PERKAHWINAN TERLARANG

 

 

 

PERKAHWINAN TERLARANG

 

15 Ogos 2010 

Perkahwinan antara lelaki dan perempuan bukannya adat. Ia adalah satu amalan manusia sejak zaman berzaman. Ia pastinya akan berterusan sampai hari kiamat. Perkahwinan diamal dan diiktiraf oleh semua agama. Dalam Islam, ia disebut pernikahan. Majlis perkahwinan juga disebut sebagai majlis pernikahan atau majlis akad nikah. 

Kegembiraan pasangan yang baru mengecapi alam perkahwinan boleh bertukar menjadi satu “malapetaka” besar. Kesedihan boleh berlaku sekelip mata. Kekecewaan melanda jiwa pasangan. Seluruh keluarga kedua pihak turut terkena bahang dan tampiasnya. Mengapa tidak? Ia boleh berlaku apabila pada akhirnya didapati bahawa perkahwinan mempelai baru itu rupanya tidak sah di sisi hukum syarak. 

Salah satu sebab perkahwinan itu tidak sah kerana adanya pertalian nasab atau perkawinan antara kedua pasangan itu. Pertalian itu pula menyebabkan perkahwinan antara keduanya dilarang atau diharamkan. Larangan berkahwin itu pula ada yang bersifat sementara dan ada yang bersifat selama-lamanya. 

Untuk hal ini, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam bagi setiap negeri di Malaysia menyediakan peruntukan undang-undang khusus. Tujuannya, agar ia menjadi panduan berguna kepada semua penganut Islam agar perkahwinan yang dijalankan itu menepati kehendak hukum syarak. 

Dalam konteks Negeri Sabah, peruntukan mengenai larangan perkahwinan atau perkahwinan yang diharamkan disebabkan pertalian nasab atau perkahwinan dinyatakan dalam seksyen 9, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Sabah), 2004. Berikut adalah kandungan penuh seksyen berkenaan. 

 

ENAKMEN 8 TAHUN 2004
ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM 2004

BAHAGIAN II – PERKAHWINAN


Seksyen 9. Pertalian yang melarang perkahwinan

(1) Tiada seseorang lelaki atau perempuan, mengikut mana-mana yang berkenaan, boleh, oleh sebab nasab, berkahwin dengan-

(a) ibunya atau bapanya;

(b) neneknya atau datuknya hingga ke atas, sama ada dari sebelah bapa atau dari sebelah ibu;

(c) anak perempuannya atau anak lelakinya dan cucu perempuannya atau cucu lelakinya hingga ke bawah;

(d) saudara perempuan atau saudara lelaki seibu sebapa, saudara perempuan atau saudara lelaki sebapa, dan saudara perempuan atau saudara lelaki seibu;

(e) anak perempuan atau anak lelaki kepada saudara lelaki atau saudara perempuan hingga ke bawah;

(f) ibu saudara atau bapa saudara sebelah bapanya hingga ke atas; dan

(g) ibu saudara atau bapa saudara sebelah ibunya hingga ke atas.

(2) Tiada seseorang lelaki atau perempuan, mengikut mana-mana yang berkenaan, boleh, oleh sebab pertalian kahwin, berkahwin dengan-

(a) ibu mertuanya atau bapa mertuanya hingga ke atas;

(b) ibu tirinya atau bapa tirinya, iaitu isteri bapanya atau suami ibunya;

(c) nenek tirinya atau datuk tirinya, iaitu isteri kepada datuknya atau suami kepada neneknya, sama ada dari sebelah bapa atau sebelah ibu;

(d) menantunya, lelaki atau perempuannya; dan

(e) anak perempuan tirinya atau anak lelaki tirinya hingga ke bawah daripada isteri atau suami yang perkahwinan telah disatukan.

 (3) Tiada seseorang lelaki atau perempuan, mengikut mana-mana yang berkenaan, boleh, oleh sebab sesusuan, berkahwin dengan seseorang perempuan atau lelaki yang ada hubungan dengannya melalui penyusuan di mana, jika hubungan itu adalah melalui kelahiran dan bukan melalui penyusuan, perempuan atau lelaki itu tetap dilarang berkahwin dengannya oleh sebab nasab atau pertalian kahwin.

(4) Tiada seseorang lelaki boleh mempunyai lebih dari satu isteri pada satu masa jika isteri-isteri itu adalah bertalian antara satu sama lain melalui nasab, pertalian kahwin, atau sesusuan yang mana perkahwinan antara mereka tidak sah mengikut Hukum Syarak.

 Jika didapati perkahwinan itu melibatkan mana-mana salah satu dari senarai pertalian terlarang untuk perkahwinan seperti dinyatakan dalam seksyen 9 itu, kedua pasangan seharunya merujukkan perkara itu kepada pihak berkuasa agama. Nasihat berguna boleh diminta untuk mendapatkan kepastian mengenai kedudukan perkahwinan mereka. Seterusnya pasangan berkenaan boleh mendapatkan nasihat mengenai tindakan yang perlu dilakukan untuk menyelesaikan masalah berkenaan. 

Dalam hal tersebut, perkahwinan itu hendaklah difaraq atau dibubarkan di Mahkamah Syariah di mana pasangan berkenaan bermastautin. Jika pasangan telah mempunyai anak hasil dari perkahwinan tersebut, pasangan bolehlah mendapatkan status nasab bagi anak itu melalui permohonan kepada Mahkamah Syariah. Hal ini penting kerana perkara nasab mempunyai kesan tersendiri terhadap perkara-perkara seperti pewarisan harta pusaka, perwalian, pernikahan dan hubungan mahram dan hal-hal lain yang berkaitan. 

Satu perkara penting yang wajar diberi perhatian. Pasangan tersebut boleh terdedah kepada pendakwaan atas kesalahan melaksanakan akad nikah yang bertentangan dengan hokum syarak. Seksyen 40 (2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Sabah) 2004 boleh digunakan untuk tujuan pendakwaan bagi kesalahan ini. Jika disabitkan bersalah, Mahkamah boleh menjatuhkan hukuman kepada pasangan berkenaan dengan denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya sekali. 

ERAKITA sukacita untuk menurunkan kandungan penuh seksyen 40 di bawah ini untuk tatapan semua. 

 

ENAKMEN 8 TAHUN 2004
ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM 2004

BAHAGIAN IV – PENALTI DAN PELBAGAI PERUNTUKAN BERHUBUNGAN DENGAN AKAD NIKAH DAN PENDAFTARAN PERKAHWINAN


Seksyen 40. Kesalahan-kesalahan berhubungan dengan akad nikah perkahwinan

(1) Seseorang yang dengan diketahuinya mengakadnikahkan atau berbuat sesuatu yang berupa sebagai mengakadnikahkan atau menjalankan upacara sesuatu perkahwinan-

(a) tanpa ada kebenaran berkahwin sebagaimana dikehendaki oleh seksyen 19; atau

(b) di hadapan selain di hadapan sekurang-kurangnya dua orang saksi yang boleh dipercayai di samping orang yang mengakadnikahkan perkahwinan itu, adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu.

 (2) Seseorang yang berkahwin atau berbuat sesuatu yang berupa sebagai akadnikah atau yang menjalani sesuatu cara akadnikah dengan sesiapa jua berlawanan dengan mana-mana peruntukan Bahagian II adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu.

 

Bagi ERAKITA, undang-undang yang dibuat oleh pemerintah seumpama dalam kes di atas bukanlah untuk menyusahkan umat Islam. Undang-undang itu perlu untuk mengawal kita agar tindakan yang dilakukan menepati kehendak hokum syarak dan undang-undang. Hukuman yang disediakan seharusnya menjadi ingatan semua agar setiap pasangan yang hendak berkahwin mestilah meneliti dan menyemak kedudukan diri masing-masing, terutama mengenai pertalian pasangan.

Ahli keluarga bagi kedua pihak juga semestinya memastikan agar tidak wujudnya pertalian pasangan yang melarang perkawinan itu. Peranan masyarakat sekeliling yang mengenali pasangan, bakal saksi, wali dan juga jurunikah dalam hal ini amat diperlukan. Masing-masning mestilah mempunyai rasa tanggungjawab untuk menzahirkan apa yang terselindung.

 Semoga ada manfaatnya tulisan ini 

 

Advertisements

About ERAKITA

TERUSKAN LANGKAH USAH BERHENTI

Posted on 15 Ogos 2010, in AGAMA, KELUARGA, RENUNGAN, UNDANG-UNDANG. Bookmark the permalink. 4 Komen.

  1. Syukran….Erakita. memang bermanfaat.terutama kepada mereka yang selalu menjadi ” kaunter pertanyaan ” bagi setiap permasalahan keluarga.mungkin kita boleh menjelaskan dari segi hukum Islam , namun belum tentu kita dapat menjelaskan dari aspek perundangan islam dan hak-hak yang sepatutnya mereka tahu.syukran sekali lagi, dari perbincangan secara tidak formal telah di bawa kepada penulisan yang begitu besar manfaatnya.

  2. Terimakasih atas kenyataan IBNUARIFIN di atas. Sedikit ilmu yang ada biarlah kita manfaatkan bersama. Ia harus dikongsi dan disebarkan. Semoga sedikit sebanyak penjelasan dalam artikel ini dapat menjawab persoalan kepada sesiapa jua yang memerlukannya. Terimakasih.

  3. Assalammualaikum wbt saudaraku
    Di sini saya ingin bertanyakan berkenaan isu perkahwinan.
    Boleh kah kiranya seorang bukan Islam telah berkahwin dalam agamanya terdahulu, telah memeluk Islam (saudara baru) membubarkan perkahwinannya sebelum itu. Dalam kes ini, andaikan saudara baru itu wanita.
    Sekiranya bekas suami ( yang tidak memeluk Islam) itu enggan melepaskan beliau, apakah cara paling afdal untuk membantu diri saudara baru kita ini?
    Kerap berlaku kes seperti ini di sebuah negeri dalam Malaysia yang mana akhirnya saudara baru kita itu, hilang arah dan kembali kepada agama asalnya. Nauzubillah

    Wassalam

  4. sulaiman_mohdsabri@yahoo.com

    salam..nk tnya..sah atau tidak jika sekiranya kakak saya berkahwin dengan adik kpd ayah saya..ayah saya dan adiknya adalah melalui bapa yang sama,tetapi berlainan ibu?? bagaimana pula dengan wudhuk?batal atau tidak??

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: