PUJIAN BERKUALITI DARI GURU KEPADA MURID

Sentuhan dan kasih sayang untuk anak-anak merangsang sikap dan minda positif mereka

Sentuhan dan kasih sayang kepada anak-anak merangsang sikap dan minda positif mereka

PUJIAN BERKUALITI DARI GURU KEPADA MURID

 

 22 Oktober 2009

(Dikemaskini pada 27 Jun 2021)

Dalam era kita yang semakin terbuka, maju dan mencabar lagi kompleks ini, penguasaan memahami dan mempraktiskan pelbagai teknik untuk mendidik anak-anak murid dalam konteks guru dan anak-anak dalam konteks ibubapa amat diperlukan. Dalam konteks persekolahan, sesetengah pihak mungkin berpendapat bahawa guru tidak perlu memuji murid atas suatu kebaikan atau pencapaiannya. Pujian guru kepada murid bagi mereka dikuatiri boleh menimbulkan kesan negatif kepada sikap murid. Ada kekuatiran bahawa berkemungkinan murid yang diberi pujian itu  akan berlagak angkuh atau sombong dengan guru-guru atau murid-murid lain. Sesetengah pihak pula mungkin berpendapat bahawa pujian guru kepada murid itu perlu untuk membentuk semangat dan jati diri mereka.

Apapun tanggapan atau persepsi yang dilontarkan, ERAKITA berpendapat bahawa pujian dari seorang guru kepada muridnya masih relevan. Bagaimanapun, pujian tersebut haruslah berlandaskan kaedah atau cara yang betul. ERAKITA ingin berkongsi dengan anda beberapa teknik atau kaedah yang boleh diaplikasikan oleh seorang guru ketika memuji murid seperti berikut:

  1. Pujian hendaklah bersifat khusus atau spesifik. Contohnya, seorang cikgu mengungkapkan kata-kata ini kepada anak muridnya yang telah mencapai peningkatan markah ujian walaupun dengan peningkatan sedikit saja seperti “Cikgu amat bangga dengan pencapaian ujian kamu kali ini, teruskan pencapaian seperti ini pada masa hadapan, tahniah sekali lagi”. Bayangkan, bagaimana perasaan murid ketika itu!. Sambil mengeluarkan kata-kata itu, cikgu tersebut menepuk-nepuk bahu anak muridnya dengan penuh ikhlas. Cuma perlu diingat bahawa kaedah ini lebih sesuai ilakukan oleh  guru lelaki untuk murid lelaki.  Demikian juga, guru perempuan kepada murid perempuan.
  2. Pujian yang dilakukan dalam bentuk tulisan. Contohnya, ketika penyerahan markah ujian, guru menulis dalam kertas jawapan ujian murid dengan kata-kata pujian atas pencapaian murid dalam ujian tersebut. Kata-kata pujian yang teratur dan singkat seperti “Cikgu bangga atas pencapaian di luar dugaan ini. Teruskan usaha ke arah kecemerlangan”. Ataupun, guru tersebut boleh juga menulis ungkapan seperti “Cikgu dari dulu lagi yakin bahawa kamu boleh buat yang terbaik. Syabas dan tahniah Ahmad!”. Demikian juga coretan seperti “Pencapaian yang bagus! Tahniah Ahmad. Kamu adalah salah seorang murid harapan Cikgu!”. Bayangkan, bagaimana perasaan murid tersebut ketika membaca kata-kata KERAMAT gurunya yang tertera di kertas itu!. Kaedah ini memiliki kesan tersendiri untuk merangsang dengan cepat semangat dan motivasi seorang murid atau anak untuk melakukan tindakan-tindakan positif seterusnya.
  3. Berilah pujian yang biasa dan tidak melebih-lebih. Yang penting pujian itu adalah pujian BERKUALITI. Bagi murid di sekolah rendah, pujian seharusnya diikuti dengan pelukan guru kepada pelajarnya. Guru perempuanlah yang sesuai mengambil pendekatan ini kepada murid-muridnya. Bagi guru lelaki pula, pujian yang disertakan senyuman ikhlas dan rasa bangga terhadap pencapaian murid itu lebih sesuai digunakan. Bayangkan bagaimana perasaan murid ketika menerima pujian, sentuhan dan senyuman ikhlas dari seorang cikgu! Siapa tahu, pujian dan sentuhan ini akan tersemat dalam ingatannya seumur hidup.
  4. Pujian yang diberikan seharusnya diberikan secepat mungkin sebaik suatu kejayaan atau kebaikan itu dilakukan oleh murid. Kaedah ini lebih cepat merangsang sikap dan peribadi seorang murid berbanding pujian yang diberikan setelah berlalu beberapa hari atau minggu selepas sesuatu kebaikan itu dilakukan murid. Inilah yang dikatakan instant atau on the spot. Jadi, nak beri pujian kepada murid, biarlah kejayaan murid tersebut masih terasa “PANASNYA”. Seperti yang ERAKITA pernah sebut dalam artikel sebelum ini, pakailah kata-kata orang putih ni “STRIKE THE IRON WHILE IT IS HOT”. Kalau nak beri pujian, berilah pujian itu ketika kejayaan anak murid itu baru dicapai, masih diingat-ingat dan disebut-sebut.
  5. Pujian dalam bentuk sindiran perlu dielakkan. Contohnya “Ahmad bukanlah pandai sangat tapi kali ini Ahmad mendapat markah yang baik. Mungkin Ahmad bernasib baik kali ini. Tahniah untuk awak!”. Kata-kata ini kelihatan seperti memuji tetapi pujian tersebut kelihatannya menyindir dan tidak memperlihatkan kejujuran guru ketika mengiktiraf pencapaian muridnya. Keadaan ini boleh mendatangkan kesan negatif kepada murid apabila beranggapan bahawa guru itu bersifat negatif atau memandang rendah terhadap kemampuannya. Boleh jadi murid itu akan bertambah keliru dengan status kedudukannya. Ia mungkin keliru kerana tidak pasti samada dirinya berpontensi untuk maju atau tidak kerana kata-kata cikgunya tadi memberi persepsi bahawa pencapaiannya itu hanyalah secara kebetulan sahaja.

Untuk membangkitkan motivasi murid-murid bagi mencapai kecemerlangan akademik dan kurikulum mereka, banyak sekali cara atau kaedah yang boleh digunakan oleh seorang cikgu. Buku-buku motivasi keibubapaan, pendidikan dan bermacam-macam lagi yang ada di rak-rak kedai buku sentiasa menanti tangan kita untuk mencapai dan membelinya. Bukalah buku-buku itu dan hayati tips-tips yang disajikan. Amalkan mana-mana kaedah yang dirasakan bersesuaian dengan situasi kita. Pengalaman ERAKITA sebagai ayah kepada tiga orang anak yang sedang bersekolah sedikit sebanyak membantu memahami dan menghayati keadaan-keadaan ini. Ada kalanya anak akan menceritakan kepada ibubapa dengan penuh semangat bagaimana cikgunya memberi pujian kepada mereka sewaktu dalam kelas kerana melakukan satu perbuatan terpuji.

Adakalanya guru berkenaan bertemu dengan ibubapa dan menceritakan kepada mereka bagaimana anak mereka melakukan kerja yang baik ketika dalam kelas. Pujian guru tersebut tidak diceritakan kepada murid semasa di sekolah. Sebaliknya guru tersebut bertemu dengan ibubapa dan menceritakan terus mengenai pencapaian atau kebaikan yang dilakukan oleh murid berkenaan. Kaedah ini dilihat berkesan dan menghasilkan AURA tersendiri untuk menaikkan semangat anak-anak belajar atau memperbaiki disiplin serta peribadi mereka di sekolah dan di rumah. Cubalah sekali sekala guru-guru memberi pujian untuk anak muridnya melalui ibubapa. Ibubapa pula kena ceritakan semula kepada anak-anak mereka bahawa cikgu mereka ada memberi pujian mengenai kelakuan atau perbuatan anak di sekolah.

Lihatlah hasilnya nanti. Anda akan melihat raut wajah anak-anak anda begitu ceria dan teruja apabila guru mereka menceritakan sendiri kepada ibubapa mereka akan kejayaan atau kelakuan terpuji mereka di sekolah. Jika sebelum itu anak-anak malas membaca buku, lihatlah sendiri kesannya selepas pujian itu diceritakan kepada mereka. Mereka akan begitu bersemangat untuk membuka beg sekolah, mengeluarkan pen dan melakukan tugasan pembelajaran mereka. Yang penting, ketika memberi pujian tersebut, berilah pujian itu secara ikhlas, dengan wajah gembira dan bangga dengan anak-anak kita. Lebih berkesan lagi kalau kita dapat MEMELUK ERAT DAN MENCIUM KEPALA ANAK-ANAK tanda kasih dan sayang kita.

Kaedah memberi pujian yang dinyatakan di atas bukan sahaja dikhususkan untuk guru kepada anak-anak muridnya semata-mata. Sebenarnya, jika diteliti, kaedah-kaedah tersebut juga boleh diaplikasi atau diamalkan oleh para ibubapa di rumah. Contohnya, dalam soal memuji anak. Kalau ibubapa nak puji anak, biarlah pujian tersebut diberikan sebaik saja anak tersebut melakukan kerja yang baik. Memuji sambil memeluk erat anak ke dada dengan penuh ikhlas mempunyai aura tersendiri yang seringkali diabaikan oleh ibubapa.

Semoga sedikit tips dalam memberi pujian kepada anak murid yang dikongsikan ini dapat memberi input berguna kepada sesiapa juga yang terlibat dalam dunia pendidikan. Ibubapa juga tidak terkecuali untuk mencuba beberapa kaedah memberi pujian yang disebutkan di atas untuk diamalkan di rumah. Kepelbagaian teknik mendidik anak murid akan memudahkan kita melaksanakan tugas murni ke arah melahirkan anak-anak yang CEMERLANG, GEMILANG DAN TERBILANG.

SELAMAT MENCUBA

 

 

About ERAKITA

TERUSKAN LANGKAH USAH BERHENTI

Posted on 22 Oktober 2009, in KELUARGA, MOTIVASI, PETUA, SEKOLAH. Bookmark the permalink. 7 Komen.

  1. Asalamualaikum…apa khabar? syukur ke hadrat Ilahi kita dipertemukan dalm laman maya ini. Ianya satu sandaran komunikasi yang canggih hasil teknologi maklumat terkini. Bagai terasa kita dekat dan saling bertegur sapa.
    Nampaknya saya begitu tertarik dengan catatan Erakita kali ini. Begitu dekat dan amat berharga bagi kita semua, bagi saya sebagai tenaga pengajar. Tepat sekali pendapat ini. Sememangnya inilah cara terbaik sebagai jalan membentuk peribadi kanak-kanak di sekolah dengan tidak membedakan siapa mereka. Inilah cara yang akan menyentuh hati dan jiwa kanak-kanak yang pada awalnya begitu aktif dan malas belajar. Tidak mustahil jika ini kita amalkan saya percaya semua murid dalam kelas tersebut akan menjadi manusia yang benar-benar berkualiti, mampu menjadi insan cemerlang pada suatu masa akan datang. Terima kasih paparan maklumat ini.
    Satu permintaan saya nak copy paste bolehkah..nak masukkan pula ilmu ini ke ruangan etuza, biar semua kawan-kawan guru lain baca perkongsian ini. Salam …jumpa lagi.

  2. Wa’alaykum salam wbt.

    Alhamdulillah sihat walafiat. Syukurlah kerana artikel kerdil ini dapat diterima oleh warga pendidik seperti ETUZA. Mudah-mudahan Allah memberi kekuatan dan kemudahan kepada kita untuk mempraktikkan mana-mana tips yang mampu diaplikasikan. Untuk melahirkan generasi cemerlang, gemilang dan terbilang, para ibubapa dan guru perlu berganding bahu untuk mencapai hasrat tersebut. Di pihak ibubapa, andai ada idea atau input-input yang dirasakan baik, rasanya sebaik-baiknya biarlah dikongsi bersama dengan warga pendidik. Barulah terbentuk kekuatan yang luarbiasa.

    Mengenai hasrat ETUZA untuk copy paste artikel tersebut, ERAKITA dengan penuh kesyukuran dan keringanan hati mengalu-alukan hasrat tersebut. Moga-moga segala kebaikan yang kita lakukan menjadi amal jariah bernilai buat kita di akhirat kelak. Begitu juga kepada rakan-rakan pengunjung ERAKITA, anda dialu-alukan untuk menyebarluaskan sedikit ilmu yang ada ini kepada sesiapa jua di luar sana.

    Terimakasih.

  3. Assalaamualaikum wtb…

    Alhamdulillah. Penulisan yang sangat baik dan bermakna. Dalam sela-sela masa bekerja ni, terasa sgt perlunya sumbangan motivasi seperti ini. Walaupun Abu miftah sendiri turut bergelut dan ‘bermain’ dlm dunia pendidikan ini, tidaklah pula menjadikan diri alpa untuk terus ‘merangsang’dan ‘mengecas’ semangat yg baik dlm mendidik… tulisan spt ini yg kita mahu sgt2. pandangan yg bernas n merupakah ‘muhasabah’ yg terbaik utk semua. Benarlah bagai dikata – nak mendidik anak / murid perlu sesuai ‘isinya’ dengan zaman yg mereka akan tempuh. Bukan mendidik agar mereka ‘sebijik’ spt kita. Maksudnya – kita sediakan mereka agar tangguh dgn nilai sesuai dgn zaman dimana mereka hidup.

    P/S: Sebagai ibubapa muslim, paling utama adalah pendidikan agama yg merangkumi penerapan, pencerapan dan aplikasi nilai yg berpaksikan tauhid atau taqwa ilallaah. kalau dgn iman, mereka telusuri zaman, insyaallah aman…

    [abu miftah menjemput erakita utk sebarang entri dalam FORUM ABU MIFTAH – semoga bermanfaat]

    • Wa’alaykum salam wbt,

      Terimakasih atas komentar Abu Miftah yang santai dan penuh makna di atas. Sesungguhnya hidup ini akan lebih bererti dan ceria bila manusia sering bantu membantu, perlu memerlukan, isi mengisi, lengkap melengkapi, cas mengecas dan rangsang merangsangi. Kita semua perlu memerlukan antara satu sama lain. Justeru, apa yang kita lakukan ini adalah tepat dan bermanfaat. Jom kita rangsang merangsangi untuk menjadi ummah yang kuat dan hebat.

      Insyaa Allah, ERAKITA akan menziarahi FORUM ABU MIFTAH. Tahniah!

  4. Salam..saya dah copy paste, baru tadi ziarah log Erakita.Tq dan halalkan apa yang kami ambil.Salam..fillah.

    • Wa’alaykum salam wbt,

      Thanks ETUZA atas lawatan itu. Hanya kesyukuran setinggi-tinggi kepada Allah dapat diluahkan atas kesudihan dan kesediaan ETUZA menerbikan semula artikel ini ke dalam blog ETUZA. Ianya amat dialu-alukan untuk kebaikan bersama.

      Insyaa Allah, 26 Oktober nanti (ISNIN), ERAKITA akan menerbitkan satu tajuk baru yang masih berkisar kepada tema pendidikan dan keibubapaan. “Tajuknya: IBUBAPA: kenali dan bersahabatlah dengan guru-guru”. Semoga artikel tersebut dapat memberi input segar dan bermanfaat kepada pada ibubapa dan juga warga pendidik. Sama-sama kita ikuti terbitan tersebut.

      Terimakasih.

  5. Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera teman-temanku.

    Alhamdulillah. Syukur kepada Allah kerana masih diberi nikmat untuk hidup di dunia ini. Tulisan ini erakita terbitkan pada tahun 2009. Sudah 12 tahun berlalu. Berdasarkan pemerhatian erakita, tulisan ini telah dikongsikan dalam laman web mahupun dirujuk dalam menghasilkan tulisan berkaitan tema yang sama oleh pelbagai pihak. Erakita amat bersyukur dan gembira atas kesudian teman-teman berkongsi dan juga merujuk tulisan ini. Terima kasih banyak.

    Justeru, bagi memantapkan lagi penyampaian, erakita telah membuat kemaskini dengan memasukkan beberapa penambahbaikan dalam bentuk ayat dan gaya penyampaian. Semoga tulisan ini terus dikongsi, dirujuk dan bermanfaat untuk teman-teman.

    Terima kasih dan wassalam.
    erakita (27 Jun 2021).

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: