MANSUH ISA OK! NAIKKAN BIDANGKUASA MAHKAMAH SYARIAH BILA LAGI?

MANSUH ISA OK! NAIKKAN BIDANGKUASA MAHKAMAH SYARIAH BILA LAGI?

16 September 2011

Selamat Menyambut Hari Malaysia 16 September! Syabas dan Tahniah kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia atas langkah memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Bagi ERAKITA, langkah kerajaan menamatkan riwayat ISA memang wajar, lebih-lebih lagi ia selaras dengan kehendak dan desakan sebahagian besar rakyat Malaysia selama beberapa dekad. Duduk di depan kaca TV malam menjelang Hari Malaysia sambil mendengar ucapan Pemimpin No. 1 Negara, Perdana Menteri Malaysia sememangnya suatu yang mendebarkan. Ia mendebarkan kerana difahamkan sebelumnya bahawa Perdana Menteri akan membuat beberapa pengumuman penting kerajaan dalam ucapannya nanti. Jelas, satu perkara yang cukup menarik dalam ucapannya adalah pemansuhan ISA. Erakita ucapkan syabas dan tahniah kepada kerajaan.

Namun, di saat khyusuk mendengar ucapan tersebut, Erakita terfikir mengenai satu perkara penting bagi umat Islam di negara ini. Maksud Erakita ialah, sementara ruang tersebut diambil untuk membuat pengumuman penting kerajaan untuk rakyat, apakah kerajaan tidak terfikir untuk membuat pengumuman untuk menaikkan bidangkuasa Mahkamah Syariah? Dalam konteks jenayah syariah, apakah kerajaan tidak terfikir atau tidak berhasrat untuk membuat perubahan bagi menaikkan bidangkuasa jenayah syariah? Sejak berpuluh-puluh tahun Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 tidak dipinda. Sejak berpuluh-puluh tahun, Akta inilah yang mengekang dan menyekat peningkatan bidangkuasa Jenayah Mahkamah Syariah. Bayangkanlah saudara, melalui Seksyen 2 Akta ini, Mahkamah Syariah hanya diberi kuasa untuk menjatuhkan hukuman kepada pesalah Jenayah Syariah tidak lebih 3 tahun bagi hukuman penjara atau tidak lebih RM5000,00 bagi hukuman denda atau tidak lebih 6 sebatan bagi hukuman sebat. (356)

Professor Dr. Hj Razali Nawawi, Pakar Perundangan Islam yang juga Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pernah mengungkapkan bahawa 356 adalah merupakan ANGKA PUAKA. Bagi beliau, angka tersebut bagaikan angka puaka kerana angka tersebut terus menghantui para pendokong dan pencinta perundangan Islam di Negara ini. Rakyat yang cintakan Islam dan mempunyai fikrah bagi mendaulatkan undang-undang Islam terus menanti dan menanti dengan penuh sabar dan minat agar kerajaan sedia ada melakukan refomasi perundangan Islam.

Sesungguhnya kadar hukuman maksima yang boleh dikenakan oleh Mahkamah Syariah kepada pesalah jenayah terlalu rendah berbanding dengan kuasa yang di”anugerahkan” kepada Mahkamah Awam. Sementara Mahkamah Awam diberi kuasa menghukum pesalah ke tali gantung atau penjara seumur hidup atau denda yang tinggi, Mahkamah Syariah pula bagaikan “dianaktirikan”. Mahkamah Syariah hanya boleh menghukum dengan penjara tak lebih dari 3 tahun atau denda tak lebih dari RM5,000 atau sebatan tak melebihi 6 kali sebat.

Dengan bidangkuasa menghukum yang begitu rendah dan terlalu sedikit, bagaimanakah agaknya Mahkamah Syariah mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan Mahkamah Awam di negara ini? Bagi Erakita, sementara rakyat wajar bersyukur atas beberapa perubahan positif perundangan yang berlaku di negara ini, rakyat wajar melihat dan menyedari apakah nasib yang menimpa kepada Mahkamah Syariah. Memang menyedihkan apabila perkara-perkara penting dan begitu kritikal seperti kuasa menghukum bagi Mahkamah Syariah yang terlalu “kecil dan kerdil” terus dibiarkan oleh pihak berwajib.

Sementara Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan memberi kedudukan tertinggi kepada Islam sebagai Agama bagi Persekutuan, nampaknya roh dan semangat Perkara 3 ini belum lagi diterjemahkan ke dalam realiti sebenar dalam konteks memertabatkan perundangan Islam di Malaysia. Sementara Ketua Negara dipegang oleh Yang di-Pertuan Agong yang juga seorang Islam, Perdana Menteri dan Timbalannya juga orang Islam dan pelbagai lagi jawatan penting dalam negara dipegang oleh orang Islam, usaha seharusnya dilakukan untuk menaikkan martabat Mahkamah Syariah dengan menaikkan kuasa menghukum. Apa yang diutarakan di sini hanyalah pada satu aspek semata-mata, belum lagi menyentuh pelbagai lagi aspek berkaitan perundangan Islam.

Justeru, sempena sambutan Hari Malaysia 16 September tahun ini, Erakita berkongsi satu harapan dan cita-cita yang murni untuk melihat perubahan yang lebih positif dalam konteks memertabatkan perundangan Islam khususnya dalam soal peningkatan kuasa menghukum Mahkamah Syariah. Semoga ANGKA PUAKA 356 itu tidak lagi terus menghantui kita untuk 10 atau 20 atau 30 tahun lagi. Keadaan hidup terus berubah dan bertambah kompleks. Undang-undang juga harus berubah menurut keadaan zaman dan kesesuaian keadaan.

Dengan penuh hormat dan harapan, Erakita mendoakan agar para pemimpin kita terbuka minda dan hati untuk melakukan perubahan yang lebih posiif dan dinamik bagi menaikkan bidangkuasa Mahkamah Syariah di negara tercinta ini.  Selamat Menyambut Hari Malaysia!

About ERAKITA

TERUSKAN LANGKAH USAH BERHENTI

Posted on 16 September 2011, in UNDANG-UNDANG. Bookmark the permalink. Tinggalkan komen.

Tinggalkan komen