RAMADHAN HADIR LAGI

RAMADHAN HADIR LAGI

29 Jun 2014

Sempena kehadiran Ramadhan, erakita mengucapkan selamat berpuasa kepada semua umat Islam. Semoga ibadah kita diterima Allah. Ambillah peluang keemasan ini. Peluang hanya datang sekali dalam setahun. Nilai pahala pula tidak ada batas dan hadnya. Segalanya tergantung atas kehendak Allah semata-mata. Situasi ini berbeza sekali dengan nilai pahala yang kita lakukan pada bulan-bulan yang lain. Ini semua bergantung kepada kualiti dan keikhlasan kita ketika melaksanakan ibadah di bulan ini. Saat ini pintu-pintu syurga dibukakan. Pintu-pintu neraka ditutup. Manakala, syaitan terbelenggu.

Lailatul Qadar

Bulan ini ada satu malam yang nilai pahalanya tersangat banyak dan hebat. Nilainya lebih baik dari amalan yang kita lakukan pada hari biasa selama 83 tahun 4 bulan. Malam itu dinamakan Lailatul Qadar. Ia berada dalam 10 malam terakhir pada bulan Ramadhan. Maknanya, ia berada pada fasa ketiga dalam bulan yang berkat ini.

Justeru, marilah kita berusaha untuk berdoa setiap hari mulai sekarang agar dikurniakan peluang beribadat pada malam al qadar itu. Doa orang berpuasa adalah antara doa yang mustajab. Ambil peluang ini. Walau sudah diketahui malam tersebut ada pada 10 malam terakhir, namun bukan sesuatu yang mudah untuk kita bertemunya. Ujian cukup hebat terutama pada fasa terakhir ramadhan. Lihatlah, betapa barisan jamaah yang hadir untuk solat tarawih pada fasa terakhir ramadhan lazimnya jauh susut dan berkurangan. Kadangkala bilangan jamaahnya berkurangan lebih dari separuh. Orang lebih sibuk untuk perkara-perkara lain seperti membuat persiapan hari raya yang bermacam-macam bentuknya.

Sedekah dan terus bersedekah

Dalam kesempatan ini, ayuh kita buat yang terbaik. Buatlah apa saja amal walau sekecil mungkin berserta niat yang ikhlas kepada Allah. Usah lupakan sedekah. Jika dapat, bawalah duit walau sedikit barang 10 sen semasa datang ke masjid untuk solat subuh berjamaah. Masukkan ke dalam tabung masjid. Lakukan hari-hari jika dapat. Moga-moga amalan ini akan jadi amalan harian sehingga akhir hayat kita. Ingatlah pesan Nabi s.a.w bahawa sebaik-baik amalan itu adalah amalan sedikit tetapi dilaksanakan secara berterusan. Bersedekah dengan memberi pada kadar sedikit. Moga-moga bila sudah jadi kebiasaan, jumlahnya ditambah lagi pada kadar yang semakin besar menurut kemampuan kita.

Semoga sedikit ingatan ini ada manfaatnya untuk kita. Ramadhan yang diberkati. Syukur alhamdulillah. Kita bertemu lagi.

About ERAKITA

TERUSKAN LANGKAH USAH BERHENTI

Posted on 29 Jun 2014, in AGAMA, MASJID, PELBAGAI, RENUNGAN, UCAPAN and tagged , , , , , , . Bookmark the permalink. 1 Komen.

  1. asalamualaikum..semoga ramadhan yang lalu memberikan sinar untuk kita ke akhirat.amin

Tinggalkan komen