WANITA TERLANJUR SEDIA BERMADU

Assalamualaikum

Saya dengan pasangan saya ingin berkahwin. Pasangan saya sudah berkahwin dan memiliki 3 anak. Permohonan poligami telah dihantar dan menunggu surat tarikh mahkamah. Isteri pasangan saya dah mengizinkan kami untuk bernikah. Selama kami bercinta selama 6 tahun, kami telah melakukan kesalahan. Dan kami ingin bertaubat. Dan dari kesalahan itu kami telah memiliki seorang anak. Isteri pasangan saya juga telah mengetahuinya. Kami ingin segera berkahwin. Apa yang perlu kami lakukan untuk membaiki semua keadaan ini? Dan apa yg terjadi kepada anak kami sekiranya pihak jabatan agama mengetahui perkara ini. Minta perjelaskan. Dan apa yang perlu kami lakukan? Anak kami juga telah mengidap penyakit jantung yang kronik. Kami ingin buat yang terbaik untuk anak kami.

Walaikumussalam wbt.

Terimakasih atas pertanyaan saudari di atas. Tindakan bakal suami menfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran berpoligami di Mahkamah Syariah adalah betul di sisi undang-undang. Memang menjadi satu kesalahan jika berpoligami tanpa kebenaran mahkamah. Justeru, hadirlah ke mahkamah apabila dipanggil untuk memberikan keterangan di hadapan hakim nanti. Yang perlu hadir adalah suami (pemohon), isteri sedia ada, bakal isteri dan wali kepada bakal isteri. Jika mahkamah meluluskan, laksanakanlah pernikahan tersebut dan elakkan dari menunda-nunda. Dibimbangi akan berlaku pelbagai perkara yang tidak baik.

Jika mahkamah tidak meluluskan permohonan tersebut, suami boleh membuat rayuan di mahkamah yang lebih tinggi iaitu Mahkamah Rayuan Syariah. Persetujuan daripada isteri untuk si suami berpoligami merupakan satu kelebihan kepada suami walaupun ianya tidaklah semestinya menyebabkan mahkamah terikat untuk meluluskan permohonan tersebut. Terdapat beberapa perkara lagi yang perlu diambil pertimbangan oleh mahkamah seperti kemampuan suami dan juga alasan mengapa perlu berpoligami.

Selepas pernikahan nanti, sijil nikah akan dikeluarkan oleh Pendaftar Nikah cerai dan Rujuk di Jabatan Agama Islam Negeri. Tindakan seterusnya adalah mendaftarkan kelahiran anak di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) jika telah ada. Bagaimanapun, pihak JPN juga mempunyai peraturan tersendiri yang mengambil kira keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan ketika meletakkan bin atau binti kepada seseorang anak dalam daftar kelahiran. Jika anak tersebut lahir kurang dari 6 bulan qamariah selepas pernikahan, anak tersebut akan dibin atau dibintikan dengan Abdullah atau mana-mana 99 nama Allah di dalam asmaa al-husna.

Menurut apa yang erakita dapat fahami, anak telahpun dilahirkan oleh saudari sebelum pernikahan dengan bakal suami. Justeru, salah satu perkara yang perlu dirujuk kepada JPN apabila mendaftarkan kelahiran anak tersebut adalah berkenaan dengan nasab anak tersebut samada boleh dibin atau dibintikan kepada suami saudari. Bagi negeri-negeri di Semenanjung, rujukan undang-undang boleh dibuat pada seksyen 13 Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957. Di Sabah, rujukan boleh dibuat kepada seksyen 10 Sabah Birth and Death Registration Ordinance (Cap 123). Bagi Sarawak pula, rujukan adalah kepada seksyen 11 Sarawak Birth and Death Registration Ordinance (Cap 10). Rujukan juga boleh dibuat kepada Pekeliling JPN No. 8/2009.

Dari segi hukum, perbuatan zina adalah terlarang dan termasuk sebagai dosa yang besar di sisi Allah. Taubat nasuha perlu dilakukan tanpa berlengah oleh pelakunya. Jangan bertangguh untuk memohon ampun kepada Allah atas dosa yang dilakukan. Ini kerana, dibimbangi bahawa pelakunya meninggal dunia sebelum sempat bertaubat. Amatlah malang jika terjadi seperti ini. Perlu diingatkan bahawa dalam soal bertaubat kepada Allah, tidak ada had dan batasan masa selagi nyawa masih dikandung badan. Tiada istilah putus asa dan terlambat selagi kita masih bernafas. Hal ini diterangkan oleh Allah dalam surah az- Zumar: 53 yang berbunyi:

“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampuni segala dosa, sesungguhnya Dialah juga Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”

Dari segi undang-undang, adalah menjadi satu kesalahan di sisi undang-undang bagi orang-orang yang beragama Islam untuk melakukan perbuatan terlarang seperti zina. Justeru, jika sekiranya aduan diterima oleh pihak Penguatkuasa Agama di Jabatan Agama Islam mengenai perbuatan zina atau lahirnya anak tak sah taraf tersebut, satu siasatan mengenainya boleh dilakukan oleh Bahagian Penguatkuasaan dan Penyiasatan. Jika pihak pendakwa syarie berpuas hati adanya kes yang kuat untuk pendakwaan, maka pasangan berkenaan boleh didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah atas kesalahan melakukan persetubuhan luar nikah. Menurut seksyen 23 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (AKTA 559), pesalah lelaki atau wanita berkenaan boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih 3 tahun atau sebatan tidak lebih 6 sebat atau gabungan dari mana-mana 2 bentuk hukuman tersebut. Seksyen 23 itu juga jelas menyebutkan bahawa kehamilan luar nikah dengan kerelaan si wanita tersebut merupakan prima facie bahawa perlakuan persetubuhan luar nikah telah berlaku.

Sayugia diingatkan bahawa selagi tidak ada aduan dibuat di hadapan Pegawai Penguatkuasa Agama di Jabatan Agama Islam Negeri mengenai perbuatan hamil luar nikah atau persetubuhan haram tersebut, maka tidak timbul soal saudari dan bakal suami didakwa di Mahkamah syariah. Erakita menasihatkan agar saudari dan pasangan saudari bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi sebarang kemungkinan seperti pendakwaan atas kesalahan persetubuhan luar nikah di Mahkamah Syariah dan perletakan bin atau binti anak saudari kepada mana-mana nama dalam senarai 99 nama Allah pada daftar kelahirannya.

Mengenai pertanyaan saudari mengenai kedudukan anak tersebut jika diketahui oleh Jabatan Agama Islam, saudari tidak perlu risau mengenainya. Tidak akan ada apa-apa tindakan undang-undang yang boleh diambil oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam ke atas anak tak sah taraf tersebut. Bagaimanapun, dari aspek pembuktian kes di Mahkamah, kelahiran anak tersebut di luar pernikahan merupakan satu bahan bukti (bayyinah) yang dianggap kukuh dalam kes pendakwaan ke atas pelaku zina di Mahkamah Syariah. Jika anak tersebut dinafikan sebagai bukan anaknya, pembuktian melalui ujian DNA boleh digunakan bagi membuktikan pertalian antara si anak dengan si ibu dan si lelaki yang telah menyebabkan kehamilannya.

Mengenai penyakit jantung yang dialami oleh anak tersebut, erakita turut tersimpati dengan ujian yang Allah berikan kepada saudari. Percayalah bahawa semua ujian ini ada hikmah di sebaliknya yang Allah untukkan untuk diri yang berkenaan. Mohonlah ampun dan bertaubatlah sebanyak-banyaknya kepada Allah tanpa henti dan putus asa. Perbanyakkanlah melakukan amal soleh. Laksanakan apa yang wajibkan Allah untuk melakukannya, manakala perkara sunat dilakukan menurut kemampuan. Banyakkan bersedekah dan lakukanlah kebaikan walaupun sedikit sahaja. Yang penting, amalan tersebut dilakukan berterusan sehingga ke akhir hayat kita. Dengan keadaan anak yang sedang mengalami sakit jantung, dapatkanlah rawatan terbaik untuk anak tersebut di hospital. Mintalah bantuan dari ahli keluarga saudari atau mana-mana pihak yang berkaitan untuk mendapatkan rawatan di hospital atau mana-mana klinik pakar. Nyawa adalah keutamaan tanpa meminggirkan soal taubat dan tawakkal kepada Allah.

Erakita doakan agar saudari diberikan jalan keluar oleh Allah untuk berhadapan dengan ujian ini. Semoga Allah memberikan hidayah dan iman yang kukuh untuk saudari dan bakal suami saudari. Amin yaa Rabbal alamin

Wallahu a’lam

About ERAKITA

TERUSKAN LANGKAH USAH BERHENTI

Posted on 21 Ogos 2015, in AGAMA, KELUARGA, KESIHATAN, UNDANG-UNDANG. Bookmark the permalink. 1 Komen.

  1. assalammualaikum..

    diasini saya ingin bertanya saya ada berkawan dengan seorang lelaki.. dia pernah janji dengan saya bahawa apa apa yg berlaku dia akan bertanggungjawap. dan dia ada janji untuk menikahi dengan saya sekiranya kami sudah terlanjur.. pada suatu hari kami sudah terlanjur tapi bila saya ajak dia nikah macam – macam alasan yg dia bagi.. skg ni apakah yg harus saya buat? sedangkan saya terlalu syangkan dia.. boleh ke perkara sebegini sya mengambil tindakkan terhadap dia? klau boleh saya nak dia menikahi saya seperti mana yg dia janjikan pada saya dan dia pernah janji nak bertanggung jawap sekiranya dah berlaku..

Tinggalkan komen