Monthly Archives: Februari 2015

PEMBUKAAN TAHUN PERUNDANGAN SYARIAH TAWAU 2015

PEMBUKAAN TAHUN PERUNDANGAN SYARIAH TAWAU 2015

 

23 FEBUARI 2015

Buat pertama kalinya dalam sejarah, Majlis Pembukaan Tahun Perundangan Syariah Tawau berjaya diadakan pada 6 Febuari 2015 bersamaan 16 Rabiulakhir 1436H. Acara yang diadakan di Dewan Mahkamah Tinggi Syariah Tawau itu bermula tepat jam 8.30am. Majlis itu dihadiri oleh Hakim Syarie dan Pegawai-Pegawai Kanan dan kakitangan Mahkamah Syariah Tawau, barisan Pendakwa Syarie yang diketuai oleh Ketua Pendakwa Syarie dan para Peguam Syarie yang beramal di Tawau yang dianggarkan sekitar 40 orang.

Majlis yang dijalankan menurut format prosiding di mahkamah itu bermula sebaik sahaja Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Tawau memasuki Dewan Mahkamah Tinggi Syariah tepat jam 8.30am. Semua hadirin bangun memberi hormat dan selepas Hakim Mahkamah Tinggi memberi salam, prosiding pembukaan tahun perundangan syariahpun bermula. Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Tawau, Tuan Kassim Sauji memohon izin bagi memulakan prosiding dengan pembacaan ummul kitab al Fatihah. Prosiding seterusnya disusuli bacaan doa yang dipimpin oleh Pegawai Penyelidik Mahkamah Tinggi Syariah Tawau, Tuan Khalid bin Suahid.

 

Intipati Hujahan Peguam Syarie

Pengisian prosiding dimulakan dengan ucapan dari wakil Persatuan Peguam Muslim Sabah (AMAL) yang juga mewakili peguam-peguam syarie yang beramal di Tawau, Tuan Mohd Amin bin Hj. Tengreng. Dalam ucapannya yang mengambil masa selama 7 minit, beliau menyentuh peranan penting peguam syarie di Mahkamah Syariah. Beliau menekankan betapa para peguam syarie perlu berperanan membantu mahkamah bagi mencapai keadilan dalam sesuatu pertikaian kes. Para Peguam Syarie perlu sentiasa menyedari bahawa tugas sebagai wakil kepada anak guam mestilah dilaksanakan semata-mata mencari keredhaan Allah s.w.t dan jauh sekali dari menurut kehendak hawa nafsu, perasaan kasihan, marah, kemashyuran dan ingin memenangi sesuatu kes di Mahkamah. Beliau seterusnya menarik perhatian hadirin mengenai beberapa usaha kerjasama yang telah dijalankan oleh para peguam syarie di Tawau dalam rangka memartabatkan perundangan Islam di Negeri Sabah secara amnya dan secara khususnya di Daerah Tawau. Antara usaha yang dilaksanakan adalah menyediakan Klinik Guaman Syarie secara percuma kepada masyarakat Islam di Tawau pada setiap hari jumaat antara jam 2.00 petang sehingga 4.00 petang. Perkhidmatan yang dijalankan di bangunan Mahkamah Syariah Tawau ini telahpun dimulakan sejak bulan September 2014 lagi.

Para Peguam Syarie daerah ini juga menurut beliau turut terlibat dalam beberapa program lawatan dan kunjungan mahabbah Mahkamah Syariah Tawau ke beberapa agensi kerajaan yang berkaitan seperti Mahkamah Tinggi Awam, Balai Polis, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan FELDA UMAS dalam Daerah Tawau. Beliau melahirkan kesediaan para Peguam Syarie di daerah ini untuk memberi kerjasama dan sokongan padu atas apa-apa program yang dilaksanakan oleh Mahkamah dalam rangka meningkatkan mutu perkhidmatan dan penyampaian kepada masyarakat Islam di daerah ini. Ketika ini, pengisan Slot Bicara Syariah dan Perundangan di Tawau FM yang sudahpun bermula sejak bulan Januari 2015 adalah antara program berterusan melibatkan kerjasama antara Mahkamah Syariah Tawau, Peguam Syarie Tawau dan Tawau FM. Program ini diadakan pada minggu ketiga setiap bulan selama 30 minit dari pukul 2.00 petang hingga 2.30 petang.

Beliau yang mewakili suara Pegaum Syarie Tawau mengakhiri hujahan beliau dengan mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pihak yang telah bertungkus lumus bagi merealisasikan perlaksanaan majlis yang penuh bersejarah ini. Menurut beliau, majlis ini merupakan permulaan yang amat baik dan mengharapkan agar majlis seumpama ini dapat terus dilaksanakan pada tahun-tahun akan datang. Sebagai penutup, beliau menyatakan kepercayaan bahawa majlis ini jelas menunjukkan kepada umum bahawa sikap kebersamaan, kasih sayang dan setia kawan antara Mahkamah Syariah, Peguam Syarie dan Pendakwa Syarie mampu mencapai matlamat untuk menzahirkan keadilan undang-undang Islam sesuai dengan ungkapan “Syariah Asas Keadilan”.

 

Intipati Hujahan Ketua Pendakwa Syarie Sabah

Ucapan seterusnya disampaikan oleh Ketua Pendakwa Syarie Negeri Sabah, Tuan Sakaria Samela. Ucapan beliau yang mengambil masa selama 15 minit itu antara lain memaklumkan kepada hadirin bahawa prosiding Pembukaan Tahun Perundangan dan Syariah Tawau tahun 2015 ini merupakan satu sejarah dalam perundangan Islam di Malaysia. Menurut beliau, program seumpama ini belum pernah diadakan di mana-mana negeri di Malaysia. Justeru, usaha yang diadakan dengan kerjasama antara Mahkamah Syariah Tawau, Peguam Syarie Tawau dan Bahagian Pendakwaan Syarie Sabah ini merupakan sejarah tersendiri yang akan terpahat dalam lipatan sejarah bagi komuniti syariah di Malaysia. Beliau turut mengalu-alukan agar Pembukaan Tahun Perundangan Syariah ini dapat diadakan sebagai acara tahunan yang bukan saja diadakan di Daerah Tawau, malah dapat pula dikembangkan di peringkat negeri dan Kebangsaan pada masa hadapan.

Ketika menghuraikan peranan Pendakwa Syarie, beliau menekankan bahawa pendakwa dan peguam merupakan kumpulan professional yang bertindak untuk menegakkan keadilan, bersumberkan wahyu ilahi, melangkaui catatan manusiawi dalam bentuk dokumen yang dikanunkan. Menurutnya lagi, dalam merencanakan keadilan Islam, pendakwa dan peguam perlu berinteraksi melalui etika professional tanpa melayan kehendak klien atau saksi yang tidak professional. Bagi mencapai keadilan dan keindahan Islam, ketika bertindak tegas terhadap individu yang disyaki melanggar undang-undang, tanggungjawap pendakwa syarie dan peguam syarie tetap dilaksanakan. Antaranya, mereka sama sekali tidak dipujuk, apa lagi dipaksa untuk mengaku salah semata-mata untuk membolehkan hukuman ringan dapat dipertimbangkan atau play bargain digunakan. Pendakwa Syarie menurut beliau perlu mengambil perhatian bahawa dalam prinsip hukum syarak, tidak wujud istilah apabila memberi kerjasama kepada pihak berwewenang, hukuman ringan dapat diberikan.

Selaku Ketua Pendakwa Syarie Negeri Sabah, beliau melahirkan iltizam dan komitment untuk menyokong apa sahaja usaha ke arah menaikkan imej dan martabat institusi kehakiman syariah. Turut ditekankan dalam ucapan beliau adalah sokongan dan harapan pihak Pendakwaan Syarie agar hasrat kerajaan bagi menambahkan bilangan peringkat Mahkamah Syariah kepada 5 peringkat yang meliputi Mahkamah Rendah, Mahkamah Tengah, Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Majlis Rayuan Syariah akan menjadi kenyataan. Beliau juga melahirkan harapan bahawa usaha kerajaan bagi menubuhkan Jabatan Pendakwaan Syariah di negeri-negeri termasuk Sabah dalam rangka memperkasa dan memantapkan pengurusan dan pentadbiran kes-kes jenayah syariah akan menjadi kenyataan. Langkah ini telah dipersetujui oleh Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam (MKI) yang pengerusikan oleh YAB Perdana Menteri. Beliau seterusnya memaklumkan mengenai peningkatan kes pendakwaan jenayah syariah di negeri ini dan khususnya di Tawau yang sudah tentunya memerlukan komitment yang tinggi antara Mahkamah Syariah Tawau dan Bahagian Pendakwaan bagi memastikan kes-kes berkenaan dapat diselesaikan menurut masa yang sewajarnya. Ketika ini, Bahagian Pendakwaan Syarie telah menempatkan seorang Timbalan Pendakwa Syarie di Tawau bagi mengendalikan kes-kes pendakwaan bagi kesalahan-kesalahan syariah di Pantai Timur Sabah meliputi Daerah Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna.

 

Intipati Amanat dan Rumusan Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Syariah

Kemuncak prosiding adalah ucapan dan amanat dari Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Tawau. Dalam amanatnya, Yang Arif melahirkan kesyukuran kepada Allah kerana mengizinkan acara Pembukaan Tahun Perundangan Syariah bagi Daerah Tawau tahun 2015 ini dapat dilaksanakan. Menurut beliau, acara yang julung kali diadakan ini merupakan satu detik penting dalam sejarah komuniti perundangan Syariah bukan saja di Tawau, malah di Negeri Sabah dan juga di Malaysia. Ini kerana, acara ini merupakan yang pertama kali diadakan. Dalam amanatnya, Yang Arif memaklumkan mengenai beberapa peristiwa penting dan berimpak tinggi dalam konteks perkembangan Islam di Malaysia telah berlaku di Mahkamah Syariah Tawau sepanjang tahun 2014. Perlaksanaan hukuman sebatan syariah sebanyak 6 rotan di dalam mahkamah terbuka Mahkamah Tinggi Syariah Tawau pada 28 Oktober 2014 merupakan detik penting yang terpahat dalam sejarah perundangan Islam di negara ini. Ini kerana, perlaksanaan hukuman sebatan yang disaksikan di khalayak ramai itu merupakan pertama kali berlaku dalam sejarah Mahkamah Syariah di Malaysia. Perlaksanaan hukuman tersebut mendapat reaksi positif dan sokongan padu dari pelbagai pihak.

Malah menurut beliau, ekoran dari kejayaan perlaksanaan hukuman sebat di Tawau, satu Standard Operating Procedure (SOP) mengenai perlaksanaan hukuman sebat di hadapan umum bakal dikeluarkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) untuk digunapakai bagi seluruh negeri di Malaysia. Dalam amanat itu juga, beliau turut melahirkan kesyukuran kerana impian untuk melaksanakan solat berjamaah di Mahkamah Syariah Tawau berjaya diadakan bagi solat zohor dan asar. Perlaksanaan solat berjamaah ini telah diwajibkan kepada semua pegawai dan kakitangan lelaki Mahkamah Syariah Tawau sejak 17 November 2014 melalui satu arahan khas yang dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Tawau. Bagi melicinkan perlaksanaan solat tersebut, prosding kes dalam Mahkamah Rendah dan Tinggi Syariah dihentikan 10 minit sebelum masuknya waktu solat. Perlaksanaan solat berjemaah melibatkan kakitangan Mahkamah, para peguam syarie dan para pelanggan yang berurusan di Mahkamah Syariah dilihat amat positif dalam meningkat kualiti kerohanian di kalangan warga Mahkamah Syariah di daerah ini. Beliau turut berkongsi harapan dengan wakil Peguam Syarie, Tuan Mohd Amin bin Hj. Tengreng dan Tuan Sakaria bin Samela selaku Ketua Pendakwa Syarie Sabah agar acara Pembukaan Tahun Perundangan dan Syariah ini dapat diteruskan pada masa hadapan setiap tahun bukan sahaja di Daerah Tawau tetapi juga di peringkat negeri-negeri di Malaysia.

Turut mendapat perhatian dalam amanat dan rumusan Yang Arif Hakim adalah kerjasama yang diadakan oleh Mahkamah Syariah Tawau dan Peguam Syarie Tawau untuk membuat pengisian sekali dalam sebulan rancangan khas dalam Radio Tawau FM yang dinamakan Bicara Syariah dan Perundangan. Rancangan yang dibuat secara langsung sejak bulan Januari tahun 2015 ini dilihat mampu membantu masyarakat Islam dan bukan Islam di sekirar Daerah Tawau, Kunak, lahad Datu dan Semporna untuk mengenali Mahkamah Syariah lebih dekat lagi. Di samping mendapat gambaran sebenar peranan dan fungsi Mahkamah Syariah, masyarakat setempat juga mendapat manfaat untuk mengetahui bidang kuasa mahkamah syariah, peranan peguam syarie, tata cara permohonan dan tuntutan di mahkamah syariah, cabaran-cabaran dan perkembangan-perkembangan semasa dalam dunia perundangan Islam.

Perkhidmatan Klinik Guaman Syarie secara percuma setiap minggu di bilik yang disediakan di Bangunan Mahkamah Syariah Tawau turut mendapat reaksi positif Yang Arif Hakim. Perkhidmatan yang bermula sejak bulan September 2014 semakin mendapat sambutan masyarakat Islam setempat. Usaha yang membabitkan semua peguam syarie yang beramal di Tawau ini sekali gus dapat memberi gambaran positif terhadap kewibawaan dan peranan para peguam syarie dalam rangka mencelikkan masyarakat kepada hak-hak mereka dan hal-hal berkaitan perundangan islam di sekitar Pantai Timur Sabah.

Sesuai dengan tema tahun ini yang berbunyi “KE ARAH KEBERSAMAAN, KASIH SAYANG DAN SETIA KAWAN”, Yang Arif Hakim mengharapkan agar kerjasama antara pihak Pendakwaan Syarie dan para peguam syarie di Daerah ini terus dikekalkan serta ditingkatkan dari semasa ke semasa. Prosiding yang berjalan selama 1 jam dan berakhir tepat pada pukul 9.30 pagi itu ditangguhkan pada tahun hadapan. Acara yang menggabungkan Pegawai Kehakiman, Pendakwaan Syarie dan Peguam Syarie dengan pakaian lengkap dan jubah khas sesuai dengan profesyen masing-masing memperlihatkan keunikan tersendiri. Sesi bergambar beramai-ramai bersama Hakim Syarie kemudiannya diadakan dalam Dewan Mahkamah Tinggi Syariah dan juga di luar bangunan Mahkamah. Para peserta yang hadir rata-rata menyatakan perasaan puas hati dan menyatakan harapan agar majlis seumpama ini dapat diteruskan pada tahun hadapan.

MAJLIS PECAH TANAH KOMPLEKS MAHKAMAH SYARIAH NEGERI SABAH

MAJLIS PECAH TANAH KOMPLEKS MAHKAMAH SYARIAH NEGERI SABAH

15 Febuari 2015

Akhirnya tarikh 13 Febuari 2015 bersamaan 23 Rabiulakhir 1436 tercatat sebagai sejarah bagi Mahkamah Syariah Negeri Sabah. Majlis Pecah Tanah Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Sabah yang terletak di atas tapak seluas 5 ekar di Teluk Likas bersebelahan dengan Masjid Bandaraya Kota Kinabalu dilancarkan dengan rasminya oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, Ketua Menteri Sabah. Turut hadir Timbalan Ketua Menteri, Yang Berhormat Datuk Seri Penglima Yahya Hussin, Menteri-Menteri dan Pembantu-Pembantu Menteri Negeri Sabah, Setiausaha Kerajaan Negeri dan Persekutuan Sabah, Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Malaysia, Ketua-Ketua Hakim Syarie Negeri-Negeri, Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan dan Negeri dan pegawai-pegawai dan kakitangan dari Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).

Terdahulu, majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan dari Yang Berhormat Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Haji Baharom (B), Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawap mengenai hal ehwal agama Islam. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Yang Amat Arif Tan Sri Dr. Ibrahim bin Lembut, Ketua Pengarah Jabatan kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) merangkap Ketua Hakim Syarie Malaysia. Terdahulu, Yang Berhormat Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Haji Baharom yang telah tiba sehari lebih awal di Kota Kinabalu terpaksa kembali ke ibu negara bagi menghadiri upacara pengkebumian Almarhum Tok Guru Dato’ Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, bekas Menteri Besar Kelantan yang meninggal dunia pada 12 Febuari 2015.

Dalam ucapannya, YB Dato’ Seri Jamil Khir bin Haji Baharom memaklumkan bahawa kompleks Mahkamah Syariah yang menelan belanja sebanyak RM63 juta itu akan dilengkapi dengan kemudahan moden yang canggih seperti kelengkapan sistem teknologi maklumat. Bangunan tersebut juga akan mempunyai sebuah dewan terbuka bagi Mahkamah Rayuan Syariah, dua dewan untuk Mahkamah Tinggi Syariah dan 3 dewan bagi Mahkamah Rendah Syariah. Antara kelengkapan lain adalah ruang perpustakaan, bilik hakim, bilik mesyuarat, kafeteria, tempat letak kereta dan surau. Turut ditekankan dalam ucapannya adalah perkembangan undang-undang Islam di Sabah yang telah mendahului negeri-negeri lain apabila Mahkamah Syariah Negeri Sabah diberikan kuasa oleh undang-undang untuk memutuskan perkara-perkara berkaitan perlantikan wasi atau pentadbir harta pusaka orang Islam dan juga pendaftaran serta pengambilan anak angkat. Bidang kuasa berkenaan termaktub dalam Seksyen 11(3)(b)(viii) dan (xi) Enakmen Mahkamah Syariah No. 6 Tahun 2004. Kedua-dua bidang kuasa berkenaan belum wujud dalam mana-mana Enakmen di negeri-negeri lain. Pada ketika ini, Mahkamah Syariah Kota Kinabalu belum mempunyai bangunan sendiri dan menjalankan operasinya di Bangunan Wisma MUIS yang disewakan kepada Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah.

Dalam ucapan perasmian oleh YAB Ketua Menteri Sabah, beliau antara lain menekankan bahawa pembinaan kompleks berkenaan adalah antara komitment dan iltizam kerajaan bagi meningkatkan syiar Islam dan memartabatkan institusi Mahkamah Syariah di Sabah. Bagi beliau, pembinaan kompleks mahkamah berkenaan tepat pada masanya dan bersesuaian dengan tasawwur Islam. Kedudukan geografi Negeri Sabah yang berjiran dengan Negara Brunei Darussalam, Indonesia dan Pilipina yang secara tidak langsung dapat menambah nilai dalam konteks perkembangan sosiobudaya dan kemajuan Islam di rantau ini. Selain mengharapkan impak positif dalam konteks perkhidmatan terbaik dan berkualiti dari warga Mahkamah Syariah dengan adanya kompleks yang canggih itu nanti, beliau juga melahirkan impian agar sistem penyampaian yang terbaik dapat ditonjolkan oleh pegawai dan kakitangan mahkamah syariah di negeri ini seiring dengan perkembangan yang berlaku di Mahkamah Awam.

YAB Ketua Menteri seterusnya melahirkan harapannya agar peluang untuk pengisian jawatan dan juga kenaikan pangkat untuk jawatan yang lebih tinggi bagi pegawai mahkamah syariah di kalangan anak-anak Sabah yang berkelayakan dapat diberi perhatian oleh Kerajaan Persekutuan. Menurut Ketua Menteri lagi, perlantikan seorang Hakim Syarie Wanita pertama di Mahkamah Syariah Negeri Sabah baru-baru ini merupakan satu sejarah tersendiri bagi Negeri Sabah. Perlantikan tersebut merupakan satu pengiktirafan kerajaan terhadap sumbangan dan kebolehan golongan wanita di negeri ini.

Projek pembangunan kompleks mahkamah syariah yang bakal dimulakan pada tahun 2015 ini dijangka siap pada tahun 2018. Kedudukan bangunan yang bersebelahan dengan Masjid Bandaraya dan menghadap Laut China Selatan dilihat bakal menambahkan lagi seri Bandaraya Kota Kinabalu yang sememangnya terkenal sebagai bandaraya yang cantik dan indah di Malaysia. Ini tentunya akan menambah nilai kepada tarikan pelancung dari dalam dan luar negara yang semakin bertambah bilangannya bagi menikmati keindahan bandaraya ini. Jika pembinaan kompleks tersebut berjalan lancar mengikut jadual, tentunya rakyat Sabah, khususnya umat Islam di negeri ini akan sama-sama menikmati kemajuan pembangunan negara sebelum Malaysia melakarkan sejarah dengan status negara maju menjelang tahun 2020.

JIKA SUDAH TERLAFAZ CERAI, CEPAT-CEPATLAH KE MAHKAMAH

JIKA SUDAH TERLAFAZ CERAI, CEPAT-CEPATLAH KE MAHKAMAH

3 Febuari 2015

Soalan

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya. Adik ipar saya telah melafazkan cerai talak satu kepada isterinya di hadapan kedua pakcik dan makcik si isteri. Tetapi dalam masa kurang sebulan, adik ipar saya dan isterinya telah kembali semula dan bersekedudukan bersama. Di sini, saya ingin tahu:

(1) Adakah mereka harus memfailkan penceraian mereka di pejabat agama?
(2) Haruskah mereka melalui proses penceraian sebelum mereka rujuk semula?
(3) Apa hukum jika sudah melafazkan cerai tanpa memfailkan dan bersekedudukan??

Sila balas pertanyaan saya kerana saya ingin tahu. Terima kasih

Jawapan

Walaikumussalam wbt. Dalam keadaan di atas, apabila ternyata si adik ipar telah melafazkan cerai ke atas isterinya, tindakan segera yang perlu dilakukan adalah menfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai luar mahkamah di Mahkamah Syariah di mana pasangan tersebut bermastautin atau tinggal. Terus sahaja ke Mahkamah Syariah. Elakkan dari menangguh-nangguh perkara ini. Penangguhan yang berterusan akan hanya menambahkan rasa resah, bimbang dan tidak senang pada hati bukan saja pada pasangan ini malah pada keluarga kedua pihak yang terlibat.

Lafaz tersebut perlu diteliti oleh Mahkamah samada ianya telah menggugurkan talaq atau tidak. Ini kerana, lafaz talaq itu sendiri ada yang disebut sebagai lafaz soreh atau lafaz yang terang, nyata yang mana seseorang yang melafazkannya dalam keadaan biasa akan menggugurkan talaq. Ia tak memerlukan niat menceraikannya. Contohnya “aku ceraikan kau” atau “aku talaqkan kau” atau “kau tertalaq”.

Ada lagi lafaz yang dikategorikan sebagai lafaz kinayah yang memerlukan niat menceraikan baharulah lafaz tersebut dikira sebagai sabit perceraian atau gugur talaq. Contohnya suami mengatakan kepada isterinya “kau kembalilah kepada ibubapa engkau dan jangan lagi kau balik ke sini”. Dalam hal ini, sekiranya suami berniat menceraikan isteri saat melafazkan kata-kata itu, maka ia dikira menggugurkan talaq. Sebaliknya, jika suami sekadar menakutkan atau memberi amaran kepada isteri, maka tidaklah gugur talaq.

Justeru, dalam situasi yang dihadapi oleh adik ipar tersebut, sebaiknya bersegeralah ke Mahkamah Syariah dan failkan permohonan pengesahan lafaz cerai luar Mahkamah. Jika benar telah bercerai, mahkamah akan menentukan pula berapa bilangan atau jumlah talaq yang gugur. Hanya mahkamah syariah saja yang boleh memutuskan perkara ini menurut undang-undang keluarga Islam yang berkuatkuasa di negeri-negeri. Seksyen 56 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam jelas menyebutkan bahawa Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk hanya boleh mendaftarkan suatu perceraian itu apabila telah berpuashati bahawa Mahkamah Syariah telah membuat pengesahan mengenai perceraian itu.

Soal mereka telah rujuk, kembali atau bersekedudukan semula sebagai suami isteri, hal tersebut tidak harus berlaku begitu saja tanpa mendapat kepastian mengenai kedudukan status mereka semada sudah bercerai atau tidak. Jika mereka benar-benar nak bersatu semula, ikutilah undang-undang yang ada. Undang-undang itu bukanlah menyusahkan tetapi ia adalah memudahkan urusan manusia. Ia mengelak dari berlakunya perkara-perkara yang bertentangan dengan syarak. Segerakan dan jangan bertangguh lagi.

Tindakan menyegerakan untuk membuat laporan (permohonan) ke mahkamah mengenai lafaz cerai yang dilakukan di luar mahkamah tanpa kebenaran mahkamah adalah kehendak undang-undang. Seksyen 57 Enakmen Undang_undang Keluarga Islam menegaskan bahawa laporan (permohonan pengesahan lafaz cerai luar mahkamah) hendaklah dibuat kepada Mahkamah Syariah dalam tempoh 7 hari dari lafaz cerai tersebut berlaku. Ini bermakna, bila mana lafaz cerai sudah dibuat oleh suami, maka pasangan tersebut mestilah melaporkan hal tersebut dalam tempoh 7 hari dari tarikh lafaz.

Dalam perkara sepenting ini, Arahan Amalan sudah dikeluarkan kepada seluruh Mahkamah Syariah di negeri-negeri bahawa keutamaan untuk mendengar terus permohonan yang ada persetujuan bagi kes pengesahan lafaz cerai perlu diberi termasuk mendengar pada hari yang sama kes berkenaan jika ada ruang mahkamah berbuat demikian. Erakita berpendapat bahawa penjelasan dari artikel dalam ruangan ini serta jawapan di atas memadai sebagai jawapan kepada soalan yang ketiga.

Demikianlah jawapan erakita dalam situasi di atas. Semoga ada manfaatnya. Jangan tunggu lagi. Bersegeralah ke Mahkamah Syariah dan failkan permohonan pengesahan lafaz cerai luar mahkamah tersebut. Mohonlah kepada Pendaftar Mahkamah supaya kes berkenaan dapat disegerakan pendegarannya atas sebab nak rujuk.

Wallahu a’lam.