Category Archives: PETUA

BUKU RUJUKAN POLIGAMI

dav

 

BUKU RUJUKAN POLIGAMI

Amalan berpoligami merupakan satu daripada syariat yang dinyatakan oleh Allah s.w.t kepada orang Islam dalam al Quran. Pensyariatannya disebutkan secara khusus dalam surah al Nisaa : 3 yang berbunyi:

“Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenaan dari perempuan-perempuan (lain); dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka berkahwinlah dengan seorang sahaja atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman”.

Berdasarkan kepada ayat di atas, keharusan kepada amalan berpoligami atau berkahwin melebihi dari seorang isteri memerlukan kita untuk melihat dan mengambil kira satu perkara penting iaitu keadilan. Ternyata bahawa keadilan seorang suami amat ditekankan oleh Allah dalam institusi poligami.

Apabila Allah meletakkan keadilan sebagai satu keutamaan dalam berpoligami, sudah tentulah ini merupakan satu perkara yang sangat perlu untuk diberi perhatian oleh seorang suami sebelum berpoligami. Allah menyebutkan bahawa sekiranya seorang suami itu takut atau bimbang tidak dapat berlaku adil kepada isteri-isterinya jika berpoligami, maka suami berkenaan hendaklah berkahwin satu sahaja. Tanpa keadilan seorang suami, pastilah akan berlaku perkara yang mudarat dan merugikan pihak-pihak dalam rumahtangga berkenaan.

Melihat kepada perkara ini, tidak syak lagi betapa perlunya umat Islam ini menambah dan mendalami ilmu pengetahuan mengenai perkahwinan dalam pelbagai aspek termasuklah perihal amalan berpoligami. Seni berpoligami dan bagaimana keadilan itu dapat dicapai dalam institusi poligami hanya dapat ketahui dengan mengikuti pengajian, kursus, berkongsi pengalaman dari para suami yang mengamalkan poligami serta menambahkan bahan bacaan berkaitan poligami.

Kes-kes di Mahkamah Syariah yang telahpun diputuskan berhubung poligami dan dilaporkan dalam Jurnal Hukum yang diterbitkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) merupakan rujukan yang penting kepada masyarakat umum. Laporan berkenaan juga tentunya amat bermanfaat kepada orang-orang yang terlibat secara langsung dalam dunia perundangan Islam seperti para hakim syarie, pegawai-pegawai syariah dan para peguam syarie.

Para pengkaji khususnya dari kalangan sarjana dari institusi pengajian tinggi seperti pensyarah dan juga para pelajar merupakan antara kumpulan dalam masyarakat yang memerlukan bahan literasi bagi menyempurna dan melengkapkan kajian akademik mereka.

Melihat kepada peri pentingnya ilmu pengetahuan mengenai institusi poligami, erakita merasakan bahawa bahan rujukan seperti buku-buku berkaitan poligami perlulah dikongsikan kepada masyarakat umum. Berdasarkan pemerhatian umum, buku berkaitan poligami agak sukar untuk ditemui dalam mana-mana perpustakaan di Malaysia dalam bilangan yang mencukupi dalam satu-satu masa. Pengaji terpaksa mendapatkan bahan literatur mengenainya dalam pelbagai tempat. Menyedari hakikat ini, erakita memulakan usaha sejak awal tahun 2000 untuk mengumpul sebanyak mungkin bahan literatur mengenai poligami yang ditulis dan diterbitkan samada di Malaysia, Indonesia dan Selatan Thailand.

Setakat tulisan ini dikemaskini pada 28 Ogos 2021, terdapat 28 buah buku berkaitan poligami yang telah ditemui dan dikumpulkan oleh erakita dari pelbagai kedai menjual buku di merata tempat di Malaysia. Beberapa buah buku khususnya yang ditulis dan diterbitkan di Indonesia diperolehi melalui pembelian melalui Shoppe dalam talian (online).

Berikut adalah senarai buku berkenaan:

  1. Abdul Wahid Baharon (1992), Poligami Menurut Pandangan Islam“, Kuala Lumpur: SABHA-DTP SERVICES SDN BHD (91 halaman).
  2. Abdurrahman Al-Mukaffi (2016), “55 Alasan Isteri Menolak Poligami”, Jakarta: PT Darul Falah (Penerbit Buku Islam Kaffah) (258 halaman).
  3. Abu Fadhil Zakaria (2014), “Poligami Cara Rasulullah”, Selangor: Pustaka Ilmuan (112 halaman).
  4. Abuya Adil Akhyar (2010), “Poligami Tidak Sunnah”  Jakarta: Studia Press (184 halaman).
  5. Adil Akhyar (2014), “Sunnah Poligami: Generasi Awal Islam”, Johor bahru, Johor: Pustaka Azhar (231 halaman).
  6. Ahmad Zawawi Abdullah (2016), “Barakah Kahwin dengan 4 Isteri”, Selangor: Pustaka Ilmuan (162 halaman).
  7. Amran Kasimin (1989), “Salah Guna Poligami: Wanita Menjadi mangsa”, Selangor: Pustaka Al-Mizan (104 halaman).
  8. Anis Rejab (2020), “Aku, Dia & Suami: Mencipta Mawaddah Warahmah Dalam Keluarga Poligami“, Negeri Sembilan: Ultimate Wealthiness (151 halaman).
  9. Fatimah Syarha dan Farhan Hadi (2015), “Kau Terbela Menjadi Muslimah: Cik Abang Sudi Nikah Satu?”, Selangor: Sebarkan Bahagian Resources (199 halaman).
  10. Fauzan Al-Ansari (2007), “Poligami Yes! Selingkuh No!“, Jakarta Timur: Hanif Press (102 halaman).
  11. Hafiz Firdaus bin Abdullah (2014), Cetakan Kedua, “202 Pelajaran Berkenaan Poligami”, Johor Bahru, Johor: Perniagaan Jahabersa (275 halaman).
  12. Hafiz Firdaus bin Abdullah (2014), “Sebarkan Kebenaran-Mu: Catatan-catatan ke atas Novel Sebarkan Cinta-Mu”, Johor Bahru, Johor: Perniagaan Jahabersa (560 halaman).
  13. Hisham Namat (2019), “Isteri-Isteri ku Bercinta“, Selangor: Pertubuhan Poligami Harmoni Malaysia – Harmoni (229 halaman).
  14. Ibrahim Sya’wat dan Abdullah Nasih Ulwan (terjemahan Basri bin Ibrahim) (2004), “Tuduhan Tidak Berasas Terhadap Perkahwinan dan Poligami Rasulullah SAW dan jawapan Terhadapannya”, Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publisher (143 halaman).
  15. Iffah Qanita Nailiya (2016), “Poligami, Berkah Ataukah Musibah?“, Yogyakarya: DIVA Press (148 halaman) .
  16. Imran Yusuf (2007), “Di Bawah Payung Aishah: Tip-Tip Poligami”, Selangor: PTS Islamika dan PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd (150 halaman).
  17. Isham Muhammad al-Sharif dan Muhammad Musfir al-Thawil (tanpa tahun), “Poligami Kebenaran Bersyarat”, Kuala Lumpur: S.A.Majeed & Co Sdn. Bhd (196 halaman).
  18. Jamaah Pengarang Maahad al Idrisi (Tanpa Penulis – versi jawi), (1424H), “Manisnya Madu Poligami“, Pattani: Saudara Press Pattani (72 halaman).
  19. Jenna Hashim (tanpa tahun), “Aku yang Bermadu: Sebuah Kisah Benar Tentang Pahit Manisnya Berpoligami”, Kuala Lumpur: A To Z Publisher (169 halaman).
  20. Khozin Abu Faqih (2007), Cetakan Kedua, “Poligami: Solusi atau Masalah”, Jakarta Timur: Al-I’tishom Cahaya Umat (162 halaman).
  21. Karim Hilmi Farhat Ahmad (terjamahan Juhan Che Yaman) (2008), ”Poligami: Kesenangan atau Kesengsaraan”, Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publication (153 halaman).
  22. Mustaffa Suhaimi (2011), “Poligami Seorang Lelaki Untuk Ramai Perempuan: Monogami Seorang Lelaki Untuk Seorang Perempuan”, Kuala Lumpur: ProgressivePublishing House Sdn. Bhd (170 halaman).
  23. Nor Atiqah Ghazali (1996), “Poligami yang Disalahertikan”, Johor Bahru, Johor: Perniagaan Jahabersa (154 halaman).
  24. Rosnaaini Hamid & Suhanim Abdullah (2019), “Merisik Fakta Poligami“, Sintok Kedah: UUM Press (209 halaman).
  25. (Tanpa Penulis) (2002), “Rahsia Poligami Bahagia”, Selangor: Dowan Creative (M) Sdn. Bhd (80 halaman).
  26. Umi Ahamad (2019), “Panduan Praktikal Piligami Dalam Islam”, Selangor: Risalah Harmono Sdn. Bhd (133 halaman).
  27. Zaini Nasohah (2006), Ulang Cetak, “Poligami”, Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd (86 halaman).
  28. Zaleha Muhamat (2002), “Analisis Poligami Menurut Perspektif Islam”, Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd (132 halaman).

Tidak dinafikan bahawa masih terdapat lagi bahan-bahan rujukan mengenai poligami yang tidak tersenarai sebagaimana di atas. Usaha pengumpulan buku-buku tersebut masih dilakukan secara berterusan mengikut kelapangan dan kesempatan.

Tentunya, buku-buku yang ditulis di negara jiran kita, Indonesia mengenai poligami tidak kurang banyaknya. Demikian juga buku-buku yang ditulis dalam bahasa arab yang diterbitkan di negara-negara Timur Tengah tentunya lebih banyak dari tulisan yang dibuat di negara ini. Terdapat juga kes-kes duluan yang telah dibicara dan diputuskan oleh Mahkamah Syariah di Malaysia yang dilaporkan dalam jurnal perundangan seperti Jurnal Hukum terbitan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).

Semoga Allah memberi kekuatan dan kesempatan kepada erakita untuk mengumpulkan bahan-bahan ini untuk dikongsikan bersama kepada masyarakat umum. Buku-buku ini bermanfaat sebagai bahan rujukan untuk apa-apa kajian yang dilakukan berhubung poligami oleh pelbagai lapisan masyarakat dan khususnya di pusat-pusat pengajian tinggi. 

btr

btr

btr

rbt

btr

btr

btr

btr

IMG_20190208_215552.jpg

wp-1594720342899.jpg

wp-1595586112294.jpg

KAEDAH TERMUDAH MENCARI MUKA SURAT PERTAMA SETIAP JUZUK DALAM AL QURAN

TAWAU – 10 Jun 2018 (25 Ramadhan 1439). Alhamdulillah. Segala puji-pujian hanya untuk Allah s.w.t. Erakita telah mendapat satu mesej dari aplikasi whatapps dari seorang hamba Allah pagi ini yang cukup menguja dan menggembirakan. Tajuk mesej itu adalah “Cara mudah mencari muka surat dalam al Quran..!!!”. Setelah membaca dan mempraktikkannya dengan berulang-ulang kali, ternyata kaedah mencari muka surat halaman dalam al Quran itu cukup mudah dan cepat. Kaedah ini dikhususkan untuk mencari muka surat pada permulaan halaman setiap juzuk al Quran sebanyak 30 juzuk sahaja.

Kaedah ini sangat menakjubkan. Ia menggunakan formula matematik yang cukup ringkas.

 

CONTOH PERTAMA

Jika anda ingin mengetahui Juzuk 2 berada di halaman ke berapa, ikuti langkah ini:

2 perlu ditolakkan dengan 1 seperti begini: 2 – 1 = 1.

1 perlu didarab dengan 2 seperti begini: 1 x 2 = 2

Letakkan no 2 selepas angka pada jawapan seperti begini: 2 dan 2 = 22

Jadi, halaman pertama pada juzuk 2 adalah 22.

Anda tidak percaya? Anda cuba dan cuba. Ulang dan ulang. Pasti anda menemui keajaiban. Mudah bukan?

 

CONTOH KEDUA

Jika anda ingin mengetahui Juzuk 19 berada di halaman ke berapa, ikuti langkah ini:

19 perlu ditolakkan dengan 1 seperti begini: 19 – 1 = 18.

18 perlu didarab dengan 2 seperti begini: 18 x 2 = 36

Letakkan no 2 selepas angka pada jawapan seperti begini: 36 dan 2 = 362

Jadi, halaman pertama pada juzuk 19 adalah 362.

Anda tidak percaya? Anda cuba dan cuba. Ulang dan ulang. Pasti anda menemui keajaiban. Mudah bukan? 

 

CONTOH KETIGA

Jika anda ingin mengetahui Juzuk 28 berada di halaman ke berapa, ikuti langkah ini:

28 perlu ditolakkan dengan 1 seperti begini: 28 – 1 = 27.

27 perlu didarab dengan 2 seperti begini: 27 x 2 = 54

Letakkan no 2 selepas angka pada jawapan seperti begini: 54 dan 2 = 542

Jadi, halaman pertama pada juzuk 28 adalah 542.

Anda tidak percaya? Anda cuba dan cuba. Ulang dan ulang. Pasti anda menemui keajaiban. Mudah bukan?

 

SEBARKAN ILMU

Berdasarkan kaedah di atas, ternyata bahawa mencari halaman pertama pada setiap juzuk dalam al quran adalah begitu mudah. Setiap angka terakhir pula adalah angka genap iaitu 2. Walapun tidaklah dapat diketahui dengan mudah halaman pada setiap surah atau ayat dalam al Quran, namun sekurang-kurangnya telah ada kaedah yang cukup mudah dan cepat untuk mengetahui halaman pada permulaan setiap juzuk dalam al Quran itu. Mengetahui permulaan halaman atau muka surat pada setiap juzuk akan memudahkan kita mengetahui nama-nama surah al Quran pada setiap juzuk itu. Apabila kita mendengar seseorang membaca al Quran baik dalam solat atau radio atau TV, kita akan mudah untuk mengetahui kedudukan juzuk dalam al Quran tersebut berdasarkan kepada surah yang sedang dibacakan itu.

Alangkah indahnya al Quran kalam Allah. Ini kata-kata Allah yang wajib dipelajari dan dibaca oleh umat Islam. Semakin dibaca semakin tenang hati dan perasaan. Selepas mengkhatamkan bacaan 30 juzuk, semangat untuk membaca bermula dari halaman pertama, juzuk pertama akan sentiasa bertambah. Tidak akan ada perasaan bosan. Inilah kehebatan al Quran. Siapa membacanya pasti mendapat ketenangan. Pahala berlipat kali ganda yang dijanjikan Allah kepada pembaca al Quran tentunya tidak akan dilepaskan begitu saja oleh orang yang faham dan mencintai al Quran. Rasulullah s.a.w pernah berpesan bahawa al Quran akan menjadi syafaat iaitu penolong kepada para pembacanya di pada hari kiamat kelak.

Sebarkan ilmu ini kepada sesiapa saja di serata alam. Allah pastinya menyediakan pahala yang cukup besar kepada orang yang menyebarkan ilmu lebih-lebih ilmu al Quran. Kepada hamba Allah yang telah mencari dan menemui kaedah ini, kita doakan agar Allah memberi beliau sebesar-besar ganjaran di sisi Allah. Tugas kita adalah menyampaikan apa saja ilmu bermanfaat untuk manusia. Semoga ianya nanti akan menjadi ilmu bermanfaat yang sentiasa berterusan pahalanya untuk kita walaupun kita telah meninggalkan alam ini ribuan tahun.

RAHSIA KEJAYAAN HUKUMAN SEBATAN SYARIAH DI KHALAYAK RAMAI

Perlaksanaan hukuman sebatan syariah baru-baru ini mendapat perhatian luas di media massa. Ini ekoran dari kenyataan yang dibuat dalam oleh salah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri Kelantan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada 8 Mac 2016 yang mencadangkan agar hukuman sebatan syariah di Kelantan akan dilaksanakan di hadapan umum. Cadangan juga dibuat agar tempat hukuman adalah di perkarangan Masjid. Cadangan perlaksanaan hukuman di khalayak ramai itu juga telah merujuk kepada kejayaan Mahkamah Tinggi Syariah Tawau melaksanakan hukuman sebat di hadapan umum dalam Dewan Terbuka Mahkamah Syariah. Perkembangan ini sesungguhnya menarik dan amat positif dalam rangka perkembangan dan penyuburan perlaksanaan undang-undang Islam di negara ini. Sejauh mana hasrat Kerajaan Negeri Kelantan itu tercapai, hanya Allah sahaja yang menentukan dan mengetahuinya. Hasrat yang murni ini sewajarnya disokong dan didokong. Sebagai Muslim pula, menjadi tanggunjawap kita untuk mendoakan kejayaannya.

Di sebalik perkembangan tersebut, terdapat juga pihak yang tidak menyokong usaha tersebut. Malah ada yang terang-terangan menzahirkan tentangan mereka di media massa. Hal seperti ini dilihat boleh mempengaruhi kelancaran dan kejayaan perlaksanaan usaha tersebut untuk tercapai. Usaha pihak-pihak tertentu untuk mendapatkan bantuan dan sokongan daripada pihak yang berpengaruh dan berotoriti bagi menghalang perlaksanaan hukuman di hadapan umum ini tidak boleh diambil mudah. Apa yang berlaku dalam kes Kartika Sari Dewi sebelum ini di Pahang boleh dijadikan sebagai satu tauladan yang bernilai. Dalam kes Kartika itu, kita menyaksikan bagaimana pada akhirnya, hukuman sebatan syariah tersebut tidak diteruskan dan diubah kepada bentuk hukuman alternatif yang lebih ringan. Sebagai ingatan, kes Kartika itu bukanlah melibatkan perlaksanaan hukuman sebatan di khalayak ramai. Ia sepatutnya dilaksanakan di Penjara sahaja. Namun, atas tentangan, bantahan dan pandangan pelbagai pihak, akhirnya hukuman sebatan tersebut digantikan dengan hukuman alternatif yang lebih ringan iaitu hukuman berbentuk khidmat masyarakat pada tahun 2010.

Di Tawau Sabah, keadaan yang berlaku kepada Kartika tidak terjadi. Hukuman sebatan syariah di khalayak ramai telah berjaya dilaksanakan ke atas pesalah lelaki yang disabitkan melakukan persetubuhan haram atau zina. Hukuman tersebut dilaksanakan kali pertama pada 28 Oktober 2014 dan kali kedua pada 9 Oktober 2015. Kedua-dua hukuman itu dilaksanakan di Dewan Terbuka Mahkamah Tinggi Syariah Tawau di khalayak ramai. Pada tahun 2014, seramai lebih kurang 40 orang awam menyaksikannya. Pada tahun 2015 pula, seramai 61 orang menyaksikannya. Sepanjang hukuman dilaksanakan, tidak ada kedengaran halangan mahupun bantahan diterima. Bahkan sehingga tulisan ini dibuat, tidak ada satu laporan akhbarpun yang menyiarkan secara khusus perlaksanaan hukuman itu. Justeru, tidak ada bantahan atau tentangan yang timbul walaupun 2 tahun berturut-turut hukuman seumpama ini dilaksanakan. Menariknya, kejayaan hukuman di khalayak ramai di Tawau itu akhirnya diketahui juga oleh umum. Ia diketahui dari mulut ke mulut orang yang menyaksikannya. Ia kemudiannya disebarkan melalui aplikasi whatapps dan facebook. Turut menyumbang kepada penyebaran maklumat tersebut adalah melalui 2 artikel yang disiarkan dalam blog erakita pada tahun 2014 dan 2015. Untuk mengetahui laporan lengkap mengenai perlaksanaan hukuman tersebut, sila KLIK SEBATAN SYARIAH PERTAMA DI KHALAYAK RAMAI dan  61 HADIR SAKSIKAN HUKUMAN SEBATAN SYARIAH DI TAWAU.

Mengapa perkara yang boleh dikatakan penting dan amat sensatif ini berjaya dilaksanakan di Tawau? Bagaimana hukuman ini berjaya dilaksanakan tanpa tentangan dari mana-mana pihak? Tentunya ada sebab dan alasannya. Apa yang jelas, perlaksanaan hukuman sebatan di Tawau itu dibuat tanpa sebarang hebahan kepada umum. Tiada hebahan di media massa samada akhbar, radio mahupun televisyen. Ianya dilaksanakan tanpa pemakluman kepada umum kecuali di saat-saat akhir sahaja. Pemakluman hanyalah terhad kepada orang-orang yang dijemput secara lisan mahupun melalui aplikasi whatapps. Dengan jemputan secara lisan dan juga whatapps sahaja, sambutan dan kehadiran orang awam ternyata di luar dugaan. Orang-orang yang dijemput menyaksikannya memberi komitmen yang tinggi dengan menghadiri majlis berkenaan tanpa soal. Kehadiran yang cukup memberangsangkan ini menunjukkan bahawa orang ramai mempunyai minat dan keinginan tinggi untuk menyaksikannya. Apatah lagi, hukuman seumpama ini julung-julung kali berlaku.

Apa yang dapat disimpulkan dari kejayaan Mahkamah Syariah Tawau melaksanakan hukuman sebatan syariah di khalayak ramai ialah perlunya ada strategi yang jitu dan berkesan. Elakkan dari menghebahkan kepada umum secara terbuka perlaksanaan hukuman tersebut, apatah lagi kepada golongan media massa. Laksanakan dahulu hukuman tersebut tanpa menghubungi media massa bagi mengelak sebarang ulasan, kritikan dan bangkangan luar jangka dari umum. Paling dielak adalah campurtangan atau penglibatan dari mana-mana pihak yang berpengaruh dan berotoriti yang akhirnya boleh membantut dan menggagalkan hasrat tersebut. Kaedah dan strategi ini amat berkesan. Setelah perlaksanaan hukuman secara terbuka ini berjalan beberapa lama, masyarakat akhirnya akan dapat menerimanya sebagai suatu keperluan dalam kehidupan. Setelah masyarakat terbiasa dan perkara ini menjadi pengetahuan umum, perlaksanaan hukuman secara terbuka akan lebih mudah dijalankan.

Malah, pada ketika itu nanti, hukuman tersebut bolehlah dihebahkan melalui media massa secara meluas samada melalui akhbar, radio ataupun televisyen. Dengan kata lain, melaksanakan hukum Islam yang indah dan universal ini memerlukan strategi yang mantap dan berkesan. Barangkali lebih mudah menggambarkannya dalam bentuk peribahasa yang berbunyi “bagai menghela (menarik) rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berserak”. Semoga perkongsian ilmu ini bermanfaat dalam rangka meletakkan undang-undang Islam di tempat yang tinggi dan dihormati oleh semua lapisan masyarakat yang merentasi sempadan agama, bangsa dan negara.

tips mendapatkan perhatian orang penting

tips mendapatkan perhatian orang penting

02 Disember 2011

ERAKITA tertarik untuk berkongsi kata-kata seorang penulis buku terlaris di dunia, Dale Carnegie bertajuk “BAGAIMANA HENDAK MENDAPAT KAWAN & MEMPENGARUHI SESEORANG” terbitan Wholesale-Mart Business Point Sdn. Bhd  (terjemahan), 2006. Pada halaman 57, beliau berkata:

“Berdasarkan kepada pengalaman peribadi, saya mendapati bahawa kita boleh mendapatkan perhatian, waktu dan kerjasama daripada seseorang yang sangat penting, dengan menunjukkan rasa minat yang ikhlas terhadapnya”.

Tunjukkan minta yang tinggi ketika orang penting itu sedang berbicara dengan kita. Tujukkan rasa prihatin atas apa yang diluah dan hendak dikongsinya. Tujukkan keikhlasan pada diri kita ketika mendengar kata-katanya. Beri tumpuan terhadap kata-katanya. Jadilah pendengar yang hebat terhadap apa yang sedang dituturkannya.

Hanya dalam beberapa ketika melalui tindakan kita itu, inshaa Allah, kita dapat hasil yang hebat. Kaedah ini terbukti berkesan melalui pengalaman peribadi ERAKITA sendiri.

Selamat Mencuba!

 

Cari sebab mengapa anda boleh berjaya

 

Cari sebab mengapa anda boleh berjaya

 

9 Febuari 2011

Fikirkan apakah cara dan alasan-alasan yang boleh digunakan untuk mencapai kejayaan suatu impian dan cita-cita. Nescaya anda akan menemui kejayaan. Sebaliknya, elakkan dari mencari-cari alasan atau punca yang boleh menggagalkan impian dan cita-cita anda. Buangkan jauh-jauh sikap seperti itu kerana itu petanda anda sebenarnya menyerah sebelum berjuang. Kumpullah sebanyak alasan dan sebab yang boleh membawa kepada kejayaan anda. Inshaa Allah, anda akan sentiasa hampir dengan kejayaan sebelum bertindak. Setelah bertindak, anda akan menggengam sebuah kejayaan.

renung-renungkan

Satu hari satu ilmu

 

Satu hari satu ilmu

 

27 September 2010 

Allah mencipta manusia. Allah jadikan manusia secantik-cantik makhluk. Allah kurniakan pula dengan akal untuk menjadikan manusia itu bijak, pintar, menggunakan akal fikiran untuk melakukan perkara-perkara yang terbaik dan diredhai Allah. Dengan akal, manusia dapat menimba dan menambah ilmu. Dalam al-Quran, Allah melontarkan satu pertanyaan yang mudah untuk dijawab manusia. Soalan itu berbunyi ”Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?”. Sudah tentu jawabannya tidak sama. 

Orang yang tahu sudah tentu tidak sama dengan orang yang tidak tahu. Orang yang pandai tidak sama dengan orang yang tak pandai. Orang yang berilmu tidak sama dengan orang yang tak berilmu. Memang jauh bezanya. Akhirnya, dapat disimpulkan bahawa betapa tingginya darjat orang yang berilmu berbanding dengan orang yang tidak berilmu di sisi manusia, lebih-lebih lagi Allah s.w.t. 

Tidak keterlaluan jika perbandingan keduanya umpama antara bulan dan bintang, antara langit dan bumi, antara lautan dan tasik dan berbagai lagi perumpamaan yang sama waktu dengannya. Jika hal ini dapat difahami dan dihayati, mengapa kita tidak mahu menambahkan ilmu? Mengapa hanya diam dan sudah berpuashati dengan sedikit ilmu yang ada? 

Atas sebab itu, mari kita ubah sikap dan keadaan diri kita. Jadikan diri kita pencinta ilmu. Jadikan diri kita pemburu ilmu. Jadikan diri kita orang yang berilmu. Bermula saat ini, mari kita TAMBAHKAN ILMU DI DADA WALAU SEKADAR SATU ILMU dalam sehari. Dalam sebulan, ada 30 hari. Bermakna, dalam sebulan, kita sudah ada 30 ilmu baru. Dalam setahun kita sudah ada sekurang-kurangnya 365 ilmu di dada. 

Jadikan kedai buku sebagai tempat kunjungan yang wajib apabila ke pekan atau bandar. Apabila keluar rumah, jadikan buku sebagai teman istimewa dalam perjalanan selain handphone. Jadikan buku sebagai teman setia untuk bercerita, ketawa dan muhasabah diri sewaktu menunggu isteri, anak-anak atau kawan yang akan menaiki kereta kita. Sementara menunggu isteri ke pasar misalnya, jadikan buku sebagai rakan paling akrab dan setia dalam kereta. Memang seronok! Sekurang-kurangnya suami tidak akan terkata kepada isteri ”eh! lambat juga!”. Sebaliknya kata-kata seperti ”eh! cepat juga bebelanja” boleh jadi terkeluar dari mulut suami. Suami terasa masa menunggu menjadi singkat kerana ia telah tenggelam dalam keseronokan dan kenikmatan meneroka alam ilmu dalam buku itu. Memang hebat! 

Alangkah beruntungnya kalau hidup ini diakhiri dalam keadaan kita masih lagi mecari dan memburu ilmu. Sekurang-kurangnya kita menepati prinsip agama Islam yang menyeru umatnya mencari dan meneroka ilmu sejak dari buaian sehinggalah ke akhir hayat. Ayuh! Mulakan langkah dari sekarang. Jadikan diri kita PEMBURU ILMU.

 satu hari satu ilmu

 

 

 

 

 

MULAKAN DENGAN KERJA YANG MUDAH: selamat mencuba

MULAKAN DENGAN KERJA YANG MUDAH

2 Januari 2010

Kita orang yang penting. Kita banyak kerja yang mesti diselesaikan dalam tempoh sekian dan sekian. Semua orang mengharapkan hasil kerja kita. Lalu kita merasa tertekan. Tekanan menyebabkan kita sukar memulakan kerja. Jika anda dalam situasi ini, ERAKITA cadangkan agar anda mencuba kaedah ini. JANGAN terus bergelombang untuk memulakan kerja di bahagian-bahagian yang sukar dan berat. Sebaliknya, MULAKAN kerja anda pada bahagian yang lebih mudah atau ringan terlebih dahulu. Kaedah ini akan menolak anda ke satu MOMENTUM tinggi untuk menoraka dan seterusnya menakluki bahagian-bahagian yang sukar dan berat selepas itu.

Insyaallah, anda akan menikmati hasil yang memberangsangkan.

Selamat mencuba!


ANDA PENAT DAN LETIH? cuba penawar ini

ANDA LETIH DAN PENAT?

CUBA PENAWAR INI

 

28hb JANUARI 2010

Kepenatan dan keletihan badan boleh menyebabkan kita malas bekerja. Banyak faktor menyebabkan keletihan tubuh badan. Memandu kereta terlalu lama boleh menyebabkan keletihan dan kepenatan. Apatah lagi terpaksa melalui jalan sesak dengan pergerakan perlahan. Duduk di pejabat walau di atas kerusi empuk juga boleh jadi penat jika mengambil masa yang lama. Membaca dan menulis juga begitu. Mengumpulkan buku-buku atau alat-alat perkakas rumah, bengkel, kereta dan lain-lain juga boleh menyebabkan keletihan. Menghadiri kursus, seminar atau bengkel yang mengambil masa berjam-jam juga boleh menyebabkan keletihan dan kepenatan. Keletihan dan kepenatan boleh menyebabkan kita menjadi kurang semangat dan malas bekerja.

Jika ini berlaku, anda harus mengatasinya seberapa segera. Anda perlu bersemangat dan ceria meneruskan kerja anda. Caranya, anda cuma perlu ke bilik air atau kamar mandi sekiranya ada. Anda cuma perlu MANDI seketika, atau basahkan seluruh badan anda jika dapat. Jika tidak dapat atas sebab tertentu, lapkan sahaja badan anda dengan tuala atau kain basah. Insyaa Allah, anda akan merasa kesegaran tubuh badan yang luar biasa. Seolah-olah anda tidak melakukan kerja-kerja berat sebelum itu. Ia amat berkesan menghilangkan keletihan dan kepenatan. Dengan penuh kesegaran dan keceriaan, sambunglah semula kerja anda dengan semangat yang baru. Kaedah mandi atau membasahkan tubuh badan boleh dilakukan berulang-ulang walaupun dalam masa sehari. ERAKITA mengajak anda mencuba kaedah ini.

 

Semoga anda mendapat manfaatnya.

Belum Cuba Belum tahu!

 

 

BEKAM: memang hebat!

 

Darah bertoksid melekat atas tubuh setelah cawan bekam dibuka. Lihatlah sendiri..

 

BEKAM DAN KEHEBATANNYA: 1

 

3 Disember 2009 

Salah seorang pengamal perubatan bekam dan homeopati terkenal di Malaysia dan si Indonesia ialah Dr Ibrahim. Beliau mendapat kelulusan khusus dalam Sarjana Muda Perbuatan Sains Homeopati dari Majlis Akademi Homeopati Malaysia dengan kerjasama Fakultas Kedokteran Universitas Sumetara Utara Indonesia pada 2005. Beliau juga memiliki Diploma Sains Pengajian kelolaan Majlis Akademi Homeopati Malaysia pada tahun 2002. 

Beliau juga mempunyai kelayakan dalam perubatan Islam apabila dianugerahkan sijil tamat kursus dari Pusat Perubatan Islam Darus Syifa kelolaan Datuk Dr. Harun Din pada tahun 2002. Selain itu, antara kursus tambahan yang dihadiri untuk memantapkan lagi kepakaran beliau dalam bidang homeopati dan bekam ialah Kursus Anatomi, Fisiologi, Biokimia, Gizi dan Kesihatan di Fakultas Kedokteran Universitas Sumatera Utara, Indonesia. 

Beliau telah membuka klinik perubatan Bekam dan Homepati di Batu 9, Kg Melaka, Cheras, Kuala Lumpur. ERAKITA berkesempatan untuk mendapatkan rawatan bekam beliau sebanyak 2 kali sejak tahun 2008. Terbaru, 13 oktober 2009, ERAKITA sekali lagi mendapatkan rawatan bekam di klinik beliau. Cara beliau melakukan rawatan bekam mempunyai kelainan dari para pengamal perubatan bekam lain yang pernah ERAKITA saksikan dan berbekam. 

Kelainan beliau ialah, beliau akan memberi penjelasan yang cukup jelas mengenai penyakit, punca, konsep penyakit dan lebih penting, beliau akan mengulang-ulang untuk mengeluarkan darah dari sesuatu lokasi tubuh sehingga darah yang bertoksid dapat dikeluarkan dalam kuantiti yang memuaskan. Lazimnya, penyedutan di lokasi yang sama dilakukan sehingga 3 hingga 4 kali. Beliau menyatakan bahawa, jika keadaan memerlukan, lokasi tertentu sebenarnya boleh disedut berulang kali sehingga 7 kali. Walau bagaimanapun, hal tersebut banyak bergantung kepada keupayaan dan kekuatan tubuh pesakit sendiri. 

Menariknya, menurut beliau, satu kesilapan yang lazimnya berlaku pada pengamal rawatan bekam ialah apabila mereka tidak mengulangi untuk menyedut lokasi yang sama setelah menyedut darah kali pertama dengan alasan, kawasan tersebut tiada darah kotor. Menurut beliau, kawasan yang tidak banyak keluar darah hitam setelah disedut kali pertama bukanlah menunjukkan bahawa bahagian tersebut tiada sakit atau tidak bertoksid. Menurut pengalaman beliau, kawasan tersebut sebenarnya mengandungi banyak darah bertoksid yang kotor tetapi toksid yang ada telah terkumpul terlalu lama serta mendap di lapisan kulit yang agak tebal. 

Pengulangan untuk mengeluarkan darah secara sedutan di kawasan tersebut seharusnya dilakukan sehingga darah kotor tersebut dikeluarkan. Berdasarkan pemerhatian ERAKITA dan sedikit pengalaman membekam orang, ternyata hal tersebut ada kebenarannya. ERAKITA sendiri telah mencuba kaedah tersebut dan mendapati bahawa sedutan kali kedua atau ketiga di lokasi yang sama akan menghasilkan sedutan darah bertoksid yang banyak dan berwarna hitam legam serta kental. 

ERAKITA yang sempat menimba sedikit ilmu dan pengalaman di samping mendapatkan rawatan bekam dari Dr Ibrahim sendiri dapat menyaksikan sendiri bagaimana beliau melakukan rawatan bekam ke atas pesakit lain. Sambil merawat, beliau tidak kedekut dengan ilmu apabila menerangkan terus kepada ERAKITA kaedah serta kawasan-kawasan yang patut dibekam untuk penyakit-penyakit tertentu. Satu hal yang menarik, apabila Dr Ibrahim menceritakan pengalaman beliau merawat pesakit wanita yang telah mengalami penyakit KANSER PAYU DARA sejak beberapa lama. Pesakit berkenaan telah datang ke Pusat Rawatannya di Kg Padang, Riau Indonesia. 

Beliau telah merawat pesakit berkenaan dengan kaedah perubatan homeopati dan bekam. Beliau juga telah menunjukkan sendiri beberapa gambar yang dirakamkan dalam kamera digital beliau kepada kami. Gambar rakaman memperlihatkan air berwarna kekuningan dan cair terkumpul dari kawasan sekeliling payu dara pesakit yang agak banyak. Gambar payudara pesakit pada mulanya amat teruk. Namun, setelah beberapa minggu rawatan dibuat, akhirnya payudara pesakit semakin cerah dan berwarna kemerahan menunjukkan bahawa darah di bahagian tersebut semakin lancar dan normal. 

Menurut beliau lagi, salah satu cabaran besar yang dihadapi ketika berhadapan pesakit berkenaan ialah pesakit diganggu makhluk halus. Menurut keluarga pesakit, pesakit telah beberapa lama diganggu makhluk halus. Keadaan sedemikian menyebabkan proses rawatan yang sepatutnya lancar adakalanya terganggu. Bagaimanapun, menurut beliau, usaha masih dilakukan agar pesakit berkenaan dapat disembuhkan sepenuhnya menggunakan kaedah homepati dan bekam.

Ketika ini Dr Ibrahim sedang menyiapkan buku mengenai Bekam dan kaitannya dengan Islam dan Sains. Kini, dengan mempunyai pekerja terlatih dalam homepati dan Bekam, beliau sedang mengendalikan Klinik Perubatan Homepati dan Bekam di Riau Indonesia. Beliau juga pernah dijemput untuk ditemuramah secara langsung di TV Riau, Indonesia dan menjawap soalan secara langsung dari para penonton mengenai Homeopati dan Bekam. 

Pelanggan beliau datang dari berbagai tempat. Klinik beliau di Batu 9, Kg Melaka Cheras Kuala Lumpur didatangi oleh pesakit dari seluruh Malaysia. Beberapa siri kursus Refleksiologi dan Bekam dikendalikan oleh beliau di Klinik tersebut sejak beberapa tahun yang lepas. Kursus telah dikendalikan di tempat yang sama pada 7 dan 8 November 2009 baru-baru ini. ERAKITA sendiri pernah menghantar salah seorang anggota keluarga ERAKITA untuk menghadiri kursus Bekam di sini pada bulan Julai 2008. Peserta akan diberikan nota kursus, alat bekam secara percuma dan sijil kursus. 

Ketika ditanya mengenai penyakit H1N1 yang melanda seluruh dunia, beliau menyatakan bahawa penekanan harus diberikan kepada masyarakat supaya memberi keutamaan untuk menguatkan sistem imunisasi dalam tubuh manusia. Imunisasi adalah kekebalan sistem tubuh dari serangan pelbagai penyakit. Semakin kuat sistem pertahanan tubuh, semakin sukarlah penyakit untuk hinggap ditubuh kita. Menurut beliau lagi, salah satu kaedah paling mudah untuk menguatkan sistem pertahanan tubuh manusia ialah dengan cara BERBEKAM.

Melalui bekam, darah yang kotor dan bertoksid (beracun) dapat dikeluarkan terus dari tubuh. Darah yang bersih pula akan semakin lancar mengalir dalam pembuluh darah yang luas. Akhirnya segala makanan atau minuman yang diangkut oleh darah yang mengandungi pelbagai bahan penting yang diperlukan tubuh seperti oksigen, vitamin dan lain-lain lagi akan disebarkan ke seluruh tubuh dalam jangkamasa singkat. 

Untuk melihat lebih lanjut perkembangan perubatan Homepati dan Bekam, klinik beliau ada menyediakan laman web sendiri yang boleh dilayari di alamat www.homepatiindonesia.com. Beliau juga menjual peralatan khas untuk rawatan bekam seperti pen, lenset, cawan dan mesin penyedut eletrik yang diimport dari luar negeri. Peralatan ini amat sesuai dan penting kepada para pengamal rawatan bekam. Peralatan moden sedemikian dapat mengikis tanggapan mengenai kengerian  atau keperitan pesakit untuk mendapatkan rawatan bekam.

Peralatan moden dan sopistikated seperti cawan, pen dan lanset benar-benar menjadikan proses rawatan bekam sesuatu yang tidak mengerikan, tidak menyakitkan dan tidak memudaratkan. Kita akan menyaksikan sendiri bagaimana selepas rawatan bekam, tidak ada luka di bahagian kulit yang kelihatan. Jika ada, hanyalah kulit berwarna kemerahan kesan sedutan darah. 

Dalam artikel yang akan datang, ERAKITA akan menceritakan pula beberapa aspek lagi mengenai rawatan bekam dan kehebatannya. Insyaa Allah. Beberapa gambar untuk tatapan dipaparkan di bawah untuk anda semua.

Peralatan Bekam. Moden, canggih, bersih dan meyakinkan!

Mesin eletrik moden untuk menyedut darah melalui cawan. canggih! bukan lagi macam dulu-dulu

Dr Ibrahim di Pejabat Kliniknya

 

BERBEKAM SUNNAH NABI

 

 

GURU ZIARAH IBUBAPA

 

DSC07383

 

 

GURU ZIARAH IBUBAPA

Ke arah melahirkan murid cemerlang

 

 

26 Oktober 2009 

Berapa ramai ibubapa yang mengenali guru-guru sekolah anak-anak mereka? Berapa ramai pula ibubapa yang kerap bertemu dan berinteraksi dengan guru-guru itu? Ibubapa yang mengenali guru-guru di sekolah anak mereka memang wajar dipuji. Ini kerana, suasana seperti itu dapat melahirkan suasana positif dalam hubungan antara ibubapa, guru dan murid. Ibubapa dapat bertanya terus kepada guru berkaitan mengenai perkembangan pelajaran atau disiplin anaknya di sekolah. 

Ada ketikanya maklumat penting dari sekolah yang disampaikan oleh anaknya kurang jelas. Antaranya pembayaran yuran persatuan, pembelian baju seragam atau penganjuran aktiviti-aktiviti penting seperti sukan, kelas tambahan, mesyuarat Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBAGU) dan lain-lain lagi. Jika ibubapa mengenali guru sekolah anaknya, hal tersebut dapat ditanya terus kepada guru berkenaan agar jelas dan difahami. Cara ini dapat menghindarkan sebarang salah faham atau kekeliruan di kalangan ibubapa terhadap sesuatu program yang dianjurkan sekolah. Kadang-kadang anak-anak terlupa untuk membawa surat atau risalah yang dikeluarkan oleh pihak sekolah untuk diberikan kepada ibubapa. 

Ada kalanya, ibubapa hanya mengetahui suatu program atau aktiviti di sekolah pada saat-saat akhir, itupun diketahui melalui rakan sekolah anaknya. Hal ini sudah tentu menimbulkan kesulitan kepada ibubapa. Kesulitan ini sedikir sebanyak boleh diatasi apabila ibubapa mempunyai hubungan baik dengan guru kelas atau guru-guru lain serta kakitangan sekolah. Jika dapat, biarlah ibubapa mendapat nombor talipon guru berkenaan untuk memudahkan sebarang urusan. 

Dari segi psikologi, anak-anak sudah tentu berbangga dan gembira apabila mengetahui bahawa ibubapa mereka mempunyai hubungan baik dengan guru-guru di sekolah. Anak-anak akan lebih yakin untuk datang ke sekolah dan merasa lebih selamat kerana guru-guru mengenali anak-anak dan ibubapa mereka sekali. Anak-anak juga akan merasa segan atau malu untuk melakukan tindakan yang bertentangan dengan peraturan sekolah apabila mengetahui bahawa guru-guru tersebut mempunyai hubungan rapat dengan ibubapa mereka. Bukan sahaja takut diambil tindakan pihak sekolah, malah anak-anak akan merasa takut sekiranya tindakan mereka itu dilaporkan oleh guru berkenaan kepada ibubapa mereka. 

Alangkah baiknya andai wujud hubungan baik antara ibubapa dan guru-guru. Tidak dinafikan kewujudan PIBAGU adalah langkah bijak untuk mempertemukan ibubapa dan guru-guru. Cuma, pertemuan untuk membincangkan hal ehwal murid dan sekolah hanyalah dapat dilakukan mungkin dua atau tiga kali dalam setahun. Itupun hanya berapa ramai sahaja ibubapa yang dapat hadir. Ketidakhadiran ramai ibubapa ke dalam mesyuarat PIBAGU atau biasa disebut PIBG sudah menjadi perkara biasa di mana-mana. Tidak hairan jika ada keputusan mesyuarat tersebut yang mengenakan denda sehingga RM10 atau RM15 kepada ibubapa yang gagal hadir tanpa sebab menasabah. 

Dalam situasi lain, ada ketikanya pihak sekolah menempah bekalan makanan dari pembekal makanan untuk makan tengahari para ibubapa dan guru menurut jumlah ibubapa atau penjaga murid-murid di sekolah berkenaan. Malangnya, jika tempahan dibuat untuk 500 kepala, akhirnya yang hadir hanya 200 hingga 300 kepala sahaja. Akhirnya makanan lebih banyak yang tidak dimakan. Bukankah hal ini sudah menyebabkan pembaziran wang sekolah atau persatuan? Akhirnya, bukan pembaziran makan minum saja yang berlaku tapi juga keputusan mesyuarat hanya diketahui oleh segelentir sahaja ibubapa. Akhirnya, apabila keputusan mesyuarat mula dilaksanakan, kedengaranlah pula suara-suara sumbang dan rungutan dari ibubapa yang tidak hadir ketika mesyuarat dahulu. 

ERAKITA berpendapat bahawa perjumpaan mesyuarat PIBAGU dua atau tiga kali dalam setahun memang tidak memadai untuk memupuk kerjasama dan persefahaman antara guru-guru dan ibubapa. Sebab itulah, satu usaha yang jitu perlu dilakukan untuk menyedarkan para ibubapa dan guru-guru akan keperluan mewujudkan hubungan rapat antara mereka. Andai ibubapa tidak dapat memulakan hubungan rapat guru dan ibubapa, para guru juga rasanya perlu mengambil pendekatan MEMULAKAN terlebih dahulu hubungan tersebut. Hubungan mesra guru dan ibubapa boleh dijalinkan melalui ZIARAH GURU KE RUMAH IBUBAPA murid pada waktu-waktu bersesuaian seperti hujung minggu. Hubungan mesra juga boleh dimulakan dengan membuat panggilan talipon bertanyakan khabar ibubapa atau anak-anak mereka. Siapa sangka, boleh jadi tindakan guru memulakan hubungan baik ini akan melahirkan rasa diberi perhatian di pihak ibubapa murid. 

Tindakan TURUN PADANG oleh guru-guru ke rumah ibubapa murid sesungguhnya satu tindakan murni dan melahirkan suasana harmoni antara keduanya. Maklumat awal mengenai hal ehwal dan keadaan ibubapa yang bakal dikunjungi boleh diperolehi dari Ketua Kampung atau Pengerusi JKKK kampung berkenaan. Jika guru tersebut berkesempatan untuk ke masjid atau surau kampung tersebut, usaha memulakan hubungan baik antara ibubapa akan menjadi lebih mudah. Sambil berkunjung, elok juga rasanya guru berkenaan membawa OLE-OLE atau BUAH TANGAN sebagai tanda keakraban dan kemesraan. Rasanya tidak ada ibubapa yang akan menolak kunjungan guru-guru ke rumahnya. Sebaliknya, ibubapa pasti merasa diberi penghormatan dan perhatian ikhlas dari pihak sekolah. 

Bagi guru-guru, anggap sahajalah kita seperti para JURURAWAT dari klinik atau hospital kerajaan yang akan mengunjungi rumah para ibu yang baharu melahirkan anak. Jururawat tersebut bukan sahaja akan memeriksa dan bertanyakan khabar dari para ibu, bahkan juga kepada bayi yang baru dilahirkan. Kemesraan para Jururawat ketika mengunjungi kaum ibu di rumah begitu terasa sekali. Apabila orang-orang penting seperti mereka datang ke rumah dan bertanya khabar mengenai perkembangan ibu dan baby, saat itu terasa sekali betapa MURNINYA khidmat mereka kepada kita. Demikianlah bagaimana ERAKITA merasakan bahawa guru-guru juga boleh mengambil pendekatan yang serupa atau seumpama dengannya. Rasanya, tindakan ini sudah MELEBIHI pencapaian TAHAP 4 dalam peperiksaan PENILAIAN TAHAP KECEKAPAN (PTK) bagi kakitangan kerajaan. 

ERAKITA masih ingat lagi betapa guru-guru 20 atau 30 tahun lampau begitu rapat hubungannya dengan masyarakat desa. Tidak kurang juga kejadian di mana guru-guru dijadikan ANAK ANGKAT oleh ibubapa murid di sekolah berkenaan. Begitu akrab sekali hubungan guru dan masyarakat kampung. Tidak keterlaluan juga kalau dikatakan bahawa perpindahan seseorang guru yang disayangi masyarakat bukanlah suatu yang disukai atau diingini ketika itu. Jika dapat, biarlah guru berkenaan mengajar di sekolah berkenaan sampai PENCEN. Andai berpindah juga, perpindahan guru berkenaan pasti diiringi dengan tangisan oleh masyarakat dan anak-anak muridnya. 

Bayangkanlah jika suasana ini sudah terwujud, apakah akan wujud tindakan agresif atau ofensif ibubapa ke atas guru apabila guru mengenakan tindakan disiplin ke atas anak mereka? Apakah akan timbul lagi ibubapa atau penjaga anak mengambil tindakan menyaman guru dan pihak sekolah terhadap apa yang berlaku ke atas anak mereka? Agaknya ramai bersetuju bahawa ibubapa yang sudah tertanam kepercayaan dan keyakinan kepada guru-guru dan pihak sekolah tidak akan tergamak untuk mengambil tindakan terburu-buru seperti ini hanya bersandarkan kepada apa yang diceritakan oleh anak mereka. Malah ibubapa berkenaan akan terlebih dahulu menghubungi guru atau pihak sekolah untuk mendapatkan gambaran sebenar. Setelah mendapat gambaran sebenar, boleh jadi ibubapa itu akan melahirkan rasa terimakasih kepada guru dan pihak sekolah kerana mengambil tindakan sedemikian rupa kepada anaknya. Boleh jadi juga, ibubapa tersebut akan mengambil tindakan ke atas anak mereka menurut kaedah sepatutnya seperti merotan atau memberi hukuman sewajarnya. 

Bagi ERAKITA, ibubapa dan guru kena saling kenal mengenali antara satu sama lain. Jika dapat, mungkin juga guru boleh membuat sedikit kelainan dari kebiasaan sewaktu menyerahkan buku rekod persekolahan anak muridnya. Jika pada kebiasaannya, ibubapa akan dipanggil bersama anak-anak mereka ke sekolah untuk mengambil buku rekod tersebut. Keputusan peperiksaan murid-murid akan diketahui hanya pada hari berkenaan. Bagi ibubapa yang mendapati anaknya mendapat keputusan TERCOROT, ia pasti akan merasa malu atau marah kepada anaknya. Tidak mustahil akan keluar kata-kata yang tidak elok dari mulut ibubapa atau penjaga mereka di hadapan guru kelas dan murid-murid lain. 

Boleh jadi kata-kata seperti ”kau ni Onong, bodoh juga kau ni! Macam mana kau boleh dapat nombor KUNCIT! Bikin malu saja!” terkeluar dari mulut ibubapa. Ada juga kata-kata ibubapa seperti ini ”Onong! Lain kali kalau keputusan kau begini juga, bagus lagi berhenti sekolah saja. Potong Getah lagi bagus!” atau ”Onong, saya sudah cakap balik-balik sama kau, jangan main internate saja, tapi kau tidak mau ikut cakap saya, sekarang tengoklah sendiri apa yang kau dapat!”. Kata-kata seperti ini juga mungkin pernah kita dengar. ”Onong! Kau tengoklah sendiri keputusan peperiksaan kau gara-gara asyik main TING TONG saja. Bagus kau pigi kahwin sama itu TING TONG!”. Tindakan spontan ini akan menjatuhkan air muka murid berkenaan. Keadaan ini tidak sepatutnya berlaku. Ia tidak akan menyelesaikan masalah. 

Tetapi, mungkin lebih besar kesan positif kalau guru berkenaan menetapkan satu masa khusus untuk datang menziarahi ibubapa murid berkenaan di rumah mereka sambil membawa buku rekod tersebut. Pendekatan ini mungkin sesuai digunakan dalam kes-kes melibatkan murid yang lemah dalam pelajaran atau juga murid-murid yang berpotensi maju tetapi berhadapan dengan masalah peribadi termasuk masalah keluarga. Tidak salah andai pendekatan ini dicuba dahulu. Siapa tahu, tindakan TURUN PADANG ini mampu menghasilkan kesan mengkagumkan di luar dugaan selepas itu! Siapa tahu? Belum cuba belum tahu. Kelebihannya, bukan saja guru tersebut dapat mengenali dan mengadakan hubungan rapat dengan ibubapa, guru juga dapat melihat sendiri keadaan persekitaran rumah dan keberadaan keluarga murid tersebut. 

Guru akan dapat gambaran sebenar samada keadaan dalam rumah itu mempunyai ciri-ciri MESRA BELAJAR atau tidak. Maksud ERAKITA, guru dapat melihat secara langsung dengan kepala mata sendiri samada ada terdapat ruang belajar, atau ada meja belajar atau almari buku, lampu yang mencukupi dan lain-lain lagi dalam rumah pelajar bekenaan. Pengetahuan LANGSUNG ini sesuangguhnya dapat membantu guru untuk membuat STRATEGI baru dan berkesan untuk menyampaikan ilmu dan motivasi kepada murid berkenaan. Ingatlah, tidak ada hal yang lebih berkesan melainkan dengan MELIHAT, MENYENTUH dan MERASA sendiri keadaan yang dihadapi oleh murid berkenaan. 

Apapun yang dibincangkan di atas, bukanlah bertujuan untuk menambahkan beban ibubapa atau guru-guru. Namun, pendekatan yang diiringi kepelbagaian teknik dan cara untuk mendidik murid-murid supaya mencapai kemajuan dan kecemerlangan harus dicuba dan diamalkan. Suasana hari ini dengan suasana 20 atau 30 tahun yang lampau sudah jauh berbeza. Suasana era kini semakin mencabar dan semakin komplikated. Kreativiti mendidik anak-anak amatlah diperlukan. Pengetahuan teknologi moden hari ini seperti internate dan bermacam-macam lagi harus diketahui dan difahami oleh guru-guru dan para ibubapa agar pendekatan mendidik mereka dapat disesuaikan menurut keadaan anak-anak tersebut. Akhir sekali, ERAKITA mengucapkan selamat menghayati artikel ini dan mencuba beberapa tips yang dilontarkan menurut kesesuaian dan keupayaan masing-masing. 

 

SELAMAT MENCUBA

 

 

KELEBIHAN ORANG SIBUK

 

DSC07394

 

KELEBIHAN ORANG YANG SIBUK

 

 24 Oktober  2009

Jika ingin sesuatu tugasan disiapkan, serahkan saja tugas itu kepada orang yang sibuk. Mengapa pula begitu? Macam tak logik saja!. Sepatutnya tugasan kena beri pada orang yang tidak sibuk. Sepatutnya begitulah. Tapi hakikatnya hanya orang sibuk saja yang ada masa untuk buat kerja. Lagi satu, orang sibuk ni mampu mengurus masa mereka dengan baik! Kalau tidak percaya, cubalah tengok orang-orang yang BERJAYA di sekeliling kita. Bukankan mereka itu tergolong dalam kumpulan orang-orang yang “SIBUK”?

 

SAMA-SAMA KITA FIKIRKAN

 

 

PUJIAN BERKUALITI DARI GURU KEPADA MURID

Sentuhan dan kasih sayang untuk anak-anak merangsang sikap dan minda positif mereka

Sentuhan dan kasih sayang kepada anak-anak merangsang sikap dan minda positif mereka

PUJIAN BERKUALITI DARI GURU KEPADA MURID

 

 22 Oktober 2009

(Dikemaskini pada 27 Jun 2021)

Dalam era kita yang semakin terbuka, maju dan mencabar lagi kompleks ini, penguasaan memahami dan mempraktiskan pelbagai teknik untuk mendidik anak-anak murid dalam konteks guru dan anak-anak dalam konteks ibubapa amat diperlukan. Dalam konteks persekolahan, sesetengah pihak mungkin berpendapat bahawa guru tidak perlu memuji murid atas suatu kebaikan atau pencapaiannya. Pujian guru kepada murid bagi mereka dikuatiri boleh menimbulkan kesan negatif kepada sikap murid. Ada kekuatiran bahawa berkemungkinan murid yang diberi pujian itu  akan berlagak angkuh atau sombong dengan guru-guru atau murid-murid lain. Sesetengah pihak pula mungkin berpendapat bahawa pujian guru kepada murid itu perlu untuk membentuk semangat dan jati diri mereka.

Apapun tanggapan atau persepsi yang dilontarkan, ERAKITA berpendapat bahawa pujian dari seorang guru kepada muridnya masih relevan. Bagaimanapun, pujian tersebut haruslah berlandaskan kaedah atau cara yang betul. ERAKITA ingin berkongsi dengan anda beberapa teknik atau kaedah yang boleh diaplikasikan oleh seorang guru ketika memuji murid seperti berikut:

  1. Pujian hendaklah bersifat khusus atau spesifik. Contohnya, seorang cikgu mengungkapkan kata-kata ini kepada anak muridnya yang telah mencapai peningkatan markah ujian walaupun dengan peningkatan sedikit saja seperti “Cikgu amat bangga dengan pencapaian ujian kamu kali ini, teruskan pencapaian seperti ini pada masa hadapan, tahniah sekali lagi”. Bayangkan, bagaimana perasaan murid ketika itu!. Sambil mengeluarkan kata-kata itu, cikgu tersebut menepuk-nepuk bahu anak muridnya dengan penuh ikhlas. Cuma perlu diingat bahawa kaedah ini lebih sesuai ilakukan oleh  guru lelaki untuk murid lelaki.  Demikian juga, guru perempuan kepada murid perempuan.
  2. Pujian yang dilakukan dalam bentuk tulisan. Contohnya, ketika penyerahan markah ujian, guru menulis dalam kertas jawapan ujian murid dengan kata-kata pujian atas pencapaian murid dalam ujian tersebut. Kata-kata pujian yang teratur dan singkat seperti “Cikgu bangga atas pencapaian di luar dugaan ini. Teruskan usaha ke arah kecemerlangan”. Ataupun, guru tersebut boleh juga menulis ungkapan seperti “Cikgu dari dulu lagi yakin bahawa kamu boleh buat yang terbaik. Syabas dan tahniah Ahmad!”. Demikian juga coretan seperti “Pencapaian yang bagus! Tahniah Ahmad. Kamu adalah salah seorang murid harapan Cikgu!”. Bayangkan, bagaimana perasaan murid tersebut ketika membaca kata-kata KERAMAT gurunya yang tertera di kertas itu!. Kaedah ini memiliki kesan tersendiri untuk merangsang dengan cepat semangat dan motivasi seorang murid atau anak untuk melakukan tindakan-tindakan positif seterusnya.
  3. Berilah pujian yang biasa dan tidak melebih-lebih. Yang penting pujian itu adalah pujian BERKUALITI. Bagi murid di sekolah rendah, pujian seharusnya diikuti dengan pelukan guru kepada pelajarnya. Guru perempuanlah yang sesuai mengambil pendekatan ini kepada murid-muridnya. Bagi guru lelaki pula, pujian yang disertakan senyuman ikhlas dan rasa bangga terhadap pencapaian murid itu lebih sesuai digunakan. Bayangkan bagaimana perasaan murid ketika menerima pujian, sentuhan dan senyuman ikhlas dari seorang cikgu! Siapa tahu, pujian dan sentuhan ini akan tersemat dalam ingatannya seumur hidup.
  4. Pujian yang diberikan seharusnya diberikan secepat mungkin sebaik suatu kejayaan atau kebaikan itu dilakukan oleh murid. Kaedah ini lebih cepat merangsang sikap dan peribadi seorang murid berbanding pujian yang diberikan setelah berlalu beberapa hari atau minggu selepas sesuatu kebaikan itu dilakukan murid. Inilah yang dikatakan instant atau on the spot. Jadi, nak beri pujian kepada murid, biarlah kejayaan murid tersebut masih terasa “PANASNYA”. Seperti yang ERAKITA pernah sebut dalam artikel sebelum ini, pakailah kata-kata orang putih ni “STRIKE THE IRON WHILE IT IS HOT”. Kalau nak beri pujian, berilah pujian itu ketika kejayaan anak murid itu baru dicapai, masih diingat-ingat dan disebut-sebut.
  5. Pujian dalam bentuk sindiran perlu dielakkan. Contohnya “Ahmad bukanlah pandai sangat tapi kali ini Ahmad mendapat markah yang baik. Mungkin Ahmad bernasib baik kali ini. Tahniah untuk awak!”. Kata-kata ini kelihatan seperti memuji tetapi pujian tersebut kelihatannya menyindir dan tidak memperlihatkan kejujuran guru ketika mengiktiraf pencapaian muridnya. Keadaan ini boleh mendatangkan kesan negatif kepada murid apabila beranggapan bahawa guru itu bersifat negatif atau memandang rendah terhadap kemampuannya. Boleh jadi murid itu akan bertambah keliru dengan status kedudukannya. Ia mungkin keliru kerana tidak pasti samada dirinya berpontensi untuk maju atau tidak kerana kata-kata cikgunya tadi memberi persepsi bahawa pencapaiannya itu hanyalah secara kebetulan sahaja.

Untuk membangkitkan motivasi murid-murid bagi mencapai kecemerlangan akademik dan kurikulum mereka, banyak sekali cara atau kaedah yang boleh digunakan oleh seorang cikgu. Buku-buku motivasi keibubapaan, pendidikan dan bermacam-macam lagi yang ada di rak-rak kedai buku sentiasa menanti tangan kita untuk mencapai dan membelinya. Bukalah buku-buku itu dan hayati tips-tips yang disajikan. Amalkan mana-mana kaedah yang dirasakan bersesuaian dengan situasi kita. Pengalaman ERAKITA sebagai ayah kepada tiga orang anak yang sedang bersekolah sedikit sebanyak membantu memahami dan menghayati keadaan-keadaan ini. Ada kalanya anak akan menceritakan kepada ibubapa dengan penuh semangat bagaimana cikgunya memberi pujian kepada mereka sewaktu dalam kelas kerana melakukan satu perbuatan terpuji.

Adakalanya guru berkenaan bertemu dengan ibubapa dan menceritakan kepada mereka bagaimana anak mereka melakukan kerja yang baik ketika dalam kelas. Pujian guru tersebut tidak diceritakan kepada murid semasa di sekolah. Sebaliknya guru tersebut bertemu dengan ibubapa dan menceritakan terus mengenai pencapaian atau kebaikan yang dilakukan oleh murid berkenaan. Kaedah ini dilihat berkesan dan menghasilkan AURA tersendiri untuk menaikkan semangat anak-anak belajar atau memperbaiki disiplin serta peribadi mereka di sekolah dan di rumah. Cubalah sekali sekala guru-guru memberi pujian untuk anak muridnya melalui ibubapa. Ibubapa pula kena ceritakan semula kepada anak-anak mereka bahawa cikgu mereka ada memberi pujian mengenai kelakuan atau perbuatan anak di sekolah.

Lihatlah hasilnya nanti. Anda akan melihat raut wajah anak-anak anda begitu ceria dan teruja apabila guru mereka menceritakan sendiri kepada ibubapa mereka akan kejayaan atau kelakuan terpuji mereka di sekolah. Jika sebelum itu anak-anak malas membaca buku, lihatlah sendiri kesannya selepas pujian itu diceritakan kepada mereka. Mereka akan begitu bersemangat untuk membuka beg sekolah, mengeluarkan pen dan melakukan tugasan pembelajaran mereka. Yang penting, ketika memberi pujian tersebut, berilah pujian itu secara ikhlas, dengan wajah gembira dan bangga dengan anak-anak kita. Lebih berkesan lagi kalau kita dapat MEMELUK ERAT DAN MENCIUM KEPALA ANAK-ANAK tanda kasih dan sayang kita.

Kaedah memberi pujian yang dinyatakan di atas bukan sahaja dikhususkan untuk guru kepada anak-anak muridnya semata-mata. Sebenarnya, jika diteliti, kaedah-kaedah tersebut juga boleh diaplikasi atau diamalkan oleh para ibubapa di rumah. Contohnya, dalam soal memuji anak. Kalau ibubapa nak puji anak, biarlah pujian tersebut diberikan sebaik saja anak tersebut melakukan kerja yang baik. Memuji sambil memeluk erat anak ke dada dengan penuh ikhlas mempunyai aura tersendiri yang seringkali diabaikan oleh ibubapa.

Semoga sedikit tips dalam memberi pujian kepada anak murid yang dikongsikan ini dapat memberi input berguna kepada sesiapa juga yang terlibat dalam dunia pendidikan. Ibubapa juga tidak terkecuali untuk mencuba beberapa kaedah memberi pujian yang disebutkan di atas untuk diamalkan di rumah. Kepelbagaian teknik mendidik anak murid akan memudahkan kita melaksanakan tugas murni ke arah melahirkan anak-anak yang CEMERLANG, GEMILANG DAN TERBILANG.

SELAMAT MENCUBA

 

 

BERAS: ada keistimewaan untuk dikongsi

 

puting susu botol

 

 

KEISTIMEWAAN DAN KEUNIKAN BERAS

 

14 Oktober 2009 

Beras adalah makanan asas bagi kebanyakan orang di Benua Asia. Malah, negara-negara Asia seperti Thailand dan Indonesia adalah antara pengeluar beras utama di dunia. Malaysia tidak terkecuali sebagai negara yang menghasilkan beras. Namun, penegluarnnya masih tidak mencukupi untuk menampung keperluan penduduk negara ini. Jika anda ke kedai-kedai runcit kecil dan besar, anda akan dapati bahawa pelbagai jenama dan syarikat yang mengeluarkan beras. Kebanyakan beras tersebut pula datangnya dari luar negara seperti Thailand dan Vietnam. Dengan erti kata lain, beras tersebut adalah beras import. Semakin tinggi harga beras, semakin sedap pula rasanya. Hakikat yang harus diterima oleh rakyat negara ini ialah, harga beras walaupun tersenarai sebagai barangan keperluan terkawal, namun harganya agak tinggi dan tanda-tanda untuk diturunkan harga masih lagi samar-samar. 

Dalam ruangan ini, ERAKITA tidak akan memanjangkan cerita mengenai harga dan bekalan beras di negara ini. ERAKITA sebaliknya ingin berkongsi dengan anda semua mengenai keistimewaan dan keunikan beras. Selain menjadi makanan asasi kebanyakan manusia di muka bumi, beras mempunyai banyak keistimewaan. Keistimewaan ini pula adakalanya jarang diketahui dan diamalkan orang. Jika keistimewaan ini diketahui dan diamalkan, banyak perkara dalam kehidupan kita sehari-hari dapat dimudahkan. 

Salah satu keistimewaannya ialah ia dapat membersihkan mendapan susu dalam botol susu dan putingnya dengan cepat dan berkesan. Lazimnya, kita menghadapi kesukaran untuk membuang mendapan kotoran atau susu yang melekat dalam botol susu. Apatah lagi jika botol tersebut tidak dibersihkan sejak beberapa hari. AROMAnya sudah pasti menusuk hidung dan memeningkan kepala. Jika tidak sabar, kita lebih sanggup membuangnya ke dalam tong sampah daripada membersihkannya. Jika kita nak membersihkannya, kita terpaksa menggunakan alat khas seperti colok yang ada span getah bersama sabun basuh. Lebih menyusahkan jika alat tersebut tidak ada. Tangan kita terlalu besar untuk dimuatkan ke dalam lubang botol susu yang sempit itu. Hal ini sering terjadi dan tidak mustahil, para ibu bapa akan membeli beberapa buah botol susu sebagai stok yang boleh digunakan dalam keadaan tertentu. Hal ini sudah tentu membebankan sesetengah pihak  dan boleh menjadi satu pembaziran pula jika botol susu kelihatan di sana sini sedangkan tidak digunakan. 

Untuk mengatasi masalah mendapan yang degil dan membusuk di dalam botol tersebut, beberapa butiran beras dapat memberi penyelesaiannya. Ambil beras sekira-kira 1 sudu kecil dan masukkkan ke dalam botol tersebut. Masukkan juga sedikit air biasa ke dalam botol tersebut. Goncanglah beras bercampur air tadi beberapa kali dengan kuat. Insyaa Allah, dalam tempoh 30 saat hingga seminit selepas digoncangkan, anda akan melihat hasil yang cukup mengujakan dan menakjubkan. Anda akan melihat mendapan lama susu yang telah mengeluarkan bau yang busuk dan masam dalam botol tersebut hilang sama sekali. Bukan botol susu saja yang kelihatan bersih dan terang, malah puting susu di bahagian atas juga turut bersih. Kita tidak perlu lagi membuang masa untuk memicit-micit hujung puting susu tersebut untuk mengeluarkan mendapan susu yang sudah lama. 

ERAKITA telah mengamalkan petua ini sejak beberapa tahun yang lalu dan ternyata ia banyak mengurangkan penggunaan masa dan tenaga. Malah, botol susu kelihatan sentiasa bersih. Tidaklah keterlaluan untuk dinyatakan di sini bahawa penggunaan sabun juga tidak diperlukan lagi melalui kaedah ini. Menariknya, beras yang telah digunakan untuk membasuh mendapan kotoran susu dalam botol tersebut masih boleh digunakan untuk dimasak. Ia tidak perlu dibuang kerana ia boleh dibersihkan dengan mudah dan dikeringkan. Oleh itu, istilah membazir beras tidak timbul sama sekali. 

ERAKITA mengajak anda semua untuk mencuba dan terus mengamalkan kaedah ini. Semoga selepas ini, botol susu anak kecil anda akan kelihatan lebih berseri dan dan bersinar walaupun telah lama digunakan dengan menggunakan beras ini. Kaedah ini dapat mengelakkan pembaziran wang untuk membeli lebih banyak span getah dan botol susu untuk seorang anak kecil. Cara ini walaupun kelihatan kecil namun kesannya dalam kehidupan berumahtangga adalah besar. Perselisihan faham suami isteri gara-gara membasuh botol susu juga dapat dielakkan. Pembelian botol susu yang banyak juga dapat dielakkan. Mengambil cara yang mudah berbanding cara yang sukar juga dapat diamalkan. Masa yang digunakan untuk membersihkan botol susu dapat disingkatkan bersama hasil yang cukup memuaskan hati. Tanpa kita sedar, apabila kita mengamalkan perkara-perkara di atas, kita sebenarnya telah menggunapakai saranan Nabi SAW yang menganjurkan kita agar mempermudahkan sesuatu urusan tersebut dan mengelak dari mempersulitkannya. 

  

BERSIHKAN BOTOL SUSU ANAK ANDA DENGAN BERAS

 &

 LIHATLAH HASILNYA