Monthly Archives: Jun 2010

Jawatan-Jawatan utama negara dipegang orang Islam: 10

Jawatan-Jawatan utama negara dipegang orang Islam

22 Jun 2010

Selain dari jawatan-jawatan penting seperti Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja, tidak terdapat sebarang peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahawa seorang pemimpin negara atau ketua pentadbiran dalam kerajaan mestilah terdiri dari orang Islam. Samada disedari atau tidak, jawatan-jawatan utama dalam negara ini telah dipegang oleh orang Islam. Keadaan ini berterusan sehingga ke hari ini. Jika diteliti sejarah negara semenjak kemerdekaan tahun 1957, semua Perdana Menteri Malaysia sebagai adalah terdiri dari orang-orang Islam.

Keadaan ini masih berterusan sehingga kini. Jawatan-jawatan penting seperti Ketua Hakim Negara juga belum pernah menyaksikan orang bukan Islam dilantik memegang jawatan tersebut semenjak negara ini mencapai kemerdekaan. Begitu juga keadaannya dengan jawatan-jawatan lain seperti Ketua Polis Negara, Ketua Tentera, Ketua Setiusaha Negara (KSN) dan Peguam Negara. Bagi negeri-negeri yang mempunyai raja, sejarah telah mencatatkan bahawa kesemua Menteri Besar yang pernah dilantik di negeri-negeri ini adalah terdiri dari orang Islam.

Perlembagaan Negeri Johor sebagai contohnya menetapkan bahawa seorang yang dilantik sebagai Menteri Besar mestilah orang Islam. Dominasi orang Islam untuk menjawat jawatan penting seperti Menteri Besar jelas terserlah di Negeri Perak sebaik Pilihanraya Umum ke-12 berakhir. Walaupun Parti DAP yang diwakili majoritinya oleh kaum Cina mendapat kerusi terbanyak dalam Pakatan Rakyat, namun pada akhirnya, Wakil Rakyat dari Parti PAS iaitu Datuk Seri Nizar Jamaluddin dilantik sebagai Menteri Besar. Keadaan tetap memihak kepada Parti PAS untuk perlantikan seorang Menteri Besar Perak pada tahun 2008 memandangkan wakil rakyat dari PAS adalah terdiri dari kaum Melayu yang sudah tentu beragama Islam.

Walau bagaimanapun, tidak semua negeri di Malaysia mengamalkan sedemikian rupa terutama bagi negeri-negeri yang tidak beraja. Negeri-negeri seperti Sabah, Perak dan Sarawak telah menyaksikan bagaimana Jawatan Ketua Menteri telah disandang bersilih ganti dari kalangan pelbagai kaum dan agama. Keadaan ini sebenarnya satu keunikan dalam negara kita.

Apa yang penting pada pendapat ERAKITA ialah,  amalan yang jelas memperlihatkan dominasi orang Islam dalam kepimpinan di Malaysia harus dihayati agar kepentingan agama Islam tetap terpelihara tanpa menjejas hak dan kepentingan agama lain untuk terus diamalkan oleh penganutnya.

SEKADAR UNTUK RENUNGAN


Penubuhan Mahkamah Islam yang dikenali Mahkamah Syariah: 9

Penubuhan Mahkamah Islam yang dikenali Mahkamah Syariah

9 Jun 2010

Dominasi orang Islam ke dalam aspek pentadbiran dan undang-undang di negara ini bertambah kukuh dengan wujudnya Mahkamah Syariah, khusus membicarakan kes-kes melibatkan urusan orang Islam mengenai perkara-perkara yang disebutkan dalam Senarai 2, Jadual ke-9, Perlembagaan Persekutuan. Walaupun dihadkan untuk orang Islam sahaja, namun kewibawaan dan ketinggian Mahkamah Syariah sebagai mahkamah keadilan di negara ini telah dipertahankan apabila satu pindaan penting perlembagaan dibuat pada than 1988. Pindaan penting yang dimaksudkan ialah Perkara 121(1A).

Pindaan yang dibuat ini sekaligus menghalang Mahkamah Awam daripada membicarakan perkara-perkara yang jatuh dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah. Pindaan ini juga mempunyai matlamat untuk mengelakkan sebarang pertindihan bidangkuasa antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Awam. Pada masa ini, kesemua negeri di seluruh negara telahpun mempunyai Mahkamah Syariah sendiri. Bahkan, bangunan-bangunan Mahkamah Syariah juga telah banyak di dirikan di seluruh negara.

Untuk mengemaskini dan menyeragamkan pentadbiran undang-undang berkaitan hukum syarak di seluruh negara, satu usaha telah dibuat dengan menubuhkan sebuah jabatan khusus di peringkat kebangsaan iaitu Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM). Bidangkuasa Mahkamah Syariah yang begitu terhad walau bagaimanapun, tidaklah pula menghalang hakim-hakim Mahkamah Syariah untuk menggunapakai sepenuhnya kaedah atau tatacara perbicaraan menurut hukum syarak termasuklah pemakaian undang-undang keterangan Islam.

Kenaikan gaji yang berpatutan kepada hakim-hakim syarie sehingga ke tahap Jusa A pada ketika ini merupakan satu lagi pengiktirafan besar kerajaan kepada institusi Mahkamah Syariah. Usaha untuk menjadikan tangga gaji para hakim Mahkamah Syariah sepertimana skel gaji hakim-hakim Mahkamah Awam sedang dijalankan. Tujuannya, untuk meninggikan lagi martabat dan kewibawaan pentadbiran kehakiman Islam di negara ini. Justeru itu, jelas sekali kedudukan agama Islam di negara ini sentiasa terpelihara berdasarkan kepada apa yang termaktub perlembagaan.

SYARIAH ASAS KEADILAN


Kuasa Negeri menggubal undang-undang berkaitan agama Islam: 8

Kuasa Negeri menggubal undang-undang berkaitan agama Islam

2 Jun 2010

Di Malaysia, kuasa dalam bidang pemerintahan dan perundangan dibahagikan antara Kerajaan Pusat dan kerajaan-kerajaan negeri. Dalam konteks agama Islam, perlembagaan telah meletakkan soal agama dan hukum syarak di bawah Senarai Negeri, kecuali mengenai Wilayah Persekutuan. Perkara-perkara mengenai agama Islam dan hukum syarak yang dimaksudkan telah disenaraikan secara terperinci dalam Jadual 9, Senarai II Perlembagaan. Dalam erti kata lain, Kerajaan Pusat dalam konteks Wilayah Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri diberi kuasa untuk menggubal undang-undang bagi orang Islam mengenai perkara-perkara yang terkandung dalam Senarai II.

Perkara-perkara mengenai hukum syarak itu walau bagaimanapun masih terhad kepada undang-undang diri dan keluarga. Dalam hal ini, walaupun bentuk undang-undang Islam yang boleh digubal amat terhad, namun kewujudan peruntukan tersebut memberi gambaran bahawa agama Islam sentiasa mendapat kedudukan yang istimewa dalam perlembagaan berbanding agama lain.  Berikut adalah kandungan Senarai II  untuk panduan kita.

JADUAL 9 PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

Senarai II—Senarai Negeri

1. Kecuali mengenai Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, hukum Syarak dan undang-undang diri dan keluarga bagi orang yang menganut agama Islam, termasuk hukum Syarak yang berhubungan dengan pewarisan, berwasiat dan tidak berwasiat, pertunangan, perkhawinan, perceraian, mas kahwin,nafkah, pengangkatan, kesahtarafan, penjagaan, alang, pecah milik dan amanah bukan khairat; Wakaf dan takrif serta pengawalseliaan amanah khairat dan agama, pelantikan pemegang amanah dan pemerbadanan orang berkenaan dengan derma kekal agama dan khairat, institusi, amanah, khairat dan institusi khairat Islam yang beroperasi keseluruhannya di dalam Negeri; adat Melayu; Zakat, Fitrah dan Baitulmal atau hasil agama Islam yang seumpamanya; masjid atau mana-mana tempat sembahyang awam untuk orang Islam, pewujudan dan penghukuman kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama itu, kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan; keanggotaan, susunan dan tatacara mahkamah Syariah, yang hendaklah mempunyai bidang kuasa hanya ke atas orang yang menganut agama Islam dan hanya berkenaan dengan mana-mana perkara yang termasuk dalam perenggan ini, tetapi tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan kecuali setakat yang diberikan oleh undang-undang persekutuan; mengawal pengembangan doktrin dan kepercayaan di kalangan orang yang menganut agama Islam; penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin Syarak dan adat Melayu.

Selamat Menghayatinya