PENYEDIAAN SOP HUKUMAN SEBATAN SYARIAH DI KHALAYAK RAMAI

Tawau I Bagi memantapkan proses perlaksanaan hukuman sebatan syariah di khalayak ramai, Mahkamah Syariah Tawau atas kerjasama Jabatan Hal ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Hospital Daerah Tawau, Jabatan Penjara Tawau, Persatuan Peguam Muslim Sabah (AMAL), Persatuan Peguam Wanita Muslim Sabah (SALWA) telah mengadakan mesyuarat bersama untuk mengujudkan satu Standard Operating Procedure (SOP) hukuman sebatan syariah pada 20 Mei 2016 bersamaan 13 Sya’ban 1437H. Usaha untuk mengujudkan SOP berkenaan dilaksanakan memandangkan belum ada SOP khusus ketika ini di mana mana-mana negeri di Malaysia untuk dijadikan panduan.

Mesyuarat berkenaan diadakan di bilik mesyuarat Mahkamah Syariah Tawau. Mesyuarat dipengerusikan oleh Yang Arif Tuan Ahadin bin Arinen, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Tawau itu dihadiri oleh seramai 11 orang yang terdiri dari Hakim Mahkamah Rendah Syariah Tawau, Pegawai Sulh, Pegawai Penyelidik dan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Tawau. JHEAINS diwakili oleh Pendakwa Syarie, Tawau, Tuan Mik Razali bin Jinin. Hospital Daerah Tawau diwakili oleh Pengarah Hospital berkenaan, DR. Norlimah binti Arsad. Penjara Daerah Tawau pula diwakili 2 anggotanya yang diketuai oleh Ketua Inspektor Penjara, Tuan Bakrin bin Hj. Patola. AMAL dan SALWA pula masing-masing diwakili oleh Tuan Mohd Amin bin Hj. Tenreng dan Puan Siti Hafsah binti Hj. Adenan.

Dalam mesyuarat berkenaan, satu deraf SOP telah dibentangkan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah, Tuan Kassim bin Sauji. SOP berkenaan dijangka akan dimuktamadkan pada bulan Ogos 2016 selepas mesyuarat kali kedua yang akan diadakan pada bulan berkenaan. Dengan adanya SOP tersebut, proses perlaksanaan hukuman sebatan syariah di hadapan umum akan lebih kemas dan teratur. Semenjak kejayaan melaksanakan 2 hukuman sebatan syariah di Tawau pada tahun 2014 dan 2015, terdapat beberapa lagi pesalah wanita yang sedang menunggu hukuman sebatan tersebut.

Perlaksanaan sebatan ke atas wanita sebelum ini telah ditangguhkan kerana pesalah berkenaan sedang mengandung. Perlaksanaan sebatan dijangka akan diadakan pada penghujung tahun ini. Hukuman sebatan setakat ini  semuanya dijalankan di dewan terbuka Mahkamah Tinggi Syariah Tawau yang disaksikan di hadapan awam. Kerjasama baik dari NGO dari kalangan pengamal undang-undang Islam, Hospital dan Jabatan Penjara dengan pihak mahkamah Syariah dalam melaksanakan hukuman tersebut di hadapan umum sesungguhnya melicinkan lagi usaha ke arah memartabatkan perundangan Islam di negara ini.

20160520_111934

IMG-20160520-WA0015

20160520_100452

About ERAKITA

TERUSKAN LANGKAH USAH BERHENTI

Posted on 26 Mei 2016, in AGAMA, MAJLIS, UNDANG-UNDANG. Bookmark the permalink. Tinggalkan komen.

Tinggalkan komen