Daily Archives: 14 Mac 2011

TSUNAMI MENGAJARKU ERTI KEHIDUPAN

14 Mac 2011

Tragedi dahsyat Tsunami yang melanda Jepun beberapa hari lalu meragut ribuan nyawa. Dijangkakan, angka itu boleh mencecah puluhan ribu dalam jangkamasa terdekat setelah semua usaha menyelamat dan pemulihan dilaksanakan. Sukar difikirkan hal seperti ini. Ia terlalu dashyat dan menggerunkan. Laporan-laporan media dan gambar-gambar yang disiarkan dalam pelbagai sumber sesungguhnya membuatkan hati dan perasaan merasa takjub. Walaupun mempunyai peralatan canggih untuk mengesan sebarang bentuk bencana alam, namun kehabatan dan keagungan Allah jua yang mengatasi segala-galanya.

Manusia tidak sempat berbuat apa-apa. Gempa yang meranapkan bangunan dan membelah bumi sekelip mata bagaikan mimpi yang sukar dipercayai. Tapi, ia benar-benar terjadi. Ada laporan mengatakan bahawa kelajuan Ombak Besar yang tinggi berwarna kehitaman itu memecut laju bagaikan kilat dengan kelajuan yang begitu luar biasa, lebih laju dari kadar kelajuan kapal terbang biasa di atas udara yang lazimnya berkelajuan 800 hingga 850 kilometer sejam.

Gerun dan menakjubkan! Kayu-kayu paya bakau yang ditanam di tepian pantai tidak mampu menahan luncuran tajam ombak yang ganas. Kapal-kapal besar dibawa jauh ke dataran bersama rimbunan kayu, besi, batu dan bermacam-macam lagi. Segalanya kelihatan bagaikan padang jarak padang tekukur. Deretan kereta canggih dan hebat bagaikan kereta mainan yang kotor akibat terkena air dan lumpur.  Gegaran Gempa Bumi yang kuat menyaksikan manusia tidak mampu berbuat apa-apa. Sementara sibuk berteriak, menangis dan merintih, manusia tidak sedar bahawa ombak besar sedang meluncur laju ke daratan. Kali ini Ombak Besar itu mendarat tanpa amaran. Ia datang lalu mengganas dan memusnahkan segala-galanya. Ia tidak kenal sesiapa. Ia tidak kenal siapa kaya siapa miskin, siapa muda siapa tua, siapa bapa siapa anak.

Manusia terpaku, terbelenggu dan terperangkap. Tiada lagi kekuatan. Ia bagaikan Kiamat Besar yang melanda dunia. Dalam beberapa detik, ribuan makhluk bernama manusia lenyap. Terpisah roh dengan jasad. Mereka adalah makhluk Allah yang hanya beberapa minit atau saat sebelumnya sibuk melakukan kerja di pejabat, berniaga, makan minum, berjenaka, bermain, belajar dan melakukan pelbagai lagi aktiviti biasa. Namun, hanya beberapa detik selepas itu, mereka lenyap dan musnah. Maha Suci Allah yang menguasai langit dan bumi dan apa yang ada di antara keduanya.

Di mana kemegahan manusia? Di mana kehebatan manusia? Di mana kesombongan manusia? Di mana kebijaksanaan manusia? Di mana kekayaaan manusia? Di mana kecanggihan manusia saat itu? Jawapannya hanya satu. Jawapannya ialah TIADA! Siapa yang hebat ketika itu? Tiada lain lagi melainkan Pemilik Alam ini. Dialah Allah S.W.T. Maha Suci Allah. Maha Agung Allah. Maha Hebat Allah. Maha Perkasa Allah. Benar! Terbukti benar bahawa hanya Allah yang memilik segala gelaran Maha yang ada di alam ini. Tiada lagi setanding Allah. Dan pasti lagi mutlak bahawa tiada setanding kehebatan dan keagungan Allah.

Lalu, apakah pelajaran penting dari kisah Tsunami itu? Wahai saudara-saudaraku, ingatlah bahawa jika hari ini kita menyaksikan mala petaka dashyat itu berlaku pada Jepun, janganlah lupa dan lalai bahawa bencana dashyat itu boleh melanda kita bila-bila masa. Allah boleh buat yang lebih dahsyat dan hebat dari itu. Ia melenyapkan segala-galanya. Alangkah ruginya andai kita tersenarai sebagai orang yang hilang atau terkorban itu sedangkan kita terlalu miskin dengan persiapan alam akhirat!

Justeru, mari kita siap sedia setiap masa. Kita siap sedia dengan bekalan paling bernilai dan berkualiti. Bekalan itu adalah amal soleh, amal kebajikan dan pahala-pahala berlipat ganda yang dikumpulkan sekian lama buat persembahan berharga di hadapan Allah kelak.