HAK, MANFAAT DAN CABARAN WANITA DALAM POLIGAMI

cof

 

HAK WANITA DALAM POLIGAMI MENURUT SYARIAH, MANFAAT DAN CABARANNYA

 

 Ahadin bin Arinen[1]

 

PENGENALAN

Amalan berpoligami bukan suatu yang baru. Ia telah diamalkan oleh manusia sejak ribuan tahun yang lampau tanpa peraturan, had dan kawalan sebelum datangnya Islam yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Sejarah merekodkan bahawa poligami telah diamalkan secara meluas pada zaman Arab jahiliah sejak 7 Masihi lagi di mana seorang lelaki dikatakan mempunyai isteri yang ramai sehingga 200 orang.[2] Islam tidak membatalkan atau memansuhkan amalan ini. Islam datang untuk membataskan dan meluruskan amalan ini dengan mengenakan peraturan dan syarat-syarat khusus kepada umat Islam. Islam telah membataskan bilangan maksima isteri yang dibolehkan untuk dinikahi kepada 4 orang sahaja. Demikianlah batasan yang Allah syariatkan kepada umat Islam melalui firman Allah dalam surah al-Nisa’ : 3 yang bermaksud:

Dan jika kamu takut tidak akan berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan lain; dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu), maka berkahwinlah dengan seorang sahaja atau kahwinilah hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman (aniaya).

Tulisan ini menfokuskan kepada perbincangan mengenai tiga perkara utama iaitu hak-hak yang disediakan kepada wanita yang terlibat dalam berpoligami, hikmah di sebalik pensyariatan berpoligami dan seterusnya cabaran-cabaran yang dihadapi dalam urusan poligami. Perbincangan mengenai cabaran berpoligami melibatkan tiga pihak yang terlibat secara langsung dengan poligami dalam konteks undang-undang keluarga Islam iaitu Mahkamah Syariah, isteri dan seterusnya pihak suami. Perbincangan terhadap tiga perkara ini dilihat dapat memberikan sumbangan terhadap pertambahan khazanah ilmu berkaitan poligami kepada masyarakat Islam dan bukan Islam. Perbincangan mengenai amalan ini juga dilihat dapat memberi gambaran yang positif terhadap amalan berpoligami dalam Islam dengan mengambil kira aspek undang-undang yang telah dikanunkan dan juga hukum syarak itu sendiri.

 

HAK WANITA DALAM PERKAHWINAN POLIGAMI

Perbincangan terhadap hak wanita dalam perkahwinan berpoligami dibahagikan kepada tiga fasa. Fasa pertama membincangkan mengenai hak wanita khususnya di pihak isteri sebelum berlakunya poligami. Fasa kedua perbincangan tertumpu kepada hak wanita semasa dalam tempoh perkahwinan berpoligami. Seterusnya perbincangan pada fasa ketiga tertumpu kepada hak wanita selepas berlakunya perceraian dalam sebuah perkahwinan berpoligami.

 

Fasa Pertama

Hak sebelum perkahwinan berpoligami.

Salah satu hak seorang isteri apabila suaminya hendak berpoligami adalah isteri mesti panggil ke Mahkamah untuk memberi keterangan mengenai perkahwinan yang bakal dibuat oleh suaminya. Menurut Seksyen 23 (5) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004, salah satu pihak yang mesti dipanggil oleh Mahkamah semasa pendengaran permohonan kebenaran poligami oleh suami adalah isteri. Satu Notis Permohonan yang mencatatkan tarikh pendengaran kes mesti diserahkan kepada isteri tidak kurang dari 2 hari sebelum tarikh pendengaran kes berkenaan. Dalam permohonan berkenaan, isteri dijadikan sebagai pihak Responden.[3] Penyerahan notis hadir ke mahkamah secara ke diri isteri mesti dilaksanakan terlebih dahulu sebelum penyampaian secara gantian samada melalui tampalan notis di rumah atau premis kediaman isteri atau mana-mana premis yang diarahkan oleh mahkamah atau melalui iklan di surat khabar tempatan.

Ini bermakna, sesuatu pendengaran kes bagi mendapatkan kebenaran berpoligami itu tidak boleh diteruskan oleh Mahkamah selagi penyampaian notis berkenaan belum dapat disempurnakan kepada isteri. Semasa pendegaran kes di mahkamah, isteri berhak untuk menyatakan pendiriannya samada bersetuju atau tidak dengan permohonan berpoligami oleh suaminya. Jika isteri menentang, isteri berhak untuk mengemukakan bantahannya dengan menfailkan affidavit bantahan. Beliau berhak untuk mendapatkan khidmat peguam syarie bagi mewakilinya dalam kes berkenaan. Kehadiran isteri semasa pendengaran kes poligami di Mahkamah amat penting bagi membantu Mahkamah meneliti dan menimbang tahap kemampuan dan kelayakan suami untuk berpoligami.

Di Mahkamah, isteri berhak untuk meminta Mahkamah menetapkan pembahagian harta sepencarian ke atas harta-harta yang diperolehi bersama antara suami isteri sepanjang tempoh pernikahan. Lazimnya, harta-harta yang terlibat adalah wang dalam akaun, saham, rumah dan kenderaan. Di samping itu, isteri berhak untuk meminta agar ditetapkan suatu kadar nafkah semasa isteri dan juga anak-anak yang wajib ditunaikan oleh suami apabila berpoligami.

Malangnya, tidak kurang kes di mana isteri enggan hadir di Mahkamah walaupun telah menerima notis panggilan kehadiran. Tindakan isteri ini jelas merugikan isteri kerana ia telah melepaskan peluang dan haknya untuk bersuara samada bersetuju atau tidak dengan perkahwinan tersebut. Isteri juga terlepas peluang untuk meminta Mahkamah mengeluarkan perintah mengenai pembahagian harta sepencarian dan juga penetapan nafkah semasa isteri dan anak-anak.

Perlu ditekankan bahawa tanggapan bahawa jika tidak ada persetujuan isteri, maka permohonan berpoligami suami tidak akan diluluskan merupakan satu kesilapan. Sekiranya isteri tidak hadir sedangkan notis panggilan hadir ke Mahkamah telah berjaya diserahkan kepada isteri, Mahkamah boleh meneruskan pendengaran kes berkenaan. Keterangan suami, bakal isteri dan wali kepada bakal isteri akan diambil sebelum mahkamah membuat keputusan. Jika isteri tidak hadir, suami akan diminta untuk melafazkan sumpah yang dinamakan yamin al istizhar yang terpakai bagi kes-kes yang mana pihak responden atau defendan tidak hadir di Mahkamah. Keputusan akan dikeluarkan selepas semua proses mahkamah selesai disempurnakan.[4] Justeru, adalah satu kesilapan bagi seorang isteri untuk tidak menghadirkan diri ke Mahkamah apabila dipanggil memberi keterangan mengenai permohonan mendapatkan kebenaran berpoligami oleh suaminya.

Jika sekiranya permohonan berpoligami diluluskan dan isteri tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut, isteri masih berhak untuk menfailkan Notis Rayuan di mahkamah yang sama dalam tempoh 14 hari dari tarikh keputusan itu diumumkan.[5] Dalam kes poligami, amat dianjurkan agar isteri menfailkan Notis Rayuan tersebut pada kadar segera. Jika perlu, ia difailkan pada hari yang sama di mana keputusan itu dibuat. Isteri seterusnya perlu menfailkan permohonan bagi menggantungkan perlaksanaan keputusan tersebut bagi mengelak pernikahan itu dijalankan.[6] Tidak ada maknanya notis rayuan difailkan apabila suami telahpun melaksanakan pernikahan dengan bakal isteri berkenaan. Ia hanyalah bersifat akademik semata-mata.

 

Fasa Kedua

Hak setelah suami berpoligami

Wanita yang dikahwini oleh suami dalam suatu perkahwinan yang dilaksanakan tanpa kebenaran berpoligami dari Mahkamah masih mempunyai hak di sisi undang-undang dalam perkahwinan tersebut. Wanita berkenaan berhak mendaftarkan pernikahan tersebut kepada Pendaftar Perkahwinan di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam di negeri di mana pasangan itu tinggal atau bermastautin. Bagaimanapun, proses undang-undang mesti dilalui. Untuk tujuan pendaftaran, perkahwinan tersebut perlulah ditentukan samada sah atau tidak oleh Mahkamah Syariah. Pasangan berkenaan khususnya suami perlu membuat permohonan untuk pengesahan pernikahan tersebut dan jika sah, perintah mendaftarkan perkahwinan tersebut dikeluarkan oleh Mahkamah.

Proses undang-undang tidak terhenti setakat itu. Suami akan didakwa atas kesalahan berpoligami tanpa kebenaran mahkamah[7] manakala isteri baru tersebut pula akan didakwa atas kesalahan bersubahat dengan suami untuk melakukan perkahwinan poligami tanpa kebenaran[8] dan juga kesalahan bernikah tanpa kebenaran pendaftar perkahwinan[9]. Selepas semua proses perundangan ini dilalui, baharulah pernikahan itu didaftar dan sijil pernikahan dikeluarkan oleh Pendaftar Perkahwinan di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam. Jika suami enggan menfailkan permohonan atau menghilangkan diri, wanita berkenaan tidak terhalang untuk menfailkan permohonan untuk mendapatkan pengesahan pernikahan dan seterusnya mendapatkan perintah pendaftaran pernikahan tersebut sekiranya sah oleh Mahkamah. Hanya dengan terdaftarnya pernikahan tersebut, baharulah isteri tersebut bebas untuk menuntut hak-hak sebagai isteri dalam suatu perkahwinan menurut undang-undang dan hukum syarak.

Dalam konteks berpoligami, seorang isteri berhak di sisi undang-undang untuk mendapatkan perintah Mahkamah agar suaminya kembali hidup bersama isteri yang ditinggalkan suami.[10] Justeru, sekiranya suami mengabaikan isteri dengan meninggalkan langsung isteri berkenaan kerana tinggal bersama dengan isteri yang lain, isteri berkenaan mempunyai hak untuk mengambil tindakan undang-undang dengan mendapatkan perintah dari mahkamah bagi memaksa suami kembali hidup dengan isteri berkenaan sesuai dengan syariat agama. Sekiranya suami berkenaan cuai atau masih engkar mematuhi perintah berkenaan, isteri boleh membuat aduan kepada Penguatkuasa Agama di Jabatan hal Ehwal Agama Islam untuk tujuan pendakwaan. Jika disabitkan salah, suami boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya.[11]

Dalam hidup berpoligami, isteri-isteri berhak untuk mendapat layanan yang adil dari suami. Ini sememangnya kewajipan seorang suami dalam sebuah rumahtangga memandangkan salah satu daripada syarat kepada perkahwinan berpoligami sebagaimana yang dinyatakan dalam Seksyen 23 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004 adalah suami mampu berlaku adil kepada isteri-isterinya menurut hukum syarak[12]. Sekiranya isteri tidak diperlakukan secara adil, isteri tersebut berhak di sisi undang-undang untuk melaporkan kepada Penguatkuasa Agama di Jabatan hal Ehwal Agama Islam Negeri untuk tujuan pendakwaan ke atas suami atas kesalahan tidak berlaku adil kepada isteri. Di bawah Seksyen 127 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004, seorang suami yang disabitkan bersalah kerana tidak berlaku adil kepada isteri boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya sekali.[13]

Dalam tempoh perkahwinan secara berpoligami, isteri-isteri berhak untuk menuntut nafkah ke atas suami.[14] Hak tersebut tidak hanya terbatas kepada makan, pakaian dan tempat tinggal sahaja, malah ia turut meliputi aspek-aspek lain seperti perubatan, pelajaran, perkhidmatan dan seumpamanya.[15] Seksyen 60 (1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004 secara jelas memberi kuasa kepada Mahkamah untuk memerintahkan suami untuk memberikan nafkah kepada isteri yang tidak disabitkan nusyuz terhadap suami.

Selain daripada itu, isteri juga berhak untuk mendapat perlindungan daripada suami sebagaimana diperintahkan oleh Allah kepada para suami dalam Surah al Nisa’: 19 yang bermaksud: Allah memerintahkan suami bergaul dengan isteri dengan cara yang baik (ma’ruf). Sesuai dengan firman Allah tersebut, undang-undang secara jelas memberi hak perlindungan kepada wanita semasa suami membuat permohonan untuk mendapatkan kebenaran berpoligami di mahkamah. Seksyen 23 (5) (d) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004 umpamanya menyebutkan bahawa salah satu aspek yang perlu dipertimbangkan oleh Mahkamah ketika meluluskan permohonan berpoligami suami adalah perkahwinan yang dicadangkan itu tidak akan menyebabkan darar syar’ie kepada isteri atau isteri-isteri yang sedia ada. Darar syar’ie menurut tafsiran Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004 adalah merujuk kepada bahaya yang menyentuh isteri mengenai agama, nyawa, tubuh badan, akal fikiran, maruah atau harta benda mengikut kebiasaan yang diakui oleh Hukum Syarak.[16]

Sesuai dengan hak mendapat perlindungan ini,  undang-undang telah memberikan pula hak kepada isteri untuk menuntut pembubaran perkahwinan secara fasakh atas alasan bahawa suami menganiya isteri dengan lazim menyakiti yang menyebabkan hidup isteri menderita akibat tindakan suami itu.[17] Seorang isteri juga berhak untuk melaporkan perbuatan aniaya suaminya termasuk perbuatan menipu isterinya dalam perkara harta si isteri kepada Penguatkuasa Agama di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri untuk tindakan perundangan. Seksyen 128 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004 jelas memperuntukkan bahawa seorang yang disabitkan bersalah kerana menganiaya isteri atau dengan menipu harta isteri boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebih 6 bulan atau kedua-dua sekali. Mahkamah juga boleh memerintahkan pesalah tersebut untuk membayar apa-apa pampasan atas kerugian di pihak isteri atas penipuan harta yang dilakukan oleh suaminya.[18]

Selain hak-hak di atas, isteri yang terlibat dalam perkahwinan poligami juga berhak untuk membubarkan perkahwinannya dengan suaminya di Mahkamah Syariah. Beberapa bentuk pembubaran perkahwinan yang tersedia untuk dipilih oleh isteri sesuai dengan keadaan dan alasan perceraian. Isteri boleh memilih untuk memohon kebenaran bercerai di bawah Seskyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004. Lazimnya, permohonan untuk bercerai di bawah ini dibuat apabila pasangan suami isteri itu sudah tidak ada persefahaman dalam rumahtangga. Suami akan diberi kebenaran oleh Mahkamah untuk menceraikan isteri dengan talaq 1. Proses perceraian akan lebih cepat penyelesaiannya apabila kedua-dua suami dan isteri bersetuju untuk bercerai secara baik.

Ada juga keadaan di mana suami enggan menceraikan isteri sedangkan isteri mempunyai alasan yang kuat untuk mendapatkan perceraian. Dalam situasi ini, isteri boleh menuntut pembubaran perceraian secara fasakh jika terdapat salah satu atau lebih alasan yang dinyatakan dalam Seksyen 53 (1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004. Antara alasan yang sering kali digunakan oleh isteri untuk menuntut fasakh adalah apabila suami cuai atau gagal memberikan nafkah kepada isteri selama tempoh 3 bulan. Selain itu, perbuatan aniaya suami yang sering menyakiti hidup isteri sehingga menyebabkan hidup isteri menderita juga selalu dijadikan alasan utama isteri untuk menuntut fasakh nikah.[19]

Isteri juga boleh menuntut perceraian secara tebus talaq atau khulu’ di bawah Seksyen 49 (1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam. Perceraian secara tebus talaq berlaku apabila telah timbul perasaan benci isteri kepada suami atas sebab kekurangan suami sedangkan suami masih ingin mempertahankan rumahtangga tersebut. Dalam situasi ini, isteri akan membayar sejumlah bayaran yang dipersetujui kedua pihak sebagai tebuskan kepada suami yang melafazkan cerai atas permintaan isteri. Selain pembubaran perkahwinan dengan jalan tebus talaq, seorang isteri yang mendapati dirinya telah dianiaya oleh suami dalam perkahwinan poligami boleh memilih untuk menuntut perceraian secara ta’liq di bawah Seksyen 50 (1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004. Lafaz ta’liq yang dibacakan oleh suami selepas akad nikah dapat dilihat pada catatan di belakang atau di bahagian bawah pada muka hadapan sijil nikah. Jika berlaku perlanggaran terhadap apa yang diucapkan oleh suami itu seperti suami gagal menunaikan nafkah kepada isteri 4 bulan berturut-turut atau suami melakukan aniaya terhadap tubuh badan isteri, maka isteri boleh menuntut perceraian secara ta’liq di Mahkamah.

Selain hak untuk menuntut perceraian sebagaimana diterangkan di atas, seorang isteri dalam perkahwinan berpoligami juga boleh menuntut nafkah diri isteri yang telah tertunggak.[20] Jika telah ada perintah pembayaran nafkah dikeluarkan oleh Mahkamah sebelumnya, isteri boleh menuntut tunggakan nafkah yang tidak dibayar oleh suami termasuk penguatkuasa dan perlaksanaan perintah tersebut. Seorang suami boleh disaman hadir di Mahkamah untuk menjelaskan bayaran tertunggak isteri melalui tindakan saman penghutang penghakiman oleh isteri di Mahkamah.[21] Kegagalan suami melaksanakan perintah tersebut boleh menyebabkan suami dikomitkan ke penjara selama tempoh tidak melebihi 30 hari.[22]

Selain perkara nafkah, isteri juga boleh memohon untuk penguatkuasan dan perlaksanaan perintah ke atas perintah pembahagian harta sepencarian yang telah diputuskan oleh Mahkamah semasa prosiding pendengaran permohonan kebenaran berpoligami oleh suami suatu ketika dulu. Penguatkuasaan perintah ini boleh dibuat apabila suami enggan melaksanakan keputusan mengenai pembahagian harta tersebut seperti enggan menyerahkan harta tersebut kepada isteri dalam tempoh yang ditetapkan oleh Mahkamah.[23] Perlu difahami bahawa apa-apa tunggakan nafkah atau kegagalan penyerahan harta oleh suami kepada isteri sebagaimana diperintahkan Mahkamah boleh dituntut sebagai hutang suami semasa pembahagian harta pusaka suami apabila suami meninggal dunia nanti.[24] Selain daripada itu, isteri yang kematian suami juga berhak di sisi hukum syarak dan undang-undang untuk menuntut bahagian faraid ke atas harta pusaka yang ditinggalkan oleh suaminya apabila suaminya meninggal dunia.[25]

 

Fasa Ketiga

Hak selepas perceraian dalam perkahwinan berpoligami

Kesemua hak yang diberikan oleh hukum syarak dan undang-undang kepada seorang isteri dalam perkahwinan biasa selepas berlakunya perceraian juga dimiliki oleh seorang isteri yang terlibat dalam perkahwinan berpoligami. Tidak ada bezanya. Hak-hak tersebut meliputi  tuntutan nafkah diri tertunggak bagi isteri yang telah diceraikan,[26]nafkah eddah bagi isteri yang diceraikan dengan talaq 1 atau talaq 2,[27] mut’ah atau pemberian sagu hati,[28] harta sepencarian terhadap harta-harta yang diperolehi secara langsung atau tidak langsung dalam tempoh perkahwinan antara bekas suami dan bekas isteri,[29] hak penjagaan anak atau hadanah,[30] hak tempat tinggal isteri di rumah yang isteri biasa tinggal semasa dalam tempoh perkahwinan sementara menanti tamatnya tempoh eddah isteri atau selagi tempoh penjagaan atau hadanah ke atas anak hasil perkahwinan mereka masih belum tamat,[31] nafkah semasa anak[32] dan juga mas kahwin yang belum dijelaskan oleh suami selama tempoh perkahwinan mereka.[33]

 

MANFAAT POLIGAMI

Perbincangan mengenai manfaat perkahwinan secara berpoligami cukup banyak dan panjang. Pelbagai pandangan dan tulisan telah dibuat mengenainya. Bagaimanapun secara ringkasnya, dapatlah dinyatakan beberapa manfaat atau kelebihan ataupun hikmah di sebalik pensyariatan poligami seperti berikut:

 

Untuk mendapatkan zuriat

Ketiadaan zuriat dalam suatu perkahwinan merupakan satu ujian yang besar dalam sebuah rumahtangga. Setelah melalui pelbagai usaha untuk mendapatkan zuriat dan disahkan bahawa pihak isteri tidak mampu melahirkan anak disebabkan mandul atau akibat penyakit tertentu yang menghalang isteri untuk mengandung, maka adalah wajar suami untuk bernikah lagi dengan wanita lain tanpa menceraikan isteri yang sedia ada. Dengan pernikahan secara berpoligami itu, maka dapatlah suami itu merasai nikmat Allah dengan memperolehi zuriat yang boleh menyambung keturunannya sehingga hari kiamat.[34] Seksyen 23 (5) (a) Enakmen Undang-Undang keluarga Islam 2004 memperuntukkan bahawa salah satu pertimbangan yang perlu diberikan oleh Mahkamah dalam memberikan kelulusan berpoligami kepada suami ialah apabila isterinya mandul atau tidak dapat melahirkan zuriat. Mengikut amalan di Mahkamah Syariah, lazimnya isteri tidak membantah permohonan suami untuk berpoligami dengan menggunakan alasan ini.

 

Isteri berpenyakit yang menghalang hubungan kelamin

Terdapat juga keadaan di mana isteri diuji dengan penyakit yang kronik dan sukar disembuhkan sehingga hubungan kelamin antara suami dan isteri tidak dapat dilakukan. Dalam hal ini, hukum syarak dan undang-undang menyediakan ruang kepada suami untuk menyalurkan naluri syhawatnya dengan memberi ruang kepadanya berkahwin lagi dengan wanita yang sihat. Pernikahan baru tanpa menceraikan isteri yang sedia ada dapat mengekalkan keharmonian rumah tangga dan dapat pula menyelamatkan suami daripada menyalurkan hawa nafsunya kepada wanita lain tanpa ikatan pernikahan yang sah. Dengan perkahwinan berpoligami itu, maka terpeliharalah rumahtangga tersebut daripada bencana huru hara dan masyarakat juga akan turut mendapat keamanan kesan dari wujudnya rumahtangga yang tenang dan bahagia. Sebagaimana dalam keadaan isteri mandul, keuzuran jasmani isteri yang tidak memungkinkan persetubuhan suami isteri dapat dilaksanakan merupakan satu alasan yang diterima oleh undang-undang untuk seorang suami berpoligami sebagaimana disebutkan dalam Seksyen 53 (5) (a) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004.

 

Bilangan wanita yang semakin meningkat

Kehilangan nyawa di pihak lelaki akibat peperangan, sengketa, kemalangan di tempat kerja dan pelbagai lagi akibat menyebabkan bilangan wanita akan semakin bertambah berbanding lelaki. Keadaan ini menyebabkan tidak kurang ramainya wanita menjadi janda dan memerlukan perlindungan dan sara hidup. Pernikahan dengan jalan poligami oleh suami dilihat merupakan salah satu cara untuk mengatasi keadaan sukar yang dihadapi oleh balu atau janda tersebut. Pernikahan yang sah seperti ini lebih mulai dan menjadikan kedudukan janda atau balu tersebut dipandang mulia di sisi agama dan manusia sekeliling berbanding terbiar tanpa perlindungan, ke sana sini meminta simpati. Wanita tersebut juga terhindar dari perbuatan terlarang seperti menjual tubuh untuk meneruskan penghidupan bersama anak-anak yang ditinggalkan suami terdahulu.[35]

 

Menghindari Zina

Ada suami yang dikurniakan oleh Allah naluri seksual yang kuat. Melakukan hubungan kelamin dengan seorang isteri tidaklah memadai untuk memenuhi naluri syhwatnya. Dalam keadaan di mana isteri telah mencapai tempoh monopause atau telah berhenti kedatangan haid, naluri seksnya tidaklah lagi seperti zaman sebelumnya. Sering keletihan dan tidak mempunyai keinginan untuk melakukan hubungan kelamin dengan suami tentunya memberikan tekanan tersendiri kepada suami. Keadaan akan menjadi lebih sukar bagi suami yang masih kuat naluri seksualnya apabila isteri semakin lanjut usia dan tidak lagi mampu melakukan hubungan kelamin. Suami yang mempunyai kesihatan yang baik di samping mempunyai kelayakan mencukupi untuk berpoligami mempunyai alasan yang menasabah untuk berpoligami dalam situasi ini. Amalan poligami yang disyariatkan oleh Allah kepada umat Islam dapatlah memberi penyelesaian kepada cabaran dan tekanan seksual suami tersebut lebih-lebih lagi bagi suami yang sering melakukan perjalanan yang jauh untuk urusan kerja dan menetap agak lama di tempat berkenaan.[36] Dengan jalan yang halal dan dilindungi undang-undang, gejala zina dapat dihindarkan. Penyaluran naluri seksual suami pada jalan yang halal melalui poligami dapat mewujudkan ketenangan pada diri suami dan akhirnya melahirkan semangat untuk terus mencari rezeki halal dan melaksanakan ibadah-ibadah yang telah ditetapkan oleh Allah.

Tentunya banyak lagi manfaat atau hikmah di sebalik amalan poligami yang disyariatkan dalam Islam. Bagaimanapun, adalah memadai untuk menyenaraikan beberapa hikmah di atas untuk memberi gambaran kepada umum bahawa ajaran Islam adalah ajaran yang komprehensif dan mengambil kira keperluan zahir dan batin pada manusia. Amalan berpoligami yang telah ribuan tahun telah diamalkan oleh manusia di muka bumi tidak pernah dimansuh atau dibatalkan oleh Islam.

Apa yang dilakukan oleh Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w adalah membataskan amalan ini dengan menggariskan aturan dan syarat-syarat yang tertentu dalam berpoligami agar amalan berpoligami ini benar-benar menepati kehendak dan naluri manusiawi. Dengan pembatasan yang diberikan dengan hanya membenarkan pernikahan kepada bilangan maksima iaitu 4 isteri dalam satu-satu masa, ianya jelas menunjukkan betapa Islam ini mengambil kira segala aspek dalam kehidupan manusia dan menjamin kelangsungan amalan yang yang telah ribuan tahun menjadi amalan manusia dengan cara yang tersusun dan teratur sebegitu rupa bagi mengelak segala bentuk kezaliman atau penindasan khususnya kepada kaum wanita.

 

CABARAN BERPOLIGAMI

Para suami mahupun isteri yang terlibat secara langsung dengan perkahwinan secara berpoligami tentunya mempunyai cabaran tersendiri dalam rumahtangganya. Cabaran bukan saja dihadapi oleh pasangan suami isteri berkenaan, tetapi juga ia turut dihadapi oleh Mahkamah Syariah yang mengendalikan permohonan si suami untuk mendapatkan kebenaran berpoligami. Bagi memudahkan perbincangan, perbahasan mengenai cabaran berpoligami dibahagikan kepada 3 kelompok iaitu di pihak Mahkamah sendiri, isteri dan seterusnya pihak suami.

 

Kelompok Pertama

Mahkamah

Ada kalanya isteri datang secara tiba-tiba ke Mahkamah dan marah-marah kerana tidak berpuas hati dengan perjalanan kes poligami suami di Mahkamah. Isteri mendakwa bahawa beliau tidak dipanggil atau dimaklumkan mengenai permohonan mendapatkan kebenaran berpoligami oleh suaminya. Isteri yang yang mendakwa bahawa Mahkamah bersekongkol dengan pihak suami untuk memberi kebenaran kepada suaminya berpoligami tanpa pengetahuannya. Hal ini ada kalanya menimbulkan suasana tegang. Dalam hal ini, pegawai Mahkamah akan menerangkan kepada si isteri bahawa segala prosedur telah diikuti. Terdapat pengakuan daripada suami melalui Affidavit Penyampaian Saman bahawa suami telah menyerahkan sendiri ke diri isteri Notis panggilan ke Mahkamah. Bagi Mahkamah, apabila telah ada pengakuan melalui Affidavit yang diikrarkan di hadapan Pegawai Mahkamah dan suami pula melaksanakan sumpah istizhar bagi menyatakan kebenaran keterangannya di hadapan Hakim, mahkamah akan meneruskan kes berkenaan dan membuat keputusan atau penghakiman walaupun tanpa kehadiran isteri.

Dalam keadaan suami telah diberi kebenaran berpoligami dan suami telahpun bernikah, isteri yang terkilan tadi masih boleh mengambil tindakan undang-undang kepada suami. Isteri berhak melaporkan kepada Penguatkuasa Agama di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JHEAINS) bahawa suaminya telah membuat keterangan atau penyataan palsu di Mahkamah di bawah Seksyen 101 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1995. Di bawah undang-undang ini, seseorang yang disabitkan bersalah memberi keterangan atau penyataan palsu di mahkamah boleh dihukum dengan denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih dari 6 bulan atau kedua-duanya sekali.[37] Selain daripada itu, suami berkenaan juga boleh didakwa atas kesalahan jenayah kerana membuat perakuan atau penyataan palsu bagi mendapatkan kebenaran berkahwin di bawah Seksyen 38 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004.[38]

Bagi si isteri pula, jika beliau terus mengeluarkan kata-kata cemuhan, tuduhan dan pelbagai kata-kata berupa penghinaan kepada Mahkamah atas dakwaan bahawa Mahkamah bersekongkol dengan suaminya untuk memberi kebenaran berpoligami, maka tindakan undang-undang boleh dikenakan kepada si isteri itu. Satu Notis tunjuk sebab boleh dikeluarkan oleh Mahkamah kepada si isteri tersebut untuk hadir di M dan memberi alasan mengapa beliau tidak dikomitkan ke penjara kerana menghina Mahkamah. Perkara ini dinyatakan dalam Seksyen 229 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2004. Orang yang disabitkan melakukan penghinaan Mahkamah di bawah undang-undang ini boleh dihukum penjara tidak lebih 6 bulan atau denda tidak melebihi RM2,000.

 

Kelompok Kedua

Isteri

Poligami merupakan satu cabaran tersendiri di pihak isteri khususnya isteri yang sedia ada. Keadaan rumahtangga yang tenang boleh bertukar menjadi kecoh apabila suami mula menyatakan hasratnya untuk berpoligami. Adalah suatu yang lumrah bahawa isteri akan menyatakan bantahan terhadap hasrat si suami tersebut. Ada kejadian di mana sebaik isteri menunjukkan bantahannya atau protesnya, suami mula menjauhkan isteri. Suami mula jarang balik ke rumah apatah lagi makan bersama dengan isteri dan anak-anak. Ada situasi di mana suami lebih rela untuk tidur di sofa dalam ruang tamu berbanding tidur dalam bilik kelamin. Hal ini tentunya menimbulkan keadaan yang tidak kondusif dalam rumahtangga dan memberi tekanan yang hebat terhadap perasaan si isteri.

Keadaan keterampilan bakal isteri yang hadir di Mahkamah untuk pendengaran kes poligami juga memberi cabaran dan tekanan tersendiri kepada isteri. Sering kali berlaku kejadian di mana bakal isteri memakai pakaian yang cantik dengan penampilan yang seakan telah bersiap untuk melangsungkan pernikahan. Bakal isteri tampil dengan wang-wangian dengan make up di wajah yang cukup rapi. Si isteri pula hadir dengan penampilan biasa dengan pakaian yang cukup sederhana. Penampilan bakal isteri yang tentunya “jauh lebih menarik” daripada isteri tidaklah baik untuk ditunjukkan di hadapan isteri. Keadaan ini hanya akan menimbulkan perasaan tidak selesa, geram dan sakit hati di pihak isteri terhadap bakal isteri. Sukarlah dibayangkan bagaimana suasana tidak selesa ini terpaksa dihadapi oleh isteri semasa duduk bersama-sama dengan suami, bakal isteri dan wali kepada bakal isteri di ruang menunggu yang terletak di luar kamar hakim sebelum dipanggil memberi keterangan di Mahkamah. Sepatutnya, bakal isteri perlu mengelakkan diri dari membuat penampilan yang berlebihan. Memadailah hadir di Mahkamah dengan pakaian yang sederhana dan sopan bagi mengelak timbulnya perasaan tidak selesa di pihak isteri. Inilah masanya bakal isteri menunjukkan sikap sederhananya dan menzahirkan sikap baiknya kepada isteri. Boleh jadi, suasana ini mampu mengurangkan ketegangan antara isteri dengan suami dan bakal isteri.[39]

Sering juga terjadi kes di mana suami bernikah  tanpa pengetahuan isteri. Lazimnya, suami membawa bakal isteri itu ke Selatan Thailand dan bernikah di pejabat Majlis Agama Islam di negara berkenaan. Pernikahan tersebut hanya diketahui si isteri apabila suami menunjukkan keterangan pernikahannya yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Thailand dan juga perakuan pernikahan oleh Pejabat Konsulat Malaysia di Selatan Thailand. Ada juga kejadian di mana isteri hanya mengetahui pernikahan suami dengan isteri kedua apabila suami menfailkan permohonan pengesahan pernikahan dan perintah pendaftaran pernikahan tersebut di Mahkamah Syariah.

Tindakan suami ini tidak dinafikan boleh menimbulkan tekanan tersendiri di pihak isteri. Ini satu kejutan dan cabaran berat yang terpaksa dihadapi isteri. Sekiranya suami membuat permohonan mendapatkan kebenaran di Mahkamah, dapatlah isteri menyatakan responnya sama ada bersetuju atau tidak. Isteri juga dapat pula menuntut hak-haknya di hadapan Mahkamah semasa pendengaran kes poligami berkenaan seperti pembahagian harta sepencarian, nafkah isteri dan anak-anak serta tempat tinggal isteri dan anak-anak setelah suami bernikah dengan isteri kedua. Dengan tindakan suami menyembunyikan pernikahannya, ia merupakan satu tamparan tersendiri terhadap isteri yang tidak dijangkakan.

Cabaran lain yang terpaksa ditempuh oleh seorang isteri apabila suaminya berpoligami ialah apabila suami sanggup mengugut untuk menceraikan isteri jika isteri tidak bersetuju dengan pernikahan tersebut. Ada kes di mana si suami sanggup menceraikan isterinya di luar mahkamah walaupun kes poligami di Mahkamah sedang berjalan. Suami mengambil jalan mudah untuk melafazkan cerai kepada isterinya untuk mengelak daripada menghadapi tentangan hebat dari isteri terhadap permohonan poligaminya. Setelah tamat tempoh eddah isteri, kes poligami tidak perlu lagi diteruskan kerana keperluan untuk mendapatkan respon atau persetujuan daripada isteri pertama sudah tidak relevan lagi. Suami akhirnya bernikah dengan isteri baru manakala isteri terdahulu sudah diceraikan. Ini antara tindakan suami yang boleh dipersoalkan kerana ia mengambil jalan mudah dengan menceraikan isterinya bagi membolehkan suami berkenaan dapat bernikah dengan bakal isterinya.

Kegagalan suami berlaku adil dalam berpoligami sering kali terjadi. Ada kes di mana isteri menfailkan permohonan perceraian di Mahkamah kerana suami gagal menunaikan kewajipannya memberikan nafkah belanja kepada isteri. Ada juga suami yang terpaksa ke sana sini berhutang dengan orang kerana tidak mempunyai kewangan yang mencukupi untuk menampung perbelanjaan keluarga. Isteri tidak lagi menikmati nafkah sebagaimana yang dinikmatinya sebelum suami berpoligami. Ada juga suami yang memberi keutamaan kepada isteri yang pertama semata-mata untuk menunjukkan bukti kasih sayangnya kepada si isteri dengan menggunakan masa yang lebih banyak untuk tinggal bermalam.

Dalam hal ini, isteri kedua terpaksa menghadapi layanan yang tidak seimbang dari suami berbanding isteri pertama. Tidak hairanlah mengapa ada isteri yang menfailkan tuntutan perceraian secara fasakh di Mahkamah atas kegagalan suami memberikan nafkah melebihi 3 bulan. Menurut Seksyen 53 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004, seorang isteri boleh menuntut fasakh sekiranya suami cuai atau gagal menunaikan kewajiban nafkah kepada isteri selama tempoh 3 bulan. Selain itu, kegagalan suami berlaku adil terhadap isteri dalam berpoligami boleh dijadikan alasan si isteri untuk menuntut fasakh nikah. Bagi isteri yang masih sayangkan rumahtangganya, ia sanggup menempuh hidup derita dengan keadaan yang menimpa daripada mengambil jalan untuk menuntut perceraian di Mahkamah. Ini adalah antara cabaran seorang isteri apabila suaminya berpoligami.

 

Kelompok Ketiga

Suami

Salah satu cabaran besar bagi seorang suami ketika hendak berpoligami ialah ketika menyatakan hasratnya untuk berkahwin lagi. Bukan mudah bagi seorang suami untuk berterus terang dengan isteri dalam hal ini. Ada suami yang takut untuk berterus terang kerana tidak sanggup dimarahi isteri. Justeru, sering terjadi kes di mana suami sanggup berkahwin secara senyap-senyap tanpa pengetahuan isteri. Isteri hanya mengetahui pernikahan itu apabila orang sekeliling mula memperkatakan mengenai perkahwinan suaminya dengan wanita lain. Ada juga isteri yang mengetahui perkahwinan tersebut apabila suami didakwa di Mahkamah Syariah atas kesalahan berpoligami tanpa kebenaran Mahkamah. Dalam situasi seumpaman itu, suami terpaksa berhadapan dengan kemarahan isteri dan keluarga bukan sahaja dari pihak isteri, malah kemarahan juga datang dari keluarga suami sendiri.

Cabaran mula terasa apabila suami menfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran berpoligami di Mahkamah. Ada kes di mana si isteri meninggalkan rumah dengan membawa anak-anak pula ke rumah ibubapa isteri sebaik mendapat Notis Panggilan hadir untuk memberi keterangan mengenai permohonan poligami suaminya di Mahkamah. Walaupun telah menerima Notis Panggilan hadir ke Mahkamah, isteri enggan hadir untuk memberikan keterangan di Mahkamah mengenai kemampuan suami termasuk menyatakan maklum balas samada isteri bersetuju atau tidak dengan permohonan suami untuk berpoligami. Keadaan ini mendatangkan tekanan dan cabaran tersendiri kepada suami berkenaan. Suami berada dalam persimpangan. Samada hendak meneruskan hasrat untuk berpoligami atau kekal dengan isteri yang sedia ada.

Isteri nekad meminta diceraikan sebagai syarat untuk suami bernikah dengan bakal isteri merupakan cabaran yang hebat bagi seorang suami. Hal ini sering kali terjadi apabila isteri hadir di Mahkamah semasa kes poligami didengar di hadapan Hakim. Dalam situasi sedemikian, suami berada dalam kondisi yang begitu sukar. Ada isteri yang menfailkan tuntutan perceraian di Mahkamah sebaik sahaja suami menfailkan permohonan kebenaran berpoligami di Mahkamah. Dalam keadaan seperti ini, ada ketikanya kedua pihak mencapai persetujuan bersama untuk bercerai secara baik dengan talaq 1 di hadapan Mahkamah. Ada juga kes di mana, suami terpaksa menunggu masa yang begitu lama untuk penyelesaian kes poligami di Mahkamah. Tempoh penyelesaian kes yang panjang boleh berlaku apabila permohonan berkenaan dibantah oleh isteri. Isteri sanggup mengambil khidmat peguam syarie bagi mewakilinya. Suami juga sanggup mengambil khidmat peguam bagi mewakilinya. Apabila perbicaraan dijalankan, prosedur perbicaraan di Mahkamah perlu dipatuhi. Kesemua pihak akan diambil keterangan termasuk saksi-saksi jika ada. Ada kes yang mengambil masa untuk penyelesaian sehingga 3 tahun. Jika suami berjaya mendapat kebenaran berpoligami, keadaan rumahtangga yang sedia ada tidak lagi seperti dahulu. Keadaan sudah semakin sukar apabila hubungan antara suami dan isteri semakin longgar jika tidak diperbaiki. Akhirnya, kita menyaksikan rumahtangga berkenaan berakhir dengan perceraian.

Perkahwinan berpoligami tanpa kebenaran Mahkamah merupakan satu lagi cabaran yang berat bukan saja bagi seorang suami tetapi juga kepada isteri baru si suami. Pernikahan tersebut belum dapat dipastikan samada sah atau tidak. Pernikahan itu juga tidak boleh didaftarkan di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam selagi ianya tidak disahkan dan diperintahkan untuk pendaftaran oleh Mahkamah Syariah. Dalam situasi ini, suami perlu melalui proses perundangan dengan membuat permohonan di Mahkamah bagi mengesahkan pernikahan tersebut dan seterusnya mendapatkan perintah mendaftarkan pernikahan itu di Jabatan Agama Islam jika sah menurut hukum syarak.

Sekiranya sah, pendaftaran nikah berkenaan hanya akan dilaksanakan oleh Pendaftar Perkahwinan setelah suami tersebut didakwa dan disabitkan atas kesalahan berpoligami tanpa kebenaran Mahkamah. Menurut Seksyen 23 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004, seorang suami yang berpoligami tanpa kebenaran Mahkamah apabila disabitkan boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebih 6 bulan atau kedua-duanya sekali. Ini bermakna, suami telah mendapat status sebagai pesalah jenayah syariah apabila disabitkan bersalah dengan kesalahan berpoligami tanpa kebenaran Mahkamah.

Tekanan akan lebih terasa apabila pernikahan tersebut diputuskan sebagai tidak sah. Pernikahan tersebut akan difaraq atau dibubarkan. Suami dan pasangan barunya terpaksa berpisah dan tidak dibenarkan oleh hukum syarak dan undang-undang untuk tinggal bersama sebagaimana sebelumnya. Mereka perlu mengikuti proses undang-undang jika ingin hidup sebagai suami isteri. Apa yang perlu dilakukan ialah suami dikehendaki untuk membuat permohonan bagi mendapatkan kebenaran berpoligami daripada Mahkamah Syariah. Bagaimanapun, tidak ada jaminan bahawa permohonan tersebut akan diluluskan oleh Mahkamah. Semuanya bergantung sejauh mana suami layak atau tidak berpoligami.

Selain itu, anak-anak yang lahir dari pernikahan berpoligami tanpa kebenaran Mahkamah akan berhadapan dengan kesukaran apabila anak-anak tersebut tidak dapat dinasab dibin kepada bapa mereka. Lazimnya, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan meletakkan perkataan Abdullah pada bin atau binti si anak tersebut dan mencatatkan perkataan “Seksyen 10” pada bahagian bawah sijil lahir anak berkenaan. JPN akan meminta ibubapa anak tersebut untuk mendapat terlebih dahulu pengesahan nasab anak tersebut di Mahkamah Syariah. Jika anak tersebut diputuskan sebagai anak sah taraf, maka JPN akan membuat perubahan pada sijil lahir anak berkenaan dengan meletakkan bin atau binti anak tersebut kepada bapanya. Sekiranya status anak tersebut diputuskan sebagai anak tak sah taraf, JPN lazimnya akan mengekalkan anak tersebut berbin atau berbintikan kepada Abdullah. Inilah antara cabaran yang terpaksa dihadapi oleh suami dalam berpoligami tanpa kebenaran Mahkamah.

Bukan mudah bagi suami untuk melaksanakan keadilan kepada isteri-isterinya dalam perkahwinan berpoligami. Berlaku adil kepada isteri-isteri dalam rumahtangga bukanlah sesuatu yang mudah. Ia memerlukan ilmu dan pengetahuan yang mendalam terhadap selok belok poligami dalam Islam. Pengetahuan dan pengamalan ajaran agama Islam yang baik amat perlu dimiliki oleh suami selain dari memiliki kesabaran yang tinggi untuk berhadapan dengan sikap isteri-isteri dan juga ujian-ujian lain dalam rumahtangga. Perasaan cemburu yang wujud dalam diri isteri-isteri perlu dihadapi dengan tabah oleh suami. Seni menghadapi dan menangani kecemburuan isteri dengan isteri yang lain perlu dipelajari dan dimiliki oleh suami dalam sebuah rumahtangga agar perkahwinan itu tetap kukuh sehingga ke akhir hayat.

 

PENUTUP

Melihat kepada perbincangan yang dibuat di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ilmu pengetahuan terhadap amalan berpoligami adalah penting untuk dipelajari dan difahami oleh semua orang. Kefahaman yang jelas mengenai poligami dapat menyingkirkan segala salah faham terhadap poligami baik dari kalangan orang Islam sendiri atau dari kalangan bukan Islam. Hak-hak yang disediakan pada seorang isteri yang terlibat dalam perkahwinan berpoligami akan menyedarkan kepada suami untuk lebih bertanggungjawap dan menunaikan sedapat mungkin segala kewajipan yang ditetapkan oleh undang-undang dan hukum syarak. Manfaat amalan poligami yang dijelaskan di atas amat perlu diketahui dan difahami oleh masyarakat agar amalan ini dilihat sebagai suatu amalan yang murni dan benar-benar selari dengan keperluan manusia sepanjang masa.

Tentunya cabaran besar dalam berpoligami tidak dapat dihindarkan. Pengetahuan mengenai cabaran-cabaran yang terpaksa ditempuhi oleh pihak-pihak yang teribat dalam urusan poligami seperti mahkamah dan juga pihak suami dan isteri yang secara langsung beramal dengan perkahwinan berpoligami dapat memberi manfaat yang banyak dan bernilai kepada sesiapa sahaja yang ingin beramal atau hendak mengetahui hal ehwal perkahwinan poligami. Pengetahuan awal dan mendalam mengenai pelbagai aspek dalam amalan berpoligami tentunya akan mewujudkan satu masyarakat yang lebih tersusun, sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan dan terjamin pula hal ehwal kehidupan rumahtangganya dari sebarang bentuk gejala atau perkara yang memudaratkan.

[1] Penulis merupakan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sabah sejak 6 Jun 2013. Pernah memegang jawatan Ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah dari 16 Januari 2012 hingga 6 Jun 2013. Mula bertugas sebagai Hakim Mahkamah Rendah Syariah semenjak 1 Oktober 1996 di Pantai Barat Kota Kinabalu. Sebelum bertugas di Mahkamah Syariah, Penulis pernah beramal sebagai Peguambela dan Peguamcara Mahkamah Tinggi (Sabah & Sarawak) pada tahun 1996. Tulisan ini dibentangkan Persidangan Hak-hak Wanita Dalam Perundangan anjuran Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) yang diadakan di Wisma Wanita, Kota Kinabalu pada 17 April 2018.

[2] Dr. Adil Akhyar LL.M, Sunnah Poligami Generasi Awal Islam, Pustaka Azhar, Johor Bahru, 2014, hal. 193; Lihat juga khozin Abu Faqih, Poligami: Solusi atau Masalah, Al-I’Tishom Cahaya Umat, Cetakan Kedua 2007, 10 Rawamangun, Jakarta Timur, hal. 99.

[3] Lihat misalnya Seksyen 45 Enakmen Tatacara Mal Syariah 2004 yang menyatakan bahawa suatu Notis Permohonan hendaklah disampaikan kepada pihak yang satu lagi tidak kurang dari 2 hari sebelum tarikh pendengaran kes berkenaan melainkan Mahkamah memerintahkan sebaliknya.

[4] Seksyen 121 (2) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah 2004 memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk membuat penghakiman tanpa kehadiran pihak yang dituntut setelah penyampaian saman atau notis permohonan telah berjaya disampaikan kepada pihak tersebut.

[5] Seksyen 139 (4) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah 2004.

[6] Seksyen 144 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah 2004 menyatakan bahawa penfailan Notis Rayuan tidaklah secara otomatik menggantung perlaksanaan suatu keputusan Mahkamah. Ini bermakna, dalam kes di mana notis rayuan telah difailkan, pihak perayu mesti menfailkan Notis Permohonan untuk mendapatkan perintah penggantungan perlaksanaan perintah Mahkamah itu.

[7] Seksyen 124 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004. Hukuman bagi kesalahan berpoligami tanpa kebenaran adalah denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya sekali.

[8] Lihat Seksyen 44 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1995.

[9] Lihat Seksyen 40 Enakmen Undang-Udang Keluarga Islam 2004. Seorang yang disabitkan bersalah di bawah seksyen ini boleh dihukum dengan penjara tidak melebihi 6 bulan atau denda tidak melebihi RM1,000 atau kedua-duanya.

[10] Lihat Seksyen 121 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004.

[11] Lihat Seksyen 127 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004.

[12] Lihat Seksyen 23 (5) (C) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004.

[13] Lihat Seksyen 127 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004.

[14] Lihat firman Allah dalam Sura al Talaq 65:7 “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya”.

[15] Lihat Nor Azizah Hj. Baharom, Wanita dan Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Melaka: Antara Peruntukan dan Tuntutan dalam Wanita dan Undang-Undang Siri 2: Wanita dan Isu-Isu Kekeluargaan, (Penyunting: Che Zuina Ismail & Liziana Kamarul Zaman), Penerbit Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, Selangor, 2013, hal. 30.

[16] Lihat Seksyen 2 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004.

[17] Lihat Seksyen 53 (1) (h) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004.

[18] Lihat Seksyen 128 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004.

[19] Lihat Seksyen 53 (1) (h) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004.

[20] Lihat Seksyen 60 (1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004.

[21] Lihat Seksyen 176 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah 2004.

[22] Lihat Seksyen 181 (1) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah 2004.

[23] Lihat Seksyen 148 hingga 151 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah 2004.

[24] Lihat Seksyen 70 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004.

[25] Lihat Seksyen 11 (3) (b) (viii) & (ix) Enakmen Mahkamah Syariah 2004.

[26] Lihat Seksyen 60 (1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004.

[27] Lihat Seksyen 66 (1) enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004.

[28] Lihat Seksyen 58 (1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004.

[29] Lihat Seksyen 122 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004.

[30] Lihat Seksyen 82 hingga 88, Bahagian VII (Penjagaan) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004.

[31] Lihat Seksyen 72 (1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004.

[32] Lihat Seksyen 73 (1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004.

[33] Lihat Seksyen 59 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004.

[34] Isham Muhammad al-Syarif, Poligami Kebenaran Bersyarat, S.A.Majeed & Co. Sdn Bhd, Kuala lumpur, (tanpa tahun), hal. 176.

[35] Ahmad Zawazi Abdullah, Barakah Kahwin Dengan 4 Isteri, Pustaka Ilmuwan, Rawang Selangor, 2016, hal. 124.

[36] Ahmad Zawazi Abdullah, Barakah Kahwin Dengan 4 Isteri, Pustaka Ilmuwan, Rawang Selangor, 2016, hal. 178.

[37] Lihat Seksyen 101 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1995.

[38] Lihat Seksyen 38 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004. Di bawah Seksyen ini, mana-mana orang yang disabitkan salah memberi akuan atau penyataan palsu bagi mendapatkan kebenaran berkahwinan boleh dihukum dengan hukuman denda sebanyak tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali.

[39] Lihat tulisan Penulis dalam BLOG ERAKITA di bawah tajuk “Bakal Isteri Elak Pakai Lawa di Mahkamahhttps://erakita.wordpress.com/2015/09/02/bakal-isteri-kedua-elak-pakai-lawa-di-mahkama/. Dilihat pada 15 April 2018.

About ERAKITA

TERUSKAN LANGKAH USAH BERHENTI

Posted on 20 Julai 2018, in AGAMA, BUKU, E-SYARIAH, HAKIM MAHKAMAH RAYUAN SYARIAH, HAKIM MAHKAMAH RENDAH SYARIAH, HAKIM MAHKAMAH TINGGI SYARIAH, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH NEGERI SELANGOR, JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH SABAH, JABATAN PEGUAM BESAR NEGERI SABAH, JABATAN PEGUAM NEGARA, JKSM, KELUARGA, MAHKAMAH, Mahkamah Sivil, Mahkamah Syariah, peguam syarie, Perkahwinan, PERSATUAN GUAMAN SYARIAH MALAYSIA, PERSATUAN PEGUAM MUSLIM SABAH (AMAL), PERSATUAN PEGUAM WANITA MUSLIM SABAH (SALWA), SEMINAR, UNDANG-UNDANG. Bookmark the permalink. Tinggalkan komen.

Tinggalkan komen