Arkib Blog

PEMBUKAAN TAHUN PERUNDANGAN SYARIAH TAWAU 2015

PEMBUKAAN TAHUN PERUNDANGAN SYARIAH TAWAU 2015

 

23 FEBUARI 2015

Buat pertama kalinya dalam sejarah, Majlis Pembukaan Tahun Perundangan Syariah Tawau berjaya diadakan pada 6 Febuari 2015 bersamaan 16 Rabiulakhir 1436H. Acara yang diadakan di Dewan Mahkamah Tinggi Syariah Tawau itu bermula tepat jam 8.30am. Majlis itu dihadiri oleh Hakim Syarie dan Pegawai-Pegawai Kanan dan kakitangan Mahkamah Syariah Tawau, barisan Pendakwa Syarie yang diketuai oleh Ketua Pendakwa Syarie dan para Peguam Syarie yang beramal di Tawau yang dianggarkan sekitar 40 orang.

Majlis yang dijalankan menurut format prosiding di mahkamah itu bermula sebaik sahaja Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Tawau memasuki Dewan Mahkamah Tinggi Syariah tepat jam 8.30am. Semua hadirin bangun memberi hormat dan selepas Hakim Mahkamah Tinggi memberi salam, prosiding pembukaan tahun perundangan syariahpun bermula. Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Tawau, Tuan Kassim Sauji memohon izin bagi memulakan prosiding dengan pembacaan ummul kitab al Fatihah. Prosiding seterusnya disusuli bacaan doa yang dipimpin oleh Pegawai Penyelidik Mahkamah Tinggi Syariah Tawau, Tuan Khalid bin Suahid.

 

Intipati Hujahan Peguam Syarie

Pengisian prosiding dimulakan dengan ucapan dari wakil Persatuan Peguam Muslim Sabah (AMAL) yang juga mewakili peguam-peguam syarie yang beramal di Tawau, Tuan Mohd Amin bin Hj. Tengreng. Dalam ucapannya yang mengambil masa selama 7 minit, beliau menyentuh peranan penting peguam syarie di Mahkamah Syariah. Beliau menekankan betapa para peguam syarie perlu berperanan membantu mahkamah bagi mencapai keadilan dalam sesuatu pertikaian kes. Para Peguam Syarie perlu sentiasa menyedari bahawa tugas sebagai wakil kepada anak guam mestilah dilaksanakan semata-mata mencari keredhaan Allah s.w.t dan jauh sekali dari menurut kehendak hawa nafsu, perasaan kasihan, marah, kemashyuran dan ingin memenangi sesuatu kes di Mahkamah. Beliau seterusnya menarik perhatian hadirin mengenai beberapa usaha kerjasama yang telah dijalankan oleh para peguam syarie di Tawau dalam rangka memartabatkan perundangan Islam di Negeri Sabah secara amnya dan secara khususnya di Daerah Tawau. Antara usaha yang dilaksanakan adalah menyediakan Klinik Guaman Syarie secara percuma kepada masyarakat Islam di Tawau pada setiap hari jumaat antara jam 2.00 petang sehingga 4.00 petang. Perkhidmatan yang dijalankan di bangunan Mahkamah Syariah Tawau ini telahpun dimulakan sejak bulan September 2014 lagi.

Para Peguam Syarie daerah ini juga menurut beliau turut terlibat dalam beberapa program lawatan dan kunjungan mahabbah Mahkamah Syariah Tawau ke beberapa agensi kerajaan yang berkaitan seperti Mahkamah Tinggi Awam, Balai Polis, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan FELDA UMAS dalam Daerah Tawau. Beliau melahirkan kesediaan para Peguam Syarie di daerah ini untuk memberi kerjasama dan sokongan padu atas apa-apa program yang dilaksanakan oleh Mahkamah dalam rangka meningkatkan mutu perkhidmatan dan penyampaian kepada masyarakat Islam di daerah ini. Ketika ini, pengisan Slot Bicara Syariah dan Perundangan di Tawau FM yang sudahpun bermula sejak bulan Januari 2015 adalah antara program berterusan melibatkan kerjasama antara Mahkamah Syariah Tawau, Peguam Syarie Tawau dan Tawau FM. Program ini diadakan pada minggu ketiga setiap bulan selama 30 minit dari pukul 2.00 petang hingga 2.30 petang.

Beliau yang mewakili suara Pegaum Syarie Tawau mengakhiri hujahan beliau dengan mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pihak yang telah bertungkus lumus bagi merealisasikan perlaksanaan majlis yang penuh bersejarah ini. Menurut beliau, majlis ini merupakan permulaan yang amat baik dan mengharapkan agar majlis seumpama ini dapat terus dilaksanakan pada tahun-tahun akan datang. Sebagai penutup, beliau menyatakan kepercayaan bahawa majlis ini jelas menunjukkan kepada umum bahawa sikap kebersamaan, kasih sayang dan setia kawan antara Mahkamah Syariah, Peguam Syarie dan Pendakwa Syarie mampu mencapai matlamat untuk menzahirkan keadilan undang-undang Islam sesuai dengan ungkapan “Syariah Asas Keadilan”.

 

Intipati Hujahan Ketua Pendakwa Syarie Sabah

Ucapan seterusnya disampaikan oleh Ketua Pendakwa Syarie Negeri Sabah, Tuan Sakaria Samela. Ucapan beliau yang mengambil masa selama 15 minit itu antara lain memaklumkan kepada hadirin bahawa prosiding Pembukaan Tahun Perundangan dan Syariah Tawau tahun 2015 ini merupakan satu sejarah dalam perundangan Islam di Malaysia. Menurut beliau, program seumpama ini belum pernah diadakan di mana-mana negeri di Malaysia. Justeru, usaha yang diadakan dengan kerjasama antara Mahkamah Syariah Tawau, Peguam Syarie Tawau dan Bahagian Pendakwaan Syarie Sabah ini merupakan sejarah tersendiri yang akan terpahat dalam lipatan sejarah bagi komuniti syariah di Malaysia. Beliau turut mengalu-alukan agar Pembukaan Tahun Perundangan Syariah ini dapat diadakan sebagai acara tahunan yang bukan saja diadakan di Daerah Tawau, malah dapat pula dikembangkan di peringkat negeri dan Kebangsaan pada masa hadapan.

Ketika menghuraikan peranan Pendakwa Syarie, beliau menekankan bahawa pendakwa dan peguam merupakan kumpulan professional yang bertindak untuk menegakkan keadilan, bersumberkan wahyu ilahi, melangkaui catatan manusiawi dalam bentuk dokumen yang dikanunkan. Menurutnya lagi, dalam merencanakan keadilan Islam, pendakwa dan peguam perlu berinteraksi melalui etika professional tanpa melayan kehendak klien atau saksi yang tidak professional. Bagi mencapai keadilan dan keindahan Islam, ketika bertindak tegas terhadap individu yang disyaki melanggar undang-undang, tanggungjawap pendakwa syarie dan peguam syarie tetap dilaksanakan. Antaranya, mereka sama sekali tidak dipujuk, apa lagi dipaksa untuk mengaku salah semata-mata untuk membolehkan hukuman ringan dapat dipertimbangkan atau play bargain digunakan. Pendakwa Syarie menurut beliau perlu mengambil perhatian bahawa dalam prinsip hukum syarak, tidak wujud istilah apabila memberi kerjasama kepada pihak berwewenang, hukuman ringan dapat diberikan.

Selaku Ketua Pendakwa Syarie Negeri Sabah, beliau melahirkan iltizam dan komitment untuk menyokong apa sahaja usaha ke arah menaikkan imej dan martabat institusi kehakiman syariah. Turut ditekankan dalam ucapan beliau adalah sokongan dan harapan pihak Pendakwaan Syarie agar hasrat kerajaan bagi menambahkan bilangan peringkat Mahkamah Syariah kepada 5 peringkat yang meliputi Mahkamah Rendah, Mahkamah Tengah, Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Majlis Rayuan Syariah akan menjadi kenyataan. Beliau juga melahirkan harapan bahawa usaha kerajaan bagi menubuhkan Jabatan Pendakwaan Syariah di negeri-negeri termasuk Sabah dalam rangka memperkasa dan memantapkan pengurusan dan pentadbiran kes-kes jenayah syariah akan menjadi kenyataan. Langkah ini telah dipersetujui oleh Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam (MKI) yang pengerusikan oleh YAB Perdana Menteri. Beliau seterusnya memaklumkan mengenai peningkatan kes pendakwaan jenayah syariah di negeri ini dan khususnya di Tawau yang sudah tentunya memerlukan komitment yang tinggi antara Mahkamah Syariah Tawau dan Bahagian Pendakwaan bagi memastikan kes-kes berkenaan dapat diselesaikan menurut masa yang sewajarnya. Ketika ini, Bahagian Pendakwaan Syarie telah menempatkan seorang Timbalan Pendakwa Syarie di Tawau bagi mengendalikan kes-kes pendakwaan bagi kesalahan-kesalahan syariah di Pantai Timur Sabah meliputi Daerah Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna.

 

Intipati Amanat dan Rumusan Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Syariah

Kemuncak prosiding adalah ucapan dan amanat dari Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Tawau. Dalam amanatnya, Yang Arif melahirkan kesyukuran kepada Allah kerana mengizinkan acara Pembukaan Tahun Perundangan Syariah bagi Daerah Tawau tahun 2015 ini dapat dilaksanakan. Menurut beliau, acara yang julung kali diadakan ini merupakan satu detik penting dalam sejarah komuniti perundangan Syariah bukan saja di Tawau, malah di Negeri Sabah dan juga di Malaysia. Ini kerana, acara ini merupakan yang pertama kali diadakan. Dalam amanatnya, Yang Arif memaklumkan mengenai beberapa peristiwa penting dan berimpak tinggi dalam konteks perkembangan Islam di Malaysia telah berlaku di Mahkamah Syariah Tawau sepanjang tahun 2014. Perlaksanaan hukuman sebatan syariah sebanyak 6 rotan di dalam mahkamah terbuka Mahkamah Tinggi Syariah Tawau pada 28 Oktober 2014 merupakan detik penting yang terpahat dalam sejarah perundangan Islam di negara ini. Ini kerana, perlaksanaan hukuman sebatan yang disaksikan di khalayak ramai itu merupakan pertama kali berlaku dalam sejarah Mahkamah Syariah di Malaysia. Perlaksanaan hukuman tersebut mendapat reaksi positif dan sokongan padu dari pelbagai pihak.

Malah menurut beliau, ekoran dari kejayaan perlaksanaan hukuman sebat di Tawau, satu Standard Operating Procedure (SOP) mengenai perlaksanaan hukuman sebat di hadapan umum bakal dikeluarkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) untuk digunapakai bagi seluruh negeri di Malaysia. Dalam amanat itu juga, beliau turut melahirkan kesyukuran kerana impian untuk melaksanakan solat berjamaah di Mahkamah Syariah Tawau berjaya diadakan bagi solat zohor dan asar. Perlaksanaan solat berjamaah ini telah diwajibkan kepada semua pegawai dan kakitangan lelaki Mahkamah Syariah Tawau sejak 17 November 2014 melalui satu arahan khas yang dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Tawau. Bagi melicinkan perlaksanaan solat tersebut, prosding kes dalam Mahkamah Rendah dan Tinggi Syariah dihentikan 10 minit sebelum masuknya waktu solat. Perlaksanaan solat berjemaah melibatkan kakitangan Mahkamah, para peguam syarie dan para pelanggan yang berurusan di Mahkamah Syariah dilihat amat positif dalam meningkat kualiti kerohanian di kalangan warga Mahkamah Syariah di daerah ini. Beliau turut berkongsi harapan dengan wakil Peguam Syarie, Tuan Mohd Amin bin Hj. Tengreng dan Tuan Sakaria bin Samela selaku Ketua Pendakwa Syarie Sabah agar acara Pembukaan Tahun Perundangan dan Syariah ini dapat diteruskan pada masa hadapan setiap tahun bukan sahaja di Daerah Tawau tetapi juga di peringkat negeri-negeri di Malaysia.

Turut mendapat perhatian dalam amanat dan rumusan Yang Arif Hakim adalah kerjasama yang diadakan oleh Mahkamah Syariah Tawau dan Peguam Syarie Tawau untuk membuat pengisian sekali dalam sebulan rancangan khas dalam Radio Tawau FM yang dinamakan Bicara Syariah dan Perundangan. Rancangan yang dibuat secara langsung sejak bulan Januari tahun 2015 ini dilihat mampu membantu masyarakat Islam dan bukan Islam di sekirar Daerah Tawau, Kunak, lahad Datu dan Semporna untuk mengenali Mahkamah Syariah lebih dekat lagi. Di samping mendapat gambaran sebenar peranan dan fungsi Mahkamah Syariah, masyarakat setempat juga mendapat manfaat untuk mengetahui bidang kuasa mahkamah syariah, peranan peguam syarie, tata cara permohonan dan tuntutan di mahkamah syariah, cabaran-cabaran dan perkembangan-perkembangan semasa dalam dunia perundangan Islam.

Perkhidmatan Klinik Guaman Syarie secara percuma setiap minggu di bilik yang disediakan di Bangunan Mahkamah Syariah Tawau turut mendapat reaksi positif Yang Arif Hakim. Perkhidmatan yang bermula sejak bulan September 2014 semakin mendapat sambutan masyarakat Islam setempat. Usaha yang membabitkan semua peguam syarie yang beramal di Tawau ini sekali gus dapat memberi gambaran positif terhadap kewibawaan dan peranan para peguam syarie dalam rangka mencelikkan masyarakat kepada hak-hak mereka dan hal-hal berkaitan perundangan islam di sekitar Pantai Timur Sabah.

Sesuai dengan tema tahun ini yang berbunyi “KE ARAH KEBERSAMAAN, KASIH SAYANG DAN SETIA KAWAN”, Yang Arif Hakim mengharapkan agar kerjasama antara pihak Pendakwaan Syarie dan para peguam syarie di Daerah ini terus dikekalkan serta ditingkatkan dari semasa ke semasa. Prosiding yang berjalan selama 1 jam dan berakhir tepat pada pukul 9.30 pagi itu ditangguhkan pada tahun hadapan. Acara yang menggabungkan Pegawai Kehakiman, Pendakwaan Syarie dan Peguam Syarie dengan pakaian lengkap dan jubah khas sesuai dengan profesyen masing-masing memperlihatkan keunikan tersendiri. Sesi bergambar beramai-ramai bersama Hakim Syarie kemudiannya diadakan dalam Dewan Mahkamah Tinggi Syariah dan juga di luar bangunan Mahkamah. Para peserta yang hadir rata-rata menyatakan perasaan puas hati dan menyatakan harapan agar majlis seumpama ini dapat diteruskan pada tahun hadapan.

SEBATAN SYARIAH PERTAMA DI KHALAYAK RAMAI

SEBATAN SYARIAH PERTAMA DI KHALAYAK RAMAI

 29 Oktober 2014

Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah yang telah telah mempermudahkan urusan hamba-hamba-Nya. Atas izin Allah s.w.t, akhirnya telah terlaksana satu hukuman sebatan syariah sebanyak 6 sebatan ke atas pesalah lelaki berumur 24 tahun yang telah disabitkan melakukan persetubuhan haram di bawah Seksyen 80(1) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah No. 3 (Sabah) 1995. Perlaksanaan hukuman telah dijalankan di Dewan Terbuka Mahkamah Tinggi Syariah Tawau, Sabah pada 28 Oktober 2014 bersamaan 4 Muharram 1436H.

Perlaksanaan hukuman penuh bersejarah itu disaksikan oleh hampir 40 orang yang terdiri dari Hakim Mahkamah Tinggi dan Rendah Syariah Tawau, Pegawai-Pegawai Kanan Mahkamah Syariah Tawau, kakitangan Mahkamah, Pegawai Penjara, Pegawai Perubatan Hospital Tawau, keluarga pesalah, Pegawai Penguatkuasa Agama dan hampir 20 orang Peguam Syarie yang beramal di Tawau.

Dewan Mahkamah sudah mulai dipenuhi hadirin setelah menjalani tapisan keselamatan dari Polis Mahkamah seawal jam 8.45am. Semua yang hadir tidak dibenarkan membawa talipon bimbit dan kemera ke dalam Dewan Mahkamah.

Upacara perlaksanaan hukuman dijalankan penuh tertib. Tidak ada pakaian khas yang disediakan pihak penjara kepada pesalah bagi tujuan perlaksanaan sebat. Ini kerana, hukuman yang dikenakan kepada pesalah adalah semata-mata sebatan sahaja tanpa pemenjaraan. Pesalah dibenarkan memakai pakaian biasa yang menutup aurat.

Bagi melicinkan perjalanan hukuman, Mahkamah telah menyediakan aturcara perlaksanaan. Tepat jam 9.30am, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Tawau yang memakai jubah khas Hakim masuk ke Dewan. Atas arahan pegawai mahkamah, semua hadirin dalam dewan berdiri. Setelah Hakim memberi salam, semua hadirin kemudiannya duduk. Sebaik Hakim menghentakkan Tukul Mahkamah, upacarapun dimulakan dengan bacaan Al- Fatihah. Ucapan pembukaan seterusnya dibuat oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Tawau. Hadirin dimaklumkan bahawa sebentar lagi hukuman sebatan sebanyak 6 kali akan dilaksanakan oleh pihak Penjara ke atas pesalah yang dihukum atas kesalahan melakukan persetubuhan haram dengan seorang wanita di bawah Seksyen 80(1) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Sabah) 1995. Tumpuan pada hadirin adalah pada ucapan pembukaan yang disampaikan Timbalan Pendaftar dengan suara yang kuat dan jelas.

Sebaik Timbalan Pendaftar menamatkan ucapan pembukaan yang memakan masa lebih kurang dalam satu minit, Pegawai Penjara kemudiannya berdiri tegak di hadapan Hakim dan memohon agar perlaksanaan hukuman sebat dimulakan. Hakim memberi kebenaran dengan ucapan “boleh mulakan!”. Pegawai Perubatan dari Hospital Daerah Tawau kemudiannya menjalankan pemeriksaan ke atas tubuh pesalah. Setelah selesai, Pegawai Penjara seterusnya memaklumkan kepada Hakim bahawa pesalah adalah dalam keadaan yang sihat dan hukuman boleh dilaksanakan terhadapnya. Dengan kata-kata “Hukuman sebat boleh dilaksanakan sekarang kepada pesalah!” oleh Hakim, maka saat yang penuh mendebarkanpun bermula.

Pesalah yang dari awal duduk di barisan hadapan dibawa oleh Pegawai Penjara ke ruang tengah Dewan yang dikosongkan. Dalam ruangan kosong itulah pesalah diminta berdiri dan memegang meja yang ditempatkan sebagai ruangan saksi dalam Mahkamah. Suasana terus sunyi sepi tanpa sebarang suara. Semua mata tertumpu kepada apa yang dilakukan oleh Tukang Sebat yang telah sedia ada dari awal. Tiada suara yang keluar dari mulut Tukang Sebat. Tubuh yang tegap dengan pakaian T-Shirt Penjara jelas menampakkan lengannya yang keras dan berotot. Rotan yang cukup sederhana berada pada tangannya sambil memperbetulkan kedudukan tubuh pesalah. Saat ini kelihatan wajah-wajah para hadirin menunjukkan penuh debaran dan mengujakan. Ada juga peguam yang memalingkan wajahnya ke arah yang lain. Mungkin kerana tidak sanggup melihat apa yang akan dilakukan kepada pesalah itu. Hadirin pula, ada yang menundukkan wajahnya pada saat-saat sebatan hendak dilaksanakan.

Pesalah dihadapkan ke arah dinding dewan mahkamah dalam keadaan berdiri. Tangan pesalah memegang hujung meja saksi yang agak tinggi. Pesalah kemudiannya diarahkan untuk membongkokkan sedikit badannya. Kini kedudukan pesalah benar-benar menghadap dinding dan tidak melihat para hadirin. Para hadirin pula dapat melihat dengan jelas bahagian belakang pesalah. Semua mata tertumpu kepada dua orang sahaja. Tumpuan 100 peratus diberikan kepada pesalah dan Tukang Sebat. Terpancar pada wajah pesalah suatu keresahan penuh gementar akan apa yang bakal berlaku terhadapnya sebentar lagi. Pegawai Penjara yang berdiri berdekatan dengan kedudukan pesalah dan tukang sebat mengambil buku catatan khas dan merekodkan apa yang akan berlaku. Pesalah tidak diikat mahupun dipegang oleh sesiapa. Jelas terpancar kesediaan pesalah untuk disebat menurut syariat Islam.

Dalam suasana yang penuh mendebarkan, tanpa suara dan bunyi-bunyian, akhirnya sebatan pertama dilaksanakan ke bahagian belakang tubuh pesalah. Hayunan rotan yang digunakan adalah cukup sederhana. Ukuran ketebalan rotan pula tidak melebihi 1.25 sentimeter dan panjangnya pula tidak melebihi 1.22 meter. Sebatan tersebut cukup ringan dan jelas sekali tidak menyakitkan, apatah lagi pesalah adalah dalam keadaan berpakaian menutupi tubuhnya. Selepas sebatan pertama, Pegawai Penjara yang merekodkan sebatan membuat kiraan dengan suara tinggi “satu!”. Begitulah seterusnya sebatan dijalankan sehingga tamatlah 6 kali sebatan. Terpancar dari wajah pesalah satu kepuasan dan kelegaan setelah tamatnya sebatan terakhir. Tidak ada langsung pada wajah pesalah yang menggambarkan kesakitan atau kesengsaraan akibat sebatan.

Pegawai Perubatan sekali lagi membuat pemeriksaan ke atas tubuh pesalah pada bahagian yang disebat. Setelah berpuas hati, akhirnya Pegawai Penjara memaklumkan bahawa perlaksanaan sebatan telah sempurna dilaksanakan. Pegawai Penjara membawa pesalah ke tempat duduk dalam dewan. Kini, semua mata tertumpu kepada Hakim yang berada tengah-tengah di tempat khas Hakim yang diapit oleh dua bendera rasmi iaitu Bendera Kebangsaan dan Bendera Negeri Sabah di kiri dan kanan.

Setelah semuanya duduk, Hakim memulakan ucapan penutup yang cukup bernilai dan bersejarah. Ucapan tersebut telah disediakan secara bertulis bagi melicinkan upacara perlaksanaan hukuman. Berikut adalah ucapan Hakim berkenaan yang telah menyentuh sanubari para hadirin dalam dewan:

“Alhamdulillah. Sebentar tadi kita semua telah menyaksikan di hadapan mata kita perlaksanaan hukuman sebat ke atas pesalah jenayah syariah atas kesalahan zina. Hukuman sebat adalah satu hukuman yang ditetapkan oleh Allah kepada orang yang melakukan zina sebagaimana disebutkan dalam surah an Nuur: 2 yang berbunyi:

Perempuan yang berzina dan laki laki yang berzina, hendaklah kamu sebat kedua-duanya seratus kali sebatan. Dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap kedua-duanya dalam menjalankan hukum Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan itu oleh kumpulan daripada orang yang beriman”.

Para hadirin semua telah menyaksikan betapa hukuman sebat yang telah ditetapkan Allah itu bukanlah satu hukuman menyiksa atau mendera atau mengazab pesalah. Ia jauh sekali lebih ringan berbanding hukuman yang dikenakan dari Mahkamah Awam. Inilah dia hukuman yang selama ini digeruni dan ditakuti oleh ramai orang selama ini. Mereka menyangka betapa kejam dan dahsyatnya hukuman sebat dalam Islam. Pelbagai kata-kata negatif dilemparkan terhadap hukuman ini. Namun, hari ini, para hadirin semua dapat saksikan depan mata. Apakah benar dakwaan orang-orang tersebut bahawa hukuman Islam ini kejam? Anda semua boleh menjawapnya hari ini.

Para hadirin semua, dalam Islam, perlaksanaan hukuman hendaklah dilakukan di khalayak umum. Ini telah disebutkan sendiri oleh Allah dalam surah an Nuur: 2 yang dibacakan tadi. Allah menegaskan bahawa hukuman tersebut hendaklah disaksikan oleh sekumpulan orang-orang beriman. Tujuannya bukan mendera, bukan menyeksa, tetapi untuk memberi pengajaran, pendidikan dan keinsafan kepada kepada pesalah dan orang lain, lebih-lebih lagi kepada orang yang menyaksikan hukuman itu, jangan sampai perbuatan ini dilakukan lagi oleh pesalah atau orang yang menyaksikan atau ahli-ahli keluarga yang menyaksikan dan juga oleh masyarakat. Kesannya adalah kepada jiwa dan minda manusia. Inilah dia keindahan dan mutiara Islam yang perlu diketahui orang.

Ketika ini, pemerintah hanya memberi mahkamah syariah kuasa untuk menghukum sebat paling maksima 6 kali sebatan sahaja berbanding 100 kali sebagaimana yang diperintahkan Allah. Dan hari ini, Mahkamah ini telah mengambil dan melaksanakan kuasa yang diberi oleh pemerintah itu. Kita doakan semoga pihak pemerintah akan memperkasa lagi undang-undang yang sedia ada sehingga benar-benar menurut apa yang disebutkan dalam Al Quran pada masa akan datang. Amin yaa Rabbal alamin.

Semoga Allah meredhai perlaksanaan hukuman pada hari ini dan menghitungnya sebagai sebahagian daripada amal soleh dan usaha kita semua untuk memartabatkan hukum Allah di muka bumi. Semoga dosa dan kesalahan yang dilakukan oleh pesalah ini diampuni Allah. Semoga perlaksanaan hukuman sebat di hadapan umum pada hari ini membawa rahmat kepada perkembangan undang-undang Islam di negara ini. Sekian. Wassalamualaikum wbt”.

Ucapan ini telah menarik tumpuan para hadirin. Hakim turut membacakan ayat al- Quran dalam Surah an-Nuur: 2 berserta terjemahannya sebagai satu ingatan kepada hadirin betapa perlaksanaan hukuman pada hari bersejarah itu adalah sebagai menyahut perintah Allah s.w.t. Tidak dapat dinafikan bahawa perlaksanaan hukuman sebat itu ini adalah satu sejarah yang paling bernilai dalam perkembangan perundangan Islam di negara ini. Ini kerana, inilah kali pertama dalam sejarah negara di mana pesalah jenayah syariah disebat di khalayak umum iaitu di dalam Dewan Mahkamah Syariah. Perlaksanaan hukuman di luar penjara ini adalah selaras dengan peruntukan undang-undang yang membenarkan mahkamah berbuat demikian. Seksyen 125(3) ( c ) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah No. 9 (Sabah) 2004 secara jelas menyebutkan bahawa hukuman hendaklah dilaksanakan di hadapan seorang pegawai perubatan kerajaan di mana-mana tempat sebagaimana yang diarah oleh Mahkamah atau di suatu tempat yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri bagi maksud itu.

Rata-rata hadirin yang ditemui menyatakan perasaan lega dan berpuas hati dengan perjalanan hukuman yang penuh bersejarah ini. Perlaksaanaan hukuman dijalankan dengan penuh tertib dan teratur. Tidak ada perkara-perkara tidak diingini berlaku sebelum, semasa dan selepas perlaksanaan hukuman dijalankan. Pesalah yang ditemui selepas hukuman juga mengakui tidak merasa disakiti secara fizikal akibat sebatan tersebut. Jelaslah betapa hukuman sebatan dalam Islam bukanlah untuk menyakiti, mendera atau menyeksa pesalah. Hukuman tersebut sebaliknya mampu mendidik hati nurani pesalah, orang-orang yang menyaksikan hukuman dan juga masyarakat sekeliling supaya menjadi manusia yang mempunyai disiplin dan peradaban yang tinggi sebagai khalifah di muka bumi.

Bagi mencapai matlamat untuk memberi kesedaran dan keinsafan kepada masyarakat tentang falsafah hukuman dalam Islam, mahkamah boleh membuka ruang kepada orang ramai dengan menjemput dari masa ke semasa pelbagai lapisan masyarakat meliputi pemimpin masyarakat, guru-guru agama, para pendakwah, para pelajar dan NGO untuk menyaksikan sendiri perlaksanaan hukuman sebat di Mahkamah. Malah tidak keterlaluan sekiranya pembuat undang-undang itu sendiri yang terdiri dari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau Ahli Parlimen (MP) juga wajar sekali dijemput untuk melihat sendiri perlaksanaan hukuman tersebut bagi mendapat gambaran yang jelas mengenai perlaksanaan undang-undang yang telah diluluskan oleh kedua-dua badan perundangan utama negara ini.

Semoga perlaksanaan hukuman sebat di hadapan umum dapat pula dilaksanakan di negeri-negeri lain selepas ini agar masyarakat benar-benar melihat dengan kepala dan mata sendiri betapa indah dan hebatnya hukuman dalam Islam. Tidak seperti yang digembar gemburkan sebagai hukuman yang zalim, ganas, mendera dan menyeksa oleh orang-orang yang tidak senang melihat undang-undang Islam yang adil ini dilaksanakan di negara ini.