PERKAHWINAN BAWAH UMUR

dav

 

PERKAHWINAN BAWAH UMUR

Perkahwinan memang suatu perkara yang disyariatkan dalam Islam. Ia merupakan amalan para Nabi dan Rasul. Ia adalah Sunnah Nabi s.a.w. Perkahwinan perlu untuk kelangsungan keturunan. Keturunan membentuk keluarga. Keluarga mewujudkan satu masyarakat. Masyarakat pula membentuk sebuah Negara. Tidak hairan mengapa ada ungkapan mengatakan bahawa negara yang kuat dan hebat adalah kerana masyarakat atau rakyatnya kuat dan hebat. Pernah juga kita mendengar kata-kata pembakar semangat dan motivasi rakyat dari para ilmuan yang mengatakan bahawa jika hendak melihat bentuk dan rupa sebuah negara pada masa hadapan, lihat saja pada para belianya.

Mengenai perkahwinan, para ulama bahkan meletakkan hukum wajib berkahwin kepada mana-mana lelaki atau perempuan yang telah mencapai satu tahap kritikal untuk kahwin. Hukumnya wajib apabila mereka tidak mampu lagi menahan diri dari terjerumus kepada perzinaan sedangkan mereka berkemampuan dari zahir dan batin untuk berkahwin.

Dalam konteks Negara kita di Malaysia, setiap negeri ada undang-undang tersendiri mengenai perkahwinan. Undang-undang ini dinamakan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam. Undang-undang ini digunakan untuk mengawal dan mentadbir hal kekeluargaan orang-orang Islam yang meliputi hal ehwal perkahwinan, perceraian dan rujuk. Termasuk perkara yang ditadbir dan dikawal adalah had umur pasangan yang hendak berkahwin.

Di bawah Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Sabah, 2004, (EUUKIS) had umur minimum pasangan lelaki yang dibenarkan berkahwin adalah 18 tahun. Bagi perempuan pula, had minimum umur yang dibenarkan ialah 16 tahun. Perkara ini termaktub dalam Seksyen 8 Enakmen tersebut.

Untuk jelasnya, Penulis memperturunkan kandungan penuh seksyen 8 EUUKIS untuk dihayati bersama. 

Seksyen 8. Umur minimum untuk perkahwinan

“Tiada sesuatu perkahwinan boleh diakadnikahkan di bawah Enakmen ini jika lelaki itu berumur kurang daripada lapan belas tahun atau perempuan itu berumur kurang daripada enam belas tahun kecuali jika Hakim Syar’ie telah memberi kebenarannya secara bertulis dalam hal keadaan tertentu”.

Berdasarkan kepada seksyen 8 di atas, mana-mana pasangan lelaki yang berumur 18 tahun ke bawah dan perempuan yang berumur 16 tahun ke bawah, mereka adalah ditegah di sisi undang-undang untuk diakadnikah. Walau bagaimanapun, terdapat pengecualian diberikan kepada pasangan ini jika hendak meneruskan perkahwinan tersebut. Mereka boleh meneruskan perkahwinan mereka walaupun masih di bawah umur asalkan mereka mendapat KEBENARAN SECARA BERTULIS DARI HAKIM SYARIE. Hakim Syarie di sini bermaksud Hakim Mahkamah Syariah.

Seksyen 18 EUUKIS jelas menghendaki Pendaftar Pekahwinan Perceraian dan Rujuk di Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri untuk merujukkan terus permohonan melibatkan pasangan bawah umur yang bercadang untuk berkahwin kepada Hakim Syarie di mana perempuan tersebut bermastautin. Ini bermakna, jika pasangan wanita tersebut bermastautin di Kota Kinabalu, maka permohonan bagi mendapatkan kebenaran berkahwin hendaklah difailkan di Mahkamah Syariah di Kota Kinabalu. Pendaftar Perkahwinan tidak mempunyai kuasa memberi kebenaran berkahwinan kepada pasangan bawah umur kerana hanya Hakim Syarie sahaja yang boleh memberi kebenaran tersebut sebagaimana termaktub dalam undang-undang.

Apa yang perlu dilakukan ialah, pasangan tersebut hendaklah terlebih dahulu melalui proses di Mahkamah Syariah. Tidak cukup dengan hanya datang ke Pejabat Pendaftar Perkahwinan Nikah dan Rujuk di Jabatan Agama Islam. Ibu bapa atau Penjaga kepada pasangan bawah umur lazimnya menjadi pemohon dalam kes tersebut. Permohonan ini dinamakan Permohonan Kebenaran Kahwin Bawah Umur (KBU).

Alasan-alasan yang kukuh mengapa pasangan bawah umur hendak berkahwin hendaklah dikemukakan di hadapan Hakim Syarie. Selain ibu bapa atau Penjaga, pasangan bawah umur juga dikehendaki hadir di hadapan Hakim. Jika perlu, kesemua pihak, termasuk pasangan bawah umur itu juga akan ditanya atau disoal mengenai perkahwinan yang bakal ditempuh.

Alasan yang kukuh untuk berkahwin lazimnya akan mendapat kebenaran dari Hakim Syarie. Mahkamah boleh menolak permohonan atau menangguhkan kebenaran perkahwinan tersebut sehingga ke satu masa yang sesuai menurut pertimbangan Mahkamah.

Antara alasan yang lazimnya digunakan oleh pemohon dalam kes KBU ialah kerana pasangan suka sama suka, sukar untuk dielakkan lagi perkahwinan kerana pasangan terlalu rapat, pasangan telahpun bersekedudukan, pasangan lari dari rumah, pasangan telah ditangkap khalwat, pasangan perempuan telahpun mengandung anak luar nikah, atas persetujuan kedua ibu bapa atau keluarga kedua pihak dan pelbagai lagi alasan. Apapun alasan atau sebab yang dikemukakan, terserahlah kepada kebijaksanaan dan budibicara Makhamah Syariah untuk meluluskan atau sebaliknya permohonan tersebut. Soalan-soalan yang akan ditanya oleh Hakim juga adalah bergantung kepada kreativiti Hakim tersebut. Yang penting, Hakim berpuashati dengan keterangan yang diberikan.

Pendengaran kes pula lazimnya dibuat dalam kamar hakim sebagaimana yang dikehendaki oleh undang-undang. Seksyen 119 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah No, 10 (Sabah) Tahun 2004 (ETMS) menghendaki bahawa mana-mana kes yang dimulakan dengan permohonan, pendengaran kes berkenaan hendaklah dikendalikan dan diputuskan dalam kamar atau bilik hakim. Berikut adalah kandungan penuh Seksyen 119 ETMS:

“Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya dalam Enakmen ini atau mana-mana undang-undang bertulis lain, semua prosiding yang dimulakan dengan saman hendaklah didengar dan diputuskan di dalam Mahkamah terbuka dan semua prosiding yang dimulakan dengan permohonan hendaklah didengar dan diputuskan di dalam Kamar”.

Pendengaran kes dibuat dalam kamar hakim wajar dilakukan bagi menutup sebarang aib pihak-pihak yang mungkin dizahirkan semasa kes tersebut dikemukakan di hadapan hakim. Sebab-sebab mengapa perkahwinan tersebut perlu dilaksanakan pada kadar segera ada kalanya tidak dinyatakan dalam Affidavit Permohonan Pemohon. Bagaimanapun, perkara sebenar mengapa pernikahan tidak lagi dapat dielakkan akan dinyatakan oleh ibubapa atau penjaga anak berkenaan kepada Hakim melalui pertanyaan dan siasatan hakim. Antara contoh perkara mengaibkan pasangan yang tidak wajar didengar di dalam dewan mahkamah yang boleh didengar oleh awam ialah wanita tersebut sudahpun mengandung anak luar nikah. Inilah antara hikmah mengapa kes berkenaan perlu didengar dan diputuskan dalam kamar hakim sahaja.

 

Bagaimana jika bakal suami sudah berkahwin?

Dalam borang permohonan mendapatkan kebenaran berkahwin, pasangan dikehendaki menyatakan status semasa mereka samada masih bujang, berkahwin, janda atau duda. Jika sekiranya bakal suami perempuan tadi sudah berkahwin, maka mahkamah boleh menangguhkan pendengaran atau keputusan kes permohonan KBU perempuan tersebut. Apa yang perlu dilakukan ialah bakal suami perempuan tersebut hendaklah terlebih dahulu menfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran berpoligami di Mahkamah Tinggi Syariah. Jika kebenaran berpoligami sudah diberikan, Mahkamah yang mendengar permohonan KBU akan mendengar semula kes tersebut dan bolehlah membuat keputusannya samada membenarkan perkahwinan bawah umur kepada anak tersebut atau sebaliknya.

Undang-undang ini pada pandangan Penulis perlu dilihat dan dinilai dalam perspektif positif. Persepsi masyarakat bahawa undang-undang ini menyusahkan urusan orang Islam harus diketepikan. Tujuan utama adalah untuk membendung kemudaratan. Mudarat dalam perkahwinan lebih cenderung untuk berlaku kerana pasangan masih terlalu muda untuk melayari alam rumahtangga. Rumahtangga pula penuh dengan pelbagai cubaan dan dugaan, pahit dan manis, ranjau dan duri. Tambahan lagi, rumahtangga memerlukan pasangan menghayati hak dan tanggungjawap mereka. Inilah yang lebih utama.

Bayangkanlah sekiranya yang hendak berkahwin itu baharu berumur 13 tahun atau 14 tahun! Bagaimana agaknya mereka mengendalikan rumahtangga mereka? Tidak menghairankan apabila ada pasangan suami isteri yang masih muda akhirnya kembali semula ke Mahkamah Syariah untuk bercerai hanya beberapa bulan selepas berkahwin. Puncanya,  ada kaitan dengan kegagalan menunaikan hak dan tanggungjawap dalam rumahtangga. Soalnya, mereka gagal memahami alam rumahtangga itu sendiri kerana belum matang. Soalnya, mereka gagal memahami hukum hakam dalam dunia perkahwinan.

Semoga ada manfaatnya tulisan ini untuk anda semua. Sesungguhnya Islam tidak menyusahkan suatu urusan umatnya. Bahkan ia menyeru untuk mempermudahkan urusan itu. Namun, Islam juga melihat kepada kemudaratan yang bakal berlaku. Apa yang pasti, Allah telah mengingatkan kita bahawa kita dilarang sama sekali untuk mencampakkan diri kira ke dalam kebinasaan. Akhirnya, jika syariat Islam itu dihayati dan diamalkan, akan terserlahlah pada kita bahawa 5 perkara utama dalam kehidupan yang diperlukan oleh semua manusia di muka bumi ini akan terpelihara. 5 perkara yang perlu dijaga dan dipelihara itu adalah agama, nyawa, akal, harta dan keturunan.

Wallahu a’lam.

About ERAKITA

TERUSKAN LANGKAH USAH BERHENTI

Posted on 18 Julai 2018, in AGAMA, E-SYARIAH, HAKIM MAHKAMAH RAYUAN SYARIAH, HAKIM MAHKAMAH RENDAH SYARIAH, HAKIM MAHKAMAH TINGGI SYARIAH, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH SABAH, JABATAN PEGUAM BESAR NEGERI SABAH, JABATAN PEGUAM NEGARA, JKSM, KELUARGA, MAHKAMAH, Mahkamah Sivil, Mahkamah Syariah, mahkamah syariah tawau, peguam syarie, Perkahwinan, PERSATUAN GUAMAN SYARIAH MALAYSIA, PERSATUAN PEGUAM MUSLIM SABAH (AMAL), PERSATUAN PEGUAM WANITA MUSLIM SABAH (SALWA), RENUNGAN. Bookmark the permalink. Tinggalkan komen.

Tinggalkan komen