kehebatan sabar

Kehebatan sabar

 

13 Januari 2010

Sabar terlalu mahal harganya dalam kehidupan. Sabar walau sesaat mampu menyelamatkan agama, nyawa, akal, harta dan keturunan dengan izin Allah. Begitulah sebaliknya. Itulah kehebatan SABAR. Perkataan sabar banyak kali disebut dan diulang-ulang dalam al-Quran. Hatta Allah menjamin bahawa Allah bersama-sama dengan orang yang sabar. Tidak cukup dengan itu, Allah lipatgandakan lagi ganjaran pahala kepada orang yang sabar tanpa had. Bayangkan saudara, tanpa had! Allah beri ganjaran pahala tanpa had! Maknanya tanpa batas! Maknanya tanpa dapat dihitung lagi banyaknya ganjaran yang Allah beri pada orang yang sabar. Hebat bukan?

Namun sayang sekali. Berapa ramai manusia yang boleh bersabar atas dunia ini? Banyak kemusnahan alam berlaku akibat hilang sabar atau kurang sabar. Akibat hilang sabar atau kurang sabar, harta benda boleh binasa, nyawa boleh melayang, negara boleh hancur umpama padang jarak padang tekukur, maruah hilang, keturunan tercemar, akal yang waras boleh hilang. Lihat saja contoh di Iraq. Negara Iraq suatu ketika dulu maju, kekuatan ketenteraannya masuk dalam rangking no. 5 di dunia, kekayaannya luarbiasa. Namun hari ini, negara itu bagaikan padang jarak padang tekukur. Ia musnah angkara hilang sabar manusia bernama BUSH.

Pembunuhan demi pembunuhan berlaku angkara hilang sabar. Kes bunuh diri seperti terjun dari bangunan tinggi biasa berlaku. Semuanya kerana hilang sabar. Rasuah berlaku sana sini. Semuanya kerana hilang sabar untuk mengaut harta secara mee segera. Kes dera, kes rogol, kes peras ugut, kes samun semuanya kerana angkara hilang sabar. Lihatlah betapa banyak kemusnahan berlaku. Lihatlah betapa banyaknya kerugian berlaku. Semuanya angkara hilang sabar.

Perbuatan melanggar larangan Allah sentiasa berlaku. Dosa besar seperti zina, arak, mencuri dan lain-lain terus berlaku tanpa henti. Semuanya kerana hilang sabar. Tidak sabar menahan diri terhadap larangan Allah. Betapa ramai pasangan suami isteri terpaksa merana dan menderita akibat perceraian. Perkahwinan mereka musnah akibat hilang sabar. Sekelip mata, perkataan talaq 3 keluar dari mulut sang suami bila bergaduh. Akibatnya, pasangan merana seumur hidup. Demikianlah betapa teruknya kesan jika sabar sudah tiada dalam diri manusia. Justeru, betapa beruntungnya orang yang sabar. Orang yang sabar adalah sebenar-benar orang yang hebat. Ia sebenar-benar orang yang kuat. Ia adalah orang yang cemerlang.

Justeru, betapa beruntungnya dapat suami atau isteri yang sabar. Betapa untungnya dapat pemimpin yang sabar. Betapa untungnya dapat ibubapa yang sabar. Betapa untungnya dapat anak menantu yang sabar. Betapa untungnya dapat pekerja yang sabar. Betapa untungnya dapat pemandu yang sabar. Betapa untungnya dapat guru yang sabar. Betapa beruntungnya dapat peniaga yang sabar.

Jika demikian hebatnya sabar, tidak hairanlah mengapa Allah sentiasa bersama orang-orang yang sabar. Tidak hairanlah mengapa Allah beri ganjaran pahala tanpa batas kepada mereka. Oleh itu saudara, ayuh kita didik jiwa kita jadi orang yang sabar! Sabar berhadapan dengan nikmat dan kesulitan yang Allah kurniakan kepada kita. Semoga kesabaran itu nanti menjadi bekalan termahal buat kita di akhirat kelak.

Sabar sebahagian dari Iman

About ERAKITA

TERUSKAN LANGKAH USAH BERHENTI

Posted on 13 Januari 2011, in AGAMA, MOTIVASI, RENUNGAN. Bookmark the permalink. 2 Komen.

  1. terima kasih akan saya jadi kan panduan…….. hebat orang yang sabar nie……. alhamdulillah….

Tinggalkan komen