PERUTUSAN KETUA HAKIM SYARIE JKSM

Berikut adalah perutusan daripada Ketua Pengarah merangkap Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Yang Amat Arif Dato’ Dr. Hj Mohd Na’im bin Mokhtar pada 27 Mac 2019. Beliau memulakan tugas secara rasmi sebagai Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM berkuatkuasa 1 April 2019.

 

PERUTUSAN

KETUA PENGARAH/KETUA HAKIM SYARI’E

YAA DATO’ DR. HJ. MOHD. NA’IM BIN HJ MOKHTAR

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Segala puji dan syukur ke hadrat Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia yang dikasihi, Nabi Muhamad SAW, ahli keluarga dan para sahabat Baginda sekalian. Allah SWT di dalam surah al-Zumar: ayat 38 berfirman:

Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang mencipta langit dan bumi?” Sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Katakanlah (kepada mereka): “Kalau demikian, bagaimana fikiran kamu tentang yang kamu sembah yang lain dari Allah itu? Jika Allah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, dapatkah mereka mengelakkan atau menghapuskan bahayaNya itu; atau jika Allah hendak memberi rahmat kepadaku, dapatkah mereka menahan rahmatNya itu?” Katakanlah lagi: “Cukuplah bagiku: Allah (yang menolong dan memeliharaku); kepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri”.

 

YAA Dato’, YA Dato’, Para Hakim, Tuan/Puan pegawai syariah dan warga JKSM yang dirahmati Allah sekalian,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dan infiniti pengharapan kepada Allah SWT agar perlantikan saya selaku Ketua Pengarah JKSM dan Ketua Hakim Syarie mulai 1 April 2019 ini sentiasa dibimbing Illahi dan disinari dengan hikmah.

2. Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), YB Datuk Seri Dr. Mujahid bin Yusof di atas kepercayaan dan keyakinan mereka terhadap saya untuk mengemudi JKSM. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pegawai syariah seluruh negara dan kakitangan JKSM yang telah memberikan ucapan tahniah  melalui pelbagai medium. Jazakumullahukhayran kathiran.

3. Sesungguhnya jawatan ini merupakan amanah yang berat, tanggungjawab yang besar (taklif) dan bukanlah hanya merupakan suatu keistimewaan (tasyrif). Amanah ini juga bukan hanya merupakan satu bentuk kesinambungan misi dan visi untuk terus memacu JKSM, namun yang paling utama adalah untuk menjelmakannya sebagai sebuah institusi yang dihormati dan menurut syariat. Yang pasti, matlamat tersebut hanya akan tercapai dengan kesatuan, kerjasama dan penggemblengan tenaga, pemikiran, buah fikiran, idea serta keseiringan tindakan daripada semua pegawai dan kakitangan JKSM untuk menjenama, memaju dan memperkasakan institusi kehakiman syariah yang kita sayangi ini.

 

Tuan/Puan,

FASA PENGUKUHAN & PEMERKASAAN

4. Walaupun usia JKSM baru mencecah 20 tahun, namun sistem perundangan dan kehakiman syariah di Malaysia mempunyai sejarah yang panjang. Pernah berada pada zaman kegemilangannya pada kurun ke 15-18 Masihi, dan harapannya juga agar kini institusi kehakiman syariah bukan hanya dapat diperkasakan, namun turut menjadi model keadilan kepada masyarakat bukan Islam khususnya, dan di peringkat global, amnya.

5. Jika sepanjang 20 tahun kewujudan JKSM menyaksikan berlaku pelbagai perubahan positif dari aspek fizikal seperti bangunan mahkamah, kemudahan pejabat serta pengimejan mahkamah syariah, maka pada hari ini saya menyeru kepada para pegawai dan kakitangan JKSM untuk bersama-sama melakukan satu lagi perubahan paradigma di dalam minda dan diri masing-masing kerana kita kini berada di fasa pengukuhan dan pemerkasaan.

 

KESATUAN FIKIRAN, LEDAKAN PENGETAHUAN & KEMAHIRAN

6. Untuk melaksanakan anjakan tersebut, kesatuan fikiran, kemahiran dan kepakaran hendaklah sentiasa dioptimumkan agar penyampaian yang berkesan dapat disalurkan, kualiti perkhidmatan terbaik dapat dizahirkan, seterusnya keadilan dapat dirasai dan dinikmati oleh masyarakat secara keseluruhan.

7. Pegawai syariah juga perlu keluar dari kepompong lama dan zon selesa, perlu lebih berdaya saing, lebih sensitif terhadap keperluan masyarakat dan perubahan semasa, namun dalam masa yang sama memegang erat syari’ah Islamiyyah.

8. Selari dengan perkembangan taraf pendidikan masyarakat dan kelajuan teknologi maklumat, saya menyeru agar setiap pegawai JKSM juga tidak ketinggalan untuk menyuburkan budaya cintakan ilmu pengetahuan dan meledakkan maklumat tersebut kepada masyarakat melalui pelbagai mekanisme. Ia bukan hanya sekadar di bibir, tetapi perlu juga diterjemahkan dalam bentuk amalan.

9. Perubahan ini juga signifikan bagi menyahut tiga (3) wawasan utama yang digariskan oleh YB Menteri di JPM iaitu konsep Rahmatan lil ‘Alamin, Maqasid Syar’iyyah dan Feqh Setempat. Begitu juga dalam usaha untuk merealisasikan matlamat hala tuju strategik pentadbiran agama di Malaysia yang telah menggariskan perundangan dan kehakiman sebagai kluster pertama daripada keseluruhan tujuh kluster dalam teras strategik tersebut. Kluster Pertama tersebut sepertimana yang disampaikan oleh YB Menteri di JPM pada 7 Januari 2019 memperuntukkan sebagaimana berikut:

“Memperkasakan Perundangan dan Kehakiman Syariah melalui reformasi berterusan pentadbiran kehakiman, penggubalan undang-undang dan peningkatan profesionalisme hakim-hakim syari’e”

 

Tuan/Puan,

ILTIZAM & KAIZEN

10. Saya juga berharap agar peluang yang Allah SWT kurniakan kepada kita semua selaku penjawat awam yang memegang panji kehakiman syariah dapat direfleksikan dengan sebaiknya, menjadi qudwah hasanah. Berkhidmat dengan penuh dedikasi, konsisten, cintakan pekerjaan dan menjaga maruah jabatan.

11. Konsep ‘iltizam’ (asal Bahasa Arab yang bermaksud bersungguh-sungguh) dan ‘kaizen’ (asal Bahasa Jepun yang bermaksud penyempurnaan dan peningkatan prestasi sepanjang masa) perlu diterapkan, terutamanya apabila ekspektasi masyarakat terhadap mahkamah syariah semakin meningkat. Apatah lagi apabila pekerjaan kita juga merupakan suatu ibadah. Pastinya setiap ibadah menuntut pelakunya untuk melakukan yang terbaik!

 

SIFAT MAHMUDAH

12. Dalam keghairahan meningkatkan mutu perkhidmatan dan memperkasakan institusi kehakiman syariah, saya menyeru agar nilai-nilai positif, mahmudah dan murni dapat terus dibudayakan. Perubahan sikap atau attitude tersebut perlu dimulakan dengan segera dan pantas.

13. Begitu juga dengan sifat mazmumah, budaya negatif seperti ‘tin kosong’ yang hanya bising tetapi tiada tindakan, ‘belon’ yang hanya cantik di luar tetapi kosong di dalam-wajib ditinggalkan. Begitu juga dengan perihal mengaib dan memfitnah dengan tujuan semata-mata untuk mencapai maksud kepentingan peribadi-juga perlu disingkir tanpa pengecualian. Sepatutnya tiada tempat bagi sifat-sifat tersebut bersarang dan melubuk di dalam hati, kerana jika dibiarkan, ia akan melambatkan, merencat, membantut sekaligus memusnahkan harapan dan cita-cita murni untuk memperkasa sistem kehakiman syariah yang disayangi ini.

14. Insya Allah dengan nilai-nilai positif, kesatuan dan persaudaraan yang kukuh yang dijalin oleh pegawai syariah dan warga JKSM keseluruhannya, saya percaya kita akan dapat mengalahkan kuasa jahat (evil force) dan nilai-nilai negatif yang wujud di kalangan kita dan juga di luar sana.

 

Tuan/Puan,

KETERBUKAAN DAN KEBAJIKAN

15. Perlu diberi perhatian bahawa saya meraikan sebarang idea, cadangan dan buah fikiran daripada Tuan/Puan sekalian. Pintu saya sentiasa terbuka untuk mendengar pemikiran bernas tersebut. Suarakanlah dengan sebaiknya dan janganlah biarkan idea tersebut terbantut, layu, dan dilupakan kerana setiap individu bertanggungjawab untuk bersama-sama memperkasakan Jabatan ini.

16. Begitu juga dari aspek kebajikan pegawai dan kakitangan. Kendatipun masing-masing dihambat dengan misi dan visi Jabatan, namun aspek kemanusiaan tidak akan sama sekali dikesampingkan. Insya Allah…

17. Akhirnya, saya menyeru dengan serendah-rendah hati, namun dengan setinggi-tinggi pengharapan agar pegawai dan kakitangan JKSM bersatu hati, menguatkan ikatan ukhuwwah fillah, berdiri di dalam satu saff, bekerja secara berpasukan dalam persekitaran kondusif, menggandakan ilmu pengetahuan serta kepakaran, inovatif dalam penyampaian perkhidmatan seterusnya bersama-sama melangkah maju demi memperkukuh dan memperkasakan institusi kehakiman syariah yang dikasihi ini.

SYARIAH ASAS KEADILAN!

Sekian,

Wabillahi taufiq wa al-hidayah.

Wassalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.

(Ucapan dipetik dari laman sesawang facebook Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia bertarikh 27 Mac 2019 di  alamat berikut:

(https://www.facebook.com/234147646954184/posts/794700074232269/)

About ERAKITA

TERUSKAN LANGKAH USAH BERHENTI

Posted on 5 Mei 2019, in Uncategorized. Bookmark the permalink. Tinggalkan komen.

Tinggalkan komen