Monthly Archives: Oktober 2011

PANDUAN MENGIRA BAHAGIAN FARAID

PANDUAN MENGIRA BAHAGIAN FARAID

29 Oktober 2011

Jika anda ingin mengetahui berapa bahagian faraid anda dalam pembahagian harta pusaka yang ditinggalkan keluarga terdekat, anda boleh mendapatkan maklumat itu secara mudah. Apa yang anda perlu lakukan ialah anda boleh ke laman web rasmi Mahkamah Syariah Singapore di alamat  http://app.syariahcourt.gov.sg/syariah/front-end/SYCHome_M.aspx. Isilah butir-butir yang dikehendaki dalam ruangan borang yang disediakan. Dalam beberapa saat, anda boleh mendapatkan jawapannya.

Anda tidak perlu mendaftarkan diri dalam laman berkenaan. Ini bermakna, sesiapa saja boleh menggunakan perkhidmatan mengira bahagian faraid secara percuma dan mudah. Laman ini sesungguhnya mesra pengguna. Bagi para pengamal undang-undang khususnya para Peguam Syarie atau konsultant harta pusaka, kemudahan ini amat berguna. Maklumat yang diperolehi dalam beberapa saat mampu menyelamatkan dari penggunaan masa berminggu-minggu atau berbulan-bulan untuk menyelesaikan suatu urusan pembahagian harta pusaka. Maklumat awal khususnya bahagian faraid setiap ahli waris dapat mengelak sebarang kekeliruan dan persengketaan antara waris-waris.

Berpandukan kepada maklumat bahagian faraid setiap ahli waris, tugas para peguam semakin mudah. Mereka boleh memaklumkan lebih awal bahagian faraid waris-waris sebelum permohonan pembahagian harta pusaka simati dikemukakan ke Mahkamah. Perancangan dan perbincangan lebih awal untuk menentukan bentuk perintah pembahagian yang dipohon dapat dibuat lebih awal.

Kemudahan pengiraan faraid juga disediakan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) melalui laman web rasminya di alamat  http://www.esyariah.gov.my. Bagaimanapun, untuk mendapatkan kemudahan tersebut, anda terlebih dahulu mendaftarkan diri sebagai pengguna web tersebut. Perkhidmatan tersebut nampaknya memerlukan anda mendaftar terlebih dahulu dengan memberikan butiran tertentu dalam laman berkenaan. Keadaan ini pada pendapat ERAKITA boleh diperbaiki dengan mengambil pendekatan Mahkamah Syariah Singapore yang jelas mesra pengguna.

Untuk maklumat tambahan, laman web rasmi kedua-dua sumber di atas boleh dicapai melalui laman blog ERAKITA. Kedua-dua alamat tersebut ada dalam senarai pautan ERAKITA dengan menggunakan nama PORTAL E-SYARIAH dan SINGAPORE.

Dengan maklumat di atas, ERAKITA percaya bahawa tidak ada alasan mengapa umat Islam hari ini tidak mengetahui bahagian faraid sebagai ahli waris simati. Maklumat ada di hujung jari. Oleh itu, lakukanlah sekarang. Selamat mencuba!

YAYASAN BANTUAN GUAMAN KEBANGSAAN

YAYASAN BANTUAN GUAMAN KEBANGSAAN (YBGK)

26 Oktober 2011

Kini sebuah lagi institusi penting negara dalam bidang undang-undang berjaya diwujudkan di negara ini. ERAKITA berkesempatan mendengar taklimat dari Pengarahnya,  Puan Siti Zawahir Mohamed di Crystal Crown Hotel Petaling Jaya pada 21 Oktober 2011 yang lalu.

Yayasan ini ditubuhkan secara rasmi pada 25 Januari 2011. Antara objektif utama penubuhannya adalah untuk menyediakan perkhidmatan dan bantuan guaman kepada rakyat Malaysia yang berhadapan dengan kes jenayah di Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah.

Para Peguam yang dilantik adalah dari kalangan mereka yang sedang beramal sebagai peguambela dan peguamcara samada di Semenanjung Malaysia atau di Sabah dan Sarawak. Demikian juga dalam konteks Mahkamah Syariah, peguam syarie yang dilantik adalah dari kalangan peguam yang telah diterima beramal di negeri berkenaan. Difahamkan bahawa pada peringkat permulaan, hanya mereka yang sedang beramal sebagai peguambela dan peguamcara dan juga peguam syarie negeri yang diterima sebagai peguam bagi Yayasan ini.

Bagaimanapun, penerimaan bagi para peguam syarie (bukan peguambela dan peguamcara) masih dalam proses perbincangan antara pihak Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan dengan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).

Memandangkan objektf penubuhan Yayasan ini adalah bagi melaksanakan tanggungjawap sosial kepada masyarakat, maka bayaran guaman yang akan diberikan oleh Yayasan kepada peguam adalah dalam kadar nominal. Para peguam pula bertindak bukan atas nama firma guaman. Mereka bertindak atas kapasiti sebagai peguam individu.

Menurut kajian yang dijalankan, 80 peratus orang yang dibawa ke Mahkamah dalam kes jenayah tidak diwakili peguam. Kewujudan Yayasan ini memang kena pada masanya. Semoga kehadiran yayasan ini mampu membantu melicinkan proses keadilan di Malaysia. Yayasan ini boleh dilawati di alamat  http://www.ybgk.org.my.

AURAT TERTUTUP KETIKA SEBATAN

AURAT TERTUTUP KETIKA SEBATAN

20 Oktober 2011

Perlaksanaan hukuman sebat yang pertama ke atas pesalah jenayah syariah di Penjara Kepayan pada 10 Oktober 2011 lalu berjalan lancar dan begitu tertib. Pesalah disebat di tempat dan bangunan yang sama di mana pelaksanaan hukuman sebat ke atas pesalah jenayah yang disabitkan di Mahkamah Awam dijalankan. Pesalah tersebut berpakaian hijau lengkap yang menutupi aurat disebat di bahagian belakang sebanyak 5 kali dengan sebatan yang “cukup sederhana”.

Pesalah disebat dalam keadaan berdiri dan tidak bergari. Mukanya dihadapkan ke hadapan sambil dipegang oleh pegawai pengawal agar pesalah tidak memalingkan mukanya ke kiri atau kanan atau ke belakang ketika sebatan dilakukan. Ia dilakukan bagi mengelak dari terkena sebatan di bahagian sensatif seperti muka jika muka digerakkan ke kiri atau kanan atau ke belakang. Cukup mendebarkan suasana itu.

Ketika disebat, baju pesalah masih dipakai di tubuhnya. Aurat lelaki adalah antara pusat dan lutut. Sebatan dalam keadaan pesalah berbaju mempunyai kelebihan tersendiri. Di samping menutup aurat, pakaian tersebut sekurang-kurangnya dapat mengurangkan rasa sakit semasa disebat.

Sesiapa yang menyaksikan pelaksanaan hukuman sebat itu “PASTI” bersetuju bahawa sebatan tersebut TIDAK MENYAKITKAN. Jauh sekali dari apa yang digembar-gemburkan oleh ramai orang. Salah seorang pegawai penjara sempat melontarkan pandangan peribadinya dengan mengatakan “hukuman sebat ke atas pesalah jenayah syariah 100 peratus berbeza dengan hukuman sebat ke atas pesalah jenayah yang disabitkan di Mahkamah Awam”. Melihat dengan kepala mata sendiri akan pelaksanaan hukuman tersebut, ERAKITA amat bersetuju dengan pandangan peribadi pegawai berkenaan.

ERAKITA pernah menyaksikan pelaksanaan sebatan di penjara melalui rakaman video ketika melawat ke gerai pameran penjara di perkarangan bangunan RTM Kota Kinabalu beberapa tahun lepas. Kedashyatan sebatan secara konvensional itu sukar digambarkan dengan kata-kata. Sekali sebatan ke atas punggung pesalah yang tidak ditutup dengan kain sudah cukup untuk mengundang laungan kesakitan dengan suara kuat dari pesalah. Bagi yang Islam, laungan “Allahu Akhbar” jelas kedengaran dari pesalah setiap kali “sebatan menggerunkan” itu hinggap di punggung pesalah.

Pendek kata, sebatan ke atas pesalah jenayah syariah dilakukan secara holistik dan berhemah. Nilai-nilai akhlak jelas terserlah dari tukang sebat sendiri mahupun di pihak pesalah sendiri. Dalam suasana penuh debaran untuk disebat, maruah dan aurat pesalah masih terpelihara.

HUKUMAN SEBAT SYARIAH DI SABAH: PENGKRITIK PERLU DIBANTU!

HUKUMAN SEBAT SYARIAH DI SABAH: PENGKRITIK PERLU DIBANTU!

18 Oktober 2011

ERAKITA ingin memetik kata-kata seorang penulis dalam bahagian FORUM, halaman 3, Harian Ekspres, Sabah bertarikh 17 Oktober 2011. Penulis yang memakai nama Hamba Allah itu berkata:

“Saya mengatakan saya membaca artikel ini dengan penuh kekecewaan kerana hukuman yang dikenakan oleh Mahkamah Syariah itu menandakan satu tindakan ke arah penerapan prinsip undang-undang Syariah yang tidak ada tolak ansur dan tidak berperikemanusiaan serta tidak mempunyai sebarang pemahaman di dalam konteks macam mana keputusan itu dibuat atau mana-mana tanggapan keadilan sejagat”.

Penulis berkenaan berkata lagi:

“Ia adalah satu kejahilan di kalangan orang Islam di Malaysia bahawa undang-undang Islam adalah statik dan mesti dilaksanakan dalam konteks abad ketujuh Arab agar ia seiring dengan prinsip-prinsip Islam. Tiada apa yang lebih jauh dari kebenaran itu”

“Saya pasti mana-mana individu yang berfikiran waras akan bersetuju bahawa ia adalah tidak realistik dan tidak bertamadun untuk melaksanakan satu bentuk undang-undang yang dibuat cenndiakawan daripada abad ke 7-8 di Arab di abad ke-21 di Sabah”

Penulis seterusnya berkata:

“Merujuk kepada kes dalam laporan itu, pesalah tersebut dijatuhi hukuman penjara setahun dan lima kali sebatan untuk “jenayah” yang sepenuhnya yang sepenuhnya berdasarkan kelakuan moral. Hakikat bahawa lima orang anaknya akan kehilangan bapa mereka selama setahun atau hakikat bahawa mereka terpaksa menyaksikan bapanya menanggung malu secara terbuka atas “jenayah” yang hanya berkaitan dengan kehidupan peribadinya seperti tidak diambil kira oleh Mahkamah Syariah di Sabah”.

Demikianlah kenyataan dari penulis di atas. Banyak lagi kenyataannya dalam tulisannya yang tidak dizahirkan semula dalam artikel ini. Penulis berkenaan membuat kenyataannya dalam akhbar berkenaan sebagai responnya terhadap satu laporan muka depan akhbar Daily Ekspress/Harian Ekspress Sabah bertarikh 11 Oktober 2011 yang bertajuk “Kes pertama di Sabah: Lelaki disebat kerana berzina”.

Pada peringkat ini, ERAKITA hanya mampu mengatakan kepada penulis berkenaan seperti berikut. ERAKITA tidak hairan jika kenyataan seperti itu datang dari orang bukan Islam. Ini kerana diperkirakan bahawa ia tidak memahami ajaran dan hukum hakam Islam. Namun ERAKITA amat merasa kesihan kepada penulis berkenaan jika ia seorang Muslim. Cukup kesihan kerana kata-katanya jelas menunjukkan bahawa beliau “TERLALU MEMERLUKAN BANTUAN UNTUK MENDALAMI ISLAM”. Jika ia memahami Islam, ERAKITA yakin ia tak akan melontarkan kata-kata seperti di atas. Semoga Allah bukakan jalan seluas-luasnya kepada penulis berkenaan untuk mendalami Islam. Sesungguhnya, banyak perkara yang hendak dimuntahkan di sini sebagai menjawap kenyataan penulis berkenaan. Namun, biarlah pada peringkat ini, ERAKITA mengambil sikap “BERASA KESIHAN” kepada penulis berkenaan.

PENULIS BERKENAAN MEMERLUKAN BANTUAN.. BANTULAH DIA..

SEJARAH TERCIPTA: HUKUMAN SEBAT ISLAM PERTAMA DI SABAH

SEJARAH TERCIPTA: HUKUMAN SEBAT ISLAM PERTAMA DI SABAH

10 Oktober 2011

Dengan izin Allah s.w.t, akhirnya hukuman sebat menurut perintah Mahkamah Tinggi Syariah Kota Kinabalu Sabah terlaksana. Tepat jam 10.45 pagi tadi, seorang pesalah jenayah syariah atas kesalahan melakukan persetubuhan haram menurut Seksyen 80(1) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Sabah, 1995 selesai menjalani hukuman 5 kali sebatan. Penjara Kepayan Kota Kinabalu mencatatkan sejarah tersendiri apabila pesalah, seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun menjadi pesalah pertama yang disebat di penjara berkenaan menurut kehendak undang-undang Islam. Sebatan tersebut disaksikan oleh para pegawai kanan penjara dan pegawai-pegawai kanan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah.

Cukup mengujakan apabila hukuman berdasarkan kehendak Islam terlaksana. Tiada kata-kata yang mampu diungkapkan melainkan kesyukuran setinggi-tingginya kepada Allah yang telah menentukan hukuman yang bukan menyakitkan tetapi penuh dengan hikmah yang tersendiri. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa sesiapa yang menyaksikan perlaksanaan hukuman berkenaan akan mengakui betapa hebat dan indahnya hukuman menurut Islam. Hukuman tersebut jauh sekali dari apa yang disangkakan dan diperkatakan oleh banyak pihak selama ini. Satu yang menghairankan. Mengapa sebilangan manusia di sekeliling kita  begitu takut dengan hukum Islam sedangkan hakikatnya, ia begitu hebat  dan sukar ditandingi oleh mana-mana hukuman ciptaan manusia. Siapakah kita yang begini kerdil untuk mempertikaikan hukum dan undang-undang ciptaan Allah?

Maha Suci Allah yang maha mengetahui segala yang terang dan tersembunyi.

HUKUMAN SEBAT PESALAH JENAYAH DI SABAH?

HUKUMAN SEBAT PESALAH JENAYAH SYARIAH DI SABAH

09 Oktober 2011

Satu-satunya negeri di Malaysia ketika ini yang mempunyai Kaedah Sebatan adalah Negeri Kelantan. Kaedah tersebut disebut KAEDAH-KAEDAH HUKUMAN SEBAT 1987 (Kn. P.U. 08/89). Negeri-negeri lain termasuklah Sabah belum mempunyai Kaedah tersebut. Walau bagaimanapun, tatacara perlaksanaan hukuman sebat bagi pesalah jenayah syariah yang dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah ada diperuntukkan dalam Enakmen Tatacara Jenayah di negeri-negeri berkenaan.

Dalam konteks Negeri Sabah, sukacita ERAKITA perturunkan undang-undang berkaitan tatacara atau kaedah pelaksanaan hukuman sebat bagi pesalah jenayah.  Undang-undang berkenaan dinyatakan secara terang dan panjang lebar dalam 2 seksyen dalam Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Sabah (2004).

ENAKMEN 9 TAHUN 2004
ENAKMEN TATACARA JENAYAH SYARIAH 2004

BAHAGIAN V – PROSIDING DALAM PENDAKWAAN
BAB 8 – DARIHAL HUKUMAN DAN PELAKSANAANNYA


Seksyen 125. Hukuman sebat.

(1) Peruntukan seksyen ini dan seksyen 126 hendaklah terpakai apabila tertuduh dihukum sebat.

(2) Alat sebatan, tidak termasuk pemegangnya, hendaklah daripada jenis yang sama dan dibuat sama ada daripada rotan atau ranting kecil pokok yang tiada ruas atau buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebalnya tidak melebihi 1.25 sentimeter.

(3) Peruntukan yang berikut hendaklah diikuti apabila melaksanakan hukuman sebat, iaitu –

(a) sebelum hukuman itu dilaksanakan, pesalah hendaklah diperiksa oleh seorang Pegawai Perubatan Kerajaan untuk diperakui bahawa pesalah itu adalah dalam keadaan kesihatan yang baik untuk menjalani hukuman itu;

(b) jika pesalah itu sedang hamil, pelaksanaan itu hendaklah ditangguhkan sehingga tamat tempoh dua bulan selepas dia melahirkan anak atau keguguran, mengikut mana-mana yang berkenaan;

(c) hukuman hendaklah dilaksanakan di hadapan seorang Pegawai Perubatan Kerajaan di mana-mana tempat sebagaimana yang diarahkan oleh Mahkamah atau di suatu tempat yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri bagi maksud itu;

(d) orang yang dilantik untuk melaksanakan hukuman itu hendaklah seorang yang adil dan matang;

(e) orang itu hendaklah menggunakan alat sebatan dengan kekuatan yang sederhana tanpa mengangkat tangannya melebihi kepalanya supaya tidak melukakan kulit pesalah;

(f) selepas mengenakan satu sebatan, dia hendaklah mengangkat alat sebatan itu ke atas dan tidak menariknya;

(g) sebatan boleh dikenakan ke seluruh bahagian tubuh kecuali muka, kepala, perut, dada atau bahagian-bahagian sulit;

(h) pesalah hendaklah memakai pakaian mengikut Hukum Syarak;

(i) jika pesalah itu lelaki, sebatan hendaklah dikenakan dalam keadaan dia berdiri, dan jika pesalah itu perempuan, dalam keadaan dia duduk;

(j) jika semasa pelaksanaan hukum sebat itu Pegawai Perubatan Kerajaan memperakui bahawa pesalah itu tidak lagi dapat menerima sebatan, sebatan itu hendaklah ditangguhkan sehingga Pegawai Perubatan itu memperakui bahawa pesalah itu sihat tubuhnya untuk menjalani baki hukuman itu.(4) Dalam hal pesalah itu dihukum sebat sahaja, maka dia hendaklah diperlakukan seolah-olah dia dihukum dengan hukuman pemenjaraan sehingga hukuman itu dilaksanakan.

(5) Jika Pegawai Perubatan Kerajaan memperakui bahawa pesalah itu, oleh sebab umur tua, keuzuran atau apa-apa sebab lain tidak dapat menjalani hukuman sebat pada keseluruhannya atau sebahagiannya, maka kes itu hendaklah dirujukkan kepada Mahkamah yang boleh memerintahkan hukuman itu dilaksanakan mengikut cara yang difikirkannya munasabah.

Huraian – Umur tua ertinya telah mencapai umur lima puluh tahun atau lebih.

Masa pelaksanaan hukuman sebat pula diperuntukkan dalam Seksyen 126 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Sabah (2004). Berikut adalah versi penuh seksyen berkenaan.

Seksyen 126. Masa melaksanakan hukuman sebat.

(1) Apabila tertuduh dihukum sebat sebagai tambahan kepada hukuman pemenjaraan, hukuman sebat itu tidaklah boleh dikenakan jika suatu rayuan dibuat dan sehingga hukuman itu disahkan oleh Mahkamah rayuan yang berkenaan.

(2) Sebatan itu hendaklah dikenakan dengan seberapa segera yang praktik dan dalam hal suatu rayuan, dengan seberapa segera yang praktik selepas penerimaan perintah Mahkamah Rayuan yang berkenaan yang mengesahkan hukuman itu.

Ketika Mahkamah Tinggi Syariah Pahang menjatuhkan hukuman sebatan 6 kali ke atas pesalah wanita bernama Kartika Sari atas kesalahan meminum arak, seluruh mata tertumpu kepada kes berkenaan. Pelbagai reaksi positif mahupun negatif dilontarkan pelbagai pihak. Namun, suara-suara keras menentang pelaksanaan hukuman tersebut lebih terserlah dan dilontarkan secara terbuka. Debaran seluruh rakyat Malaysia untuk melihat pelaksanaan hukuman tersebut berkecai apabila hukuman tersebut diubah kepada hukuman yang lebih ringan berbentuk khidmat masyarakat. Apapun keputusan pihak berkuasa, ianya harus dihormati kerana keputusan tersebut diambil dengan mengambil kira pelbagai aspek. Lebih-lebih lagi keputusan mengubah perintah hukuman itu dibuat oleh pihak yang paling berotoriti dalam negeri berkenaan.

Mengenai bantahan keras Sisters In Islam (SIS), sebuah badan NGO terhadap hukuman sebat berkenaan, ERAKITA telah mengulas dengan agak kritikal hal tersebut dalam entri blog ini pada 18 Oktober 2009. Tajuknya SISTERS IN ISLAM (SIS) BERSUARA: Ini jawapan kita. ERAKITA menjemput sahabat-sahabat semua untuk membaca balik artikel berkenaan untuk makluman lanjut.

Satu persoalan timbul. Apakah jika ada hukuman sebat dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Sabah ke atas pesalah jenayah syariah, bantahan yang serupa akan dibangkitkan? Apakah kesudahan hukuman sebagaimana yang berlaku di Negeri Pahang akan berlaku di negeri ini? ERAKITA membiarkan seketika persoalan ini untuk berlegar dalam minda kita. Mungkin ada hikmahnya persoalan ini dibiarkan supaya proses pelaksanaan dan penguatkuasaan suatu perintah atau hukuman mahkamah syariah berjalan menurut apa yang semestinya tanpa gangguan atau halangan dari mana-mana pihak yang berkenaan.

Persoalan tersebut dijangka akan terjawab dalam jangkamasa terdekat INSHAA ALLAH!