Arkib Blog
JIKA SUDAH TERLAFAZ CERAI, CEPAT-CEPATLAH KE MAHKAMAH
JIKA SUDAH TERLAFAZ CERAI, CEPAT-CEPATLAH KE MAHKAMAH
3 Febuari 2015
Soalan
Assalamualaikum. Saya ingin bertanya. Adik ipar saya telah melafazkan cerai talak satu kepada isterinya di hadapan kedua pakcik dan makcik si isteri. Tetapi dalam masa kurang sebulan, adik ipar saya dan isterinya telah kembali semula dan bersekedudukan bersama. Di sini, saya ingin tahu:
(1) Adakah mereka harus memfailkan penceraian mereka di pejabat agama?
(2) Haruskah mereka melalui proses penceraian sebelum mereka rujuk semula?
(3) Apa hukum jika sudah melafazkan cerai tanpa memfailkan dan bersekedudukan??Sila balas pertanyaan saya kerana saya ingin tahu. Terima kasih
Jawapan
Walaikumussalam wbt. Dalam keadaan di atas, apabila ternyata si adik ipar telah melafazkan cerai ke atas isterinya, tindakan segera yang perlu dilakukan adalah menfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai luar mahkamah di Mahkamah Syariah di mana pasangan tersebut bermastautin atau tinggal. Terus sahaja ke Mahkamah Syariah. Elakkan dari menangguh-nangguh perkara ini. Penangguhan yang berterusan akan hanya menambahkan rasa resah, bimbang dan tidak senang pada hati bukan saja pada pasangan ini malah pada keluarga kedua pihak yang terlibat.
Lafaz tersebut perlu diteliti oleh Mahkamah samada ianya telah menggugurkan talaq atau tidak. Ini kerana, lafaz talaq itu sendiri ada yang disebut sebagai lafaz soreh atau lafaz yang terang, nyata yang mana seseorang yang melafazkannya dalam keadaan biasa akan menggugurkan talaq. Ia tak memerlukan niat menceraikannya. Contohnya “aku ceraikan kau” atau “aku talaqkan kau” atau “kau tertalaq”.
Ada lagi lafaz yang dikategorikan sebagai lafaz kinayah yang memerlukan niat menceraikan baharulah lafaz tersebut dikira sebagai sabit perceraian atau gugur talaq. Contohnya suami mengatakan kepada isterinya “kau kembalilah kepada ibubapa engkau dan jangan lagi kau balik ke sini”. Dalam hal ini, sekiranya suami berniat menceraikan isteri saat melafazkan kata-kata itu, maka ia dikira menggugurkan talaq. Sebaliknya, jika suami sekadar menakutkan atau memberi amaran kepada isteri, maka tidaklah gugur talaq.
Justeru, dalam situasi yang dihadapi oleh adik ipar tersebut, sebaiknya bersegeralah ke Mahkamah Syariah dan failkan permohonan pengesahan lafaz cerai luar Mahkamah. Jika benar telah bercerai, mahkamah akan menentukan pula berapa bilangan atau jumlah talaq yang gugur. Hanya mahkamah syariah saja yang boleh memutuskan perkara ini menurut undang-undang keluarga Islam yang berkuatkuasa di negeri-negeri. Seksyen 56 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam jelas menyebutkan bahawa Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk hanya boleh mendaftarkan suatu perceraian itu apabila telah berpuashati bahawa Mahkamah Syariah telah membuat pengesahan mengenai perceraian itu.
Soal mereka telah rujuk, kembali atau bersekedudukan semula sebagai suami isteri, hal tersebut tidak harus berlaku begitu saja tanpa mendapat kepastian mengenai kedudukan status mereka semada sudah bercerai atau tidak. Jika mereka benar-benar nak bersatu semula, ikutilah undang-undang yang ada. Undang-undang itu bukanlah menyusahkan tetapi ia adalah memudahkan urusan manusia. Ia mengelak dari berlakunya perkara-perkara yang bertentangan dengan syarak. Segerakan dan jangan bertangguh lagi.
Tindakan menyegerakan untuk membuat laporan (permohonan) ke mahkamah mengenai lafaz cerai yang dilakukan di luar mahkamah tanpa kebenaran mahkamah adalah kehendak undang-undang. Seksyen 57 Enakmen Undang_undang Keluarga Islam menegaskan bahawa laporan (permohonan pengesahan lafaz cerai luar mahkamah) hendaklah dibuat kepada Mahkamah Syariah dalam tempoh 7 hari dari lafaz cerai tersebut berlaku. Ini bermakna, bila mana lafaz cerai sudah dibuat oleh suami, maka pasangan tersebut mestilah melaporkan hal tersebut dalam tempoh 7 hari dari tarikh lafaz.
Dalam perkara sepenting ini, Arahan Amalan sudah dikeluarkan kepada seluruh Mahkamah Syariah di negeri-negeri bahawa keutamaan untuk mendengar terus permohonan yang ada persetujuan bagi kes pengesahan lafaz cerai perlu diberi termasuk mendengar pada hari yang sama kes berkenaan jika ada ruang mahkamah berbuat demikian. Erakita berpendapat bahawa penjelasan dari artikel dalam ruangan ini serta jawapan di atas memadai sebagai jawapan kepada soalan yang ketiga.
Demikianlah jawapan erakita dalam situasi di atas. Semoga ada manfaatnya. Jangan tunggu lagi. Bersegeralah ke Mahkamah Syariah dan failkan permohonan pengesahan lafaz cerai luar mahkamah tersebut. Mohonlah kepada Pendaftar Mahkamah supaya kes berkenaan dapat disegerakan pendegarannya atas sebab nak rujuk.
Wallahu a’lam.
5 TAHUN BERSABAR UNTUK BERPOLIGAMI
5 TAHUN BERSABAR UNTUK BERPOLIGAMI
9 Mei 2014
Soalan
Assalamualaikum.
Saya ingin mengetahui adakah mungkin bagi seseorang suami mendapatkan kebenaran berpoligami dari mahkamah tanpa perlunya kehadiran isteri pertama? Dalam erti kata lain tanpa pengetahuan isteri pertama. Kes yang berlaku pada saya adalah saya berhajat melangsungkan perkahwinan dalam tempoh sebulan dengan bakal isteri kedua saya. Mungkin pihak luar akan berfikiran bahawa saya berniat untuk menipu isteri pertama saya. Ini tidak benar.
Setelah melayari rumah tangga selama 18 tahun, saya bersabar dengan segala dugaan yang telah diberikanNya. Terlalu melayani isteri sehingga isteri berani ambil kesempatan pada kelemahan saya. Hanya dengan alasan tidak ingin bergaduh, saya menuruti segala permintaaan isteri sehingga terjadinya queen control. Bertahun-tahun makan hati, dituduh suami dayus tapi demi menjaga hubungan dan anak-anak, saya mengalah agar kemarahan isteri tidak dilepaskan pada anak-anak. Pernah saya cuba bertegas tapi keadaan menjadi makin keruh sehingga pernah diminta saya melepaskannya. Isteri saya terlalu emotional. Bukannya tidak pernah diajak berbincang tetapi semua yang keluar darinya adalah pemikiran negatif. Bagaimana boleh kami mencapai kata sepakat?
Saya mengenali bakal isteri lebih kurang 5 tahun sebelum saya membuat keputusan untuk mengambilnya sebagai isteri yang sah. Status saya tidak dimaklumkan oleh beliau kepada keluarga bagi mengelakkan hal menjadi rumit. Namun dalam tempoh sebulan kami agak buntu mencari cara penyelesaian. Memikirkan tindakan yang tidak wajar yang bakal dilakukan oleh isteri saya, maka saya ingin memohon kebenaran dari mahkamah agar membenarkan saya untuk berkahwin dengan bakal isteri saya secara sah dan mengikut perundangan. Setelah memikirkan apa yang bakal terjadi kepada anak-anak (anak kandung berumaur 17 tahun dan 2 anak angkat berumur 7 dan 8 tahun) sekiranya saya bersalah melanggar undang-undang berpoligami tanpa kebenaran mahkamah, setelah berbincang kami bersetuju untuk bernikah dahulu tanpa majlis kerana masih banyak perkara yang kami perlu selesaikan.
Kami akan berterus terang selepas akad nikah nanti dan bersedia dengan segalanya kerana tahu beliau akan meninggalkan anak-anak kepada kami. Itulah ayat yang selalu dikeluarkannya bila dia marahkan saya. Saya dan bakal isteri menunggu hingga tempoh 5 tahun bagi memastikan anak saya satu-satunya menduduki peperiksaan SPM tanpa sebarang masalah melibatkan ibubapa. Kami masih memikirkan orang sekeliling dan bukannya mementingkan diri. Setelah 5 tahun, sewajarnya kami bernikah secara sah bagi mengelakkan maksiat dan menjatuhkan maruah keluarga bakal isteri. Saya selalu berkata pada diri sendiri, salah saya agaknya kerana terlalu manjakan isteri sehingga tidak pernah menunaikan solat walaupun setelah disuruh malah selalu melawan cakap suami dan meninggikan suara kepada suami adalah perkara biasa. Adakah salah saya sekiranya berlaku penceraian setelah 18 tahun saya bertahan?
Jawapan
Wa’alaykumussalam wbt.
Dalam kes saudara, jalan terbaik adalah membuat permohonan untuk kebenaran berkahwin berpoligami di Mahkamah Syariah. Bagaimanapun, undang-undang yang sedang berkuatkuasa pada ketika ini menghendaki agar isteri, bakal isteri dan wali kepada bakal isteri turut dipanggil ke Mahkamah semasa permohonan bagi kebenaran berpoligami didengar di Mahkamah. Seksyen 23(5) dan (6) Enakmen Undang-Undang keluarga Islam 2004 jelas menyatakan mengenai keperluan kehadiran isteri termasuk pihak-pihak yang disebutkan di atas. Soal isteri nak hadir atau tidak di Mahkamah setelah notis panggilan kehadiran ke mahkamah telah diserahkan kepadanya tidak lagi menjadi halangan bagi kes tersebut diteruskan. Bahkan Mahkamah boleh membuat keputusan samada membenarkan si suami berpoligami atau sebaliknya walaupun tanpa kehadiran isteri. Yang penting penyerahan notis permohonan yang menghendaki kehadiran isteri ke mahkamah telah benar-benar diserahkan kepadanya dalam tempoh yang dibenarkan oleh undang-undang. Menurut undang-undang sebagaimana dinyatakan dalam seksyen 45(2) Enakmen Tatacara Mal Syariah 2004, penyerahan notis kehadiran hendaklah tidak kurang dari 2 hari sebelum tarikh pendengaran kes berkenaan.
Beranikan diri saudara jika benar saudara serius dalam hubungan dengan bakal isteri. 5 tahun adalah tempoh yang lama dalam suatu hubungan cinta antara lelaki dan wanita. Dalam sebuah rumahtangga, suami adalah ketua keluarga. Saudara tidak perlu takut kepada isteri untuk menyatakan hasrat berpoligami jika saudara telah nekad untuk bernikah lagi. Jika isteri marah atau menentang, hal tersebut sebenarnya satu sunnatullah. Ia sememangnya sifat semulajadi yang ada pada seorang wanita. Dalam masa yang sama, saudara perlu ingat bahawa di sisi Allah, isteri wajib taat kepada suami selagi suami menyuruh perkara yang tidak bertentangan dengan syariat Allah. Isteri sepatutnya takut jika ia berlaku engkar perintah suami kerana dosanya besar di sisi Allah. Jangan sampai isteri yang control suami. Suami yang sepatutnya jaga dan kawal isteri dengan cara yang maaruf. Jika disuruh solatpun isteri engkar, itu satu perbuatan yang terang-terangan engkar perintah suami. Ia boleh jatuh kepada nusyuz. Bagaimanapun, untuk bercerai, ada baiknya saudara fikirkan dahulu hal ini semasak-masaknya. Elakkan dari mengambil jalan singkat. Usaha dan ikthiar pada tahap maksima perlu diambil untuk mempertahankan rumahtangga yang ada. Bagaimanapun, andaikata usaha itu tidak mendatangkan hasil, maka saudara bolehlah bertindak untuk menfailkan permohonan perceraian di mahkamah syariah.
Bagi tujuan mempertahankan rumahtangga yang sedia ada, isteri saudara perlu dibawa dekat kepada agama. Usaha perlu dilakukan menurut pelbagai kaedah dan cara. Boleh jadi tindakan saudara membuat permohonan untuk berpoligami akan menyedarkan isteri akan tindakan dan perbuatannya selama ini. Tidak mustahil isteri akan menilai semula apa yang telah ia lakukan ke atas suami selama 18 tahun hidup bersama. Dalam situasi saudara, doa kepada Allah amat penting dan sangat diperlukan. Sentiasalah berdoa kepada Allah agar rumahtangga kalian diberikan kebahagiaan, ketenangan dan kedamaian. Berdoalah kepada Allah agar dimudahkan segala urusan dalam rumahtangga. Berdoalah agar saudara dan isteri saudara diberikan hati yang dekat kepada Allah, agar segala kekalutan dan keserabutan dalam rumahtangga dapat dileraikan. Mohon doa kepada Allah agar segala kesempitan, kepanasan dan amarah dalam rumahtangga dapat dijauhkan.
Perceraian adalah jalan terakhir setelah segala usaha memperbaiki atau memulihkan telah dilaksanakan. Jika perceraian terpaksa ditempuh, pastikan ia dilakukan di mahkamah syariah, bukannya di kereta atau di rumah atau di pejabat atau di jalan raya. Menceraikan isteri tanpa kebenaran mahkamah adalah satu kesalahan. Ia akan menyusahkan saudara dan keluarga. Jika benar nak berkahwin lagi, tak perlu disembunyikan lagi. Kita harus melihat jangka masa panjang, bukan hanya pada hari ini. Berkahwin tanpa kebenaran juga adalah satu kesalahan. Oleh itu, berterus terang adalah jalan terbaik. Ia menepati syarak dan undang-undang. Hadapilah isteri di mahkamah nanti apabila dipanggil untuk memberikan keterangan. Jangan takut jika kita berada di pihak yang benar. Persoalan samada saudara berjaya mendapat kebenaran berpoligami dari mahkamah atau tidak, itu perkara yang kedua. Terserahlah kepada mahkamah hal itu setelah menimbang segala alasan, kemampuan saudara dan faktor-faktor lain yang berkaitan dengan permohonan saudara. Jika ditakdirkan permohonan saudara tidak diluluskan, saudara masih boleh mendapatkan keadilan dengan mengemukakan rayuan ke mahkamah yang lebih tinggi iaitu Mahkamah Rayuan Syariah.
Perlu juga ditegaskan bahawa tidak ada tempoh tertentu yang ditetapkan oleh undang-undang bertulis yang menghendaki mahkamah membuat keputusan dalam permohonan bagi mendapatkan kebenaran berpoligami. Erakita menasihatkan saudara agar tidak terus menetapkan tarikh pernikahan saudara dengan bakal isteri lebih-lebih lagi dalam tempoh sebulan. Perlu diingatkan bahawa mahkamah memang mempunyai piagam pelanggannya sendiri di mana setiap kes mesti ditetapkan untuk sebutan atau pendengaran pertamanya dalam tempoh 21 hari dari tarikh pendaftaran. Soal jangkamasa penyelesaian kes, hal tersebut adalah subjektif kerana terdapat pelbagai faktor yang boleh menyebabkan kes berkenaan boleh tertangguh. Antaranya, notis kehadiran ke mahkamah belum berjaya diserahkan kepada isteri. Selain itu, bantahan dari pihak isteri juga boleh menyebabkan kes tersebut menggambil sedikit masa untuk penyelesaian kerana mahkamah juga perlu member ruang masa kepada isteri untuk mengemukakan bantahan termasuk hujah bertulis kepada mahkamah. Justeru, saudara perlu bersabar dahulu untuk tidak menetapkan tarikh pernikahan saudara dengan bakal isteri bagi mengelak risiko yang tidak dijangka.
Semoga ada manfaatnya pandangan ini.
Wallahu a’lam dan terimakasih. Wassalam
TIADA PERKAHWINAN DI MAHKAMAH SYARIAH
TIADA PERKAHWINAN DI MAHKAMAH SYARIAH
19 Jun 2013
Persepsi kebanyakan masyarakat terhadap Mahkamah Syariah mengenai perkahwinan orang Islam perlu diperbetulkan. Laporan di media massa seperti akhbar dan television masih menggambarkan bahawa Mahkamah Syariah adalah tempat di mana perkahwinan dilaksanakan. Perlu dimaklumi bahawa selain berfungsi mendengar dan memutuskan kes perceraian, Mahkamah Syariah juga berfungsi untuk mendengar dan memutuskan permohonan untuk mendapatkan kebenaran berkahwin bagi pasangan orang Islam dalam kes-kes tertentu seperti pasangan yang masih di bawah umur, poligami, janda berhias (janda yang tidak pernah disetubuhi suami sepanjang tempoh perkahwinan terdahulu) dan berwali hakim. Fungsi dan kuasa ini termaktub dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam, 2004.
Berkenaan isu samada akad nikah perkahwinan dijalankan atau dilangsungkan di Mahkamah Syariah, perkara itu tidak timbul sama sekali. Perlu ditegaskan bahawa Mahkamah Syariah hanya mengeluarkan perintah kelulusan kebenaran berkahwin bagi kes-kes yang disebutkan di atas setelah diputuskan sedemikian oleh Hakim Syarie. Mengenai akad nikah pula, terserahlah kepada pasangan berkenaan untuk menjalankannya di mana-mana tempat samada di Pejabat Pendaftar Perkahwinan di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam atau tempat lain seperti masjid atau rumah pasangan.
Justeru, tanggapan atau persepsi masyarakat bahawa Mahkamah Syariah menjalankan akad nikah atau perkahwinan adalah tidak tepat. Perkara ini perlu difahami bagi mengelak sebarang kekeliruan dan tohmahan awam kepada Mahkamah Syariah khususnya dalam menangani kes-kes sensatif dan kontrovesi seperti perkahwinan gadis bawah umur yang dikaitkan dengan kes rogol di Sabah sejak beberapa minggu yang lepas.