Category Archives: SEKOLAH

LITERASI UNDANG-UNDANG DI KENINGAU

KENINGAU – Program DIALOG KASIH SAYANG (DKS) yang digerakkan di bawah Jawatankuasa Undang-Undang, Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) telah diadakan di Institut Perguruan Kampus Keningau, Sabah pada 27 Julai 2016.  Program yang julung kalinya diadakan  di Keningau itu adalah anjuran bersama Majlis Penasihat Wanita Sabah dan Jabatan Hal Ehwal Khas Wanita (JHEWA) dengan kerjasama Institut Perguruan Kampus Keningau (IPG) sempena sambutan Hari Wanita 2016.

Seramai 350 peserta yang hadir bagi mengikuti program yang bermula jam 8.30 pagi dan berakhir jam 1.30 petang tersebut. Peserta terdiri dari pensyarah, kakitangan dan siswa pendidik IPGK. Turut hadir adalah Pengetua, Guru Kaunseling, Guru Disiplin dari 11 buah sekolah sekitar Daerah Keningau.  Beberapa Pegawai Kanan dari Pejabat Pendidikan Daerah, Kolej Vokasional, Institut Pengajian Dakwah Islam Sabah (IPDAS) dan juga Ketua Kampung dari Daerah Keningau juga hadir dalam program tersebut.

Dalam ucapan aluan-aluan dalam Buku Cenderahati, Pengarah IPG Kampus Keningau, Puan Rujinah binti Miki mengucapkan terimakasih atas kepercayaan kepada IPG Kampus Keningau untuk bekerjasama dengan pihak MPWS bagi menjayakan program literasi undang-undang berbentuk seminar separuh hari. Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang, MPWS, Tuan Sakaria Samela, yang juga merupakan Ketua Pendakwa Syarie Negeri Sabah menyatakan bahawa program ini bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada para peserta mengenai undang-undang keluarga syariah, sivil dan adat, termasuk undang-undang kesalahan jenayah sivil dan syariah serta hal ehwal pendaftaran kelahiran dan kematian di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Format program berkenaan ada sedikit perubahan berbanding program-program yang dianjurkan sebelum ini di daerah-daerah lain. Program kali ini telah dimulakan dengan ceramah khas perundangan oleh Yang Arif Tuan Ahadin bin Arinen, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Tawau Sabah dengan tajuk “Perlembagaan Persekutuan: Hak dan Tanggungjawab”. Program seterusnya diteruskan dengan sesi dialog dengan peserta yang menampilkan beberapa pegawai kerajaan dan pengamal undang-undang di Sabah sebagai penalis.

Sesi dialog tersebut dikendalikan oleh Puan Sairah Haji Yahya, Pegawai Mediasi, Jabatan Bantuan Guaman Malaysia (JBG) cawangan Sabah. Para penalis pula terdiri dari ASP Puan Gloria ak Vincent Balang, Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kepayan, Sabah, Tuan Mohd Saufurazee Hussin, Pendaftar Tanah di Jabatan Tanah dan Ukur Negeri Sabah, Puan Anne Nur Ain Charles Abdullah dari Unit UTK, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kota Kinabalu dan Puan Noor Azah Abdul Rahman, Presiden Persatuan Peguam Wanita Muslim Sabah (SALWA).

Program separuh hari itu dirasmikan oleh Yang Berhormat Datuk Haji Sairin Karno, Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, merangkap ADUN N34, Liawan Keningau. Dalam ucapannya, Datuk Haji Sairin Karno menyokong usaha seperti ini dalam rangka mencelikkan masyarakat pedalaman tentang undang-undang syariah, sivil dan adat negeri.

Sepanjang program tersebut berlangsung, pelbagai persoalan dikemukakan oleh peserta. Program seumpama ini dilihat mampu memberi informasi berguna kepada masyarakat di negeri ini dalam hal ehwal perundangan khususnya undang-undang kekeluargaan dan jenayah dalam konteks syariah, sivil dan adat. Persoalan yang dibangkitkan peserta menggambarkan betapa masyarakat begitu kehausan ilmu berhubung perundangan. Apa yang boleh disimpulkan ialah, program ini telah berjaya mencapai objektifnya.

Program literasi undang-undang berkenaan telah diteruskan pada keesokan harinya di Dewan Masyarakat Daerah Tambunan.

IMG-20160727-WA0027

20160727_125928

IMG-20160731-WA0005

IMG-20160727-WA0015

20160727_112734

IMG-20160727-WA0022IMG-20160727-WA0025

Ulang Tahun Pertama Maahad Al-Kautsar Tambunan

Ulang Tahun Pertama dan Rumah Terbuka Aidilfitri Maahad Al-Kautsar Tambunan Meriah

11 September 2011

Tahniah kepada Maahad Al-Kautsar Tambunan atas kejayaan menyambut ulang tahun kelahirannya yang pertama pada 10 September 2011 (12 Syawal 1432H). Sambutan tersebut dimeriahkan dengan gabungan program Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Maahad yang dianjurkan bersama dengan pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Bahagian Tambunan. Pada hari yang sama, USIA Bahagian Tambunan juga mengendalikan Mesyuarat Agungnya di Dewan Mini Maahad Al Kautsar.

Menariknya, majlis ini turut dihadiri oleh pemimpin besar negeri seperti Datuk Seri Josep Pairin Kitingan, Timbalan Ketua Menteri Negeri Sabah yang juga Ahli Parlimen Keningau. Turut hadir adalah orang-orang kenamaan seperti Datuk Dr Jeffry Kitingan, Datuk Lawrence Gimbang, Datuk Nordin Siman, Datuk Hamid Guyah dan ramai lagi pemimpin masyarakat. Dalam ucapan ringkasnya, Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan mengucapkan selamat menyambut hari raya kepada Maahad Al Kautsar dan masyarakat Islam Tambunan. Beliau turut menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap perkembangan ilmu pengetahuan apabila menyumbang sebanyak RM10,000 kepada Maahad Al Kautsar dalam majlis tersebut. Beliau melahirkan rasa bangga terhadap suasana harmoni dan perpaduan yang wujud di Sabah dan khususnya Tambunan tanpa mengira bangsa dan agama sesuai dengan konsep 1Malaysia yang yang diamalkan di negara ini.

Dianggarkan majlis ini dikunjungi lebih kurang dalam seribu orang yang datang dari Tambunan, Keningau, Kota Kinabalu dan lain-lain daerah. Perpaduan dan keharmonian masyarakat Tambunan begitu terserlah apabila majlis ini bukan saja dihadiri umat Islam, malah juga oleh sebahagian besar masyarakat bukan Islam dari dalam dan luar daerah Tambunan.

Selain kehadiran para pemimpin negeri dan daerah, majlis turut mendapat suntikan kemeriahan apabila Yayasan Islam Sabah yang diketuai oleh Timbalan Pengerusinya Datuk Hamid Guyah menyampaikan sumbangan berbentuk kuih muih hari raya dari Yayasan kepada Maahad Al Kautsar, Sekolah Ugama Islam (SUI) Tambunan dan masyarakat Islam di Daerah ini. Antara barisan pimpinan Yayasan Islam Sabah yang turut hadir adalah Hj Yahya Ahmad Shah (Setiausaha Yayasan Islam Sabah) dan AJK Pusat seperti Ustaz Jadmin Hj Mohamed Soon, En Radin, En. Amirun Derin dan Puan Raini Hj Musa. Dalam ucapannya, Tuan Hj Yahya Ahmad Shah melahirkan harapan bahawa sumbangan sedemikian akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang.

Persembahan menarik yang disajikan sepanjang majlis berlangsung dari pagi ke petang turut menarik perhatian para pengunjung apabila para pelajar Maahad Al Kautsar menunjukkan bakat dan kebolehan mereka berpidato dalam pelbagai bahasa seperti Melayu, Inggeris, Arab, Cina dan Dusun. Persembahan sajak dan pidato dari Ketua Pelajar Sekolah SMK Nanbayan Tambunan menggamat rasa hati dengan kepetahannya melontarkan hebat dan padu. Persembahan Kompang dari pelajar-pelajar Sekolah Ugama Islam (SUI) Tambunan di bawah kelolaan Ustaz Idris menyerikan suasana. Sesekali, majlis diserikan dengan hidangan suara lunak dan merdu dari para pelajar di sekolah daerah Tambunan yang mendendangkan nasyid dan lagu-lagu aidil fitri.

Kedudukan Pentas yang indah menyerlahkan kemariahan majlis. Para pengunjung yang tidak putus-putus tiba dan bersilih ganti dapat melihat dan mendengar dengan jelas acara-acara yang dipersembahkan di atas pentas. Pentas yang diselangi oleh kolam air benar-benar mewujudkan suasana semulajadi dan harmoni. Suara dari pentas begitu jelas dapat didengar oleh para pengunjung. Bagi Erakita, tidak mustahil tempat ini boleh dijadikan sebagai tapak yang sesuai untuk program ceramah perdana, forum perdana, forum perpaduan pada masa hadapan. Inshaa Allah.

Kejayaan penganjuran majlis adalah hasil usaha dan kerjasama erat seluruh warga Tambunan, dan khususnya barisan Warga Maahad yang terdiri dari Tuan Guru Ustaz Hj Hadiq Ismail, Dr Yusuf Jasmin dan banyak lagi tenaga lain dalam Maahad. Kerjasama hebat dari USIA Bahagian Tambunan di bawah pimpinan Ustaz Jumain Jikah, Cikgu Azmi dan barisan kepimpinan USIA yang lain sesungguhnya memberikan suntikan besar dalam menjayakan majlis sebesar itu. Semoga kerjasama padu yang sedia ada akan berterusan.

Majlis ini sepenuhnya dibiayai oleh para penyumbang ikhlas dari pelbagai pihak yang nama-nama mereka tidak dapat disebutkan satu persatu dalam laporan ini. Hanya Allah S.W.T sahaja yang dapat membalas kebaikan yang anda lakukan.

Bagi Erakita, kelahiran Maahad Al Kautsar di tengah-tengah lembah Tambunan yang indah dan permai amat siknifikan dalam usaha menaikkan martabat dan syiar Islam di daerah ini. Sejak kelahirannya pada Julai Tahun 2010, telah banyak program kemasyarakatan dan keagamaan yang berjaya dilaksanakan. Umat Islam dapat bertemu dan berbincang dalam pelbagai perkara. Ukuwah dan ikatan persaudaraan semakin terserlah. Majlis ilmu seperti belajar membaca al-Quran dan kuliah-kuliah agama terus mekar di Maahad ini bagi memenuhi tuntutan umat Islam yang begitu kehausan ilmu khususnya ilmu agama.

Semoga Maahad Al-Kautsar Tambunan terus maju! Tahniah!

Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran di SK Kinabaan Tambunan

 

Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran di SK Kinabaan Tambunan

 

27 Ogos 2010 

Sekalung tahniah dan penghargaan kepada SK Kinabaan Tambunan kerana berjaya menganjurkan Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Sekolah 2010. Itulah antara ungkapan dari Yang Berbahagia Ustaz Yassin Mohd Yunus, Penyelia Pendidikan Islam dari Pejabat Pendidikan Daerah Tambunan ketika merasmikan penutupan majlis berkenaan. Beliau mewakili Pegawai Pendidikan Daerah, Tuan Hj Kaipin Rosmin yang tidak dapat hadir atas sebab yang tidak dapat dielakkan.

Ust. Yassin Mohd Yunus

Majlis berkenaan yang bermula dari jam 7.30am berakhir pada jam 1.00pm. Antara pengisian yang diadakan adalah pertandingan Cepat Hafaz ayat-ayat al-Quran, Bijak Jawi dan Amali Solat. Hampir 10 buah sekolah rendah dari sekitar Daerah Tambunan menghantar wakil masing-masing dalam pertandingan tersebut. Tahap 1 melibatkan peserta dari Tahun 1-3. Manakala Tahap 2 pula melibatkan peserta dari Tahun 4-6. 

Walaupun pertandingan tersebut hanya di peringkat sekolah sahaja, namun jemputan ke atas sekolah-sekolah lain untuk turut serta mendapat sambutan di luar dugaan. Penyertaan mereka begitu memberangsangkan. Sekolah ini, melalui Penitia Pendidikan Islam yang diketuai Ustaz Mazri Kalik telah menganjurkan beberapa majlis dan pertandingan serupa sebelum ini sejak beberapa tahun lalu. 

Turut diselitkan dalam majlis berkenaan adalah ceramah agama bertajuk Al-Quran dan Sains. Tajuk berkenaan dipilih untuk mengembalikan kefahaman dan kesedaran  umat Islam betapa banyaknya ayat-ayat dalam Al-Quran yang memperkatakan tentang sains. Penemuan demi penemuan oleh para sarjana dan pakar sains kebanyakannya dari Barat jelas memperakui apa yang telah dinyatakan di dalam al-Quran lebih 1400 tahun lampau. 

Kejayaan penganjuran majlis mendapat kerjasama sepenuhnya dari Guru Besar, kakitangan dan guru-guru sekolah berkenaan termasuk guru-guru bukan Islam.

 Hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Tuan Jaslih Rahiman dari Pejabat Pendidikan Daerah Tambunan.

SYABAS DAN TAHNIAH!

KEM BESTARI AKADEMIK DAN SAHSIAH (kemBAS) di SUI Tambunan

 

KEM BESTARI AKADEMIK DAN SAHSIAH (kemBAS) di SUI Tambunan BERJAYA

 

24 Ogos 2010 

22 Ogos 2010 menjadi satu lagi tarikh bersejarah bagi Sekolah Ugama Islam (SUI) Tambunan apabila berjaya mengadakan Kem Bestari Akademik dan Sahsiah (kemBAS). Program motivasi tersebut adalah anjuran bersama Ahli Jawatankuasa Masjid Institut Pendidikan Guru Kampus (IPG) Keningau dengan pihak SUI Tambunan. 

Program yang mula diadakan sejak tahun 2009 itu terdiri dari 3 siri dalam setahun. Ia diadakan pada hujung minggu. Program kali ini adalah program terakhir setelah tamatnya 3 siri. Menariknya, ramai ibubapa yang hadir pada majlis penutupan tersebut. Majlis penutupan disempurnakan oleh mantan Pensyarah IPG Keningau, Ustaz Hafiz bin Othman. Beliau merupakan perintis kepada program berkenaan semasa bertugas di IPG Keningau. 

KemBAS merupakan program tahunan AJK Masjid IPG Keningau di SUI Tambunan. Sekaligus menjadikan SUI Tambunan sebagai anak angkat kepada IPG Keningau. Pengarah program pula adalah Saudara Asdar bin Siri, yang juga merupakan Pelatih IPG Keningau. Lebih kurang 20 fasilitator terlibat yang kebanyakannya terdiri dari para pelatih IPG Keningau. 

Para peserta program adalah para pelajar Tahun 6 yang bersekolah di SUI Tambunan yang bakal menduduki Peperiksaan Akhir iaitu UPSR dan Sijil Rendah Ugama (SRU). 

Antara objektif program adalah untuk memberi pendedahan awal kepada para pelatih IPG agar lebih meyedari keperluan anak-anak murid dalam sesi pengajaran sebenar pada masa hadapan. Selain itu, para peserta juga ditekankan dengan kepentingan ilmu dan bagaimana menghargai ilmu. Para peserta turut diberi suntikan semangat dan keazaman tinggi untuk mendapat keputusan terbaik dalam kedua-dua peperiksaan akhir nanti. 

Sepanjang program, para peserta diberikan motivasi untuk menjadi insan terbaik berbekalkan iman, taqwa, ilmu dan akhlak yang mulia. Menariknya, pengisian kerohanian seperti bagaimana mengenal diri, ibubapa dan keluarga turut diterapkan dalam program ini. Ibubapa yang hadir turut dilibatkan dalam program kerohanian. Mereka dikumpulkan bersama anak tersayang mereka sambil memegang erat tangan dan saling berpelukan sebagai tanda ikatan kasih sayang yang tulus dan ikhlas. Slot ini menyaksikan bagaimana ibubapa dan anak-anak turut sama-sama menitiskan air mata atas dasar keinsafan, kesedaran dan kasih sayang antara anak dan ibubapa. 

Tahniah sekali lagi kepada para Pelatih dari IPG Keningau yang begitu bersungguh-sungguh menjayakan program tersebut. Sekalung tahniah juga diucapkan kepada Guru Besar Hajah Siti Zubaidah Abdul Rahim atas keperihatinan terhadap kebajikan anak-anak muridnya. Kejayaan program turut dibantu oleh tenaga-tenaga hebat dari Ustaz Hatta, Ustaz Idris dan lain-lain lagi guru-guru yang bertugas di beberapa sekolah sekitar Daerah Tambunan.   

Semoga program ini dapat diteruskan pada masa hadapan.

 

 

MERIAHNYA PESTA ILMU KE-29 PWTC

MERIAHNYA PESTA BUKU ANTARABANGSA KL 2010

31 MAC 2010

Ledakan ilmu terus berkembang di Malaysia. Di tengah-tengah kesibukan rakyat Malaysia menjalankan aktiviti hariannya, KL terus menggerakkan akiviti sihatnya dengan menganjurkan Pesta Buku Antarabangsa ke 29. Lokasi Pesta tersebut sudah semestinya PWTC sepertimana pesta-pesta buku sebelumnya. Walaupun telah berlalu, namun kemeriahannya masih amat terasa sehingga kini.

Sebagai pencinta ilmu, ERAKITA tidak melepaskan peluang untuk bertandang ke Pesta Buku itu. Di sinilah kita menyaksikan bagaimana gelagat dan sibuknya para pencinta ilmu dan ulat-ulat buku berpusu-pusu untuk memasuki gerai-gerai jualan buku. Di sinilah syarikat-syarikat penerbitan buku berkumpul dan menjual terus buku-buku terbitan mereka. Tambah menarik apabila kelihatan beberapa gerai dipenuhi orang ramai yang mengambil kesempatan mendengar ulasan buku menggunakan pembesar suara dari penulis sendiri. Tidak kurang juga pembeli yang mendapatkan tandatangan dari penulis buku.

Menurut pemerhatian ERAKITA, gerai PTS Publication dan TELAGA BIRU Sdn. Bhd merupakan antara gerai yang paling laris dan terhangat. Penerbit Telaga Biru memang terkenal dengan penerbitan buku-buku agama yang hebat. PTS Publication pula terkenal dengan penerbitan buku-buku dalam pelbagai disiplin. Ketika berkunjung dan membeli beberapa buah buku di gerai PTS Publication, ERAKITA sempat bertemu dan bersembang dengan Pengurus Besar PTS Publication, Tuan Fauzul Naim dan beberapa penulis hebat seperti Zamri Mohamad dan Shamsuddin Kadir. Tahun lepas, ERAKITA pernah mengikuti kursus penulisan buku popular yang dikendalikan oleh Tuan Fauzul Naim dan  Zamri Mohammad  dari PTS Publication di UIA.

ERAKITA sendiri mengunjungi pesta ini tiga hari berturut-turut sehinggalah pada hari terakhir. Apa yang membezakan hari terakhir dengan hari-hari sebelumnya ialah gelagat para petugas gerai dan penjual buku. Pada hari terakhir, ketika gerai-gerai jualan buku hampir melabuhkan tirainya pada jam 9.00 malam, kelihatan berbagai gaya dan rentak para penjual buku untuk menarik perhatian pengunjung.

Menarik sekali untuk dikongsi bersama bahawa harga buku yang ditawarkan cukup luar biasa dari hari-hari sebelumnya. Harga diskaun yang tinggi dan di luar jangkaan diberikan di gerai-gerai tertentu. ERAKITA hampir pasti bahawa, harga sedemikian tidak akan diperolehi pada hari-hari biasa di mana-mana tempat. Lebih kurang sejam sebelum gerai ditutup, HARGA MELETUP dapat dirasakan. Tawar menawar perkara biasa sehingga pada awalnya, hanya sebuah atau dua buah buku yang dibeli, namun penjual begitu MURAH HATI memasukkan beberapa buah buku yang agak rendah harganya ke dalam bakul plastic samada dengan memberikan harga yang begitu rendah atau diberikan secara PERCUMA sahaja. CUKUP mengujakan!

Sukar digambarkan bagaimana seronoknya berada di pesta ini. Pesta ini bukan pesta nyanyian atau hiburan yang melalaikan atau makanan yang mengenyangkan. Ini adalah pesta yang menjana ilmu. Pesta yang mencairkan minda yang beku. Pesta yang mencelikkan mata yang buta. Pesta yang yang membentuk peradaban manusia ke tahap tinggi. Semuanya kerana ilmu. Tidak hairanlah mengapa Allah s.w.t melontarkan satu soalan berhubung ilmu yang tidak memerlukan kita bersusah payah menjawapnya. Soalan Allah berbunyi “adakah sama orang yang mengetahui (berilmu) dengan orang yang tidak mengetahui (tidak berilmu)?”.

Pesta yang berlangsung dari 19hb-28hb Mac 2010 itu bertemakan BUKU: LAKARAN MASA DEPAN. Penganjuran pesta amat bersesuaian dengan waktu cuti sekolah baru-baru ini.

Semoga penganjuran pesta buku seperti ini akan berterusan pada tahun-tahun akan datang. Sama-sama kita hidupkan usaha mencari, mencintai dan mengamalkan ilmu. Kepada anda semua yang punya kelapangan, ERAKITA sukacita mengalu-alukan kedatangan anda ke pesta tersebut pada masa hadapan. Sediakan wang secukupnya sebagai persiapan agar tidak timbul perasaan kesal atau sedih kerana tidak dapat membeli buku yang amat dicari-cari atau minati.

ERAKITA sempat merakamkan beberapa gambar menarik di Pesta Ilmu itu untuk tatapan bersama.

Gerai PTS Publication hangat diserbu pengunjung

Tuan Fauzul Naim (tengah) merupakan Pengurus Besar PTS Publication Sdn Bhd. Di sebelah kanan adalah wakil utama sebuah syarikat penerbitan dari Indonesia Pemandangan dari pintu masuk utama di tingkat 1 pesta ilmu

Tuan Ade Rizal turut menjadi pengunjung di gerai Universiti Malaya

Alangkah indah bergelumbang dengan ombak di lautan ilmu

aksi-aksi pengunjung

BERKUNJUNGLAH KE PESTA ILMU!

ISU KALIMAH ALLAH DALAM AGAMA LAIN: mari berkongsi pandangan

ISU KALIMAH ALLAH DALAM AGAMA LAIN

mari berkongsi pandangan


8 Januari 2010

Perbincangan mengenai isu ini dimulakan dengan ungkapan bahawa KITA HARUS MELIHAT PERKARA INI DARI PELBAGAI PERSPEKTIF. JANGAN MELIHAT PERKARA INI DARI PERSPEKTIF NEGATIF SAHAJA. Bagi ERAKITA, percubaan untuk menggunakan kalimah ALLAH dalam agama lain sebenarnya merugikan agama dan penganut agama itu sendiri. Jika diadakan perkataan baru seperti Allah sedangkan ia asing bagi mereka, bukankah itu lebih mengelirukan penganut mereka sendiri? Akhirnya mereka akan merujuk juga tafsiran Allah itu dalam kamus-kamus yang tersedia dan diiktiraf kebenarannya. Contoh yang mudah ialah kamus-kamus terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Dalam Kamus Dwibahasa Oxford Fajar, edisi ke-4, terbitan Oxford Fajar Sdn. Bhd, umpamanya, yang disusun oleh Joyce M. Hawkins, perkataan ALLAH itu bermaksud TUHAN ORANG ISLAM. Bayangkan saudara bagaimana kekeliruan di kalangan penganut agama lain tidak mustahil boleh berlaku ekoran penggunaan kalimah tersebut dalam akhbar atau majalah agama mereka. Apatah lagi jika perkataan Allah ini digunakan dalam KITAB SUCI MEREKA.

Jika mereka menggunakan juga perkataan tersebut dalam agama mereka, bermakna bahawa SECARA LITERAL, mereka sudah mengiktiraf dan mengakui bahawa perkataan ALLAH yang mereka gunakan itu adalah TUHAN ORANG ISLAM. Bukannya Tuhan yang terdiri dari 3 komposisi iaitu anak Tuhan, bapa Tuhan dan Ruhul Kudus. Jika perkataan Allah itu diertikan bukan seperti Tuhan orang Islam, maka jelas sekali bahawa ia sudah jauh bertentangan dengan tafsiran dalam kamus-kamus yang diiktiraf oleh masyarakat seluruhnya dan kerajaan. Jika keadaan ini berlaku juga, nescaya pihak berkaitan seperti para pendukung bahasa di negara ini, DBP, persatuan-persatuan berkaitan bahasa dan Kerajaan wajar melihat hal ini dengan serius. Harus dilihat nanti apakah telah berlaku ketidakpatuhan mana-mana pihak terhadap tafsiran suatu perkataan yang telahpun diwartakan oleh pihak kerajaan. Atau apakah perlu tafsiran mengenai perkataan ALLAH dalam kamus-kamus yang telah diiktiraf itu dikaji semula?

Atau apakah badan bahasa berprestij seperti DBP akan mengambil tindakan undang-undang untuk mengheret pihak-pihak berkenaan ke muka pengadilan kerana melanggar undang-undang atau peraturan berkaitaan penggunaan bahasa? Apakah pada peringkat ini, pihak DBP atau mana-mana pihak berkaitan wajar memohon satu injunksi atau perintah di Mahkamah untuk menghalang pihak-pihak berkenaan dari menggunakan perkataan Allah dalam agama mereka? Atau apakah pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) wajar menggunakan undang-undang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk menahan tanpa bicara ke atas pihak-pihak berkenaan jika berpendapat bahawa tindakan mereka itu telah meletakkan keselamatan negara terjejas atau terancam? Hal-hal seperti ini boleh saja timbul dalam fikiran masyarakat dan kerajaan memandangkan isu ini telah menjadi isu besar, sensetif dan bersifat nasional. Walau apapun tindakan yang diambil, semua pihak harus mengambil sikap untuk tidak bertindak secara terburu-buru untuk menangani isu ini. Banyak pendekatan yang boleh difikirkan untuk menangani isu ini. Yang penting, keamanan dan keharmonian antara kaum dan agama selama ini dapat dipertahankan. Pendekatan yang diambil umpama menarik rambut dalam tepung, biar tepung tak berselerak dan rambut pula tak putus.

Berbalik kepada penggunaan kalimah Allah dalam agama lain, kekeliruan boleh timbul di kalangan penganutnya kerana mereka sendiri tidak menemui tafsirannya dalam agama mereka. Mahu tidak mahu, mereka mesti merujuk juga kepada kamus dan tafsiran yang diiktiraf umum. Yang ada pada mereka adalah perkataan God atau Tuhan. Mereka akan bertanya diri sendiri mengapa mereka harus bersusah payah mengada-adakan perkataan dan sebutan baru mengenai Tuhan mereka sedangkan ia tidak ada dalam agama mereka. Lantas mereka akan merasa kekurangan dalam agama mereka. Lantas timbul perasaan syak dan ragu terhadap agama mereka sendiri setelah menyedari bahawa terdapat benda yang diada-adakan dalam agama mereka. Bukankah ini sebenarnya merugikan agama mereka sendiri?

PELUANG MEMPERKENALKAN ISLAM KEPADA NON MUSLIM

Bagi Erakita, inilah masanya yang terbaik untuk mempekenalkan Islam kepada penganut agama lain. Inilah masanya yang terbaik untuk memperkenal dan menyatakan secara terbuka kepada penganut agama lain bahawa Allah bagi Islam adalah Esa. Esa itu bukan Isa tapi Tuhan yang satu, tidak berbapa dan tidak diperanakkan. Mungkin selama ini orang-orang Islam memilih untuk berdiam diri, takut untuk memberitahu kepada orang bukan Islam mengenai kedudukan sebenar Allah itu. Tetapi, keadaan ketika ini benar-benar memberi kesempatan terbuka kepada umat Islam untuk bercakap dan menyatakan kepada bukan Islam bahawa Allah itu adalah satu, bukan dua atau tiga secara terbuka. Lihat sajalah bagaimana akhbar-akhbar perdana dan tak perdana di negara ini membincangkan isu ini. Akhbar sudah tidak segan-segan lagi melaporkan pandangan dan reaksi pelbagai pihak yang menentang usaha menggunakan kalimah Allah dalam agama lain. Antara yang dilaporkan ialah betapa perkataan Allah dalam Islam itu begitu ekslusif sekali. Ia eksklusif kerana Allah dalam agama Islam adalah Tuhan yang Esa. Bukan seperti Tuhan bagi agama Krisitian yang terdiri dari 3 komposisi. Perbincangan mengenainya baik di TV atau akhbar dan forum begitu terbuka. Tidak kelihatan setakat ini tanda-tanda bahawa perbincangan secara terbuka mengenai isu ini akan berakhir segera. Ia begitu PANAS dan semakin mendapat perhatian pelbagai pihak.

Kejadian ini bagi Erakita samalah seperti kejadian dalam tragedi runtuhnya bangunan pencakar langit di Amerika akibat dirempuh oleh kapal terbang. Sehingga kini, tragedi dahsyat 911 masih segar dalam ingatan. Sejak peristiwa itu, pihak Barat memperhebatkan rasa kebencian dan permusuhan mereka dengan orang Islam. Mereka kata kejadian ngeri itu adalah angkara keganasan yang dilakukan oleh orang Islam. Sejak itu istilah ISLAMOFOBIA tersebar ke mana-mana. Barat semakin memandang serong terhadap Islam dan penganutnya. Pelbagai tohmahan diberikan kepada Islam. Kata-kata seperti ISLAM ADALAH AGAMA KEGANASAN sudah menjadi sebutan di mana-mana di kalangan musuh-musuh Islam. Akibatnya, bumi Afghanistan hancur akibat ledakan bom dan senjata orang-orang Barat atas alasan memerangi pengganas yang kononnya didalangi anggota pertubuhan Islam, al-Qaeda. Lantas apa yang berlaku? Tak kala cemuhan dan tohmahan terhadap Islam begitu hebat dilontarkan Barat, tidak sangka-sangka pula berlaku hikmah terbesar yang amat bernilai bagi Islam.

Bayangkan saudara, betapa semakin Islam dihina dan dilebal sebagai agama keganasan, rupa-rupanya masyarakat Barat yang bukan Islam semakin tertarik pula untuk mengkaji agama Islam. Mereka terpanggil TANPA DIPAKSA atau disuruh untuk mengkaji dan mendalami agama yang suci ini. Tindakan mereka didorong oleh suatu kuasa yang sungguh luar biasa untuk melihat dan mengkaji Islam lebih terperinci. Mereka nak mengkaji adakah benar Islam mengajar umatnya menjadi pengganas. Mereka nak mengkaji adakah benar Islam ini agama yang jahat dan penuh ketidakadilan sebagaimana digembar gemburkan musuh-musuh Islam selama ini. Tanpa diduga, dalam jangka masa yang singkat, minat orang-orang Barat untuk mengkaji ajaran Islam begitu mendadak sekali. Buku-buku Islam di kedai-kedai umpama goreng pisang. Jika dulu, buku-buku itu memerlukan masa berbulan-bulan atau mungkin bertahun untuk dihabiskan di pasaran, kali ini tidak. Buku-buku tentang Islam kini begitu digemari. Mereka mula membaca, mengkaji dan menghayati kandungan ajaran Islam. Buku-buku Islam di perpustakaan juga sudah pasti menjadi bahan carian yang popular. Perkataan Islam dalam carian google di internate sudah menjadi perkataan popular mengalahkan senarai nama-nama penyanyi dan pelakon popular negara atau barangkali yang popular di dunia. Keghairahan orang Barat mengkaji ajaran Islam begitu terserlah dan ianya suatu yang tidak pernah terjangkau atau terlintas dalam fikiran kita.

Akhirnya apa yang berlaku saudara-saudara? Akhirnya dunia dan penghuninya menyaksikan dengan mata dan telinga mereka bahawa betapa semakin ramainya orang-orang Barat kini memahami dan mendalami Islam. Akhirnya apa yang berlaku saudara-saudara? Akhirnya dunia dan penghuninya menyaksikan ramai orang-orang Barat yang kini memahami Islam telah mendapat HIDAYAH Allah. Akhirnya dengan hidayah itu, mereka dengan rela dan suci hati memilih Islam sebagai agama mereka. Mereka memilih Islam sebagai cara hidup mereka. Mereka memilih Islam sebagai pegangan hidup mereka. Mengapa jadi begitu? Kerana mereka telah menemui agama yang begitu agung. Mereka telah menemui agama yang begitu adil dan indah. Mereka telah menemui agama yang begitu menyeluruh ajarannya. Mereka telah menemui agama yang NOMBOR SATU menganjurkan kedamaian dan keamanan. Mereka telah menemui agama yang benar-benar menaikkan martabat kaum wanita.

Mereka telah menemui agama yang benar-benar berteraskan kepada sumber dan rujukan utamanya yang asli iaitu al-Quran. Di dalam al-Quran itu pula tidak ditemui sebarang kelemahan atau kekurangan. Tidak ada ayat-ayat yang bertentangan sesama sendiri. Tidak ada ayat-ayat yang menganjurkan keganasan. Tidak ada ayat-ayat yang lucah dan buruk. Tidak ada ayat-ayat yang membezakan manusia berdasarkan kulit, kaum, pangkat, kedudukan, kekayaan dan rupa. Akhirnya mereka mengakui bahawa rupa-rupanya sangkaan mereka selama ini terhadap Islam silap dan tersasar jauh. Akhirnya dunia dan penghuninya menyaksikan orang-orang Barat berbondong-bondong memeluk agama Islam. Tidak kurang ramainya Paderi di Barat dan personaliti terkenal turut memilih Islam sebagai agama mereka.

Dan yang pasti dan tidak dapat disangkal lagi, dunia dan penghuninya dapat menyaksikan betapa semakin hari semakin bertambah bilangan rumah-rumah ibadat atau GEREJA di negara-negara Barat jatuh ke tangan orang-orang Islam. Ia jatuh ke tangan orang-orang Islam bukan kerana ia dirampas atau diambil secara ganas. Ia jatuh ke tangan orang-orang Islam kerana dibeli dengan wang ringgit oleh orang-orang Islam. Gereja-gereja itu dibeli kerana orang-orang Barat sudah tidak minat untuk mengamalkan agama mereka. Mereka sudah jauh dari agama mereka. Hidup mereka sudah bertuhankan hawa nafsu yang hebat. Rumah-rumah ibadat bagaikan kuburan lama yang tidak dijaga. Kos penjagaan pula bertambah dan menyulitkan. Akhirnya, kekangan kewangan untuk menjaganya mencetuskan desakan untuk segera menjualnya dari terus dibebani hutang dan liabiliti yang tinggi. Akhirnya orang-orang Islam yang semakin kukuh ekonominya membeli gereja-gereja tersebut. DAN akhirnya, apa yang terjadi? Akhirnya gereja-gereja tersebut bertukar wajah menjadi MASJID yang dikerumuni orang Islam dari pelusuk dunia. Inilah fenomena yang sedang berlaku hari ini. Suatu fenomena yang tidak pernah disangka-sangka akan berlaku.

Rupa-rupanya, dalam keadaan Islam dan penganutnya ditekan dan tertekan ekoran kejadian 911 di bumi Amerika itu, terdapat pula hikmah yang amat besar buat Islam dan penganutnya. Hikmahnya ialah Islam menjadi subur. Minat orang bukan Islam untuk belajar dan mengkaji Islam semakin mendalam. Kemuncaknya, Islam menjadi agama PALING SUBUR perkembangannya di dunia hari ini. Rupa-rupanya, inilah akibat dan natijah setelah Islam ditindas dan dicemuh. Inilah hasilnya apabila Islam berhadapan dengan cabaran dan dugaan hebat dari orang-orang bukan Islam. Inilah kesan dan akibatnya apabila Islam berhadapan dengan situasi genting dan panas.

Bagi ERAKITA, keadaan yang berlaku dalam kes penggunaan kalimah Allah dalam agama lain harus dilihat dalam pelbagai sudut dan dimensi. Selain melihat dari sudut negatif, jangan pula kita lupa melihat juga dari sudut positif. ERAKITA tidak membincangkan isu kalimah Allah dari sudut negatif kerana dari hari pertama keputusan Mahkamah Tinggi dikeluarkan beberapa hari lalu, banyak sekali pandangan-pandangan mengenai implikasi atau kesan negatif keputusan tersebut telah dikeluarkan pelbagai pihak. Namun, dari sudut positifnya, jarang sekali kita menemui pandangan sedemikian. Justeru, ERAKITA melahirkan artikel ini untuk mengupas secara santai isu ini dari perspektif positif. Tujuannya, tidak lain hanyalah untuk meredakan ketegangan dan kehangatan. Tujuannya, untuk melatih diri ini dan saudara-saudara supaya sentiasa melihat perkara-perkara yang berlaku di persekitaran kita dalam pelbagai perspektif.

Bagi ERAKITA, umat Islam harus mengambil kesempatan yang begitu terbuka ini untuk menerangkan konsep ketuhanan dalam Islam kepada orang-orang bukan Islam. Inilah masanya yang boleh diumpamakan sebagai EMAS. Mengapa? Kerana peluang seperti ini boleh jadi berlaku hanya sekali sahaja. Tak kala orang heboh dan bercakap mengenai konsep ketuhanan gara-gara isu penggunaan perkataan ALLAH dalam agama lain, umat Islam harus mengambil kesempatan ini. Gunakan segala kekuatan dan kelebihan yang ada untuk menerangkan konsep ketuhanan dalam Islam kepada orang bukan Islam. Pandangan dan saranan pelbagai pihak agar diadakan segera dialog antara agama tidak boleh diketepikan begitu saja. Kesempatan begitu terserlah di hadapan kita untuk menerangkan dan mempromosi teras ajaran Islam yang sebenar dalam dialog antara agama itu. Siapa tahu, penjelasan mengenai kedudukan sebenar ajaran agama Islam ini dapat pula membuka mata dan hati penganut-penganut agama lain untuk mendalami Islam lebih lanjut? Siapa tahu bahawa pengetahuan yang lebih mendalam mengenai Islam dapat pula membuka mata dan hati orang-orang bukan Islam untuk memeluk Islam? Siapa tahu? Semua ini boleh saja terjadi dalam masa singkat dengan izin Allah.

ERAKITA melihat bahawa situasi yang panas seperti ini membuka ruang kepada kerajaan untuk memperkenalkan matapelajaran PERBANDINGAN AGAMA dalam dunia pendidikan. Jika kerajaan berjaya memasukkan matapelajaran TAMADUN ISLAM sebagai subjek penting untuk diambil oleh pelajar-pelajar di Institut Pengajian Tinggi (IPT), TIDAK ADA SEBAB mengapa kerajaan tidak dapat MEWAJIBKAN setiap Institut Pengajian Tinggi di negara ini untuk memasukkan matapelajaran PERBANDINGAN AGAMA sebagai subjek teras kepada semua pelajar tanpa mengira kaum dan agama. Subjek Tamadun Islam dan Perbandingan Agama dilihat sebagai gandingan 2 subjek yang sesuai dan mantap. Ia umpama BAGAI PINANG DI BELAH DUA. Ia saling lengkap melangkapi antara satu sama lain. ERAKITA juga berpendapat bahawa kedua-dua matapelajaran ini bukan saja patut diwajibkan di IPT, tetapi juga ia patut diperkenalkan dari peringkat SEKOLAH RENDAH lagi. Ini kerana, subjek ini penting untuk memperkenalkan agama kepada pelajar. Pelajar pula dilatih untuk menggunakan akal fikiran mereka untuk memikirkan mana satu agama yang benar-benar unggul. Hikmahnya di sini, pengertian yang mendalam mengenai konsep ketuhanan dan pemakaian kalimah ALLAH itu dapat difahami dari peringkat awal lagi.

Saudara, dalam al-Quran sendiri Allah ada menyebut bahawa boleh jadi apa yang kita suka, sebenarnya terdapat keburukan padanya. Demikian pula, boleh terjadi bahawa apa yang kita benci itu sebenarnya wujud padanya kebaikan. Peringatan Allah ini memberi gambaran dan pendidikan kepada manusia agar tidak melihat sesuatu itu dari perspektif yang terhad. Harus ada kesabaran dan penilaian menyeluruh. Harus ada kesabaran dan sikap berhati-hati. Harus ada sikap tidak gelojoh dan terburu-buru untuk menjatuhkan keputusan atau hukuman. Harus ada sikap melihat suatu perkara itu dari aspek kekuatan dan kelemahan, dari aspek kelebihan dan kekurangan, positif dan negatif, kejelasan dan kesamaran serta pro dan kontranya. Sikap mengambil kira semua keadaan-keadaan di atas, tidak syak lagi dapat melahirkan individu yang bijak dan beruntung. Individu yang bijak dan beruntung akan melahirkan masyarakat yang bijak dan beruntung. Masyarakat yang bijak dan beruntung akan melahirkan pula sebuah negara yang bertamadun tinggi dan kuat. Ini kerana keputusan dan tindakan yang diambil telahpun melalui proses SARINGAN dan TAPISAN yang mantap dan meyakinkan. Bukannya keputusan yang lahir dari runtunan emosi, sentimen dan hawa nafsu semata-mata.

Sekali lagi ERAKITA mengajak saudara-saudara untuk melihat isu penggunaan kalimah Allah dalam agama lain dari pelbagai perspektif sebagaimana yang diterangkan di atas. Semoga kita mendapat manfaat dari artikel kerdil ini. Akhirnya, hanya kepada Allah kita menyerahkan segala urusan kerana hanya Allah yang Maha Mengetahui segala perkara yang nyata dan tersembunyi.

KEDAMAIAN, KEAMANAN DAN KEHARMONIAN DALAM NEGARA TERLALU MAHAL HARGANYA


MAJLIS KONVOKESYEN PRA SEKOLAH DAERAH TAMBUNAN MERIAH: tahniah!

 

Para Graduan berbaris menanti saat gemilang menerima skroll di atas pentas

MAJLIS KONVOKESYEN PRA SEKOLAH DAERAH TAMBUNAN MERIAH

tahniah!

  

1 Disember 2009 

Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada semua pelajar Pra-Sekolah Daerah Tambunan yang telah berjaya menamatkan pendidikan awal mereka baru-baru ini. Satu majlis khas telah diadakan untuk meraikan tamatnya persekolahan peringkat asas kepada seramai 308 pelajar dari 23 buah sekolah dari seluruh Daerah Tambunan pada 5 November 2009. Majlis Konvokesyen yang diadakan di Dewan Masyarakat Tambunan itu menyaksikan kehadiran luarbiasa ibubapa dan penjaga pelajar-pelajar berkenaan. 

Dianggarkan kehadiran ibubapa dan penjaga serta ahli keluarga masing-masing mencecah 500 orang. Kehadiran luarbiasa ini menunjukkan betapa para ibubapa begitu prihatin terhadap perkembangan dan kemajuan pendidikan anak-anak mereka walaupun di peringkat pra-sekolah. Majlis bersejarah itu dirasmikan oleh Puan Faridah bte Wahid, Pegawai Bahagian Sektor Pedidikan Akademik, Pejabat Pendidikan Daerah Tambunan yang mewakili Pegawai Pelajaran Daerah Tambunan, Tuan Hj Kaipin Rosmin. 

Menariknya, pelajar-pelajar telah menerima sijil tamat pendidikan Pra-Sekolah dari Guru Besar sekolah masing-masing. Majlis tersebut juga tambah berseri apabila juruacara majlis dikendalikan oleh DJ dari Radio KLfm, Puan Faridah Yunus yang kebetulan bercuti seketika untuk menemani suaminya, Cikgu Ahmad Iznan yang bertugas di SK Kaingaran Tambunan sejak Januari 2009. 

Terdahulu dari itu, ketibaan Puan Faridah Wahid untuk merasmikan majlis tersebut disambut dengan paluan kompang dari Kumpulan Khai, Sekolah Menangah Ugama (SMU) Tambunan. ERAKITA yang sempat bertemu dengan pengurus Kumpulan Khai, Ustaz Ramlin Asri turut dimaklumkan bahawa kumpulan kompang tersebut ditubuhkan pada tahun 2007 dan dianggotai seramai 13 pelajar SMU Tambunan, diketuai oleh adik Mohd Syafie bin Rahman. Kumpulan Khai juga pernah memenangi pertandingan kompang peringkat Daerah Tambunan sempena Festival Nasyid dan Kompang pada tahun 2008. 

Majlis Konvokesyen yang bermula seawal jam 7.00 pagi dan berakhir jam 1.00 tengahari diserikan dengan pelbagai persembahan dari pelajar-pelajar pra-sekolah sendiri. Antaranya, deklamasi sajak, nyanyian dan tarian. Majlis yang berjalan lancar itu tambah menarik apabila acara penyampaian sijil diselitkan dengan pengumuman dan penyampaian hadiah kepada para ibubapa yang mendapat cabutan tiket bertuah. Para ibubapa dan guru-guru tidak melepaskan peluang untuk mengambil gambar bersama pelajar-pelajar bertuah itu sebagai kenang-kenangan. 

ERAKITA yang turut hadir untuk memberikan semangat dan berkongsi kejayaan dengan anaknya dalam majlis berkenaan begitu teruja dengan suasana ceria dan bersemangat sepanjang majlis berlangsung. Semoga majlis seumpama ini akan diteruskan pada masa akan datang dengan pelbagai pengisian yang menarik dan BERSESUAIAN menurut tahap umur pelajar-pelajar berkenaan, etika, moral dan agama. 

Akhir sekali, tahniah kepada pihak pengajur yang berjaya melaksanakan majlis tersebut dengan jayanya. Kepada para pelajar yang telah menamatkan pendidikan Pra-Sekolah, ERAKITA ucapkan TAHNIAH. Semoga penganugerahan sijil tersebut menjadi titik tolak untuk meneruskan kecemerlangan akademik ke tahap tertinggi pada masa akan datang. Beberapa gambar menarik sepanjang majlis berkenaan dipaparkan di bawah ini untuk tatapan bersama.

Para Graduan dari SK Kipaku bersama Guru Besar En. Nordin Zaini dan Cikgu Aniah bergambar untuk kenangan

Nur Syakirah Ahadin bersama guru kesayangannya Puan Aniah. Tahniah!

Kumpulan Khai terdiri dari pelajar SMU Tambunan dijemput untuk memalu kompang sempena ketibaan pegawai dari Pejabat Pendidikan Tambunan bagi perasmian Majlis Konvokesyen Pra Sekolah. Boleh tahan juga bakal para alim ulama ni!

Kehadiran para ibu bapa yang amat memberangsangkan

Bersedia naik ke pentas.

Penuh debaran adik-adik ni

gembira bersama skroll dan anak patung

Nur Syakirah Ahadin bersama skroll. Ini permulaan untuk kejayaan seterusnya. Tahniah untuk anak kesayangan

Generasi pewaris kepimpinan negara

Puan Faridah Wahid (kiri) mewakili Pegawai Pendidikan Daerah kelihatan kusyuk melihat persembahan adik-adik di pentas

Puan Faridah Yunus, DJ Radio KLfm turut menyerikan majlis sebagai pengacara

Tahniah adik-adik! Belajar tinggi-tinggi ya..

 TERUSKAN KECEMERLANGAN DALAM PENDIDIKAN

 

SURAT IZIN IBUBAPA: sekolah boleh terlepas?

DSC07473

Keratan akhbar Tragedi Perkemahan 1Malaysia di Kuala Dipang Perak 27 Oktober 2009

SURAT KEIZINAN IBUBAPA

sekolah boleh terlepaskah?

30 Oktober 2009

Kegembiraan 294 murid sekolah yang menyertai Perkemahan 1Malaysia di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Dipang, Perak pada 27 Okober 2009 tiba-tiba menjadi mimpi ngeri. Ini kerana, jambatan gantung yang digunakan pelajar untuk menyeberangi Sungai Kampar tiba-tiba runtuh. Pelajar-pelajar yang terjatuh ke sungai terpaksa berpaut pada  tali kabel jambatan yang runtuh. Sementara bantuan dilakukan oleh beberapa petugas pengiring dan orang luar, air sungai tiba-tiba naik dan mengalir deras. Kejadian tiba-tiba itu akhirnya meragut satu nyawa pelajar dan dua yang lain masih lagi belum ditemui. Menurut laporan akhbar Kosmo bertarikh 28 Oktober 2009, ada ibubapa yang tidak berpuashati memandangkan kehadiran anak-anak mereka ke program pekemahan itu tidak mendapat kebenaran dari mereka sebagai penjaga.

Isu sebenar yang ERAKITA ingin kupas dalam artikel ini ialah sejauhmana kesan perundangan ke atas surat keizinan ibubapa atau penjaga melepaskan anak-anak mereka mengikuti program anjuran sekolah di luar kawasan persekolahan. Hal ini perlu diberi perhatian memandangkan terdapat persepsi dari warga pendidik yang melihat bahawa sebaik surat keizinan pelepasan tersebut ditandatangani ibubapa atau penjaga, pihak sekolah tidak lagi boleh dipersalah atau dikenakan tindakan mahkamah jika berlaku perkara yang tidak diingini ke atas murid berkenaan.

Dari sudut undang-undang, sebarang klausa pengecualian dari sebarang tanggungjawap kepada pihak sekolah yang ditandatangani oleh ibubapa pelajar tidak mempunyai kuasa undang-undang sekiranya berlaku perkara tidak diingini seperti kemalangan atau kecederaan. AKTA PENDIDIKAN 1996 dan PEKELILING-PEKELILING IKHTISAS yang dikeluarkan setakat ini tidak ada memperuntukkan bahawa pihak sekolah erlepas dari sebarang bebanan undang-undang kesan dari surat pengecualiaan tanggungjawap yang dibuat oleh ibubapa. Lazimnya, surat kebenaran dari ibu bapa untuk melepaskan anak mereka mengikuti aktiviti di luar sekolah anjuran pihak sekolah diperlukan oleh pihak sekolah sebelum aktiviti tersebut dilaksanakan.

Surat tersebut juga lazimnya mengandungi terma bahawa ibubapa bersetuju untuk mengecualikan pihak sekolah dari sebarang tanggungjawap atau tindakan mahkamah jika sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingin ke atas anak tersebut sepanjang aktiviti berjalan. Mengenai perkara ini, surat tersebut tidaklah mempunyai kesan perundangan. Pihak sekolah masih lagi bertanggungjawap untuk mengawal, menyelia dan memastikan keselamatan pelajar tersebut sepanjang aktiviti berjalan. Ini kerana, tindakan ibubapa menandatangani surat kebenaran tersebut bukanlah bermakna mereka bersetuju untuk menyerahkan dan seterusnya menghilangkan hak mereka untuk mendakwa guru yang telah bertindak cuai.

Satu hal yang perlu diberi perhatian ialah program tersebut adalah program yang rasmi. Ia adalah program melibatkan sekolah yang sudah tentunya memerlukan dana termasuk dana dari sekolah. Ini bermakna, murid-murid tersebut masih lagi berada di bawah kawalan sekolah walaupun sudah berada di luar kawasan sekolah. Selagi program tersebut melibatkan aktiviti rasmi sekolah, selagi itulah peranan sekolah sebagai in loco parentis atau penjaga sementara bagi pihak ibubapa berjalan sepenuhnya.

Istilah IN LOCO PARENTIS membawa makna bahawa ibubapa menyerahkan sebahagian daripada autoriti mereka kepada guru, pengetua dan pihak sekolah dalam proses menghantar anak mereka ke sekolah. Dalam erti kata yang lain, autoriti ibubapa telah diambil alih oleh guru dengan persetujuan dan kebenaran ibubapa. Dalam kejadian ngeri yang berlaku dalam Perkemahan 1Malaysia di Perak itu, logik akal tidak akan dapat menerima bahawa mana-mana ibubapa yang telah menandatangai surat keizinan melepaskan anak mereka mengikuti perkemahan tersebut tidak boleh mendapatkan hak mereka di Mahkamah atas kehilangan insan tersayang.

Walauapapun yang bakal berlaku di antara ibubapa atau penjaga dalam kes berkenaan dengan pihak penganjur, jalan terbaik adalah perundingan dan perbincangan dari hati ke hati. Tindakan undang-undang boleh dielakkan jika pihak penganjur bersedia memberi sagu hati dengan kadar yang berpatutan kepada keluarga mangsa. Kenyataan rasmi kepada umum di media-media perdana seperti TV dan akhbar-akhbar perdana bagi menyatakan kekesalan serta permohonan maaf kepada keluarga mangsa boleh membuka ruang untuk mengelak kes tersebut berpanjangan di Mahkamah.

Pandangan yang dikeluarkan dalam artikel ini hanyalah pandangan peribadi ERAKITA berdasarkan pemahaman tersendiri terhadap peruntukan undang-undang yang ada. ERAKITA pada dasarnya bersetuju dengan pendapat mengenai isu ini dalam buku tulisan Tai Fatt Hee bertajuk Undang-Undang Pendidikan di Malaysia, terbitan Penerbit Fajar Bakti, 2002 di halaman 104-105. ERAKITA mencadangkan warga pendidik dan para ibubapa yang ada kelapangan untuk membaca buku tersebut. Buku ini mengandungi banyak maklumat mengenai pendidikan dalam konteks undang-undang. Undang-undang berkaitan tindakan pembuangan pelajar bermasalah juga dibincangkan secara detail dalam buku ini.

Sebagai ibubapa kepada pelajar, kita memahami bahawa kejayaan dan peningkatan daya intelektual serta kreativiti anak-anak dapat dikembangkan melalui gabungan pendidikan kelas di sekolah dengan aktiviti-aktiviti kurikulum samada dalam atau luar sekolah. Cuma, kita juga harus ingat bahawa sekiranya undang-undang mengatakan bahawa sekali ibubapa menurunkan tandatangan melepaskan anak mereka mengikuti aktiviti sekolah yang dikendalikan di luar sekolah, bererti pihak sekolah sudah terlepas dari sebarang tanggunjawap dan bebanan undang-undang sekiranya belaku kejadian malang ke atas murid, MAKA kita akan berhadapan dengan situasi di mana pihak ibubapa tidak lagi akan memberi kebenaran seumpamanya pada masa hadapan.

Bahkan, ERAKITA percaya bahawa guru-guru yang punya anak-anak yang bersekolah juga TIDAK AKAN SANGGUP menurunkan tandatangan serupa walaupun mereka adalah warga pendidik di sekolah berkenaan.

 

SEKADAR UNTUK RENUNGAN

 


GURU ZIARAH IBUBAPA

 

DSC07383

 

 

GURU ZIARAH IBUBAPA

Ke arah melahirkan murid cemerlang

 

 

26 Oktober 2009 

Berapa ramai ibubapa yang mengenali guru-guru sekolah anak-anak mereka? Berapa ramai pula ibubapa yang kerap bertemu dan berinteraksi dengan guru-guru itu? Ibubapa yang mengenali guru-guru di sekolah anak mereka memang wajar dipuji. Ini kerana, suasana seperti itu dapat melahirkan suasana positif dalam hubungan antara ibubapa, guru dan murid. Ibubapa dapat bertanya terus kepada guru berkaitan mengenai perkembangan pelajaran atau disiplin anaknya di sekolah. 

Ada ketikanya maklumat penting dari sekolah yang disampaikan oleh anaknya kurang jelas. Antaranya pembayaran yuran persatuan, pembelian baju seragam atau penganjuran aktiviti-aktiviti penting seperti sukan, kelas tambahan, mesyuarat Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBAGU) dan lain-lain lagi. Jika ibubapa mengenali guru sekolah anaknya, hal tersebut dapat ditanya terus kepada guru berkenaan agar jelas dan difahami. Cara ini dapat menghindarkan sebarang salah faham atau kekeliruan di kalangan ibubapa terhadap sesuatu program yang dianjurkan sekolah. Kadang-kadang anak-anak terlupa untuk membawa surat atau risalah yang dikeluarkan oleh pihak sekolah untuk diberikan kepada ibubapa. 

Ada kalanya, ibubapa hanya mengetahui suatu program atau aktiviti di sekolah pada saat-saat akhir, itupun diketahui melalui rakan sekolah anaknya. Hal ini sudah tentu menimbulkan kesulitan kepada ibubapa. Kesulitan ini sedikir sebanyak boleh diatasi apabila ibubapa mempunyai hubungan baik dengan guru kelas atau guru-guru lain serta kakitangan sekolah. Jika dapat, biarlah ibubapa mendapat nombor talipon guru berkenaan untuk memudahkan sebarang urusan. 

Dari segi psikologi, anak-anak sudah tentu berbangga dan gembira apabila mengetahui bahawa ibubapa mereka mempunyai hubungan baik dengan guru-guru di sekolah. Anak-anak akan lebih yakin untuk datang ke sekolah dan merasa lebih selamat kerana guru-guru mengenali anak-anak dan ibubapa mereka sekali. Anak-anak juga akan merasa segan atau malu untuk melakukan tindakan yang bertentangan dengan peraturan sekolah apabila mengetahui bahawa guru-guru tersebut mempunyai hubungan rapat dengan ibubapa mereka. Bukan sahaja takut diambil tindakan pihak sekolah, malah anak-anak akan merasa takut sekiranya tindakan mereka itu dilaporkan oleh guru berkenaan kepada ibubapa mereka. 

Alangkah baiknya andai wujud hubungan baik antara ibubapa dan guru-guru. Tidak dinafikan kewujudan PIBAGU adalah langkah bijak untuk mempertemukan ibubapa dan guru-guru. Cuma, pertemuan untuk membincangkan hal ehwal murid dan sekolah hanyalah dapat dilakukan mungkin dua atau tiga kali dalam setahun. Itupun hanya berapa ramai sahaja ibubapa yang dapat hadir. Ketidakhadiran ramai ibubapa ke dalam mesyuarat PIBAGU atau biasa disebut PIBG sudah menjadi perkara biasa di mana-mana. Tidak hairan jika ada keputusan mesyuarat tersebut yang mengenakan denda sehingga RM10 atau RM15 kepada ibubapa yang gagal hadir tanpa sebab menasabah. 

Dalam situasi lain, ada ketikanya pihak sekolah menempah bekalan makanan dari pembekal makanan untuk makan tengahari para ibubapa dan guru menurut jumlah ibubapa atau penjaga murid-murid di sekolah berkenaan. Malangnya, jika tempahan dibuat untuk 500 kepala, akhirnya yang hadir hanya 200 hingga 300 kepala sahaja. Akhirnya makanan lebih banyak yang tidak dimakan. Bukankah hal ini sudah menyebabkan pembaziran wang sekolah atau persatuan? Akhirnya, bukan pembaziran makan minum saja yang berlaku tapi juga keputusan mesyuarat hanya diketahui oleh segelentir sahaja ibubapa. Akhirnya, apabila keputusan mesyuarat mula dilaksanakan, kedengaranlah pula suara-suara sumbang dan rungutan dari ibubapa yang tidak hadir ketika mesyuarat dahulu. 

ERAKITA berpendapat bahawa perjumpaan mesyuarat PIBAGU dua atau tiga kali dalam setahun memang tidak memadai untuk memupuk kerjasama dan persefahaman antara guru-guru dan ibubapa. Sebab itulah, satu usaha yang jitu perlu dilakukan untuk menyedarkan para ibubapa dan guru-guru akan keperluan mewujudkan hubungan rapat antara mereka. Andai ibubapa tidak dapat memulakan hubungan rapat guru dan ibubapa, para guru juga rasanya perlu mengambil pendekatan MEMULAKAN terlebih dahulu hubungan tersebut. Hubungan mesra guru dan ibubapa boleh dijalinkan melalui ZIARAH GURU KE RUMAH IBUBAPA murid pada waktu-waktu bersesuaian seperti hujung minggu. Hubungan mesra juga boleh dimulakan dengan membuat panggilan talipon bertanyakan khabar ibubapa atau anak-anak mereka. Siapa sangka, boleh jadi tindakan guru memulakan hubungan baik ini akan melahirkan rasa diberi perhatian di pihak ibubapa murid. 

Tindakan TURUN PADANG oleh guru-guru ke rumah ibubapa murid sesungguhnya satu tindakan murni dan melahirkan suasana harmoni antara keduanya. Maklumat awal mengenai hal ehwal dan keadaan ibubapa yang bakal dikunjungi boleh diperolehi dari Ketua Kampung atau Pengerusi JKKK kampung berkenaan. Jika guru tersebut berkesempatan untuk ke masjid atau surau kampung tersebut, usaha memulakan hubungan baik antara ibubapa akan menjadi lebih mudah. Sambil berkunjung, elok juga rasanya guru berkenaan membawa OLE-OLE atau BUAH TANGAN sebagai tanda keakraban dan kemesraan. Rasanya tidak ada ibubapa yang akan menolak kunjungan guru-guru ke rumahnya. Sebaliknya, ibubapa pasti merasa diberi penghormatan dan perhatian ikhlas dari pihak sekolah. 

Bagi guru-guru, anggap sahajalah kita seperti para JURURAWAT dari klinik atau hospital kerajaan yang akan mengunjungi rumah para ibu yang baharu melahirkan anak. Jururawat tersebut bukan sahaja akan memeriksa dan bertanyakan khabar dari para ibu, bahkan juga kepada bayi yang baru dilahirkan. Kemesraan para Jururawat ketika mengunjungi kaum ibu di rumah begitu terasa sekali. Apabila orang-orang penting seperti mereka datang ke rumah dan bertanya khabar mengenai perkembangan ibu dan baby, saat itu terasa sekali betapa MURNINYA khidmat mereka kepada kita. Demikianlah bagaimana ERAKITA merasakan bahawa guru-guru juga boleh mengambil pendekatan yang serupa atau seumpama dengannya. Rasanya, tindakan ini sudah MELEBIHI pencapaian TAHAP 4 dalam peperiksaan PENILAIAN TAHAP KECEKAPAN (PTK) bagi kakitangan kerajaan. 

ERAKITA masih ingat lagi betapa guru-guru 20 atau 30 tahun lampau begitu rapat hubungannya dengan masyarakat desa. Tidak kurang juga kejadian di mana guru-guru dijadikan ANAK ANGKAT oleh ibubapa murid di sekolah berkenaan. Begitu akrab sekali hubungan guru dan masyarakat kampung. Tidak keterlaluan juga kalau dikatakan bahawa perpindahan seseorang guru yang disayangi masyarakat bukanlah suatu yang disukai atau diingini ketika itu. Jika dapat, biarlah guru berkenaan mengajar di sekolah berkenaan sampai PENCEN. Andai berpindah juga, perpindahan guru berkenaan pasti diiringi dengan tangisan oleh masyarakat dan anak-anak muridnya. 

Bayangkanlah jika suasana ini sudah terwujud, apakah akan wujud tindakan agresif atau ofensif ibubapa ke atas guru apabila guru mengenakan tindakan disiplin ke atas anak mereka? Apakah akan timbul lagi ibubapa atau penjaga anak mengambil tindakan menyaman guru dan pihak sekolah terhadap apa yang berlaku ke atas anak mereka? Agaknya ramai bersetuju bahawa ibubapa yang sudah tertanam kepercayaan dan keyakinan kepada guru-guru dan pihak sekolah tidak akan tergamak untuk mengambil tindakan terburu-buru seperti ini hanya bersandarkan kepada apa yang diceritakan oleh anak mereka. Malah ibubapa berkenaan akan terlebih dahulu menghubungi guru atau pihak sekolah untuk mendapatkan gambaran sebenar. Setelah mendapat gambaran sebenar, boleh jadi ibubapa itu akan melahirkan rasa terimakasih kepada guru dan pihak sekolah kerana mengambil tindakan sedemikian rupa kepada anaknya. Boleh jadi juga, ibubapa tersebut akan mengambil tindakan ke atas anak mereka menurut kaedah sepatutnya seperti merotan atau memberi hukuman sewajarnya. 

Bagi ERAKITA, ibubapa dan guru kena saling kenal mengenali antara satu sama lain. Jika dapat, mungkin juga guru boleh membuat sedikit kelainan dari kebiasaan sewaktu menyerahkan buku rekod persekolahan anak muridnya. Jika pada kebiasaannya, ibubapa akan dipanggil bersama anak-anak mereka ke sekolah untuk mengambil buku rekod tersebut. Keputusan peperiksaan murid-murid akan diketahui hanya pada hari berkenaan. Bagi ibubapa yang mendapati anaknya mendapat keputusan TERCOROT, ia pasti akan merasa malu atau marah kepada anaknya. Tidak mustahil akan keluar kata-kata yang tidak elok dari mulut ibubapa atau penjaga mereka di hadapan guru kelas dan murid-murid lain. 

Boleh jadi kata-kata seperti ”kau ni Onong, bodoh juga kau ni! Macam mana kau boleh dapat nombor KUNCIT! Bikin malu saja!” terkeluar dari mulut ibubapa. Ada juga kata-kata ibubapa seperti ini ”Onong! Lain kali kalau keputusan kau begini juga, bagus lagi berhenti sekolah saja. Potong Getah lagi bagus!” atau ”Onong, saya sudah cakap balik-balik sama kau, jangan main internate saja, tapi kau tidak mau ikut cakap saya, sekarang tengoklah sendiri apa yang kau dapat!”. Kata-kata seperti ini juga mungkin pernah kita dengar. ”Onong! Kau tengoklah sendiri keputusan peperiksaan kau gara-gara asyik main TING TONG saja. Bagus kau pigi kahwin sama itu TING TONG!”. Tindakan spontan ini akan menjatuhkan air muka murid berkenaan. Keadaan ini tidak sepatutnya berlaku. Ia tidak akan menyelesaikan masalah. 

Tetapi, mungkin lebih besar kesan positif kalau guru berkenaan menetapkan satu masa khusus untuk datang menziarahi ibubapa murid berkenaan di rumah mereka sambil membawa buku rekod tersebut. Pendekatan ini mungkin sesuai digunakan dalam kes-kes melibatkan murid yang lemah dalam pelajaran atau juga murid-murid yang berpotensi maju tetapi berhadapan dengan masalah peribadi termasuk masalah keluarga. Tidak salah andai pendekatan ini dicuba dahulu. Siapa tahu, tindakan TURUN PADANG ini mampu menghasilkan kesan mengkagumkan di luar dugaan selepas itu! Siapa tahu? Belum cuba belum tahu. Kelebihannya, bukan saja guru tersebut dapat mengenali dan mengadakan hubungan rapat dengan ibubapa, guru juga dapat melihat sendiri keadaan persekitaran rumah dan keberadaan keluarga murid tersebut. 

Guru akan dapat gambaran sebenar samada keadaan dalam rumah itu mempunyai ciri-ciri MESRA BELAJAR atau tidak. Maksud ERAKITA, guru dapat melihat secara langsung dengan kepala mata sendiri samada ada terdapat ruang belajar, atau ada meja belajar atau almari buku, lampu yang mencukupi dan lain-lain lagi dalam rumah pelajar bekenaan. Pengetahuan LANGSUNG ini sesuangguhnya dapat membantu guru untuk membuat STRATEGI baru dan berkesan untuk menyampaikan ilmu dan motivasi kepada murid berkenaan. Ingatlah, tidak ada hal yang lebih berkesan melainkan dengan MELIHAT, MENYENTUH dan MERASA sendiri keadaan yang dihadapi oleh murid berkenaan. 

Apapun yang dibincangkan di atas, bukanlah bertujuan untuk menambahkan beban ibubapa atau guru-guru. Namun, pendekatan yang diiringi kepelbagaian teknik dan cara untuk mendidik murid-murid supaya mencapai kemajuan dan kecemerlangan harus dicuba dan diamalkan. Suasana hari ini dengan suasana 20 atau 30 tahun yang lampau sudah jauh berbeza. Suasana era kini semakin mencabar dan semakin komplikated. Kreativiti mendidik anak-anak amatlah diperlukan. Pengetahuan teknologi moden hari ini seperti internate dan bermacam-macam lagi harus diketahui dan difahami oleh guru-guru dan para ibubapa agar pendekatan mendidik mereka dapat disesuaikan menurut keadaan anak-anak tersebut. Akhir sekali, ERAKITA mengucapkan selamat menghayati artikel ini dan mencuba beberapa tips yang dilontarkan menurut kesesuaian dan keupayaan masing-masing. 

 

SELAMAT MENCUBA

 

 

PUJIAN BERKUALITI DARI GURU KEPADA MURID

Sentuhan dan kasih sayang untuk anak-anak merangsang sikap dan minda positif mereka

Sentuhan dan kasih sayang kepada anak-anak merangsang sikap dan minda positif mereka

PUJIAN BERKUALITI DARI GURU KEPADA MURID

 

 22 Oktober 2009

(Dikemaskini pada 27 Jun 2021)

Dalam era kita yang semakin terbuka, maju dan mencabar lagi kompleks ini, penguasaan memahami dan mempraktiskan pelbagai teknik untuk mendidik anak-anak murid dalam konteks guru dan anak-anak dalam konteks ibubapa amat diperlukan. Dalam konteks persekolahan, sesetengah pihak mungkin berpendapat bahawa guru tidak perlu memuji murid atas suatu kebaikan atau pencapaiannya. Pujian guru kepada murid bagi mereka dikuatiri boleh menimbulkan kesan negatif kepada sikap murid. Ada kekuatiran bahawa berkemungkinan murid yang diberi pujian itu  akan berlagak angkuh atau sombong dengan guru-guru atau murid-murid lain. Sesetengah pihak pula mungkin berpendapat bahawa pujian guru kepada murid itu perlu untuk membentuk semangat dan jati diri mereka.

Apapun tanggapan atau persepsi yang dilontarkan, ERAKITA berpendapat bahawa pujian dari seorang guru kepada muridnya masih relevan. Bagaimanapun, pujian tersebut haruslah berlandaskan kaedah atau cara yang betul. ERAKITA ingin berkongsi dengan anda beberapa teknik atau kaedah yang boleh diaplikasikan oleh seorang guru ketika memuji murid seperti berikut:

  1. Pujian hendaklah bersifat khusus atau spesifik. Contohnya, seorang cikgu mengungkapkan kata-kata ini kepada anak muridnya yang telah mencapai peningkatan markah ujian walaupun dengan peningkatan sedikit saja seperti “Cikgu amat bangga dengan pencapaian ujian kamu kali ini, teruskan pencapaian seperti ini pada masa hadapan, tahniah sekali lagi”. Bayangkan, bagaimana perasaan murid ketika itu!. Sambil mengeluarkan kata-kata itu, cikgu tersebut menepuk-nepuk bahu anak muridnya dengan penuh ikhlas. Cuma perlu diingat bahawa kaedah ini lebih sesuai ilakukan oleh  guru lelaki untuk murid lelaki.  Demikian juga, guru perempuan kepada murid perempuan.
  2. Pujian yang dilakukan dalam bentuk tulisan. Contohnya, ketika penyerahan markah ujian, guru menulis dalam kertas jawapan ujian murid dengan kata-kata pujian atas pencapaian murid dalam ujian tersebut. Kata-kata pujian yang teratur dan singkat seperti “Cikgu bangga atas pencapaian di luar dugaan ini. Teruskan usaha ke arah kecemerlangan”. Ataupun, guru tersebut boleh juga menulis ungkapan seperti “Cikgu dari dulu lagi yakin bahawa kamu boleh buat yang terbaik. Syabas dan tahniah Ahmad!”. Demikian juga coretan seperti “Pencapaian yang bagus! Tahniah Ahmad. Kamu adalah salah seorang murid harapan Cikgu!”. Bayangkan, bagaimana perasaan murid tersebut ketika membaca kata-kata KERAMAT gurunya yang tertera di kertas itu!. Kaedah ini memiliki kesan tersendiri untuk merangsang dengan cepat semangat dan motivasi seorang murid atau anak untuk melakukan tindakan-tindakan positif seterusnya.
  3. Berilah pujian yang biasa dan tidak melebih-lebih. Yang penting pujian itu adalah pujian BERKUALITI. Bagi murid di sekolah rendah, pujian seharusnya diikuti dengan pelukan guru kepada pelajarnya. Guru perempuanlah yang sesuai mengambil pendekatan ini kepada murid-muridnya. Bagi guru lelaki pula, pujian yang disertakan senyuman ikhlas dan rasa bangga terhadap pencapaian murid itu lebih sesuai digunakan. Bayangkan bagaimana perasaan murid ketika menerima pujian, sentuhan dan senyuman ikhlas dari seorang cikgu! Siapa tahu, pujian dan sentuhan ini akan tersemat dalam ingatannya seumur hidup.
  4. Pujian yang diberikan seharusnya diberikan secepat mungkin sebaik suatu kejayaan atau kebaikan itu dilakukan oleh murid. Kaedah ini lebih cepat merangsang sikap dan peribadi seorang murid berbanding pujian yang diberikan setelah berlalu beberapa hari atau minggu selepas sesuatu kebaikan itu dilakukan murid. Inilah yang dikatakan instant atau on the spot. Jadi, nak beri pujian kepada murid, biarlah kejayaan murid tersebut masih terasa “PANASNYA”. Seperti yang ERAKITA pernah sebut dalam artikel sebelum ini, pakailah kata-kata orang putih ni “STRIKE THE IRON WHILE IT IS HOT”. Kalau nak beri pujian, berilah pujian itu ketika kejayaan anak murid itu baru dicapai, masih diingat-ingat dan disebut-sebut.
  5. Pujian dalam bentuk sindiran perlu dielakkan. Contohnya “Ahmad bukanlah pandai sangat tapi kali ini Ahmad mendapat markah yang baik. Mungkin Ahmad bernasib baik kali ini. Tahniah untuk awak!”. Kata-kata ini kelihatan seperti memuji tetapi pujian tersebut kelihatannya menyindir dan tidak memperlihatkan kejujuran guru ketika mengiktiraf pencapaian muridnya. Keadaan ini boleh mendatangkan kesan negatif kepada murid apabila beranggapan bahawa guru itu bersifat negatif atau memandang rendah terhadap kemampuannya. Boleh jadi murid itu akan bertambah keliru dengan status kedudukannya. Ia mungkin keliru kerana tidak pasti samada dirinya berpontensi untuk maju atau tidak kerana kata-kata cikgunya tadi memberi persepsi bahawa pencapaiannya itu hanyalah secara kebetulan sahaja.

Untuk membangkitkan motivasi murid-murid bagi mencapai kecemerlangan akademik dan kurikulum mereka, banyak sekali cara atau kaedah yang boleh digunakan oleh seorang cikgu. Buku-buku motivasi keibubapaan, pendidikan dan bermacam-macam lagi yang ada di rak-rak kedai buku sentiasa menanti tangan kita untuk mencapai dan membelinya. Bukalah buku-buku itu dan hayati tips-tips yang disajikan. Amalkan mana-mana kaedah yang dirasakan bersesuaian dengan situasi kita. Pengalaman ERAKITA sebagai ayah kepada tiga orang anak yang sedang bersekolah sedikit sebanyak membantu memahami dan menghayati keadaan-keadaan ini. Ada kalanya anak akan menceritakan kepada ibubapa dengan penuh semangat bagaimana cikgunya memberi pujian kepada mereka sewaktu dalam kelas kerana melakukan satu perbuatan terpuji.

Adakalanya guru berkenaan bertemu dengan ibubapa dan menceritakan kepada mereka bagaimana anak mereka melakukan kerja yang baik ketika dalam kelas. Pujian guru tersebut tidak diceritakan kepada murid semasa di sekolah. Sebaliknya guru tersebut bertemu dengan ibubapa dan menceritakan terus mengenai pencapaian atau kebaikan yang dilakukan oleh murid berkenaan. Kaedah ini dilihat berkesan dan menghasilkan AURA tersendiri untuk menaikkan semangat anak-anak belajar atau memperbaiki disiplin serta peribadi mereka di sekolah dan di rumah. Cubalah sekali sekala guru-guru memberi pujian untuk anak muridnya melalui ibubapa. Ibubapa pula kena ceritakan semula kepada anak-anak mereka bahawa cikgu mereka ada memberi pujian mengenai kelakuan atau perbuatan anak di sekolah.

Lihatlah hasilnya nanti. Anda akan melihat raut wajah anak-anak anda begitu ceria dan teruja apabila guru mereka menceritakan sendiri kepada ibubapa mereka akan kejayaan atau kelakuan terpuji mereka di sekolah. Jika sebelum itu anak-anak malas membaca buku, lihatlah sendiri kesannya selepas pujian itu diceritakan kepada mereka. Mereka akan begitu bersemangat untuk membuka beg sekolah, mengeluarkan pen dan melakukan tugasan pembelajaran mereka. Yang penting, ketika memberi pujian tersebut, berilah pujian itu secara ikhlas, dengan wajah gembira dan bangga dengan anak-anak kita. Lebih berkesan lagi kalau kita dapat MEMELUK ERAT DAN MENCIUM KEPALA ANAK-ANAK tanda kasih dan sayang kita.

Kaedah memberi pujian yang dinyatakan di atas bukan sahaja dikhususkan untuk guru kepada anak-anak muridnya semata-mata. Sebenarnya, jika diteliti, kaedah-kaedah tersebut juga boleh diaplikasi atau diamalkan oleh para ibubapa di rumah. Contohnya, dalam soal memuji anak. Kalau ibubapa nak puji anak, biarlah pujian tersebut diberikan sebaik saja anak tersebut melakukan kerja yang baik. Memuji sambil memeluk erat anak ke dada dengan penuh ikhlas mempunyai aura tersendiri yang seringkali diabaikan oleh ibubapa.

Semoga sedikit tips dalam memberi pujian kepada anak murid yang dikongsikan ini dapat memberi input berguna kepada sesiapa juga yang terlibat dalam dunia pendidikan. Ibubapa juga tidak terkecuali untuk mencuba beberapa kaedah memberi pujian yang disebutkan di atas untuk diamalkan di rumah. Kepelbagaian teknik mendidik anak murid akan memudahkan kita melaksanakan tugas murni ke arah melahirkan anak-anak yang CEMERLANG, GEMILANG DAN TERBILANG.

SELAMAT MENCUBA

 

 

IBUBAPA: sokonglah anak-anak kita

 

Aktiviti hujung minggu sekeluarga aset bernilai untuk membina minda positif anak-anak. Hj Juang bersama keluarga di Air Terjun Mahua Tambunan

Aktiviti hujung minggu sekeluarga aset bernilai untuk membina minda positif anak-anak. Hj Juang bersama keluarga di Air Terjun Mahua Tambunan

 

IBUBAPA

sokonglah anak-anak kita

 

20 Oktober 2009 

Kehadiran ibubapa atau penjaga dalam aktiviti-aktiviti penting yang diadakan sekolah seperti sukan, mesyuarat PIBG, pertandingan melibatkan pelajar seperti melukis, syarahan, membaca al-Quran, debat dan lain-lain mempunyai signifikan tersendiri. Tidak juga pentingnya ialah hadir untuk menerima rekod pencapaian peperiksaan murid di hadapan guru kelas mereka. Berdasarkan pemerhatian dan pengalaman ERAKITA, ramai ibu bapa atau penjaga yang tidak hadir untuk melihat anak-anak mereka BERTARUNG dalam pertandingan-pertandingan yang diadakan di sekolah. Sebenarnya, kehadiran ibu bapa di majils-majlis seperti ini amat besar kesannya terhadap motivasi dan semangat anak-anak untuk belajar. Ibu bapa akan melihat sendiri bagaimana pencapaian anak-anaknya dalam aktiviti tersebut. 

Jika direnung, banyak aktiviti dan kemahiran anak yang tidak diketahui dan disedari oleh ibu bapa. Kebanyakan kemahiran dan aktiviti itu hanya dapat dilakukan di sekolah. Bayangkan, bukankah besarnya makna dan nilai kehadiran ibu bapa dalam majlis pertandingan syarahan melibatkan anaknya di sekolah? Anak itu akan terasa dihargai, terasa disokong, terasa diperlukan, terasa diberi perhatian, terasa bahawa dirinya penting bagi ibubapa. Itu mungkin perasaan yang dialami oleh anak-anak kita. Bagaimana pula rasanya hati ibubapa apabila anaknya sendiri diumumkan sebagai salah seorang pemenang dalam pertandingan yang disertainya? Pastilah perasaan terharu dan gembira yang sukar digambarkan dengan kata-kata ketika itu. Demikianlah juga dengan si anak. Tentunya semangat dan kegembiraan si anak pula akan bertambah-tambah apabila mendapati bahawa ibu atau ayahnya sendiri yang mengambil gambar ketika ia menerima hadiah tersebut? Lebih bermakna lagi apabila ibubapa turut bergambar dengan anak bersama-sama hadiah atau tropi yang digondolnya. 

Lihat saja realiti yang berlaku dalam pertandingan-pertandingan berbentuk hiburan di kaca TV. Dalam pertandingan realiti TV, contohnya Akademi Fantasia anjuran ASRTO, tampak terserlah kegembiraan dan semangat yang berkobar-kobar dalam raut wajah peserta di pentas apabila melihat kelibat-kelibat ibu bapa dan ahli keluarganya turut hadir di dewan untuk memberikan sokongan kepadanya? Bukanlah pula maksud ERAKITA menyokong program AF dan pelbagai lagi program realiti hiburan TV itu. Cuma, gambaran yang berlaku dalam suasana-suasana yang ditampil dalam suatu pertandingan yang dihadiri ibu bapa dan saudara mara terdekat benar-benar memberi impak atau kesan yang besar terhadap semangat dan usaha seseorang peserta. Dalam konteks ini, peserta itu ialah anak kita. 

Kehadiran ibubapa dalam aktiviti-aktiviti anak di sekolah atau di luar sekolah sepertimana disebutkan di atas sangat besar implikasinya terhadap psikologi dan minda anak-anak. Anak lebih berkeyakinan dan daya motivasinya semakin meningkat untuk datang ke sekolah dan melakukan apa juga aktiviti yang dianjurkan pihak sekolah. Dari sudut lain, kehadiran ibubapa di sekolah sekurang-kurangnya dapat mengurangkan rasa rendah diri anak di hadapan rakan-rakannya. Rakan-rakan sekolah pula akan berfikir beberapa kali jika hendak melakukan perkara yang tidak baik ke atas anak tersebut seperti membuli dan sebagainya. Ini kerana, mereka sedar bahawa ibubapa murid tersebut mempunyai hubungan yang rapat dengan guru-guru dan warga sekolah. Kesibukan ibubapa dalam kerjaya masing-masing tidak sepatutnya menghalang mereka untuk bersama anak-anak dalam peristiwa-peristiwa penting mereka walaupun buat sekala-sekali. Di samping dapat mengenali guru-guru sekolah secara dekat, ibubapa juga berpeluang mengenali rakan-rakan sekolah anak-anak mereka. 

Dari sudut lain pula, ibubapa yang melazimkan diri mereka hadir di sekolah ketika aktiviti-aktiviti tertentu berlangsung di sekolah akan lebih memahami keadaan sekeliling sekolah tersebut. Sekurang-kurangnya mereka mendapat gambaran sejauh mana tahap keselamatan anak-anak mereka di sekolah. Mereka juga dapat melihat prasarana atau kelengkapan di sekolah seperti tandas, kelas, kantin, peralatan keselamatan, kebesihan dan lain-lain. Maklumat-maklumat yang diperolehi di depan mata ini dapat pula memberi motivasi kepada ibubapa untuk memberi idea atau sumbangan dari segi material atau kewangan kepada pihak sekolah jika diperlukan. 

Dengan kesibukan ibubapa dalam urusan harian mereka di pejabat, di kebun, di bendang atau di tempat-tempat kerja dari pagi hingga petang, mereka tidak akan masa yang cukup untuk mengenalpasti kelebihan-kelebihan yang dimiliki anaknya. Mereka mungkin tidak tahu bahawa anaknya mahir bermain bola sepak. Mereka mungkin tidak tahu atau sedar bahawa anaknya pandai bermain hoki, badminton, tennis, ping pong, atau juga hebat dalam acara sukan olaraga seperti larian 100 meter dan sebagainya. Yang ibu bapa tahu ialah apabila anak balik dari sekolah, anak-anak seringkali meminta itu dan meminta itu dari ibubapa. 

Seringkali terjadi apabila anak balik dari sekolah dan memberitahu bahawa sekolah meminta agar ibubapa membayar sejumlah wang untuk pembelian baju persatuan atau sukan atau peralatan tertentu di sekolah, ibubapa sebaliknya merungut dan mula berleter. Ibubapa pula mula mengeluarkan kata-kata yang ada kalanya tidak sedap didengar oleh telinga. Kadang-kadang keluar juga kata-kata seperti ”apalah sekolah kamu ni, balik-balik minta duit, balik-balik minta duit!”. Ada juga kata-kata seperti ”tidak payahlah kamu ikut aktiviti tu, buang duit saja!”. Jika umpamanya aktiviti tersebut diadakan pada hujung minggu, si bapa mungkin lebih mudah mengatakan ”nak, kalau kau ikut perkemahan tu, kau tidak akan dapat apa-apa duit. Buang duit saja semua tu. Bagus lagi kau ikut bapa ke kebun hari sabtu ni!”.

Rasanya, jika keadaan ini berlaku semangat anak-anak boleh luntur sama sekali. Apatah lagi jika anak itu orang penting dalam pasukan atau persatuan tersebut. Tidak mustahil, sikap ibubapa sedemikian menjadi penyebab utama anak mereka terlepas peluang untuk mewakili sekolah dalam pertandingan penting di peringkat daerah atau bahagian atau negeri. Akibatnya, bukan sahaja anak tersebut rugi kerana terlepas peluang keemasan untuk mengikuti pertandingan tersebut, sekolah juga terlepas peluang untuk menaikkan nama sekolah mereka. Dan, lebih rugi lagi ialah ibubapa anak-anak kerana andai mereka tahu dan memahami anak-anak di sekolah, pastinya mereka lebih gembira dan bahagia melihat anak mereka meraih kecemerlangan dalam persekolahan. 

Tidak mustahil jiwa anak-anak boleh memberontak terhadap ibubapa. Tidak hairanlah jika ini berlaku, anak-anak itu akan lebih bahagia kalau bersama-sama dengan kawan-kawannya di luar rumah berbanding di rumah sendiri. Rumah yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat dan tenteram tidak lagi diminati oleh anak-anak. Sebaliknya, rumah kawan-kawan pula yang disukainya. 

ERAKITA melihat bahawa hal-hal sekecil ini sewajarnya diambil perhatian oleh para ibubapa. Dekatilah anak-anak kita. Janganlah melakukan tindakan yang membuatkan anak-anak benci atau jauh dari ibubapa. Salah satu langkah mendekati anak-anak dan menarik kepercayaan serta rasa sayang mereka kepada ibubapa ialah dengan menghadiri aktiviti-aktiviti penting melibatkan anak-anak di sekolah atau di mana juga yang berpatutan. Berilah sokongan kepada mereka. Memahami dan menyedari akan bakat serta kelebihan yang dimiliki anak-anak dilihat mampu mendorong ibubapa untuk terus menyokong anak-anak mengasah bakat dan kecemerlangan mereka di sekolah. Jom, sokong anak-anak kita!

 

RENUNGAN UNTUK IBUBAPA