Monthly Archives: November 2019

KE ARAH PENGGUBALAN RANG UNDANG-UNDANG HARTA PUSAKA

IMG_20191118_140643.jpg

PUTRAJAYA –¬† Keperluan mewujudkan satu undang-undang khusus bagi pengurusan harta pusaka orang-orang Islam di Malaysia adalah antara perkara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Komuniti Syariah yang dianjurkan oleh Jabatan Peguam Negara pada 18 November 2019. Mesyuarat tersebut tersebut menghimpunkan komuniti syariah dari seluruh negara dari pelbagai agensi termasuk Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang terlibat dalam perundangan Islam.

Ucapan alu-aluan telah disampaikan oleh YM Datuk Peguam Cara Negara. Taklimat mengenai cadangan penggubalan Rang Undang-Undang Faraid (Wilayah-Wilayah Persekutuan) telah disampaikan oleh Ketua Bahagian Syariah dan Pengharmonian Undang-Undang, Dr Arik Sanusi.

Sesi mesyuarat diteruskan dengan sesi perbincangan di bawah tajuk “Pentadbiran Harta Pusaka Orang-Orang Islam di Malaysia: Isu-Isu dan Langkah Ke Hadapan (Way Forward)”. Antara ahli penal yang terlibat adalah Tuan baharuddin bin Aziz, Ketua Penolong Pengarah 1, Bahagian Pembahagian Pusaka, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan, Prof. Dr. Farid Sufian bin Shuaib, Dekan Ahmad Ibrahim Kulliyyah of Laws, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, YAA Dato’ Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Dato’ Shamsuriah binti Sulaiman, Peguambela dan Peguamcara dan Tuan Mohd Razi bin Mohamad Yunus, Pemangku Ketua Bahagian Perundangan Kumpulan Amanah Raya Berhad.

Sesi perbincangan dan soal jawap yang berkisar kepada isu-isu pentadbiran harta pusaka orang-orang Islam di Malaysia berlangsung sehingga jam 4.30 petang. Amalan pentadbiran dan pembahagian harta pusaka di Mahkamah Syariah Negeri Sabah adalah antara perkara yang menjadi tumpuan dalam mesyuarat tersebut. Antara tokoh perundangan yang hadir adalah Tan Sri Sheikh Ghazali bin Abdul Rahman, Penasihat Syariah kepada Jabatan Peguam Negara. Turut hadir adalah Ketua Hakim Syarie beberapa negeri, Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri, Penasihat Undang-Undang Negeri, Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, pegawai-pegawai kanan agensi Persekutuan dan Negeri dan wakil-wakil dari pelbagai NGO.

Forum ini dilihat sebagai salah satu wadah kepada umat Islam di negara ini untuk mencari solusi kepada pelbagai isu dan permasalahan berhubung pengurusan dan pentadbiran harta pusaka orang Islam di negara ini.

IMG_20191118_141841.jpg