Monthly Archives: November 2009

IBADAT: perlunya mengenalpasti keutamaan

 

DSC07234

 

KONSEP IBADAT

amalan menurut keutamaan


2 November 2009

Pemahaman mengenai konsep ibadah yang sebenar dapat memberi kesan yang amat mendalam ke atas diri dan peribadi seseorang Muslim. Orang yang memahami konsep ibadah akan mendapati bahawa hidup yang sementara di dunia ini tidak boleh dipersia-siakan begitu sahaja. Baginya, setiap saat yang berlalu tanpa ibadah merupakan kerugian kerana setiap amal ibadah walau sekecil manapun, pasti akan diberikan ganjaran pahala oleh Allah SWT. Baginya, hidup adalah kesempatan terbaik untuk membuat sebanyak mungkin amal kebajikan. Ini kerana, amal kebajikan adalah bekalan paling bernilai di hari akhirat.

Bagi orang yang tidak memahami konsep ibadah, ia akan selalu rugi dan sentiasa terdedah kepada perbuatan yang sia-sia. Maksudnya, ia mungkin melakukan banyak kerja yang ia anggap sebagai ibadah, tapi jika diteliti, perbuatannya itu tidak menepati kaedah yang sebenar menurut hukum syarak. Contoh mudah ialah, ada orang yang begitu rajin buat solat sunat tapi perbuatannya menjadi sia-sia kerana whudu yang dilakukannya dari peringkat awal tidak betul.

Ada orang yang menyangka bahawa ibadah itu hanyalah terhad kepada solat lima waktu, menunaikan zakat, berpuasa di bulan ramadhan dan menunaikan haji dan umrah. Akibatnya, berlaku kejadian di mana ada orang  hanya menumpukan urusan hidup di masjid dengan beriktikaf sambil menunggu masuk waktu solat yang seterusnya tanpa memikirkan betapa pentingnya ia mencari rezeki di luar sebagai sumber kehidupannya dan keluarganya. Tidak terlintas dalam pengetahuannya bahawa mencari rezeki yang halal merupakan satu ibadah yang besar pahalanya di sisi Allah SWT.

Ia tidak sedar bahawa dengan rezeki yang diperolehi, dapatlah pula ia menyediakan nafkah buat isteri dan anak-anaknya yang pada akhirnya, perbuatan memberikan nafkah tersebut merupakan ibadah yang besar pahalanya di sisi Allah. Memang tidak dinafikan bahawa duduk beri’tikaf di masjid besar pahalanya. Duduk di masjid untuk menunggu masuknya solat yang seterusnya memang besar pahalanya. Namun, semua urusan hidup ini perlu melihat kepada keutamaan. Maknanya, jika ada kerja yang lebih mustahak dan mendatangkan maslahah lebih besar, keutamaan kita ialah mengerjakan terlebih dahulu perkara yang paling mustahak itu.

Inilah yang ERAKITA maksudkan di awal perbincangan tadi bahawa, dalam soal melakukan ibadah, kita harus melihat keutamaan untuk didahulukan ketika berhadapan dengan banyak perkara-perkara penting untuk dilakukan. Berbanding mengutamakan iktikaf di masjid semata-mata yang hanya mendatangkan kebaikan untuk seorang individu, elok sangatlah kita melakukan perkara yang bukan saja mendatangkan faedah diri sendiri, malah lebih jauh dari itu, ia mampu mendatangkan faedah yang amat besar kepada umat keseluruhannya.

Ketiadaan ilmu dalam memahami konsep ibadat ini tidak mustahil dapat melahirkan individu-individu Muslim yang kuat melaksanakan ibadah solat tetapi dalam masa yang sama, sentiasa pula mengharapkan bantuan kewangan dari jemaaah yang keluar masuk  dalam masjid. Mereka lupa bahawa sikap meminta-minta dari orang lain itu dibenci Allah AWT dalam keadaan mereka mempunyai bentuk fizikal dan kesihatan yang baik untuk mencari rezeki dengan tangan mereka sendiri.

Kesilapan memahami kaedah dan tatacara melaksanakan sesuatu ibadah itu ada kalanya menimbulkan kesulitan dan bebanan seseorang. Contoh yang mudah adalah ketika seseorang itu sedang bermusafir. Kejahilan mengenai adanya kemudahan yang Allah berikan kepada umat-Nya untuk mengerjakan ibadah solat secara jamak dan qasar bagi orang yang bermusafir itu akan menyebabkan orang itu terpaksa mengerjakan solat lima waktu satu persatu apabila tiba waktunya dalam keadaan tergesa-gesa akibat keterbatasan waktu dan kesukaran mencari ruang untuk menunaikan solat. Hal ini sudah tentu menyulitkan orang tersebut melaksanakan ibadahnya di samping sedikit sebanyak mengganggu kelancaran perjalanannya. Semua kesulitan tersebut sebenarnya dapat dihindarkan andaikata orang tersebut mempunyai pengetahuan dan kefahaman mengenai konsep ibadah dalam Islam.

Bercakap tentang mengenalpasti keutamaan dalam perkara ibadah, ERAKITA ingin mengambil satu contoh yang mudah. Ada orang Islam yang dianugerahkan rezeki yang banyak. Demi untuk menambahkan amal ibadat, ia melazimkan dirinya untuk mengerjakan haji sebanyak dari tahun-ke tahun. Soal mengerjakan umrah bukan lagi perkara yang rahsiah baginya. Boleh dikatakan setiap tahun, tidak kurang dari sekali mengerjakan umrah di Tanah Suci Makkah. Niatnya cukup murni. Tidak lain tidak bukan, untuk menambahkan sebanyak mungkin amal ibadat dan pahala di sisi Allah. Namun, ada yang perlu disentuh di sini. Andai kata ia mengetahui fiqh keutamaan, sudah pasti ia akan menukar amalan ini kepada yang lebih besar manfaat dan pahalanya.

Untuk mendapatkan pahala yang lebih besar, alangkah baiknya kalau wang sebanyak itu digunakan pula untuk kepentingan umat Islam yang lain. Wang tersebut boleh disalurkan untuk pembinaan atau pembesaran masjid sebagai contoh. Atau, pembinaan atau pembesaran rumah anak-anak yatim. Atau, pembelian buku-buku agama di sekolah-sekolah atau pusat-pusat pengajian. Ataupun, wang tersebut digunakan untuk permbiayaan rawatan pesakit kritikal yang memerlukan kos besar di pusat perubatan. Atau, membeli sebuah tanah atau bangunan untuk diwakafkan bagi kepentingan umat Islam. Atau, menggunakan duit tersebut untuk membiayai kos pengajian anak-anak Muslim melanjutkan pelajaran di peringkat tinggi.

Atau, menggunakan wang tersebut untuk membiayai kos elaun guru-guru agama di sekolah-sekolah yang tidak mencukupi peruntukannya. Atau, menggunakan wang tersebut untuk membiayai mana-mana ahli keluarganya mengerjakan haji. Banyak lagi contoh yang boleh diketengahkan untuk mengenalpasti keutamaan yang harus didahulukan. Contoh-contoh keutamaan yang diberikan di atas jika menjadi keutamaan orang kaya Muslim tadi, pasti mendatangkan kebaikan dan maslahah yang lagi banyak bukan saja kepada masyarakat umum, bahkan juga kepada dirinya sendiri. Jika diteliti, ternyata amalan-amalan tadi benar-benar bakal menjadi amal jariah yang hasilnya berpanjangan walaupun kita sudah lama meninggal dunia. Bandingkan kalau wang sebanyak itu hanya digunakan untuk diri sendiri pergi ke Makkah setiap tahun? Mana satu yang jelas memberi manfaat yang besar?

Tidak menghairankan apabila ulama kontemporari Dr Yusuf al-Qhardhawi mengarang sebuah buku khusus membincangkan fiqh keutamaan dalam bukunya Fii fiqh al-awlayiyaat: diraasat al-jadid fii dau al-Quran wa al-sunnah.[1] Dalam buku tersebut, banyak contoh-contoh kesilapan yang dilakukan oleh umat Islam dalam mengerjakan ibadah sehingga meninggalkan perkara-perkara utama yang jauh lebih banyak mendatangkan manfaat dan menjauhkan kemudaratan. Antara perkara-perkara yang dibincangkan secara terperinci oleh beliau dalam buku ini ialah mengutamakan kualiti ke atas kuantiti, mengutamakan kefahaman ke atas semata-mata hafalan dan lain-lain lagi yang dirasakan amat relevan diaplikasikan dalam era moden yang serba mencabar ini.

Bagi meninggikan lagi kualiti ibadah, kefahaman mengenai keutamaan-keutamaan dalam beribadah amat penting untuk dipelajari. Buku fiqh al awlawiyyaat karangan Dr Yusuf al-Qhardhawi yang disebut sebelum ini amat sesuai untuk menjadi bahan bacaan bagi mereka yang ingin mendalami ilmu mengenai perkara-perkara yang patut diberi keutamaan dalam kehidupan ini. Adalah diharapkan agar perbincangan mengenai konsep ibadah dalam tulisan ini dapat memberi manfaat kepada para pembaca dalam rangka menjadikan ibadah kita benar-benar menjadi sempurna, berkualiti dan diterima Allah SWT.

MENDAHULUKAN YANG UTAMA

HIDUP BERKUALITI

 

 


[1] Kitab ini diterjemahkan dari bahasa Arab ke dalam bahasa Malaysia bertajuk Fiqh Keutamaan: Satu Kajian Baru dari Perspektif Al-Quran dan Sunnah, oleh Ahmad Nuryadi Asmawi, Thinker’s Library Sdn Bhd, Selangor, 1996.