GANGGUAN ORANG KETIGA DALAM RUMAHTANGGA

IMG_20180818_163902

 

GANGGUAN ORANG KETIGA DALAM RUMAHTANGGA MENURUT UNDANG-UNDANG ISLAM DAN ADAT NEGERI SABAH

 

PENDAHULUAN

Sering kali terjadi krisis rumahtangga akibat orang ketiga sehingga membawa kepada perceraian suami dan isteri. Si suami atau si isteri main kayu tiga dengan menjalin hubungan intim dengan orang lain. Ada kejadian di mana ibu atau ayah mertua menghasut anak perempuan supaya bercerai dengan suaminya tanpa sebab syarie. Selain itu, ada kes yang lebih berat di mana kekasih gelap si isteri memujuk dan kemudiannya membawa lari si isteri dari rumah kediamannya. Keretakan yang membawa kepada kemusnahan istana perkahwinan dalam situasi di atas adalah angkara gangguan orang ketiga dalam rumahtangga tersebut. Tulisan ini menfokuskan perbincangan mengenai peruntukan undang-undang bagi mengawal dan mencegah dari berlakunya gangguan orang ketiga melibatkan orang Islam. Perbincangan mengenai kedudukan undang-undang mengenai mengenai perkara yang sama dalam perspektif adat Negeri Sabah turut dibincangkan. Kedudukan undang-undang berhubung gangguan orang ketiga ke atas rumathtangga dalam perspektif undang-undang sivil di Malaysia tidak dibincangkan dalam tulisan ini. Ini kerana, perbincangan mengenainya adalah lebih panjang dan terperinci apabila terdapat undang-undang yang spesifik bagi mengawal dan menanganinya seperti Akta Keganasan Rumahtangga 1994 dan juga Kanun Keseksaan (AKTA 574). Justeru, perbincangan secara berasingan mengenainya ada kewajaran untuk dilakukan.

 

GANGGUAN ORANG KETIGA DALAM PERSPEKTIF UNDANG-UNDANG ISLAM

Mengenai gangguan orang ketiga terhadap rumahtangga dalam Islam, terdapat peruntukan undang-undang yang mengawal perbuatan ini. Ia merupakan satu kesalahan jenayah syariah. Terdapat sekurang-kurangnya 3 seksyen bermula dari seksyen 36, seksyen 37 dan seksyen 38 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan yang menyebut secara jelas mengenai gangguan orang ketiga dalam rumahtangga. Berdasarkan kepada peruntukan undang-undang yang diperuntukkan di negeri-negeri, kesalahan mengganggu rumahtangga orang terbahagi kepada 3 komponen iaitu:

  • memujuk lari perempuan bersuami;
  • menghalang pasangan suami isteri untuk hidup bersama; dan
  • menghasut suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan.

Selain merujuk undang-undang yang terpakai di Mahkamah Syariah yang dikhususkan kepada orang-orang Islam, perbincangan juga turut menyentuh undang-undang gangguan ke atas rumahtangga orang di bawah undang-undang adat di Negeri Sabah.

 

A. Memujuk lari perempuan bersuami.

Kesalahan kerana memujuk lari perempuan bersuami diperuntukkan dalam seksyen 36 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan seperti berikut:

“Mana-mana orang yang memujuk lari seorang perempuan bersuami atau membawanya keluar dari atau dengan apa-apa cara mempengaruhinya supaya meninggalkan kediaman suami isteri yang ditentukan oleh suaminya adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan Mahkamah boleh memerintahkan perempuan tersebut supaya kembali kepada suaminya”.

 

B. Menghalang pasangan yang sudah bernikah daripada hidup sebagai suami isteri.

Kesalahan kerana menghalang pasangan yang sudah bernikah daripada hidup sebagai suami isteri diperuntukkan dalam seksyen 37 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan seperti berikut:

“Mana-mana orang yang menghalang sesuatu pasangan yang sudah bernikah daripada hidup sebagai suami isteri yang sudah bernikah dengan sah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, dan Mahkamah hendaklah memerintahkan pasangan itu supaya hidup sebagai pasangan suami isteri yang sudah bernikah dengan sah”.

 

C. Menghasut suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan.

Kesalahan kerana menghasut suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan diperuntukkan dalam seksyen 38 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan seperti berikut:

“Mana-mana orang yang menghasut, memaksa atau memujuk mana-mana orang lelaki atau orang perempuan supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan dan tanggungjawabnya sebagai suami atau isteri adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya”.

Tiga peruntukan yang terdapat dalam Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan di atas tidak diperuntukkan satu persatu dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah di Sabah 1995. Bagi Sabah, kesemua kesalahan tersebut dirangkumkan dalam satu seksyen sahaja. Seksyen 86 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Sabah 1995 menyebutkan seperti berikut:

“Sesiapa yang melarikan atau menyebabkan seseorang isteri orang lain meninggalkan rumahtangga yang ditentukan oleh suaminya adalah bersalah atas suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi dua ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan Mahkamah hendaklah memerintahkan supaya isteri itu kembali kepada suaminya”.

 

BERSUBAHAT MENGGANGGU RUMAHTANGGA ORANG

Perlu diingat bahawa orang lain yang turut bersubahat dalam perbuatan jenayah mengganggu rumahtangga orang juga tidak terkecuali dari tindakan undang-undang. Orang yang bersubahat itu turut melakukan kesalahan jenayah dan boleh didakwa atas kesalahan bersubahat melakukan kesalahan di bawah seksyen 102 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1995. Seksyen 102 menyebutkan:

“Sesiapa yang cuba atau bersubahat melakukan mana-mana kesalahan terhadap Enakmen ini hendaklah, melainkan diperuntukkan selainnya, dihukum dengan hukuman yang sama seolah-olah dia melakukan kesalahan yang demikian”.

Bersubahat bermaksud bahawa sesiapa sahaja orang terlibat mengganggu rumahtangga orang lain turut melakukan kesalahan. Orang tersebut boleh didakwa atas kesalahan bersubahat dan jika disabitkan boleh dihukum dengan hukuman yang sama sebagaimana hukuman bagi kesalahan asal. Orang yang bersubahat itu tidak dikhususkan kepada mana-mana orang. Dalam konteks rumahtangga, orang yang lazimnya terdedah kepada perbuatan bersubahat adalah ibu atau ayah kepada pasangan itu, saudara kandung atau pakcik dan makcik pasangan itu. Tidak terkecuali rakan-rakan kepada pasangan tersebut.

Justeru, bagi mengelak dari berlakunya perbuatan gangguan itu, ada baiknya laporan kepada pihak polis atau kepada penguatkuasa agama yang berhampiran untuk memaklumkan jika sekiranya memang terdapat kekerasan atau perlakuan jenayah yang dilakukan oleh pasangan tersebut sehingga tidak memungkinkan untuk ia tinggal bersama dengan pasangannya. Undang-undang bertulis yang memberi perlindungan kepada pasangan dalam rumahtangga seperti Akta Keganasan Rumahtangga 1994 boleh dirujuk untuk tindakan perundangan. Selain itu, perbuatan yang dikatakan mengganggu rumahtangga orang juga boleh dielakkan dengan mengambil tindakan pembubaran perkahwinan di bawah mana-mana peruntukan Enakmen Undang-Undang keluarga Islam jika sekiranya bersesuaian.

 

GANGGUAN RUMAHTANGGA ORANG KETIGA MENURUT UNDANG-UNDANG ADAT DI SABAH

Dalam undang-undang adat yang dikanunkan di Sabah, terdapat satu peruntukan berhubung gangguan terhadap rumahtangga orang. Ia melibatkan perbuatan seorang lelaki memikat isteri orang.  Dalam Aturan 18 Kaedah-Kaedah Mahkamah Anak Negeri (Undang-Undang Adat Anak Negeri) 1995, kesalahan tersebut disebutkan seperti berikut:

“Sesiapa juapun yang memikat atau membawa pergi isteri orang lain adalah melakukan perlanggaran undang-undang adat anak negeri dan boleh dikenakan –

  • membayar pihak yang terkilan sogit tidak melebihi 3 ekor ternakan atau barang-barang lain yang senilai dengannya mengikut denda adat; atau
  • jika engkar-
  • denda tidak melebihi RM3,000; atau
  • penjara selama tempoh tidak melebihi 18 bulan; atau
  • denda dan penjara kedua-duanya.

Berdasarkan kepada peruntukan di atas, jelas bahawa perbuatan mengganggu rumahtangga orang ada remedi tersendiri menurut undang-undang adat anak negeri di Sabah. Jika berlaku perlanggaran adat, prosiding perbicaraan bagi kes berkenaan dikendalikan di Mahkamah Anak Negeri yang terdapat hampir di setiap daerah di seluruh Negeri Sabah.

 

PENUTUP

Tidak dinafikan bahawa kejadian gangguan ke atas rumahtangga orang angkara orang ketiga sering berlaku dalam masyarakat kita. Jika ia melibatkan orang Islam, tindakan perundangan boleh diambil menurut undang-undang yang terpakai di Mahkamah Syariah. Ia merupakan kesalahan jenayah syariah. Jika melibatkan anak negeri, tindakan perundangan kerana perlangggaran adat menurut undang-undang adat negeri Sabah boleh diambil menerusi Mahkamah Anak Negeri Sabah.

About ERAKITA

TERUSKAN LANGKAH USAH BERHENTI

Posted on 18 Ogos 2018, in AGAMA, HAKIM MAHKAMAH RAYUAN SYARIAH, HAKIM MAHKAMAH RENDAH SYARIAH, HAKIM MAHKAMAH TINGGI SYARIAH, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH NEGERI SELANGOR, JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH SABAH, JABATAN PEGUAM BESAR NEGERI SABAH, JABATAN PEGUAM NEGARA, jenayah syariah, JKSM, KELUARGA, Mahkamah Sivil, Mahkamah Syariah, peguam syarie, Perkahwinan, PERSATUAN GUAMAN SYARIAH MALAYSIA, PERSATUAN PEGUAM MUSLIM SABAH (AMAL), PERSATUAN PEGUAM WANITA MUSLIM SABAH (SALWA), UNDANG-UNDANG. Bookmark the permalink. 14 Komen.

  1. Assalamualaikum wbt. Mohon izin share tuan.

  2. bolehkah saya tahu tentang prosedur tuntutan hadhanah yang dikendalikan oleh mahkamah syariah?

    • Terima kasih atas pertanyaan Puan Nurul Izzah di atas. Tuntutan hak jagaan anak atau hadhanah lazimnya berlaku setelah perceraian berlaku pada pasangan suami san isteri di Mahkamah Syariah. Tuntutan itu boleh difailkan oleh ibu atau bapa kepada anak tersebut atau mana-mana pihak berkepentingan. Namun, pada kebanyakan kes, tuntutan itu adalah antara ibu dan bapa kepada anak itu.

      Failkan tuntutan itu di Mahkamah Tinggi Syariah di mana pihak-pihak tinggal atau bermastautin. Kes itu akan dijadualkan untuk proses sulh di hadapan pegawai sulh dalam tempoh 21 hari selepas kes itu didaftarkan. Proses sulh menghendaki kedua-dua Plaintif dan Defendan untuk hadir bagi sesi runding cara. Peguam Syarie kepada pihak-pihak dalam kes tidak dibenarkan hadir dalam sesi tersebut.

      Jika ada persetujuan dicapai, pegawai sulh akan rekodkannya dalam bentuk perjanjian persetujuan. Biasanya, persetujuan bertulis itu akan dikemukakan kepada Hakim mahkamah Tinggi Syariah pada hari yang sama dan kedua Plaintif dan Defendan perlu hadir di hadapan Hakim untuk mengesahkan persetujuan itu. Jika disetujui, persetujuan itu dijadikan sebagai keputusan atas persetujuan bersama. Kes itu akan dikira selesai.

      Jika tidak ada persetujuan dicapai di hadapan pegawai sulh, atau salah satu pihak dalam kes itu tidak hadir atau enggan hadir tanpa sebab, prosiding sulh itu dianggap gagal dan kes itu kemudiannya di kemukakan kepada hakim untuk sebutan dan selepas itu perbicaraan penuh sekiranya tidak ada persetujuan dicapai di peringkat sebutan ataupun di mana-mana prosiding ketika perbicaraan berlangsung.

      Ketika sebutan kes, pihak Defendan akan diberi peluang untuk menfailkan penyata pembelaan dalam tempoh yang munasabah. Selepas menerima penyata pembelaan, pihak Plaintif pula akan diberi peluang menfailkan Jawapan kepada Penyata Pembelaan. Selepas tidak ada lagi pliding difailkan dan setelah semua dokumen berkaitan yang akan digunakan dalam perbicaraan telah difailkan oleh kedua-dua pihak, maka perbicaraan penuh akan dijalankan.

      Setelah selesai perbicaraan, hujahan bertulis difailkan. Keputusan akan diumumkan pada tarikh yang ditetapkan. Jika ada pihak tidak berpuas hati dengan keputusan hakim, pihak tersebut boleh menfailkan Notis Rayuan keputusan itu ke Mahkamah Rayuan Syariah dalam tempoh 14 hari selepas tarikh keputusan.

      Perlu diinngatkan bahawa perbicaraan lazimnya tidak akan dijalankan sekiranya anak yang terlibat dalam tuntutan penjagaan telah mencapai umur mumayyiz. Menurut Seksyen 85 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004, seorang anak lelaki dikatakan telah mencapai umur mumayyiz apabila mencapai umur 7 tahun. Bagi anak perempuan pula, umur mumayyiz adalah 9 tahun. Dalam kes melibatkan anak yang telah mumayyiz, anak tersebut akan dipanggil ke mahkamah di hadapan hakim untuk membuat pilihan sendiri samada hendak tinggal bersama dengan plaintif atau defendan (Ibu atau ayah). Pilihan anak tersebut adalah muktamad. Proses penyelesaian melibatkan anak -anak yang telah mencapai umur mumayyiz lebih cepat kerana tidak ada perbicaraan berlaku.

      Semoga penjelasan ini dapat memberi manfaat untuk Puan Nurul Izzah dan semua pembaca. Wallahu a’lam.

    • Terima kasih atas pertanyaan Puan Nurul Izzah.

      Tuntutan hak penjagaan anak (hadanah) bagi orang Islam perlu dibuat di Mahkamah Tinggi Syariah di mana pihak-pihak itu tinggal atau bermastautin. Setelah tuntutan difailkan dan didaftarkan, Mahkamah akan menetapkan tarikh untuk kes tersebut didengar di hadapan Pegawai Sulh terlebih dahulu. Proses sulh atau lebih dikenali sebagai rundingcara antara kedua-dua pihak perlu dibuat sebelum kes ini dibawa kepada Hakim.

      Sekiranya ada persetujuan dicapai antara kedua pihak, Pegawai Sulh akan merekodkan persetujuan. Persetujuan tersebut akan dirujukkan kepada Hakim Mahkamah Tinggi untuk endosmen. Setelah diindos, persetujuan tersebut diiystiharkan sebagai perintah atas persetujuan bersama. Kes tersebut akan selesai di peringkat Hakim untuk endosmen dan keputusan atas persetujuan bersama. Tidak akan ada lagi perbicaraan penuh. Ia lebih cepat dan dapat mengelak penggunaan masa dan kos.

      Jika tiada persetujuan dicapai oleh kedua pihak di hadapan Pegawai Sulh, kes tersebut akan dirujukkan kepada Hakim Mahkamah Tinggi untuk sebutan. Di peringkat ini, Defendan (Pihak yang Kena Tuntut) diberi peluang untuk menfailkan penyata pembelaan. Setelah dipastikan bahawa tidak ada lagi pliding yang hendak difailkan, maka kes itu akan ditetapkan untuk perbicaraan penuh. Saksi-saksi akan dipanggil jika ada.

      Setelah selesai kedua-dua pihak memberikan keterangan dan juga keterrangan dari saksi jika ada, maka kedua pihak akan diberi tempoh untuk menfailkan hujahan bertulis. Setelah itu, keputusan dibuat oleh Mahkamah. Ia akan memakan masa yang agak panjang. Kadang memakan masa berbulan-bulan, hatta sampai beberapa tahun. Tergantung kepada bilangan saksi dan kompleksiti kes.

      Bagaimanapun, perlu diingat bahawa sekiranya anak yang hendak dituntut untuk dijaga itu telah mencapai umur mumayyiz (7 tahun dan ke atas bagi anak lelaki dan 9 tahun dan ke atas bagi anak perempuan), maka anak tersebut akan dipanggil ke Mahkamah. Tunjuannya, anak ini akan diminta untuk memilih samada hendak tinggal bersama pihak menuntut atau pihak yang dituntut. Ini adalah hak untuk memilih penjaga bagi anak yang telah mencapai umur mumayyiz. Pihak yang dipilih oleh anak itu akan diputuskan sebagia penjaga kepada anak. Proses ini tidak memerlukan masa yang lama. Ia cepat dan tidak ada proses perbicaraan.

      Demikianlah prosedur atau proses tuntutan hak jagaan anak di Mahkamah Syariah. Semoga bermanfaat.

  3. Nur Aini Adilah

    Saya nak tanya?. saya dah bercerai, baru trfikir nak buat report atas orang ketiga. boleh lagi ke ?

    • report polis atas penglibatan atau gangguan orang ketiga dalam rumahtangga boleh dibuat pada bila-bila masa walaupun selepas perceraian. Bagaimanapun, ia bergantung keperluan. Untuk tujuan apa report itu dibuat.

      Jika tujuannya untuk perceraian, ia tidak lagi relevan. Bagaimanapun, jika tujuannya untuk membuat tuntutan berkaitan selepas perceraian seperti tuntutan mut’ah dan apa-apa yang berkenaan, ia boleh dibuat dan boleh membantu untuk mengukuhkan tuntutan puan. Dalam mut’ah umpamanya, Puan perlu tegaskan di mahkamah bahawa perceraian itu bukan berpunca dari sikap atau perbuatan puan tetapi ia datang dari bekas suami.

      Wallahu a’lam

  4. Victoria shu

    Bagaimanakah dan bolehkah seorang bukan islam dan islam berkhawin di mahkamah anak negeri?
    Dengan mengekalkan agama masing masing?

  5. Klu mcm sy ni org yg bkn beragama islam tetapi isteri sy dibawa lari oleh org yg beragama islam..boleh kah sy mndapatkan keadilan d makamah syariah?

    • Terima kasih atas pertanyaan saudara Joe.

      Hanya orang Islam sahaja yang boleh menjadi pihak dalam kes di mahkamah syariah. Orang bukan Islam tidak boleh menjadi pihak di mahkamah syariah. Ini telah dinyatakan dalam perlembagaan persekutuan dalam Jadual 9 (senarai 2).

      Dalam kes saudara, saudara dinasihatkan untuk melaporkan kes tersebut kepada polis. Bagi perbuatan melarikan perempuan yang sudah bersuami, pihak polis boleh membuat siasatan di bawah seksyen 498 Kanun Keseksaan.

      Sekiranya didakwa dan disabitkan bersalah di Mahkamah Sivil, pesalah tersebut boleh dihukum dengan penjara tidak melebihi 2 tahun atau dihukum denda atau kedua-dua sekali.

      Semoga jawapan ini bermanfaat untuk saudara Joe.

  6. mohd jailani bin ali

    Saya sama isteri udah masok sebulan lebih..temasok ank saya pun tak dpt tegok..isteri saya balik ke rumah makmetua saya udah betengkar sama makmetua saya..Jadi isteri dan ank saya tak dpt bicang kenp udah masok sebulan lebih tak balik dng saya…makmetua saya tak bagi saya tegok ank sampi skg ne..apa yg saya nak buat..Saya tak mahu minta cerai kalu sbb yg betul2.tapi kenp makmetua saya tak mahu dng apa saya nak gelas kan..makmetua saya dengar ank perpuan itu isteri saya..pasal belanja susu ank dan bayar gaji yg jaga ank saya..Saya nak pasang peguam tapi saya tak mampu..apa saya nak buat

  7. jailani bin ali

    assalamualaikum…saya nak tahu..sekiranya org rumah saya tak mahu balik..di sebab mak metau saya ..tak kasi masok jumpa bini dan ank..skg ne udah masuk sebulan lebih saya tak jumpa ank saya..skg bini saya pulak nak minta putus ..sbab saya dah lepaskan tangan dekat muka isteri saya..Saya nak jumpa isteri saya nak minta maaf sebab kelakuan saya…tapi mash tak mahu jumpa saya..tapi apa yg saya tahu isteri saya tak ada rumah makmetua saya..Saya dpt tahu ank saya adik nya yg jaga ank saya ..blh ke umur adik nya blm 21 lagi dah jaga ank saya…saya risau ank saya…dan isteri saya tak tahu lah…saya nak tahu bagaimana saya hendak jumpa dng siapa utuk tengok ank saya yg adiknya jaga…dah blh ke kalu isteri saya nak minta putus sebab saya dah lepakan tangan dkt muka org rumah saya…tapi saya cuba berbaik sama isteri saya…tapi skg ne mash blm jumpa isteri saya..

  8. Zaimah bte meh

    Saya nak bertanya samada kes berkaitan gangguan seksual yang sengaja dilakukan oleh seorang lelaki yang masih sah sebagai suami orang kepada seorang wanita yang masih sah sebagai isteri orang ketika itu,dengan cara mengirimkan messenger yang mengandungi perkataan tidak munasabah dan berunsurkan seksual terhadap wanita tersebut.

  9. Sedih apabila kakak ipar campur tangan dan jadi penentu keputusan pihak isteri…Ini kerana isteri menganggap kakak nya seperti ibu kedua setelah ibunya telah meninggal dunia. Sejak itu isteri mula tidak hormat pada suami serta menuruti segala nasihat kakak nya sendiri melebihi suaminya sendiri…AstargfirullaHalaaZiim

Tinggalkan komen