BILA KITA BUAT DOSA

27 Febuari 2011

Orang yang sudah terbiasa melakukan dosa tidak merasakan dosa itu satu masalah berat baginya. Semakin terbiasa buat dosa, semakin kurang dan lama-lama hilang ketakutannya berbuat dosa. Ia tidak melihat dosa itu satu kesalahan dan satu bebanan berat baginya. Ia akan menumpuk dan terus menumpuk berbagai lagi dosa kecil dan besar. Bagi yang ada sedikit iman, dosa itu umpama lalat kecil yang lalu di hadapan mukanya dan kemudian ia cuba menepisnya untuk menghalaunya.

Namun, bagi orang yang tebal iman dan taqwanya, rasa takutnya pada dosa amat besar sekali. Ia merasakan bahawa sebaik melakukan satu dosa, jiwanya jadi tidak keruan, tidak tenang, tidak sedap. Ketakutan akan akibat yang bakal diterima dari Allah berbentuk seksaan berat sentiasa menghantuainya. Orang yang imannya tebal akan merasakan betapa ia telah melakukan dosa yang amat besar bila ia terlanjur untuk mengerjakan solat subuh pada waktunya. Ia merasakan betapa sukarnya ia menjawap di hadapan Allah untuk menerangkan hal ketelanjurannya.

Begitu juga, bagi yang kuat imannya, berbuat dosa itu walau sekecil manapun, ia sudah merasakan bahawa ia telah melakukan dosa yang besar di sisi Allah. Ia merasakan betapa ketika itu ia sedang melalui lereng sebuah bukit besar dan tinggi yang bila-bila masa saja boleh runtuh dan menimpanya. Ia merasakan betapa ia harus segera melalui lereng bukit itu tanpa berlengah agar selamat diri dan nyawa. Demikianlah betapa ia merasakan bahawa ketika sudah melakukan dosa, ia merasakan bahawa ia telah berbuat dosa besar dan patut segera bertaubat kepada Allah sebelum tiba ajal kematiannya.

Bagi orang yang kuat imannya, ia sentiasa merasa takut mati sebelum sempat bertaubat kepada Allah. Ia takut mati ketika Allah masih lagi murka kepadanya. Orang yang kuat imannya akan melihat bahawa dosa kecil itu sudah cukup besar dan menggerunkan. Baginya, mengumpat seseorang itu walau sekali sudah terlalu berat sekali. Ia merasa susah hati dan sentiasa berfikir bagaimana caranya ia harus memohon maaf kepada orang yang diumpatnya. Hatinya tidak tenang dan tenteram. Ia takut dosa itu dibawa ke mati dan ke akhirat.Begitulah gambaran orang yang kuat imannya bila berhadapan dengan dosa.

Bagi kita saudara-saudaraku, bagaimana agaknya kedudukan iman kita? Bagaimana agaknya kita melihat dan menilai satu-satu dosa yang kita lakukan itu? Sama-sama kita renungkan dan bermuhasabah diri.

About ERAKITA

TERUSKAN LANGKAH USAH BERHENTI

Posted on 27 Februari 2011, in AGAMA, RENUNGAN. Bookmark the permalink. Tinggalkan komen.

Tinggalkan komen