Category Archives: SEMINAR

SEMINAR KEBANGSAAN TRANSFORMASI PENGURUSAN HARTA PUSAKA 2016

USIM – ┬áSeminar Kebangsaan Transformasi Harta Pusaka Kebangsaan telah diadakan di Universiti Islam Sains Malaysia (USIM) pada 22 September 2016 bersamaan 20 Zulhijjah 1437. Seminar sehari berkenaan yang dihadiri lebih kurang 1000 peserta dari dalam dan luar negara adalah anjuran Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dengan kerjasama USIM.

Seminar ini telah dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Datuk Seri Jamil Khir bin Baharom bagi mewakili Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi. Dalam majlis yang sama beliau turut melancarkan Projek Pembangunan Perisian Sistem e-Faraid.

Turut hadir adalah Yang Berhormat Senator Dato’ Dr Asyraf Wajdi bin Datuk Dusuki, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ketua Hakim Syarie yang juga Ketua Pengarah JKSM, Yang Amat Arif Tan Sri Dr Hj Ibrahim bin Lembut dan Dato’ Prof Dr. Musa Ahmad, Naib Canselor, USIM.

Peserta yang hadir terdiri dari pelbagai latar belakang . Selain Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan Syariah JKSM, Ketua-Ketua Hakim Syarie Negeri-Negeri, Hakim-Hakim Syarie, Mufti, pegawai kanan dari Jabatan Peguam Negara, pegawai-pegawai agama, peguam, pakar-pakar kewangan Islam, pensyarah-pensyarah dari universiti awam dan swasta serta orang awam juga turut hadir dalam seminar tersebut.

Beberapa kertas kerja dibentangkan oleh tokoh-tokoh perundangan Islam di negara ini. Pada sesi pagi, ucap tama telah disampaikan oleh Ketua Hakim Syarie JKSM, YAA Tan Sri Dr Hj Ibrahim bin Lembut dengan tajuk “Pengurusan Kes Harta Pusaka: Transformasi Alaf Madani”.

Dalam ucap tamanya, YAA Tan Sri Dr Ibrahim Lembut memaklumkan bahawa E-Faraid merupakan pembangunan sistem pengurusan faraid berasaskan web yang akan digunakan oleh Mahkamah Syariah di seluruh negara dan juga orang awam. E-Faraid juga merupakan aplikasi online seumpama ini yang pertama kali diwujudkan di dunia. Projek ini terdiri dari 2 modul iaitu E-Faraid dan dan K-Faraid.

E-Faraid adalah sistem pengurusan kes faraid yang dikendalikan di mahkamah syariah bermula dari pendaftaran kes sehingga perintah dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah yang digunakan oleh mahkamah syariah Malaysia. K-Faraid pula merupakan pembelajaran disiplin ilmu faraid meliputi kefahaman hukum syarak melibatkan faraid serta komponen pembelajaran secara interaktif kepada orang awam.

Kertas kerja pertama dibentangkan oleh Yang Arif Tuan Ahmad bin Lakim, Hakim Litar Mahkamah Tinggi Syariah Melaka, juga merangkap Pengarah Bahagian latihan JKSM bertajuk “Pengurusan dan Bidang Kuasa Kes Harta Pusaka Mahkamah Syariah di Malaysia: Cabaran dan Transformasi”.

Pada sesi petang pula, kertas kerja kedua telah dibentangkan oleh Dr Mushaddad Hasbullah, Pensyarah FSU, USIM bertajuk “Implikasi Harta Pusaka Dalam Konteks Hukum dan Nasab”. Kertas kerja ketiga pula dibentangkan oleh Tuan Hj Suhaime bin Mahbar, Pengarah Penyelidikan Perancangan dan Dasar, JPA dengan tajuk “Transformasi Pengurusan Pembahagian Harta Pusaka di Malaysia: Isu-Isu dan Penyelesaian”.

20160922_141006

20160922_123140

 

20160922_112444

20160922_112306

20160922_112337

20160922_123418

20160922_165955

20160922_172454