PENTADBIRAN UNDANG-UNDANG HARTA PUSAKA DI MAHKAMAH SYARIAH NEGERI SABAH

Oleh: Ahadin bin Arinen

PENGENALAN

Tulisan ini menjelaskan mengenai pembahagian harta pusaka orang Islam di Mahkamah Syariah Negeri Sabah. Beberapa aspek seperti sejarah dan perkembangan pembahagian harta orang Islam di Sabah turut dikupas melalui 4 fasa bermula sebelum dan selepas Sabah mencapai kemerdekaannya pada tahun 1963. Selain menjelaskan undang-undang yang digunakan sebagai asas untuk mendengar dan memutuskan kes pusaka orang Islam di negeri ini, kes-kes berkaitan yang telah diputuskan di Mahkamah Awam, Mahkamah Anak Negeri dan Mahkamah Syariah turut dibincangkan bagi memantapkan lagi perbincangan. Turut dibincangkan adalah prosedur permohonan pembahagian harta pusaka dan pentadbir (wali harta) di Mahkamah Syariah Sabah yang diguna pakai ketika ini. Tulisan ini diharapkan dapat menyumbang kepada perkembangan undang-undang Islam di negara ini ke arah lebih positif dan progresif sesuai dengan perkembangan semasa yang semakin kompleks dan mencabar, khususnya dalam konteks pengurusan dan pembahagian harta pusaka orang-orang Islam.

SEJARAH DAN PERKEMBANGAN PEMBAHAGIAN HARTA PUSAKA DI MAHKAMAH SYARIAH

Dari aspek sejarah, perkembangan undang-undang dan pentadbiran harta pusaka orang Islam di Sabah dibahagikan kepada 4 fasa iaitu:

(a) 1881 hingga 1977
(b) 1978 hingga 1995
(c) 1996 hingga 2004
(d) 2005 hingga kini

Perbincangan bagi kesemua 4 fasa ini adalah meliputi zaman sebelum dan selepas kemerdekaan Sabah pada tahun 1963. Pemahaman sejarah dan latar belakang tersebut penting untuk memberi gambaran sebenar bagaimana pada akhirnya pentadbiran pusaka orang Islam di negeri ini dilihat unik dan menarik berbanding dengan negeri-negeri lain di Malaysia. Keunikan tersebut terserlah apabila Sabah merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang mengeluarkan perintah pentadbir dan pembahagian harta pusaka orang-orang Islam melalui Mahkamah Syariah.

FASA PERTAMA
(1881-1977)

Perkembangan undang-undang Islam dan penubuhan Mahkamah Syariah di Sabah berkait rapat dengan kewujudan Mahkamah Anak Negeri di negeri ini. Penubuhan Mahkamah Anak Negeri secara tidak rasmi dikatakan telahpun berlaku sejak tahun 1881 oleh pihak Syarikat Berpiagam Borneo Utara British (SBBUB). Institusi mahkamah adat ini semakin diperkukuhkan pada penghujung 1800-an apabila SBBUB mula memperkenalkan undang-undang bertulis yang dinamakan sebagai Village Administration Proclamation 1891 bagi melicinkan pentadbiran keadilan ketika itu. Institusi Mahkamah Anak Negeri terus berkembang dan melakar sejarahnya apabila buat pertama kalinya Mahkamah Anak Negeri didirikan di setiap daerah pada tahun 1913 apabila Village Administration Ordinance 1913 diperkenalkan. Mahkamah ini berfungsi untuk membicara dan memutuskan perkara-perkara yang diberikan oleh undang-undang, adat dalam daerah atau kampung berkenaan.

Undang-undang yang dilaksanakan ketika itu adalah menurut undang-undang diri pribumi. Jika kes berkenaan melibatkan orang Islam, pengadil atau perunding yang dilantik adalah dari kalangan orang Islam yang mahir dalam undang-undang adat dan undang-undang Islam. Mereka dikenali sebagai Ketua Anak Negeri (KAN). Termasuk termasuk perkara yang dibicara dan diputuskan oleh Ketua-Ketua Anak Negeri ini yang ada kaitan dengan undang-undang Islam ketika itu adalah pembahagian harta pusaka orang-orang Islam.

Melalui undang-undang tersebut, KAN diserapkan dalam pentadbiran kerajaan bagi membantu Majistret mengendalikan pentadbiran undang-undang dan kehakiman. Menariknya, majoriti KAN yang dilantik oleh pihak SBBUB sepanjang tempoh pentadbirannya dari 1881 sehingga 1941 adalah dari kalangan orang-orang Islam. Pada tahun 1915 sebagai contohnya, 8 dari 9 orang ahli Majlis Penasihat Ketua Anak Negeri adalah beragama Islam.

Semenjak tahun 1881 sehingga Sabah merdeka pada tahun 1963, undang-undang Islam terus berjalan dan berkembang selari dengan perkembangan undang-undang adat. Antara undang-undang bertulis yang diperkenalkan oleh SBBUB dan kerajaan selepasnya yang ada kaitan dengan undang-undang Islam sepanjang tempoh berkenaan selain The Village Administration Proclamation 1891 adalah Muhammadan Custom Proclamation of 1902, Village Administration Ordinance 1903 , Village Administration Ordinance 1913, Mohammadan Customs Ordinance 1914, The Native Administration Ordinance 1937, Native Court Ordinance (Labuan) 1950 , Muslims Ordinance 1953 dan Native Courts Ordinance 1953.

Dalam hal ehwal kekeluargaan Islam, pihak SBBUB memberi kuasa kepada para Imam untuk merekod dan mendaftarkan perkahwinan dan perceraian di kalangan orang-orang Islam. Para Imam dalam melaksanakan tugas tersebut hendaklah mengeluarkan sijil perkahwinan dan juga perceraian kepada pasangan berkenaan. Perkara ini termaktub dalam Mohammadan Customs Ordinance 1914 . Dalam hal ehwal pembahagian harta pusaka pula, peranan secara langsung Mahkamah Sivil dalam mendengar dan memutuskan perlantikan pentadbir dan juga pembahagian harta pusaka orang dalam kes tertentu ketika itu jelas kelihatan. Satu contoh kes harta pusaka yang relevan adalah kes melibatkan tanah Karambunai di Sabah.

Dalam kes ini, Mahkamah Sesyen di bawah pentadbiran Syarikat Berpiagam Borneo Utara British (SBBUB) telah mengeluarkan perintah pada tahun 1913 yang melantik Pg. Siti Fatimah sebagai pentadbir harta pusaka iaitu sebidang tanah WCCL 228 seluas 2500 milik Pg Mohd. Jalaluddin bin Pg. Abdul Rauf yang kini dikenali sebagai tanah Karambunai, Sabah. Pada 8 Ogos 1935, tanah tersebut menjadi milik sepenuhnya Pg Siti Fatimah melalui perintah pembahagian harta pusaka oleh Mahkamah Sesyen.
Fakta ini jelas menunjukkan bahawa walaupun Mahkamah Anak Negeri diberi peranan untuk mendengar dan memutuskan urusan pembahagian harta pusaka orang Islam, namun dalam masa yang sama Mahkamah Awam juga mendengar dan memutuskan hal ehwal pusaka orang Islam. Ini lazimnya dilakukan bagi harta yang besar dan tinggi nilainya. Hal ini wajar memandangkan sebarang bentuk perintah mengenai harta berkenaan itu akan memberi impak yang tinggi kepada pihak pemerintah dan juga waris-waris. Pada tahun 1913 umpamanya, Mahkamah Anak Negeri baharu saja ditubuhkan di setiap daerah apabila Village Administration Ordinance 1913 diperkenalkan.

Perlu difahami bahawa ketika undang-undang bertulis berkenaan diluluskan, Mahkamah Anak Negeri belum dapat ditubuhkan sepenuhnya di setiap daerah. Ini kerana, penubuhan mahkamah berkenaan sudah tentunya memerlukan masa dari segi perlantikan pegawai dan kakitangan yang perlu. Justeru, boleh diterima bahawa memang sewajarnya kes pembahagian harta pusaka tanah Karambunai yang melibatkan ribuan ekar itu didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Sivil iaitu Mahkamah Sesyen pada ketika itu. Manakala bagi Mahkamah Syariah pula, tidak timbul sama sekali kes berkenaan perlu didengar di Mahkamah Syariah kerana Mahkamah berkenaan belum lagi wujud ketika itu. Kewujudannya hanya berlaku secara rasmi pada tahun 1978 setelah EPHS 1977 diperkenalkan di Sabah.

Dalam konteks penyelesaian pembahagian harta pusaka orang-orang Islam, bidang kuasa mendengar dan memutuskan perkara tersebut telah diberi secara bertulis oleh undang-undang melalui Administration of Native and Small Estate 1941 (pindaan 1961). Undang-undang ini secara spesifiknya menyebutkan tafsiran Native Estate sebagai berikut:

“Native estate” means the estate in the Colony of a deceased native or a deceased Muslim subject to the jurisdiction of a Native Court under paragraph ( c ) of subsection (1) of the section 5 of the Native Court Ordinance irrespective of the value thereof.

Di bawah Ordinance ini, urusan pembahagian harta pusaka melibatkan simati yang beragama Islam adalah diletakkan di bawah bidang kuasa Mahkamah Anak Negeri. Ordinance ini juga menetapkan bahawa pembahagian harta pusaka yang nilainya tidak melebihi RM5,000.00 adalah didengar dan diputuskan oleh Pemungut Hasil tanah atau Penolong Pemungut Hasil Tanah di daerah di mana semua atau sebahagian harta tersebut berada . Bagi harta pusaka yang ditinggalkan oleh simati yang berstatus Anak Negeri atau orang Islam, Pegawai Pemungut Hasil Tanah tersebut hendaklah merujukkan permohonan pembahagian harta tersebut kepada Mahkamah Anak Negeri untuk didengar dan diputuskan.

Ada juga keadaan di mana, jika setelah meneliti permohonan melibatkan harta peninggalan simati yang berstatus anak negeri atau Muslim tersebut, Pemungut Hasil Tanah berkenaan berpendapat bahawa harta pusaka tersebut adalah tertakluk kepada Probate and Administration Ordinance (Cap 109), Pemungut Hasil Tanah tersebut hendaklah menghantar rekod permohonan bersama dengan dapatannya mengenai kes itu kepada Mahkamah Tinggi . Mahkamah Tinggilah yang akan membuat keputusan pembahagian harta pusaka tersebut selepas itu.

Ini bermakna, permohonan bagi pembahagian harta pusaka peninggalan orang Islam adalah didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Anak Negeri. Bagaimanapun, ada juga keadaan tertentu di mana permohonan pembahagian harta pusaka orang Islam diputuskan terus oleh Mahkamah Tinggi iaitu bagi kes yang patut diputuskan di bawah Probate and Administration Ordinance (Cap 109). Bagi kes yang diputuskan oleh Mahkamah Anak Negeri, keputusan pembahagian harta berkenaan hendaklah mengambil kira wasiat mengikut undang-undang adat dan juga undang-undang Islam yang dibuat oleh seorang Anak Negeri atau orang Islam . Keputusan Mahkamah Anak Negeri masih boleh dirayu atau disemak di Mahkamah Tinggi sekiranya ada pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah tersebut. Berdasarkan kepada scenario di atas, dapat disimpulkan bahawa terdapat terdapat 3 pihak yang mendengar dan membuat keputusan pembahagian harta pusaka di Sabah sebelum negeri ini mencapai kemerdekaannya pada tahun 1963 iaitu:

1. Pemungut Hasil Tanah atau Penolong Pemungut Hasil Tanah;
2. Mahkamah Anak Negeri; dan
3. Mahkamah Tinggi.

Menariknya, undang-undang mengenai pembahagian harta pusaka seperti Wills Ordinance 1953 dan Intestate Succession Ordinance 1960 mengambil kira undang-undang adat negeri dan undang-undang Islam. Will Ordinance 1953 umpamanya menyebutkan dengan jelas bahawa tidak ada apa-apa peruntukan dalam Ordinance ini yang boleh menjejaskan kesahihan wasiat yang dibuat oleh seorang anak negeri menurut undang-undang adat mahupun wasiat yang dibuat oleh orang Islam menurut undang-undang Islam. Intestate Ordinance 1960 pula menyebutkan bahawa undang-undang adat negeri atau orang Islam yang berkaitan dengan pembahagian harta pusaka tidak akan terjejas sama sekali dengan Ordinance ini. Kewujudan peruntukan undang-undang tersebut merupakan satu pengiktirafan pihak kerajaan terhadap institusi adat anak negeri serta undang-undang Islam walaupun Mahkamah Syariah belum wujud ketika itu. Ini juga bermakna bahawa, mana-mana Mahkamah samada Mahkamah Anak Negeri atau Mahkamah Tinggi yang membuat keputusan mengenai pembahagian harta pusaka orang-orang Islam ketika itu mestilah mengambi kira undang-undang Islam berkaitan harta pusaka orang Islam.

Mengimbas kembali suasana semasa Perang Dunia ke-2 meletus, pentadbiran hal ehwal Islam tetap berjalan di Sabah walaupun negeri ini ketika itu berada di bawah penguasaan tentera Jepun antara tahun 1941 hingga tahun 1945. Menariknya, dalam keadaan genting dan tidak menentu, KAN yang majoritinya terdiri dari kalangan orang-orang Islam telah diambil dan dilantik oleh pentadbiran tentera Jepun untuk menjadi Majistret di bawah pengawasan tentera Jepun. Pengalaman berkhidmat dalam kerajaan walaupun singkat di bawah pentadbiran tentera Jepun sedikit sebanyak memberi pengalaman dan pengetahuan tambahan dalam pengurusan pentadbiran keadilan di kalangan mereka yang dilantik. Bagaimanapun, tidak ada rekod ditemui mengenai keputusan-keputusan Mahkamah Anak Negeri mahupun Mahkamah Awam yang memutuskan perintah pembahagian harta pusaka orang-orang Islam pada zaman pendudukan Jepun di Sabah. Dapat difahami bahawa dalam suasana perang dunia ke-2 itu yang tidak menentu, tidak banyak urusan masyarakat setempat yang dapat dirujukkan kepada pihak pentadbiran kerajaan termasuklah urusan pembahagian harta pusaka.

Perkembangan pentadbiran undang-undang pusaka Islam selepas merdeka 1963

Sehingga Sabah mencapai kemerdekaan melalui pembentukan Malaysia pada tahun 1963, undang-undang yang ada kaitan dengan pentadbiran keadilan orang-orang Islam sebelum dan selepas pendudukan Jepun masih digunakan dengan beberapa pindaan yang dibuat. Salah satu undang-undang tersebut adalah Muslim Ordinance 1953. Ordinance ini bagaimanapun tidak memasukkan sebarang peruntukan mengenai penubuhan Mahkamah Syariah. Tidak sepertimana berlaku di negeri-negeri lain, penubuhan sebuah Majlis Agama Islam yang berfungsi sebagai nadi pentadbiran dan pengurusan hal ehwal Islam yang meliputi aspek perundangan Islam juga tidak diperuntukkan dalam Ordinan tersebut. Dengan kata yang lain, semua kes berkaitan undang-undang Islam dibicara dan diputuskan oleh KAN di Mahkamah Anak Negeri termasuk pembahagian harta pusaka orang Islam. Hanya apabila berlaku ketidakpuasan hati mengenai keputusan MAN, baharulah rayuan keputusan berkenaan dibawa ke Mahkamah Awam.

Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak Negeri Sabah 1971

Enakmen bagi mengatur dan mentadbir hal ehwal orang-orang Islam Sabah yang pertama diluluskan selepas merdeka adalah Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak Negeri Sabah 1971. Antara tujuan utama Enakmen ini adalah bagi membolehkan kerajaan menubuhkan sebuah badan berkanun Islam yang akan bertanggungjawap sepenuhnya terhadap pentadbiran dan perkembangan Islam di Sabah yang dinamakan sebagai Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS). Rentetan wujudnya Enakmen ini, akhirnya kerajaan telah menubuhkan Majlis Ugama Islam Sabah secara rasmi pada 25 April 1971. Majlis ini diperlukan untuk mengkaji keperluan bagi penubuhan Mahkamah yang khusus untuk orang-orang Islam di Sabah. Di samping itu, bagi mencapai matlamat ini, satu enakmen baru bagi membolehkan penubuhan sebuah mahkamah khas bagi orang-orang Islam yang dinamakan Mahkamah Syariah perlu diwujudkan. Selain memperuntukkan penubuhan MUIS, Enakmen ini juga memperuntukkan perlantikan Mufti bagi Negeri Sabah untuk membuat dan mengeluarkan fatwa berkaitan hukum hakam bagi kepentingan umat Islam negeri ini.

Enakmen 1971 yang mengandungi 55 seksyen ini tidak mengandungi peruntukan bagi membolehkan penubuhan Mahkamah Syariah untuk orang Islam. Perlantikan hakim atau qadi juga tidak diperuntukkan dalam enakmen ini. Ini bermakna, kedudukan asal sebagaimana amalan pentadbiran undang-undang Islam di zaman sebelum merdeka masih kekal melainkan penubuhan sebuah Majlis Ugama Islam. Enakmen ini juga memperuntukkan keahlian jawatankuasa undang-undang Majlis yang dipengerusikan oleh Mufti dan juga perlantikan imam-iman. Walaupun imam-imam diberi kuasa untuk menguruskan hal ehwal nikah, cerai dan rujuk, namun kuasa mereka amat terhad.

Di bawah Enakmen ini, Imam sesuatu Kariah diberi kuasa untuk mengeluarkan perintah pembayaran nafkah semasa Isteri, nafkah semasa anak dan nafkah eddah isteri ke atas suami. Bagaimanapun, sekiranya berlaku pertikaian, tuntutan nafkah berkenaan hanya dapat dibicarakan di Mahkamah Anak Negeri memandangkan tiada hakim atau qadi yang dilantik di bawah enakmen tersebut. Beberapa kesalahan jenayah syariah antaranya gagal membayar nafkah, gagal membayar zakat atau fitrah, gagal mendaftarkan perkahwinan dan lain-lain kesalahan yang diperuntukkan dalam Bahagian IX Enakmen ini adalah dibicara dan diputuskan oleh Mahkamah Anak Negeri dengan dibantu oleh 2 orang yang beragama Islam. Jelasnya, tidak ada mana-mana peruntukan dalam Enakmen ini yang memberi kuasa kepada para Imam, Mufti mahupun Majlis untuk mengeluarkan perintah pembahagian harta pusaka bagi orang-orang Islam di Sabah.

Kekurangan ketara dalam Enakmen tersebut mendorong kerajaan untuk meneruskan usaha menambahbaik dan meningkatkan kelicinan pentadbiran undang-undang Islam di Sabah dengan memperkenalkan undang-undang yang lebih lengkap dan tersusun selepasnya. Buktinya, Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak 1977 telah diperkenalkan bagi menggantikan Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak 1971. Ketiadaan peruntukan bagi penubuhan Mahkamah Syariah untuk mengendalikan urusan pentadbiran kehakiman orang Islam di bawah Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak 1971 sekaligus mengekalkan peranan MAN untuk mendengar dan memutuskan kes-kes melibatkan permohonan pembahagian harta pusaka orang Islam di Sabah.

FASA KEDUA
(1978-1995)

Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak Negeri Sabah No. 15 Tahun 1977

23hb. Disember 1977 menjadi tarikh keramat dalam perkembangan undang-undang Islam di Sabah apabila Dewan Undangan Negeri Sabah meluluskan Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak 1977. Enakmen ini memansuhkan Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak 1971 yang ternyata masih banyak kekurangannya. Enakmen yang mengandungi 109 seksyen ini lebih lengkap berbanding Enakmen terdahulu di mana beberapa peruntukan penting dan bersejarah telah dimuatkan. Antara peruntukan yang besar impaknya terhadap perkembangan pentadbiran undang-undang Islam di Sabah ialah adanya peruntukan yang memberi kuasa kepada Yang Dipertua Negeri Sabah untuk menubuhkan Mahkamah Syariah.

Di bawah Enakmen yang baru ini, terdapat 3 peringkat Mahkamah Syariah iaitu Mahkamah Rayuan Syariah, Mahkamah Qadi Besar dan Mahkamah Qadi. Buat pertama kalinya dalam sejarah apabila Mahkamah Syariah mula beroperasi di Sabah seiring dengan perlantikan Qadi-Qadi Mahkamah pada 1hb. Febuari 1978.

Antara impak besar dalam Enakmen yang baru ini adalah bermulanya era perpindahan secara beransur-ansur peranan Mahkamah Anak Negeri yang berlangsung hampir 100 tahun lamanya untuk mendengar dan memutuskan permohonan pembahagian harta pusaka orang Islam di Sabah ke Mahkamah Syariah. Dengan versi yang lebih lengkap dan luas berbanding Enakmen terdahulu, Mahkamah Syariah diberi kuasa mendengar dan memutuskan urusan pembahagian harta pusaka orang Islam dalam konteks menentukan waris-waris yang berhak kepada harta pusaka yang ditinggalkan simati yang beragama Islam. Bidangkuasa sivil Mahkamah Syariah diperuntukkan dalam Seksyen 47(3)(b) bagi mendengar dan memutuskan semua tindakan dan perbicaraan yang semua pihak di dalamnya menganuti ugama Islam berkaitan termasuk pembahagian harta pusaka orang-orang Islam adalah:

(i) Pertunangan, nikah, perceraian, pemansuhan perkahwinan, atau farak dengan perintah Mahkamah;
(ii) Apa-apa pelepasan, atau tuntutan atas harta berbangkit dari apa-apa perkara yang dinyatakan dalam perenggan kecil (i) perenggan ini;
(iii) Nafkah orang-orang tanggungan, sah taraf anak, penjagaan dan pemilikan bayi;
(iv) Pembahagian, atau tuntutan atas harta sepencarian;
(v) Penentuan orang-orang yang berhak mendapat bahagian harta pusaka seseorang yang mati yang menganuti ugama Islam, atau bahagian-bahagian yang orang-orang itu masing-masing berhak;
(vi) Surat-surat wasiat atau pemberian akhir hayat seseorang Allahyarham yang menganuti ugama Islam.

Berdasarkan kepada peruntukan dalam Seksyen 47(3)(b)(v) di atas, jelaslah bahawa urusan pentadbiran undang-undang mengenai pembahagian harta pusaka orang Islam telah mula diletakkan di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Peralihan pentabdiran pembahagian harta pusaka dari Mahkamah Anak Negeri ke Mahkamah Syariah Sabah

Dari segi kuasa, ternyata kuasa mendengar dan memutuskan waris-waris yang berhak dan kadar bahagian pusaka orang Islam telahpun diberikan kepada Mahkamah Syariah di bawah Enakmen ini. Namun, pada hakikatnya Mahkamah Anak Negeri masih lagi mendengar dan memutuskan permohonan pembahagian harta pusaka mahupun tuntutan lain seperti harta sepencarian, ganti rugi perkahwinan dan pelbagai lagi yang melibatkan orang Islam walaupun Enakmen yang baru itu jelas memberikan kuasa itu kepada Mahkamah Syariah. Dalam perkara urusan pembahagian harta pusaka orang Islam, Mahkamah Anak Negeri mengguna pakai Small Estate and Administration Ordinance 1941.

Ketiadaan peruntukan dalam undang-undang yang menegah dan menghalang Mahkamah Anak Negeri dari mendengar dan memutuskan urusan pembahagian harta pusaka orang-orang Islam walaupun Mahkamah Syariah telah wujud dan diberi kuasa mendengar dan memutuskan urusan mengenai pembahagian harta orang Islam dilihat antara penyumbang kepada penerusan amalan Mahkamah Anak Negeri untuk terus mendengar kes-kes pusaka orang Islam. Walaupun Mahkamah Syariah telah ditubuhkan, orang-orang Islam masih lagi membuat permohonan mendapatkan surat kuasa tadbir dan perintah pembahagian harta pusaka di Mahkamah Anak Negeri.

Peranan yang dimainkan oleh Mahkamah Anak Negeri hampir 100 tahun dalam mengendalikan kes harta pusaka orang Islam dilihat meninggalkan kesan yang mendalam dalam minda masyarakat Islam di Sabah bahawa orang Islam dan Mahkamah Anak Negeri sudah sebati dan sukar dipisahkan. Dalam masa yang sama, Mahkamah Syariah pula hanya mengeluarkan perakuan waris dan sijil faraid bagi waris-waris jika ada permohonan diterima dari orang Islam. Mahkamah Anak Negeri lazimnya menangguhkan keputusan pembahagian harta pusaka orang-orang Islam sementara menunggu sijil faraid yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah. Setelah mendapatkan keputusan bagi penentuan waris dan sijil faraid dari Mahkamah Syariah, pihak-pihak tersebut mengemukakan kepada Mahkamah Anak Negeri bagi mendapatkan perintah pembahagian harta pusaka. Dalam masa yang sama, sijil faraid tersebut hanyalah merupakan panduan kepada Mahkamah Anak Negeri dalam membuat keputusan. Ini kerana, di kalangan Hakim-Hakim Mahkamah Anak Negeri sendiri ada yang bukan beragama Islam.

Dalam tuntutan harta pusaka Sutan Rivai bin Sutan Kalibu, Mahkamah Syariah telah mengeluarkan pengesahan waris simati dan bahagian ahli waris menurut faraid berbentuk surat rasmi kepada Biro Bantuan Guaman, Cawangan Sabah pada 26 Ogos 1980.

Dalam kes MAN/KK/N. 66/94 yang melibatkan permohonan orang Islam untuk mendapatkan perintah pembahagian harta pusaka di Mahkamah Anak Negeri, Mahkamah telah menangguhkan sementara kes berkenaan bagi menunggu sijil faraid dari Mahkamah Syariah. Oleh kerana peranan Mahkamah Anak Negeri bagi mengurus pembahagian harta pusaka orang Islam telah berjalan sekian lama, agensi-agensi kerajaan mahupun swasta masih lagi meminta perintah melalui Jadual Tiga daripada Mahkamah Anak Negeri. Dengan kata lain, keperluan mendapatkan perintah pembahagian harta pusaka dari Mahkamah Syariah tidak timbul sama sekali.

Salah satu contoh kes yang berkaitan adalah kes MAN/KK/No. 71/94. Dalam kes ini, Pemohon mengemukakan permohonan bagi mendapatkan perintah pembahagian harta pusaka di Mahkamah Anak Negeri setelah perintah pembahagian dan sijil faraid dari Mahkamah Syariah tidak diterima oleh pihak Amanah Saham Nasional (ASN) dan Amanah Saham Bumiputera (ASB). Perkara yang sama juga berlaku dalam kes MAN/KK/No. 109/93 di mana Pemohon membuat permohonan untuk mendapatkan perintah pembahagian harta pusaka anaknya di Mahkamah Anak Negeri menggunakan Jadual Tiga apabila kehendaki berbuat demikian oleh Jabatan Alam Sekitar, khususnya bagi mendapatkan wang insuran kakitangan kerajaan di Jabatan berkenaan.

Walaupun kes-kes bagi mendapatkan perintah pentadbir dan pembahagian harta pusaka orang-orang Islam dalam fasa kedua ini memperlihatkan bahawa orang-orang Islam masih lagi merujuk dan membuat permohonan di Mahkamah Anak Negeri, namun tidak dinafikan bahawa telah muncul usaha dan keberanian Hakim Mahkamah Syariah di penghujung fasa ini untuk mendengar dan memutuskan terus permohonan pembahagian harta pusaka orang Islam tanpa merujukkan kes berkenaan kepada Mahkamah Anak Negeri.

Dalam kes Maimunah binti Tambi, Kes No: MST (T): 01/95/(54), Mahkamah Qadi Bahagian Tawau telah membuat keputusan untuk membahagikan harta pusaka simati iaitu 2 bidang tanah kepada penama-penama yang dinamakan dalam wasiat simati. Keputusan tersebut dibuat pada 14 September 1995 iaitu hanya lebih kurang 3 bulan sahaja sebelum Enakmen Mahkamah Syariah 1992 dikuatkuasakan pada 1 Januari 1996. Menariknya, keputusan Mahkamah Syariah tersebut telah berjaya dipatuhi dan dilaksanakan oleh Jabatan Tanah dan Ukur Negeri Sabah apabila penama-penama yang diputuskan sebagai penerima harta-harta berkenaan telah didaftarkan sebagai pemilik dalam geran tanah pada 18 Ogos 1997. Tindakan Jabatan Tanah dan Ukur Negeri Sabah menerima dan melaksanakan perintah pembahagian harta pusaka dari Mahkamah Syariah ini merupakan satu indikasi yang jelas bahawa peranan Mahkamah Syariah dalam hal ehwal pewarisan orang Islam mula diiktiraf oleh agensi kerajaan. Dalam masa yang sama pula, orang Islam mula beralih ke Mahkamah Syariah untuk mendapatkan perintah pentadbir dan pembahagian harta pusaka walaupun pada masa yang sama, Mahkamah Anak Negeri masih lagi menerima permohonan bagi pembahagian harta pusaka orang Islam.

Enakmen Mahkamah Anak Negeri 1992 dan Seksyen 9

Penambahbaikan undang-undang bertulis di Malaysia dan khususnya di Sabah terus berlaku. Pada tahun 1988, telah berlaku sejarah penting bagi negara apabila Parlimen meluluskan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara. Pindaan pada perkara 121(1A) Perlembagaan telah menyingkirkan sebarang tindakan Mahkamah Awam untuk mendengar dan memutuskan kes yang mana jelas jatuh di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah. Bidangkuasa Mahkamah Syariah secara amnya dapat dilihat pada Senarai 2, Jadual 9, Perlembagaan Persekutuan.

Dalam konteks Mahkamah Anak Negeri, perkara yang sama juga berlaku 4 tahun kemudian. Pada tahun 1992, Badan Perundangan Negeri Sabah telah meluluskan satu undang-undang khas bagi Mahkamah Anak Negeri yang dinamakan sebagai Enakmen Mahkamah Anak Negeri, 1992. Enakmen yang diwartakan pada 7 Mei 1992 ini menggantikan Native Court Ordinance 1953. Selaras dengan roh dan semangat Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan di atas, Enakmen ini turut memasukkan satu peruntukan penting bagi mengelak terjadinya konflik pertindihan bidangkuasa antara Mahkamah Anak Negeri dengan Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah. Seksyen 9 EMAN 1992 menyebut seperti berikut:

Mahkamah Anak Negeri tidak boleh mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa kuasa atau perkara dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah atau Mahkamah Sivil.

Dapat difahami bahawa Mahkamah Anak Negeri tidak berbidangkuasa ke atas perkara atau kuasa yang jatuh di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah atau Mahkamah Sivil. Sungguhpun seksyen 9 tersebut jelas menyingkirkan bidang kuasa Mahkamah Anak Negeri untuk mendengar dan memutuskan perkara-perkara yang berada dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah, ianya tidak berjaya menghentikan amalan sedia ada mahkamah berkenaan untuk terus mendengar dan mengeluarkan surat pentadbir dan pembahagian harta pusaka orang-orang Islam.

Pada tahun yang sama di mana Enakmen Mahkamah Anak Negeri ini diluluskan oleh Badan Perundangan Negeri, salah satu Enakmen yang memperincikan bidang kuasa Mahkamah Syariah Sabah telah digubal iaitu Enakmen Mahkamah Syariah 1992. Bagaimanapun, enakmen ini tidak diwartakan pada tahun yang sama dengan pewartaan Enakmen Mahkamah Anak Negeri 1992. Sebaliknya Enakmen Mahkamah Syariah tersebut hanya diwartakan dan mula kuatkuasa pada 1 Januari 1996. Kelewatan pewartaan Enakmen Pentadbiran ini dilihat salah satu faktor mengapa Mahkamah Anak Negeri masih terus mendengar dan mengeluarkan surat kuasa mentadbir dan pembahagian harta pusaka orang-orang Islam. Perlu diingat bahawa dalam Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak 1977, Mahkamah Syariah hanya diberi kuasa untuk menentukan ahli waris dan bahagian ahli waris menurut hukum syarak.

Dengan kata lain, dalam fasa kedua ini iaitu antara tahun 1978 hingga 1995, peranan Mahkamah Anak Negeri dalam mengeluarkan surat kuasa tadbir dan perintah pembahagian harta pusaka orang Islam begitu terserlah. Sepanjang tempoh itu pula, peranan Mahkamah Syariah hanya mengeluarkan sijil faraid sahaja.

FASA KETIGA
(1996-2004)

Pengukuhan Peranan Mahkamah Syariah dalam Pentadbiran Harta Pusaka

Perkembangan undang-undang Islam di Sabah terus subur apabila satu Jawatakuasa Teknikal Negeri Sabah dibentuk pada tahun 1989. Jawatankuasa ini bertanggungjawap untuk menyemak deraf beberapa enakmen yang telah disediakan oleh Jawatankuasa Teknikal Pusat yang telah dipengerusikan oleh Almarhum Tan Sri Prof. Ahmad Ibrahim di peringkat kebangsaan. Ekoran dari usaha Jawatankuasa Teknikal Negeri Sabah, akhirnya satu lagi sejarah indah dan amat penting bagi perundangan Islam di Sabah apabila Badan Perundangan Negeri Sabah meluluskan 9 Enakmen Hukum Syarak sepanjang tahun 1991 hingga tahun 1995. Undang-Undang tersebut adalah:

1. Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam No. 7 Tahun 1991
2. Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam No. 13 Tahun 1992.
3. Enakmen Mahkamah Syariah No. 14 Tahun 1992.
4. Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam No. 15 Tahun 1992.
5. Enakmen Undang-Undang Keterangan Mahkamah Syariah No. 16 Tahun 1992.
6. Enakmen Undang-Undang Zakat Fitrah No. 06 Tahun 1993.
7. Enakmen Prosedur Mal Syariah No. 09 Tahun 1993.
8. Enakmen Prosedur Jenayah Syariah No. 10 Tahun 1993.
9. Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah No. 03 Tahun 1995.

Kewujudan dan pewartaan Enakmen-Enakmen tersebut telah merubah landskap pentadbiran Islam dan undang-undang Islam di Sabah pada skala yang begitu berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya. Beberapa institusi atau agensi baru telah ditubuhkan oleh kerajaan bagi mentadbir hukum syarak. Berkuatkuasa 1hb. Disember 1995, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah (JKSNS) telah ditubuhkan. Kelahiran JKSNS telah mengambil alih tugas mentadbir mahkamah-mahkamah syariah dari Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) sepenuhnya bermula 1hb. Januari 1996. Kedua-dua jabatan ini diletakkan di bawah kawalan Jabatan Ketua Menteri (JKM). Bagi JKSNS, Jabatan ini diketuai oleh Ketua Hakim Syarie Negeri. Dalam konteks undang-undang yang baru diperkenalkan di atas, kuatkuasanya melalui pewartaan hanya bermula pada 1 Januari 1996 walaupun telah diluluskan seawal 1991. Pewartaan tersebut terlalu lewat berbanding dengan Enakmen Mahkamah Anak Negeri 1992 yang telah diwartakan kuatkuasanya pada tahun yang sama.
Bidang kuasa Mahkamah telah diperkemas dan diperkukuhkan dengan adanya Enakmen Mahkamah Syariah 1992.

Dalam konteks pentadbiran harta pusaka orang-orang Islam, jika dahulunya Mahkamah Syariah hanya diberi kuasa untuk menentukan waris dan bahagian menurut hukum syarak di bawah Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak 1977, keadaan telah bertambah kukuh dengan kemunculan Enakmen Mahkamah Syariah 1992. Bidang kuasa Mal Mahkamah Syariah yang memperlihatkan adanya pengukuhan dan pemantapan kuasa Mahkamah Syariah dalam konteks pentadbiran harta pusaka orang Islam sebagaimana dinyatakan dalam Seksyen 10(b) Enakmen ini adalah mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding melibatkan orang Islam dalam perkara-perkara seperti berikut:

(i) pertunangan, perkahwinan, perceraian, fasakh, atau faraq;
(ii) apa-apa pelupusan, atau tuntutan kepada harta yang berbangkit daripada mana-mana perkara yang dinyatakan dalam subperenggan (i) perenggan ini;
(iii) nafkah orang-orang tanggungan, kesahtarafan, atau penjagaan atau jagaan (hadanah) anak-anak;
(iv) pembahagian atau tuntutan kepada harta sepencarian;
(v) wasiat atau pemberian semasa maradal-maut seseorang si mati Islam;
(vi) pemberian intervivos (hibah), atau penyelesaian yang dibuat tanpa balasan wang atau nilaian yang memadai oleh seseorang Islam;
(vii) wakaf atau nazar;
(viii) pembahagian dan pewarisan harta, berwasiat atau tak berwasiat;
(ix) hal menentukan seseorang yang berhak kepada bahagian harta pusaka seseorang si mati Islam atau bahagian-bahagian yang orang-orang itu masing-masing berhak; atau
(x) perkara-perkara lain yang berkenaan di mana bidang kuasa diberi oleh mana-mana undang-undang bertulis.

Dalam seksyen 10 di atas, jelas bahawa bidang kuasa Mahkamah Syariah dalam konteks pentadbiran harta pusaka orang Islam telah diperkukuhkan bukan setakat menentukan waris yang berhak dan bahagian waris-waris, malah termasuk juga dalam hal memutuskan pembahagian dan pewarisan harta samada terdapat wasiat yang dibuat oleh simati atau tidak tiada wasiat.

Sebaik bermulanya penguatkuasaan Enakmen Mahkamah Syariah 1992 ini pada 1 Januari 1996, Mahkamah Syariah Sabah mula menerima, mendengar dan memutuskan permohonan untuk mendapatkan perintah pembahagian harta pusaka orang-orang Islam. Mahkamah juga mula mendengar dan memutuskan perintah bagi pentadbir harta pusaka. Keadaan ini pada mulanya mendatangkan keadaan yang tidak kondusif dalam konteks pentadbiran harta pusaka orang-orang Islam. Ini kerana, sementara Mahkamah Anak Negeri masih lagi mendengar dan memutuskan perlantikan pentadbir dan pembahagian harta pusaka orang Islam, Mahkamah Syariah dalam masa yang sama juga mula melaksanakan perkara yang sama.

Pejabat Tanah yang lazimnya menerima perintah pembahagian harta pusaka dan pentadbir bagi harta tak alih seperti tanah dari Mahkamah Anak Negeri, kini menerima perintah yang serupa dari Mahkamah Syariah. Perkara ini sudah tentu menimbulkan keadaan yang tidak sihat dalam konteks perlaksaan perintah dari kedua-dua Mahkamah ini. Justeru, bagi mengelak konflik dan pertembungan bidang kuasa ini, akhirnya Jabatan Tanah dan Ukur Sabah telah mengeluarkan keputusan bahawa dalam urusan pentadbiran harta pusaka melibatkan tanah orang Islam, hanya perintah pentadbir dan pembahagian harta pusaka yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah Sabah yang diterima pakai oleh Jabatan tanah. Keputusan dan perintah Mahkamah Anak Negeri yang menggunakan Jadual Tiga tidak lagi diterima oleh Pejabat Tanah di seluruh Negeri Sabah. Bagi memperkemaskan lagi pentadbiran tanah pusaka orang Islam, Jabatan Tanah dan Ukur Sabah telah menetapkan bahawa Perintah Pentadbir perlu dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah kepada mana-mana ahli waris untuk menandatangan dan mengeluarkan geran tanah yang telah diluluskan dalam bentuk geran deraf.

Keputusan yang diambil oleh Jabatan Tanah dan Ukur untuk tidak lagi menerima perintah pentadbir dan pembahagian harta pusaka bagi orang Islam dari Mahkamah Anak Negeri adalah berasaskan kepada Seksyen 9 Enakmen Mahkamah Anak Negeri 1992. Seksyen 9 tersebut jelas menyingkirkan bidang kuasa Mahkamah Anak Negeri untuk mendengar dan memutuskan perkara yang berada dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah mahupun Mahkamah Sivil. Bagi tujuan penguatkuasaan, Jabatan Tanah dan Ukur seterusnya telah mengeluarkan surat pekeliling kepada semua Penolong Pemungut Hasil Tanah di seluruh Negeri Sabah agar tidak memproses apa-apa perintah dari Mahkamah Anak Negeri melibatkan tanah simati yang beragama Islam yang lazimnya dibuat berdasarkan Administration of Native and Small Estate Ordinance 1941. Sejak daripada itu, perintah pentadbir mahupun pembahagian harta pusaka yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah telah diguna dan diiktiraf sepenuhnya di peringkat Pejabat Tanah.

Bermula dari tahun 1996 itu juga, Mahkamah Syariah juga mengeluarkan perintah perlantikan pentadbir dan pembahagian harta pusaka bagi harta-harta pusaka lain tinggalan simati melibatkan harta alih seperti wang dalam institusi kewangan, kenderaan, saham dan lain-lain. Agensi-agensi kerajaan dan swasta yang pada mulanya menggunapakai perintah dari Mahkamah Anak Negeri kini telah menerima perintah pentadbir dan pembahagian harta pusaka dari Mahkamah Syariah. Keadaan ini telah menjadi biasa dan kini tidak lagi menghadapi masalah pengiktirafan sebagaimana yang berlaku pada fasa pertama dan kedua yang dibincangkan sebelum ini.

FASA KEEMPAT
(2005-KINI)

Perluasan Bidang Kuasa Mengenai Harta Pusaka Orang Islam Di Sabah

Usaha berterusan Badan Perundangan Negeri untuk memperkemaskan undang-undang bertulis yang terpakai bagi Mahkamah Syariah di Sabah dapat dilihat apabila adanya penambahbaikan dalam seksyen 11(b)(viii) dan (ix) Enakmen Mahkamah Syariah 2004 berkenaan bidang kuasa Mahkamah Syariah Sabah berkenaan pentadbiran pembahagian harta pusaka orang Islam. Seksyen 11 menyebutkan seperti berikut:

(b) Dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding jika semua pihak dalam tindakan atau prosiding itu adalah orang Islam. Perkara dalam tindakan atau prosiding itu adalah berhubungan dengan:
(viii) pembahagian dan pewarisan harta berwasiat atau tak berwasiat atau Pelantikan Wasi dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya;
(ix) penentuan orang-orang yang berhak kepada bahagian harta pusaka seseorang si mati yang beragama Islam atau bahagian-bahagian yang kepadanya masing-masing orang itu berhak dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya;
(xii) perkara-perkara lain yang berkenaan dengannya bidang kuasa diberikan oleh mana-mana undang-undang bertulis.

Apa yang membezakan peruntukan mengenai bidang kuasa Mahkamah Syariah dalam hal pentadbiran harta pusaka dengan Mahkamah Syariah negeri lain adalah mengenai perkataan “perlantikan wasi dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya”. Perkataan tersebut tidak wujud dalam senarai bidang kuasa Mahkamah Tinggi Syariah di negeri-negeri lain. Dengan kata lain, hanya Mahkamah Syariah Negeri Sabah sahaja yang mempunyai peruntukan tersebut. Hal ini merupakan satu kelebihan tersendiri kepada Mahkamah Syariah Sabah untuk mengeluarkan perintah pembahagian harta pusaka dan juga perlantikan wasi atau wali harta atau pentadbir.

Tafsiran Wasi

Walaupun perkataan wasi dimasukkan dalam senarai bidang kuasa yang diberi kepada Mahkamah Tinggi Syariah Sabah, namun perkataan tersebut tidak pula diberikan sebarang tafsiran dalam Enakmen Mahkamah Syariah 2004 mahupun di mana-mana undang-undang bertulis yang terpakai bagi Mahkamah Syariah di Sabah. Hal ini berbeza dengan undang-undang mengenai wasiat yang ada di Selangor yang jelas memasukkan tafsiran khas kepada perkataan wasi. Seksyen 2(1) Enakmen Wasiat Orang Islam (Selangor) 1999 (Enakmen no.4 tahun 1999) memperuntukkan bahawa perkataan “wasi” ertinya seseorang yang kepadanya diamanahkan perlaksanaan sesuatu dan meliputi seseorang yang disifatkan sebagai dilantik menjadi wasi oleh mahkamah.

Tafsiran perkataan “wasi” juga diberikan oleh seksyen 2 Akta Undang-undang Sivil 1956. Seksyen berkenaan memperuntukkan bahawa perkataan “wasi” ertinya wasi atau pentadbir si mati (administrator of a deceased person) dan termasuk, berhubung dengan mana-mana obligasi, mana-mana orang yang mengambil milikan atau mencampuri hal harta si mati”. Penulis berpendapat bahawa peruntukan mengenai tafsiran perkataan “wasi” wajar dimasukkan dalam Enakmen Mahkamah Syariah 2004 pada masa hadapan dengan mengambil kira tafsiran yang diberikan oleh Akta Undang-Undang Sivil 1956 yang menyebutkan bahawa tafsiran “wasi’ adalah juga termasuk pentadbir si mati.

Dapat disimpulkan bahawa perkataan wasi membawa maksud yang sama dengan pentadbir mahupun wali harta. Ketika ini, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu umpamanya menggunakan perkataan wasi harta bagi menggantikan perkataan pentadbir bagi menyesuaikan perkataan wasi dalam Enakmen Mahkamah Syariah 2004. Sesungguhnya perintah melibatkan perlantikan pentadbir mahupun pembahagian harta pusaka orang-orang Islam yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah begitu unik dan menarik. Ini kerana, hanya Mahkamah Syariah Sabah sahaja yang mengeluarkan perintah berkenaan pada ketika ini berbanding dengan negeri-negeri lain di Malaysia.

Dengan kata lain, peranan Mahkamah Anak Negeri bagi mengeluarkan perintah pentadbir dan pembahagian harta pusaka orang-orang Islam selama hampir 100 tahun lamanya kini telah beralih sepenuhnya ke Mahkamah Syariah. Bolehlah dihujahkan bahawa kewujudan Seksyen 9 Enakmen Mahkamah Anak Negeri 1992 yang menegah Mahkamah Anak Negeri dari memutuskan apa-apa perkara yang terletak dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah mahupun Mahkamah Sivil merupakan faktor terpenting mengapa Mahkamah Anak Negeri tidak lagi mendengar dan memutuskan apa saja perkara yang telah berada dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah termasuklah perkara pewarisan harta pusaka orang-orang Islam.

PENGIKTIRAFAN BIDANG KUASA MAHKAMAH SYARIAH DALAM PENTADBIRAN HARTA PUSAKA

Dalam konteks bidangkuasa umpamanya, Mahkamah Syariah Sabah tidak menghadapi masalah untuk menguatkuasakan perintah pembahagian harta pusaka termasuklah perintah perlantikan wasi atau pentadbir bagi harta pusaka simati yang beragama Islam. Sementara Mahkamah Syariah di negeri-negeri lain hanya mengeluarkan Sijil Perakuan Faraid, keadaan sebaliknya berlaku di Sabah. Seksyen 11(3)(b)(vii) Enakmen Mahkamah Syariah 2004 membuka ruang kepada Mahkamah Syariah untuk mendengar dan memutuskan hal pembahagian harta pusaka termasuk perlantikan wasi atau pentadbir.

Pengiktirafan Mahkamah Rayuan Syariah

Tidak sepertimana di negeri-negeri lain di Semenanjung dan Sarawak, keputusan Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Sabah terhadap kes-kes melibatkan harta pusaka orang-orang Islam di Sabah jelas menunjukkan pengiktirafan Mahkamah berkenaan terhadap bidang kuasa Mahkamah Syariah berhubung perlantikan pentadbir dan pembahagian harta pusaka. Keputusan Mahkamah Rayuan Syariah tersebut dibuat melalui semakan dan rayuan terhadap perintah pembahagian harta pusaka mahupun pentadbir harta pusaka yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rendah Syariah.

Dalam kes Amanah Raya Berhad lwn Ag Damit bin Ag Tengah & 3 Yang lain, Pemohon memohon kepada Mahkamah untuk membuat semakan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kota Kinabalu berhubung pembahagian harta pusaka dan mengenepikan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu Sabah berkaitan kes tersebut. Menurut Pemohon, berlaku salah aturan dan penyalah gunaan proses Mahkamah dalam permohonan pembahagian harta pusaka di hadapan Mahkamah Tinggi Syariah dalam kes No. 12100-040-0067-2008. Setelah meneliti dan menghalusi permohonan, Mahkmah memutuskan seperti berikut:

1. Menerima permohonan semakan Pemohon kerana telah berlaku salah aturan semasa perjalanan prosiding kes Mal No: 12100-040-0067-2008;
2. Perintah YA Hakim mahkamah Tinggi Syariah Kota Kinabalu Sabah dalam kes Mal No: 12100-040-0067-2008 bertarikh 6 March 2008 adalah diketepikan dan dibatalkan;
3. Perintahkan kes tersebut dibicarakan semla dengan menamakan Pemohon, Responden 2, Responden 3, Responden 4 atau mana-mana pihak lain yang dapat dikesan yang mempunyai kepentingan ke atas hartanah tersebut (jika ada) sebagai Responden-Responden. Apa-apa juga isu berkenaan prosiding tersebut, boleh dikemukakan kepada Hakim Bicara semasa prosiding didengar semula di hadapan Hakim yang lain;
4. Mana-mana prosiding atau perintah lanjuran daripada perintah Mahkamah Tinggi Syariah melalui kes Mal No: 12100-040-0067-2008 bertarikh 6 Mac 2008 adalah terbatal.

Dalam kes tersebut, tidak timbul sama sekali perihal Mahkamah Rayuan Syariah untuk menyemak keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kota Kinabalu berhubung dengan perakuan waris atau penentuan bahagian faraid waris-waris simati. Apa yang jelas ialah, semakan tersebut adalah semata-mata merujuk kepada perintah pembahagian harta pusaka simati yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kota Kinabalu. Mahkamah Rayuan Syariah yang menerima permohonan semakan tersebut secara jelas telah mengenepikan dan membatalkan perintah pembahagian harta tersebut. Mahkamah Rayuan Syariah seterusnya memutuskan agar kes tersebut dibicara semula di hadapan hakim yang lain.

Dengan keputusan tersebut, dapat difahami secara jelas bahawa Mahkamah Rayuan Syariah yang dipengerusikan oleh YAA Tan Sri Dr. Ibrahim Lembut dan merupakan mahkamah yang tertinggi dalam susunan Mahkamah Syariah di negara maklum dan menyedari bahawa semakan itu adalah semata-mata merujuk kepada perintah pembahagian harta pusaka dan bukannya merujuk kepada perintah perakuan waris atau sijil faraid mahkamah. Perlu ditekankan bahawa Mahkamah Rayuan Syariah telah memerintahkan permohonan pembahagian harta pusaka tersebut dibicara semula di Mahkamah Tinggi Syariah di hadapan hakim yang lain. Tidak ada perintah mahupun arahan Mahkamah Rayuan untuk mengecilkan skop dan isu perbicaraan kepada perakuan waris atau perakuan bahagian faraid semata-mata dalam kes tersebut. Di samping itu, tidak ada apa-apa keputusan mahupun perintah Mahkamah yang tertinggi itu untuk meminta pihak-pihak supaya mendapatkan terlebih dahulu Surat Kuasa Tadbir (Letter of Administration) dari Mahkamah Tinggi Awam sebagaimana yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan Syariah dalam kes Jumaaton. Keputusan Mahkamah Rayuan Syariah tersebut sekaligus merupakan satu pengiktirafan yang nyata mengenai bidang kuasa Mahkamah Syariah untuk mendengar dan memutuskan kes berhubung pembahagian harta pusaka di Sabah.

Situasi yang serupa juga berlaku dalam Jafri bin Abdul Jaafar & 2 Yang Lain lwn Latifah Bte Jaafar @ Abdul Jaafar. Pemohon-Pemohon dalam kes ini memohon kepada Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Sabah untuk membuat semakan terhadap keputusan dan perintah Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Tawau dalam kes Permohonan No: 12400-040-0093-2008. Keputusan Hakim Mahkamah Tinggi berkenaan adalah meliputi penyata faraid dan pembahagian harta pusaka kepada waris-waris simati melibatkan 3 bidang tanah. Pemohon-Pemohon mendakwa bahawa:

1. Permohonan Responden sama ada dalam pliding atau keterangan lisan di hadapan Mahkamah tidak menyenaraikan sepenuhnya ahli-ahli waris Simati yang masih hidup;
2. Pemohon 1, 2 dan 3 merupakan anak kandung Simati dan dengan itu berhak ke atas harta pusaka Simati.

Responden-Responden yang tidak mempertikaikan permohonan semakan ini telah bersetuju agar kes ini didengar semula di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah. Atas persetujuan tersebut, Mahkamah Rayuan Syariah memutuskan bahawa:

1. Penyata faraid, perintah-perintah pembahagian harta pusaka bagi simati dan keputusan kes No: 12400-040-0093-2008 dibatalkan;
2. Kes No: 12400-040-0093-2014 hendaklah dibicara semula dengan memberi peluang Pemohon menfailkan Affidavit Jawapan bagi memasukkan ahli-ahli waris Simati.

Keputusan Mahkamah Rayuan Syariah dalam kes ini jelas tidak menyentuh langsung mengenai bidang kuasa Mahkamah Tinggi Syariah dalam membuat keputusan berhubung pembahagian harta pusaka Simati. Sebagaimana yang berlaku dalam kes Amanah Raya Berhad lwn Ag Damit bin Ag Tengah & 3 Yang lain, hal yang sama juga berlaku dalam kes Jafri bin Abdul Jaafar & 2 Yang Lain lwn Latifah Bte Jaafar @ Abdul Jaafar ini. Keputusan-keputusan oleh Mahkamah Rayuan Syariah ini sekaligus memberi pengiktirafan terhadap kuasa dan peranan Mahkamah Syariah di Sabah untuk mendengar dan memutuskan pembahagian harta pusaka termasuk perintah pentadbir harta pusaka.

Pengiktirafan oleh Mahkamah Sivil

Menariknya, Mahkamah Awam juga memberi pengiktirafan terhadap perintah pembahagian harta pusaka dan surat pentadbir harta pusaka yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah Sabah. Dalam kes Noh bin Abdul Aziz & Anor lwn Director of Lands and Surveys, Kota Kinabalu & Anor (1999), Responden 1 telah mempertikaikan Perintah Pembahagian Harta Pusaka yang dikeluarkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Sandakan. Menurut Responden, Pemohon dalam kes ini tidak mempunyai locus standi menfailkan kes di Mahkamah Tinggi Awam memandangkan tidak mempunyai Surat Kuasa Pentadbir yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Awam. Ketika menolak bantahan ini, Yang Arif Richard Malanjun dengan tegas memutuskan seperti berikut:

Dua perintah telah dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah dan Responden Pertama telah gagal untuk menunjukkan bahawa Mahkamah tersebut tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan perintah-perintah tersebut. Sememangnya Responden Pertama tidak boleh berbuat demikian kerana jelas di bawah Seksyen 11(2) Enakmen Mahkamah Syariah No. 14 Tahun 1992, bahawa Mahkamah Rendah Syariah mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan perkara berhubung dengan pembahagian dan pewarisan harta, berwasiat atau tak berwasiat. Selanjutnya Mahkamah sepatutnya berhak bergantung kepada Seksyen 114(e) Akta Keterangan 1950 apabila menerima kesahan perintah-perintah itu. Lebih-lebih lagi adalah tidak salah bagi pemohon-pemohon untuk menghadap Mahkamah Syariah untuk perintah-perintah itu walaupun ia adalah juga di dalam bidang kuasa Mahkamah Sivil. Oleh demikian, tiada merit di dalam bantahan Responden Pertama mengenai locus standi pemohon-pemohon.

Dari segi amalan, pendekatan yang diambil oleh Mahkamah Tinggi Awam Sabah ketika menerima petisyen dari orang Islam untuk mendapatkan Surat Kuasa Pentadbir harta pusaka orang Islam di Mahkamah Awam adalah dengan menerima dan mendaftarkan petisyen tersebut jika lengkap dan teratur. Surat Kuasa Pentadbir juga masih dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi bagi harta pusaka orang Islam. Bagaimanapun, ketika pendengaran petisyen berkenaan, Mahkamah lazimnya bertanya kepada pemohon mengapa petisyen berkenaan difailkan di Mahkamah Awam dan bukannya di Mahkamah Syariah. Dalam hal ini, Mahkamah Awam berpandangan bahawa Mahkamah Syariah adalah forum yang lebih sesuai dan wajar untuk mendapatkan perintah perlantikan pentadbir dan pembahagian harta pusaka orang Islam berbanding Mahkamah Sivil.

Perlu difahami bahawa Probate and Administration Ordinance (CAP 109) yang digunakan oleh Mahkamah Tinggi Sivil bagi mendengar dan memutuskan permohonan mendapatkan surat kuasa mentadbir dan seterusnya perintah pembahagian harta pusaka di Sabah tidak ada menyebutkan bahawa pemakaian undang-undang ini hanyalah untuk orang bukan Islam. Dengan kata lain, aplikasinya juga terbuka untuk harta pusaka orang-orang Islam pada pandangan Mahkamah Awam. Pendekatan Mahkamah Sivil lebih tegas apabila menerima permohonan bagi mendapatkan probate bagi simati yang beragama Islam yang mana simati meninggalkan wasiat terhadap hartanya. Mahkamah Sivil tidak menerima permohonan tersebut sebaliknya meminta pemohon mendapatkan perintah berkaitan di Mahkamah Syariah.

Perkembangan terbaru juga menunjukkan bahawa terdapat kecenderungan para peguam syarie untuk mendapatkan perintah perlantikan pentadbir bagi waris simati yang beragama Islam di Mahkamah Syariah. Perlantikan sebagai pentadbir diperlukan untuk membolehkan pentadbiran berkenaan mempunyai locus standi membuat tindakan perundangan di Mahkamah Sivil. Sekurang-kurangnya terdapat 8 kes di Mahkamah Tinggi Syariah Tawau yang membabitkan permohonan mendapatkan perintah perlantikan pentadbir dari Mahkamah Tinggi Syariah telah diluluskan. Perintah tersebut diperlukan sebagai asas atau locus standi bagi pihak pentadbir untuk mendapatkan hak perundangan di Mahkamah Sivil. Dalam kes No. 12400-071-0026-2014, Pemohon bernama Zakariah bin Hj Kapar melalui Peguamnya menfailkan permohonan perlantikan pentadbir bagi harta pusaka bapa kandungnya yang mati pada tahun 1979. Surat Kuasa Mentadbir Pusaka diperlukan oleh Pemohon-Pemohon bagi membolehkan P ada locus standi bagi tujuan membuat permohonan membuka kaveat ke atas tanah berkenaan di Mahkamah Tinggi Awam. Permohonan tersebut diluluskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah.

Dalam kes No. 12400-071-0031-2014, Pemohon bernama Mohammad bin Loi melalui Peguamnya menfailkan permohonnan pentadbir bagi harta pusaka iaitu tanah bapanya Loi yang mati tahun 2006. Permohonan diperlukan bagi membolehkan P ada locus standi bagi tujuan membuat permohonan membuka kaveat ke atas tanah berkenaan di Mahkamah Tinggi Awam. Permohonan tersebut telah diluluskan. Sehingga tulisan ini dibuat, belum ada apa-apa laporan atau berita menunjukkan bahawa perintah-perintah perlantikan pentadbir harta yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah berkenaan dipertikaikan oleh mana-mana pihak di Mahkamah Awam.

Satu lagi contoh kes di Mahkamah Tinggi Awam yang ada menyentuh mengenai pentadbiran harta pusaka orang Islam di Sabah adalah dalam kes Chua Chin Sing lwn Jaya J.B.Tan. Secara ringkasnya dalam kes ini, Defendan (Jaya J.B.Tan) di bawah Kaedah 18 Peraturan 19 Rules of the High Court memohon perintah Mahkamah untuk membuang kes (to strike out) saman Plaintif (Chua Chin Sing) terhadap Defendan. Dalam samannya, Chua Chin Sing antara antara lainnya memohon deklarasi bahawa Surat Kuasa Tadbir (LA) yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi kepada Jaya J.B.Tan melalui Petition No. K31-105-2004 adalah batal dan tidak sah. Chua Chin Sing juga memohon satu deklarasi bahawa Perjanjian Jual Beli (S&P) bertarikh 15 Mac 2006 yang dibuat antara Chua Chin Sing dan Jaya J.B.Tan adalah batal dan tidak sah. Alasan utama yang digunakan oleh Chua Chin Sing bagi mendapatkan deklarasi-deklarasi tersebut ialah bahawa sebagai seorang yang bukan beragama Islam, Jaya J.B.Tan tidak boleh menjadi pemegang Surat Kuasa Tadbir (LA) ke atas harta pusaka simati yang beragama Islam.

Dalam penghakimannya, Yang Arif Tuan Ravinthran Paramaguru telah memutuskan bahawa Chua Chin Sing tidak ada locus standi dalam tindakan ini kerana beliau adalah orang yang asing (total stranger) kepada simati yang mana beliau sama sekali tidak ada kaitan saudara atau keluarga dengan simati. Yang Arif Hakim bicara juga memutuskan bahawa tindakan saman Chua Chin Sing dalam kes ini adalah terhalang oleh doktrin Res Judicata. Hakim telah merujuk kepada kes terdahulu di Mahkamah Tinggi yang telah menyentuh kesahihan pemberian Surat Kuasa Tadbir oleh Mahkamah kepada orang bukan Islam untuk mentadbir harta pusaka orang Islam melibatkan pihak-pihak yang sama di hadapan Hakim Bicara yang lain khususnya dalam Kes No. K22-29-2010.

Dalam kes Jaya J.B.Tan lwn Chua Chin Sing, No. K22-29-2010, secara ringkasnya, Chua Chin Sing membangkitkan pembelaan iaitu:

(i) Sebagai seorang bukan Islam, Plaintif (Jaya J.B.Tan) tidak boleh dilantik sebagai pentadbir harta pusaka kepada Mohamed Ali S Tan;
(ii) Bahawa hanya orang Islam sahaja yang boleh dilantik sebagai pentadbir ke atas harta pusaka orang Islam;
(iii) Bahawa harta pusaka orang Islam adalah diletakkan di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah;
(iv) Memandangkan Plaintif tidak boleh menjadi pentadbir kepada harta pusaka Mohamed Ali S T Tan, maka Perjanjian Jual Beli bertarikh 15 Mac 2006 adalah menjadi batal dari awal.

Yang Arif Tuan Stephen Chung dalam dalam kes ini memutuskan bahawa pemberian Surat Kuasa Tadbir tersebut adalah sah. Mahkamah menegaskan bahawa memandangkan Surat Kuasa Mentadbir itu tidak pernah diketepikan oleh sesiapa, maka ia hendaklah terima dan berkuat kuasa. Peguam yang mewakili Chua Chin Sing ketika proses rundingan bagi memuktamadkan perjanjian jual beli tahun 2006 tidak pernah mempertikaikan kesahihan Surat Kuasa Menatdbir. Yang Arif Hakim seterusnya membuat penegasan dalam keputusannya seperti berikut:

The Probate and Administration Ordinance (Sabah Cap 109) was specifically enacted to deal with matters relating to the probate and the administration of estates ini Sabah. This Ordinance os general application. It does not have any provision limiting its application to non-Muslims only. Therefore itu can apply to the estates of Muslims and non-Muslims alike.

Chua Chin Sing yang tidak berpuas hati dengan keputusan ini telah mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan. Bagaimanpun, rayuan ini kemudiannya ditarik balik oleh Chua Chin Sing. Dengan penarikan balik rayuan tersebut, keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa Surat Kuasa Mentadbir yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi kepada Jaya J.B Tan untuk mentadbir harta peninggalan orang Islam adalah masih sah dan berkuat kuasa. Keputusan menarik balik rayuan dan pengekalan perintah terdahulu merupakan halangan di atas doktrin jes judicata kepada Chua Chin Sing dalam tindakannya dalam kes kemudiannya sebagaimana dalam kes No: BKI-22NCvC-24/11-2013.

Dalam Kes No: BKI-22NCvC-24/11-2013, tidak timbul sama sekali isu mempertikaikan bidangkuasa mahkamah syariah untuk mengeluarkan perintah pentadbir dan pembahagian harta pusaka orang-orang Islam. Sementara Mahkamah Tinggi tidak menyentuh sama sekali bidangkuasa mahkamah syariah bagi mendengar dan mengeluarkan surat kuasa tadbir dan pembahagian harta pusaka, Mahkamah sebaliknya menegaskan bahawa Probate and Administration Ordinance (CAP 109) itu tidak menghalang Mahkamah Sivil untuk mengeluarkan surat kuasa tadbir melibatkan harta pusaka orang-orang Islam. Dengan kata lain, disebabkan tidak ada peruntukan dalam undang-undang berkenaan yang menghadkan aplikasinya kepada orang bukan Islam sahaja, maka undang-undang tersebut dengan itu boleh digunakan kepada kedua-dua orang Islam dan bukan Islam.

Berdasarkan kepada senario dalam kes di atas, bolehlah dicadangkan bahawa pindaan perlu dibuat pada Probate and Administration Ordinance (CAP 109) dengan memasukkan peruntukan baru bahawa bahawa Ordinance ini tidaklah terpakai untuk orang Islam. Selain itu, perlulah diwujudkan satu enakmen khas bagi Pentadbiran Harta Pusaka Orang Islam untuk memastikan bahawa pentadbiran harta pusaka orang-orang Islam lebih kemas dan teratur sebagaimana di Mahkamah Sivil.

Pengiktirafan oleh agensi-agensi lain.

Perintah berbentuk perlantikan pentadbir harta pusaka dan pembahagian harta pusaka dari Mahkamah Syariah Sabah turut mendapat pengiktirafan dari agesni dan institusi-institusi kewangan seperti Tabung Haji, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) oleh Permodalan nasioan Berhad (PNB). Saban hari, Mahkamah Syariah Negeri Sabah menerima permohonan dari ahli waris kepada pendeposit atau ahli yang telah meninggal dunia dari agensi atau institusi kewangan tersebut.

Dalam konteks Tabung Haji, waris simati dikehendaki untuk mendapatkan Surat Pembahagian Pusaka mengikut Hukum Syarak yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah sekiranya nilai wang simati melebihi RM1,000.00. Keperluan mendapatkan surat pembahagian pusaka atau lebih dikenali sebagai perintah pembahagian harta pusaka tersebut berlaku apabila simati yang merupakan pendeposit tidak membuat penamaan dari kalangan warisnya untuk menerima wang deposit simati sebagaimana menurut Peraturan 9, Peraturan-Peraturan Lembaga tabung Haji (Deposit dan Pengeluaran) Pindaan 2003.

Permohonan untuk mendapatkan perintah pembahagian harta pusaka atau pentadbir di Mahkamah Syariah Sabah juga sering kali diterima dari kalangan waris simati bagi tujuan tuntutan wang simpanan simati dalam KWSP. Perintah ini diperlukan apabila simati tidak ada membuat penamaan untuk menerima simpanan simati apabila berlaku kematiannya. Ini kerana menurut Seksyen 25 Akta KWSP 1991, wang simpanan ahli yang telah meninggal dunia tanpa membuat penamaan hanya boleh dikeluarkan dengan adanya Surat Kuasa Mentadbir, Surat Probet, Surat Perintah Pembahagian atau Sijil faraid kepada KWSP. Dalam konteks Sabah, waris simati yang beragama Islam lazimnya diminta mendapatkan perintah pembahagian harta pusaka dari Mahkamah Syariah.

Selain agensi di atas, Surat Kuasa Mentadbir yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah Sabah juga diberi pengiktirafan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) bagi tujuan pembahagian harta pusaka simati ke atas wang pelaburan simati yang beragama Islam. Surat Kuasa berkenaan diperlukan apabila nilai pelaburan simati adalah melebihi RM5,000 ke atas. Dengan kata lain, perintah berupa Surat Mentadbir Harta Pusaka dan juga pembahagian harta pusaka simati yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah di Sabah diterima pakai dan diiktiraf oleh agensi-agensi tersebut. Agensi berkenaan hanyalah sebahagian daripada banyak lagi agensi kerajaan mahupun swasta yang menerima dan mengiktiraf perintah berupa pentadbir dan pembahagian harta pusaka di Mahkamah Syariah Sabah ketika ini.

Pengiktirafan Sarjana Perundangan

Pengiktirafan terhadap bidangkuasa Mahkamah Syariah Negeri Sabah untuk mengeluarkan perintah pembahagian harta pusaka termasuk Surat Pentadbir harta pusaka turut dikongsi oleh seorang pakar perundangan Islam, Prof Mohd Ridzuan Awang. Beliau memberikan pandangannya seperti berikut:

Berdasarkan keputusan di atas, jelaslah bahawa Mahkamah-Mahkamah Syariah di Malaysia tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan surat kuasa wasiat (probet) dan surat kuasa mentadbir bagi harta orang Islam, kerana undang-undang yang berkaitan dengan probet dan surat kuasa tidak ada di negeri-negeri. Undang-undang yang dipakai ialah Akta Probet dan Pentadbiran 1959, kecuali Mahkamah Tinggi Syariah negeri Sabah diberi kuasa di bawah undang-undang negeri bagi membolehkan Mahkamah Tinggi Syariah mengeluarkan surat kuasa tadbir atau wasi bagi harta pusaka orang Islam di negeri ini. Pihak bertanggungjawap sepatutnya memikirkan untuk memperkenalkan undang-undang tersebut atau menyeragamkan peruntukan bidangkuasa mal Mahkamah Tinggi Syariah negeri-negeri dan dalam masa yang sama mengecualikan pemakaian Akta Probet dan Pentadbiran 1959 terhadap orang-orang Islam.

Jelas sekali bahawa Mahkamah Syariah Negeri Sabah telah mendahului Mahkamah Syariah di negeri-negeri lain dalam isu pembahagian harta pusaka orang Islam. Amalan ini telahpun dilaksanakan dari awal penubuhan Mahkamah Syariah di negeri ini tanpa menghadapi masalah yang rumit.

DERAF KAEDAH (GARIS PANDUAN) PEMBAHAGIAN HARTA PUSAKA

Bagi melicinkan pergurusan dan pentadbiran pembahagian harta pusaka orang-orang Islam di Sabah, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah telah menyediakan satu Deraf Kaedah Pembahagian Harta Pusaka (DKPHP). Deraf berkenaan telah diluluskan dalam Mesyuarat Pengurusan Jabatan Kali ke-18, Bil. 2 Tahun 2007 di Kudat untuk digunapakai sebagai panduan kepada kakitangan dan pegawai Mahkamah Syariah di Sabah bagi tujuan penyelarasan dalam penyediaan dan pengurusan prosiding kes pembahagian harta pusaka, perlantikan wali harta (pentadbir) dan perakuan pewarisan. Ini kerana, bilangan kes melibatkan permohonan pembahagian harta pusaka di Sabah saban tahun makin bertambah. DKPHP ini antara lainnya menyediakan format borang-borang dan dokumen yang digunakan bagi tujuan penyelarasan di semua Mahkamah Syariah dalam Negeri Sabah. Deraf kaedah ini telah digunapakai oleh Mahkamah Syariah Sabah sejak tahun 2007 sehingga kini walaupun belum diwartakan.

Deraf Kaedah ini pernah dibentangkan di peringkat kebangsaan semasa Konvensyen Peguam Syarie Malaysia Kali ke-3 di Hotel UNITEN, Bangi, Selangor pada 18 April 2014. Konvensyen yang telah dihadiri ramai pengamal undang-undang dari seluruh negara ini merupakan satu medan terbaik untuk menzahirkan kepada masyarakat di negara ini mengenai amalan yang dilaksanakan di Mahkamah Syariah Sabah dalam mengurus dan mentadbir undang-undang pembahagian harta pusaka orang-orang Islam. Amalan mengeluarkan perintah pembahagian harta pusaka dan perlantikan wali harta (pentadbir) di Mahkamah Syariah ini dilihat unik dan menarik oleh pelbagai pihak di Malaysia. Ini kerana, sementara Mahkamah Syariah di negeri-negeri lain hanya mengeluarkan perintah perakuan waris dan penyata faraid, Mahkamah Syariah Sabah sebaliknya melaksanakan apa yang diamalkan di Mahkamah Tinggi Awam.

Mahkamah Syariah Sabah bukan sahaja mengeluarkan perakuan waris dan penyata faraid, tetapi juga mengeluarkan perintah pembahagian harta pusaka dan juga perlantikan wali harta (pentadbir) bagi harta pusaka orang Islam. Dalam rangka menubuhkan Pusat Daftar Setempat Wasiat, Aset dan Liabiliti Malaysia (PDSWALM), Jabatan Perdana Menteri telah mengarahkan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengursan Malaysia (MAMPU) untuk melaksanakan kajian mengenai penubuhan pusat tersebut.

Salah satu usaha yang dijalankan adalah mendapatkan taklimat kepada pasukan kajian yang terdiri dari pegawai-pegawai daripada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Jabatan Peguam Negara (AGC) dan MAMPU sendiri dari Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah mengenai proses dan prosedur kerja pentadbiran harta pusaka di Mahkamah Syariah Sabah pada 19 Mac 2015. Negeri Sabah dipilih bagi mendapatkan taklimat berkenaan setelah pasukan kajian tersebut mendapati bahawa Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa mengeluarkan surat perintah pembahagian harta pusaka yang ternyata lebih cekap dan mudah. Amalan ini juga didapati berbeza dengan Mahkamah Syariah di Semenanjung Malaysia.

PROSEDUR PEMBAHAGIAN HARTA PUSAKA DI MAHKAMAH SYARIAH SABAH

Proses permohonan bagi mendapatkan perintah pembahagian harta pusaka di Mahkamah Syariah adalah mudah. Ia perlu dimulakan dengan Notis Permohonan yang disokong oleh Affidavit yang diikrarkan oleh Pemohon di hadapan Pendaftar atau Hakim Syarie. Permohonan pula mestilah disertakan bersama dengan salinan dokumen yang disahkan asal seperti kad pengenalan pemohon dan waris-waris simati yang dinyatakan dalam Affidavit, sijil kematian simati, penyata terkini akaun di institusi kewangan, geran tanah dan lain-lain harta samada harta alih atau tak alih yang disenaraikan dalam Affidavit sokongan permohonan.

Dokumen yang telah lengkap akan didaftarkan secara secara online yang dikenali sebagai Sistem Pendaftaran Kes Mahkamah Syariah (SPKMS). Bagi permohonan pembahagian harta pusaka, nombor kod kes yang digunakan adalah 040. Jika sekiranya nilai harta tersebut adalah RM100,000 ke bawah, maka kes berkenaan akan didaftarkan di Mahkamah Rendah Syariah. Kes yang nilainya melebihi RM100,000 ke atas akan didaftarkan di Mahkamah Tinggi Syariah. Kes berkenaan pula ditetapkan terus jadual bagi sebutan atau pendengaran pertama di hadapan Pendaftar atau Hakim dalam tempoh 21 hari dari tarikh pendaftaran. Lazimnya, kes berkenaan dapat disebut atau didengar dalam tempoh 2 minggu.

Semasa sebutan atau pendengaran pertama kes, khususnya di Mahkamah Rendah Syariah, jika didapati bahawa nilai tuntutan harta pusaka adalah melebihi dari RM5,000.00, maka Pemohon akan diarahkan untuk mengiklankan Notis Permohonan berkenaan di surat khabar tempatan. Tarikh pendengaran yang akan datang biasanya ditetapkan lebih kurang dalam tempoh 2 minggu atau 4 minggu dari tarikh sebutan kali pertama.

Bagi kes yang nilai tuntutan harta pusaka kurang daripada RM5,000.00, maka kes berkenaan tidak memerlukan Pemohon untuk membuat pengiklanan di surat khabar. Pada sebutan atau pendengaran pertama, kes berkenaan ada ketikanya didengar dan diputuskan pada hari yang sama. Hal ini boleh berlaku apabila Mahkamah berpuashati dengan keterangan Pemohon dan berpendapat bahawa tidak ada keperluan untuk membuat penangguhan pendengaran pada masa hadapan. Keputusan lazimnya boleh dibuat pada hari yang sama apabila semua waris hadir dan memberi persetujuan mengenai cara pembahagian yang dipohon. Keputusan pada hari yang sama juga boleh diberikan sekiranya Pemohon memohon bahawa harta pusaka simati dibahagikan secara faraid.

Bagi kes yang ditangguhkan untuk pengiklanan dan pendengaran pada masa hadapan, kes berkenaan dapat diputuskan pada hari pendengaran yang kedua jika sekiranya mahkamah berpuashati dengan keterangan pemohon dan waris-waris yang hadir. Pemohon sentiasa diberi ingatan dan galakan di peringkat awal pendaftaran kes agar membawa bersama semua waris simati semasa pendengaran kes di hadapan Hakim. Kehadiran semua ahli waris sesungguhnya mempermudahkan urusan pendengaran kes kerana persetujuan mengenai cara pembahagian harta simati dapat dicapai pada hari yang sama. Ada ketikanya waris-waris bersetuju bahawa harta pusaka berkenaan dibahagi mengikut faraid. Ada juga keadaan di mana waris-waris sebulat suara bersetuju menyerahkan harta tersebut kepada salah seorang ahli waris simati keseluruhannya. Selain itu, ada juga situasi di mana ahli waris bersetuju agar harta tersebut dibahagi secara sama rata di kalangan semua ahli waris.

Lazimnya, Mahkamah akan memaklumkan bahagian faraid untuk semua ahli waris sebelum meminta Pemohon dan waris-waris memaklumkan bentuk pembahagian. Hal ini perlu bagi mengingatkan waris-waris hak syarie mereka dalam harta pusaka tersebut. Bagi waris yang masih di bawah umur (bawah 18 tahun), Mahkamah akan melantik salah seorang ahli waris yang dipersetujui untuk menjadi pentadbir dan juga pemegang amanah bahagian faraid waris berkenaan sehinggalah waris berkenaan mencapai umur 18 tahun. Perlantikan sebagai pentadbir dan pemegang amanah kepada bahagian faraid juga dibuat jika melibatkan mana-mana ahli waris yang kurang upaya seperti telah tua atau mempunyai sakit mental. Ini kerana mereka tidak berupaya untuk memberikan persetujuan mengenai bentuk perintah pembahagian harta pusaka simati.

Bagi kes di mana waris-waris lain sukar hadir pada hari pendengaran kes berkenaan di Mahkamah, lazimnya mahkamah akan menetapkan satu tarikh khusus yang lain untuk memberi ruang waris-waris berkenaan menyempurnakan persetujuan bertulis menggunakan borang yang telah disediakan oleh Mahkamah. Tandatangan persetujuan lazimnya dibuat di mana-mana Mahkamah Syariah di daerah atau negeri di mana waris-waris berkenaan bermastautin. Mahkamah akan menyediakan surat iringan bersama borang persetujuan tersebut kepada pemohon bagi memudahkan waris berkenaan menyempurnakan tandatangan di hadapan mahkamah yang lain. Penyata faraid waris-waris juga dikepilkan bersama dengan surat iringan tersebut bagi memudahkan urusan persetujuan.

Jika permohonan berkenaan mendapat bantahan dari mana-mana pihak yang berkepentingan, Mahkamah akan memberi peluang kepada pihak berkenaan untuk menfailkan affidavit bantahan. Pihak berkenaan akan menjadi pihak Responden dalam kes tersebut. Pihak-pihak lazimnya dinasihatkan untuk mendapatkan khidmat peguam syarie bagi memudahkan perjalanan prosiding kes di Mahkamah. Setelah dokumen (pliding) telah dilengkapkan, perbicaraan akan ditetapkan dalam kamar hakim. Bagaimanapun, perbicaraan akan dijalankan dalam Mahkamah terbuka sekiranya keadaan lebih sesuai untuk berbuat demikian. Di penghujung kes, Mahkamah akan membuat keputusan kes berkenaan.

Mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah boleh membuat rayuan di Mahkamah yang lebih tinggi. Sekiranya kes berkenaan diputuskan di Mahkamah Rendah Syariah, maka rayuan hendaklah dibuat di Mahkamah Tinggi Syariah. Begitu juga jika sekiranya keputusan itu datang dari Mahkamah Tinggi Syariah, maka rayuan hendaklah dikemukakan kepada Mahkamah Rayuan Syariah. Rayuan boleh dibuat dengan menfailkan Notis Rayuan di mahkamah di mana kes itu bermula dalam tempoh 14 hari dari tarikh keputusan kes.

Perintah pembahagian harta pusaka lazimnya disediakan oleh Mahkamah Syariah sendiri berdasarkan format perintah yang telah disediakan oleh pihak Mahkamah. Deraf perintah lazimnya disediakan oleh Pembantu Syariah dan akan disemak oleh Pendaftar Mahkamah. Semakan perintah yang terakhir adalah oleh Hakim Syarie yang membicarakan kes berkenaan sebelum perintah diindos dan diserahkan kepada Pemohon.

Proses yang sama juga berlaku dalam permohonan bagi mendapatkan Surat Mentadbir harta pusaka dan juga pengesahan waris-waris. Masa yang diambil untuk menyelesaikan kes permohonan pembahagian harta pusaka adalah 1 hingga 5 bulan dari tarikh didaftarkan sekiranya tidak ada bantahan dari mana-mana pihak terhadap permohonan berkenaan.

CADANGAN PEMANTAPAN PENTADBIRAN HARTA PUSAKA ISLAM

Penulis berpendapat bahawa keputusan dalam kes Jumaaton dan Raja Delia lwn. Raja Hizaruddin (1998) 6 MLJ 55 yang merujuk kepada Akta Probate dan Administrasi 1959 adalah terpakai bagi semenanjung saja. Ia tidak membawa apa-apa kesan terhadap perjalanan pentadbiran harta pusaka di Mahkamah Syariah Sabah sebagaimana yang berlaku dalam kes Amanah Raya Berhad lwn Ag Damit bin Ag Tengah & 3 Yang lain. Ini kerana, akta berkenaan tidak terpakai bagi Sabah. Tambahan lagi, tidak ada unit khusus sebagaimana di negeri-negeri di Semenanjung Malaysia yang mengeluarkan perintah pembahagian harta pusaka seperti Unit Pembahagian Pusaka Kecil, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian di Sabah. Yang ada di Sabah hanyalah Amanah Raya Berhad (ARB) yang sememangnya diberi kuasa di bawah Akta Perbadanan Amanah Raya 1995 (Akta 532). Bagaimanapun, amalan ketika ini ialah ARB masih perlu mendapatkan perintah perlantikan sebagai pentadbir, pemegang amanah (trustee), perakuan atau pengesahan waris dan penyata faraid daripada Mahkamah Syariah.

Kaedah Pembahagian Harta Pusaka (Mahkamah Syariah) Sabah perlu diwujudkan. Usaha terdahulu oleh Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah membuat Deraf Kaedah yang telah dijadikan sebagai garis panduan ketika ini perlu diwartakan dengan membuat beberapa penambah baikan sesuai dengan keadaan semasa. Bagi memperkemaskan pentadbiran harta pusaka orang-orang Islam, satu undang-undang khas yang dinamakan Enakmen Probate dan Pentadbiran Harta Pusaka Islam di Sabah diwujudkan.

Selain daripada itu, perlulah diwujudkan peruntukan pada Probate and Administration Ordinance 1948 (CAP 109) tersebut bagi menyingkirkan pemakaian Ordinance berkenaan ke atas orang Islam. Hal ini akan lebih selari dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan sebagaimana dalam Perkara 121(1A) pada tahun 1988 yang jelas menyingkirkan bidangkuasa Mahkamah Sivil untuk mendengar dan memutuskan apa-apa perkara yang berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah. Hal ini juga selari dengan kewujudan Seksyen 9 Enakmen Mahkamah Anak Negeri 1992 yang begi jelas menghalang Mahkamah Anak Negeri dari mendengar dan memutuskan apa-apa perkara yang berada dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil.

Selain itu, peruntukan berkenaan bidang kuasa Mahkamah Tinggi Syariah perlu diperkemaskan lagi dengan memasukkan terus perkataan “pentadbir” dalam Seksyen 11 Enakmen Mahkamah Syariah 2004. Perkataan Wasi pula perlu diberikan tafsiran khas dalam Seksyen 2 Enakmen berkenaan sebagaimana yang terdapat dalam Enakmen Wasiat Orang Islam Selangor dan Akta Undang-Undang Sivil 1956 bagi mengelak pelbagai tafsiran yang mengelirukan.

PENUTUP

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa pentadbiran harta pusaka orang Islam dalam satu institusi seperti Mahkamah Syariah memberi manfaat yang besar kepada orang Islam. Di samping memperlihatkan peranan dan wibawa yang setanding dengan Mahkamah Sivil, keadaan ini juga sebenarnya seimbang dengan usaha kerajaan bagi mengujudkan 5 peringkat Mahkamah Syariah ketika ini. Dengan fungsi dan kes-kes yang tentunya akan bertambah banyak apabila pengurusan pentadbiran harta pusaka orang Islam diserahkan sepenuhnya kepada Mahkamah Syariah, kewujudan dua lagi peringkat Mahkamah Syariah pada masa hadapan dilihat mampu menangani penyelesaian kes yang tentunya mempunyai pelbagai isu fakta dan perundangan. Semoga tulisan ini membuka ruang yang lebih luas kepada penulisan perkembangan pentadbiran undang-undang Islam di Sabah khususnya dalam konteks pewarisan harta pusaka orang-orang Islam. Hanya kepada Allah diserahkan segala urusan. Wallahu a’lam.

Advertisements

About ERAKITA

TERUSKAN LANGKAH USAH BERHENTI

Posted on 12 Mei 2015, in AGAMA, UNDANG-UNDANG. Bookmark the permalink. Tinggalkan komen.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: