HUKUMAN MENCERAIKAN ISTERI TANPA KEBENARAN MAHKAMAH

HUKUMAN MENCERAIKAN ISTERI TANPA KEBENARAN MAHKAMAH

31 MAC 2015

Erakita sering kali menerima pertanyaan mengenai bentuk dan kadar hukuman atau penalti di sisi undang-undang di Malaysia ke atas suami yang menceraikan isteri tanpa kebenaran mahkamah. Ini menunjukkan betapa masyarakat khususnya orang-orang Islam semakin mengambi perhatian mengenai perkembangan undang-undang Islam di negara ini. Suasana ini dilihat amat positif ke arah mencelikkan masyarakat kepada ilmu khususnya hal-hal kekeluargaan.

Berhubung penalti kerana menceraikan isteri tanpa kebenaran mahkamah, perlu difahami bahawa penalti hanya dikenakan kepada pesalah jenayah sebagai salah satu bentuk hukuman ke atas pesalah yang telah disabitkan bersalah kerana melanggar undang-undang. Bagi sesiapa yang didapati menceraikan isterinya tanpa mendapat kebenaran terlebih dahulu dari Mahkamah Syariah, seseorang itu boleh didakwa dan jika disabitkan bersalah, boleh dihukum dengan denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih 6 bulan atau kedua-duanya sekali. Perkara ini disebutkan dalam seksyen 125 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004. Ini bermakna, bukan penalti dengan membayar denda sahaja bentuk hukuman yang boleh dikenakan kepada pesalah, tetapi juga meliputi hukuman penjara jika itu yang dirasakan menasabah dan wajar oleh mahkamah.

Walaupun kadar hukuman di Mahkamah Syariah masih jauh rendah berbanding Mahkamah Sivil, namun, kesan pensabitkan bagi kesalahan ini tetap sama. Pesalah akan selamanya berstatus “penjenayah” dalam konteks undang-undang. Jika demikian kesannya, bersabarlah banyak-banyak wahai para suami. Jangan sama sekali melafazkan talaq itu di luar mahkamah walau diasak dan didesak oleh isteri. Kalau perceraian itu pilihan terakhir, datanglah ke Mahkamah Syariah dan failkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran menceraikan isteri. Itulah yang sebaik-baik cara bagi mengelak dari menerima kesan yang tidak baik pada masa hadapan.

Semoga maklumat ini memberi manfaat kepada kita semua.

About ERAKITA

TERUSKAN LANGKAH USAH BERHENTI

Posted on 31 Mac 2015, in AGAMA, KELUARGA, Uncategorized, UNDANG-UNDANG. Bookmark the permalink. Tinggalkan komen.

Tinggalkan komen