PERKAHWINAN LAIN AGAMA

   

PERKAHWINAN LAIN AGAMA

  

18 Oos 2010

Islam meletakkan perkahwinan sebagai syariat yang suci dan murni. Ia bukan suatu perkara yang boleh dipermain-mainkan atau dicuba-cuba. Ini kerana, perkahwinan akan membentuk sebuah institusi penting iaitu keluarga. Keluarga membentuk sebuah masyarakat. Masyarakat pula membentuk sebuah negeri atau Negara. Perkataan “keluarga” selalu disebut orang bagi merujuk kedudukan kelompok atau kumpulan dalam sebuah masyarakat.

Contohnya, orang akan mengatakan “itu keluarga berada”. “Itu keluarga diraja”. “Itu keluarga bangsawan”. “Itu keluarga seni”. “Itu keluarga beragama”. “Itu keluarga kaya”. “Itu keluarga miskin”. “Itu keluarga malang”. “Itu keluarga baik” dan bermacam lagi sebutan orang. Melihat betapa pentingnya sebuah keluarga, Islam begitu menekankan peraturan ketat dan teratur kepada umatnya dalam hal kekeluargaan. 

Dalam ajaran Islam, tidak ada istilah “Kahwin Campur” atau kahwin antara berlainan agama. Contohnya seorang Islam berkahwin dengan seorang Kristian. Atau seorang Islam berkahwin dengan seorang Buddha. Perkahwinan ini adalah terlarang dan tidak diiktiraf. Jika diteruskan juga, perkahwinan itu dianggap sebagai tak sah. Bila tidak sah, maka perkahwinan itu mestilah difaraqkan atau dibubarkan.

Dalam konteks undang-undang keluarga Islam, larangan ke atas orang Islam untuk berkahwin dengan orang yang berlainan agama termaktub dalam seksyen 10 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (2004) Sabah. 

Larangan ini walau bagaimanapun dikecualikan bagi perkahwinan antara seorang Islam dengan seorang Kitabiyah. Untuk lebih jelas, Erakita perturunkan kandungan penuh seksyen 10 seperti berikut. 

ENAKMEN 8 TAHUN 2004
ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM 2004

BAHAGIAN II – PERKAHWINAN


Seksyen 10. Orang dari agama lain

(1) Tiada seseorang lelaki atau perempuan boleh berkahwin dengan seseorang bukan Islam kecuali seorang Kitabiyah.

(2) Tiada seseorang perempuan boleh berkahwin dengan seseorang bukan Islam. 

Berkenaan pengecualiaan kepada seorang Kitabiyah, persoalan boleh timbul. Siapa dia seorang Kitabiyah yang dikatakan boleh dan sah dikahwini oleh orang Islam? Erakita sukacita ingin merujuk saudara-saudara kepada tafsiran Kitabiyah dalam Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984. Di bawah ini, diperturunkan kandungan penuh tafsirannya.

AKTA 303
AKTA UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (WILAYAH PERSEKUTUAN) 1984

BAHAGIAN I – PERMULAAN


Seksyen 2. Tafsiran.

“Kitabiyah” ertinya –

(a) seorang perempuan dari keturunan Bani Ya’qub; atau

(b) seorang perempuan Nasrani dari keturunan orang-orang Nasrani sebelum Nabi Muhammad menjadi Rasul; atau

(c) seorang perempuan Yahudi dari keturunan orang-orang Yahudi sebelum Nabi ‘Isa menjadi Rasul;

Isu samada masih wujud golongan Kitabiyah pada masa ini, soal itu tidak akan dibincangkan oleh Erakita dalam artikel ini. Mengenai perkahwinan campur atau berlainan agama, tidak ada jalan lain melainkan perkahwinan itu mestilah dibubarkan.

Sebagai umat Islam yang cintakan kesucian agama, kita bertanggungjawap untuk memberi ingatan dan teguran kepada pihak yang telah terlanjur berkawin antara agama supaya mengambil tindakan untuk membubarkan perkahwinan mereka. Apa yang patut dilakukan ialah merujukkan hal tersebut kepada pihak berkuasa agama di mana-mana yang terdekat dengan pasangan. Nasihat yang berguna dapat diberikan kepada pasangan tersebut. 

Perkahwinan yang tidak sah itu hendaklah dibubarkan di Mahkamah Syariah. Setelah dibubarkan, pasangan tersebut boleh memilih untuk berkahwin semula menurut syariat dan undang-undang yang ada atau berpisah terus. Jika ingin berkahwin semula, pihak yang bukan Islam hendaklah memeluk agama Islam terlebih dahulu. Setelah sah sebagai seorang Islam, baharulah pasangan berkenaan sah untuk bernikah antara mereka. 

Justeru, tidak ada jalan singkat untuk berkahwin. Banyak implikasi atau kesan akibat perkahwinan campur itu. Selain tidak sah perkahwinan, pasangan juga menghadapi masalah untuk mendaftarkan perkahwinan mereka. Pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pula mempunyai peraturan yang ketat apabila mendaftarkan kelahiran anak-anak. Perkara-perkara seperti sijil nikah atau kahwin, agama ibu bapa dan lain-lain lagi diperlukan untuk memproses pengeluaran sijil lahir anak-anak.

Persoalan timbul. Bagaimana jika pasangan itu tidak ada sijil kahwin? Apa agaknya status anak dalam system pendaftaran JPN nanti? Bukan menjadi satu kejutan andaikata system pendaftaran di JPN nanti meletakkan status anak tersebut sebagai tiada bapa! 

Banyak sebenarnya kesan negatif akibat kahwin berlainan agama. Selain menggugat aqidah atau kepercayaan seseorang terhadap agamanya, ia merosakkan institusi kekeluargaan. Ia merosakkan keharmonian antara agama. Ia menjadikan masyarakat celaru. Ia meletakkan anak-anak mereka menjadi mangsa keadaan. Selain terdedah kepada ketiadaan bapa dalam system JPN, anak-anak juga terpaksa berhadapan mengenai status agama mereka. Apakah anak-anak itu dianggap Islam atau sebaliknya. Demikian juga nasab atau keturunan anak tersebut yang turut menjadi persoalan. 

Rumusan yang Erakita dapat nyatakan ialah hentikan perkahwinan berlainan agama. Janganlah korbankan kesucian agama semata-mata kerana memenuhi ikatan cinta dengan pasangan. Fikirkan kesannya pada masa hadapan. Kesan buruknya amat besar. Jika hendak berkahwin juga, biarlah menurut hukum agama dan undang-undang.

 Perkahwinan berlainan agama tak boleh! Kecuali Kitabiyah

 

 

About ERAKITA

TERUSKAN LANGKAH USAH BERHENTI

Posted on 18 Ogos 2010, in AGAMA, KELUARGA, RENUNGAN, UNDANG-UNDANG. Bookmark the permalink. 13 Komen.

  1. bleh ke rakyat malaysia beragama buddha berkahwin dgn rakyat indonesia yg beragama islam? perkahwinan di jalankan mengikut undang2 malysia

  2. Terimakasih atas pertanyaan Saudari Samila di atas. Tidak ada sekatan di sisi undang-undang kepada mana-mana rakyat Malaysia untuk berkahwin dengan pasangan dari warganegara lain. Apa yang penting ialah perkahwinan tersebut mestilah dilaksanakan menurut peraturan dan undang-undang sedia ada. Bagi pasangan bukan Islam, jika ia berkahwin dengan pasangan bukan Islam, ia hendaklah berkahwin menurut undang-undang Law Reform (marriage & dicorce Act) 1976. Akta ini terpakai hanya kepada yang bukan Islam.

    Namun, apabila seorang bukan Islam hendak berkahwin dengan orang Islam, ia adalah tertakluk kepada undang-undang keluarga Islam yang ada di negeri berkenaan di mana perkahwinan tersebut dilaksanakan. Jika perkahwinan tersebut dilaksanakan di Wilayah Persekutuan, maka undang-undang keluarga yang terpakai adalah Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.

    Mengenai perkawinan seorang warga Malaysia bukan Islam dengan orang Islam, apa yang perlu dilakukan adalah pasangan yang bukan Islam hendaklah terlebih dahulu memeluk Islam. Selepas itu baharulah suatu perkahwinan tersebut dilaksanakan menurut undang-undang keluarga Islam. Jika tidak, suatu perkahwinan itu tidak akan dapat disahkan oleh mana-mana undang-undang di negara ini. Perlu diketahui bahawa setiap perkahwinan di negara ini hendaklah didaftarkan. Setelah didaftar, baharulah suatu sijil atau certificate perkahwinan dapat dikeluarkan kepada pasangan.

    Tidak seperti amalan di Indonesia, tidak ada mana-mana undang-undang yang membenarkan perkahwinan campur di Malaysia. Tidak ada akta atau enakmen undang-undang kekeluargaan yang mengiktiraf suatu perkahwinan campur. Dengan erti kata lain, tidak ada undang-undang di negara ini yang membenarkan perkahwinan pasangan yang berlainan agama khususnya antara orang Islam dengan bukan Islam.

    Hatta, perkahwinan dengan cara adat sekalipun mestilah didaftarkan di bawah Akta Memperbaharui Undang-Undang (Marriage & Reform) 1976 selepas tahun 1982. Dalam kes Saudari Shamila, pasangan bukan Islam hendaklah memeluk Islam terlebih dahulu. Ini kerana, ia penting untuk menjadikan suatu perkahwinan itu sah dan diiktiraf oleh undang-undang. Jika tidak, ia akan mengundang pelbagai masalah yang rumit dan tiada kesudahan pada masa hadapan. Mangsanya adalah pasangan itu sendiri, lebih-lebih lagi kepada anak-anak pasangan. Paling sukar, apabila berlaku krisis rumahtangga atau kematian pasangan.

    Mengenai perkahwinan warga Malaysia dengan warga asing (indonesia) dalam kes di atas, tiada masalah. Ia boleh dilakukan. Pertamanya, pasangan bukan Islam hendaklah memeluk Islam terlebih dahulu. Keduanya, jika perkahwinan itu dilakukan di Malaysia, permohonan untuk kebenaran berkahwin hendaklah dibuat di negeri di mana perkahwinan itu hendakl dilakukan. Ketiganya, suatu kebenaran bertulis dari Kedutaan atau pihak berkuasa Indonesia mengenai perkahwinan berkenaan hendaklah diperolehi terlebih dahulu.

    Mudahnya, maklumat mengenai dokumen yang diperlukan boleh diperolehi di haadpan pegawai Nikah kahwin dan rujuk di pejabat Jabatan Agama Islam yang berkaitan. Dapatkan maklumat asas itu berpandukan check list yang lazimnya diberikan kepada mana-mana pemohon.

    Akhir sekali, ERAKITA mengucapkan selamat melaksanakan keperluan yang berkenaan. Tidak perlu risau kerana tindakan yang tepat dan betul di peringkat awal dapat mengelakkan diri dari sebarang kesulitan berpanjangan pada masa hadapan.

    Semoga sedikit maklumat yang ERAKITA berikan ini dapat menjadi panduan kepada Saudari Shamila.

    Terimakasih atas kunjungan dan pertanyaan yang baik itu.

  3. assalamualikum..ust,seorang wanita telah berkahwin atas pilihan walinya,namun selepas aqad nikah wanita tersebut telah lari meninggalkan suaminya kerana si wanita tersebut tidak suka kepada suaminya(x cinta)dan mereka tidak pernah bersama.Perkara ini berlanjutan sehingga bertahun namun si suami tidak pernah memujuk si istri tadi utk pulang bersamanya dan si istripun tidak ada hati walau secebispun utk hidup bersamanya begitulah sehingga kesaat ini.Masa berlalu,siwanita tersebut telah menemui cintanya dan berhasrat utk bernikah dgn nya.Persoalannya apakah tindakan wanita yg lari selepas nikah kerna beralasan TIDAK CINTA kepada suaminya itu sesuai dgn agama dan Enakmen?kedua,bagaimana menyelesaikan masalah siwanita tersebut yg beriya-iya mahu berkahwin dengan pujaan hatinya(cintanya)itu..Andai ada rspon..

  4. Wa’laykum salam wbt,

    Terimakasih atas persoalan di atas. Perkahwinan yang telah terjadi pada pasangan tersebut sungguh menyedihkan. Matlamat perkahwinan tidak tercapai, sebaliknya menimbulkan fitnah dan menyulitkan. Inilah akibat jika pasangan tidak dirujuk atau minta pendapatnya sewaktu si wali hendak menghawinkan anaknya. Rasanya, si suami juga dalam kes ini tidak mempunyai perasaan suka atau kasih yang ideal kepada isterinya.

    Isteri lari meninggalkan suaminya bukan tindakan yang betul. Suami membiarkan perbuatan isteri sedemikian juga tidak betul. Sebaik kedua pasangan bernikah, hak dan kewajiban kedua suami isteri secara automatik wujud. Kes yang berlaku kepada pasangan ini menunjukkan hak dan kewajiban tidak pernah terlaksana. Adalah menjadi dosa membiarkan hal ini berterusan tanpa penyelesaian. Ia menimbulkan fitnah dan permusuhan antara pasangan, malah antar keluarga kedua pihak.

    Apa yang wajar dilakukan sekarang adalah kedua pihak duduk berbincang untuk mencari jalan penyelesaian. Perkahwinan yang dilalui tidak bermanfaat. Antara penyelesaian terbaik adalah dengan bercerai secara baik. Caranya, si isteri atau si suami failkan permohonan perceraian di Mahkamah Syariah atas persetujuan bersama. Lazimnya Mahkamah tidak ada masalah untuk membenarkan si suami melafazkan cerai talaq 1 ke atas isteri andai kedua suami isteri telah bersetuju bercerai.

    Nyatakan kedudukan sebenar kepada mahkamah bahawa sepanjang perkahwinan, tidak pernah berlaku jimak di antara pasangan itu. Ini kerana, ia akan menentukan iddah perceraian si isteri. Isteri yang diceraikan dan tidak pernah berlaku persetubuhan suami isteri sepanjang tempoh perkahwinan tidak perlu beriddah. Ini bnermakna, setelah bercerai, si isteri tidak perlu risau untuk menunggu masa yang lama untuk berkahwin dengan buah hatinya yang telah sedia menunggu. Apapun, kebenaran untuk berkahwin mestilah diperolehi dari Pendaftar Perkahwinan di Jabatan Agama Islam.

    Justeru, berbincanglah sebaik-baik dengan si suami. Adakan persetujuan bersama dalam perkara-perkara lain jika perlu.Jangan timbulkan perkara-perkara baru atau mengungkit perkara-perkara lepas. Ia hanya akan mengeruhkan lagi suasana dan menghalang usaha untuk bercerai secara maaruf.

    Jika suami tidak setuju, sebaiknya si isteri mengambil khidmat guaman syarie untuk menguruskan kesnya. Boleh jadi, perceraian dalam bentuk lain seperti fasakh boleh dipohon di Mahkamah andai si isteri mempunyai alasan berkaitan.

    Wallahu a’lam.

  5. Terima kasih ust,atas jawpan yg diberikan..

  6. masuk je ke dlm Islam

    • Untuk memastikan perkahwinan pasangan berlainan agama dapat dilangsungkan, tiada jalan lain dalam Islam melainkan pihak yang bukan Islam mesti memeluk Islam. Benar kata Arabiyy.

  7. assalamualaikum…

    mengenai perkahwinan campur…
    1. jikalau perkahwinan mereka masih diteruskan dan segala ibadah wajib dan sunat masih dilakukan seperti biasa bagi pihak lelaki yang islam itu, adakah itu perkahwinan itu masih tidak sah di sisi undang-undang agama Islam di Malaysia???

    2. jikalau mereka ingin berkahwin dan pihak perempuan ingin masuk Islam, dan dilarang dan dibenci oleh rakan-rakan dan keluarga apakah yang patut mereka lakukan?? sebarang nasihat…

    3. tentang berkahwin campur, ada saya terbaca satu aktikel… kenapa lelaki islam buleh mengahwini perempuan bukan uslam tetapi tidak sebaliknya… bermaksud jika perempuan islam berkahwin dengan lelaki bukan islam… harap mendapat penerangan mengenainya…

    4. bagi pendapat saya, kenapa tidak dibenarkan perkahwinan campur di malaysia??? sedangkan terdapat pelbagai jenis kaum, bangsa dan agama di sini… bukankah itu satu cara untuk menyebarkan ajaran Islam, perpaduan antara agama, anak-anak juga dilatih untuk tidak bersifat perkauman dan berfikiran terbuka terhadap budaya orang lain. sila terangkan…

    itu sahaja soalan dari saya untuk masa ini… saya ni masih baru lagi di dalam konsep perkahwinan, dan masih muda untuk berfikir. tetapi ini adalah untuk masa depan saya juga, jikalau ini berlaku pada sahabat2 saya, atau orang yang saya kenali, moga saya dapat membantu mereka…

    saya meminta maaf di awal kata, di mana jika ada terdapat salah faham di sini… dan segala jawapan amatlah diperlukan…

    assalamualaikum…

  8. 1)anda telah memenangi hadiah untuk melancong ke indonesiapada bulan lepas,semasa berada di sana anda berpeluang menyasikan upacara perkhawinan masyarakat melayu islam indonesia.malangnya anda mendapati pasang kepada pengantin perempuan itu ialah seorang lelaki berbangsa serani.beragama kristian.merekaberkahwin tanpa pengantian lelaki menukar agamanya kepada islam,perkahwinan mereka dilangsungkan di gereja.sekembalinya anda dari sana,anda terfikir untuk menulis satu artikel berkenaan gejala tersebut.terangkan cara-cara yang boleh di ambil untuk menyedarkan kembali masyarakat yang berideologikan sekularisma untuk kembali islam.

    2)apakah langkah-langkah yang perlu di ambil untuk mencegah kejadian ini berlaku

  9. Addam Abdullah

    Assalamualaikum,

    1. Boleh ka seorang lelaki bukan islam yang sudah berkahwin masuk islam tapi isteri dan anak2 tidak mengikut suami masuk islam? ada kah berlaku pembubaran? sekiranya isteri tidak mahu memeluk islam apa akan berlaku?

    2. Jika si lelaki ingin berkahwin dengan perempuan islam sesudah masuk islam dan telah dipersetujui oleh isteri pertama(bukan islam) ada kah lelaki tersebut boleh berkahwin?

    Tolong beri buah fikiran….Terima kasih…

  10. Assalamualaikum,

    1. Boleh ka seorang lelaki bukan islam yang sudah berkahwin masuk islam tapi isteri tidak mengikut suami masuk islam? ada kah berlaku pembubaran? sekiranya isteri tidak mahu memeluk islam apa akan berlaku?

    2. Jika si lelaki ingin berkahwin dengan perempuan islam sesudah masuk islam dan tidak dipersetujui oleh isteri pertama(bukan islam) ada kah lelaki tersebut boleh berkahwin?

    Tolong beri buah fikiran….Terima kasih…

  11. Mahu bertanyak jika si lelaki agama islam mahu kahwin perempuan yang bukan islam.. Tapi si lelaki takmahu kahwin cara islam kerna mahu keluar dari agama islam.. Boleh kah mereka kahwin dengan cara lain.. Kerna si perempun juga taknak ikut agama si lelaki.. Kerna si lelaki tidak pernah ikut peraturan islam.. Si perempun takut si lelaki tak mampu ajar si perempuan kerna dia sendiri tak terima agama dia…

    Minta jawapan

Tinggalkan komen