizalimi. Bagi ERAKITA, hal seperti ini harus difikirkan. Lebih selamat berdiam diri dan melakukan perkara lebih berfaedah dari membuang masa membicarakan kelemahan, keaiban dan kekurangan orang lain yang belum tentu kesahihannya. Lebih bermanfaat jika kita melihat diri sendiri samada diri kita bebas dari kecacatan, bebas dari kelemahan, bebas dari kekurangan, bebas dari kesalahan, bebas dari dosa!

Semoga sedikit catatan ERAKITA ini memberi manfaat untuk kita semua. Wallahu a’lam.

JAFRY GAMILOH MENINGGAL DUNIA

Takziah untuk Keluarga Allahyarham Jafry Gamiloh

23 Mac 2011

KENINGAU – (23 MAC 2011) ERAKITA mengucapkan takziah atas pemergian Allahyarham Jafry bin Gamiloh sebentar tadi. Beliau menghembuskan nafas terakhir sekitar antara jam 5.00 – 6.00 petang tadi di Hospital Daerah Keningau. ERAKITA yang mendapat berita tersebut dari saudara mara di Keningau telah mendapatkan pengesahan kematiannya dari anak Allahyarham, saudara Haimin bin Jafry melalui panggilan talipon.

Menurut Haimin, jenazah Allahyarham bapanya akan dibawa ke rumah keluarga di Kampung Penagatan Ulu pada malam ini. Dijangkakan urusan jenazah akan disempurnakan pada sebelah pagi esok. Sebelum itu Allahyarham telah beberapa minggu terlantar di Hospital Daerah Keningau akibat penyakit di bahagian hati.

Semoga roh Allahyarham ditempatkan di kalangan orang-orang beriman. Semoga perjalanan rohnya di alam barzakh dilimpahi keamanan dan maghfirah dari Allah s.w.t. Semoga keluarganya bersabar atas ketentuan Allah yang menguasai dan menentukan segala-galanya di alam ini.

TSUNAMI MENGAJARKU ERTI KEHIDUPAN

14 Mac 2011

Tragedi dahsyat Tsunami yang melanda Jepun beberapa hari lalu meragut ribuan nyawa. Dijangkakan, angka itu boleh mencecah puluhan ribu dalam jangkamasa terdekat setelah semua usaha menyelamat dan pemulihan dilaksanakan. Sukar difikirkan hal seperti ini. Ia terlalu dashyat dan menggerunkan. Laporan-laporan media dan gambar-gambar yang disiarkan dalam pelbagai sumber sesungguhnya membuatkan hati dan perasaan merasa takjub. Walaupun mempunyai peralatan canggih untuk mengesan sebarang bentuk bencana alam, namun kehabatan dan keagungan Allah jua yang mengatasi segala-galanya.

Manusia tidak sempat berbuat apa-apa. Gempa yang meranapkan bangunan dan membelah bumi sekelip mata bagaikan mimpi yang sukar dipercayai. Tapi, ia benar-benar terjadi. Ada laporan mengatakan bahawa kelajuan Ombak Besar yang tinggi berwarna kehitaman itu memecut laju bagaikan kilat dengan kelajuan yang begitu luar biasa, lebih laju dari kadar kelajuan kapal terbang biasa di atas udara yang lazimnya berkelajuan 800 hingga 850 kilometer sejam.

Gerun dan menakjubkan! Kayu-kayu paya bakau yang ditanam di tepian pantai tidak mampu menahan luncuran tajam ombak yang ganas. Kapal-kapal besar dibawa jauh ke dataran bersama rimbunan kayu, besi, batu dan bermacam-macam lagi. Segalanya kelihatan bagaikan padang jarak padang tekukur. Deretan kereta canggih dan hebat bagaikan kereta mainan yang kotor akibat terkena air dan lumpur.  Gegaran Gempa Bumi yang kuat menyaksikan manusia tidak mampu berbuat apa-apa. Sementara sibuk berteriak, menangis dan merintih, manusia tidak sedar bahawa ombak besar sedang meluncur laju ke daratan. Kali ini Ombak Besar itu mendarat tanpa amaran. Ia datang lalu mengganas dan memusnahkan segala-galanya. Ia tidak kenal sesiapa. Ia tidak kenal siapa kaya siapa miskin, siapa muda siapa tua, siapa bapa siapa anak.

Manusia terpaku, terbelenggu dan terperangkap. Tiada lagi kekuatan. Ia bagaikan Kiamat Besar yang melanda dunia. Dalam beberapa detik, ribuan makhluk bernama manusia lenyap. Terpisah roh dengan jasad. Mereka adalah makhluk Allah yang hanya beberapa minit atau saat sebelumnya sibuk melakukan kerja di pejabat, berniaga, makan minum, berjenaka, bermain, belajar dan melakukan pelbagai lagi aktiviti biasa. Namun, hanya beberapa detik selepas itu, mereka lenyap dan musnah. Maha Suci Allah yang menguasai langit dan bumi dan apa yang ada di antara keduanya.

Di mana kemegahan manusia? Di mana kehebatan manusia? Di mana kesombongan manusia? Di mana kebijaksanaan manusia? Di mana kekayaaan manusia? Di mana kecanggihan manusia saat itu? Jawapannya hanya satu. Jawapannya ialah TIADA! Siapa yang hebat ketika itu? Tiada lain lagi melainkan Pemilik Alam ini. Dialah Allah S.W.T. Maha Suci Allah. Maha Agung Allah. Maha Hebat Allah. Maha Perkasa Allah. Benar! Terbukti benar bahawa hanya Allah yang memilik segala gelaran Maha yang ada di alam ini. Tiada lagi setanding Allah. Dan pasti lagi mutlak bahawa tiada setanding kehebatan dan keagungan Allah.

Lalu, apakah pelajaran penting dari kisah Tsunami itu? Wahai saudara-saudaraku, ingatlah bahawa jika hari ini kita menyaksikan mala petaka dashyat itu berlaku pada Jepun, janganlah lupa dan lalai bahawa bencana dashyat itu boleh melanda kita bila-bila masa. Allah boleh buat yang lebih dahsyat dan hebat dari itu. Ia melenyapkan segala-galanya. Alangkah ruginya andai kita tersenarai sebagai orang yang hilang atau terkorban itu sedangkan kita terlalu miskin dengan persiapan alam akhirat!

Justeru, mari kita siap sedia setiap masa. Kita siap sedia dengan bekalan paling bernilai dan berkualiti. Bekalan itu adalah amal soleh, amal kebajikan dan pahala-pahala berlipat ganda yang dikumpulkan sekian lama buat persembahan berharga di hadapan Allah kelak.