Monthly Archives: Ogos 2013

PERTANDINGAN RATU CANTIK: SATU KESALAHAN JENAYAH SYARIAH DI SABAH

PERTANDINGAN RATU CANTIK: SATU KESALAHAN JENAYAH SYARIAH DI SABAH

28 Ogos 2013

Satu negara heboh menjelang Ramadhan baru-baru ini apabila 4 orang gadis Melayu Islam terpilih sebagai finalis dalam pertandingan Ratu Cantik di Wilayah Persekutuan. Ekoran tersebarnya penyertaan mereka dalam pertandingan tersebut, pelbagai pandangan dan reaksi diterima khususnya dari masyarakat Islam. Rata-rata menyatakan rasa terkilan dan tidak berpuas hati, lebih-lebih lagi penganjuran pertandingan tersebut bertepatan pada bulan Ramadhan bagi tahun 2013.

Fatwa berhubung pengharaman menyertai ratu cantik bagi orang Islam telah muktamadkan melalui warta kerajaan pada 8 Febuari 1996. Fatwa tersebut adalah seperti berikut:

“Adalah haram dan berdoa bagi orang Islam menyertai atau menyumbangkan apa-apa bentuk sumbangan untuk penganjuran apa-apa pertandingan ratu cantik”.

Fatwa ini boleh dijadikan rujukan dan panduan bagi negeri-negeri lain yang belum mengeluarkan fatwa berhubung Pengharaman tersebut.

Ketiadaan peruntukan khusus bagi kesalahan menyertai pertandingan ratu cantik dalam Enakmen atau Akta di negeri-negeri merupakan salah satu isu yang hangat diperkatakan. Terdapat desakan pelbagai pihak agar satu peruntukan khusus mengenai larangan mengenainya dimasukkan dalam Akta Kesalahan Jenayah Syariah bagi Wilayah Persekutuan dan Enakmen bagi negeri-negeri. Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia (MPWIM) adalah antara badan kerajaan yang menyuarakan secara tegas saranan tersebut.

Erakita terpanggil bagi mengulas perkara ini bagi menyatakan bahawa bagi Negeri Sabah, peruntukan mengenai larangan menyertai pertandingan ratu cantik telahpun dimasukkan dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Sabah) 1995. Larangan ke atas mana-mana individu Islam untuk menyertai pertandingan tersebut tidak meliputi kanak-kanak yang berumur di bawah 12 tahun. Berikut diperturunkan kandungan penuh Seksyen 91 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Sabah) 1995 untuk rujukan lanjut.

Seksyen 91. Pertandingan ratu cantik.

(1) Sesiapa, kecuali kanak-kanak di bawah umur dua belas tahun, melibatkan diri dengan sebarang pertandingan ratu cantik atau ratu pakaian atau seumpamanya adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya sekali.

(2) Sesiapa yang menganjurkan atau bersubahat kesalahan dalam subsekyen (1) adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan kepada peruntukan di atas, mana-mana orang yang disabitkan salah boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih 3 bulan atau kedua-duanya sekali. Undang-undang tersebut juga jelas memperuntukan bahawa orang yang bersubahat melakukan kesalahan tersebut seperti penganjur sekiranya orang Islam, turut tidak terkecuali menghadapi dakwaan atas kesalahan bersubahat melakukan kesalahan. Jika disabitkan salah, pesalah yang bersubahat boleh dikenakan bentuk dan kadar hukuman yang sama dengan peserta ratu cantik.

Walau tidak disebutkan samada peserta ratu cantik itu wanita atau lelaki, namun dapat difahami bahawa penyertaan ratu cantik lazimnya disertai oleh oleh wanita. Lelaki lebih banyak terlibat sebagai penganjur pertandingan sahaja.

Setakat ini, hanya Negeri Sabah satu-satunya negeri yang mempunyai peruntukan mengenai larangan penyertaan wanita Islam untuk menyertai pertandingan ratu cantik. Di negeri-negeri lain, peruntukan tersebut belum diwujudkan. Di Negeri Perak, terdapat satu peruntukan mengenai kesalahan yang hampir serupa tetapi tidaklah pula disebutkan sebagai termasuk penyertaan dalam pertandingan ratu cantik. Kesalahan yang disebutkan adalah perbuatan wanita yang mendedahkan tubuh badannya yang menimbulkan ghairah di tempat awam. Jika diteliti, peruntukan ini boleh dikaji samada ia boleh digunakan untuk mendakwa mana-mana peserta wanita Muslim yang menyertai pertandingan ratu cantik.

Erakita berpendapat bahawa jika terdapat bukti menunjukkan bahawa wanita yang menyertai pertandingan tersebut telah mendedahkan tubuhnya, maka pendakwaan boleh dijalankan terhadap wanita berkenaan menggunakan peruntukan ini. Contoh mudah bagi perbuatan mendedahkan tubuh yang menimbulkan ghairah ialah ketika wanita tersebut memakai pakaian bikini yang jelas memperlihatkan susuk tubuh dengan pakaian yang singkat dan nipis. Untuk jelasnya, berikut adalah kandungan penuh Seksyen 56 Enakmen Jenayah Syariah, No. 3, Tahun 1995 (Perak):

Seksyen 56. Mendedahkan tubuh, di tempat awam.

Seseorang perempuan yang mendedahkan mana-mana bahagian tubuhnya yang menimbulkan ghairah di mana-mana tempat awam adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah, apabila disabitkan, dikenakan denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Berdasarkan kepada peruntukan undang-undang di atas, kesalahan berkaitan menyertai pertandingan ratu cantik dan mendedahkan tubuh yang menimbulkan ghairah adalah termasuk dalam kategori kesalahan yang tidak boleh ditangkap melainkan ada waran tangkap dari Mahkamah Syariah. Ini kerana hukuman maksima bagi kesalahan-kesalahan tersebut adalah tidak melebihi penjara setahun. Justeru, satu waran tangkap mestilah diperolehi terlebih dahulu bagi membolehkan tangkapan dapat dilaksanakan secara sah menurut undang-undang. Tangkapan melalui serbuan oleh Pegawai Penguatkuasa Agama sebaik menerima aduan perlu dielakkan selagi belum ada satu waran tangkap dari Mahkamah Syariah. Bagi membolehkan tangkapan dapat dilakukan tanpa waran, peruntukan tersebut perlu dipinda dengan menambahkan kadar hukuman iaitu melebihi setahun penjara jika disabitkan.

Sesungguhnya tulisan ini dilakukan bagi menjelaskan kedudukan terkini di Sabah bahawa keperluan untuk memasukkan peruntukan baru bagi kesalahan menyertai ratu cantik dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah di negeri-negeri tidak lagi terpakai bagi Negeri Sabah ketika ini. Ini kerana, peruntukan tersebut telahpun wujud sejak sekian lama. Hanya saja, pendakwaan yang dilakukan di mahkamah Syariah masih kurang terserlah, mungkin disebabkan jarangnya aduan yang diterima oleh Bahagian Penguatkuasaan dan Penyiasatan, Jabatan hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) ataupun jarangnya penyertaan orang Islam dalam perbuatan seperti ini.

Semoga tulisan ini ada manfaatnya.

Wallahu a’lam.

LAFAZ CERAI ANGKARA LIDAH

LAFAZ CERAI ANGKARA LIDAH

19 Ogos 2013

Perceraian memang tidak mengenal masa. Ia boleh berlaku tanpa dirancang. Tiada angin. Tiada hujan. Tiada gerimis. Tiada ombak. Tiada gaduh-gaduh. Tiada cerita-cerita macam-macam. Tiada gossip. Ia boleh berlaku begitu pantas. Ia boleh terjadi begitu cepat. Begitulah hebatnya lidah. Lidah memang tak bertulang. Namun ia boleh jadi begitu keras, lebih keras dari besi. Ia boleh jadi tajam, lebih tajam dari pisau. Ia boleh jadi tajam, lebih tajam dari tombak. Ia juga boleh jadi lembut, lebih lembut dari kapas. Ia juga boleh jadi manis, lebih manis dari madu. Begitulah hebatnya lidah. Lidah yang mampu menggoncang dunia. Lidah yang mampu mengubah dunia. Lidah yang mampu melakukan apa saja atas izin Allah s.w.t.

Dalam diam, lidah yang tersimpan dan tersembunyi di mulut tiba-tiba bergerak. Rumahtantangga yang tiada ribut dan riuhnya tiba-tiba bergegar gara-gara lidah. Rumahtangga yang aman tiba-tiba berkocak lalu punah gara-gara lidah. Anak-anak kehilangan tempat berpaut. Isteri kehilangan tempat berteduh dan bernaung. Suami kehilangan tempat bermanja dan berbicara. Orang tua kehilangan menantu. Ini semua gara-gara lidah. Lidah telah menggunakan kuasa dan peranannya menurut arahan akal dan perasaan tuannya. Arahan terpaksa diikut dan dipatuhi walau dikeluarkan serta merta tanpa sempat ditangguhkan. Ia terpaksa ikut kata hati dan perasaan tuannya. Tuannya adalah manusia yang sukar dijangka musim dan cuacanya. Arahan tanpa sempat dibantah selalu datang bila tuannya dikuasai nafsu amarah yang membara.

Amarah tak mengenal masa dan tempat. Bulan suci Ramadhan bukan menjadi penghalang untuk mengarahkan lidah melaksanakan tugasnya. Masa sahur, masa berbuka, siang hari hari, waktu orang sibuk bertarawih, semuanya tak jadi halangan. Sekali diarahkan tuannya, lidah akur dan langsung melaksanakan tugasnya. Demikianlah betapa hebatnya lidah. Ramai menangis dan merintih kehilangan orang tersayang. Ramai menangis mengenangkan nasib diri kerana kehilangan orang tersayang. Semuanya gara-gara talaq yang dilafazkan hasil gerakan seni yang begitu halus dan abstrak oleh lidah.

Bulan ramadhan menyaksikan kes-kes pengesahan lafaz cerai difailkan di Mahkamah Syariah. Ada yang terlanjur lafaz talaq 1 dan talaq 2. Namun, paling parah adalah lafaz yang ditakuti dan digeruni semua orang. Itulah talaq 3. Talaq 1 dan talaq 2 masih lumayan kerana pasangan masih ada talian hayat untuk rujuk nikah selagi eddah belum berakhir. Namun, talaq 3 mengatakan tiada maaf bagimu. Berapa ramai pasangan menangis dan merintih mengenang nasib menimpa diri gara-gara lafaz talaq si suami. Apatah lagi talaq 3 yang tidak boleh dirujuk lagi. Jika di bulan ramadhan ia berlaku, apatah lagi pada bulan-bulan biasa. Bulan-bulan biasa selama 11 bulan lagilah mudah ia berlaku. Ini kerana, bukan saja nafsu amarah berperanan, hasutan dan godaan syaitan turut bersekongkol menyumbang kepada perceraian pasangan.

Semua ini boleh dikawal dan dielakkan dengan ilmu. Semua boleh kawal dengan iman dan taqwa. Semua boleh dikawal dengan sabar dan pengorbanan. Untuk mendapat kesabaran, latihan diri dan minda diperlukan. Untuk mendapat iman dan taqwa. Ilmu harus dimiliki dan dihayati. Ilmu dan amal mesti bergerak bersama bagi menghasilkan kekuatan pada manusia. Rumahtangga yang kukuh dan bahagia memerlukan ilmu dan amal sebagai asas dan bentengnya. Lidah mampu dikawal dan diarah melakukan kerja yang berfaedah dengan ilmu dan taqwa. Lidah boleh ditegah dari melafazkan talaq juga dengan ilmu dan taqwa. Semoga kita tergolong dalam golongan berilmu dan bertaqwa itu bagi mempertahankan rumahtangga dari runtuh dan punah sekelip mata.

Semoga perkongsian ini ada manfaatnya bagi kita semua.

RAMADHAN: SATU PERJALANAN KEROHANIAN

RAMADHAN: SATU PERJALANAN KEROHANIAN

 

11 Ogos 2013

Kehangatan Ramadhan masih terasa. Berat badan yang sudah banyak berkurang sepanjang ramadhan masih terasa. Seronok dan bahagia rasanya dengan berat yang telah menghampiri “normal weight” yang sebenar. Berjalan selesa. Duduk selesa. Nak pakai kasut selesa. Drive kereta selesa. Pendek kata, secara fizikal, terasa benar leganya. Semuanya bukan dirancang tetapi memang begitulah kehebatan ramadhan.

Lebih hebat adalah rohani. Ramadhan menyentuh jiwa, nurani dan rohani. Ramadhan mendidik rohani jadi bersih dan tulus. Ramadhan mengajar rohani jadi cergas dan segar. Ramadhan mendorong rohani untuk menjaga amanah dan janji. Semuanya berlaku atas satu kekuatan. Kekuatan itu adalah dari Ilahi. Kekuatan datang dari Allah yang tiada tandingan dan taranya. Aura Ramadhan benar-benar berkesan membangunkan manusia dari kehangatan dan kenikmatan tidur pada kemuncak malam. Manusia terdorong bangkit untuk melakukan amalan di luar kebiasaan. Makan di kegelapan malam. Sujud di kegelapan malam. Merintih di kegelapan malam. Meneroka kalam Allah di kegelapan malam. Entah bagaimana saat itu manusia begitu terdorong tanpa paksa untuk membaca kitab suci.

Di tengah kegelapan malam bersama kerdipan bintang-bintang di angkasa, manusia redho seredho-redhonya merendahkan dirinya kepada sang Pencipta alam ini. Saat itu manusia memiliki motivasi luar biasa untuk melekatkan dahinya di permukaan bumi yang tingginya sama dengan ketinggian tapak kaki manusia. Hilang segala kesombongan. Lenyap segala kebanggaan. Hapus segala keegoan. Yang hadir saat itu ialah kerendahan hati. Yang datang saat itu adalah ketundukan hati. Yang muncul saat itu adalah keikhlasan, kejujuran dan kenikmatan luar biasa. Tiada lebih nikmat melainkan keindahan, kemanisan dan keseronokan untuk merintih di hadapan Allah. Mengadu di hadapan Allah. Memohon di hadapan Allah. Mengakui segala salah dan silap di hadapan Allah. Mengharap pada tahap tertinggi untuk keampunan dan keredhoan Allah. Menyatakan tanpa rasa segan dan ragu segala permintaan sebanyak-banyaknya walau sekecil manapun.

Alangkah indah saat itu. Pertemuan dengan sang Pencipta alam tanpa perantaraan. Terlalu bahagia dan terlalu syahdu. Oh.. alangkah bahagia. Tidak pernah terasa bahagia seperti ini walaupun terpaksa dibandingkan saat menikah dengan insan tersayang. Saat menikah memang indah dan bahagia. Namun, saat berkhalwat dengan sang Pencipta alam ini di tengah kegelapan malam rupanya jauh lebih indah dan hebat sekali. Sukar diungkapkan dengan kata-kata. Andai manusia memilikinya, ia akah terus merinduinya. Jika manusia menikmatinya, ia akan terus mencari dan memilikinya. Andai manusia mengetahuinya, ia akan memburu saat itu.

Ternyata Ramadhan mampu membuka laluan kerohanian yang luar biasa itu. Ternyata Ramadhan menawarkan dirinya buat manusia untuk meraih segala kenikmatan yang agung itu. Tiada siapa mampu menghalang sesiapa bagi meraih dan merangkulnya. Alangkah agungnya Ramadhan. Namun, alangkah agungnya Sang Pencipta yang telah mencipta Ramadhan itu untuk manusia menikmatinya. Ku tunggu Ramadhan seterusnya untuk menikmati segala isinya pada tahun-tahun mendatang.

 

RAMADHAN: KAMI AKAN RINDU PADAMU

RAMADHAN: KAMI AKAN RINDU PADAMU

3 Ogos 2012 (25 Ramadhan 1434H)

Masa berlalu begitu pantas. Semakin dikejar, semakin jauh ia meninggalkan kita. Berehat seketika bermakna ia akan lebih jauh meninggalkan kita. Itulah masa. Ia tak pernah berhenti dan ia akan terus berjalan tanpa rehat walau seketika dengan kuasa dan izin pemilik alam ini, Allah yang maha agung.

Amat terasa betapa Ramadhan akan pergi meninggalkan kita. Terasa betapa indah bersama Ramadhan. Terasa betapa mudahnya beribadah bersama Ramdhan. Kalau dulu, nak bangkit untuk solat subuh terasa terlalu berat, namun hal itu menjadi mudah dengan hadirnya Ramadhan. Kalau dulu berat tangan nak bagi derma atau sedekah, rupanya hal itu menjadi mudah dengan hadirnya Ramadhan. Kalau dulu nak baca al-Quran jarang-jarang, hal itu mudah untuk dilakukan walau setiap hari dengan hadirnya Ramadhan.

Inilah kehebatan aura Ramadhan. Turunnya al-Quran kepada Nabi yang mulia adalah pada saat hadirnya Ramadhan. Banyaknya kemenangan umat Islam berhadapan dalam perang ke atas musuh-musah Allah adalah pada saat hadirnya Ramadhan. Terikat dan terbelenggunya syaitan-syaitan adalah pada saat hadirnya Ramadhan.

Penuh sesaknya Masjid Nabawi dan Masjidil Haram di Tanah Suci adalah pada saat hadirnya Ramadhan. Ramainya hamba-hamba Allah yang menitiskan airmata kerana cinta dan kasih kepada Allah adalah pada saat hadirnya Ramadhan. Ramainya orang masuk rumah-rumah Allah di seluruh muka bumi adalah pada saat hadirnya Ramadhan. Ramainya manusia yang melakukan umrah adalah pada saat hadirnya Ramadhan. Ramainya manusia yang solat berjamaah adalah pada saat hadirnya Ramadhan.

Sungguh! Ramainya ahli keluarga makan bersama adalah pada saat hadirnya Ramadhan. Ramainya manusia asalnya bersengketa dan bermusuh-musuhan tetapi akhirnya bersatu, berpadu, bermaaf-maafan adalah pada saat hadirnya Ramadhan.

Sungguh! Ramainya manusia dapat rahmat, keampunan dan bebas dari api neraka Allah s.w.t adalah pada saat hadirnya Ramadhan. Ramainya manusia yang keras hati untuk mendekatkan diri kepada Allah tetapi akhirnya menjadi lembut dan ringan hati mengingat dan mendekatkan diri pada Allah adalah pada saat hadirnya Ramadhan.

Sungguh! Betapa banyaknya hikmat dan manfaat Ramadhan. Sungguh! Betapa hebat dan agungnya Ramadhan. Kehadirannya dirindui dan ditunggu-tunggu ramai manusia. Kehadirannya dinikmati, dihargai dan dirasai. Namun, kepergiannya amat digusari dan disedihkan. Ramai menangis kerana berpisah Ramadhan. Ramai merintih kerana berpisah Ramadhan. Ramai mengharap agar Ramadhan kali ini bukanlah Ramadhan terakhir. Ramai mengharap bahawa Ramadhan akan sentiasa ditemui, dihayati, dinikmati, dirasai dan diraikan pada tahun mendatang untuk kesekian dan kesekaian kalinya.

Oh Allah yang Maha Agung dan Maha Kuasa.. Oh Allah yang Maha Kaya dan Maha Bijaksana.. Oh Allah yang Memiliki segala makhluk dan alam serta segala isinya. Engkau benar-benar Agung, Hebat, Berkuasa, Kuat, Perkasa, Kaya, Pengasih, Penyayang. Engkau memiliki segala apa saja yang boleh dinisbahkan dengan Maha. Engkau Maha atas segala Maha yang ada di alam ini. Engkau memiliki segala-gala yang tidak mampu dimiliki sesiapapun. Engkau mengatur alam ini. Engkau mengatur segala-galanya tanpa ada yang tinggal. Sungguh Agung engkau yaa Allah. Hanya kepada Engkau kami serahkan segala urusan. Dari Engkau kami datang. Kepada Engkau jua kami kembali.

Yaa Allah, betapa terasa bahangnya Ramadhan akan meninggalkan kami. Kami pohonkan agar kesedihan ini dapat diubati dengan rahmat dan kasih sayangMu dengan menhadirkan semula Ramadhan dalam hidup kami pada tahun hadapan dan tahun-tahun seterusnya. Oh… alangkah sedih rasa hati. Alangkah hiba dan pilu hati ini.. Betapa sukar untuk mengungkapkan kesedihan ini dengan kata-kata.

Terasa berat lidah melafazkan perpisahan ini. Namun hati terpaksa mengaku dengan penuh redha untuk mengungkapkan kata terakhir “Selamat Tinggal Ramadhan..” Kami tunggu kehadiranmu tahun hadapan….inshaa Allah.