Monthly Archives: November 2014

HAKIM SYARIE WANITA PERTAMA DI SABAH

HAKIM SYARIE WANITA PERTAMA DI SABAH

13 November 2014

Negeri Sabah menempah sejarah baru apabila seorang Hakim Syarie Wanita Pertama dilantik secara rasminya berkuat kuasa bermula 1 Jun 2014. Puan Taherah binti Tahir, anak jati Negeri Sabah, berkelulusan Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang, Universiti Malaya, mencipta sejarah apabila menjadi wanita pertama dilantik sebagai Hakim Syarie Negeri Sabah. Beliau menamatkan pendidikan awal sekolah rendah di Sk Karamunting Sandakan pada tahun 1989 dan seterusnya menyambung pendidikan di peringkat menengah di Sekolah Menengah Agama Sandakan dan Sekolah Menengah Agama Kota Kinabalu. Pada tahun 1997, beliau menamatkan pengajian di peringkat matrikulasi di Akademi Pengajian Islam, Nilam Puri, Kelantan. Beliau seterusnya mendapat Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang di Universiti Malaya pada tahun 2001. Sebagai persiapan untuk menyumbang bakti dalam bidang kehakiman, beliau seterusnya memperolehi Diploma Pentadbiran Undang-Undang dan Kehakiman Islam (DAIJ) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada tahun 2002.

Perkhidmatan beliau dalam bidang kehakiman bermula pada tahun 2003 apabila dilantik sebagai Penolong Pegawai Syariah di Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah. Beliau seterusnya dilantik sebagai Pegawai Syariah di Jabatan yang sama pada tahun 2005 dengan menjalankan tugas sebagai Pendaftar Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sabah sehinggalah beliau dilantik sebagai Hakim Syarie pada tahun 2014. Selain terlibat dalam bidang kehakiman, beliau juga terlibat dalam aktiviti luar dan kemasyarkatan antaranya menganggotai Persatuan Pusat Perlindungan Kanak-Kanak Kota Kinabalu, Women of Substance (WOS) danĀ  Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) dengan memegang peranan sebagai Mejar Kehormat.

Watikah perlantikan sebagai Hakim Syarie disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah di Istana Negeri Sabah pada 11 November 2014. Majlis penyerahan watikah yang berlangsung pada jam 10.00am itu turut disaksikan oleh Yang Amat Arif Datuk Jasri bin Matjakir, Ketua Hakim Syarie Negeri Sabah bersama-sama Tuan Ade Rizal Pahlevi, Ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah, Yang Arif Tuan Samal bin Munji, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kudat dan Pegawai-Pegawai Kanan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah. Turut menerima Watikah sebagai Hakim Syarie adalah dua lagi anak jati Negeri Sabah iaitu Tuan Mohd. Haslan bin Hassan dan Mohd. Yasser bin Mohd. Saraffudin.

Pada sebelah petang, Yang Amat Arif, Datuk Jasri Matjakir, Ketua Hakim Syarie Negeri Sabah melakukan kunjungan hormat kepada YAB Ketua Menteri Sabah, Datuk Musa Aman di Dewan Undangan Negeri Sabah, Kota Kinabalu. Turut bersama-sama beliau adalah Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna,Datuk Hajah Jainab Ahmad Ayid, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Haji Mohd. Ariffin bin Mohd. Arif bersama Hakim-Hakim Syarie yang baru dilantik dan pegawai-pegawai kanan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah.

Perlantikan tersebut adalah bagi mengisi kekosongan Hakim Syarie di Mahkamah Rendah Syariah Kota Kinabalu, Kinabatangan dan Semporna. Sesungguhnya perlantikan Hakim Syarie Wanita di Negeri Sabah menepati hasrat kerajaan bagi menambahkan lagi golongan professional dari kalangan wanita untuk mengisi jawatan-jawatan penting dalam sektor awam. Perlantikan Hakim Syarie di kalangan wanita juga sekaligus membuka ruang kepada Pegawai Syariah wanita untuk mengisi jawatan-jawatan yang lebih tinggi dalam bidang kehakiman Islam di negara ini. Penambahan bilangan Hakim Syarie di Mahkamah Syariah Negeri Sabah dilihat satu usaha yang serius dalam konteks Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah untuk mempercepatkan penyelesaian kes yang bilangannya samakin bertambah di negeri ini.

Advertisements