Monthly Archives: Mac 2021

MAJLIS TAKLIMAT DAN PERBINCANGAN GARIS PANDUAN PERINTAH KEHADIRAN WAJIB (PKW) BAGI PESALAH JENAYAH SYARIAH

MELAKA – Baru-baru ini satu Majlis Taklimat dan Perbincangan Garis Panduan Perintah Kehadiran Wajib (PKW) Bagi Pesalah Jenayah Syariah selama 2 hari di Hotel Imperial Haritage Melaka dari 17 hingga 18 Mac 2021. Program tersebut dianjurkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dengan Kerjasama Mahkamah Syariah Negeri Melaka.

Majlis Taklimat yang dirasmikan oleh YAA Dato’ Setia Dr Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM itu dihadiri oleh Ketua-Ketua Pendaftar, Ketua-Ketua Pendakwa Syarie, Pegawai-Pegawai Penjara, Penasihat Undang-Undang JAKIM, Pegawai dari Bahagian Syariah dan Pengharmonian Undang-Undang, Jabatan Peguam Negara, Pegawai Kehakiman dari Mahkamah Persekutuan dan Pegawai-Pegawai Syariah.

Majlis tersebut diisi dengan tiga slot. Pada hari pertama, sesi taklimat dan soal jawab disampaikan oleh Tuan PKK Mohd Andri bin Md Ridzuan, Ketua Seksyen Komuniti, Bahagian Parol dan Komuniti, Jabatan Penjara Malaysia. Slot kedua pula disampaikan oleh Tuan Mohd Izwan bin Mohamad Noh dari Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan yang juga merupakan seorang Majistret di Melaka. Beliau merupakan antara Majistret yang banyak mengeluarkan PKW kepada pesalah-pesalah jenayah di Mahkamah Awam. Pelbagai pengalaman berguna berkaitan aplikasi PKW telah dikongsikan kepada para peserta. Sesi penerangan dan perbincangan Garis Panduan Perintah Kehadiran Wajib (PKW) bagi Pesalah Syariah disampaikan oleh Tuan Haji Nassir bin Abdul Aziz, Ketua Pendaftar JKSM dalam slot terakhir.

Deraf Garis Panduan PKW yang disediakan oleh Jawatankuasa Kerja Pembinaan Garis Panduan PKW JKSM dibentangkan itu akan dijangka akan dimuktamadkan dalam Persidangan Ketua-Ketua Hakim Syarie Seluruh Malaysia pada bulan April 2021 nanti. Majlis menandatangan MOU akan turut diadakan pada tarikh yang sama melibatkan Ketua Hakim Syarie JKSM, Ketua Hakim Syarie Negeri-Negeri, Jabatan Penjara Malaysia dan agensi yang berkaitan. Bagi memastikan perlaksanaannya berjalan sempurna, sesi penerangan dan latihan melibatkan Hakim-Hakim Syarie, Pendakwa Syarie dan Pendaftar-Pendaftar Mahkamah Syariah di seluruh Malaysia akan diadakan selepas dokumen tersebut dimuktamadkan.

Dengan adanya Garis Panduan tersebut , Mahkamah Syariah akan dapat membuat hukuman alternatif kepada pesalah jenayah syariah sesuai dengan bentuk kesalahan yang dilakukan. Pada ketika ini, hanya terdapat tiga bentuk hukuman yang dilaksanakan di Mahkamah Syariah iaitu pemenjaraan tidak melebihi 3 tahun, denda tidak melebihi RM5000.00 dan sebatan tidak melebihi 6 kali.